Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: DA-12B-29-09/2024 ANTARA MOHD FIRDAUS BIN DOLLAH … PERAYU/PLAINTIF
DA-12B-29-09/2024
High Court of Malaysia6 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ch he considered fair and reasonable obviously based partly on oral testimony and partly using his own knowledge of Chinese funerals. The learned appellate Judge referred to sections 56 and 57 of the Evidence Act 1950. He said that the Act had laid down what the court can take judicial notice of and everything else mus”
“18. Dalam kes Commonwealth Shipping Representative v. P&O Branch Service [1923] AC 191 at p 212, Lord Sumner mengatakan: “Judicial notice refers to facts which a judge can be called to receive and to act upon either from his general knowledge of them, or from inquiries to be made by h”
“ikut: “Courts have even taken judicial notice that streets in London are crowded and dangerous - (Dennis v White [1916] 2 KB 1. atp 6); and of world-wide economic depression - (Ram Tarak v Selgranm [1944] AC 153).” **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 8”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: DA-12B-29-09/2024 ANTARA MOHD FIRDAUS BIN DOLLAH … PERAYU/PLAINTIF
1
MUHAMMADI BIN YUSOFF [Didakwa sebagai wakil diri/pentadbir pusaka yang sah kepada Muhammad Rahimi bin Muhammadi - si mati mengikut
2
MUHAMAD KHAIRUDDIN BIN AKRORAJIL … RESPONDEN-RESPONDEN/ DEFENDAN-DEFENDAN (DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KOTA BHARU) DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA SAMAN NO: DA-A53KJ-240-05/2021 ANTARA MOHD FIRDAUS BIN DOLLAH … PLAINTIF
1
DAN MUHAMMADI BIN YUSOFF [Didakwa sebagai wakil diri/pentadbir pusaka yang sah kepada Muhammad Rahimi bin Muhammadi - si mati mengikut
2
MUHAMAD KHAIRUDDIN BIN AKRORAJIL … DEFENDAN-DEFENDAN
1
Ini adalah rayuan perayu (plaintif) terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) yang bijaksana berkenaan kuantum sahaja bagi satu tuntutan gantirugi kemalangan jalan raya. Bagi maksud alasan penghakiman ini, pihak-pihak akan dirujuk sebagai plaintif dan defendan sebagaimana kedudukan mereka dalam prosiding di Mahkamah Sesyen.
2
Plaintif adalah seorang penumpang dalam sebuah kereta bernombor BGG 397 yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku pada 10.07.2015 lebih kurang pukul 5.00 petang. Semasa kejadian kereta tersebut dipandu oleh seorang lelaki yang bernama Muhammad Rahimi bin Muhammadi (si mati) yang telah meninggal dunia dalam kemalangan tersebut. Defendan pertama adalah bapa dan wakil diri kepada si mati tersebut dan juga merupakan majikan kepada plaintif semasa kejadian manakala defendan kedua pula ialah pemilik berdaftar kereta tersebut semasa kejadian.
3
Plaintif menuntut gantirugi am dan khas berkenaan kecederaan-kecederaan yang dia alami termasuklah gantirugi kehilangan pendapatan dan juga gantirugi kehilangan pendapatan masa depan.
4
Di akhir perbicaraan di Mahkamah Sesyen, HMS yang bijaksana telah memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan tuntutannya dan defendan-defendan adalah bertanggungan 100% terhadap kemalangan tersebut. HMS yang bijaksana juga telah mengawadkan gantirugi-gantirugi am dan khas sebagai mana yang dinyatakan dalam penghakimannya namun HMS yang bijaksana tidak membenarkan tuntutan gantirugi kehilangan pendapatan dan kehilangan pendapatan masa depan plaintif.
5
Tidak berpuas hati dengan keputusan HMS yang bijaksana tersebut, plaintif telah merayu ke Mahkamah ini berkenaan penolakan gantirugi kehilangan pendapatan dan kehilangan pendapatan masa depan sahaja. Defendan juga mengemukakan rayuan balas terhadap kuantum.
6
Mahkamah ini, setelah meneliti rekod-rekod rayuan, hujahan-hujahan serta autoriti-autoriti kedua-dua pihak telah membenarkan rayuan plaintif dan menolak rayuan balas defendan dan memerintahkan seperti berikut:
i
Keputusan HMS yang bijaksana yang menolak gantirugi hilang pendapatan plaintif diketepikan dan digantikan dengan perintah bahawa defendan-defendan membayar gantirugi hilang pendapatan kepada plaintif sebanyak RM64,800.00 (RM1,800.00 sebulan X 12 bulan X 3 tahun) beserta faedah sebagaimana penghakiman HMS;
II
(ii) Keputusan HMS yang bijaksana yang menolak gantirugi hilang pendapatan masa depan plaintif diketepikan dan digantikan dengan perintah bahawa defendan-defendan membayar gantirugi hilang pendapatan masa depan kepada plaintif sebanyak RM82,800.00 (RM600.00 sebulan X 12 bulan X 11.5 tahun).
III
(iii) Rayuan balas defendan ditolak;
IV
(iv) Semua award lain yang diberikan oleh HMS yang bijaksana dikekalkan; dan
v
Kos rayuan ini sebanyak RM3,000.00 dibayar oleh defendan-defendan kepada plaintif tertakluk kepada alokatur.
7
Defendan-defendan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini telah merayu kepada Mahkamah Rayuan. Isu gantirugi kehilangan pendapatan dan kehilangan pendapatan masa depan
8
HMS yang bijaksana telah menolak kedua-dua gantirugi tersebut atas alasan bahawa tiada sebarang keterangan dokumen yang telah dikemukakan oleh plaintif berkenaan pekerjaannya dengan defendan pertama dan juga berkenaan pendapatannya.
9
HMS yang bijaksana juga enggan mengambil notis kehakiman (judicial notice) berkenaan pendapatan tukang rumah kampung kerana beliau berpendapat bahawa perkara tersebut tidak termasuk dalam perkara-perkara yang boleh diambil notis kehakiman menurut s. 57 Akta Keterangan 1950.
10
Peguam defendan-defendan yang bijaksana telah menghujahkan bahawa, keputusan HMS menolak kedua-dua gantirugi tersebut adalah betul memandangkan tiada sebarang keterangan dokumen untuk menyokong keterangan plaintif berkenaan pekerjaan dan pendapatannya. Analisi dan dapatan Mahkamah
11
Keterangan plaintif (SP4) berkenaan pekerjaannya dan pendapatannya telah disokong oleh keterangan rakan sekerjanya (SP1) dan juga disokong oleh keterangan defendan pertama (SP3).
12
Secara ringkas, dalam keterangannya, plaintif mengatakan bahawa dia telah bekerja sebagai tukang rumah (tukang kampung) dengan defendan pertama sejak sebelum kemalangan lagi. Sebelum kemalangan, dia dibayar gaji sebanyak RM75.00 sehari. Plaintif tidak dapat bekerja selama 3 tahun selepas terlibat dalam kemalangan tersebut dan kemudiannya telah bekerja semula dengan defendan pertama dengan melakukan kerja-kerja ringan dan dibayar gaji sebanyak RM50.00 sehari. Gaji plaintif dibayar oleh defendan pertama secara tunai dan secara mingguan iaitu pada setiap hari khamis.
13
Secara ringkasnya, keterangan SP1 iaitu rakan sekerja plaintif yang bernama Rozidi mengatakan bahawa dia dan plaintif bekerja sebagai tukang dengan defendan pertama dan dibayar gaji sebanyak RM75.00 sehari. Gaji mereka dibayar secara tunai.
14
Defendan pertama (SP3) dalam keterangannya mengakui bahawa plaintif dan SP1 adalah pekerja-pekerjanya. Kedua-dua plaintif dan SP1 dibayar gaji sebanyak RM75.00 sehari dan dibayar secara tunai pada setiap hari khamis setiap minggu. Hari Jumaat adalah hari cuti. Defendan pertama juga mengatakan bahawa selepas kemalangan, plaintif tidak dapat bekerja selama lebih kurang 3 tahun dan defendan pertama tidak membayar gajinya dalam tempoh tersebut. Defendan pertama juga mengesahkan bahawa selepas 3 tahun tersebut, plaintif telah diambil bekerja semula dan dibayar gaji sebanyak RM50.00 sehari.
15
Berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan pagi pihak plaintif, Mahkamah ini mendapati bahawa HMS yang bijaksana telah terkhilaf apabila mendapati bahawa plaintif telah gagal membuktikan pekerjaan dan pendapatannya semata-mata kerana tiada keterangan dokumen walaupun terdapat keterangan lisan plaintif yang disokong oleh keterangan lisan SP1 dan pengakuan defendan pertama sendiri.
16
HMS yang bijaksana juga telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila menganggapkan bahawa beliau hanya boleh mengambil notis kehakiman terhad kepada perkara-perkara yang dinyatakan dalam s. 57 Akta Keterangan 1950 sahaja.
17
Berdasarkan senarai panjang autoriti-autoriti yang dikemukakan dan dirujuk oleh peguam plaintif yang bijaksana, adalah jelas bahawa Mahkamah boleh mengambil notis kehakiman dalam banyak perkara termasuk perkara-perkara yang menjadi amalan atau budaya setempat serta keadaan sesuatu tempat dan sebagainya. Mahkamah tidak hanya terikat untuk mengambil notis kehakiman dengan perkara-perkara yang dinyatakan dalam s. Akta Keterangan semata-mata.
18
Dalam kes Commonwealth Shipping Representative v. P&O Branch Service [1923] AC 191 at p 212, Lord Sumner mengatakan: “Judicial notice refers to facts which a judge can be called to receive and to act upon either from his general knowledge of them, or from inquiries to be made by himself for his own information from sources to which it is proper for him to refer.”
19
Dalam kes Lee Chow Meng v Public Prosecutor [1976] 1 MLJ 287 di ms 288, Hakim Abdul Hamid Omar (Beliau pada masa itu) mengatakan seperti berikut: “Courts have even taken judicial notice that streets in London are crowded and dangerous - (Dennis v White [1916] 2 KB 1. atp 6); and of world-wide economic depression - (Ram Tarak v Selgranm [1944] AC 153).”
20
Dalam kes Pembangunan Maha Murni Sdn Bhd v Jururus Ladang Sdn Bhd [1986] 2 MLJ 30, Syed Agil Barakbah SCJ mengatakan: “In so far as judicial notice is concerned, the provision of section 57 sub-s (1) makes it mandatory for the court to take judicial notice of … matter that are enumerated in sub-s (1)(a) to (o) of the section. The list is not exhaustive since it is impossible to make a really complete list…. The important point to note is that s 57 does not prohibit the courts from taking judicial notice of other facts not mentioned therein.”
21
Dalam kes Pang Ah Chee v Chong Kwee Sang [1985] 1 MLJ 153 Mahkamah Persekutuan mengatakan: “… The learned President awarded $2,000/- for funeral expenses which he considered fair and reasonable obviously based partly on oral testimony and partly using his own knowledge of Chinese funerals. The learned appellate Judge referred to sections 56 and 57 of the Evidence Act 1950. He said that the Act had laid down what the court can take judicial notice of and everything else must be proved. We think that section 57 of the Evidence Act merely set out matters which the court must take Judicial notice of and the list therein is not exhaustive and the court under section 56 of the Act may also take judicial notice of matters which are of common and general knowledge. In arriving at a reasonable and fair amount of compensation to be awarded, it was not wrong for the learned President to take judicial notice of Chinese funeral expenses and the fact that such expenses are normally incurred and only the amount would vary according to the status of the deceased or such other matters which may be considered by the court…”
22
Berdasarkan autoriti-autoriti di atas, mahkamah ini berpendapat bahawa HMS yang bijaksana boleh dan patut mengambil notis kehakiman bahawa pekerjaan sebagai tukang rumah kampung merupakan satu pekerjaan tradisi masyarakat khususnya di Negeri Kelantan yang mana ia merupakan pekerjaan atau kemahiran yang dimiliki oleh kebanyakan orang kampung. Kemahiran bertukang ini diwarisi dari satu generasi ke generasi melalui pengalaman kerja dan bukan melalui kursus kemahiran bersijil.
23
Di sesetengah tempat, khususnya di Kelantan bagi pembinaan atau pembaikian atau renovasi rumah-rumah persendirian dan rumah kampung, khidmat tukang-tukang rumah masih digunakan dan masih terdapat sesetengah tukang rumah yang bergaji hari dan dibayar secara tunai tanpa sebarang dokumen. Jika fakta ini diambil notis kehakiman oleh HMS yang bijaksana, ia tidak lagi perlu dibuktikan secara ketat menurut s. 56 Akta Keterangan 1950 yang memperuntukkan seperti berikut: “No fact of which the court will take judicial notice need be proved.”
24
Dengan hormat, Mahkamah ini juga berpendapat bahawa keterangan lisan pihak-pihak atau saksi-saksi mereka tidak sepatutnya ditolak mentah-mentah oleh hakim perbicaraan kerana s. 59 Akta Keterangan 1950 membenarkan suatu fakta dibuktikan secara keterangan lisan. Dalam kes ini keterangan lisan plaintif tersebut bukan sahaja tidak disanggah malah disokong oleh keterangan defendan pertama sendiri.
25
Adalah jelas bahawa keterangan defendan pertama yang telah diberikan dalam kes ini merupakan satu bentuk pengakuan (admission) oleh defendan pertama berkenaan fakta yang dikemukakan oleh plaintif dan fakta yang telah diakui oleh defendan pertama tersebut tidak perlu lagi dibuktikan menurut s. 58(1) Akta Keterangan 1950 yang memperuntukkan seperti berikut: “No fact need be proved in any proceeding which the parties thereto or their agents agree to admit at the hearing or which before the hearing they agree to admit by any writing under their hands, or which by rule of pleading in force at the time they are deemed to have admitted by their pleadings.”
26
Jika sekalipun HMS yang bijaksana tidak mengambil sebarang notis kehakiman berkenaan pendapatan plaintif, namun dengan adanya keterangan lisan plaintif yang disokong oleh keterangan SP1 dan defendan pertama sendiri, plaintif telah berjaya membuktikan pekerjaan dan pendapatannya di atas imbangan kebarangkalian.
27
Perkara yang paling penting untuk Mahkamah perbicaraan meneliti dan membuat dapatan fakta adalah, sama ada, daripada keseluruhan keadaan sekeliling suatu kes tersebut, keterangan yang diberikan oleh plaintif tersebut adalah munasabah atau tidak. Terdapat banyak autoriti-autoriti yang menunjukkan bahawa Mahkamah masih menerima keterangan lisan plaintif berkenaan pendapatannya walaupun tanpa keterangan dokumen selagi mana keterangan dan jumlah pendapatan tersebut adalah munasabah. Sebagai contoh, sekiranya plaintif mengatakan bahawa sebagai seorang buruh atau tukang rumah kampung, dia dibayar gaji antara RM200.00 hingga RM300.00 sehari dalam keadaan majikannya hanya merupakan tukang kampung yang hanya membina atau membaiki rumah-rumah kampung sahaja, sudah tentu keterangan tersebut adalah tidak munasabah dan tidak patut diterima. Tetapi dalam kes ini, upah atau gaji sebanyak antara RM50.00 dan RM75.00 sehari sebagai tukang kampung adalah munasabah. Isu rayuan balas defendan
28
Rayuan balas yang dikemukakan oleh defendan adalah berkenaan kuantum gantirugi yang telah diberikan oleh HMS yang bijaksana yang dikatakan terlalu tinggi dan berlebihan.
29
Mahkamah ini setelah meneliti rayuan balas defendan tersebut mendapati bahawa butir-butir rayuan balas tersebut adalah berkenaan perkara yang tidak terdapat dalam rayuan asal plaintif. Oleh itu defendan sepatutnya telah mengemukakan notis rayuan berasingan dan bukannya melalui atau secara notis rayuan balas sebagaimana dalam kes ini.
30
Mahkamah ini merujuk dan mengambil panduan daripada kes Kabushiki Kaisha Ngu V. Leisure Farm Corporation Sdn Bhd & Ors [2016] 6 MLRA 373 di mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seperi berikut: “[32] … The cross-notice on appeal is not of itself sufficient to set an appeal on foot, as it derives its validity from the appeal.…if any matter is to be raised by the respondent on appeal that is not in issue as a result of the appellant’s notice of appeal: a substantive appeal must be lodged by such respondent.”
31
Berpandukan kepada prinsip yang dinyatakan dalam kes Kabushiki Kaisha Ngu (supra) tersebut, Mahkamah ini memutuskan bahawa notis rayuan balas defendan-defendan adalah cacat. Oleh itu Mahkamah ini menolak rayuan balas defendan-defendan.
32
Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini telah membenarkan rayuan plaintif dan menolak rayuan balas defendan-defendan dengan kos. Alasan penghakiman ini bertarikh pada 08.09.2025. ……………………………………….. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Hakim Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu Kelantan Darul Naim. Peguam Perayu: En. Yusriman Bin Yusof, Tetuan Yusriman & Co, No.180-E, Taman Bakti, Cabang Tiga, Jalan Pengkalan Chepa, 16100 Kota Bharu., Kelantan. Peguam Responden-Responden: En. Vinod A/L R. Kamalanathan, Tetuan Vinod Kamalanathan & Associates, Suite 501, 5th Floor, Loke Yew Building, 4 Jalan Mahkamah Persekutuan, 50050 Kuala Lumpur.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.