Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA SELANGOR DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN KES JENAYAH NO: BJ-82D-1-08/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN MOHD IKMAL HAFIFI BIN RASHID ALASAN PENGHAKIMAN PENGENALAN Tertuduh di dalam kes ini telah dituduh di bawah sekyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pertuduhan dibaca seperti berikut: “Bahawa kamu pada 08/10/2020 jam lebih kurang 03:00 pagi bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Selangor di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah memberikan kepada diri kamu sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine / Methamphetamine, dengan cara memasukkan ke dalam tubuh badan kamu dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 15 Akta yang sama” Hukuman: Barang siapa yang menggunakan adalah bersalah atas suatu kesalahan terhadap akta ini dan jika disabitkan hendaklah didenda tidak lebih daripada RM5,000.00 atau dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih 2 tahun dan pengawasan polis tidak lebih 3 tahun seperti yang ditentukan oleh Mahkamah di bawah seksyen 38B(1) ADB 1952” Setelah mendengar keterangan saksi-saksi Pendakwaan seramai 2 orang, Mahkamah telah melepaskan dan membebaskan OKT kerana pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Pihak pendakwaan tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah diberikan justeru rayuan terhadap keputusan tersebut difailkan. LATAR BELAKANG FAKTA KES. Pada 8.10.2020, jam lebih kurang 0300 pagi, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Selangor, SP1 telah membuat ujian saringan awal polis terhadap penama yang bernama Mohd Ikmal Hafifi Bin Rashid (selepas dikenali sebagai ‘OKT’ tersebut). SP1 menyatakan bahawa beliau telah mengeluarkan 5 peket plastik aluminium yang masing-masingnya berisi botol urin yang dibekalkan oleh PDRM yang masih belum dibuka paketnya dan semua botol-botol tersebut dalam keadaan baik untuk dipilih oleh OKT pada ketika itu. OKT telah memilih satu peket plastik aluminium daripada 5 peket plastik aluminium tersebut. Peket plastik aluminium yang dipilih oleh OKT mempunyai nombor siri A0113600. Seterusnya SP1 menyatakan di dalam penyata saksinya bahawa beliau telah mengambil peket yang dipilih oleh OKT itu lalu mengoyakkan peket tersebut di hadapan OKT dan seorang saksi polis iaitu D/Koperal 200125 Tan Khai Li. SP1 kemudian telah mengeluarkan isi kandungan peket tersebut iaitu 1 botol urin lutsinar bertudung kuning yang masih baru dan dalam keadaan baik, 1 keping pelekat label botol urin berwarna putih yang juga masih belum digunakan serta 1 sil pelekat berwarna biru bertulis perkataan Polis Diraja Malaysia yang juga masih dalam keadaan yang baik dan belum digunakan. Setelah urusan penyediaan Borang Permintaan Ujian Pengesanan Dadah dalam air kencing dan selepas OKT menurunkan tandatangan pada bahagian 4 pada borang tersebut beserta tarikh 8.10.2020 selesai, OKT kemudian menurunkan tandatangannya pula pada sekeping pelekat label botol urin yang disediakan oleh SP1 pada bahagian ‘Tandatangan Orang Yang Diperiksa’ pada label botol urin tersebut. SP1 dan D/Koperal 200125 Tan Khai Li kemudian mengiringi OKT ke tandas lelaki di sebelah pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Selangor untuk mengisikan air kencing OKT ke dalam botol urin dengan nombor siri A0113600 yang telah dipilih oleh OKT tadi. Setelah selesai OKT mengisikan air kencingnya ke dalam botol tersebut, SP1 telah mengarahkan OKT untuk membawa dan meletakkan botol urin tersebut di atas sebuah meja di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Selangor untuk dijalankan ujian saringan awal. SP1 selanjutnya mengeluarkan 6 jenis peket yang masing-masing di dalamnya mengandungi jalur ujian pengesanan dadah iaitu ‘test strip’ yang berbeza iaitu bagi jenis Morphine, THC, Methamphetamine, Amphetamine, Ketamin dan Benzo yang semuanya dikatakan masih belum digunakan lagi. SP1 kemudian memasukkan semua test strip tersebut ke dalam botol urin bernombor siri A0113600 yang berisi air kencing OKT. Hasil daripada ujian saringan awal tersebut, didapati air kencing OKT positit Methamphetamine. SP1 selanjutnya mengarahkan OKT untuk menutup botol tersebut dengan tudung botol berwarna kuning dan kemudian SP1 telah sil botol urin tersebut di hadapan OKT sendiri dengan menggunakan pelekat berwarna biru bertulis Polis Diraja Malaysia di sekeliling penutup botol tersebut. SP1 juga menyatakan bahawa beliau telah melekatkan 1 keping pelekat label botol urin berwarna putih yang telah ditandatangani oleh OKT pada botol urin tersebut. Selanjutnya SP1 telah menyerahkan OKT beserta 1 botol urin yang telah bersil dengan nombor siri A0113600 yang mengandungi air kencing OKT serta laporan polis dengan nombor repot Kuala Selangor/4033-4034/20 kepada pegawai penyiasat (SP2) di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor. Setelah SP2 menerima 1 laporan polis, botol urin no siri A0113600, borang serah menyerah daripada SP1, SP2 selanjutnya pada 2.11.2020 telah mengarahkan Sarjan Mohammad Bin Abdullah untuk membawa botol urin tersebut ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur untuk dianalisa. Kemudian pada 31.12.2020 SP2 telah menerima laporan patologi daripada Puan Suriati Binti Adenan. Di dalam kes pendakwaan juga, pihak pendakwaan telah mengemukakan ekshibit-ekshibit seperti yang berikut: P1 : Penyata Saksi SP1 P2 : Laporan Polis Kuala Selangor/4033-4043/20 P3 : Borang Permintaan Pesanan Dadah Dalam Air Kencing (UPD) P4 : Borang Serah Menyerah Barang Kes ID5 : Laporan Patologi P6 : Penyata Saksi SP2 Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan: "(1) Any person who-