1
OKT telah dipertuduhkan bagi satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“Akta 234”) kerana mengedar dadah berbahaya iaitu dadah Cannabis seberat 49,598.3 gram.
KA-46A-1-03/2023
High Court of Malaysia25 Nov 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“OKT. Bagi perkara ini terdapat dua perkara utama iaitu berkaitan jagaan serta kawalan dan selanjutnya berkaitan elemen pengetahuan. Ini bersandarkan kepada kes-kes duluan seperti Chan Pean Leon v PP [1956] MLJ 237, Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 4 CLJ 113 dan Romi Amora Amir v PP [2011] 1 CLJ 870. [13] Berdasarkan”
“an hukuman mati, dihukum sebat tidak kurang daripada dua belas sebatan. Ini bermakna, budi bicara diberi sepenuhnya kepada Mahkamah untuk menentukan pilihan hukuman (rujuk: Loh Hock Seng & anor v. PP [1979] CLJU 48; [1979] 1 LNS 48; [1980] 2 MLJ 13 dan DA Duncan v. PP [1980] CLJU 12; [1980] 1 LNS 12; [1980] 2 MLJ 195).”
“82] 2 MLJ 324, Hakim Yusoff Mohamed menyatakan: “A mere denial without other proof to reasonably dislodge the prosecution's evidence is not sufficient.” [65] Manakala di dalam kes D.A. Duncan v. PP [1980] CLJU 12; [1980] 1 LNS 12; [1980] 2 MLJ 195, Hakim Raja Azlan Shah HMT (pada ketika itu) pula menyatakan: “Now this”
“s fanciful for the accused to take the jacket without knowing the contents thereof.” [64] Bagi Mahkamah, pembelaan OKT langsung tidak bermerit dan ia tidak disokong. Di dalam kes PP v. Ling Tee Huah [1980] CLJU 212; [1980] 1 LNS 212; [1982] 2 MLJ 324, Hakim Yusoff Mohamed menyatakan: “A mere denial without other proof”
“ak terjumlah kepada satu keraguan yang munasabah. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 29 [63] Di dalam kes Rosenizam bin Maharam v. PP [2002] CLJU 260; [2002] 1 LNS 260; [2003] 5 MLJ 49 telah dibincangkan berkaitan penafian semata-mata seperti berikut: “Bare”
“980] 1 LNS 12; [1980] 2 MLJ 195). [72] Budibicara Mahkamah ini di dalam menjatuhkan hukuman turut dibincangkan oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini di dalam kes PP v Robin Radjnaini Saih @ Amjan Patta [2024] CLJU 1597 melalui penghakiman Hakim Wong Kian Kheong HMR yang telah menyatakan pandangan bahawa doktrin “rarest of”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
1
OKT telah dipertuduhkan bagi satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“Akta 234”) kerana mengedar dadah berbahaya iaitu dadah Cannabis seberat 49,598.3 gram.
2
Seramai 4 orang saksi telah dipanggil oleh Pendakwa Raya (PR) dan secara ringkasnya keterangan yang dikemukakan adalah seperti berikut: a) pada 12/10/2022, jam lebih kurang 8.30 malam, SP2 bersama pasukan telah melihat sebuah kereta Toyota Unser berwarna keemasan dan bernombor pendaftaran AER 579 (kereta tersebut), memasuki laluan masuk lorong hadapan pasaraya Alor Setar Mall dan berhenti di tepi lorong berdekatan petak parkir. SP2 nampak seorang lelaki Melayu (OKT) turun dari bahagian pemandu dan berada di sisi sebelah kanan kereta berdekatan dengan tayar hadapan sebelah kanan; b) SP2 dan anggota telah menghampiri OKT dan telah menahan OKT memperkenalkan diri sebagai polis. OKT kelihatan gelisah dan cemas dan SP2 telah mematikan enjin kereta tersebut; 3 c) SP2 mendapati cermin tingkap bahagian pemandu dan penumpang hadapan adalah di dalam keadaan terbuka sepenuhnya; d) SP2 telah menjalankan pemeriksaan di dalam kereta dan telah menjumpai di atas kerusi penumpang hadapan, satu beg plastik merah dan di dalamnya mengandungi 10 balutan plastik lutsinar yang kesemuanya berisi ketulan mampat tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis Cannabis; e) pemeriksaan lanjut di dalam kereta telah menjumpai di atas kerusi penumpang bahagian belakang, empat beg plastik merah yang setiap satunya mengandungi 10 balutan plastik lutsinar kesemuanya berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah Cannabis. Tiada barang lain yang ditemui di atas kerusi; dan f) SP2 turut mendapati bau Cannabis berdasarkan pengalaman tugasan beliau.
3
Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan adalah sepertimana yang telah dinyatakan di bawah seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”) iaitu untuk menentukan berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang kredibel wujudnya satu kes prima facie.
4
Mahkamah berpandukan kepada 2 kes utama berkaitan prima facie iaitu kes kes Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 85 dan kes PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457. Mahkamah dengan ini merumuskan bahawa di akhir kes pendakwaan bermakna Mahkamah ini hendaklah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan termasuk menilai kredibiliti keterangan-keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan. Mahkamah sedar jika terdapat lebih dari satu inferens yang boleh dibuat, maka Mahkamah perlu memberi kelebihan kepada inferens yang memihak kepada OKT.
5
Berpandukan kepada kes Muhammad Lukman Mohamad v PP [2021] 7 CLJ 524 elemen yang perlu dipenuhi bagi satu kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 39B Akta 234 adalah seperti berikut; “In our view, there is force in the submission. The requisites that must be satisfied to sustain conviction for the offence of trafficking in dangerous drugs under s. 39B(1)(a) of DDA 1952 are well-settled. The following elements must be established: a) The impugned drugs are dangerous drugs as listed in the First Schedule of DDA 1952; b) The impugned drugs are under the custody, control and possession of the appellant; and 5 c) The appellant trafficked in the said impugned drugs.”
6
Bagi elemen yang pertama, iaitu dadah tersebut adalah merupakan dadah yang dijadualkan di bawah Jadual Pertama Akta tersebut, Mahkamah mendapati bahawa tiada sebarang pertikaian berbangkit berkenaan jenis dadah yang telah dirampas serta dianalisis. Tiada sebarang persoalan diutarakan oleh Peguam OKT berhubung perkara ini ke atas Ahli Kimia iaitu SP1.
7
Selanjutnya Mahkamah telah meneliti keterangan oleh SP1, SP2 dan SP4 dan mendapati bahawa keterangan yang diberikan adalah kukuh di dalam membuktikan rantaian keterangan barang kes. Ianya tidak terputus dan Mahkamah berpuas hati bahawa ia adalah merupakan barang kes yang sama yang ditemui oleh SP3 serta dikemukakan kepada SP1 untuk dianalisis dan seterusnya dikemukakan di Mahkamah ini.
8
Di samping itu, kesemua saksi telah membuat pengecaman fizikal ke atas barang-barang kes tersebut dan ianya turut disokong oleh keterangan-keterangan dokumen. Oleh itu, tidak timbul sebarang isu berkenaan pecahan rantai keterangan barang kes iaitu ke atas dadah yang ditemui.
9
Ia sepertimana keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Gunalan Ramachandran v. PP [2004] 4 CLJ 551 di mana Hakim Abdul Hamid Mohammad, HMR (pada ketika itu) menyatakan; “This is because, as far as I am aware, there is no law that the exhibit recovered must be produced in court failing which the prosecution's case must necessarily fall. It may or it may not, again depending on the facts and the circumstances of each case. Sunny Ang v. PP [1965] 1 LNS 171; [1966] 2 MLJ 195 (FC) (fold). In a drug trafficking case, the drug may be lost or destroyed subsequent to it having been analysed by the chemist. So long as there is no doubt that the drug analysed by the chemist is the same one that was recovered in the case and it is in respect of that drug that the accused is charged, and there is a reasonable explanation as to how it was lost or destroyed or the reason for the gap, there is no reason why the prosecution's case should fall. In the instant case, there was no break in the chain of evidence whatsoever, from the day it was seized until the date of trial. The missing exhibits did not contain any drugs. They were empty plastic packets and a weighing machine. Their existence could be seen from the photographs, not to mention oral evidence.”
10
Di dalam masa yang sama, Mahkamah tidak mendapati sebarang perkara di mana keterangan SP1 boleh diputuskan sebagai secara nyata adalah luar biasa (inherently incredible). Oleh itu, Mahkamah di peringkat ini berhak untuk menerima keterangan SP1 sepertimana yang dinyatakan di dalam kes Munusamy Vengadasalam v. PP [1987] CLJ (Rep) 221 seperti berikut; “We are therefore of the view, that in this type of cases where the opinion of the chemist is confined only to the elementary 7 nature and identity of the substance, the Court is entitled to accept the opinion of the expert of its face value, unless it is inherently incredible or the defence calls evidence in rebuttal by another expert to contradict the opinion. So long as some credible evidence is given by the chemist to support his opinion, there is no necessity for him to go into the details of what he did in the laboratory, step by step.”
11
Sehubungan dengan itu, Mahkamah merumuskan bahawa pihak PR telah berjaya membukikan bahawa dadah yang dipersoalkan adalah dadah berbahaya jenis Cannabis sepertimana yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta 234 dan ia adalah dadah yang sama dirampas oleh SP2 serta yang dianalisis oleh SP1. Mahkamah turut berpuashati bahawa berat dadah Cannabis tersebut telah dibuktikan seberat 49,598.3 gram.
12
Elemen kedua yang perlu dibuktikan adalah sama ada dadah yang dipersoalkan adalah berada di dalam milikan OKT. Bagi perkara ini terdapat dua perkara utama iaitu berkaitan jagaan serta kawalan dan selanjutnya berkaitan elemen pengetahuan. Ini bersandarkan kepada kes-kes duluan seperti Chan Pean Leon v PP [1956] MLJ 237, Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 4 CLJ 113 dan Romi Amora Amir v PP [2011] 1 CLJ 870.
13
Berdasarkan kepada analisis Mahkamah ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah merumuskan dapatan-dapatan seperti berikut: a) OKT dilihat memandu kereta tersebut seorang diri; 8 b) sebaik OKT turun dari kereta, SP2 telah membuat tangkapan ke atas OKT; c) SP2 dapat menghidu bau Cannabis yang kuat dari kereta tersebut; d) barang-barang kes dadah telah ditemui atas kerusi penumpang hadapan dan di atas kerusi penumpang belakang; e) barang-barang kes telah diletakkan di dalam plastik merah dan di dalamnya mengandungi balutan plastik lutsinar yang berisi dengan ketulan mampat tumbuh-tumbuhan kering yang disyaki dadah Cannabis; f) turut dijumpai di dalam kereta tersebut adalah sehelai baju seragam Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) beserta tanda nama Hasni dan lencana KDRM beserta sekeping gambar passport OKT yang berpakaian seragam lengkap; g) SP3 telah sahkan pakaian tersebut serta lencana dan gambar adalah kepunyaan OKT; h) SP3 yang merupakan isteri OKT telah mengesahkan kereta tersebut telah dibeli oleh OKT namun didaftarkan di atas nama SP3 dan telah sahkan bahawa OKT yang mengunakan kereta tersebut untuk ke tempat kerja; 9 i) kali terakhir SP3 menaiki kereta tersebut adalah pada sebelah petang hari kejadian dan SP3 tidak pernah lihat barang-barang kes di dalam kereta tersebut; dan j) SP3 turut sahkan pada malam tersebut, OKT telah keluar dari rumah menggunakan kereta tersebut. OKT tidak pulang ke rumah dan SP3 kemudiannya telah dimaklumkan bahawa OKT telah ditangkap.
14
Paksi kes pendakwaan adalah dadah tersebut dijumpai di dalam kereta yang dipandu oleh OKT. Di samping itu, dadah tersebut juga ditempatkan di atas kerusi penumpang hadapan dan di atas kerusi penumpang belakang. Oleh itu, satu-satunya inferens yang munasabah adalah ianya berada di dalam jagaan serta kawalan OKT.
15
Perkara ini pernah diulas dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Faizul Nizam Jaafar v PP [2017] 1 LNS 2032 yang hampir sama faktanya dengan kes di hadapan Mahkamah kini. Mahkamah Rayuan menyatakan; “[10] Hakim bicara telah menghuraikan pembuktian elemen-elemen pertuduhan dengan jelas dalam penghakimannya. Mengenai pemilikan mens rea dadah berkenaan, Hakim bicara telah menerima utamanya keterangan SP5, SP6, SP7, SP8 (anak SP7), Sarjan Ismail Nooruddin (SP9) dan SP10 untuk membuat dapatan fakta yang berikut: 10 a) semasa intipan, SP10 telah melihat sebuah kereta Estima warna hitam bernombor AHH 58 yang dipandu oleh Perayu seorang diri telah memasuki kawasan Emerald kondo; b) SP10 kemudian telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kereta Estima tersebut, dan mengesahkan Perayu seorang sahaja yang berada di dalam kereta itu; c) Melalui ekshibit P5, satu beg plastik hitam yang mengandungi dadah Cannabis berkenaan yang sewaktu ditemukan dan dirampas berada di tempat letak kaki penumpang hadapan kereta Estima dalam keadaan tidak terikat; d) SP10 terhidu bau ganja yang kuat apabila pintu kereta Estima terbuka; e) SP7, tuan punya berdaftar kereta Estima, ialah majikan Tertuduh. Perayu ialah pemandu peribadi SP7. Kereta Estima telah digunakan untuk menghantar SP7 ke tempat kerja dan juga menghantar anak-anak SP7 ke sekolah secara rutinnya. Semasa kereta Estima ditahan pada tarikh dan masa kejadian, kereta Estima berada dalam jagaan dan kawalan Perayu; f) SP5 dan SP6 tidak tahu menahu tentang ekshibit di P5. Berdasarkan fakta-fakta primer di atas, Hakim bicara telah mendapati bahawa Perayu mempunyai jagaan dan kawalan ke atas beg plastik hitam yang mengandungi dadah seperti di ekshibit P5. Lantaran itu Hakim bicara telah.”
16
Manakala Mahkamah Persekutuan di dalam kes PP v Abdul Rahman Akif [2007] 4 CLJ 337 ada menyatakan; “The incontrovertible facts as found by the trial court was that the 3 packages were found in the car driven by the respondent. He was the only person in the car at the material time. One package was found under the driver's seat and two packages under passenger's seat. PW8 gave evidence that the car was in the possession of the respondent for more than seven months prior to his arrest. In the circumstances we think the trial judge was right to hold that at the material time the 3 packages were in the custody and control of the respondent. Indeed, the Court of Appeal agreed with the trial judge.”
17
Peguam OKT telah membangkitkan isu berkaitan kawalan ekslusif ke atas kenderaan yang dipandu oleh OKT. Hujahan Peguam adalah bersandarkan kepada isu bahawa pihak PR hendaklah membuktikan bahawa kereta tersebut tidak boleh diakses oleh orang lain terutamanya di dalam kes ini, serbuan dan tangkapan pihak polis adalah bersandarkan kepada maklumat.
18
Mahkamah akur bahawa perkara ini terutamanya keterangan SP2 telah dicabar oleh Peguam OKT semasa pemeriksaan balas. Namun, Mahkamah telah menilai keterangan SP2 ini dan dapat 12 melihat keterangan yang diberikan. Mahkamah berpandangan bahawa SP2 adalah seorang Pegawai Polis dan tidak mempunyai sebarang sebab untuk mereka-rekakan cerita ke atas OKT.
19
Mahkamah mendapati bahawa SP2 memberi keterangan yang meyakinkan dan tidak goyah ketika diperiksa balas oleh Peguam OKT. Oleh itu, Mahkamah merumuskan bahawa SP2 adalah merupakan saksi yang berkredibel dan keterangannya wajar diterima.
20
Selanjutnya, Peguam turut menghujahkan berkenaan kelakuan atau reaksi OKT semasa pemerhatian di mana Peguam OKT menghujahkan bahawa keterangan SP2 adalah bahawa reaksi OKT kelihatan biasa ketika OKT turun dari kenderaannya menunjukkan OKT tidak mempunyai pengetahuan ke atas dadah tersebut. Malah, menurut Peguam OKT, ketika SP2 memperkenalkan diri sebagai Polis, walaupun Alor Setar Mall tersebut merupakan tempat luas yang terbuka, tiada keterangan yang menunjukkan bahawa OKT telah cuba melarikan diri. Sebaliknya SP2 bersetuju bahawa OKT telah memberikan kerjasama.
21
Mahkamah bagaimanapun di peringkat ini berpandangan bahawa keterangan yang dikemukakan setakat ini memadai untuk menunjukkan bahawa OKT mempunyai kawalan dan jagaan ke atas kereta tersebut. Sekadar perlakuan OKT tersebut, ia tidak berupaya menafikan keterangan asas tersebut.
22
Sehubungan dengan itu, Mahkamah berpandangan bahawa barang-barang kes tersebut berada di dalam kedudukan yang membolehkan satu inferens bahawa hanya OKT sahaja yang boleh berurusan dengannya serta menidakkan orang lain dari berurusan dengannya. Oleh itu, Mahkamah merumuskan bahawa dadah tersebut sememangnya berada di dalam jagaan serta kawalan OKT.
23
Selanjutnya, Mahkamah turut mengambil kira keterangan berkenaan reaksi OKT setelah ditahan dan semasa barang kes dijumpai di mana menurut SP2, OKT mula kelihatan gelisah dan cemas.
24
Keterangan-keterangan ini adalah relevan bagi menentukan pengetahuan OKT. Di dalam kes Parlan bin Dadeh v Public Prosecutor [2008] 6 MLJ 19; [2009] 1 CLJ 717, Mahkamah Persekutuan telah menyatakan berkaitan pembuktian pengetahuan seperti berikut; “Proof of knowledge is very often a matter of inference. The material from which the inference of knowledge can be drawn varies from case to case. It would be sufficient for the prosecution to prove facts from which it could properly be inferred that the accused had the necessary knowledge”
25
Peguam OKT turut membangkitkan berkenaan perjalanan OKT dari Perlis ke Alor Setar di mana setiap kenderaan perlu melalui kawalan keselamatan sempadan. Setiap kenderaan yang melalui kawalan keselamatan sempadan ini perlu memperlahankan 14 kenderaan dan perlu menurunkan semua tingkap kenderaan untuk tujuan pemeriksaan. Perkara ini adalah diakui dan dipersetujui oleh SP2 dan SP4 sendiri.
26
Mahkamah bagaimana pun berpandangan bahawa hujahan di peringkat ini sukar diterima. Ini kerana tiada keterangan yang menunjukkan bahawa barang-barang kes tersebut dibawa dari Padang Besar ke Alor Setar. Oleh itu, tidak timbul fakta bahawa kereta tersebut telah melalui beberapa pemeriksaan keselamatan. Keduanya, jika sekalipun kereta tersebut telah melalui beberapa pemeriksaan keselamatan jalan raya, tidak semestinya satu pemeriksaan yang rapi dijalankan sehingga menemukan barang-barang kes tersebut.
27
Perkara terakhir yang dipertikaikan oleh pihak Peguam OKT adalah berkaitan siasatan oleh SP4 iaitu Pegawai Penyiasat. Perkara pertama adalah berkaitan seorang yang bernama Mat John di mana SP4 sendiri mengakui bahawa penama Mat John ini ada dinyatakan oleh OKT kepadanya.
28
Mahkamah bagaimanapun mendapati, fakta berkaitan Mat John yang dinyatakan oleh OKT adalah tidak mencukupi bagi pihak polis membuat siasatan lanjut. Sekiranya OKT memberikan maklumat terperinci mengenai penama Mat John kepada pihak polis, sudah pasti pihak polis dapat membuat siasatan lanjut dan mengesan penama ini. Malahan cadangan yang dibuat oleh pihak pembelaan dinafikan oleh saksi-saksi pendakwaan.
29
Di dalam kes Chonmanee Laphathanawat v PP [2017]4 MLJ 227, Mahkamah menyatakan berkaitan maklumat penama lain seperti berikut; “It is settled in our law, for the Alcontara Notice to apply, the appellant must provide sufficient and good particulars in the right perspective and not a vague notice where the prosecution would not be able to carry out investigation to rebut the defence story or version. However, having meticulously considered the evidence, we found that the relevant information regarding these three names such as their addresses and telephone numbers were not disclosed or provided by the appellant at the earliest opportunity when she was stopped at the airport or when her cautioned statement was recorded. Similarly in Exhibit D126, the appellant had also failed to provide any information and detail regarding these three persons to enable the police to investigate.”
30
Malahan SP2 telah mengesahkan tiada sebarang stok baju yang ditemui dalam kereta tersebut. Sekiranya benar cadangan pihak pembelaan yang OKT ingin membuat penghantaran baju daripada Padang Besar ke Alor Setar, sudah pasti SP2 akan menemui stok baju di dalam kereta tersebut. Pihak pendakwaan turut merujuk keterangan SP3 bahawa beliau dimaklumkan oleh OKT hendak keluar membeli makanan pada malam tersebut dan bukan untuk membuat penghantaran baju.
31
Perkara selanjutnya adalah berkaitan rakaman CCTV yang tidak dikemukakan oleh pihak PR. Perkara ini telah dipersetujui oleh SP4 bahawa terdapat permohonan untuk mendapatkan rakaman CCTV namun tiada sebarang keterangan berkaitan permohonan dan jawapan pihak Alor Setar Mall yang telah dikemukakan. Oleh itu, Peguam OKT telah membangkitkan penggunaan seksyen 114 Akta Keterangan 1950 (Akta 56) secara khususnya di misaan (g). Peguam telah merujuk kepada kes Ghasem Hozouri Hassan v PP [2018] 6 CLJ 133.
32
Namun, Mahkamah berpandangan bahawa keterangan CCTV sekiranya ada sekalipun hanyalah bersifat keterangan sokongan. Di peringkat ini, keterangan PR adalah kukuh tanpa percanggahan. Oleh itu, ketiadaan rakaman CCTV ini bagi Mahkamah tidak merencatkan kes PR dan tidak membangkitkan anggapan bertentangan di bawah seksyen 114 Akta 56.
33
Di dalam kes Joni Rizal Rustam Affendi lwn. PP & Another Appeal [2017] 1 LNS 1847, Mahkamah Rayuan telah menyatakan; “Hakim bicara membuat dapatan yang betul bila memutuskan Perayu-Perayu mempunyai pengetahuan secara tersirat terhadap dadah yang disembunyikan di dalam bonet Kereta WXX 787 tersebut (lihat Ediawe Eshilama Clinton v. PP [2015] 9 CLJ 169).
62
Kedudukan perundangan mengenai keterangan rakaman CCTV telah dijelaskan oleh Mahkamah ini dalam kes Saeid Reza Mohammadi Mohammad lwn. PP [2016] 1 LNS 303 seperti berikut: “[34] Berkaitan dengan kegagalan mengemukakan laporan rakaman CCTV, kami mendapati keterangan berkaitan rakaman CCTV hanyalah berbentuk keterangan yang menyokong. Sekiranya rakaman CCTV dikemukakan, ianya akan menguatkan versi pendakwaan atau menyokong versi pembelaan. Rakaman CCTV menjadi penting sekiranya versi pendakwaan dan versi perayu saling bercanggah. Keterangan rakaman CCTV juga menjadi penting sekiranya terdapat pertikaian terhadap identiti perayu. Berdasarkan kepada keterangan SP3 dan SP5 serta keterangan perayu sendiri, tiada percanggahan dalam versi perayu dan juga versi pendakwaan. Tiada juga timbul pertikaian terhadap identiti perayu. Fakta bahawa perayu bersama 3 lagi lelaki Iran telah ditangkap tidak dipertikaikan. Fakta beg P26 ditarik oleh perayu juga tidak dinafikan. Oleh itu keterangan berkaitan MRJ NO:W-05(M)-332-09/2016 45 laporan/rakaman CCTV tidak penting dalam kes ini. Kami bersetuju tiada keperluan untuk hakim bicara memakai anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan terhadap pihak pendakwaan atas kegagalan-kegagalan yang dihujahkan oleh peguambela terpelajar.”
34
Bagi Mahkamah, di peringkat ini, keterangan-keterangan yang dikemukakan terutamanya berkaitan penyiasatan oleh SP4 adalah mencukupi dan relevan bagi membuktikan secara prima facie 18 bahawa barang-barang kes tersebut berada di dalam pemilikan OKT.
35
Bersandarkan kepada keterangan-keterangan ini, Mahkamah memutuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan bahawa dadah yang ditemui di dalam kereta tersebut adalah sebenarnya berada di dalam pemilikan OKT.
36
Elemen terakhir adalah berkaitan elemen pengedaran dadah tersebut di mana pihak PR bersandarkan sepenuhnya kepada seksyen 37(da) Akta 234 iaitu satu peruntukan andaian yang berpaksikan dapatan elemen pemilikan.
37
Di dalam kes ini, memandangkan elemen pemilikan telah berjaya dibuktikan maka Mahkamah berhak membuat dapatan bahawa satu kes prima facie pengedaran dibuktikan bawah seksyen 180(4) KTN dengan membangkitkan anggapan pengedaran bawah seksyen 37(da) Akta 234. Pendekatan ini telah diputuskan sebagai betul di sisi undang-undang oleh Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman oleh YAA Tengku Maimun Tuan Mat KHN di dalam kes Abdullah Atan v. PP [2020] 9 CLJ 151 dan oleh yang demikian PR telah berjaya membuktikan elemen pengedaran.
38
Oleh yang demikian, berdasarkan penilaian maksimum keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah memutuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan 19 keterangan prima facie ke atas OKT bagi pertuduhan yang dikenakan dan oleh itu OKT diperintahkan untuk membela diri bagi pertuduhan tersebut.
39
Pembelaan OKT hanyalah bersandarkan kepada keterangannya sahaja yang dikemukakan melalui PS SD1. Ia menyatakan bahawa OKT adalah merupakan seorang Pegawai Kastam bergred W22 dan semasa kejadian adalah menetap di Kuarters KDRM di Perlis. Namun, pada bulan Mei 2022, OKT telah ditukarkan ke KDRM Cawangan Alor Setar.
40
Bermula pada bulan Oktober 2022, OKT dan isterinya telah mula mengemas rumah untuk berpindah ke Alor Setar yang dicadangkan akan dilakukan pada bulan Disember 2022. Buat masa itu, OKT masih berulang-alik dari Perlis ke Alor Setar dengan kereta milik mereka.
41
OKT mengakui bahawa bagi menampung pendapatan keluarga, OKT telah membuat kerja separuh masa iaitu membuat penghantaran stok-stok baju dari Padang Besar, Perlis ke pusat membeli belah di Alor Setar dengan upah sebanyak RM200.00 setiap kali penghantaran tidak termasuk duit minyak dari seorang yang dikenalinya sebagai Mat John. Menurut OKT, stok baju akan diambil dari Arked Padang Besar di mana OKT akan membuka but keretanya dan stok-stok tersebut akan dimasukkan ke dalamnya tanpa perlu OKT turun dari keretanya. Stok tersebut akan dihantar ke pusat membeli-belah Alor Setar Mall yang akan diambil oleh 20 seorang pekerja dari but keretanya tanpa OKT perlu turun dari keretanya.
42
Pada 12/10/2022, OKT telah keluar untuk bersarapan pagi dengan SP3. Pada hari tersebut, OKT bercuti kerana mengemas dan mencuci rumah di Alor Setar. Setelah selesai mengemas, mereka pulang ke Perlis dan tiba pada jam lebih kurang 6.00 petang. Selepas itu, OKT keluar semula untuk membeli makanan. Setelah keluar dari rumah, OKT telah menerima panggilan telefon daripada Mat John untuk meminta OKT menghantar stok-stok baju ke Alor Setar Mall. Pada mulanya OKT menolak kerana baru sahaja pulang dari Alor Setar, namun apabila Mat John maklumkan akan membayar upah dua kali ganda, OKT telah terima tawaran itu.
43
Setibanya di Arked Padang Besar, OKT telah menunggu di dalam keretanya. Melalui cermin sisi kereta, OKT nampak Mat John tiba dengan bungkusan-bungkusan yang ketika itu dianggap sebagai stok-stok baju seperti biasa. OKT telah membuka but belakang kereta dari dalam kereta tanpa turun dari kereta. Mat John sendiri yang telah memasukkan bungkusan-bungkusan ke dalam but belakang keretanya. Mat John kemudiannya telah menutup semula but belakang kereta dan OKT kemudiannya beredar meneruskan perjalanan ke Alor Setar Mall.
44
Dari Padang Besar ke Alor Setar, OKT telah melalui 2 tempat pemeriksaan keselamatan sempadan di mana semasa di tempat pemeriksaan yang pertama, Pegawai Keselamatan yang menjaga telah mengarahkan OKT untuk berhenti dan menurunkan tingkap 21 kereta. OKT telah menurunkan keempat-empat tingkap kereta hadapan dan belakang dan pegawai tersebut kemudian melihat ke dalam kereta dan membenarkan OKT untuk meneruskan perjalanan.
45
Apabila tiba di tempat pemeriksaan kedua, perkara sama berlaku di mana Pegawai Keselamatan yang menjaga telah mengarahkan OKT untuk berhenti dan menurunkan tingkap kereta sebelum pegawai tersebut kemudian melihat ke dalam kereta dan membenarkan OKT untuk meneruskan perjalanan.
46
Setibanya di Alor Setar Mall, OKT telah menunggu pekerja Alor Setar Mall untuk datang mengambil stok-stok baju dari keretanya. Namun, setelah 5 minit pekerja tersebut tidak tiba dan OKT telah turun dari kereta dengan tujuan untuk membuat panggilan telefon, namun tiba-tiba datang seorang yang memperkenalkan diri sebagai polis dan telah meminta OKT memberikan kerjasama.
47
Pegawai Polis itu telah meminta OKT membuka but belakang kereta dan OKT kemudiannya dimaklumkan bahawa terdapat barang yang disyaki dadah dijumpai di dalam bungkusan-bungkusan yang diletakkan di but belakang keretanya. OKT telah memaklumkan kepada polis bahawa OKT datang dari Padang Besar untuk menghantar stok-stok baju sahaja.
48
Teras pembelaan OKT adalah OKT tidak mempunyai pengetahuan berkenaan bungkusan-bungkusan yang dijumpai di 22 dalam keretanya adalah merupakan dadah. OKT secara amnya, tidak menafikan bungkusan tersebut dijumpai di dalam keretanya kecuali menyatakan bahawa ianya dijumpai di dalam but belakang keretanya dan bukannya di atas kerusi penumpang dan kerusi penumpang bahagian hadapan.
49
Peguam menghujahkan bahawa OKT adalah merupakan seorang “innocent carrier” dan merujuk perhatian Mahkamah ini kepada kes Maria Elvira Pinto Exposte v PP [2020] 2 MLRA 571, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan; “[57] Having regard to the fact that the appellant disclosed her defence contemporaneously with the discovery of the drugs and in the light of her explanation as to how she came to be in possession of the drugs, we found that the learned judge was right in concluding that the appellant's defence had successfully rebutted the presumption of trafficking under s 37(d) of the DDA and raised a reasonable doubt on the prosecution's case. The learned judge was right in holding that the appellant was an innocent carrier.”
50
Serta keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ganapathy Rengasamy v PP [1998] 1 MLRA 589 yang menyatakan; “…It is our considered finding that on the totality of the case, the appellant has rebutted the presumption under s 37(d) of the Act, on a balance of probabilities. The appellant has 23 established that even though he had custody and perhaps control of the bag and thereby had possession of it, at the time of his arrest, he had no knowledge whatsoever of its contents.”
51
Bagi Mahkamah, asas bagi menentukan kesahihan pembelaan ini adalah menentukan sama ada watak Mat John yang dibangkitkan ini adalah satu watak yang benar-benar wujud atau rekaan semata-mata. Penting bagi Mahkamah merekodkan bahawa nama Mat John ini telah dibangkitkan sejak kes di peringkat pendakwaan lagi. Bagi Peguam, apabila SP4 iaitu Pegawai Penyiasat gagal menyiasat penama yang dibangkitkan ini, maka ia meninggalkan kelompangan ke atas kes pihak PR dan membangkitkan keraguan yang munasabah.
52
Pertamanya, Mahkamah telah meneliti keterangan OKT dan mendapati bahawa OKT tidak dapat memberikan gambaran sebenarnya watak yang disebut sebagai Mat John ini. Semasa OKT diperiksa balas, ternyata OKT menyatakan bahawa OKT hanya mengenali Mat John melalui kawan dan hanya tahu dia orang Malaysia berbangsa Melayu. OKT tidak mengetahui di mana Mat John berniaga di dalam arked dan tidak mengenali pekerjanya walaupun telah berurusan dengan Mat John ini selama 2 – 3 tahun.
53
Di samping itu, OKT juga tidak memaklumkan penama ini kepada isterinya sedangkan OKT mengakui bahawa apa yang OKT lakukan dengan Mat John adalah untuk menghantar baju dan mengambil upah. Agak luar biasa jika ini adalah tujuannya, seseorang suami tidak berkongsi cerita dan maklumat dengan 24 isterinya sedangkan ia bukan baru berlaku tetapi telah mencecah 2 – 3 tahun.
54
Jika keterangan OKT benar, maka pada hari tersebut, OKT baru sahaja pulang dari Alor Setar untuk mencuci rumahnya bersama-sama isterinya, SP3. Persetujuan OKT untuk keluar semula ke Kedah untuk menghantar stok-stok baju dengan upah 2 kali bayaran selojiknyalah akan dimaklumi kepada isterinya. Namun, OKT langsung tidak berkongsi cerita dengan isterinya dan ini sangat meragukan.
55
Di dalam menegaskan ceritanya, OKT menyatakan bahawa keretanya pada ketika itu masih ada barang-barang yang digunakan untuk mencuci rumah tersebut. Namun, OKT tidak pula memberi penjelasan kenapa baju seragamnya yang bertanda namanya masih turut berada di dalam kereta. Apakah tujuan membawa baju uniformnya bersekali sedangkan OKT tidak bekerja dan melakukan kerja sampingan sahaja.
56
Di samping itu, tiada sebarang barangan yang kononnya digunakan untuk mencuci rumah ditemui di dalam kereta tersebut semasa serbuan dijalankan. Ini menimbulkan kegusaran di dalam kesahihan keterangan OKT.
57
Di dalam pembelaannya, OKT turut menyatakan bahawa OKT terpaksa melepasi 2 pemeriksaan keselamatan dan kononnya kereta OKT telah diperiksa. Mahkamah tidak nampak bagaimana ini dapat menjejaskan keterangan pihak PR kerana pihak PR tidak pernah meletakkan naratif dari mana dadah-dadah tersebut 25 diambil. Oleh itu, keterangan berkaitan wujudnya dua kali pemeriksaan keselamatan sepanjang perjalanan OKT dari Padang Besar ke Alor setar adalah tidak relevan kerana asas keterangan pihak PR adalah OKT memasuki kawasan parkir Alor Setar Mall dan ditahan di situ.
58
Keterangan OKT sekali lagi menimbulkan tanda tanya apabila OKT menyatakan berkenaan cara bagaimana stok-stok baju akan diserahkan. OKT di dalam percakapannya menyatakan OKT tidak pasti nama lelaki India yang sepatutnya mengambil baju serta nama majikan lelaki India tersebut. Mahkamah berpandangan bahawa tidak lojik bagi seseorang yang hendak menghantar barangan tidak mengetahui secara spesifik siapakah orang yang akan menerima barangan yang hendak diserahkan. Ini juga tidak kurang dari satu cubaan OKT membangkitkan satu watak yang mungkin tidak wujud.
59
Selanjutnya, Mahkamah mendapati soalan-soalan semasa pemeriksaan balas ke atas SP2 dan SP4 dengan jelas menyatakan bahawa OKT tidak pernah memaklumkan kepada mereka penama Mat John ini. Peguam juga tidak mengemukakan sebarang Rakaman Percakapan Beramaran yang direkodkan bagi menunjukkan bahawa OKT pernah memaklumkan nama Mat John. Bagi Mahkamah, walaupun bukan menjadi beban ke atas OKT untuk membuktikan kesnya, namun dengan keterangan sedia ada sukar untuk Mahkamah ini merumuskan bahawa OKT telah memaklumkan SP2 ataupun SP4 berkenaan penama ini.
60
Sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung, tiada keterangan yang menunjukkan OKT dan SP2 serta anggota serbuan yang lain saling mengenali antara satu sama lain. OKT juga mengesahkan tidak mengenali SP2 dan anggota serbuan. Oleh yang demikian, adalah tidak munasabah untuk SP2 mengada-adakan cerita untuk menganiayai OKT kerana langsung tidak wujud sebarang motif atau niat jahat di pihak saksi-saksi pendakwaan untuk berbuat sedemikian.
61
Sehubungan dengan itu, Mahkamah merumuskan bahawa watak Mat John ini adalah merupakan satu yang direka-reka dan tidak sebenarnya wujud. Di dalam kes Hossein Shahsavandi Ahmad v PP [2015] 7 CLJ 882, di dalam pembelaannya, Perayu menafikan pengetahuan mengenai dadah tersebut dan menyatakan bahawa seorang yang bernama Ali Reza telah memintanya agar membawa kasut tersebut untuk dipasarkan di rantau ini. Mahkamah Rayuan bagaimanapun menolak pembelaan ini dan menyatakan; “[23] It was also submitted before us that the trial judge was also wrong in not concluding that Hossein was an innocent carrier. This issue had close nexus with the issue of Ali Reza, which we had adverted to earlier in our judgment. Learned counsel had referred to the case of Ganapathy Rengasamy v. Public Prosecutor [1998] 2 CLJ 1; [1998] 2 MLJ 577. Suffice for us to state here that in that case of Ganapathy Rengasamy (supra) the existence of one Abdul Rahman bin Noh alias Ah Kiong was an undisputed fact. Indeed, he had been admitted by the prosecution to have been arrested for a different drug 27 offence. In short, Ah Kiong was not a fictitious person. He had existed. In our present appeal, Ali Reza had not been admitted to by the prosecution as a real person. Neither had Hossein shown him as a real person or created a reasonable doubt as to his existence. Hossein's information on him was sketchy and the evidence of SD2 and SD3 had been rejected by the learned trial judge. The documentary evidence was hearsay and not properly attested to as required under our legal system. In short Ali Reza was a figment of Hossein's imagination.
24
In this regard, we would with respect advert to the same case of Mohamad Radhi (supra) where the so-called Radhi 's direction was articulated by learned Justice Mohd Azmi SCJ and which was subsequently explained with great clarity as to its application in the case of Yee Wen Chin v. PP & Another Appeal [2008] 6 CLJ 773 in appreciating the true effect of the case of Mohamad Radhi Yaakob v. PP [1991] 3 CLJ 2073; [1991] 1 CLJ (Rep) 311. This court in Yee Wen Chin 's case (supra) had said: That case (Mohamad Radhi v. PP (supra) ) is authority for the proposition that a person charged with trafficking is entitled to an acquittal on that charge by showing that he was a mere possessor of the drugs whilst another was the true trafficker. Whenever such a defence is taken two separate exercises must be carried out by the trial Judge. He must first determine as a fact whether that other is a real person or a mere figment of the accused's imagination invented for the purpose of the 28 trial. Next, if he finds that other person to be real the Judge must then determine whether that other person is the real trafficker. This is called the Radhi direction and must be administered by a court unto itself when such a defence is taken. See, Sochima Okoye v. Public Prosecutor [1995] 3 CLJ 371 CA.
25
It was clear to our mind that the learned trial judge was satisfied that Ali Reza was a fictitious person which was conveniently created by Hossein to escape from the charge. On the evidence as adduced before him, we were of the view that the trial judge was correct in his finding. In such a circumstance, there was no further duty on his part to determine whether Ali Reza was the real trafficker. That duty, identified as the second limb in the Radhi 's direction did not arise in the circumstances obtaining in this case. That, to our mind must put paid to Hossein's complaint on the innocent carrier issue. We agreed with the learned trial judge that Hossein was not an innocent carrier of the drugs that were found under the internal soles of the pair of Adidas shoes that he was wearing when he was arrested at KLIA on the fateful day referred to in the charge that was subsequently preferred against him.”
62
Di atas pertimbangan ini, Mahkamah merumuskan bahawa keterangan pembelaan adalah suatu penafian semata-mata. Penafian semata-mata adalah suatu “bare story of innocence” dan tidak terjumlah kepada satu keraguan yang munasabah.
63
Di dalam kes Rosenizam bin Maharam v. PP [2002] CLJU 260; [2002] 1 LNS 260; [2003] 5 MLJ 49 telah dibincangkan berkaitan penafian semata-mata seperti berikut: “Bare denial by accused: It was the finding of the trial judge that in the defence evidence, the accused's denial of knowledge of the cannabis was a bare denial. The accused's evidence that he did not examine the jacket and that he did not know the contents in the jacket was not accepted by the trial judge. As a matter of fact, the trial judge did not believe the defence story and was of the view that it was fanciful for the accused to take the jacket without knowing the contents thereof.”
64
Bagi Mahkamah, pembelaan OKT langsung tidak bermerit dan ia tidak disokong. Di dalam kes PP v. Ling Tee Huah [1980] CLJU 212; [1980] 1 LNS 212; [1982] 2 MLJ 324, Hakim Yusoff Mohamed menyatakan: “A mere denial without other proof to reasonably dislodge the prosecution's evidence is not sufficient.”
65
Manakala di dalam kes D.A. Duncan v. PP [1980] CLJU 12; [1980] 1 LNS 12; [1980] 2 MLJ 195, Hakim Raja Azlan Shah HMT (pada ketika itu) pula menyatakan: “Now this evidence, if accepted and believed, is clearly sufficient to establish a prima facie case against the appellant. The High Court at Alor Star accepted it and called on the defence. The defence was, in effect, a simple denial of the evidence connecting the appellant with the four boxes. We cannot see any plausible ground for saying that the four boxes were not his. In the circumstances of the prosecution evidence, the High Court came, in our view, to the correct conclusion that this denial did not cast a doubt on the prosecution case against the appellant.”
66
Setelah menimbang secara maksimum, Mahkamah ini membuat pendapat tegas bahawa Mahkamah ini tidak dapat menerima dan mempercayai pembelaan OKT.
67
Oleh yang demikian, di peringkat akhir kes pembelaan, Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui apa-apa keraguan munasabah apabila pihak pembelaan telah gagal membangkitkan suatu keraguan yang munasabah ke atas kes pihak PR.
68
OKT dengan itu didapati bersalah dan disabit ke atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
69
Peguam OKT di dalam hujahan mitigasinya telah mendesak Mahkamah ini untuk tidak mengenakan hukuman mati. Peguam OKT merayu Mahkamah ini menimbangkan faktor-faktor berikut: a) OKT adalah merupakan seorang anggota KDRM yang telah berkhidmat sejak 1994; b) OKT telah berkahwin dengan seorang isteri yang bekerja sebagai Guru Tadika dan mereka mempunyai 6 orang anak dan 3 darinya masih bersekolah; c) OKT seorang penjawat awam yang baik dan tidak pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib; d) ini merupakan kesalahan OKT yang pertama; e) walaupun kes ini melibatkan jumlah dadah yang banyak, namun peranan OKT hanyalah sebagai pembawa. Ia tidak melibatkan sebarang unsur keganasan malahan OKT telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis; dan f) dadah yang menjadi sabjek kes ini adalah merupakan “soft drugs” dan bukanlah dadah-dadah sintetik yang mempunyai kesan yang lebih signifikan.
70
Puan TPR seperti kebiasaannya telah menegaskan bahawa Mahkamah perlu menjatuhkan hukuman bagi menunjukkan ketegasan Mahkamah dengan memberi pertimbangan utama ke atas kepentingan awam. Tiada desakan dikemukakan oleh Puan TPR bagi Mahkamah ini mengenakan hukuman mati.
71
Menerusi Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), hukuman bagi kesalahan di bawah seksyen 39B Akta 234 telah dipinda iaitu hendaklah dihukum apabila disabitkan dengan mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika dia tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum sebat tidak kurang daripada dua belas sebatan. Ini bermakna, budi bicara diberi sepenuhnya kepada Mahkamah untuk menentukan pilihan hukuman (rujuk: Loh Hock Seng & anor v. PP [1979] CLJU 48; [1979] 1 LNS 48; [1980] 2 MLJ 13 dan DA Duncan v. PP [1980] CLJU 12; [1980] 1 LNS 12; [1980] 2 MLJ 195).
72
Budibicara Mahkamah ini di dalam menjatuhkan hukuman turut dibincangkan oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini di dalam kes PP v Robin Radjnaini Saih @ Amjan Patta [2024] CLJU 1597 melalui penghakiman Hakim Wong Kian Kheong HMR yang telah menyatakan pandangan bahawa doktrin “rarest of the rare” sepertimana di dalam jurispudens India tidak sewajarnya digunapakai tetapi sebaliknya Mahkamah sepatutnya menggunapakai doktrin “Wide Judicial Discretion”.
73
Bagi maksud tersebut, Mahkamah telah menimbangkan bahawa ini kesalahan pertama OKT dan oleh itu wajar OKT diberi peluang kedua. Keterangan kes turut tidak menunjukkan ia merupakan 33 keterangan secara langsung pengedaran namun sebaliknya berdasarkan andaian pengedaran ke atas pemilikan. Mahkamah bersetuju dengan hujahan Peguam OKT agar OKT diberi pertimbangan untuk tidak dikenakan hukuman mati. Di dalam nada yang sama, Mahkamah menegaskan betapa OKT sangat bernasib baik apabila hanya dapat dihakimi selepas Akta 846 berkuatkuasa di mana hukuman sudah berubah dan Mahkamah mempunyai pilihan di dalam menjatuhkan hukuman.
74
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mahkamah menegaskan betapa ia satu episod menyedihkan kerana Mahkamah berhadapan dengan seorang yang diberi amanah untuk mengekang jenayah ini tapi mengambil jalan pintas, di atas alasan yang Mahkamah tidak tahu, untuk terjerumus di dalam perbuatan keji dan nista ini.
75
Ini satu episod malang, bukan sahaja kepada OKT dan keluarga malah kepada JKDM dan negara secara keseluruhannya. Ia bukan sekadar satu kesalahan namun satu pecah amanah oleh OKT. Permohonan maaf sebesar mana sekalipun tidak memungkinkan kemaafan keseluruhan rakyat di dalam negara ini. Ini merupakan beban yang perlu ditanggung oleh OKT selama-lamanya. Tiada hukuman yang dapat memadamkan perkara ini di dalam sejarah hidup OKT.
76
Namun OKT bernasib baik kerana Akta 846 memberi ruang kepada Mahkamah untuk tidak menjatuhkan hukuman mati seperti sebelumnya, walaupun kesalahan ini dilakukan ketika Akta 846 masih belum berkuatkuasa. OKT juga patut berterima kasih 34 kerana Puan TPR tidak menyarankan hukuman mati walaupun jumlah dadah di dalam kes ini sangat signifikan.
77
Oleh yang demikian, Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan sebanyak 15 sebatan. Bertarikh: 31hb. Disember 2024 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Alor Setar, Kedah. Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Sharifah Syazwani binti Syed Hussin Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah Darul Aman Aras 4, Blok C, Wisma Darul Aman 05250 Alor Setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Responden : Mohd Khairul Hafizuddin bin Ramli Peguambela & Peguamcara Tetuan Khairul Hafizuddin & Co. No. 63, Tingkat Atas Lorong Sepat 1, Off Jalan Gangsa Taman Wira Mergong 05150 Alor Setar Kedah Darul Aman Tarikh Bicara : 29hb. Ogos, 2024 Tarikh Keputusan : 25hb. November, 2024 Undang-Undang Yang Dirujuk: ➢ Akta Dadah Berbahaya 1952 ➢ Kanun Tatacara Jenayah ➢ Akta Keterangan 1950 ➢ Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 Kes-Kes Yang Dirujuk: ➢ Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 85 ➢ PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 ➢ Muhammad Lukman Mohamad v PP [2021] 7 CLJ 524 ➢ Gunalan Ramachandran v. PP [2004] 4 CLJ 551 ➢ Munusamy Vengadasalam v. PP [1987] CLJ (Rep) 221 ➢ Chan Pean Leon v PP [1956] MLJ 237 ➢ Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 4 CLJ 113 ➢ Romi Amora Amir v PP [2011] 1 CLJ 870 ➢ Faizul Nizam Jaafar v PP [2017] 1 LNS 2032 ➢ PP v Abdul Rahman Akif [2007] 4 CLJ 337 ➢ Parlan bin Dadeh v Public Prosecutor [2008] 6 MLJ 19; [2009] 1 CLJ 717 ➢ Chonmanee Laphathanawat v PP [2017]4 MLJ 227 ➢ Ghasem Hozouri Hassan v PP [2018] 6 CLJ 133 ➢ Joni Rizal Rustam Affendi lwn. PP & Another Appeal [2017] 1 LNS 1847 ➢ Abdullah Atan v. PP [2020] 9 CLJ 151 ➢ Maria Elvira Pinto Exposte v PP [2020] 2 MLRA 571 ➢ Hossein Shahsavandi Ahmad v PP [2015] 7 CLJ 882 ➢ Rosenizam bin Maharam v. PP [2002] CLJU 260; [2002] 1 LNS 260; [2003] 5 MLJ 49 ➢ PP v. Ling Tee Huah [1980] CLJU 212; [1980] 1 LNS 212; [1982] 2 MLJ 324 ➢ D.A. Duncan v. PP [1980] CLJU 12; [1980] 1 LNS 12; [1980] 2 MLJ 195 ➢ Loh Hock Seng & anor v. PP [1979] CLJU 48; [1979] 1 LNS 48; [1980] 2 MLJ 13 ➢ PP v Robin Radjnaini Saih @ Amjan Patta [2024] CLJU 1597
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.