Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA PERMOHONAN SEMAKAN KEHAKIMAN NO: DA-25-7-03/2023 ANTARA MOHD ILAHI BIN MANAH … PEMOHON
DA-25-7-03/2023
High Court of Malaysia23 Apr 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“o show that the appellant was a member of the public service of the State of Kelantan. For the above reasons, we hold that the appellant is not a public servant within the meaning of Art. 132 of the Federal Constitution and as such she could not seek the protection given under Art. 135 of the Federal Constitution.” [37”
“an jawatan (reinstatement). Bantahan awal tersebut telah dibenarkan dan keseluruhan tuntutan perayu ditolak dengan kos. Perayu merayu. Peguam responden berhujah bahawa perayu telah dilantik di bawah Local Government Act 1976 dan oleh itu perayu bukanlah seorang pegawai awam yang berhak untuk menuntut untuk pengembalian”
“a diputuskan oleh Suffian FJ (ketika itu) dalam kes Government of Malaysia v. Rosalind Oh Lee Pek Inn [1973] 1 MLJ 222 dengan merujuk kepada kes Mahkamah Agung India, Roshan Lal v. Union of India AIA [1967] SC 1889 sepertimana berikut: “I should add that the contract between a public servant such as the plaintiff and t”
“an Amir Bin Endut v Prof Dato’ Wira Dr Mohamed & Anor [2017] MLJU 667; Ganasundram v Public Services Commission [1966] 1 MLJ 157; Dr Meer Ahmad Mydin Meera v Public Services Commission Malaysia & Ors [2010] ILR 225; Quek Chek Yen v Majlis Daerah Kulai [1986] 2 MLJ 290 dan Mohd Bin Ahmad v Yang Dipertua Majlis Daerah Je”
“rnment of Malaysia [1971] 2 MLJ 172 referred.” [26] Responden-Responden juga merujuk kepada kes-kes berikut bagi menyokong hujahannya iaitu Syahzan Amir Bin Endut v Prof Dato’ Wira Dr Mohamed & Anor [2017] MLJU 667; Ganasundram v Public Services Commission [1966] 1 MLJ 157; Dr Meer Ahmad Mydin Meera v Public Services C”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA PERMOHONAN SEMAKAN KEHAKIMAN NO: DA-25-7-03/2023 ANTARA MOHD ILAHI BIN MANAH … PEMOHON
1
PENGERUSI JAWATANKUASA PERKHIDMATAN, RAYUAN KENAIKAN PANGKAT DAN RAYUAN TATATERTIB MAJLIS DAERAH BACHOK
2
SETIAUSAHA MAJLIS DAERAH BACHOK
3
YANG DIPERTUA, MAJLIS DAERAH BACHOK
4
MAJLIS DAERAH BACHOK BANDAR
5
KERAJAAN NEGERI KELANTAN … RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Ini adalah permohonan semakan kehakiman oleh Pemohon yang merupakan seorang pekerja Responden Keempat berjawatan sebagai pembantu awam gred H11 yang telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Responden-Responden melalui notis penamatan perkhidmatan bertarikh 01/12/2022. Latar Belakang Kes [2] Melalui surat tawaran jawatan pembantu gred H11 di Responden Keempat bertarikh 28.09.2017 serta surat tawaran perlantikan ke jawatan pembantu awam (tetap) gred H11 di Responden Keempat juga bertarikh sama, Pemohon telah menerima tawaran kerja tersebut dan telah memulakan perkhidmatannya sebagai seorang pembantu awam gred H11 di Responden Keempat pada sekitar 01.10.2017. [3] Pada sekitar tahun 2020, Pemohon telah menerima sepucuk surat tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat daripada Responden Keempat yang ditandatangani oleh Responden Kedua bertarikh 31.03.2020 (selepas ini dirujuk sebagai “surat tindakan tatatertib tersebut”) di mana Pemohon telah dituduh dengan pertuduhan-pertuduhan berikut:
a
Pemohon dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan dadah berbahaya;
b
Pemohon dikatakan tidak hadir untuk menjalani ujian saringan air kencing; dan
c
Pemohon dikatakan tidak hadir bertugas tanpa cuti atau tanpa mendapat kebenaran ketua jabatan terlebih dahulu atau tanpa sebab yang munasabah. [4] Lanjutan daripada surat tindakan tatatertib tersebut Pemohon telah diberikan tempoh masa selama dua puluh satu (21) hari untuk mengemukakan suatu representasi dan selepas lebih kurang seminggu surat tindakan tatatertib tersebut diterima, Pemohon telah menghantar surat representasi kepada jabatannya dengan merujuk kepada surat tindakan tatatertib tersebut. [5] Surat representasi tersebut telahpun dikemukakan dalam masa yang ditetapkan namun begitu, Pemohon tidak menyimpan sesalinannya dan di dalam surat representasi tersebut suatu penjelasan telahpun diberikan bahawa Pemohon tidak pernah terlibat dengan mana-mana kes di Mahkamah malah tidak pernah dituduh di Mahkamah bagi kesalahan yang dikatakan dilakukan olehnya. Keputusan bagi kesemua ujian air kencing yang telah dijalankan juga adalah negatif dan Pemohon juga hanya gagal hadir untuk menjalani ujian air kencing sekali sahaja dan bukannya empat
4
kali sebagaimana dituduh. Pertuduhan-Pertuduhan yang dikemukakan tersebut telah disangkal sekeras-kerasnya dan Pemohon turut memberi penjelasan berkenaan hal cuti yang dikatakan dibuat tanpa kebenaran. Hal ini disebabkan bahawa Pemohon terpaksa menguruskan anaknya yang berkelainan upaya. [6] Setelah itu, Pemohon telah dipanggil dalam suatu sesi persidangan lembaga yang melibatkan tiga (3) orang panel dan telah dimaklumkan secara lisan oleh Setiausaha bagi Responden Keempat iaitu Responden Kedua bahawa Pemohon telah diberikan peluang kedua dan telah diberi nasihat supaya tidak mengulangi perkara yang sama. [7] Pemohon juga turut dimaklumkan bahawa tindakan tatatertib ke atasnya masih lagi dalam tempoh siasatan, tidak ada keputusan dan masih tidak boleh dibayar bonus. Pemohon bekerja seperti biasa namun digantung kenaikan gaji dan tidak mendapat sebarang bonus dan bantuan termasuk bantuan Covid-19. Gaji Pemohon telahpun dipotong untuk jumlah hari yang Pemohon tidak hadir bertugas tanpa cuti. [8] Seterusnya, pada sekitar Julai 2022, Pemohon ada bertanya kepada Setiausaha Responden Keempat yang baru bernama Tuan Mohd Ezazee Bin Mohd Embong berkenaan dengan penggantungan kenaikan gaji dan bonus kerana sudah dua (2) tahun lebih digantung kenaikan gaji dan bonus. Setiausaha atau Responden Kedua arahkan Pemohon untuk membuat ujian air kencing dan sekiranya negatif Pemohon tidak akan digantung lagi dan akan dapat kembali bonus yang sepatutnya diperoleh. [9] Namun begitu, lebih kurang sebulan kemudian, Pemohon telah menerima surat perintah gantung kerja bertarikh 22.08.2022 (selepas ini dirujuk sebagai “surat perintah gantung kerja tersebut”) di mana Pemohon telah dikenakan Perintah Gantung Kerja berkuatkuasa serta merta pada 22.08.2022. Melalui surat perintah gantung kerja tersebut juga, Pemohon digantung daripada menjalankan tugas-tugas sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subperaturan 28(6) dan 45(1)(B) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. [10] Setelah hampir dua (2) bulan berlalu, Pemohon telah melalui surat bertarikh 11.10.2022 dialamatkan kepada YBrs Tuan Haji Azi Rahimee bin Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Rayuan Kenaikan Pangkat dan Rayuan Tatatertib, Responden Pertama telah memohon status siasatan tindakan tatatertib berkaitan dengan perintah gantung kerjanya. [11] Selanjutnya, Pemohon telah menghantar surat ulangan pertama melalui surat bertarikh 22.11.2022 kepada YBrs Tuan Haji Azi Rahimee bin Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Rayuan Kenaikan Pangkat dan Rayuan Tatatertib bagi Responden Keempat iaitu Responden Pertama dalam permohonan semakan ini. [12] Pun begitu, selepas surat-surat bertarikh 11.10.2022 dan 22.11.2022 diberikan kepada Responden Pertama, suatu notis penamatan perkhidmatan bertarikh 01.12.2022 berserta sekeping Cek Maybank telahpun diserahkan kepada abang pemohon di rumahnya pada 07.12.2022 pada sekitar jam 12 tengah hari memandangkan Pemohon tiada di rumah pada waktu serahan tersebut dibuat. Abang Pemohon hanya memberikan sesalinan notis penamatan perkhidmatan tersebut berserta Cek Maybank tersebut bersama-sama sampulnya pada 08.12.2022 kepada Pemohon. Notis penamatan perkhidmatan bertarikh 01.12.2022 tersebut menyatakan bahawa perkhidmatan Pemohon telah ditamatkan berkuatkuasa tiga puluh (30) hari daripada tarikh notis. [13] Tidak berpuas hati dengan penamatan tersebut, Pemohon telah memfailkan permohonan semakan kehakiman ini. Isu-Isu Untuk Diputuskan [14] Daripada afidavit-afidavit serta hujahan-hujahan kedua-dua pihak, berikut adalah isu-isu yang ditimbulkan untuk penentuan Mahkamah:
i
Sama ada notis penamatan bertarikh 01.12.2022 adalah terjumlah kepada suatu “termination of contract of service” sebagaimana dakwaan Responden Pertama hingga Responden Keempat ataupun merupakan suatu pembuangan kerja sepertimana surat tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja ataupun turun pangkat bertarikh 31.03.2020 di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
II
(ii) Sama ada Sub-peraturan 28(6) dan 45(1)(b) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang disandarkan oleh Responden Keempat adalah tidak terpakai dalam kes Pemohon.
III
(iii) Sama ada berdasarkan kepada kronologi fakta kes itu sendiri, tindakan penamatan perkhidmatan tersebut adalah bertentangan dengan Peraturan 34 serta Peraturan 35 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di mana kesannya adalah fatal terhadap penamatan perkhidmatan Pemohon;
IV
(iv) Sama ada penamatan perkhidmatan Pemohon melalui Notis penamatan perkhidmatan tersebut adalah merupakan suatu ‘breach of procedural fairness’ di mana kesannya adalah fatal kepada penamatan tersebut.
v
Sama ada berdasarkan fakta kes, Pemohon telah menggunakan mode yang betul dengan memfailkan permohonan semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah Kaedah Mahkamah 2012. Isu Pertama Sama ada notis penamatan bertarikh 01.12.2022 adalah terjumlah kepada suatu “termination of contract of service” sebagaimana dakwaan Responden Pertama hingga Responden Keempat ataupun merupakan suatu pembuangan kerja sepertimana surat tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja ataupun turun pangkat bertarikh 31.03.2020 di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. [15] Berkenaan isu pertama ini, Pemohon menghujahkan bahawa permohonan semakan kehakiman ini adalah berpaksikan kepada surat tawaran jawatan pembantu awam gred H11 di Responden Keempat bertarikh 28.09.2017 (“surat tawaran tersebut”) dibaca bersama dengan surat tawaran perlantikan ke jawatan pembantu awam (tetap) gred 11 di Responden Keempat bertarikh sama (“surat tawaran perlantikan tersebut”) di mana Responden Keempat telah menawarkan jawatan tetap kepada Pemohon. [16] Pemohon juga menghujahkan bahawa surat tindakan tatatertib yang bertarikh 31.03.2020 tersebut merujuk kepada tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat dan surat tersebut adalah titik tolak kepada tindakan tatatertib terhadap Pemohon dengan tiga (3) pertuduhan dikenakan (di mana butirannya seperti tarikh dan waktu gagal dinyatakan) iaitu didakwa positif dadah, gagal hadir untuk menjalani ujian saringan air kencing serta tidak hadir bertugas di mana dinyatakan melalui surat tindakan tatatertib tersebut bahawa telah wujud kes prima facie terhadap Pemohon dan mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju supaya Pemohon ditamatkan perkhidmatan iaitu dengan hukuman buang kerja atau turun pangkat menurut Peraturan 37 P.U.(A) 395/1993) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. [17] Selain dari itu, Pemohon juga, sebagai menjawab hujahan Responden Keempat, menghujahkan bahawa sekiranya pun benar dakwaan pihak Responden Keempat bahawa penamatan perkhidmatan (‘termination of contract of service’) yang telah dibuat oleh pihaknya, maka tindakan tersebut itu sendiri telahpun bertentangan dengan perenggan 2.(d) Surat Tawaran bertarikh 28.09.2017 tersebut memandangkan tempoh perkhidmatan Pemohon telah melebihi setahun akan tetapi notis penamatan bertarikh 01.12.2022 menyatakan perkhidmatan Pemohon ditamatkan berkuatkuasa tiga puluh (30) hari daripada tarikh notis tersebut sedangkan perenggan 2.(d) surat tawaran bertarikh 28.09.2017 memperuntukkan: “Di dalam tempoh perkhidmatan tuan selanjutnya notis yang dikehendaki bagi kedua-dua pihak ialah 90 hari atau sebagai ganti notis membayar sebulan gaji termasuk Elaun Sara Hidup”. Dengan itu, tindakan Responden Keempat melalui Responden Pertama yang telah menamatkan perkhidmatan Pemohon adalah bertentangan dengan terma surat tawaran bertarikh 28.09.2017 itu sendiri. [18] Berdasarkan hujah-hujah tersebut Pemohon membuat konklusi bahawa penamatan perkhidmatan Pemohon tersebut adalah fatal kerana bertentangan dengan duluan undang-undang dan penamatan perkhidmatan Pemohon tersebut oleh Responden-Responden adalah tidak sah. [19] Pemohon mengatakan bahawa prosiding tatatertib yang dijalankan terhadap Pemohon tidak selaras dengan Artikel 135(2) Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada “No public servant may be dismissed or reduce in rank without being given a reasonable opportunity of being heard” dan tidak sejajar dengan duluan undang-undang. [20] Pemohon merujuk kepada kes RAO SHARMIZA ABDUL RAHMAN Lwn. SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN MALAYSIA) [2017] 1 LNS 2191, di mana Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan seperti berikut: “[20] Pertama sekali, hubungan di antara penjawat awam dan Kerajaan adalah seperti mana diputuskan oleh Suffian FJ (ketika itu) dalam kes Government of Malaysia v. Rosalind Oh Lee Pek Inn [1973] 1 MLJ 222 dengan merujuk kepada kes Mahkamah Agung India, Roshan Lal v. Union of India AIA [1967] SC 1889 sepertimana berikut: “I should add that the contract between a public servant such as the plaintiff and the government is of a very special kind, for as was stated by Ramasami J. at page 1894 when delivering the judgment of the Indian Supreme Court in Roshan Lal v. Union of India AIA [1967] SC 1889: “It is true that the origin of Government service is contractual. There is an offer and acceptance in every case. But once appointed to his post or office the Government servant acquires a status and his rights and obligations are no longer determined by consent of both parties, but by statute or statutory rules which may be framed and altered unilaterally by Government….The hall-mark of status is the attachment to a legal relationship of rights and duties imposed by the public law and not by mere agreement of the parties.” [21] Berkenaan dengan isu pertama ini pihak Responden-Responden pula menghujahkan bahawa memang tidak dinafikan bahawa melalui surat tawaran jawatan pembantu awam gred H11 dan surat tawaran perlantikan ke jawatan pembantu awam (tetap) gred 11, Pemohon telah menjadi pekerja kepada Responden Keempat namun menurut peruntukan surat tawaran tersebut, Pemohon perlu menjalani tempoh percubaan selama 3 tahun. [22] Menurut syarat tawaran tersebut juga, sebelum Pemohon boleh dipertimbangkan untuk disahkan dalam perkhidmatan, Pemohon perlu menghadiri kursus induksi, lulus peperiksaan perkhidmatan yang ditetapkan serta diperakui oleh ketua jabatan Pemohon. [23] Sekiranya Pemohon tidak disahkan jawatan dan tempoh percubaan Pemohon telah tamat, maka perkhidmatan Pemohon boleh ditamatkan. Responden-Responden juga mengatakan bahawa Pemohon tidak pernah disahkan jawatan oleh ketua jabatan Pemohon. [24] Oleh kerana Pemohon tidak disahkan jawatannya sebagaimana peruntukan surat tawaran tersebut, maka Pemohon tetap kekal sebagai pegawai dalam percubaan dan perkhidmatan Pemohon adalah tertakluk kepada syarat dan terma dalam surat tawaran tersebut sahaja. [25] Responden-Responden merujuk kepada kes ABD RAUF BIN ALIF v SURUHANJAYA PASUKAN POLIS & ANOR [2003]1 MLJ 18 di mana perayu telah diambil bekerja sebagai seorang pegawai dalam percubaan dengan pangkat timbalan penguasa polis. Perjanjian pekerjaan beliau memperuntukan penamatan perkhidmatan semasa tempoh percubaan dengan notis satu bulan atau pun gaji satu bulan sebagai ganti notis. Beliau kemudiannya diminta membuat representasi dalam jawapan. Walaupun beliau membuat representasi, perkhidmatan perayu telah ditamatkan dan beliau telah dibayar gaji satu bulan sebagai ganti notis. Perayu memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan semula pangkatnya namun telah ditolak dan seterusnya perayu merayu ke Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan perayu dan mengatakan: “This was a case of termination simpliciter. Under the laws of Malaysia, a distinction between dismissal and termination of service exists. The law also recognizes a distinction between a probationer and a permanent employee, be it in public or private sector. The appeal thus devoit of merit (see p 20D-F, H-I; Government of Malaysia v Lionel [1974] 1 MLJ 3 diikuti dan Lionel v Government of Malaysia [1971] 2 MLJ 172 referred.” [26] Responden-Responden juga merujuk kepada kes-kes berikut bagi menyokong hujahannya iaitu Syahzan Amir Bin Endut v Prof Dato’ Wira Dr Mohamed & Anor [2017] MLJU 667; Ganasundram v Public Services Commission [1966] 1 MLJ 157; Dr Meer Ahmad Mydin Meera v Public Services Commission Malaysia & Ors [2010] ILR 225; Quek Chek Yen v Majlis Daerah Kulai [1986] 2 MLJ 290 dan Mohd Bin Ahmad v Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol, Negeri Sembilan & Anor [1997] 2 MLJ 361. [27] Responden-Responden juga menimbulkan persoalan apakah sebenarnya hubungan Pemohon dengan Responden Keempat. Adakah Pemohon seorang kakitangan awam yang dilindungi haknya di bawah Perkara 135 Perlembagaan Persekutuan? [28] Responden-Responden menghujahkan bahawa Pemohon bukanlah seorang penjawat awam seperti yang ditakrifkan dalam Seksyen 3 Akta Interpretasi 1967 dan seperti yang disenaraikan dalam Perkara 132(1) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan Pemohon mendapat perlindungan di bawah Perkara 135 Perlembagaan Persekutuan. [29] Berdasarkan autoriti-autoriti yang dirujuk, Responden-Responden membuat konklusi bahawa oleh kerana Pemohon bukanlah seorang penjawat awam, maka perintah-perintah dan peraturan-peraturan pegawai awam adalah tidak terpakai kepada Pemohon. Dapatan Mahkamah berkenaan Isu Pertama: [30] Berkenaan dengan isu pertama ini, setelah Mahkamah ini meneliti hujahan daripada kedua-dua pihak, Mahkamah ini mendapati bahawa notis penamatan bertarikh 01.12.2022 adalah terjumlah kepada suatu “termination of contract of service” yang telah dibuat oleh Responden-Responden menurut peruntukan surat tawaran tersebut dan bukannya suatu pembuangan kerja sepertimana surat tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja ataupun turun pangkat bertarikh 31.03.2020 di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. [31] Ini adalah kerana hubungan antara Pemohon dengan Responden Keempat adalah hubungan pekerja dan majikan berdasarkan “contract of service” yang mana terma-terma serta syarat-syaratnya adalah sebagai mana yang dinyatakan dalam surat tawaran tersebut. [32] Hujahan Pemohon bahawa Pemohon adalah seorang penjawat awam kerana telah ditawarkan dengan jawatan “tetap” dan pemecatan Pemohon hendaklah dibuat menurut peruntukan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 adalah tidak boleh diterima. [33] Mahkamah bersetuju dengan hujahan Responden-Responden berdasarkan autoriti-autoriti yang dirujuk bahawa Pemohon bukanlah seorang penjawat awam sebagaimana yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 Akta Interpretasi 1967 dan jawatan Pemohon juga tidak disenaraikan dalam Perkara 132(1) Perlembagaan Persekutuan. [34] Perkara 132(1) Perlembagaan Persekutuan hanya menyenaraikan yang berikut sebagai penjawat awam:
a
Angkatan tentera;
b
Perkhidmatan kehakiman dan perundangan;
c
Perkhidmatan awam am Persekutuan;
d
Pasukan Polis;
e
(Dimansuhkan);
f
Perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133;
g
Perkhidmatan awam setiap Negeri; dan
h
Perkhidmatan pendidikan. [35] Surat tawaran jawatan pembantu awam gred H11 bertarikh 28/09/2017 kepada Pemohon telah dikeluarkan oleh Responden Keempat iaitu Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam. Tawaran tersebut bukan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan atau pun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan. [36] Dalam kes ROSNELI KUNDOR v. KELANTAN STATE ECONOMIC DEVELOPMENT CORPORATION [2004] 4 CLJ 492, Perayu mendakwa bahawa beliau adalah penjawat awam kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas alasan bahawa jawatan yang disandang adalah bertaraf tetap dan berpencen dalam Responden. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Perayu bukan penjawat awam di bawah Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan tidak layak kepada perlindungan di bawah Perkara 135 Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah mengatakan seperti berikut: “Turning to the present appeal, the appellant’s counsel relied solely on the appointment letter dated 23 June 1982 which stated that the post was “permanent and pensionable”. It is clear to us that the appointment letter was not from the Public Service Commission of the State. The letter of offer came from the Kelantan State Economic Development Corporation, a body incorporated. The appellant did not adduce any other evidence to show that the appellant was a member of the public service of the State of Kelantan. For the above reasons, we hold that the appellant is not a public servant within the meaning of Art. 132 of the Federal Constitution and as such she could not seek the protection given under Art. 135 of the Federal Constitution.” [37] Dalam kes MOHD BIN AHMAD v. YANG DI PERTUA MAJLIS DAERAH JEMPOL, NEGERI SEMBILAN & ORS [1997] 2 MLJ 361 perayu yang diambil bekerja oleh pihak berkuasa tempatan sebagai penyelia pasar telah dipecat oleh responden. Perayu menyaman responden memohon antara lainnya satu deklarasi bahawa pemecatan tersebut adalah tidak sah, batal dan tiada kesan, dan bahawa perayu adalah masih lagi penyelia pasar dan berhak kepada semua gaji dan manfaat daripada pekerjaannya. Peguam responden menimbulkan bantahan awal terhadap tuntutan perayu untuk pengembalian kedudukan jawatan (reinstatement). Bantahan awal tersebut telah dibenarkan dan keseluruhan tuntutan perayu ditolak dengan kos. Perayu merayu. Peguam responden berhujah bahawa perayu telah dilantik di bawah Local Government Act 1976 dan oleh itu perayu bukanlah seorang pegawai awam yang berhak untuk menuntut untuk pengembalian kedudukan jawatan (reinstatement). Perayu pula menghujahkan sebaliknya bahawa oleh kerana Perintah-Perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Bab D) 1980 yang biasa terpakai kepada pegawai awam dibuat terpakai secara nyata kepada perayu dan digunakan untuk memecatnya. Dalam muka surat 363, Mahkamah mengatakan: “Pekerja-pekerja pihak berkuasa tempatan, seperti perayu, pada amnya, digajikan semata-mata atas dasar kontrak dan mereka bukanlah pemegang jawatan awam kerana mereka bukanlah di bawah mana-mana kategori di bawah Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan. Pihak-pihak tidak boleh mengurniakan ke atas diri sendiri, supaya boleh diterima secara sah, taraf statutori khas yang diperuntukkan oleh statut; dalam kes ini; Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, tuntutan untuk pengembalian kedudukan jawatan yang boleh dibuat oleh pihak penuntut yang dibenarkan dalam Mahkamah Perusahaan atau oleh pemegang jawatan awam seperti yang dikelaskan di bawah Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan tidak terbuka kepada perayu. Prinsip itu terpakai dan dia berhak menuntut gantirugi hanya jika dia dapat membuktikan bahawa pemecatannya melanggar kontrak perkhidmatannya…….” [38] Oleh yang demikian, dan berdasarkan autoriti-autoriti yang dirujuk, Mahkamah ini mendapati dan memutuskan bahawa Pemohon bukanlah seorang penjawat awam dan perkhidmatan Pemohon dengan Responden Keempat adalah tertakluk kepada syarat-syarat dan terma-terma dalam perjanjian perkhidmatan di antara mereka iaitu surat tawaran tersebut. [39] Atas alasan tersebut juga Mahkamah ini mendapati dan memutuskan bahawa notis penamatan bertarikh 01.12.2022 adalah terjumlah kepada suatu “termination of contract of service” sebagaimana dakwaan Responden Pertama hingga Responden Keempat. Isu Kedua Sama ada Sub-peraturan 28(6) dan 45(1)(b) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang disandarkan oleh Responden Keempat adalah tidak terpakai dalam kes Pemohon. [40] Berkenaan isu kedua ini, Pemohon menghujahkan bahawa tidak wujud suatu subperaturan 45(1)(B) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagaimana yang dinyatakan di dalam tajuk surat perintah gantung kerja tersebut dan Pemohon telah digantung kerja berkuatkuasa serta merta pada 22.08.2022. [41] Pemohon juga menghujahkan bahawa Subperaturan 28(6) dan 45(1)(b) yang disandarkan oleh Responden Keempat adalah tidak terpakai dalam kes Pemohon memandangkan Pemohon tidak pernah terlibat dengan mana-mana pertuduhan kes jenayah di mana-mana Mahkamah malah tidak pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan jenayah. Tindakan Responden Keempat melalui Responden Pertama, Responden Kedua serta Responden Ketiga adalah bertentangan dengan duluan undang-undang sedia ada khususnya mengenai penamatan perkhidmatan dan/atau pembuangan kerja bagi seseorang kakitangan awam bersandarkan kepada subperaturan 28(6) dan 45(1)(B) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagaimana surat perintah gantung kerja tersebut. [42] Dengan itu Pemohon membuat konklusi bahawa penamatan perkhidmatan tersebut adalah fatal disebabkan ianya bertentangan dengan duluan undang-undang dan keputusan tersebut yang dicapai oleh Responden Keempat adalah tidak sah dan wajar diketepikan. Dapatan Mahkamah berkenaan Isu Kedua: [43] Berkenaan dengan isu kedua ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa isu kedua ini adalah berkaitan dengan isu pertama yang telah diputuskan dimana sebagai seorang yang bukan penjawat awam, adakah subperaturan 28(6) dan 45(1)(B) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terpakai terhadap Pemohon? [44] Oleh kerana Mahkamah ini telah membuat penemuan dan keputusan dalam isu pertama bahawa Pemohon bukanlah seorang penjawat awam maka adalah jelas bahawa subperaturan 28(6) dan 45(1)(B) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 adalah tidak terpakai terhadap Pemohon. Namun jikalau ia terpakai sekalipun, perlaksanaanya tidak boleh dijalankan ke atas Pemohon kerana Pemohon tidak pernah disabitkan di bawah apa-apa prosiding jenayah di Mahkamah. Isu Ketiga Dan Isu Keempat Sama ada berdasarkan kepada kronologi fakta kes itu sendiri, tindakan penamatan perkhidmatan tersebut adalah bertentangan dengan Peraturan 34 serta Peraturan 35 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di mana kesannya adalah fatal terhadap penamatan perkhidmatan Pemohon, dan Sama ada Penamatan perkhidmatan Pemohon melalui Notis Penamatan Perkhidmatan tersebut adalah merupakan suatu ‘breach of procedural fairness’ di mana kesannya adalah fatal kepada penamatan tersebut. [45] Berkenaan dengan isu ketiga dan keempat ini, Pemohon telah menghujahkan secara bersama untuk kedua-dua isu ini dan Pemohon menyenaraikan kronologi berikut yang membawa kepada penamatan perkhidmatan Pemohon:
a
28.09.2017- surat tawaran jawatan pembantu gred H11 di Responden Keempat bertarikh 28.09.2017 serta surat tawaran perlantikan ke jawatan pembantu awam (tetap) gred H11 di Responden Keempat juga bertarikh sama dikeluarkan.
b
01.10.2017 – Pemohon menerima tawaran kerja tersebut dan telah memulakan perkhidmatannya sebagai seorang pembantu am gred H11 di Responden Keempat pada 01.10.2017.
c
(c)
31
31.03.2020 – surat tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat daripada Responden Keempat yang ditandatangani Responden Kedua bertarikh 31.03.2020 dikeluarkan terhadap Pemohon.
d
21.04.2022 – Surat bayaran bantuan khas kewangan Aidilfitri tahun 2022 dan bantuan khas kewangan yang tertunggak dikeluarkan terhadap Pemohon oleh Responden Keempat melalui Responden Kedua kepada Pemohon.
e
22.08.2022 – Surat perintah gantung kerja pembantu awam (tetap) gred H11 sebagaimana diperuntukkan di bawah subperaturan 28(6) dan 45(1)(B) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dikeluarkan terhadap Pemohon oleh Responden Keempat melalui Responden Pertama.
f
(f)
11
11.10.2022 – Bukti penerimaan surat permohonan status siasatan tatatertib oleh Responden Keempat pada 12.10.2022.
g
27.12.2022 – Bukti penerimaan surat permohonan status siasatan tindakan tatatertib oleh Responden Keempat pada 29.12.2022.
h
01.12.2022- Notis penamatan perkhidmatan terhadap Pemohon dikeluarkan oleh Responden Keempat melalui Responden Pertama. [46] Pemohon seterusnya menghujahkan bahawa Peraturan 34 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 adalah merujuk kepada jika prosiding jenayah telah dimulakan terhadap seseorang pegawai dan masih belum selesai, tindakan tatatertib tidak boleh diambil terhadap pegawai itu berasaskan alasan yang sama manakala Peraturan 35 Peraturan- Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 adalah merujuk kepada seseorang pegawai yang dibebaskan oleh sesuatu Mahkamah daripada pertuduhan jenayah tidak boleh dikenakan tindakan tatatertib atas pertuduhan yang sama. Dalam kes semasa, adalah dihujahkan bahawa Pemohon tidak pernah dituduh di mana-mana Mahkamah jenayah berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah. [47] Selanjutnya Pemohon menghujahkan bahawa Peraturan-Peraturan 37, 37A, 37B, 37C dan 37D Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2009 berkenaan dengan pembentukan Jawatankuasa Penyiasatan dan prosedurnya juga gagal dipatuhi di mana Pemohon tidak pernah dimaklumkan berkenaan bagaimana siasatan dijalankan sedangkan Pemohon telahpun digantung kenaikan pangkat dan bonus sejak tahun 2020 lagi. [48] Pemohon telah diberikan notis penamatan perkhidmatan bertarikh 01.12.2022 berserta sekeping Cek Maybank melalui abangnya hanya setelah Responden Pertama diberikan surat-surat bertarikh 11.10.2022 dan 22.11.2022. Berdasarkan kepada surat perintah gantung kerja bertarikh 22.08.2022 tersebut, tempoh tahanan kerja yang dikenakan ke atas Pemohon juga adalah melebihi dua (2) bulan bertentangan dengan Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2009. [49] Bersandarkan kepada hal-hal di atas, Pemohon menghujahkan bahawa tindakan Responden Keempat melalui Responden Pertama, Responden Kedua dan/atau Responden Ketiga adalah bertentangan dengan prinsip asasi keadilan dan adalah merupakan suatu ‘breach of procedural fairness’ di mana Pemohon tidak pernah dimaklumkan mengenai alasan kenapa keputusan penamatan perkhidmatan tersebut dicapai oleh Responden Keempat. Malah, Pemohon juga tidak diberikan peluang untuk merayu terhadap keputusan penamatan perkhidmatan tersebut serta Pemohon hujahkan bahawa Responden Keempat melalui Responden Pertama, Responden Kedua dan/atau Responden Ketiga gagal untuk mempertimbangkan hukuman-hukuman lain yang ada di bawah peruntukan sebagaimana Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Segala fakta yang berpihak kepada Pemohon juga gagal diambilkira atau diteliti oleh Responden Keempat melalui Responden Pertama, Responden Kedua dan/atau Responden Ketiga dalam mencapai keputusannya terhadap Pemohon di mana Pemohon akhirnya ditamatkan perkhidmatan melalui notis penamatan perkhidmatan tersebut. [50] Pemohon merujuk kepada autoriti-autoriti ABDUL GHANI CHE MAT v. PENGERUSI SURUHANJAYA PASUKAN POLIS & ORS [2017] 3 CLJ 399; KHAIRUL AZIZI MAT SAAD v. TAN SRI ABDUL HAMID BADOR & ORS [2024] 1 CLJ 1; dan NASRUDDIN MOHAMAD v. KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU TERENGGANU & ORS [2023] 1 CLJ 31 bagi menyokong hujahannya. [51] Sebagai menjawab isu ini, Responden-Responden menghujahkan bahawa surat tawaran tersebut yang menjadi kontrak perkhidmatan Pemohon dengan jelas memperuntukkan kuasa Responden Keempat sebagai majikan untuk menamatkan perkhidmatan Pemohon dengan memberikan tiga puluh (30) hari notis bertulis atau membayar satu bulan gaji kepada Pemohon sebagai ganti notis. Responden-Responden juga menghujahkan bahawa tiada sebarang syarat yang menyatakan kewajipan Responden Keempat sebagai majikan untuk memaklumkan alasan penamatan kepada Pemohon, sekiranya ditamatkan. [52] Responden-Responden merujuk kepada autoriti-autoriti KAMAL ARIFF BIN HJ ABDUL RAHIM lwn MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG [2011] 4 MLJ 102; DR MEER AHMAD MYDIN MEERA v PUBLIC SERVICES COMMISSION & ORS [2010] 3 ILR 225; dan ZAKIAH BTE ISHAK v MAJLIS DAERAH HULU SELANGOR DARUL EHSAN [2005] 6 MLJ 517. Dapatan Mahkamah berkenaan Isu Ketiga dan Keempat. [53] Berkenaan dengan isu ketiga dan keempat ini, Mahkamah ini juga berpendapat bahawa isu ini juga berkait dengan isu pertama dan isu kedua yang telah dibincangkan di atas. Persoalannya masih sama dan berkisar kepada status atau kedudukan sebenar Pemohon dalam Responden Keempat dan samada Pemohon perlu diberi peluang untuk didengar sebelum penamatan boleh dibuat. [54] Autoriti-autoriti ABDUL GHANI CHE MAT v. PENGERUSI SURUHANJAYA PASUKAN POLIS & ORS [2017] 3 CLJ 399; dan KHAIRUL AZIZI MAT SAAD v. TAN SRI ABDUL HAMID BADOR & ORS [2024] 1 CLJ 1 yang dirujuk oleh Pemohon melibatkan anggota-anggota polis yang mana perkhidmatan mereka telah disenaraikan sebagai penjawat awam dalam Perkara 132(1) Perlembagaan Persekutuan manakala Pemohon bukanlah seorang penjawat awam. Maka prinsip undang-undang dalam kes-kes yang dirujuk tersebut adalah tidak terpakai dalam kes Pemohon ini. [55] Manakala dalam kes NASRUDDIN MOHAMAD v. KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU TERENGGANU & ORS [2023] 1 CLJ 31 pula antara persoalan yang dibahaskan adalah berkenaan peruntukan khusus Seksyen 45 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 yang dikatakan memberi kuasa kepada Responden Ketiga dalam kes tersebut untuk meminda peraturan, polisi, pekeliling dan arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan/atau Kerajaan Negeri. Dalam kes tersebut juga, Responden Ketiga telah menerima pakai Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Dalam kes ini juga, tindakan disiplin telah dimulakan terhadap perayu namun selepas menimbangkan rayuan perayu, perkhidmatan perayu telah ditamatkan atas dasar kepentingan awam. [56] Mahkamah ini mendapati bahawa kes NASRUDDIN MOHAMAD ini adalah berbeza dengan kes yang dibicarakan ini di mana dalam kes ini pemakaian Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan kedudukan atau status sama ada perayu adalah seorang pegawai awam atau tidak, juga tidak dipersoalkan. [57] Mahkamah ini juga meneliti kes yang dirujuk oleh Responden-Responden iaitu kes MOHD BIN AHMAD v. YANG DI PERTUA MAJLIS DAERAH JEMPOL, NEGERI SEMBILAN & ORS supra di mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seperti berikut di muka surat 367 para C - F: “Holders of the said public offices enjoy special protection through the Federal Constitution as conferred by its art 135 which provides that no holder of such office, subject to legislation or subsidiary legislation enacted for carrying out such protection, shall be dismissed or reduced in rank without being given a reasonable opportunity of being heard nor shall he be so dismissed or reduced in rank by any authority subordinate to that other authority which has power to appoint him. There are, of course, rules of disciplinary procedure provided for the purpose. We pause here to emphasize such protection is special, because, in an ordinary contract of employment or personal service, an employee need not necessarily be given a reasonable opportunity of being heard before such dismissal or reduction in rank because such an employee cannot ordinarily in law compel his employer to reinstate him to his former job and therefore exercising a right of being heard is an exercise in futility in so far as it is sought to prevent such dismissal.” [58] Dalam muka surat 368 para G – I pula, Mahkamah Persekutuan mengatakan seperti berikut: “In the instant case, the supervisor has been or was undoubtedly an employee of a local council. It was the local council that sent the letter of offer dated 11 March 1983 offering him the post in question on its own behalf. It has never been disputed that this letter contained the terms and conditions of a contract of service which were unconditionally accepted by the supervisor. “Employees of local authorities are not holders of public offices holding office during the pleasure of the Yang di-Pertuan Agong or the ruler of any particular state, as the case may be, as they are not under any category under art 132 of the Federal Constitution except any employee in any local authority seconded from the State Government or the Federal Government. In general, the employees of local authorities are employed purely on a contractual basis.” [59] Dalam kes MOHD BIN AHMAD ini, perenggan 2(e) surat tawaran jawatan menerima pakai perintah-perintah Am Kerajaan, Pekeliling-Pekeliling dan lain-lain Arahan Pentadbiran yang dikeluarkan dari masa ke semasa mengenai kerja, kelakuan dan syarat-syarat perkhidmatan pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam. Syarat yang sama juga ada terdapat dalam perenggan 2(e) surat tawaran kepada Pemohon dalam kes yang dibicarakan ini. [60] Walau pun terdapat peruntukan jelas dalam surat tawaran bahawa perayu adalah tertakluk kepada Perintah Am, namun Mahkamah dalam kes MOHD BIN AHMAD masih lagi memutuskan bahawa perayu bukanlah seorang penjawat awam dan perayu adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam perjanjian perkhidmatan sahaja iaitu syarat-syarat yang dinyatakan dalam surat tawaran jawatan. [61] Rujukan juga dibuat oleh pihak Responden-Responden kepada kes ZAKIAH BTE ISHAK v MAJLIS DAERAH HULU SELANGOR DARUL EHSAN [2005] 6 MLJ 517 di mana perayu dalam kes ini telah ditawarkan jawatan sebagai bendahari responden iaitu sebuah kerajaan tempatan yang ditubuhkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Perayu telah menerima tawaran tersebut dan telah memulakan tugasnya. Responden kemudiannya telah cuba menamatkan kontrak perayu dengan memberikan 3 bulan notis menurut klausa 9 kontrak namun sebelum tamat tempoh tiga bulan tersebut, berikutan mesyuarat dengan lembaga tatatertib, responden telah menamatkan pekerjaan perayu dengan notis 24 jam dan membayar sebulan gaji kepada perayu. Klausa 9 kontrak pekerjaan perayu memperuntukkan seperti berikut: “9. MAJLIS boleh pada bila-bila masa memberhentikan perkhidmatan PEGAWAI dengan memberi 3 bulan notis secara bertulis seperti diperuntukkan dalam Jadual kepada perjanjian ini atau dengan memberi kepadanya satu bulan gaji sebagai ganti notis itu.” [62] Peruntukan yang sama berkenaan penamatan perkhidmatan terdapat dalam surat tawaran Pemohon dalam kes yang dibicarakan ini cuma terdapat sedikit kelainan dari segi tempoh masa notis yang perlu diberikan dimana surat tawaran pemohon memperuntukkan tempoh yang berbeza sekiranya penamatan dibuat dalam tempoh setahun pertama atau selepas setahun pertama. Untuk memudahkan rujukan, diperturunkan peruntukan perenggan 2(d) surat tawaran Pemohon (Ekshibit MIBM-2 Afidavit sokongan Pemohon): “Dalam tahun pertama perkhidmatan tuan, tuan boleh diberhentikan dari jawatan pada bila-bila masa selepas diberi 30 hari notis ataupun sebagai ganti notis, dibayar sebulan gaji termasuk Elaun Sara Hidup. Di dalam tempoh perkhidmatan tuan selanjutnya notis yang dikehendaki bagi kedua-dua pihak ialah 90 hari atau sebagai ganti notis membayar sebulan gaji termasuk Elaun Sara Hidup.” [63] Dalam kes ZAKIAH BTE ISHAK ini, Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut: “[8] ….. From the fact presented, it is clear that the appellant was offered the post on one year contract subject to the right of either party to terminate the same by giving the other the requisite notice or in leu thereof one month’s salary. The appellant accepted the offer on those terms. She cannot now complaint. The premise upon which the respondent decided to terminate her contract is strictly a matter for the respondent. It is not open to the appellant to question the motive of the respondent. In this case it is clear that the appellant’s service with the respondent was terminated; she was not dismissed as contended by learned counsel for the appellant. Therefore, she need not be given a right of hearing to exculpate herself. [15] Following the authorities cited above we hold that the fact that some allegations of misconduct were made against the appellant would not bar the respondent from terminating the services of the appellant pursuant to the terms of employment. If as contended by learned counsel for the appellant the only way the respondent could act against the appellant is by way of disciplinary action then it would be placing the appellant in a better position than another employee who had been engaged on similar terms but had not committed any breach of discipline. In the latter case his services could be terminated by giving three months notice or in leu thereof one month’s salary but not in the case of appellant. It would mean that the only way to get rid of the appellant is by way of disciplinary action. We are unable to accept that. In the circumstances of this case we would have thought that by terminating her service, it saves the appellant from the ignominy of dismissal. The appellant has no basis to complaint. That answers the first and main point raised in this appeal.” [64] Walaupun terdapat perbezaan dari segi status kontrak pekerjaan yang ditawarkan dalam kes ZAKIAH BTE ISHAK dengan kes yang dibicarakan ini iaitu dalam kes ZAKIAH BTE ISHAK jawatan yang ditawarkan adalah secara kontrak selama setahun manakala dalam kes yang dibicarakan ini jawatan yang ditawarkan kepada Pemohon adalah tetap, namun dalam kedua-dua kes ini, kontrak pekerjaan mempunyai terma atau syarat berkenaan penamatan yang hampir sama. Oleh kerana terma kontrak adalah hampir sama, perbezaan pada status jawatan sama ada jawatan ditawarkan secara kontrak atau secara tetap, tidak membawa apa-apa kesan material untuk dijadikan kes perbandingan. [65] Dalam kes yang dibicarakan ini, sepertimana yang telah dihujahkan oleh Peguam Pemohon yang bijaksana bahawa pada awalnya tindakan yang telah diambil oleh Responden-Responden terhadap Pemohon adalah menjurus kepada suatu tindakan disiplin, kononnya Pemohon terlibat dalam pelbagai salah laku dan perlanggaran disiplin sehingga membawa kepada penggantungan perkhidmatan Pemohon. Namun akhirnya Responden-Responden telah menukar hala dan arah tindakan mereka kepada penamatan perkhidmatan menurut kontrak. [66] Mahkamah ini menyedari akan pengubahan hala atau arah tindakan Responden-Responden di saat akhir tersebut namun Mahkamah ini terikat dengan prinsip stare decisis dengan keputusan-keputusan Mahkamah yang lebih tinggi seperti keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes ZAKIAH BTE ISHAK dan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes MOHD BIN AHMAD khususnya dalam kes ZAKIAH BTE ISHAK di mana Mahkamah mengatakan bahawa: “Following the authorities cited above we hold that the fact that some allegations of misconduct were made against the appellant would not bar the respondent from terminating the services of the appellant pursuant to the terms of employment”. [67] Walaupun terdapat tindakan-tindakan yang menjurus kepada salah laku Pemohon sehingga membawa kepada penggantungan Pemohon, ianya tidak menghalang Responden-Responden daripada menamatkan perkhidmatan Pemohon berdasarkan surat tawaran tersebut. Oleh itu bagi isu ketiga dan keempat ini, Mahkamah ini mendapati dan memutuskan bahawa penamatan yang telah dibuat oleh Responden-Responden terhadap Pemohon adalah berdasarkan terma-terma surat tawaran jawatan Pemohon. [68] Penamatan berdasarkan terma-terma surat tawaran jawatan ini tidak memerlukan Responden-Responden memberikan apa-apa alasan bagi menamatkan perkhidmatan Pemohon dan Pemohon tidak perlu diberikan hak untuk didengari. Oleh itu, Penamatan perkhidmatan Pemohon ini tidak menyebabkan “breach of procedural fairness”. Isu Kelima Sama ada berdasarkan fakta kes, Pemohon telah menggunakan “mode” yang betul dengan memfailkan permohonan semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah Kaedah Mahkamah 2012. [69] Berkenaan isu kelima ini, Responden-Responden menghujahkan bahawa Pemohon bukanlah seorang penjawat awam sebagaimana yang disenaraikan dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan Pemohon tidak layak mendapat perlindungan di bawah Perkara 135 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan tatatertib) 1993 adalah tidak terpakai ke atas Pemohon. [70] Responen-Responden juga menghujahkan bahawa hubungan antara Pemohon dan Responden Keempat adalah semata-mata kontraktual di bawah “private law” dan bukannya “public law”. Oleh yang demikian permohonan semakan kehakiman bukanlah “mode” yang betul untuk Pemohon mencabar keputusan penamatan perkhidmatan Pemohon dalam Responden Keempat kerana pra syarat untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman adalah pertikaian mestilah mempunyai unsur-unsur “public law”. [71] Bagi isu ini, Responden-Responden telah merujuk kepada kes SHAHZAN AMIR BIN ENDUT v PROF DATO WIRA DR MOHAMED & ANOR [2017] MLJU 667 di mana Responden telah membangkitkan bantahan awal terhadap pemfailan semakan kehakiman atas alasan ianya adalah mode yang salah kerana pertikaian dalam kes tersebut tidak melibatkan public law atau exercise of public function. [72] Dalam kes SHAHZAN AMIR BIN ENDUT Mahkamah Tinggi telah memutuskan seperti berikut: “[33] . . . . pertikaian antara pemohon dan responden kedua menjurus kepada penamatan perkhidmatan berdasarkan kontrak perkhidmatan ia melibatkan “private law” dan bukannya “public law”. Pemohon sewajarnya tidak dibenarkan memilih “mode” di bawah permohonan untuk semakan kehakiman dan tindakan perlu diambil berdasarkan writ terhadap responden kedua.” Dapatan Mahkamah berkenaan Isu Kelima [73] Walaupun keputusan kes SHAHZAN AMIR BIN ENDUT ini tidak mengikat Mahkamah ini, namun Mahkamah ini bersetuju dengan alasan yang diberikan dalam kes tersebut. Dalam kes yang dibicarakan ini juga hubungan antara Pemohon dan Responden Keempat adalah kontraktual maka ianya hanya melibatkan “private law” semata-mata. [74] Oleh yang demikian, Mahkamah ini mendapati dan memutuskan bahawa permohonan semakan kehakiman yang dibuat oleh Pemohon ini bukanlah satu “mode” yang betul untuk mencabar penamatan perkhidmatannya dengan pihak Responden Keempat. Kesimpulan [75] Berdasarkan kepada perkara-perkara serta alasan-alasan yang telah dinyatakan di atas, Mahkamah ini, dengan hormatnya, menolak permohonan semakan kehakiman Pemohon dengan kos. Tarikh: 14 Julai 2024. (MOHD ROSLI BIN YUSOFF) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (3), Kota Bharu. PIHAK-PIHAK: Bagi pihak Pemohon: Dato’ Sukri bin Haji Mohamed, Tetuan Wan Haron Sukri & Nordin, PT 1180-1183, Tingkat 2, Jalan Kebun Sultan, 15350 Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak Responden 1-4: Tuan Mohd Rizwani bin Adam, Tetuan Rithauddeen & Aziz, Tingkat 6, Bangunan PKINK, Jalan Tengku Maharani, 15000 Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak Responden 5: Tuan Adam bin Mohamed@Mamat, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Tingkat Bawah, Blok 5, Kota Darulnaim, 15050 Kota Bharu, Kelantan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.