Dadah yang dirampas dari rumah yang disewa Perayu adalah dadah jenis Cannabis seberat 190,096 gram. [24] Di dalam laporan kimianya bertarikh 5 Mac 2020 (ekshibit P418), SP5 mengesahkan bahawa Cannabis adalah seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952. [25] Gan Bee Bee (SP7) yang merupakan pemilik rumah No. 46 Jalan USJ 13/3E, Subang Jaya mengesahkan bahawa Perayu merupakan penyewa rumah tersebut dengan perjanjian sewaan (ekshibit P427) selama dua (2) tahun bermula 1 Januari 2015 sehingga 31 Disember 2016 dengan kadar sewaan sebanyak RM1,450.00 sebulan. Menurut SP7, satu set kunci rumah tersebut diserahkan kepada Perayu melalui ejen hartanah iaitu Lee Hun Khuang (SP8). [26] SP8 telah mengemukakan surat tawaran penyewaan (ekshibit P428) dan mengesahkan bahawa rumah berada di dalam keadaan kosong melainkan hanya terdapat sebuah meja lipat yang lama di dalam rumah tersebut ketika ianya diserahkan kepada Perayu untuk penyewaan. SP7 dan SP8 mengesahkan juga tidak pernah melihat barang-barang kes ini di dalam rumah itu sewaktu ianya diserahkan kepada Perayu. [27] Mengenai kenderaan Naza Citra WRR 9130, pemilik kereta iaitu Hazmi bin Nor Zakaria (SP11), Nor Azhar bin Mohamad Nor (SP12) dan Tengku Ahmad Shazali bin Tengku Azhar (SP14) telah memberi keterangan di mana SP14 mengesahkan bahawa beliau telah menjual kenderaan tersebut kepada Perayu secara sambung bayar sebanyak RM839 sebulan. Namun tiada perjanjian jual beli kereta yang disediakan kerana ianya dibuat atas dasar kepercayaan. Ringkasan Pembelaan Perayu (SD1) [28] Perayu telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan memanggil seorang saksi iaitu Mohd Fariez bin Zainal Abidin (SD2). [29] Pembelaan yang dibangkitkan oleh Perayu adalah seperti berikut: ▪ Dilahirkan pada 27 Julai 1978. ▪ Kini berusia 44 tahun. ▪ Masih bujang. ▪ Perayu tinggal di alamat No. 63, Lorong Aman 2, Kampung Seri Aman, Puchong, Selangor bersama ibu, abang tiri dan adik kandungnya. ▪ Perayu ditangkap pada 12 Mac 2016 jam 3 petang di rumah alamat No. 46, Jalan USJ 13/3E, Subang Jaya, Selangor. ▪ Sebelum ditangkap Perayu tiba di Sungai Petani pada 10 Mac 2016 dengan menaiki bas express atas jemputan kawan karibnya sejak kecil bernama Mazlan bin Hussin (Mazlan) yang juga berasal dari Sungai Petani. Perayu telah mengenali Mazlan selama lebih kurang 35 tahun. ▪ Perayu berjumpa dengan Mazlan di stesen bas Sungai Petani. Mazlan datang mengambil Perayu dengan kereta WRR 9130 kepunyaan Mazlan. Perayu membantu Mazlan membeli kenderaan tersebut. ▪ Perayu tinggal di rumah Mazlan sehingga pagi 12 Mac 2016. ▪ Pada 11 Mac 2016, Mazlan maklumkan kepada Perayu bahawa beliau ingin pergi ke Kuala Lumpur kerana ada urusan perniagaan yang mustahak dan minta Perayu ikut dengan menaiki kereta WRR 9130. Mereka telah bercadang untuk bertolak pada 12 Mac 2016. Namun Mazlan tidak dapat ikut serta kerana isteri Mazlan telah dimasukkan ke dalam Hospital Sg Petani, lalu Mazlan meminta Perayu untuk memandu kereta WRR 9130 ke rumah No.46, Jalan USJ 13/3E Subang Jaya yang sebenarnya disewa oleh Mazlan. ▪ Perayu tiada keperluan untuk menyewa di rumah No.46, Jalan USJ 13/3E Subang Jaya kerana Perayu menetap di rumah keluarganya di Puchong. Atas permintaan Mazlan, Perayu hanya membantu Mazlan untuk menyewa rumah tersebut. ▪ Perayu diminta oleh Mazlan untuk membawa barang-barang Mazlan iaitu kain-kain wanita untuk disimpan di dalam rumahnya di No. 46, Jalan USJ 13/3E, Subang Jaya. Mazlan juga telah memberitahu Perayu bahawa dia telah mengisi boot kereta itu dengan kain-kain wanita yang dia telah beli dari Thailand untuk dijual di Kuala Lumpur. ▪ Perayu tidak mengetahui tempat tinggal Mazlan. ▪ Perayu tidak mengetahui mahu pun syak bahawa kandungan bungkusan yang diisi di dalam kereta tersebut mengandungi dadah. Perayu percaya barangan tersebut adalah kain yang dibeli oleh Mazlan dari Thailand untuk beliau menjalankan perniagaannya di Kuala Lumpur. ▪ Perayu tidak mempunyai pemilikan terhadap dadah yang dijumpai di dalam kereta dan didalam rumah di Subang Jaya. ▪ Dadah-dadah tersebut adalah kepunyaan Mazlan. ▪ Perayu telah ditipu dan dianiaya oleh Mazlan. Ringkasan Keterangan Mohd Fariez bin Zainal Abidin (SD2) • SD2 merupakan adik Perayu dan tinggal di Lot No.63, Lorong Aman 2, Kg Seri Aman, Puchong bersama dengan Perayu. • SD2 dimaklumkan oleh Perayu bahawa Perayu akan pergi berjumpa dengan kawan karibnya bernama Mazlan bin Hussin di Sungai Petani. • SD2 hanya tahu Mazlan menetap di Sg Petani namun beliau tidak tahu alamat rumah Mazlan. • SD2 pernah berjumpa dengan Mazlan bersama dengan Perayu. • SD2 tahu Mazlan berniaga beli jual kain dari Thailand ke Malaysia. Dapatan Mahkamah Tinggi Di Akhir Kes Pembelaan [30] Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana telah mengupas keterangan kes pembelaan dan menyimpulkan seperti berikut: [57] Berhubung dengan pembelaan OKT adalah seorang 'innocent carrier' di mana OKT menyatakan bahawa dia telah dianiayai oleh individu Mazlan bin Husin yang mana pada anggapannya barang yang dibawa adalah merupakan kain yang diminta oleh Mazlan untuk dibawa oleh OKT ke Kuala Lumpur. [58] Mahkamah perlu menilai sama ada penjelasan OKT menunjukkan satu kejahilan yang tulen bahawa OKT tidak mengesyaki kewujudan dadah berbahaya yang dalam milikannya serta alasan OKT bahawa dia telah diperdayakan oleh individu Mazlan bin Husin. [59] Mahkamah juga perlu menimbangkan isu "kebutaan sengaja" (wilful blindness) dalam menentukan pembelaan 'innocent carier'. [60] …. [61] OKT mempunyai peluang untuk memeriksan isi kandungan beg tersebut namun gagal berbuat demikian. Perlu terdapat syak wasangka yang munasabah untuk OKT memeriksa isi kandungan beg tersebut. [62] Namun tiada tindakan diambil oleh OKT untuk memeriksa beg-beg tersebut yang berisi dengan dadah Cannabis sebelum memulakan perjalanan daripada Sungai Petani ke Subang Jaya. Jumlah dadah adalah banyak dan adalah agak mustahil untuk OKT tidak mengetahui kandungan di dalam beg-beg tersebut. [63] Mahkamah berpendapat bahawa pembelaan 'innocent carrier' ini merupakan satu pembelaan 'afterthought' demi untuk menafikan pengetahuan berkenaan isi kandungan di dalam beg yang terdapat di dalam kereta tersebut. [64] OKT telah memberi 'Alcontra Notice' dan menyatakan bahawa dadah-dadah tersebut milik individu Mazlan bin Husin. Namun begitu tiada butir-butir lengkap individu tersebut diberikan kepada Pegawai Penyiasat semasa siasatan dijalankan. Notis tersebut adalah tidak lengkap dan sempurna. [65] Walaupun OKT mengakui Mazlan kawan karibnya namun dia tidak pasti nombor telefon, tidak ingat kad pengenalan dan butir pengenalan Mazlan yang lain. Persoalan di sini adalah sama ada Mazlan itu benar-benar wujud atau 'fictitious' sahaja. Adalah agak janggal bagi OKT yang telah mengenali Mazlan sejak zaman persekolahan namun tiada pengetahuan tentang alamat serta beradaannya. [66] Mahkamah telah memberi masa dan peluang untuk OKT mengesan individu tersebut namun begitu OKT masih tidak dapat mengesan serta tidak tahu di mana alamat terkini tempat tinggal individu tersebut. [67] Adalah menjadi kewajipan OKT untuk mengemukakan saksi tersebut sekiranya ia dapat membantu OKT di dalam pembelaannya. Setidak-tidaknya OKT boleh menyuruh ahli keluarganya atau SD2 untuk mengesan saksi tersebut pada awal kes pendakwaan. Namun telah gagal untuk berbuat demikian. [68] Bukanlah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk mengesan individu yang mana kewujudannya adalah dipertikaikan. lnferen di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan tidak terpakai terhadap pihak pendakwaan dalam keadaan sedemikian. [69] Merujuk kepada P4408(1-11) ia menunjukkan pergerakan OKT dari Sg. Petani ke Sg. Dua. Dalam transaksi pada 12.3.2016 dari Sg. Petani (U) ke USJ ini adalah dalam penggunaan OKT. Masa mula sentuh kad di Sg. Petani pada jam 11.47 pagi dan sampai di Kuala Lumpur lebih kurang jam 3.00 petang, di mana perjalanan yang tidak berhenti langsung dan adalah laju. [70] Merujuk kepada P440B(1-11), pada 5.3.2016, OKT berada di USJ ke Jalan Duta, pada 6.3.2016 menggunakan DUKE ke Batu Toi Plaza, selepas itu menggunakan lebuhraya ELITE, Jalan Duta ke USJ. Pada 6.3.2016 ada pergerakan dari USJ ke Juru, kemudian dari Juru ke Sg. Petani dan kemudian dari Sg. Petani ke Hutan Kampung, seterusnya ke Jitra. Pada 7.3.2016 ada penggunaan kad Touch N Go di Bukit Kayu Hitam, selepas itu Jitra ke Hutan Kampung dan kemudiannya ke Sg. Petani. lni adalah pergerakan dari 6.3.2016 hingga 7.3.2016. [71] Terdapat percanggahan keterangan di antara OKT dan SD2 yang mana ia menyebabkan keterangan pembelaan tidak kredibel dan diragui. OKT hanya membuat penafian semata-mata tanpa disokong dengan bukti-bukti keterangan sokongan. Jelas SD2 tiada pengetahuan tentang pergerakan OKT juga berkaitan dengan dadah-dadah yang terdapat di dalam kereta dan rumah tersebut. [72] OKT gagal menyangkal anggapan di bawah seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952 di atas imbangan kebarangkalian. OKT mempunyai milikan, kawalan dan jagaan terhadap dadah berbahaya sepertimana di pertuduhan pertama dan kedua. [73] Untuk pertuduhan pengedaran pula, dibuktikan bahawa berat dadah Cannabis adalah seberat 190,906 gram dan 155,462 gram di mana OKT ada kawalan dan jagaan terhadap Cannabis tersebut serta pengetahuan. [74] Versi pembelaan adalah penafian semata-mata dan meragukan. Tindakan OKT yang membawa dadah tersebut daripada Sungai Petani ke Subang Jaya memberi inferens bagi tujuan pengedaran sepertimana peruntukan di bawah seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952. OKT gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes pihak pendakwaan. [75] Keterangan saksi pendakwaan adalah jelas bahawa dadah-dadah tersebut diletakkan oleh OKT di dalam kereta serta di dalam rumah. Di sini, OKT mempunyai milikan dan pengetahuan tentang dadah dadah tersebut dengan tujuan untuk pengedaran. [76] Pihak pendakwaan gagal menyangkal anggapan 'milikan' terhadap dadah berkenaan oleh OKT di bawah seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada imbangan kebarangkalian. Juga gagal untuk menyangkal definisi pengedaran di bawah seksyen 2 Akta yang sama. [77] Selain daripada itu, OKT telah gagal menunjukkan dadah yang dirampas tersebut adalah untuk kegunaan sendiri tetapi sebaliknya dengan jumlah dadah berbahaya jenis Cannabis yang besar ini hanya membawa inferens bahawa ianya adalah bagi maksud pengedaran. [78] Pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan di mana pihak pendakwaan telah membuktikan kes di sebalik keraguan yang munasabah. Keputusan Kami [31] Walaupun terdapat beberapa isu-isu yang dibangkitkan di dalam Petisyen Rayuan Perayu, namun kami tidak berhasrat untuk mengupas setiap isu-isu yang diketengahkan. Ini adalah kerana terdapat keterangan-keterangan yang melimpah ruah yang dapat membuktikan bahawa Perayu mempunyai kawalan atau jagaan atau milikan serta pengetahuan terhadap dadah-dadah Cannabis yang dijumpai di dalam kereta dan di dalam rumah tersebut. Di antara keterangan-keterangan tersebut adalah seperti berikut: