Schedule
Jadual Pertama ADB 1952. ii. Dadah berbahaya adalah milikan OKT apabila dibuktikan OKT mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan akan dadah berbahaya tersebut. iii. OKT mengedar dadah berbahaya tersebut. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PENDAKWAAN [26] Kes pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada keterangan ASP Mohd Husny bin Hussien (SP5), L/Kpl Addy Irwansyah Darwis (SP10), Mohd Hizran Hafiz (SP8) dan Fazlinizam bin Mohd Johari (SP9). [27] Mahkamah akan menilai secara maksima semua keterangan saksi pendakwaan dan dokumen yang diterima dan ditandakan sebagai eksibit sepanjang perbicaraan dalam menentukan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan setiap intipati pertuduhan seperti berikut: Intipati pertama : Jenis dadah [28] OKT telah dipertuduhkan di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 kerana mengedar dadah jenis Amphetamine seberat 267.9 gram yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) ADB 1952, dan memiliki dadah jenis Nimetazepam berat bersih 0.15 gram serta dadah jenis kokaine berat bersih 2.87 gram di bawah seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen 12(3) Akta yang sama. [29] Barang kes dadah yang dirampas telah dianalisa oleh ahli kimia, Nur Ikadewi Binti Abu Hassania (SP11) yang telah menyediakan laporan kimia dan ditandakan sebagai P31. Keputusan Analisa mengesahkan bahawa dadah jenis Amphetamine merupakan dadah berbahaya di bawah Jadual Pertama ADB 1952. [30] SP11 melalui Pernyataan Saksi beliau yang ditandakan sebagai PSP 11 merupakan seorang ahli kimia bertauliah dan menjelaskan secara terperinci analisa yang dijalankan beliau. Pihak pembelaan tidak mencabar secara serius dengan analisa SP11 melainkan membangkitkan isu kemungkinan terdapat putusnya rantaian keterangan barang kes dalam pengendalian dadah yang dirampas. Antara isu yang dibangkitkan adalah senarai barang kes P35 yang diserahkan kepada SP12 tidak sama dengan senarai barang kes di dalam P34. Antaranya wang tunai keseluruhannya berjumlah RM111,100 dan telefon bimbit i-Phone X. [31] Mahkamah memutuskan bahawa isu dibangkitkan pihak pembelaan tidak mencabar krebiliti SP11. Oleh itu, bersandarkan kepada prinsip undang-undang berkaitan penerimaan keterangan pakar sepertimana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Balachandran v PP [2005] 2 MLJ 301, Mahkamah ini berpuas hati bahawa intipati pertama telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan bahawa jenis dan berat dadah yang dianalisa oleh SP11 adalah dadah berbahaya tersenarai di bawah Jadual Pertama ADB 1952. Petikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dirujuk adalah seperti berikut: It has been held by the trilogy of the (then) Supreme Court cases of Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492, PP v Lam Sam [1991] 3 MLJ 426 and Khoo Hi Chiang v PP [1994] 1 MLJ 265 that the court is entitled to accept the evidence of the chemist on its face value without the necessity for him to go into details of what he did in the laboratory step by step unless it is inherently incredible or the defence calls evidence in rebuttal by another expert. Intipati kedua : Pemilikan dadah berbahaya [32] Pemilikan merupakan intipati penting yang mesti dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Pihak pendakwaan mestilah membuktikan elemen “custody”, “control” dan “possession”. Elemen-elemen tersebut telah dibincangkan dengan terperinci di dalam kes Leow Nghee Lim v. Red [1955] CLJU 53; [1955] 1 LNS 53; [1956] 1 MLJ, seperti berikut: "Custody means having care or guardianship; goods in custody are in the care of the custodian and, by necessary implication, he is taking care of them on behalf of someone else. You cannot take care of goods unless you know where they are and have the means of exercising control over them. Custody therefore implies knowledge of the existence and whereabouts of the goods and power of control over them, not amounting to possession. Control must be proved as a fact and it must arise from the relation of the person to the goods, irrespective of whether they are contraband. Probably the most helpful definition of possession is:- "The relation of a person to a thing over which he may at his pleasure exercise such control as the character of the thing admits, to the exclusion of other persons." This definition does not express, but it does imply that the meaning of the word includes some element of knowledge. A man must know of the existence of a chattel and have some idea of its whereabouts before he can exercise any control over it. The word possession therefore implies some knowledge but not necessarily full or exact knowledge." [33] Mengenai pembuktian pengetahuan, keputusan Mahkamah Persekutuan yang sering dirujuk ialah kes Parlan bin Dadeh v. Public Prosecutor [2009] 1 CLJ 717 yang memutuskan bahawa elemen pengetahuan boleh dilihat dari inferen atau kesimpulan fakta. Petikan yang dirujuk adalah seperti berikut: "Proof of knowledge is very often a matter of inference. The material from which the inference of knowledge can be drawn varies from case to case. It would be sufficient for the prosecution to prove facts from which it could properly be inferred that the accused had the necessary knowledge." [34] Manakala Mahkamah Persekutuan di dalam kes PP v Denish Madhavan [2009] 2 CLJ; [2009] 2 MLJ 194 memutuskan seperti berikut: “[17] The idea of exclusivity features in the meaning of ‘possession’ in criminal law as one of the elements necessary to constitute possession. As Taylor J said in Leow Nghee Lim v Reg [1956] MLJ 28: ... It is often said that ‘possession must be exclusive’. This is ambiguous. Possession need not be exclusive to the accused. Two or more persons may be in joint possession of chattels, whether innocent or contraband. The exclusive element of possession means that the possessor or possessors have the power to exclude other persons from enjoyment of the property. Custody likewise may be sole or joint and it has the same element of excluding others. The main distinction between custody and possession is that a custodian has not the power of disposal. The statement that ‘possession must be exclusive’ is often due to confusion of the fact to be proved with the evidence by which it is to be proved. It is essential to keep this distinction clearly in mind, especially when applying presumptions [19] Once the elements needed to constitute possession are established, including the element of exclusive power to deal, then what is established is possession, not exclusive possession.” [35] Berdasarkan nas undang-undang di atas, dapatlah disimpulkan bahawa “milikan” juga tidak bermaksud hanya milikan eksklusif. Ia merujuk kepada keupayaan pemiliknya untuk berurusan dengan dadah tersebut dan “power of disposal to the exclusion of others.” [36] Pihak pendakwaan bergantung kepada fakta berikut untuk membuktikan intipati-intipati pertuduhan- (a) Dadah dijumpai dan dirampas dari dalam bekas plastik berpenutup berwarna – (i) ungu bertulisan perkataan “Yokafo” di dalam bonet m/kar jenis Perodua Myvi warna biru nombor pendaftaran CDV4028; (ii) biru bertulisan “Diky Kushairi” di dalam bonet kereta jenis Perodua Myvi (Myvi) warna biru nombor pendaftaran CDV4028; (b) Menurut SP8 dan SP9, beliau melihat OKT meletakkan bekas plastik di dalam bonet kereta Perodua Myvi. (c) OKT mempunyai kawalan dan jagaan dadah berbahaya tersebut kerana beliau adalah orang terakhir yang memegang kunci kereta Myvi apabila SP5 di dalam keterangannya menyatakan OKT memberitahu kepada beliau bahawa pada 22.11.2021 OKT telah meletakkan kunci kereta yang diperoleh beliau daripada SP8 di bawah lantai mozek sebelum ke Ibupejabat Kastam pada 24.11.2021. Barang kes dadah dijumpai di dalam Kereta Myvi milik SP9 dan bukannya milik OKT [37] Pihak pendakwaan menghujahkan OKT mempunyai kawalan dan jagaan dadah berbahaya tersebut kerana beliau adalah orang terakhir yang memegang kunci kereta Myvi apabila SP5 di dalam keterangannya menyatakan OKT memberitahu kepada beliau bahawa pada 22.11.2021 OKT telah meletakkan kunci kereta yang diperoleh beliau daripada SP8 di bawah lantai mozek sebelum ke Ibupejabat Kastam pada 24.11.2021. [38] Sebagai pendahuluan, Mahkamah mengambil perhatian bahawa barang kes dadah tidak dijumpai bersama OKT. SP8, SP9 dan OKT merupakan rakan sekerja di Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) yang telah mengenali antara satu sama lain lebih kurang 3 tahun. SP9 yang merupakan suami pemilik kereta Myvi dan individu terakhir yang meletakkan kenderaan tersebut di kawasan tempat letak kereta JKDM dan juga merupakan suspek yang terlibat sama dengan kes pecah kontena barang kes JKDM. Oleh itu, Mahkamah perlu berhati-hati dalam menilai keterangan saksi-saksi pendakwaan kerana masing-masing mempunyai kepentingan di dalam kes ini. [39] Selain itu, Mahkamah juga berhati-hati untuk menerima keterangan ASP Mohd Husny bin Hussein (SP5), pegawai sebuan yang bukan merupakan pegawai Narkotik. Beliau adalah pegawai yang mengendalikan kes pecah kontena barang kes JKDM. [40] Daripada keterangan saksi pendakwaan dapatlah dilihat bahawa SP8 dan SP9 telah memberikan keterangan untuk mengaitkan OKT dengan barang kes. Antara soal balas pihak pembelaan ke atas SP9 mengenai duit dan barang peribadi yang dijumpai di dalam kereta Myvi SP9 adalah seperti berikut: : Saya katakan kamu cakap macam, barang salah Diky punya ini, sebab kamu nak selamatkan diri seorang sahaja sebab masa itu kamu pun suspek juga kes dadah ini, setuju? : Tidak setuju. : Kamu nak selamatkan diri kamu, kamu cakap kepada polis barang-barang salah ini Diky punya, betul? : Saya tidak cakap. : Saya katakan kamu telah berpakat dengan Izran (SP8) untuk mengenakan Diky dalam kes ini, setuju? : Tidak. Kunci kereta Myvi dipegang oleh SP8 dan SP9 [41] Mahkamah ini mendapati terdapat beberapa percanggahan keterangan saksi pendakwaan berkenaan dengan pegangan kunci kereta Myvi yang dikatakan pihak pendakwaan telah dipegang oleh OKT pada 22.11.2021 untuk mengaitkan OKT dengan kereta Myvi yang mana barang kes dadah dijumpai pada 25.11.2021. Mahkamah berpandangan bahawa sama ada OKT adalah orang terakhir yang memegang kunci kereta tidak material kerana isu yang kritikal adalah sama ada SP8 dan SP9 mempunyai akses kepada kereta Myvi berkenaan. [42] Menurut naratif kes mengenai kunci kereta Myvi, ia bermula pada 18.11.2021. Lebih kurang jam 1230 malam, SP9, dikatakan telah menyerahkan kunci kereta Myvi dan alat kawalan jauh kepada SP8 kerana SP9 dikatakan akan terlibat dengan operasi kastam di Sabah dari 18.11.2021 sehingga 21.11.2021. [43] Menurut SP9 kunci kereta diserahkan kepada SP8 bagi tujuan menyerahkannya kepada isteri SP9 sekiranya terdapat kecemasan semasa beliau bekerja luar daerah. [44] Namun begitu, SP8 pula semasa disoal balas oleh peguambela mengatakan kunci kereta diberikan oleh SP9 kepada beliau untuk memanaskan enjin kereta semasa SP9 bekerja di luar daerah. [45] Berdasarkan soal balas SP9 oleh peguambela, SP9 di dalam keterangannya memberitahu Mahkamah bahawa kereta Myvi diletakkan di pejabat untuk berteduh kerana tiada parking di kuarters yang beliau diami. Kereta Myvi tersebut jarang digunakan oleh SP9 kerana beliau membawa motor ke pejabat. [46] Percanggahan keterangan SP8 dan SP9 adalah ketara. SP9 merupakan pemilik kereta Myvi yang mana dadah dijumpai beserta dengan wang berjumlah lebih RM100,000 dan beberapa barang milik peribadi SP9 di dalam kereta SP9. Dalam hal ini, Mahkamah haruslah berhati-hati dalam menerima keterangan SP9 kerana Mahkamah berpandangan bahawa SP9 adalah seorang “interested witness” dalam konteks kes ini yang mempunyai kepentingan untuk mensabitkan OKT dengan barang kes dadah yang dijumpai di dalam kereta SP9. Berdasarkan kepada Law of Crimes oleh Ratanlal and Dhirajlal (2nd Edition) di muka surat 1455 yang dirujuk di dalam kes Mahkamah Rayuan PP v Thenegaran a/l Murugan [2013] 3 MLJ 328 menyebut: “Related” is not equivalent to ‘interested’. The term “interested’ postulates that the person concerned had some direct interest in the result of the litigation such as interest in decree in a civil case or seeing that the accused is punished.” [47] Mahkamah mendapati bahawa keterangan SP9 bahawa beliau berada di Sabah pada 18.11.2021 sehingga 21.11.2021 adalah juga diragui kerana percanggahan fakta tersebut dengan dokumen Memo Arahan Kerja Luar Kawasan (P36) yang dikeluarkan oleh En Mohd Supian bin Mohd Yaacob, Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam (SP6). Tarikh operasi sepertimana tercatat pada P36 ialah dari 14.11.2021 sehingga 18.11.2021. Pihak pendakwaan juga tidak mempertikaikan mengenai tarikh SP9 ditugaskan menjalankan operasi di Sabah pada 14.11.2021 sehingga 18.11.2021 sepertimana Memo P36. Dokumen P36 juga telah dicamkan oleh SP9. [48] Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama semasa pemeriksaan utama, SP9 dalam keterangannya pula mengatakan bahawa beliau berada di Sabah pada tarikh 18.11.2021 sehingga 21.11.2021. Semasa disoal balas oleh peguambela SP9 menyatakan bahawa Tuan Zul Muhammad, pegawai atasan beliau boleh mengesahkan beliau ke Sabah pada 18.11.2021. Namun begitu, pihak pendakwaan tidak memanggil saksi penting tersebut ke Mahkamah. [49] Pihak pendakwaan telah mengemukakan salinan phostat boarding pass SP9 (ID38) penerbangan balik SP9 dari Sabah pada 21.11.2021 bagi membuktikan keberadaan SP9 di Sabah. Memandangkan dokumen tersebut ditandakan sebagai ID, Mahkamah ini tidak mengambilkira ID38. Pihak pendakwaan juga gagal memberikan keterangan saksi lain yang dapat membuktikan bahawa SP9 berada di Sabah dari 18.11.2021. Oleh yang demikian, keterangan SP9 bahawa beliau menyerahkan kunci kereta Myvi kepada SP8 pada 18.11.2021 adalah diragui. Apabila keterangan SP8 dan SP9 diragui, Mahkamah ini berpandangan SP8 dan SP9 memegang kunci kereta Myvi dan mempunyai akses kepada kereta Myvi. [50] SP9 semasa disoal balas berhubung dengan kunci kereta Myvi yang dikatakan diserahkan oleh SP8 kepada OKT pada 22.11.2024 juga tidak nampak SP8 menyerahkan kunci keretanya kepada OKT. SP9 juga tidak dimaklumkan oleh SP8 bahawa kunci kereta Myvi diserahkan kepada OKT pada 22.11.2024 sepertimana dikatakan oleh SP9. [51] Dengan demikian, mengenai kunci kereta Myvi yang dikatakan di bawah kawalan dan jagaan OKT sepertimana dihujahkan oleh pihak pendakwaaan, Mahkamah telah meneliti secara keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan mendapati tidak ada keterangan yang membuktikan bahawa kereta Myvi adalah dalam kawalan dan jagaan OKT. Sebaliknya, apa yang jelas, SP8 dan SP9 mempunyai akses ke atas kereta Myvi kerana kunci berada dalam tangan mereka. SP9 juga semasa disoal balas oleh pihak peguambela dalam keterangannya di mahkamah mengatakan bahawa SP8 telah memegang kunci kereta Myvi selama 5 hari. [52] Oleh itu, bersandarkan kepada prinsip undang-undang yang mantap apabila terdapat dua versi yang bercanggah, Mahkamah perlu mengambil kira keterangan yang memihak kepada OKT (benefit of the doubt to the accused). Rujuk kes Ngu Chee Wui v. Public Prosecutor [2015] 9 CLJ 562; [2014] MLJU 1720. [53] Mahkamah mendapati tiada bukti yang menyokong SP5 apabila beliau memberi keterangan bahawa OKT memaklumkan beliau bahawa OKT telah meletakkan kunci kereta Myvi di bawah mozek sebelum ke JKDM pada 24.11.2021 kerana tidak disokong oleh sebarang bukti dan terdapatnya percanggahan keterangan yang diberi oleh saksi pendakwaan SP8 dan SP9 mengenai kunci tersebut. Bekas warna ungu dan biru gagal dicam oleh SP8 dan SP9 di Mahkamah [54] Pihak pendakwaan menghujahkan bahawa OKT adalah individu yang meletakkan barang kes dadah dalam bekas berwarna ungu dan biru di dalam kereta Myvi pada 18.11.2021. Akan tetapi, apa yang berlaku antara 18.11.2021 sehingga 25.11.2021 (tarikh OKT ditangkap untuk kes dadah), kunci berada dalam tangan SP8. Tidak ada bukti yang OKT memegang kunci kereta Myvi dalam tempoh tersebut. [55] Berbalik kepada naratif mengenai barang yang dikatakan disimpan oleh OKT di dalam kereta Myvi. Pada 18.11.2021 jam lebih kurang 1 pagi di kawasan tempat letak motor JKDM, ketika SP9 bersama SP8, OKT dikatakan telah datang dan meminta dibuka kereta Myvi milik SP9 untuk menyimpan barang. [56] Memandangkan kunci dipegang oleh SP8, beliau telah membuka kereta melalui alat kawalan jauh dan OKT meletakkan barang ke dalam kereta. [57] SP8 dan SP9 tidak bertanyakan apakah barang yang hendak diletakkan ke dalam kereta berkenaan. Ini menimbulkan keraguan kepada Mahkamah kenapa SP9 terutamanya tidak menanyakan barang yang ingin disimpan oleh OKT di dalam kereta milik SP9 itu sendiri. Alasan yang diberikan oleh SP9 beliau tidak menanyakan apakah barang tersebut kerana OKT adalah rakan sekerja beliau tidak dapat diterima oleh Mahkamah. [58] Mahkamah juga mendapati pihak pembelaan semasa menyoal balas SP9 telah bertali arus bertanyakan kepada saksi pendakwaan mengenai bekas barang yang berisi dadah berbahaya yang dikatakan ditumpang oleh OKT di dalam kereta Myvi. Terdapat juga satu peringkat semasa soal balas SP9 oleh peguambela, SP9 tidak menafikan bahawa beliau tidak nampak OKT meletakkan barang di dalam kereta Myvi kerana SP9 sudah beredar dari tempat letak motor JKDM kerana dikatakan hendak pulang untuk membuat persiapan ke Sabah. [59] SP8 dan SP9 gagal mengecam bekas barang yang dikatakan dipegang oleh OKT di Mahkamah sedangkan mereka berada berdekatan dan terdapat lampu jalan di tempat mereka berada. Saksi-saksi berkenaan mengecam bekas plastik melalui gambar apabila dirujuk oleh pihak pendakwaan di Mahkamah. [60] Tiada keterangan saksi lain yang dibawa oleh pihak pendakwaan yang membuktikan OKT berada di kawasan tempat letak motor JKDM pada 18.11.2021 pukul 100 pagi sepertimana dikatakan oleh SP8 dan SP9. Tiada juga saksi mata yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Semasa disoal balas oleh peguambela, terdapat CCTV berdekatan dengan tempat letak motor JKDM dan tidak ada rakaman CCTV yang dijadikan bukti oleh pihak pendakwaan untuk menguatkan pembuktiannya. [61] Adalah tidak munasabah bagi Mahkamah mengaitkan OKT dengan bekas plastik berkenaan hanya kerana tertera nama OKT di atas salah satu bekas plastik tersebut. SP5 sendiri mengakui semasa disoal balas adalah tidak munasabah atau sepertimana dikatakan oleh SP5 “pendek akal” bagi OKT meletakkan namanya di atas bekas berisi dadah berbahaya tersebut. Mahkamah juga mendapati tidak ada keterangan lain oleh saksi pendakwaan yang boleh mengaitkan bekas yang tertera nama OKT adalah sebenarnya milik OKT. Akses - kereta Myvi diletakkan di tempat terbuka dan pintu bilik pemandu tidak berkunci [62] Kereta Myvi diletakkan di tempat terbuka iaitu tempat letak kereta di hadapan bangunan pejabat Kastam yang mana ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja. [63] Kes ini tidak sepertimana kes duluan yang melibatkan tertuduh ditangkap bersama dengan dadah yang dibawa secara fizikal atau disimpan di dalam bilik atau rumah didiami tertuduh, atau di dalam kereta yang mana tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan. [64] Berdasarkan kepada fakta kes ini, barang kes dadah dijumpai di dalam kereta bukan milik OKT dan kereta tersebut diletakkan di kawasan tempat letak kereta terbuka di Jabatan Kastam yang mana boleh diakses oleh sesiapa. [65] Tidak dipertikaikan juga bahawa kunci kereta yang dijumpai oleh SP5 di bawah mozek terletak di cubicle yang mana pintu ke pejabat kawasan bilik pemandu boleh diakses oleh sesiapa. [66] Terdapat juga percanggahan dan keraguan Pernyataan Saksi SP5 dan juga keterangan beliau di Mahkamah apabila dikatakan OKT adalah orang terakhir memegang kunci kereta Myvi dan telah meletakkan kunci kereta di lantai mozek pada 24.11.2021 sebelum ke Pejabat Kastam pada 25.11.2021 sepertimana di dalam PSP5. [67] Berdasarkan naratif fakta kes ini, pada 24.11.2021 jam lebih kurang 3 petang, OKT bersama 3 rakan sekerja beliau ke IPD Sepang untuk dirakamkan percakapan berhubung kes pecah kontena. [68] OKT kemudiannya dimaklumkan oleh Pegawai Penyiasat ASP Mahafiz bahawa beliau bersama tiga yang lain akan ditahan reman untuk membantu siasatan kes pecah kontena barang kes Jabatan Kastam. [69] Pada tarikh 25.11.2021 jam lebih kurang 4.30 petang OKT dan 3 rakan sekerja bernama Mazli bin Jamil, Mohd Syahmir bin Mustafa dan SP8 telah dibawa oleh SP5 ke Bangunan Pejabat Kastam, Dengkil untuk tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut kes pecah kontena. [70] Semasa disoal balas oleh pihak pembelaan, SP5 dan SP10 mengesahkan bahawa mereka bersama pasukan SP5 pergi ke Bangunan Pejabat Kastam di Dengkil untuk tujuan siasatan kes pecah kontena dan bukannya dadah. [71] Semasa berada di Bangunan Pejabat Kastam, SP10 menjumpai kunci kereta Myvi, telefon bimbit dan alat kawalan jauh kereta di bawah lantai mozek. Apabila ditanya siapa pemilik barang-barang kes tersebut, SP9 yang merupakan pemilik kereta Myvi hanya berdiam diri. Melihatkan hal demikian, OKT telah memberitahu kepada SP5 telefon bimbit jenama i-Phone adalah telefon projek dan sebatang kunci kereta jenis Myvi di bawah lantai mozek milik SP9. [72] Namun begitu, tiada keterangan saksi pendakwaan yang melihat kejadian tersebut. Tambahan pula, pihak pendakwaan gagal membuktikan kaitan telefon tersebut dengan OKT. Tiada bukti OKT adalah pemilik telefon bimbit berkenaan dan tiada keterangan saksi pendakwaan yang membuktikan bahawa nombor telefon bimbit tersebut didaftarkan atas nama OKT. Tambahan pula, OKT merupakan seorang pembantu stor Jabatan Kastam yang tidak terlibat langsung dengan operasi penguatkuasaan kastam (projek) untuk OKT dibekalkan dengan telefon bimbit. [73] Mahkamah mendapati terdapat percanggahan keterangan saksi-saksi pendakwaan terutamanya SP5, SP8, SP9 dan SP10 berhubung dengan barang kes yang dijumpai di dalam kereta MyVi milik SP9. [74] Berdasarkan keseluruhan keterangan kes pihak Pendakwaan, Mahkamah mendapati pihak Pendakwaan tidak dapat mengecualikan orang lain selain OKT berkenaan akses ke atas kereta Myvi tersebut. Adalah menjadi kewajipan pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa selain dari OKT tiada orang yang mempunyai akses terhadap kereta tersebut. Oleh itu, pihak Pendakwaan gagal menyangkal terdapat pihak lain yang mempunyai akses kereta Myvi selain dari OKT. Merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Chan Wei Loon v PP [2021] 6 CLJ 623 telah memutuskan seperti berikut: “[93] The evidence laid down above pinpoints the access possibility by the third party to the ground floor. It is trite that the burden is on the prosecution to exclude access of the said ground floor by others to prove that the appellants were exclusively in custody and control of the dangerous drugs and the machines found on the ground floor. The prosecution had failed to establish such evidence when the onus is not on the defence to prove possibility of access by others, but on the prosecution to exclude such possibility. The burden of proving its case at every stage lies on the prosecution. The only task of the accused is to raise a reasonable doubt as to the truth of the prosecution's case. See: Mohan Singh Lachman Singh v. PP [2002] 3 CLJ 293; [2002] 3 MLJ 291.” Seksyen 27 Akta Keterangan 1950 tidak terpakai [75] Mahkamah juga mendapati dadah yang dijumpai dalam kereta Myvi bukan hasil pandu arah OKT sepertimana dinyatakan di dalam P31 yang dibuat oleh SP5 yang menyebut bahawa SP5 telah “dipandu arah oleh kedua-dua OKT”. Siapa yang dimaksudkan oleh seorang lagi OKT tidaklah diketahui. Mahkamah mendapati dadah yang dijumpai oleh SP5 dalam kereta Myvi bukannya hasil maklumat pengakuan oleh OKT dan dipandu arah oleh OKT di bawah seksyen 27 Akta Keterangan 1950 sepertimana dihujahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya. Sebaliknya, melalui keterangan SP9, beliau yang bergari dengan OKT telah diarahkan berjalan kaki menuju ke tempat letak kereta. Kemudian SP5 yang mengarahkan OKT menekan alat kawalan jauh dan SP5 yang menggeledah kereta Myvi. Hasil geledahan tersebut, barang kes dijumpai di dalam kereta Myvi. [76] Mahkamah ini berpandangan bahawa laporan polis P31 tidak boleh diterima bulat-bulat kerana tidak ada keterangan sokongan lain yang dapat menguatkan hujahan Timbalan Pendakwa Raya yang mana lokasi dadah dijumpai adalah hasil maklumat OKT. (Rujuk Herchun Singh & Ors v Public Prosecutor [1969] 2 MLJ 209; [1969] 1 LNS 52 and Balachandran v Public Prosecutor [2005] 2 MLJ 301; [2005] 1 CLJ 85). [77] Untuk seksyen 27 Akta Keterangan terpakai, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa OKT ada menyampaikan maklumat barang kes dan hasil maklumat tersebut pihak polis telah menemui dadah berbahaya. Rujuk Pang Chee Meng v PP [1992] 1 CLJ Rep 265; [1992] 1 CLJ 39. [78] SP5 dan SP10 semasa soal balas oleh pihak pembelaan, turut bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa OKT tidak pernah memberitahu polis dalam kereta Myvi ada dadah berbahaya. [79] Justeru, memandangkan OKT tidak pernah memberitahu SP5 mengenai keberadaan dadah dalam kereta Myvi maka seksyen 27 Akta Keterangan adalah tidak terpakai. Kredibiliti saksi polis – SP5 dan SP10 [80] Kredibiliti SP5 dan SP10 adalah juga diragui berkaitan kata-kata amaran di bawah seksyen 37B ADB 1952 yang dikatakan dibuat oleh SP5 dan disokong oleh SP10. Kedua-dua saksi ini telah memberi keterangan bahawa OKT telah dibacakan kata-kata amaran sejurus sahaja OKT tiba di Bangunan Pejabat Kastam. [81] Menurut keterangan SP5, sejurus sampai di Bangunan Pejabat JKDM, kata-kata amaran di bawah seksyen 37B ADB 1952 telah dibacakan kepada OKT dan 3 suspek lain. [82] Apa yang meragukan ialah kesahihan kata-kata amaran yang dibacakan sedangkan SP5 menyiasat kes rompakan kontena dan beliau juga bukan pegawai Narkotik untuk kes OKT yang melibatkan dadah. Bukan sahaja terdapat dua laporan polis berbeza, bahkan terdapat pegawai penyiasat yang berbeza bagi kes Narkotik dan kes rompakan kontena. [83] P31 yang dibuat oleh SP5 tidak menyebut SP5 ada membacakan kata-kata amaran kepada OKT. Namun, dalam Pernyataan Saksi SP5 dan SP10, kedua-kedua mereka telah menyatakan OKT telah dibacakan kata-kata amaran. [84] Apabila disoal-balas oleh pihak pembelaan, SP5 gagal membacakan kata-kata amaran menurut peruntukan seksyen 37B ADB 1952 di Mahkamah. Haruslah ditekankan di sini bahawa SP5 bukanlah seorang pegawai Narkotik dan kegagalan beliau untuk membaca kata-kata amaran tersebut adalah tidak mustahil kerana kurang pengalaman dalam mengendalikan kes Narkotik. [85] Mahkamah mendapati kata-kata amaran tidak dibacakan, keterangan SP5 dan SP10 bahawa OKT ada memaklumkan bahawa beliau yang telah meletakkan kunci kereta Perodua dan telefon bimbit jenama i-Phone X warna hitam di bawah lantai mozek adalah keterangan yang tidak boleh diterima. Rujuk PP v Tiong Wee Kiet [2018] 7 CLJ 716 yang mana Mahkamah Rayuan menyebut: “(1) … In the present case, there was no evidence of what caution was read and from where it was read. There was also no evidence of the exact words of the caution, and neither was there evidence that the caution was explained and if explained, what was the explanation like. A mere reading of the caution would not be sufficient. The consequences of the caution must be explained to the accused as the implication of the answers given after the caution was read was very crucial and could incriminate the accused person. Hence, the evidence of the conduct of the accused in leading the police to the Lorong Lada house and taking out the drugs from the drawer and showing them to the police officer would be inadmissible.” [86] Di samping itu, Mahkamah mendapati tiada saksi yang nampak OKT sendiri yang telah meletakkan telefon bimbit dan kunci kereta di bawah lantai mozek dalam bilik pemandu berkenaan. [87] OKT tidak cuba melarikan diri atau bergelut dengan pihak polis selepas SP5 menemui dadah berbahaya dalam kereta Myvi. Agak sukar untuk membuat inferen pengetahuan terhadap OKT dalam keadaan sedemikian. Oleh yang demikian, terdapat satu lompang terhadap kes pendakwaan mengenai elemen pengetahuan ini. OKT tidak mempunyai kawalan, jagaan dan pengetahuan mengenai barang kes dadah [88] Setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan, Mahkamah mendapati bahawa tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa dadah berbahaya yang dijumpai di dalam bonet kereta Myvi adalah sebenarnya dimiliki oleh OKT. Saksi-saksi pendakwaan iaitu SP5, SP8, SP9 dan SP10 adalah tidak kredibel. Terdapat keraguan yang munasabah mengenai keterangan saksi pendakwaan bahawa OKT memiliki dadah berbahaya di dalam bekas yang dijumpai oleh SP5. [89] Maka, elemen kedua intipati pertuduhan, kawalan, jagaan dan pengetahuan berkaitan dadah berbahaya yang dijumpai dalam bekas plastik gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Elemen ketiga: pengedaran [90] Bagi elemen pengedaran, pihak pendakwaan bergantung kepada berat dadah untuk menggunapakai anggapan pengedaran di bawah s.37(da) ADB 1952 kerana berat dadah melebihi berat minima yang diperuntukkan. [91] Walau bagaimanapun, memandangkan pihak pendakwaan gagal membuktikan intipati kedua pertuduhan, iaitu pihak pendakwaan gagal membuktikan OKT memiliki dadah berbahaya, intipati ketiga “pengedaran” juga gagal dibuktikan. Kes Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ telah diputuskan bahawa: “[6] It is trite law that possession is an important ingredient in the charge of trafficking. Unless there is direct evidence of trafficking, the Prosecution must prove the ingredient of "possession" and the trial judge must make an affirmative finding of "possession" before the presumption of trafficking under s. 37(da) of the Act can be invoked.” KESIMPULAN [92] Setelah meneliti secara keseluruhan keterangan dan membuat penilaian maksima ke atas keterangan-keterangan saksi dan bukti dokumen pihak pendakwaan yang telah dikemukakan, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan intipati kedua dan ketiga pertuduhan. Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie ke atas OKT bagi pertuduhan kesalahan di bawah seksyen 39B dan seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Oleh yang demikian, OKT adalah dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan keatasnya.