Content
1 MALAYSIA DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN DI MAHKAMAH SESYEN AMPANG KES TANGKAP NO. BC-62JSK-50-07/2022 PENDAKWARAYA LAWAN MOHD ISKANDAR IDRIS BIN MOHD FAUZI ALASAN PENGHAKIMAN
BC-62JSK-50-07/2022
Sessions Court of Malaysia31 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 MALAYSIA DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN DI MAHKAMAH SESYEN AMPANG KES TANGKAP NO. BC-62JSK-50-07/2022 PENDAKWARAYA LAWAN MOHD ISKANDAR IDRIS BIN MOHD FAUZI ALASAN PENGHAKIMAN
1
Ini adalah rayuan daripada pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah pada 31 Oktober 2025 di mana Mahkamah ini telah melepaskan dan membebaskan Responden dari pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta yang sama di akhir kes pendakwaan.
2
Responden (selepas ini dirujuk sebagai “OKT”) telah dituduh dengan pertuduhan berikut: Bahawa kamu pada 25 september 2020 jam lebih kurang 11.30 pagi bertempat di alamat Real International And Private School Cheras, Kampus Batu 13, Jalan Hulu Langat, Taman Koperasi Uda, 43100 Kajang, Dalam Daerah Hulu Langat, Dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu guru, dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan bernama xxxxx (no. Passort: xxxxxx) umur 11 tahun 7 bulan dengan cara menyentuh bahagian payudara dan peha kanak-kanak tersebut bagi tujuan seksual. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
3
OKT tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan pihak pendakwaan telah memanggil lima (5) orang saksi untuk membuktikan pertuduhan terhadap OKT iaitu: 1) SP1 - Leong Foo Hoo (Pengadu/ Ayah mangsa) 2) SP2 - Nur Hanisah binti Zulkifli (Guru REAL School) 3) SP3 – Mangsa 4) SP4 - Kawan mangsa 5) SP5 - Inspektor Maria Levoh (Pegawai Penyiasat)
4
Berikut adalah ekshibit-ekshibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan semasa perbicaraan dan telah ditandakan sebagai ekshibit: P1 (A-H) Gambar tempat kejadian P2 Gambar mangsa P3 Laporan Polis Bt 14 Ulu Langat 1847/20 P4 Salinan passport mangsa P5 Salinan passport mangsa P6 Gambar OKT P7 Letter of Appointment Real School P8 Letter of Acceptance of Resignation Letter Real School P9 Resignation Letter P10 Laporan Polis Bt 14 Ulu Langat 1876/20 P11 Rajah Kasar D12 Borang 1 CIC (Ulasan) D13 Borang 1 CIC (Transkrip) D14 (A-E) Borang 2, 3, 4, 6 CIC
5
Berikut adalah fakta kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan:
5
5.1 Pengadu (SP1) merupakan ayah kepada mangsa (SP3).
5
5.2 SP3 pula ialah seorang pelajar di REAL International School.
5
5.3 OKT merupakan seorang guru subjek muzik yang mengajar di REAL International School dan pada masa yang sama mengajar subjek muzik bagi kelas SP3.
5
5.4 SP3 menyatakan dia memilih untuk mempelajari alatan muzik jenis biola di kelas subjek muzik tersebut.
5
5.5 SP1 pada 29.9.2020 telah membuat laporan polis menyatakan bahawa anaknya SP3 telah dicabul oleh OKT berdasarkan Laporan Polis Batu 14 Ulu Langat 1847/20 (Ekshibit P3).
5
5.6 SP3 menyatakan pada 25.9.2020 jam lebih kurang 10.30 pagi hingga 11.30 pagi, semasa SP3 berada di dalam kelas subjek muzik, tertuduh telah mengajar SP3 untuk bermain biola dan OKT telah meminta SP3 untuk duduk rapat di sebelahnya.
5
5.7 Selepas itu, SP3 diminta oleh OKT untuk berdiri semasa bermain biola dan OKT telah berdiri di belakang SP3 untuk mengajar cara-cara memegang biola. Kemudian, OKT telah menyentuh kedua-dua bahagian dada SP3 menggunakan tangan kanan OKT dari arah belakang. Perbuatan tersebut dianggarkan oleh SP3 selama 10 saat.
5
5.8 Kemudian, semasa SP3 duduk dan sedang berlatih bermain biola, OKT telah memegang bahagian peha kanan sehingga ke bahagian kemaluan SP3. Semasa kejadian itu, OKT duduk di sebelah kanan SP3. Perbuatan tersebut dianggarkan oleh SP3 selama 1 hingga 2 minit.
5
5.9 SP3 menyatakan bahawa dia tidak selesa dan tidak suka dengan perbuatan OKT dan telah cuba mengalihkan tangan
5
5.10 SP3 kemudian telah pergi ke tandas dan kemudian rakan sekelas iaitu SP4 juga sampai ke tandas yang sama dan melihat SP3 sedang menangis. SP4 telah bertanyakan apa yang terjadi kepada SP3 dan kemudian SP4 meminta SP3 untuk ke pejabat sekolah dan SP3 dan SP4 telah pergi bersama.
5
5.11 Semasa di pejabat sekolah, SP3 dan SP4 telah berjumpa dengan Nur Hanisah (SP2) iaitu guru kelas di Real International School dan SP3 telah memaklumkan tentang kejadian tersebut.
5
5.12 Pada hari Selasa minggu seterusnya iaitu pada 29.9.2020, SP3 telah memaklumkan kepada SP1 berkenaan dengan perkara tersebut dan SP1 telah membawa SP3 ke Balai Polis untuk membuat laporan polis (Ekshibit P3).
6
Pendakwaan telah menghujahkan bahawa pihaknya telah berjaya membuktikan kes di tahap prima facie berdasarkan prinsip di dalam kes Balachandran v PP [2005] 2 MLJ 302.
7
Bagi membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dibaca bersama Seksyen 16 AKSKK terhadap OKT, elemen-elemen tersebut perlu dipenuhi oleh pendakwaan iaitu:
i
menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak;
II
(ii) tindakan tertuduh berbuat demikian adalah bagi tujuan seksual; dan
III
(iii) mempunyai hubungan amanah Huraian 1- Perbuatan menyentuh boleh melibatkan perbuatan menyentuh dengan menggunakan mana-mana bahagian badan atau dengan suatu objek dan boleh dilakukan melalui apa-apa sahaja termasuk apa-apa sahaja yang dipakai oleh orang yang menyentuh atau kanak-kanak yang disentuh. Huraian 2- Dalam menentukan apakah yang menjadi maksud seksual, mahkamah boleh menimbangkan, antara lain, bahagian badan yang disentuh, sifat dan takat perbuatan menyentuh atau kontak fizikal dan semua hal keadaan lain yang berkenaan dengan perlakuan itu.
7
Pihak Pendakwaan menyatakan telah berjaya memenuhi elemen-elemen tersebut melalui keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi.
8
Pendakwaan dalam usaha membuktikan elemen pertuduhan merujuk terlebih dahulu kepada Seksyen 2(1) AKSTK yang memperuntukkan bahawa akta tersebut terpakai kepada mana-mana kanak-kanak di bawah umur lapan belas tahun. Seterusnya, pendakwaan merujuk kepada Huraian 1 bagi Seksyen 14 AKSTKK yang menjelaskan bahawa perbuatan menyentuh boleh dilakukan dengan menggunakan apa-apa bahagian badan atau melalui suatu objek, dan sentuhan tersebut boleh berlaku melalui apa sahaja termasuk pakaian yang dipakai oleh pelaku atau kanak-kanak.
8
8.1 Berdasarkan keterangan SP3, mangsa telah menerangkan secara jelas bagaimana kejadian berlaku. SP3 menyatakan bahawa semasa sesi pembelajaran biola di dalam kelas, OKT telah memegang kedua-dua bahagian dadanya dari arah belakang dan kemudiannya memegang bahagian paha kanan sehingga ke bahagian kemaluannya. Perbuatan tersebut dilakukan ketika OKT sedang mengajar SP3 bermain biola, dan berlaku dalam tempoh yang digambarkan oleh SP3 sebagai sekitar 10 saat bagi sentuhan pada dada dan 1 hingga 2 minit bagi sentuhan di paha hingga ke kemaluan.
8
8.2 Identiti OKT tidak menimbulkan sebarang isu dalam perbicaraan ini. OKT adalah guru muzik di REAL International School dan merupakan guru kepada SP3 pada masa kejadian. Kewujudan hubungan tersebut disokong melalui dokumen pelantikan dan peletakan jawatan yang dikemukakan sebagai Ekshibit P7, P8 dan P9. Tambahan pula, SP3 telah mengecam wajah OKT melalui gambar yang ditunjukkan kepadanya di mahkamah (Ekshibit P6), sekaligus mengukuhkan lagi pengesahan identiti.
8
8.3 Berdasarkan hubungan tersebut, adalah jelas bahawa OKT berada dalam suatu hubungan amanah terhadap SP3, iaitu sebagai guru muzik yang mempunyai tanggungjawab profesional terhadap keselamatan dan kebajikan pelajarnya. Hubungan amanah ini adalah selaras dengan maksud Seksyen 14 AKSTK.
8
8.4 Akhir sekali, berkaitan usia mangsa, tiada pertikaian timbul dalam perbicaraan ini. Salinan pasport mangsa (Ekshibit P4 dan P5) mengesahkan bahawa SP3 berumur 11 tahun 7 bulan pada tarikh kejadian 25.9.2020, dan oleh itu seorang kanak-kanak dalam pengertian Seksyen 2(1) AKSTKK.
9
Pendakwaan kemudiannya merujuk kepada Huraian 2 Seksyen 14 AKSTK yang memperuntukkan bahawa bagi menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu bermaksud seksual, mahkamah boleh menimbangkan bahagian badan yang disentuh, sifat serta takat sentuhan tersebut, dan hal keadaan sekeliling kejadian.
9
9.1 Dalam kes ini, SP3 memberi keterangan bahawa OKT telah menyentuh kedua-dua bahagian dadanya serta memegang paha hingga ke bahagian kemaluannya. Pendakwaan berhujah bahawa bahagian dada dan kemaluan merupakan anggota badan yang sensitif dan berkaitan maruah, lebih-lebih lagi apabila melibatkan seorang kanak-kanak perempuan.
9
9.2 Pendakwaan turut merujuk kepada kes Noor Azmi Ibrahim v PP & Other Cases [2023] 6 CLJ 923 dan kes Mohd Khairul Azlan Mohd Napi v PP [2021] 1 LNS 1160 yang menegaskan bahawa mahkamah perlu mengambil kira keadaan semasa kejadian berlaku, termasuk situasi sunyi atau keadaan mangsa tidak berupaya melarikan diri, serta kewajipan mahkamah memberikan penelitian sewajarnya kepada keterangan kanak-kanak. Dalam kes ini, sekalipun kejadian berlaku dalam kelas, SP3 mengesahkan bahawa perbuatan OKT berlaku ketika mereka berdua-duaan semasa sesi pengajaran biola dan pelajar lain sedang membuat latihan sendiri. Oleh itu, ketiadaan saksi lain melihat kejadian tidak menjejaskan kredibiliti SP3 kerana seseorang mangsa tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk memastikan kehadiran saksi ketika kejadian.
9
9.3 Pendakwaan selanjutnya merujuk kepada kes Sakai Anak Sanga v PP [2021] 1 LNS 390 yang menegaskan bahawa tindakan seseorang perlu dilihat secara keseluruhan bagi menentukan sama ada ia bersifat seksual. Walaupun sesetengah sentuhan mungkin neutral jika dinilai secara terasing, apabila dilihat secara keseluruhan termasuk konteks, urutan perbuatan, dan keadaan tempat, perbuatan tersebut boleh membuktikan niat seksual. Dalam kes ini, tindakan OKT menyentuh dada SP3, kemudian paha sehingga ke kemaluan dalam tempoh masa singkat tetapi berulang jelas menunjukkan bahawa ia bukan perbuatan tidak disengajakan, tetapi satu perlakuan yang dilakukan dengan niat seksual. Prinsip undang-undang bahawa niat atau pengetahuan tidak dapat dibuktikan secara langsung tetapi boleh dibuktikan melalui inferens berdasarkan keadaan sekeliling, seperti diputuskan dalam Koh Tiong Hock v PP [2011] 4 MLJ 40 dan Chan Pen Leon v PP [1956] 1 MLJ 237. Dalam kes ini, keadaan sekeliling yang relevan termasuk arahan OKT supaya SP3 berdiri, tindakan OKT memegang dada dari belakang, kemudian paha hingga kemaluan, serta repetisi perbuatan tersebut sebanyak dua kali dalam tempoh berlainan. Ini merupakan rangkaian perlakuan yang konsisten dengan niat seksual, bukannya tindakan tersalah atau sentuhan tanpa maksud.
9
9.4 Tindakan OKT memohon meletakkan jawatan secara tergesa-gesa melalui surat peletakan jawatannya (Ekshibit P9) selepas kejadian adalah satu petunjuk bahawa OKT sedar perbuatannya itu salah di sisi undang-undang, sejajar dengan prinsip yang dinyatakan dalam kes Public Prosecutor v Shalima Bi [2016] 1 MLJ 799 bahawa tindakan melarikan diri atau cuba menjarakkan diri selepas perbuatan jenayah boleh menunjukkan kesedaran pelaku mengenai kesalahannya.
9
9.5 Berdasarkan keseluruhan keadaan, termasuk keterangan SP3 yang jelas, sifat sentuhan yang melibatkan bahagian sensitif tubuh seorang kanak-kanak, keadaan persekitaran semasa kejadian, repetisi perbuatan dalam tempoh masa singkat, serta inferens munasabah berdasarkan persekitaran, pendakwaan berpendapat mereka telah berjaya membuktikan elemen kedua pertuduhan, iaitu perbuatan OKT dilakukan bagi tujuan seksual.
10
Pihak pembelaan bagi menyangkal kes pendakwaan iaitu pembuktian elemen-elemen di bawah Seksyen 14(a) dan 16 AKSKK iaitu bahagian badan yang disentuh dengan niat seksual, menghujahkan terdapat perbezaan yang ketara tentang bahagian badan yang disentuh seperti yang terkandung di dalam laporan polis (P2), laporan dan ulasan CIC (D12) dan transkrip percakapan CIC
11
Pihak pembelaan seterusnya menghujahkan bahawa SP4 yang merupakan kawan mangsa yang berada di dalam kelas yang sama semasa kejadian yang dikatakan berlaku mengesahkan bahawa pada setiap masa tertuduh mengajar dengan menggunakan biola dan bownya sendiri semasa kelas berjalan. SP4 juga tidak nampak akan kejadian iaitu payudara dan peha SP3 disentuh.
12
Tiada juga dalam mana-mana keterangan oleh saksi lain yang menyatakan payudara SP3 disentuh dan diraba. Begitu juga dalam D12 iaitu ulasan atau laporan CIC juga tidak menyebut payudara SP3 telah diraba dan disentuh oleh tertuduh.
13
Berkenaan dengan sentuhan peha, pembelaan menghujahkan bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan sama ada peha kiri atau kanan SP3 yang telah disentuh. Ini adalah kerana SP1 dan SP3 menyatakan di dalam rakaman percakapan mereka bahawa peha kanan sehingga kemaluan telah disentuh. SP2 menyatakan bahagian kemaluan SP3 yang telah disentuh begitu juga keterangan SP4. Tiada keterangan yang menjurus kepada peha kiri atau kanan. SP3 pula semasa demonstrasi yang dilakukan oleh pihak pembelaan menyatakan bahawa tertuduh telah menyentuh peha kirinya dan seterusnya menyentuh kemaluannya dengan kelima-lima jarinya.
14
Berkenaan dengan samada sentuhan tersebut adalah dengan niat seksual, pihak pembelaan menghujahkan bahawa tiada elemen niat seksual yang dibuktikan oleh pendakwaan. Pihak pembelaan mencadangkan bahawa apa yang dirasakan oleh SP3 adalah sentuhan tidak sengaja dari “bow” semasa sesi pembelajaran. SP4 juga mengesahkan bahawa OKT memegang biola semasa mengajar tetapi dinafikan oleh OKT.
15
Pihak pembelaan juga menyatakan bahawa waktu kelas juga bercanggah antara saksi-saksi dan tiada siasatan yang dilakukan terhadap waktu kelas tersebut.
16
Tempat kejadian juga tidak dinyatakan secara spesifik dalam pertuduhan dan SP5 juga gagal menyiasat keadaan kedudukan kerusi meja di dalam kelas tersebut dan kehadiran pelajar lain. Kerusi dan meja bersusun rapat maka tiada peluang oleh OKT untuk membuat apa-apa sentuhan seksual terhadap mangsa.
17
Selain daripada di atas, pembelaan juga menghujahkan terdapat kelompongan dalam siasatan, dan keterangan SP1 adalah hearsay kerana ia merupakan keterangan dengar cakap isterinya iaitu ibu kandung SP3.
18
Berdasarkan kepada kes Balachandran v PP [2005] 2 MLJ 302 di m/s 316 menyatakan: “The test at the close of the case for the prosecution would therefore be: Is the evidence sufficient to convict the accused if he elects to remain silent? If the answer is in the affirmative then a prima facie case has been made out. This must, as of necessity, require a consideration of the existence of any reasonable doubt in the case for the prosecution. If there is any such doubt there can be no prima facie. As the accused can be convicted on the prima facie evidence it must have reached a standard which is capable of supporting a conviction beyond reasonable doubt”.
19
Di dalam kes PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457, Mahkamah Persekutuan menyatakan: “After the amendments to ss. 173(f) and 180 of the CPC, the statutory test has been altered. What is required of a subordinate court and the High Court under the amended sections is to call for the defence when it is satisfied that a prima facie case has been made out at the close of the prosecution case. This requires the court to undertake a maximum evaluation of the prosecution evidence when deciding whether to call on the accused to enter upon his or her defence. It involves an assessment of the credibility of the witnesses called by the prosecution and the drawing of inferences admitted by the prosecution evidence.”
20
Setelah mahkamah membuat penilaian maksimum (maximum evaluation) terhadap keterangan pendakwaan sebagaimana dikehendaki dalam kes Balachandran v PP dan PP v Mohd Radzi Abu Bakar, mahkamah mendapati bahawa keterangan yang dikemukakan tidak mencukupi untuk mensabitkan tertuduh sekiranya beliau berdiam diri. Wujud keraguan munasabah dalam kes pendakwaan. Oleh itu, tiada kes prima facie berjaya dibuktikan dan tertuduh dilepas dan dibebaskan.
21
Alasan-alasan adalah seperti berikut:
21
21.1 Keterangan SP3 dan SP4 menunjukkan percanggahan yang ketara berhubung masa, tempat dan keadaan kejadian. Keterangan saksi-saksi kanak-kanak tidak konsisten dan tidak mempunyai ciri “unusually convincing” kerana keterangannya berubah-ubah dan bersifat tidak konsisten, termasuk perbezaan versi kejadian dan cara perbuatan didakwa berlaku seperti di dalam rakaman percakapan dan keterangan di Mahkamah.
21
21.2 Mahkamah juga mengambil kira bahawa keterangan keadaan sekeliling semasa kejadian tidak disokong oleh bukti lain. Contohnya, isu kedudukan tempat duduk di dalam kelas, bilangan pelajar, serta jarak fizikal antara saksi dengan tertuduh sebagaimana ditunjukkan dalam gambar P1(g) dan P1(h), gagal meyakinkan mahkamah bahawa perbuatan yang didakwa boleh berlaku dalam keadaan sebenar. Mahkamah berpendapat adalah penting untuk mengemukakan keadaan fizikal kelas bagi mengesahkan dakwaan bahawa perbuatan OKT berlaku ketika mereka berdua-duaan semasa sesi pengajaran biola dan pelajar lain sedang membuat latihan sendiri.
21
21.3 SP5 juga di dalam siasatannya gagal menyiasat beberapa perkara yang ketara. Antaranya, masa kejadian yang didakwa berlaku adalah berbeza-beza dan tidak disahkan secara jelas; jadual waktu pada hari kejadian tidak disiasat bagi mengesahkan keberadaan saksi serta pergerakan pelajar (SP3 semasa keterangannya di mahkamah menyatakan bahawa kejadian berlaku selepas waktu rehat iaitu jam 930 pagi di mana di dalam rakaman percakapannya menyatakan kejadian berlaku jam 1230 tengahari. SP4 pula menyatakan kelas muzik adalah dari jam 9-10 pagi. SP1 dalam laporan polisnya menyatakan kejadaian dalam jam 1230 tengahari tetapi SP2 menyatakan kejadaian berlaku dalam jam lebih kurang 1145); keadaan fizikal kelas termasuk susun atur meja, kedudukan tempat duduk dan jarak antara guru serta pelajar tidak diperiksa walhal ia relevan untuk menentukan kemungkinan kejadian berlaku. Kehadiran pelajar-pelajar lain yang berada di dalam kelas juga tidak disiasat.
21
21.4 Seksyen 18 AKSTK memperuntukkan bahawa: “Walau apa pun yang bertentangan dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain, dalam apa-apa prosiding terhadap mana-mana orang berhubung dengan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini, atau apa-apa kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa, mahkamah boleh mensabitkan orang tersebut atas kesalahan itu berdasarkan keterangan tidak disokong oleh kanak-kanak, sama ada diberikan atas sumpah atau sebaliknya.” Walaupun peruntukan tersebut tidak mewajibkan keterangan kanak-kanak disokong oleh keterangan lain, mahkamah tetap bertanggungan untuk meneliti keterangan yang dikemukakan bagi memastikan kerelevanan, kebolehterimaan dan berat keterangan tersebut mengikut kaedah-kaedah keterangan yang terpakai. Ini termasuk penilaian terhadap keterangan saksi kanak-kanak, sama ada diberikan atas sumpah atau sebaliknya, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 133A Akta Keterangan 1950 (Akta 56) berhubung keterangan saksi kanak-kanak.
21
21.5 Dalam menjalankan fungsi tersebut, mahkamah telah menjalankan penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan pada akhir kes pendakwaan, bagi menentukan sama ada suatu prima facie kes telah berjaya dibuktikan. Prinsip ini adalah selaras dengan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 dan Balachandran v PP [2005] 1 CLJ 85, yang menegaskan bahawa suatu prima facie kes wujud apabila pendakwaan telah mengemukakan keterangan mengenai semua elemen penting pertuduhan yang, jika tidak dijelaskan atau tidak dipatahkan, adalah mencukupi untuk mensabitkan tertuduh.
22
Berdasarkan alasan-alasan yang telah dikemukakan di atas dan setelah Mahkamah mengambilkira kesemua aspek seperti yang telah dinyatakan, dan selepas menjalankan penilaian maksimum terhadap keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan bersama ekshibit-ekshibit yang dikemukakan dan setelah meneliti hujahan pembelaan dan pendakwaan, Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap OKT. Oleh yang demikian, OKT dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. DISEDIAKAN OLEH: Nurul Dr. Nurulizwan binti Ahmad Zubir Hakim Mahkamah Sesyen 3 Mahkamah Sesyen Ampang Selangor Darul Ehsan. 24 DISEMBER 2025 PENDAKWA RAYA: Muhammad Hairuliqram bin Hairuddin Timbalan Pendakwa Raya Mahkamah Sesyen Ampang Selangor Darul Ehsan. PEMBELAAN: Tetuan Hazza Khalid Suraya & Partners Unit 01-02, Aras 2 Susur Larkin Perdana, Larkin Perdana, 80350 Johor Bahru,
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.