Penerimaan keterangan SP1 ini juga bukan dibuat sebegitu sahaja tetapi selepas HMS mengambil pertimbangan bahawa terdapat percanggahan keterangan SP1 yan tersebut dengan keterangan yang lain. Namun pada akhirnya, HMS tidak menyifatkan percanggahan tersebut sebagai material seperti mana yang diputuskan HMS dalam petikan berikut: “[13] Menurut SP1, mendiang mula mengenali Defendan pada lebih kurang tahun 2016 dan mereka kerap berjumpa sama ada di Johor Bahtu ataupun di Kuala Lumpur. Pada 15.12.2017, SP1 telah datang ke rumah mendiang di No 55 Jalan Tarom, 80100 Johor Bahru. SP1 menyaksikan bahawa mendiang bapanya telah memberikan wang sebanyak RM200,000.00 secara tunai kepada Defendan. Rakan mendiang iaitu mendiang Ramachandran A/L Kaniappan (K. Ramachandran) turut sama menyaksikan transaksi pemberian/penyerahan wang tersebut. Berkenaan kemampuan kewangan mendiang, Mahkamah mendapati bahawa mendiang merupakan seorang usahawan yang menjadi pengasas, pengarah dan pemegang saham kepada syarikat-syarikat BJ Granite Sdn Bhd, BJ Quarry Sdn Bhd dan BJ Logistics Sdn Bhd. Sumber kewangan mendiang adalah daripada syarikat-syarikat tersebut contohnya Syarikat BJ Quarry Sdn Bhd yang mengendalikan kerja-kerja kuari dan perlombongan serta banyak menggunakan transaksi tunai setiap hari. Justeru itu, Mahkamah berpendapat adalah tidak mustahil bagi mendiang untuk mempunyai wang tunai dalam jumlah yang banyak dalam sesuatu masa seterusnya berkemampuan atau mempunyai kapasiti bagi memberikan pinjaman kewangan kepada Defendan. SP1 dan mendiang K.Ramachandran merupakan saksi mata yang menyaksikan transaksi pemberian wang sebanyak RM200,000.00 oleh mendiang kepada Defendan pada 15.12.2017. Defendan pula tidak hadir memberikan keterangan di Mahkamah bagi menyangkal keterangan tersebut. Oleh yang demikian, Mahkamah berpendapat bahawa wujud pemberian wang berjumlah RM200,000.00 oleh mendiang kepada Defendan pada 15/12/2021.” “[14] Seterusnya, pada 8.1.2018, mendiang telah mengarahkan SP1 untuk mengeluarkan cek-cek tunai untuk mendiang sebagai wang pendahuluan Pengarah bagi BJ Quarry Sdn Bhd dengan jumlah sebanyak RM165,000.00, bagi pemberian wang kali kedua kepada Defendan. (6 keping cek tunai dengan No. Cek CIMB 998619, CIMB 998622, CIMB 998623, CIMB 998624 dan CIMB 998625 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM165,000.00 dari syarikat BJ Quarry Sdn Bhd dirujuk). SP2 merupakan pekerja yang diamanahkan oleh syarikat BJ Quarry untuk mengeluarkan wang tanpa pengesahan lanjut setiap kali cek perlu ditunaikan. Dalam keterangannya, SP2 menyatakan bahawa beliau yang mengeluarkan wang sebanyak RM165,000.00 pada 8.1.2018 dan menyerahkan wang tersebut kepada mendiang. Terdapat percanggahan keterangan di antara SP2 dengan keterangan saksi sapina dari CIMB Bank (SP5). SP2 menyatakan bahawa beliau yang mengeluarkan wang sebanyak RM165,000.00. SP5 pula menyatakan bahawa pengeluaran cek-cek tunai sebanyak RM165,000.00 pada 8.1.2018 telah dikeluarkan kepada dua individu iaitu kepada SP2 dan Ramachandran A/L Kaniappan pada masa yang sama. Dari imej-imej cek yang dibawa SP5, sejumlah RM15,000.00 telah dikeluarkan oleh SP2 manakala Ramachandran telah mengeluarkan wang sebanyak RM150,000.00. Berkenaan percanggahan keterangan di antara SP2 dan SP5, Mahkamah ini berpendapat bahawa percanggahan tersebut tidak menjejaskan kes pihak Plaintif kerana telah disahkan oleh SP5 dan terdapat bukti bahawa sememangnya terdapat pengeluaran wang sebanyak RM165,000.00 dari akaun syarikat BJ Quarry pada 8.01.2018. Berkenaan isu bahawa wang yang diberikan kepada Defendan sebanyak RM200,000.00 sedangkan cek-cek tunai yang dikeluarkan hanya berjumlah RM165,000.00. Mahkamah menerima penjelasan daripada SP1 yang mana baki RM35,000.00 adalah wang tunai yang berada dalam simpanan mendiang. Mengambil kira bahawa mendiang telah memberikan wang tunai sebanyak RM200,000.00 kepada Defendan pada 15.12.2017, Mahkamah ini berpendapat adalah tidak mustahil bagi mendiang mempunyai wang simpanan tunai sebanyak RM35,000.00 pada 8.1.2018 untuk menjadikan jumlah wang tunai yang diberikan kepada Defendan adalah sebanyak RM200,000.00. [15] SP1 menyatakan bahawa pemberian wang kali kedua oleh mendiang kepada Defendan pada 8.1.2018 dengan jumlah sebanyak RM200,000.00 telah disaksikan oleh SP1 dan mendiang Ramachandran yang hadir di rumah mendiang semasa pemberian wang tersebut. Mendiang Ramachandran A/L Kaniappan telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 27.3.2019 yang turut mengorbankan mendiang Tan Sri Balakrishnan. Sijil kematian Ramachandran A/L Kaniappan adalah sebagaimana dokumen di muka surat 30 Ikatan Dokumen Plaintif. Disebabkan mendiang Ramachandran telah meninggal dunia, beliau tidak dapat dipanggil bagi memberikan keterangan di Mahkamah. [16] Dari keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah ini berpendapat bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa mendiang telah menyerahkan wang dengan jumlah sebanyak RM400,000.00 secara tunai kepada Defendan pada tarikh 15.12.2017 dan pada 8.1.2018.”