Bagi maksud seksyen ini “pegawai perubatan” termasuklah setiap orang yang diambil bekerja oleh Kerajaan atau suatu badan berkuasa yang ditetapkan oleh undang-undang sebagai seorang pegawai perubatan atau sebagai ahli kimia. 7) Berdasarkan otoriti di atas, elemen-elemen yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan adalah: i) OKT telah menggunakan atau memberikan kepada diri sendirinya dadah berbahaya iaitu jenis Amphetamine dan Methamphetamine; dan ii) Amphetamine dan Methamphetamine yang dikesan dalam air kencing OKT merupakan dadah berbahaya yang ditetapkan di Bahagian III dan IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. BEBAN PEMBUKTIAN DI AKHIR KES PENDAKWAAN 8) Adalah undang-undang yang mantap bahawa beban pembuktian sentiasa terletak di atas pihak pendakwaan dan pihak pendakwaan memikul beban tersebut dalam membuktikan satu kes Prima Facie sepertimana diperuntukkan di bawah seksyen 173(f) Kanun Tatacara Jenayah. 9) Mahkamah Persekutuan dalam kes Balachandran v PP [2005]1CLJ85 dan kes PP v Mohd Radzi bin Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 telah menjelaskan maksud Prima Facie dan prinsip ujian penilaian maksima. Elemen Pertama Pertuduhan 10) Bagi elemen pertama, pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa air kencing dalam botol urin adalah milik OKT melalui keterangan SP1, SP2 dan SP5 sebagaimana diterangkan dalam fakta kes pendakwaan di perenggan 3 di atas. SP2 telah mengesahkan OKT yang memilih sendiri botol P4 yang baru, belum dibuka dan diganggu, dan sepanjang pengambilan urin oleh OKT sendiri telah disaksikan oleh SP1 dan SP2. 11) Pihak pembelaan berhujah bahawa rantaian keterangan sampul urin P5 adalah terputus apabila SP5 gagal mengemukakan sebarang bukti dokumentasi berkenaan penyimpanan P5 di dalam peti sejuk selepas SP5 menerima daripada SP2 dan sebelum menghantar ke Jabatan Kimia untuk analisa. 12) Berkenaan dengan isu ini, Mahkamah mendapati SP5 telah memberi keterangan di Mahkamah mengenai proses pengendalian botol urin P5 setelah terima daripada SP2 dan mengesahkan bahawa P5 telah disimpan di dalam peti ais berkunci yang mana hanya SP5 sahaja mempunyai akses pada peti ais tersebut. Keterangan SP5 yang telah diperiksa balas dan diuji oleh peguambela adalah konsisten dan tidak tergugat apabila dicabar. Kegagalan pengemukaan sebarang dokumen bertulis mengenai penyimpanan P5 di dalam peti ais tersebut yang bersifat sokongan tidak menyebabkan rantaian pengendalian P5 terputus. 13) Pihak pembelaan juga mencadangkan bahawa tandatangan pada botol urine P5 dan Borang UPD P12 adalah berbeza dan bukan tandatangan OKT. Pihak pembelaan juga mencadangkan bahawa tandatangan pada P5 dan P12 juga berbeza dengan tandatangan sebenar OKT. Akibatnya OKT telah mengambil langkah untuk membuat satu laporan polis D18 pada 12.03.2025. 14) Berkenaan dengan isu ini, Mahkamah mendapati SP2 sebagai pegawai pemungut sampel urin telah mengesahkan OKT menandatangani botol urin selepas memeriksa butiran di P5 dihadapannya dan pada hari kejadian semasa pengambilan sampel urin, hanya urin OKT sahaja diambil. SP2 tidak bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa OKT tidak tandatangan pada P5, malah menjelaskan bahawa SP2 telah tandatangan selepas OKT tandatangan dan OKT sebagai seorang polis, dan mengetahui tandatangan yang diturunkannya adalah secara rela hari tanpa paksaan. Mahkamah mendapati keterangan SP2 adalah konsisten dan tidak tergugat oleh pemeriksaan balas peguambela. 15) Berdasarkan penilaian Mahkamah, Mahkamah mendapati rantaian pengendalian botol urin P5 adalah tidak terputus, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa air kencing dalam P5 adalah milik OKT dan sepanjang proses pengendalian dari SP2, kepada SP5, kemudian diserahkan kepada SP3 dan SP4 untuk analisa adalah tidak tercemar, maka elemen pertama telah dibuktikan. Elemen Kedua Pertuduhan 16) Bagi elemen kedua, Mahkamah mendapati anggapan di bawah S.37(k) Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah terpakai di mana ujian yang dijalankan ke atas OKT adalah mematuhi peruntukan S.31A Akta Dadah Berbahaya 1952. 17) Pihak pembelaan telah membangkitkan bahawa P5 tidak disimpan dengan selamat setelah SP4 menerima P5 pada 2 April 2024, ujian hanya dijalankan pada 7 April 2024 dan laporan patologi hanya diperolehi pada 14 April 2024. 18) Berkenaan dengan isu ini, SP4 telah memberi keterangan bahawa setelah dia menerima P5 daripada SP3, P5 telah disimpan dalam peti sejuk makmal berkunci yang hanya SP4 sahaja mempunyai akses kepada botol urine tersebut. P5 disimpan pada suhu 2-8 celsius dan ini tidak akan menjejaskan kandungan dadah dalam P5 jika ada. SP4 juga menerangkan bahawa kepekatan dadah jenis ATS dalam sampel urin akan lebih stabil melebihi 21 minggu apabila disimpan pada suhu tersebut. 19) Dalam kes ini, P5 telah dismpan 5 hari sebelum SP4 membuat analisa. SP4 telah menyediakan laporan patologi P15 mengesahkan hasil analisa botol urin P5, urin tersebut mengandungi dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang tersenarai di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. 20) Dalam isu ini, Mahkamah mendapati SP4 yang merupakan Pegawai Sains Kimia Hayat yang berkelayakan dan sangat berpengalaman telah memberi keterangan secara konsisten bahawa dia telah menjalani ujian terhadap sampel P5 mengikut garis panduan yang ditetapkan maka pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan eleman pertuduhan. DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PENDAKWAAN 21) Secara keseluruhannya, Mahkamah mendapati tiada percanggahan material pada keterangan saksi-saksi pendakwaan dan rantaian pembuktian keterangan juga tidak terputus. 22) Berpandukan kesemua keterangan saksi Pendakwaan dan setelah menilai keterangan tersebut secara maxima serta kredibiliti semua saksi Pendakwaan, Mahkamah menggunapakai anggapan di bawah S.37(k) Akta Dadah Merbahaya 1952, mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh, maka OKT diminta untuk memasuki pembelaannya bagi pertuduhan S.15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 23) Mahkamah telah memaklumkan pilihan pembelaan kepada OKT dan OKT telah memilih untuk memberikan keterangan bersumpah. FAKTA PEMBELAAN 24) Pada peringkat Pembelaan, OKT telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah dan hanya seorang saksi dipanggil iaitu OKT sendiri. 25) Secara ringkasnya, OKT mengesahkan bahawa dia telah ditangkap di rumah pada hari kejadian dan dibawa ke Balai Polis Bukit Gambir untuk membuat saringan air kencing. OKT menyatakan semasa tangkapan, selain SP1, SP2 dan 2 orang anggota yang dinyatakan semasa kes pendakwaan, seorang anggota bernama Sarjan Zul turut hadir. 26) OKT mengesahkan bahawa dia yang memilih botol urin, dan memasukkan air kencingnya ke dalam botol urin serta nampak SP2 menjalani ujian menggunakan test strip serta dia dimaklumkan bahawa ujian adalah positif. Namun begitu, OKT menafikan dia tandatangan pada botol urin P5 dan juga borang UPD P12. 27) OKT telah membuat laporan polis D18 pada 12.3.2025 menyatakan tandatangan pada P5 bukan miliknya dan OKT telah kemukakan satu salinan dokumen pembelian rumah IDD9 bagi menunjukkan perbezaan tandatangannya. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PEMBELAAN 28) Apabila pembelaan dipanggil, OKT telah memberi keterangan secara bersumpah dan mendedahkan bahawa dia tidak menandatangani botol urin P5 dan borang UPD P12 sebagaimana cadangan diberikan semasa kes pendakwaan, maka keterangan tersebut bukan satu keterangan pemikiran kemudian dan Mahkamah harus mengambilkira pembelaan tersebut. Tugas Mahkamah adalah untuk menilai keseluruhan keterangan yang diberikan oleh pembelaan dan pihak pendakwaan. 29) Dalam isu ini, walaupun pembelaan tersebut bukan afterthought, Mahkamah mendapati keterangan OKT tersebut adalah bersifat penafian kosong tanpa disokong oleh sebarang keterangan saksi lain ataupun keterangan dokumen. Pembelaan penafian kosong tersebut gagal menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan. 30) Dalam kes ini, penafian OKT adalah bersandarkan bahawa dia telah membuat laporan polis D18 pada 12 Mac 2025. Dalam D18, OKT menyatakan dia telah semak dokumen S.51A Kanun Tatacara Jenayah yang diserahkan oleh TPR dan mendapati tandatangan pada P5 dan P12 bukan tandatangannya. 31) Mahkamah mendapati dokumen S.51A tersebut telah diserahkan kepada OKT seawal 20 Mei 2024 dan penerimaan dokumen disahkan oleh peguambela. Kes ini kemudiannya telah ditetapkan untuk bicara penuh pada 9 -11 September 2024 namun dijadual semula ke 26, 27 Februari dan 13 Mac 2025. Bicara pada 26 Februari 2025 terpaksa dilapangkan berikutan terdapat permohonan untuk Mahkamah ini menarik diri daripada mendengar kes ini daripada pihak pembelaan dan keputusan permohonan dan bicara penuh telah ditangguhkan ke 13 Mac 2025. 32) Berkenaan dengan isu ini, Mahkamah mendapati keterangan ini bersifat terkemudian dan rekaan semata-mata. Laporan polis D18 hanya dibuat pada 12 Mac 2025, jam 8.44 malam. Sekiranya benar tandatangan pada P5 dan P12 bukan miliknya, sudah pasti OKT yang merupakan seorang anggota polis akan membuat laporan polis seawal mungkin setelah menerima dokumen tersebut dan bukannya pada malam sebelum bicara dijalankan, kemudiannya mencadangkan kepada SP5 gagal menyiasat aduan OKT bahawa tandatangan pada P5 dan P12 bukan miliknya. 33) Selain itu, pihak pembelaan juga gagal menghantar salinan P12 atau P5 kepada pakar tulisan untuk analisa ketulenan tandatangan. Sebagai seorang anggota polis, OKT sepatutnya lebih mengetahui tatacara undang-undang berbanding orang awam. Adalah menjadi prinsip undang-undang yang mantap bahawa sebarang keterangan pemikiran terkemudian tidak boleh diterima dan hendaklah ditolak oleh Mahkamah, maka pembelaan OKT gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. 34) Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa sesuatu penafian tanpa keterangan sokongan daripada saksi merupakan satu penafian kosong. Mahkamah Persekutuan di dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2015] 2 CLJ 145 telah mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan: “The bare denial by the Respondent does not amount any doubt whatsoever.” Mahkamah Persekutuan selanjutnya menambah: “A mere denial does not amount to a credible defence.” Memandangkan tiada keterangan lain untuk menyokong keterangan OKT, ia kekal sebagai satu penafian kosong semata-mata. 35) Selepas Mahkamah menilai kesemua keterangan saksi dan keterangan dokumen bagi kes pendakwaan dan kes pembelaan, dan setelah meneliti hujahan-hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Pihak pembelaan juga gagal mengakas anggapan di bawah S.37(k) Akta Dadah Berbahaya 1952 di tahap imbangan kebarangkalian. 36) Mahkamah mendapati pembelaan OKT bahawa tandatangan pada botol urine bukan tandatangannya merupakan satu penafian semata-mata. Mahkamah juga mendapati keterangan OKT mengenai kehadiran Sarjan Zul merupakan satu keterangan yang terkemudian dan tidak pernah dicadangkan kepada mana-mana saksi pendakwaan. 37) Oleh itu, Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes melampaui keraguan munasabah. Mahkamah dengan ini mendapati OKT bersalah dan disabitkan atas kesalahan di bawah S.15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. MITIGASI, PEMBERATAN DAN HUKUMAN 38) Sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman, pihak pembelaan telah mengemukakan rayuan dan memohon satu hukuman denda yang paling minima dikenakan dengan mengambilkira faktor-faktor seperti berikut: i. OKT berumur 40 tahun, sejak dituduh pada 1.4.2024, dia telah digantung pekerjaan sebagai seorang lans koperal; ii. OKT terpaksa bekerja sawit dengan pendapatan RM100 sehari; iii. OKT pencari nafkah utama keluarga, perlu menanggung isteri yang merupakan seorang suri rumah dan ibu dan ayah berumur 60an; iv. OKT merupakan pesalah kali pertama, tiada rekod kesalahan sebelum ini dan menyesal akan perbuatannya. v. Sejak waktu tahanan reman, OKT telah beri kerjasama sepenuhnya pada polis 39) Bagi pihak pendakwaan, TPR telah memohon satu hukuman setimpal kepada OKT sebagai satu bentuk pengajaran agar OKT menyesali perbuatan dan tidak mengulangi pada masa datang, terutama kes-kes melibatkan najis dadah. Pihak pendakwaan juga memohon Mahkamah mempertimbangkan faktor bahawa OKT merupakan seorang anggota polis seharusnya menjadi contoh dan teladan pada rakyat serta mempertimbangkan faktor kepentingan awam. Perbicaraan penuh telah dijalankan seramai 6 orang saksi yang melibatkan kos dan masa semua pihak. 40) Mahkamah setelah menimbangkan rayuan OKT dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan, telah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 jika gagal bayar penjara 8 bulan dan OKT perlu menjalani pengawasan polis selama 2 tahun selaras dengan seksyen 38B(1) ADB 1952. 41) Dalam menjatuhkan hukuman tersebut Mahkamah ini telah mengambil maklum akan prinsip-prinsip dalam menjatuhkan hukuman. Adalah undang-undang yang mantap bahawa pertimbangan yang utama adalah terhadap kepentingan awam sebagaimana yang diputuskan dalam kes R v. Ball [1951] 35 Criminal Appeal Report 164. Mahkamah Rayuan dalam kes PP v. Morah Chekwube Chukwudi [2017] 1 LNS 864 telah menggariskan prinsip-prinsip hukuman yang akan menjadi faktor pemberat ataupun faktor pengurangan. 42) Faktor utama Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman hendaklah mempertimbangkan kepentingan awam, tanpa mengabaikan kepentingan peribadi OKT. Mahkamah hendaklah mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak sebelum menjatuhkan hukuman yang berpatutan. Hukuman yang dijatuhkan ini adalah bersifat pencegahan agar orang ramai dan OKT tidak terjebak dalam aktiviti dadah. 43) Mahkamah berpendapat hukuman ini tidak keterlaluan berat mengambilkira faktor mitigasi OKT, dan masih dalam ruang lingkup hukuman yang dibenarkan. Hukuman ini juga tidak terlalu ringan mengambilkira kepentingan awam yang perlu diutamakan. KESIMPULAN 44) Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap OKT sepertimana di dalam pertuduhan S.15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan OKT didapati bersalah dan disabitkan sepertimana di dalam pertuduhan ini. Mahkamah berpendapat hukuman yang dijatuhkan terhadap OKT bagi kesalahan tersebut adalah memadai, wajar dan selaras dengan peruntukan dan prinsip undang-undang. Bertarikh 8 OKTOBER 2025 LEE KIM KEAT MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET TANGKAK Bagi Pihak Pendakwaan: Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Timbalan Pendakwaraya … Puan Amirah binti Sapian Bagi Pihak Pembelaan: Tetuan Andrew & Associates No.5595, Taman CIPTACO Jalan Ayer Keroh 75450 Melaka. … Encik Sareveen