Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN JENAYAH 3 SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN NO KES: BA-62D-104-07/2024 PENDAKWA RAYA DAN MOHD IRFAN BIN ISHAK (NO. KP: 811011-08-5425)
BA-62D-104-07/2024
Sessions Court of Malaysia11 Sept 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN JENAYAH 3 SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN NO KES: BA-62D-104-07/2024 PENDAKWA RAYA DAN MOHD IRFAN BIN ISHAK (NO. KP: 811011-08-5425)
1
PENDAHULUAN Dalam kes ini, pada 4-7-2024 Orang Kena Tuduh yang dinamakan di atas (OKT) telah dipertuduhkan dengan pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) kerana memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam tubuh badannya sendiri. Oleh kerana OKT telah mempunyai 4 rekod kesalahan lampau sebelum ini iaitu 1 di Mahkamah Majistret Jerantut (tahun 2012), 1 di Mahkamah Majistret Bentong (tahun 2014) dan 2 di Mahkamah Majistret Maran (tahun 2015 dan 2016), maka OKT di sini berhadapan dengan hukuman di bawah Seksyen 39C(1)(b) ADB dibaca bersama S.38B ADB 1952 (pindaan 2002) yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada 5 tahun dan tidak melebihi 7 tahun dan sebatan tidak melebihi 3 kali diikuti dengan Perintah Pengawasan tidak kurang 2 tahun dan tidak melebihi 3 tahun.
2
OKT tidak mengaku salah pada kali pertama pertuduhan dibacakan di Mahkamah ini. Oleh itu Mahkamah menetapkan sebutan serahan dokumen dan status lantikan peguam pada 3-9-2024.
3
Pada 3-9-2024 tersebut, Timbalan Pendakwaraya (TPR) telah memohon pindaan lisan terhadap Pertuduhan bagi meminda kesilapan menaip hukuman pada kesalahan lampau OKT semasa di Mahkamah Majistret Maran (nombor 4), dan telah dibenarkan Mahkamah. Kemudian, selepas Pertuduhan terpinda dibacakan semula kepada OKT dan difahaminya, OKT menukar pengakuan terhadap Pertuduhan terpinda tersebut kepada pengakuan bersalah. TPR memohon tarikh singkat untuk meneliti fakta kes sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman. Tarikh seterusnya ditetapkan untuk Fakta dan Hukuman pada 11-9-2024. OKT masih tidak melantik peguam.
4
PERTUDUHAN PINDAAN Pada 11-9-2024. TPR mengemukakan Pertuduhan Pindaan dan mohon agar dibacakan kepada OKT. OKT tidak melantik peguambela. Terdapat 2 perkara dalam Pertuduhan Pindaan ini, yang difailkan pada 10-9-2024 (lampiran 6 cms). Pertama, iaitu mengenai nama OKT yang dipinda daripada Mohd Irfain bin Ishak kepada Mohd Irfan bin Ishak. Sesalinan Surat Pengesahan nama OKT daripada Jabatan Pendaftaran Raub bertarikh 6-9-2024 dikemukakan dan ditandakan Lampiran A.
5
Perkara kedua, ialah berkenaan pertuduhan yang dikenakan terhadap OKT telah ditukar daripada kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1)(b) ADB kepada kesalahan yang sama tetapi dengan hukuman di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB iaitu, jika sabit salah, dihukum dengan hukuman denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun diikuti Perintah Pengawasan tidak kurang 2 tahun dan tidak lebih 3 tahun.
6
Pertuduhan Pindaan ini ditandakan sebagai Lampiran B dan dibacakan semula kepada OKT. Pertuduhan Pindaan adalah seperti berikut. Pertuduhan Pindaan: Bahawa kamu pada 20.2.2024 jam lebih kurang 6.00 petang bertempat di tandas Balai Polis USJ 8, IPD Subang Jaya, dalam daerah Petaling, dalam negeri Selangor Darul Ehsan, didapati kamu telah memberikan kepada diri kamu sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah seksyen 15(1) akta yang sama. Hukuman: Denda tidak melebihi RM5,000 atau pemenjaraan tidak lebih dua tahun. Seksyen 38B ADB : Perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 3 tahun.
7
FAKTA KES PENDAKWAAN Selepas Pertuduhan Pindaan dibacakan semula kepada OKT dalam Bahasa Melayu, OKT faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan. TPR selanjutnya mengemukakan fakta kes seperti berikut.
a
Pengadu adalah seorang pegawai polis bernama S/I Noorzi bin Ismail. Pada 20-2-2023 jam lebih kurang 6 petang bersabit report Putra Heights / 961/24 dan bertempat di tandas balai polis USJ 8, IPD Subang Jaya, Pengadu bersama L/Kpl 203320 telah menjalankan ujian saringan awal air kencing terhadap tertuduh iaitu Mohd Irfan bin Ishak.
b
Ujian saringan awal telah dijalankan menggunakan botol urin bernombor C0350243 dan hasil ujian mendapati ujian awal air kencing positif methamphetamine. Selanjutnya pengadu telah membuat satu laporan polis USJ 8/ 2548/24. (c ) Botol air kencing tersebut telah dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur dan hasil pemeriksaan adalah air kenicng tertuduh positif Amphetamine dan Methamphetamine yang mana disahkan oleh Pegawai Sains Puan Nordiana binti Rosli. Oleh itu tertuduh dituduh di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 kerana memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
8
Fakta kes dibacakan kepada OKT oleh jurubahasa Mahkamah, difahaminya dan diakuinya. Fakta Kes ditandakan eksibit P1.
9
Seterusnya TPR mengemukakan eksibit pendakwaan yang lain iaitu – a) Laporan polis USJ 8 / 2548/24 bertarikh 20-02-2024 – ditandakan P2; b) Borang akuan pemberian urine – ditandakan P3; c) 3 keping gambar botol urine OKT – ditandakan P4 (A-C); d) Borang Ujian Penilaian Dadah OKT – ditandakan P5; e) Laporan Makmal dari Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur – ditandakan
10
PENGAKUAN SALAH OKT DIREKODKAN MAHKAMAH Semua eksibit pendakwaan diakui benar oleh OKT dan ditandakan sebagai eksibit pendakwaan. Mahkamah selanjutnya menerima pengakuan bersalah OKT dan mendengar rayuan mitigasinya sebelum hukuman dijatuhkan.
11
MITIGASI OKT OKT merayu supaya hukumannya diringankan dan diberikan hukuman minima bermula dari tarikh tangkapnya pada 20-2-2024 dan mohon supaya dipenjarakan di penjara Bentong bagi memudahkan keluarga melawatnya nanti. OKT berasal dari negeri Pahang. OKT menyatakan dia telah ditangkap pada 20-2-2024 dan terus dituduh di bawah S.39C ADB di Mahkamah Sesyen Temerloh. Pada masa ini, OKT juga menyatakan dia sedang menjalani hukuman bagi kesalahan tersebut di Penjara Sungai Buloh bermula 13-3-2024.
12
Sementara itu TPR dalam hujahan pemberatannya memohon supaya Mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat berbentuk “deterrent” kepada OKT dengan mengambilkira kepentingan awam.
13
PENILAIAN MAHKAMAH Mahkamah selepas berpuas hati dengan keterangan pihak pendakwaan dan mendengar rayuan OKT, telah mendapati OKT bersalah dan mensabitkan OKT bersalah bagi Pertuduhan Pindaan di atas. Pengakuan salah OKT telah menjimatkan masa Mahkamah dan sewajarnya mendapat hukuman minima. Mahkamah juga mengambil kira OKT sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahannya di Mahkamah Sesyen Temerloh bagi no. kes CB-62D-212- 08/2024 di mana OKT dihukum penjara 7 tahun bermula 17-3-2024 dan dikenakan 3 kali sebatan diikuti 2 tahun pengawasan selepas selesai hukuman pemenjaraan. Butir-butir hukuman ini telah diperolehi daripada pihak Penjara Sg. Buloh untuk dimasukkan ke dalam borang waran memenjara OKT.
14
Oleh kerana OKT sedang dalam tempoh pemenjaraan, Mahkamah berpendapat hukuman yang wajar bagi OKT adalah pemenjaraan, meskipun Seksyen 15(1)(a) ADB juga memperuntukkan hukuman denda.
15
Dalam menentukan jenis hukuman (sama ada denda atau penjara) dan jangka masa pemenjaraan terhadap OKT, Mahkamah telah merujuk kes-kes terdahulu supaya tidak mengenepikan prinsip-prinsip keadilan terhadap OKT dan kepentingan awam.
16
Dalam kes PP v. Jessica Lim Lu Ping & Anor [2004] 2 CLJ 763, Mahkamah Tinggi telah memutuskan tiada ketentuan yang khusus untuk menentukan jenis hukuman dan tempoh hukuman pemenjaraan tetapi Mahkamah dalam menjalankan budibicaranya, boleh merujuk kepada hukuman terdahulu yang diberikan oleh Mahkamah sebelum ini bagi kesalahan yang sama apatah lagi dalam situasi di mana OKT telah mengaku salah dan menjimatkan masa semua pihak, ayatnya disalinkan seperti berikut : "Despite decades of sentencing by the Malaysian courts no golden rule has yet evolved in the sentencing of accused persons following a conviction in criminal cases. Neither have the courts evolved a cast iron formula to be followed in sentencing. However, there has always been a general flexible principle that all courts have a flexible and free discretion to be exercised judicially and with a judicial conscience in deciding the period in which a guilty criminal will be incarcerated in prison. Nonetheless, our courts have evolved a general flexible rule propounded through numerous decided cases that where an accused person pleads guilty without contesting the charge or charges against him in a trial which might consume many days, involving prosecutors, witnesses, documents, police officers and chemists the courts lean in favour of imposing a reduced sentence. A "plea of guilty" achieves the disposal of a criminal case with lightening (sic) speed. Every contest and trial leads to backlog of undisposed criminal cases clogging the courts and the prisons with remand prisoners. It is in the public interest that pending criminal cases be disposed off (sic) as expeditiously as possible and accused persons who plead guilty be imposed with a reduced sentence. Honesty is an (sic) universal obligation and a reduced sentence encourages honesty when an accused pleads guilty, the end result being that more accused persons would willingly admit guilt without a trial, thus, reducing the workload of the prosecutor's office and the clearance of the backlog of cases."
17
Dalam menetapkan hukuman ini, Mahkamah berharap OKT akan menyesali perbuatannya dan hukuman yang dijatuhkan ini mampu memberikan pengajaran kepada OKT supaya kembali menjadi warganegara yang boleh menyumbang kepada negara.
18
Ini adalah prinsip undang-undang yang mantap iaitu Mahkamah dibenarkan untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman berdasarkan kepada fakta kes. Mahkamah merujuk kepada kes Rex v. Kenneth John Ball [1951] 35 Cr. App. R. 164, apabila Hilbery J memutuskan bahawa - "Our law does not, therefore, fix the sentence for a particular crime, but fixes a maximum sentence and leaves it to the court to decide what is, within that maximum, the appropriate sentence for each criminal in the particular circumstances of each case. Not only in regard to each crime, but in regard to each criminal, the court has the right and the duty to decide whether to be lenient or severe."
19
Dalam kes Pendakwa Raya v. Mohamad Bin Tawakkal [2012] 7 CLJ 372 Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut: "Di dalam kes ini mahkamah perlu seimbangkan ciri "deterrence" dengan ciri "rehabilitation" di dalam mengenakan hukuman yang setimpal dan berpatutan - "to strike a right balance between the two". Sesuatu hukuman yang berciri "deterrence" bukan sahaja menghalang OKT daripada mengulangi kesalahannya di masa akan datang, tetapi juga perlu menghalang orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama; manakala hukuman yang berciri "rehabilitation" bertujuan untuk memulihkan OKT menjadi orang yang baik dan dapat diterima oleh masyarakat selepas menjalani hukuman berkenaan."
20
Mahkamah telah menggunakan garis panduan yang dinyatakan dalam kes tersebut dalam menjatuhkan hukuman yang berbentuk pencegahan ke atas OKT dan juga orang awam. Mahkamah berpendapat hukuman yang bertujuan memberi pesanan kepada orang awam ialah satu hukuman yang berbentuk pencegahan. Malah ia telah memberikan kesan dan mesej kepada orang awam agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
21
SEKSYEN 292(1) KTJ Selain itu Mahkamah juga terikat dengan peruntukan dalam Seksyen 292(1) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan tentang hukuman penjara bagi OKT yang disabitkan salah, dalam situasi di mana OKT sedang menjalani hukuman bagi kesalahan yang lain pada masa hukuman terkini hendak dijatuhkan. Seksyen 292(1) KTJ memperuntukkan seperti berikut,
292
Commencement of sentence of imprisonment on prisoner already undergoing imprisonment
1
When a person who is an escaped convict or is undergoing a sentence of imprisonment is sentenced to imprisonment, such imprisonment shall commence either immediately or at the expiration of the imprisonment to which he has been previously sentenced, as the Court awarding the sentence may direct.
22
Seksyen 292(1) KTJ ini mengikat Mahkamah ini supaya menjatuhkan hukuman kepada OKT bermula daripada tarikh perintah ini atau selepas tempoh pemenjaraan bagi hukuman sebelum ini tamat. Dalam hal ini, dalam menggunakan budi bicara Mahkamah sebagaimana yang disebutkan di atas tadi, Mahkamah berpendapat hukuman terhadap OKT sewajarnya bermula selepas hukuman daripada kes sebelum ini selesai dijalaninya, dengan harapan, pemanjangan tempoh hukuman penjara bagi OKT dapat menerbitkan keinsafan kepadanya, serta menghantar mesej pencegahan kepada orang awam yang menyaksikan prosiding ini dalam Mahkamah Terbuka.
23
KESIMPULAN Berdasarkan alasan di atas, maka Mahkamah telah memberikan hukuman penjara kepada OKT iaitu penjara 6 bulan bermula daripada tarikh hukuman di bawah S.39C dari Mahkamah Sesyen Temerloh kes no. CB-62D-212-08/2024 selesai dijalani; dan 2 tahun pengawasan selepas selesai hukuman pemenjaraan 6 bulan ini.
24
Bagi permintaan OKT supaya dipenjarakan di Penjara Bentong, Pahang, bagi memudahkan urusan lawatan keluarganya, Mahkamah mengarahkan perkara ini untuk dibawa kepada perhatian pihak penjara yang mana kuasa menempatkan banduan adalah di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Penjara. Walau bagaimanapun, perkara ini direkodkan untuk makluman.
25
Seterusnya eksibit pendakwaan dikembalikan kepada pihak TPR untuk dilupuskan mengikut budibicaranya selepas uplod ke dalam sistem cms.
26
Pada 23-9-2024 Tertuduh telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap hukuman yang dijatuhkan ini, supaya hukuman di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB tersebut dapat dijalankan serentak dengan hukuman bagi kesalahan dalam kes Mahkamah Sesyen Temerloh No. CB-62D-212-08/2024 tersebut. Disediakan oleh, Norazlin binti Othman Hakim Mahkamah Sesyen 3 Shah Alam Disediakan pada 29 September 2024. Pihak Pendakwaan: Timbalan Pendakwaraya, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Tingkat 4 Podium Utara, Bangunan Sutan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40512 Shah Alam, Selangor Pihak Pembelaan: OKT tidak diwakili. Rayuan difailkan melalui Penguasa Penjara Bentong, Pahang.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.