Mohamad Izaudin bin Abd Wahab (No K/P: 900814115485) PENGHAKIMAN Latar belakang kes [1] Perayu pertama (Mohd Hanafi) dan perayu kedua (Mohammad Izaudin) yang menghadapi 8 pertuduhan secara keseluruhan telah dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di akhir kes pendakwaan dan dengan itu pihak pendakwaan telah merayu kepada Mahkamah Tinggi terhadap keseluruhan keputusan tersebut. [2] Ekoran daripada itu rayuan pihak pendakwaan atas pembebasan tersebut telah dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu ketika itu, yang memerintahkan agar perayu-perayu dipanggil untuk membela diri bagi kesemua pertuduhan. [3] Kes peringkat pembelaan telah dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang sama dengan berkesudahan perayu-perayu di sini disabitkan kesalahan bagi kesemua pertuduhan dan dijatuhkan hukuman. [4] Keputusan tersebut telah pula dirayu dan didengar oleh Mahkamah ini (Mahkamah Tinggi 1 Kota Bharu) yang berkesudahan dengan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas perayu-perayu bagi kesemua pertuduhan dikekalkan. [5] Tidak berpuas hati dengan keputusan yang diberikan di peringkat rayuan di Mahkamah Tinggi (1) Kota Bharu ini, pihak perayu-perayu kini mengemukakan rayuan ke peringkat Mahkamah Rayuan dan dengan itu disertakan di sini Alasan Penghakiman bagi keputusan tersebut. Pertuduhan dan hukuman [6] Pertuduhan yang dihadapi perayu-perayu di dalam rayuan ini adalah seperti berikut: DA-61JS-1-12/2020 Pertuduhan Pertama: “Bahawa kamu bersama-sama pada 4/12/2020 di antara jam lebih kurang 10.45 malam hingga 12.00 tengah malam di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, dalam Daerah Kota Bharu, dalam Negeri Kelantan, telah mencuba mendapat supaya dilakukan oleh Muhamad Farid bin Mat Zaid No. KPT: 000204-03-0253 satu perbuatan kelucahan melampau iaitu dengan mengarahkan penama untuk menghisap buah dada Nur Ain Asyikin binti Mohd Sahabuddin, No. KPT: 001226-03-1294, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 377D Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Akta yang sama.” Hukuman HMS: Setiap perayu dikenakan hukuman 8 bulan penjara dari tarikh hukuman dijatuhkan. Pertuduhan kedua “Bahawa kamu bersama-sama pada 4/12/2020 diantara jam lebih kurang 10.45 malam hingga 12.00 tengah malam di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, dalam Daerah Kota Bharu, dalam Negeri Kelantan, telah mencuba mendapat supaya dilakukan oleh Nur Ain Asyikin binti Mohd Sahabuddin, No. KPT; 001226-03-1294 satu perbuatan kelucahan melampau iaitu dengan mengarahkan penama untuk menghisap kemaluan Muhamad Farid bin Mat Zaid No. KPT: 000204-03-0253, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 377D Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Akta yang sama.” Hukuman HMS: Setiap perayu dikenakan hukuman 8 bulan penjara dari tarikh hukuman dijatuhkan. Pertuduhan ketiga: “Bahawa kamu bersama-sama pada 4/12/2020 di antara jam lebih kurang 10.45 malam hingga 12.00 tengah malam di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, dalam Daerah Kota Bharu, dalam Negeri Kelantan, dengan sengaja telah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Muhamad Farid bin Mat Zaid No. KPT: 000204-03-0253 iaitu satu bencana yang membolehkan penama dirujuk kepada Pejabat Agama jika tidak diserahkan duit kepadanya, dan dengan jalan demikian itu telah mendorong dengan curangnya Muhamad Farid bin Mat Zaid supaya menyerahkan kepada Mohd Hanafi bin Mohd Zaki, No. KPT: 851131-11-5347 suatu harta iaitu wang tunai sebanyak RM 1,250.00, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama. Hukuman HMS: Setiap perayu dikenakan hukuman 5 tahun penjara dari tarikh hukuman dijatuhkan. DA-61JS-2-12/2020 – ke atas Mohd Hanafi bin Mohd Zaki Pertuduhan pertama Bahawa kamu pada 4/12/2020 di antara jam lebih kurang 10.45 malam hingga 12.00 tengah malam bertempat di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic nombor pendaftaran VFG 1396 di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, dalam Daerah Kota Bharu, di dalam Negeri Kelantan, telah menggunakan kekerasan jenayah kepada Nur Ain Asyikin binti Mohd Sahabuddin, No. KPT: 001226-03-1294 dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan. Hukuman HMS: Perayu dikenakan hukuman 6 tahun penjara dari tarikh hukuman dijatuhkan dan 1 sebatan. Pertuduhan kedua Bahawa kamu pada 4/12/2020 di antara jam lebih kurang 10.45 malam hingga 12.00 tengah malam bertempat di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord nombor pendaftaran DAA 125 di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, dalam Daerah Kota Bharu, di dalam Negeri Kelantan, dengan maksud mengaibkan kehormatan Muhamad Farid bin Mat Zaid, No. KPT: 000204-03-0253 telah mengarahkan Muhamad Farid bin Mat Zaid untuk menanggalkan pakaiannya hingga bogel dan dengan itu telah mengganggu kesantunannya. Dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum di bawah seksyen 509 Kanun Keseksaan. Hukuman HMS: Perayu dikenakan hukuman 3 tahun penjara dari tarikh hukuman dijatuhkan. DA-61JS-3-12/2020 – ke atas Mohammad Izaudin bin Abd Wahab Pertuduhan pertama Bahawa kamu pada 4/12/2020 di antara jam lebih kurang 10.45 malam hingga 12.00 tengah malam bertempat di Jambatan Pak Nik Lah Pengkalan Chepa, dalam Daerah Kota Bharu, dalam Negeri Kelantan, dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Muhamad Farid bin Mat Zain, No. KPT: 000204-03-0253 iaitu dengan menumbuk belakang telinga kiri penama hingga lebam. Dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan. Hukuman HMS: Perayu dikenakan hukuman 6 bulan penjara dari tarikh hukuman dijatuhkan. Pertuduhan kedua Bahawa kamu pada 4/12/2020 di antara jam lebih kurang 10.45 malam hingga 12.00 tengah malam bertempat di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord nombor pendaftaran DAA 125 di kawasan tempat letak kereta Masjid As-Siddiqin Padang Tembak, Pengkalan Chepa, dalam Daerah Kota Bharu, di dalam Negeri Kelantan, dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan Nur Ain Asyikin binti Mohd Sahabuddin No. KPT: 001226-03-1294 untuk menanggalkan pakaiannya hingga bogel dan dengan itu telah mengganggu kesantunannya. Dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum di bawah seksyen 509 Kanun Keseksaan. Hukuman HMS: Perayu dikenakan hukuman 3 tahun penjara dari tarikh hukuman dijatuhkan. Pertuduhan ketiga Bahawa kamu pada 4/12/2020 di antara jam lebih kurang 10.45 malam hingga 12.00 tengah malam bertempat di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic nombor pendaftaran VFG 1396 di kawasan tempat letak kereta Masjid As-Siddiqin Padang Tembak, Pengkalan Chepa, dalam Daerah Kota Bharu, di dalam Negeri Kelantan, dan dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan tabii iaitu dengan memasukkan zakar kamu ke dalam mulut Nur Asyikin binti Mohd Sahabuddin No. KPT: 001226-03-1294 tanpa kerelaannya, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 377C Kanun Keseksaan. Hukuman HMS: Perayu dikenakan hukuman 10 tahun penjara dari tarikh hukuman dijatuhkan dan dikenakan 3 sebatan. Fakta ringkas kes Pendakwaan [7] Pada 4.12.2020, jam lebih kurang 10.45 malam kedua-dua mangsa iaitu SP2 sebagai pemandu dan SP3 sebagai penumpang telah berada di dalam sebuah kereta Honda Accord bernombor pendaftaran DAA 125 yang berhenti ditepi jalan. Kemudiannya datang sebuah kereta peronda polis yang dipandu oleh perayu kedua dan perayu pertama sebagai penumpang lalu polis berkenaan telah menyuluh kereta SP2 dengan lampu. [8] SP2 memandu keretanya dalam melarikan diri dan berhenti di Jambatan Pak Nik Lah. SP2 telah turun dari kereta dan dipukul oleh perayu kedua. Selepas itu kereta dinaiki SP2 dan SP3 dipandu oleh perayu pertama ke kawasan sebuah masjid. Di kawasan tersebut perayu pertama telah meminta duit dari SP2. SP2 hanya mempunyai RM 500 pada dirinya tetapi dikatakan sebagai tidak mencukupi. Cermin kereta SP2 telah dipecahkan. [9] Perayu pertama telah membawa SP2 ke sebuah mesin ATM untuk tujuan mengambil duit tetapi mesin tersebut sudah kehabisan wang. Semasa perayu kedua berada bersama SP3 di dalam kawasan letak kereta masjid, perayu kedua telah menyuruh SP3 berbogel dan SP3 telah membuka pakaiannya. [10] SP3 telah menghisap kemaluan perayu kedua kerana dipaksa oleh perayu kedua. Kemudian mereka telah ke kawasan kilang terbiar. SP2 secara seorang diri telah ke mesin ATM yang lain dan mengambil wang sebanyak RM 750.00. [11] Perayu pertama telah meraba payudara dan kemaluan SP3. Setelah SP2 kembali ke kereta wang RM 1,250.00 telah diserahkan kepada perayu pertama. SP2 juga disuruh berbogel dan SP2 disuruh menghisap payudara SP3 dan SP3 disuruh menghisap kemaluan SP2. Pasangan itu juga disuruh melakukan hubungan seks. [12] Laporan polis P8 dibuat oleh SP2 dan SP3 membuat laporan polis P20. Tugasan Mahkamah ini [13] Dengan adanya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu berkenaan peringkat akhir kes pendakwaan yang telah memanggil perayu untuk membela diri bagi kesemua pertuduhan, maka dapatan Mahkamah Tinggi ini tidak lagi tertumpu kepada pembuktian kes secara prima facie oleh pihak pendakwaan kerana suatu Mahkamah yang mempunyai “concurrent jurisdiction” tidak boleh mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi (2) tersebut. Ini jelas dinyatakan melalui keputusan Mahkamah Rayuan di dalam nas Azmi Osman v PP & Anor Appeal [2015] 9 CLJ 845 yang menyatakan: “With respect, we are of the view that the learned HCJ2 had erred when he disturbed the findings of the earlier HCJ1 who had ordered the accused to enter his defence to all the four charges, on appeal. The dominant issue that ought to guide the HCJ2’s mind in dealing with a situation that has now become this preliminary issue must of necessity be the fact that when the HCJ1 made that decision for the defence to be called, the latter was carrying out his appellate jurisdiction. Granted that the High Court jurisdiction is coordinate among its judges, inherent in that concept is the fact that a High Court Judge cannot overrule another High Court Judge who had made a decision at some crucial stage of proceedings in the same case. In the context of this appeal before us, the HCJ1 had ordered the accused’s defence to be called to answer to the four charges levelled against him. The jurisdiction to correct that purported error, said by the HCJ2 as having been committed by the HCJ1, lies with the Court of Appeal, should there be an appeal against the decision of the HCJ2. In other words, as much as the High Court Judge’s decision does not bind his brother or sister judge on the High Court bench, by the same token, neither does it lie with his brother or sister judge of the High Court to overturn his decision in the same case. In a situation now prevailing, the role of the HCJ2 is only limited to see whether the defence evidence as led has succeeded in creating a reasonable doubt in the prima facie case as found by the HCJ1 on appeal by the prosecution. With respect, this must be the preferred position as to what the proper approach ought to be, as was employed by the Court of Appeal in Sulaiman’s case (supra). Coordinate jurisdiction connotes parity and as such, it does not admit nor permit mutual overriding or overruling each other’s decision. Only a higher appeal court can disturb or vary or affirm a High Court’s decision.” (emphasis added) [14] Dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu tersebut bermakna kes prima facie telah berjaya dibuktikan bagi kesemua pertuduhan dan tugas Mahkamah Tinggi (1) Kota Bharu adalah untuk menilai samada kes pembelaan yang dibentangkan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Pendakwaan. Pembelaan perayu-perayu [15] Perayu-perayu merupakan rakan sekerja yang bertugas di cawangan kereta peronda polis di IPD Kota Bharu pada taikh kejadian bermula jam 3.00 petang sehingga 11.00 malam di kawasan G berdasarkan D52 (Jadual Penugasan) dimana perayu kedua sebagai pemandu dan perayu pertama di sebelahnya sebagai penumpang dalam kereta Honda Civic bernombor pendaftaran VFG 1396. [16] Pada lebih kurang pukul 10.30 malam, terdapat sebuah kenderaan yang mencurigakan berada di bahu jalan. Perayu pertama telah keluar menghampiri kenderaan tersebut. Perayu pertama telah melihat terdapat seorang lelaki iaitu SP2 melompat dari kerusi penumpang belakang ke kerusi depan/pemandu dan terus memecut kereta melarikan diri. Perayu kedua telah mengejar kenderaan tersebut sehingga kenderaan tersebut berhenti diperkarangan Masjid Panchor. [17] SP2 telah keluar dari kenderaan tersebut dan cuba untuk melarikan diri. Telah berlaku sedikit pergelutan dimana perayu kedua secara tidak sengaja telah tertampar kepala SP2. [18] Perayu pertama telah membuat pemeriksaan terhadap kenderaan Honda Accord tersebut dan mendapati seorang perempuan (SP3) yang berada dalam keadaan separuh bogel dibahagian belakang kereta tersebut. SP2 telah merayu sambil menangis untuk tidak membawa mereka ke balai kerana mereka belum berkahwin dan dengan itu bimbang diketahui keluarga. [19] Perayu-perayu telah menggunakan budibicara dengan menasihati dan melepaskan SP2 dan SP3. Selepas itu perayu-perayu telah balik ke balai untuk menyerahkan tugas kepada SP5 pada jam lebih kurang 11.00 malam dan seterusnya balik ke rumah masing-masing. Rayuan di Mahkamah Tinggi [20] Undang-Undang sedia ada telah memutuskan bahawa Mahkamah di peringkat rayuan tidak akan campurtangan untuk mengubah keputusan dari Mahkamah Bicara yang membicarakan kes berhubung perkara-perkara yang menyentuh dapatan fakta kerana dapatan fakta tersebut adalah hasil dari penilaian dengan teliti terhadap keterangan saksi-saksi di hadapan Hakim Bicara yang membicarakan kes itu dan beliau yang mempunyai kelebihan “audio-visual” adalah dalam kedudukan yang terbaik untuk membuat penemuan fakta tersebut. [21] Dalam nas Lai Kim Hon & Ors v PP (1981) 1 MLJ 84, Mahkamah Persekutuan mengatakan: “The principle of law governing appeals in criminal cases on questions of fact is well established, in that the Appeal Court will not interfere unless the balance of evidence is grossly against the conviction especially upon a finding of a specific fact involving the evaluation of the evidence of a witness founded on the credibility of such witness. In the instant case the learned trial judge very carefully analysed all the available evidence before him and made specific finding of fact founded upon that which he believed to be the truth. He also drew certain inferences from facts specifically found. In this respect we may form our independent view but we should only do so where the fact upon which the inference was drawn was either unwarranted or manifestly against the weight of evidence. That was not the case here.” [22] Dalam otoriti Public Prosecutor v Wan Razali Kassim (1970) 2 MLJ 79 pula diputuskan: “An appellate court should be slow to interfere with the finding of fact by a lower court as an appellate court does not have the advantage of seeing and hearing the witnesses and therefore of assessing their credibility.” [23] Dalam kes Herchun Singh & Ors. v Public Prosecutor (1969) 2 MLJ 209, dinyatakan, antara lain: “This view of the trial judge as to the credibiity of a witness must be given proper weight and consideration. An appellate court should be slow in disturbing such finding of fact arrived at by the judge, who had the advantage of seeing and hearing the witness, unless there are substantial and compelling reasons for disagreeing with the finding.” [24] Keterangan perayu-perayu semasa memberikan keterangan bersumpah dalam membentangkan kes Pembelaan hanya cuba menjelaskan tentang pertuduhan di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dikatakan berlaku secara tidak sengaja dan tidak langsung memberikan penjelasan ataupun “address” pertuduhan-pertuduhan lain yang dikemukakan ke atas mereka iaitu pertuduhan-pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan iaitu seksyen 377C, 2 pertuduhan di bawah seksyen 377D, seksyen 384, seksyen 354 dan 2 pertuduhan di bawah seksyen 509. [25] Dengan keadaan yang demikian Mahkamah Tinggi ini mendapati bahawa kes Pembelaan dikemukakan perayu-perayu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan-pertuduhan tersebut yang telah diputuskan sebagai dibuktikan secara prima facie oleh Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu sebelum ini. [26] Manakala untuk pertuduhan di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan, pembelaan yang dikemukakan bersifat penafian semata terhadap keterangan SP2 yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu sebagai saksi yang kredibel dan keterangan doktor iaitu SP9 tentang kecederaan yang dialami. [27] Terdapat kelewatan membuat laporan polis oleh perayu-perayu yang hanya dibuat 14 hari selepas laporan polis yang dibuat mangsa, yang hanya bersifat penafian setelah kedua-dua perayu dilepaskan dari reman. Mahkamah berpendapat ini menjadikan penafian tersebut bersifat “afterthought.” [28] Laporan polis yang dibuat juga gagal untuk “address” pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi perayu-perayu di bawah Kanun Keseksaan iaitu seksyen 377C, 2 pertuduhan di bawah seksyen 377D, seksyen 384, seksyen 354 dan 2 pertuduhan di bawah seksyen 509 dan kandungannya penuh dengan keraguan. [29] Versi dikemukakan perayu iaitu SP3 masih dalam keadaan separuh bogel semasa itu setelah dikejar selama 10 minit adalah amat diragui kerana dalam tempoh tersebut lebih dari cukup masa untuk SP3 berpakaian lengkap semula dengan perayu kedua sendiri mengakui dirinya boleh memakai pakaian lengkap dalam masa 3 hingga 4 minit sahaja. Tambahan pula Mahkamah tidak mempercayai SP3 masih membiarkan dirinya dalam keadaan separuh bogel dalam tempoh tersebut dan tentunya akan dengan seberapa segera memakai semula pakaiannnya dengan lengkap dalam situasi tersebut. [30] Versi perayu kedua bahawa terdapat provokasi oleh SP2 adalah tidak dapat diterima kerana tiada penjelasan oleh perayu kedua tentang apakah sebenarnya provokasi yang dilakukan oleh SP2 tersebut. [31] Hakim Mahkamah Sesyen di dalam Alasan Penghakimannya telah membuat pemerhatian tentang “demeanour” perayu kedua yang teragak-agak dalam memberikan jawapan semasa pemeriksaan balas. Bagi perayu pertama Hakim Mahkamah Sesyen juga membuat pemerhatian bahawa keterangan perayu pertama sentiasa berubah-ubah semasa pemeriksaan balas yang menunjukkan keterangannya adalah tidak konsisten. [32] Mahkamah juga berpendapat tiada langsung keperluan untuk SP2 dan SP3 mengenakan kedua-kedua perayu dengan mereka-mereka apa yang berlaku dengan pertuduhan-pertuduhan yang begitu serius kerana ianya hanya memalukan mangsa-mangsa sendiri kerana perlu membuat laporan polis, berhadapan dengan keluarga mereka dan seterusnya memberi keterangan di Mahkamah. [33] Tambahan pula jelas daripada keterangan, kedua-dua mangsa tidak mengenali kedua-dua perayu malahan kedua-dua perayu hanya dirujuk sebagai pemandu dan penumpang oleh kedua-dua mangsa yang menunjukkan kedua-dua mangsa tidak mengenali kedua-dua perayu. [34] Tiada juga keperluan untuk mengenakan kedua-dua perayu untuk membalas dendam kerana kedua-dua mangsa tidak pun diserahkan kepada pihak pencegah maksiat ataupun dilaporkan melakukan perbuatan tidak senonoh pada malam kejadian tersebut. [35] Tambah membuat versi kedua-dua perayu disangsikan adalah mengapakah tiada laporan dibuat oleh mereka kepada penyelia bilik kawalan jika benar berlakunya adegan kejar-mengejar yang berlanjutan untuk tempoh selama 10 minit sedangkan SD3 menyatakan semasa kes pembelaan ini perlu dilakukan. [36] Berdasarkan pertimbangan-pertimbangan tersebut Mahkamah ini membuat dapatan bahawa pembelaan perayu-perayu adalah semata-mata bersifat penafian dan “afterthought”. Hukuman [37] HMS telah mempertimbangkan mitigasi perayu pertama tentang umur, pekerjaan, keluarga dan hakikat perayu pertama tiada rekod lampau. Bagi perayu kedua, pertimbangan juga diberikan kepada faktor-faktor yang sama dalam menjatuhkan hukuman. Kepentingan awam dan keseriusan kesalahan juga menjadi pertimbangan Mahkamah. [38] Perayu-perayu di dalam kes ini adalah seorang anggota polis yang mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang namun perbuatan perayu-perayu jelas bertentangan dengan kehendak tugasan yang dipikul oleh mereka [39] Nas PP v Mohamed Nor & Ors [1985] 2 MLJ 200 menyatakan: “It is the established principle that an appellate court should be slow to interfere or disturb with a sentence passed by the court below unless it is manifestly wrong in the sense of being illegal or of being unsuitable to the proved facts and circumstances…” [40] Di dalam Bhandulananda Jayatilake v PP [1985] 1 MLJ 83 pula, dinyatakan: ‘the learned trial judge was justified in outweighing the plea of mitigation in favour of the public interest with a desire to uphold the dignity and authority of the law in this country.” [41] Mahkamah ini berpendapat kesalahan-kesalahan dilakukan perayu-perayu adalah amat serius kerana kedua-dua mangsa yang masih muda telah mengalami satu “misadventure” yang begitu “traumatic” pada malam tersebut akibat perlakuan kedua-dua perayu dan pengalaman ini boleh menjejaskan kepercayaan mereka dan juga keluarga mereka ke atas pihak polis pada masa hadapan. [42] Dengan itu Mahkamah ini berpuas hati bahawa hukuman yang dijatuhkan bagi kesemua pertuduhan adalah wajar dan tidak bersifat “manifestly excessive”. Kesimpulan [43] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang jelas bahawa tanggungjawab Mahkamah diperingkat rayuan adalah sepertimana ditetapkan di dalam Sivalingam a/l Periasamy v Periasamy & Anor (1995) 3 MLJ 395 dalamana diputuskan: “It is trite law that an appellate court will not readily interfere with the findings of fact arrived at by the trial court to which the law entrusts the primary task of evaluation of evidence. However, the appellate court has a duty to intervene where a trial court has misdirected itself, that one may say that no reasonable court which had properly directed itself and asked the correct questions would have arrived at the same conclusion.” [44] Mahkamah ini telah mengambilkira nas tersebut dan setelah mengambilkira dapatan Hakim Mahkamah Sesyen didapati tiada kekhilafan telah dilakukan dari segi undang-undang dan fakta dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen. Dengan itu Mahkamah diperingkat rayuan memutuskan bahawa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen mensabitkan perayu-perayu atas kesemua pertuduhan adalah selamat dan perlu dipelihara. Dengan itu rayuan-rayuan ini ditolak dengan hukuman penjara dan sebatan adalah dikekalkan. Bertarikh: 5 Februari 2025. AZMI BIN ABDULLAH HAKIM MAHKAMAH TINGGI MAHKAMAH TINGGI KOTA BHARU PEGUAM Perayu: Amnach A/L Ee Niam Tetuan Amnach & Co Peguambela & Peguamcara No. 106, Tingkat 2, Kompleks Perniagaan Sultan Abdul Hamid, Persiaran Sultan Abdul Hamid, 05050 Alor Setar, Kedah Darul Aman. Responden/Pendakwaan: Khairul Anuar bin Wahab Timbalan Pendakwa Raya Cawangan Pendakwaan Kelantan, Tingkat 3, AG-03-03, Al-Waqf Garden Boulevard @ Tunjong, Jalan Kuala Krai, Bandar Baru Tunjong, 16010 Kota Bharu, Kelantan.