Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET TANGKAK DALAM NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM KES JENAYAH NO. JE-82D-7-10/2024 ANTARA PENDAKWARAYA … PENDAKWA LAWAN MOHD FARKHAN SHAH BIN JAAFAR SHAH …TERTUDUH ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN 1) OKT telah dituduh di bawah S.15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 seperti berikut: PERTUDUHAN “Bahawa kamu pada 17.09.2024 jam lebih kurang 6.20 petang, bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di dalam daerah Tangkak, di dalam negeri Johor dapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine. Dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah S.15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah S.15 (1) Akta yang sama. HUKUMAN Jika disabitkan hendaklah didenda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun penjara dan pengawasan di bawah S.38D Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama S.6 Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) selama tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada tiga tahun.” FAKTA KES PENDAKWAAN 2) Untuk kes pendakwaan, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 5 orang saksi seperti berikut: SP1 Pegawai Tangkapan dan Pegawai Pemungut Sampel Urin SP2 Pegawai Penghantar Specimen SP3 Juruteknologi SP4 Ahli Patologi SP5 Pegawai Penyiasat 3) Pihak Pendakwaan juga telah mengemukakan dokumen-dokumen berikut yang telah diterima oleh Mahkamah dan dijadikan sebagai eksibit Pendakwaan: P1 Pertuduhan Pindaan P2 (A) Sampul Botol Urin No. Siri: D0292023 P2 (B) Sampul Test Strip Meth P3 Botol Urin No. Siri: D0292023 P4 Laporan Polis Bukit Gambir/2072/24 P5 (A-G) 7 keping Gambar Tempat Kejadian P6 (A) Test Strip Meth P6 (B-F) Test Strip MOP/AMP/KET/THC/BENZO P7 (A-F) 6 keping Gambar Botol Urin P8 Laporan Polis Tangkak/4982/24 P9 Laporan Polis Tangkak/4983/24 P10 Laporan Polis Tangkak/4987/24 P11 Borang Permintaan Ujian Pengesanan Dadah Dalam Air Kencing P12 Borang Serah Terima Barang Kes Kepada Pegawai Penyiasat P13 1 keping Gambar Plastik Botol Urin & Test Strip P14 Borang Serah Terima Barang Kes Kepada Penghantar Spesimen P15 1 keping Gambar Box P16 Laporan Patologi No. Makmal: 10590616 P17 CD P18 Sijil 90A 4) Bagi kes pendakwaan, fakta yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah seperti berikut: “Pada 17.09.2024 jam lebih kurang 4.30 petang, SP1 bersama anggota dari BSJND IPD Tangkak telah membuat tangkapan terhadap OKT kerana memiliki dadah sepertimana laporan polis P4. SP1 telah membawa OKT bersama barang rampasan ke Pejabat Narkotik IPD Tangkak bagi tindakan selanjutnya. Pada jam lebih kurang 6.20 petang bertempat di Pejabat BSJND IPD Tangkak, SP1 telah menjalankan ujian saringan awal air kencing terhadap OKT. SP1 telah menerangkan prosedur ujian saringan awal air kencing terhadap OKT. OKT telah memilih sendiri satu sampul botol bernombor siri D0292023. SP1 telah mengarahkan OKT untuk mengoyak sendiri sampul plastik botol urin bernombor siri D0292023 tersebut dan mengeluarkan satu botol berpenutup bernombor siri D0292023 (selepas ini dikenali sebagai “botol tersebut”). SP1 mendapati botol berada dalam keadaan baik, bersih, tidak tercemar dan tidak terganggu. SP1 bersama-sama D/Kpl Jackson telah mengiringi OKT ke tandas di Pejabat Narkotik IPD Tangkak untuk mengambil sampel urin OKT. SP1 telah mengarahkan OKT untuk memasukkan air kencingnya ke dalam botol tersebut. SP1 telah melihat secara jelas OKT memasukkan air kencing ke dalam botol tersebut tanpa pandangannya terhalang. SP1 telah mengarahkan OKT untuk menutup semula botol tersebut dan SP1 telah mengiringi OKT kembali ke Pejabat Narkotik IPD Tangkak untuk menjalankan ujian saringan menggunakan test strip. telah mengambil enam sampul test strip iaitu MOP/METH/AMP/KET/CAN dan BENZO dan telah membuka sampul test strip tersebut. SP1 mengesahkan keadaan test strip berada dalam keadaan baik dan tidak tercemar. SP1 telah mengarahkan OKT membuka penutup botol tersebut dan meletakkannya di atas meja. SP1 telah menjalankan ujian saringan awal air kencing terhadap air kencing OKT dengan mencelup keenam-enam test strip ke dalam botol tersebut. Hasil ujian saringan awal terhadap sampel air kencing OKT tersebut telah mendapati air kencing OKT adalah positif Methamphetamine berdasarkan test strip METH yang berkeputusan positif. SP1 memaklumkan keputusan tersebut kepada OKT. SP1 telah mengarahkan OKT untuk menutup semula botol tersebut dengan ketat dan menyerahkan kepada SP1. SP1 telah silkan botol tersebut dengan menggunakan sil PDRM berpelekat warna biru pada botol urin dengan rapi dan selamat dan telah meletakkan meterai 179 PDRM. SP1 telah menulis butiran OKT dan butiran ujian yang dijalankan di atas label pelekat dan meminta OKT menandatangani label tersebut selepas memastikan butirannya adalah betul. juga telah menandatangani label tersebut. SP1 mengesahkan telah melekatkan label tersebut pada botol tersebut di hadapan OKT. SP1 kemudiannya telah menyediakan laporan polis P8 dan Borang UPD, P11 untuk ditandatangani oleh OKT. P11 telah ditandatangani oleh OKT di hadapan SP1. Pada tarikh yang sama, jam lebih kurang 7.00 petang, SP1 telah menyerahkan botol tersebut bersama barang kes lain sepertimana disenaraikan dalam P12 kepada SP5. SP5 mengesahkan telah menerima botol tersebut dalam keadaan baik dan sil pada botol tersebut juga berada di dalam keadaan baik, tidak terkoyak dan tidak diganggu. SP5 menyemak butir-butir pada label botol, akuan pemberi dan laporan polis dan telah mengesahkan butir-butir adalah sama. SP5 telah menyimpan botol tersebut di sebuah peti ais di Pejabat Narkotik IPD Tangkak yang mana hanya SP5 mempunyai akses kepada botol tersebut. Barang kes lain iaitu sampul botol, sampul test strip dan test strip telah disimpan di almari berkunci di pejabat SP5 di mana hanya SP5 mempunyai akses kepada barang kes tersebut. Pada 18.09.2024, SP5 telah mengeluarkan botol tersebut daripada peti ais dan telah menyerahkannya kepada SP2 sepertimana P14 untuk dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk dianalisa. SP2 mengesahkan semasa menerima botol daripada SP5, botol berada di dalam keadaan baik dan sil tidak diganggu dan bermeterai 179 PDRM. SP2 telah menyerahkan botol tersebut bersama borang UPD kepada SP3 di kaunter Jabatan Patologi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. SP3 telah mengesahkan penerimaan botol tersebut dan mengesahkan bahawa semasa penerimaan, botol dalam keadaan baik, bertutup rapat, bermeterai dan mempunyai isipadu yang mencukupi. SP3 telah menerima botol tersebut dan telah menurunkan tandatangan pada borang UPD, P11 dan menampalkan barcode makmal bernombor 10590616 pada penutup botol tersebut dan pada P11. SP3 kemudiannya telah menyerahkan botol tersebut dan P11 kepada SP4. SP4 telah mengesahkan penerimaan botol tersebut daripada SP3 dan semasa penerimaan botol, botol bersil dalam keadaan baik dan mempunyai isipadu yang mencukupi untuk dianalisa. Maklumat pada botol dan borang UPD adalah lengkap dan berpadanan. SP4 telah menjalankan analisa terhadap sampel urin OKT tersebut. Hasil analisa yang dijalankan oleh SP4 mengesahkan sampel urin OKT mengandungi dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine sepertimana yang terkandung di dalam Laporan Patologi, P16. Botol urin yang telah dianalisa dan laporan Patologi telah diserahkan semula kepada SP5 pada 23.9.2024.” PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG S.15(1)(a) AKTA DADAH BERBAHAYA DAN ELEMEN PERTUDUHAN 5) S.15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan seperti berikut: