Content
1 DALAM PERKARA MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA PILAH DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO. NB-82D-2-03/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA
NB-82D-2-03/2024
Magistrates Court of Malaysia12 Aug 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“akwaan khususnya SP3 dan SP4 ini menimbulkan keraguan serius terhadap identiti barang kes. Walaupun Mahkamah boleh menerima keterangan polis, namun ia hanya jika didapati munasabah (PP v. Mohamed Ali [1962] CLJU 129; [1962] MLJ 257) dan prinsip undang-undang menegaskan bahawa keterangan mereka tetap perlu dinilai denga”
“SP3 dan SP4 ini menimbulkan keraguan serius terhadap identiti barang kes. Walaupun Mahkamah boleh menerima keterangan polis, namun ia hanya jika didapati munasabah (PP v. Mohamed Ali [1962] CLJU 129; [1962] MLJ 257) dan prinsip undang-undang menegaskan bahawa keterangan mereka tetap perlu dinilai dengan **Note : Serial”
“kupi bagi membuktikan milikan atau pengetahuan (lihat **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 24 kes Roslan bin Hanapi v. Public Prosecutor [2015] MLJU 2151). Milikan memerlukan gabungan jagaan atau kawalan dan pengetahuan, bukan hanya kehadiran fizikal berhampi”
“f the complainant's evidence related to the second charge, her credibility was left in suspense. Therefore, her whole evidence must be disregarded b) Pendakwa Raya lwn Mohamad Nazri bin Saidin @ Saad [2024] MLJU 2680”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM PERKARA MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA PILAH DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO. NB-82D-2-03/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
Tertuduh dalam kes ini dituduh bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebagaimana berikut: - “Bahawa kamu pada 08.02.2024 jam lebih kurang 12.40 malam, bertempat di rumah LLN 40A Kampung Seri Jemapoh, di dalam daerah Kuala Pilah, di dalam Negeri Sembilan, telah didapati ada dalam milikan kamu satu (1) paket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal setelah dianalisis didapati berat bersih bahan tersebut ialah 0.17gram yang mengandungi Methamphetamine. Dengan itu, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama.”
2
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan perbicaraan penuh dijalankan. Di akhir kes Pendakwaan, Mahkamah setelah membuat penilaian secara maksimum terhadap keseluruhan keterangan saksi-saksi Pendakwaan, mendapati pihak Pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap Tertuduh. Oleh itu, Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri serta wang jaminan sebanyak RM6,000.00 dikembalikan kepada penjamin.
3
Pihak Pendakwaan telah memanggil 5 orang saksi iaitu: - SP1 Puan Yasmin Shahirah binti Noor Azman Pegawai Sains SP2 Lans Koperal Mohd Alif bin Hazrani Jurufoto SP3 Puan Nur Madiha binti Alias Isteri Tertuduh SP4 Inspektor Muhammad Hasif bin Razali Pegawai Serbuan SP5 Inspektor Mohd Afiq Aiman bin Mohd Nizam Pegawai Penyiasat
4
Naratif kes Pendakwaan adalah pada 8.2.2024 jam lebih kurang 12.40 malam, SP4 bersama pasukannya (Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Pilah) membuat serbuan di rumah beralamat LLN 40A, Kampung Seri Jemapoh, 72500 Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
5
Setibanya di tempat kejadian, SP4 memberi salam dan mengetuk pintu. Apabila SP3 membuka sedikit pintu rumah, SP4 melihat Tertuduh yang duduk di meja makan dalam rumah telah mengambil satu (1) beg kecil berwarna hitam (P12) di atas meja makan dan berlari masuk ke dalam bilik.
6
SP4 dan anggotanya telah bertindak masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik yang dimasuki oleh Tertuduh. SP4 memperkenalkan 4 diri dan membuat pemeriksaan fizikal terhadap Tertuduh, tidak menjumpai apa-apa barang salah.
7
Selanjutnya, SP4 membuat pemeriksaan di dalam bilik tersebut dan Tertuduh telah menyerahkan satu (1) beg hitam (P12) yang disembunyikan di bawah tilam.
8
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas P12 menjumpai satu (1) paket plastik lutsinar di dalamnya mengandungi dadah berbahaya disyaki syabu, dengan anggaran berat 0.27 gram (P5 sebelum dianalisis) dan satu
1
botol kaca yang telah diubah suai (P13) dipercayai digunakan untuk tujuan menghisap dadah. Tertuduh bersama barang kes kemudiannya dibawa ke IPD Kuala Pilah untuk tindakan lanjut. BEBAN PEMBUKTIAN DI AKHIR KES PENDAKWAAN [9] Di akhir kes Pendakwaan, beban statutori terletak kepada pihak Pendakwaan untuk membuktikan kes prima facie sebagaimana Seksyen 173(f)(i) Kanun Tatacara Jenayah dengan membuktikan semua elemen pertuduhan. Mahkamah hendaklah menilai secara maksimum keseluruhan keterangan saksi dan eksibit bagi menentukan sama ada pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Tertuduh. Prinsip undang-undang dalam Balachandran v PP
2005
2 MLJ 302, Looi Kow Chai & Anor v PP (2003) 1 CLJ 734 dan PP v Mohd Radzi Abu Bakar (2006) 1 CLJ 457 dirujuk. [10] Selanjutnya, Mahkamah dalam kes Looi Kow Chai & Anor v PP (supra) memutuskan antara lain, bahawa jika suatu kes terdapat satu daripada dua perkara berikut, prima facie tidak dibuktikan: -
i
Terdapat lompong dalam kes Pendakwaan (Abdullah Zawawi v PP [1985]2 MLJ 16); atau
II
(ii) Keterangan memberikan/membenarkan lebih daripada satu inferens dibuat (PP v Kasmin bin Soeb [1974] 1 MLJ 230) ELEMEN-ELEMEN YANG PERLU DIBUKTIKAN OLEH PIHAK PENDAKWAAN [11] Berdasarkan kes PP v Tan Kee Cheng (2016) 1 LNS 674, elemen yang perlu dibuktikan bagi kesalahan bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah seperti berikut: -
i
Dadah tersebut adalah dadah berbahaya; dan
II
(ii) Tertuduh memiliki dadah tersebut DAPATAN MAHKAMAH Elemen 1: Dadah tersebut adalah dadah berbahaya [12] Berdasarkan keterangan Ahli Kimia (SP1), beliau mengesahkan pemeriksaan dan analisis yang dijalankannya ke atas barang kes (P5), iaitu paket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal mendapati mengandungi 0.17 gram Methamphetamine dan ia merupakan dadah sebagaimana Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya. Perkara yang sama turut dinyatakan dalam laporan kimia (P2). [13] Keterangan SP1 selaku seorang saksi pakar dengan ini diterima Mahkamah tanpa sebarang keraguan dan elemen ini telah berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan (rujukan kepada PP v Munusamy [1987] 1 MLJ 492 dan PP v Lam San [1991] 3 MLJ 426). [14] Pihak Pembelaan juga tidak sama sekali menafikan kredibiliti SP1 dan tiada sebarang pertikaian dibangkitkan berkenaan hasil analisis yang dilakukan oleh SP1 (perenggan 18 Hujahan Bertulis Pembelaan). Elemen 2: Tertuduh memiliki dadah tersebut [15] Bagi membuktikan elemen milikan, Pendakwaan perlu membuktikan Tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan serta pengetahuan terhadap barang kes tersebut. Elemen ini perlu dibuktikan dengan menunjukkan Tertuduh bebas untuk berurusan tanpa campur tangan orang lain (Chan Pean Leon v PP [1956] 1 LNS 17, Leow Nghee Lim v PP [1956] 22 MLJ 28). [16] Manakala bukti pengetahuan biasanya suatu perkara inferen (Parlan bin Dadeh v PP [2009] 1 CLJ 717; [2008] 1 LNS 506, PP v Denish Madhavan [2009] 2 CLJ 209, Joseph A/L Subramaniam v. Pendakwa Raya [2019] 1 LNS 1420). [17] Pihak Pendakwaan boleh bergantung kepada anggapan di bawah Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membuktikan milikan dan pengetahuan. Namun, sebelum anggapan milikan digunapakai, pihak Pendakwaan hendaklah dadah tersebut berada dalam kawalan atau jagaan Tertuduh - kes Public Prosecutor v Muhammad Nasir bin Shahrudin [1992] 4 CLJ 2028; [1994] 2 MLJ
576
[18] Berdasarkan nas undang-undang di atas, dapat disimpulkan bahawa pembuktian yang perlu diteliti dengan jelas oleh Mahkamah ini adalah: - a) Tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan ke atas dadah tersebut; dan
b
Tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan dadah tersebut. Pengetahuan lazimnya dibuktikan melalui inferen daripada keadaan dan fakta kes tersebut. Sama ada Tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan ke atas dadah tersebut [19] Pihak Pendakwaan menyatakan bahawa Tertuduh mempunyai jagaan dan kawalan atas dadah yang dirampas atas alasan-alasan berikut: -
i
SP4 telah melihat Tertuduh mengambil beg berzip hitam (P12) dari atas meja makan dan menyembunyikannya di bawah tilam bilik barang kes dijumpai;
II
(ii) Sewaktu pemeriksaan dijalankan, hanya Tertuduh berada dalam bilik tersebut dan Tertuduh telah menyerahkan P12 tersebut kepada SP4 yang di dalamnya mengandungi P5 dan P13; dan
III
(iii) Tertuduh mempunyai akses tidak terhad ke atas bilik dan barang kes yang dijumpai dalam bilik tersebut. [20] Walau bagaimanapun, Mahkamah mendapati fakta bahawa Tertuduh dilihat masuk ke bilik sebelum P12 ditemui adalah tidak memadai untuk membuktikan kewujudan jagaan dan kawalan eksklusif terhadap dadah tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab pihak Pendakwaan untuk membuktikan pemilikan dan kawalan eksklusif (exclusivity of custody and control) terhadap dadah berkenaan. [21] Melalui keterangan SP3, ia menyatakan rumah tersebut adalah milik ibunya, Rabiah binti Md Yasin. Manakala, merujuk laporan polis (P9) alamat rumah tempat kejadian, LLN 40A, Kampung Seri Jemapoh adalah sama dengan alamat pada bil elektrik (P14) yang dirampas oleh SP4. Perkara ini turut disahkan oleh SP3, SP4 dan SP5 [22] Selanjutnya, keterangan SP3 dan SP5 menunjukkan bahawa kawasan rumah tersebut berada di atas satu tanah yang sama dengan rumah ibu bapa SP3 tanpa sebarang pagar pemisah. Hanya terdapat satu pintu pagar utama di bahagian hadapan yang mana ianya sentiasa tidak berkunci, membolehkan orang luar keluar masuk dengan mudah. [23] Keterangan SP5 turut mengesahkan bahawa kawasan rumah adalah terbuka dan luas, bersebelahan kawasan hutan, dengan kediaman keluarga mertua Tertuduh terletak berdekatan. Fakta bahawa rumah tersebut dimiliki oleh pihak ketiga menunjukkan akses terhadap premis tersebut tidak eksklusif kepada Tertuduh, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap unsur jagaan dan kawalan yang perlu dibuktikan oleh pihak Pendakwaan. Pemeriksaan Balas SP3 Ada pagar tidak dekat rumah Puan? Dalam satu tanah itu cuma ada dua biji rumah, itu rumah saya dan rumah mak di bahagian atas. Tidak ada pagar keliling, cuma ada satu pintu pagar di atas jambatan depan rumah. Pintu pagar yang Puan cakap ini berkunci kah? Tidak. Sentiasa tidak berkunci atau pada certain masa sahaja? Tidak pernah berkunci. Pemeriksaan Balas SP5 S: Boleh Tuan cerita sikit macam mana keadaan sekeliling rumah tempat kejadian ini? J: Keadaan sekeliling rumah tempat kejadian itu, kawasan dia tepi-tepi rumah itu ada kawasan hutan dan belakang rumah tersebut ada rumah, satu rumah iaitu rumah family OKT lah. ----- S: OK Tuan, kita pergi balik soalan di kawasan rumah tersebut? Bagaimana dengan keadaan sekeliling rumah? Adakah terdapat pagar? J: Seingat saya masa nak masuk itu ada pagar tapi kawasan itu pagar yang kawasan luas. [24] Selain itu, bilik di mana barang kes dikatakan ditemui merupakan bilik kelamin Tertuduh bersama isterinya (SP3). Malah akses keluar masuk rumah Tertuduh jua tidak terhad kepada Tertuduh, SP3 dan anak-anaknya sahaja. Keterangan SP3 menyatakan bahawa pintu belakang rumah tersebut tidak berkunci untuk memudahkan ibu SP3 menguruskan anak-anaknya setelah pulang dari sekolah sewaktu ketiadaan SP3 dan Tertuduh di rumah. Perihal pintu belakang yang tidak berkunci tersebut jua diketahui oleh ibu, bapa dan adik SP3. Pemeriksaan Utama SP3 S: Puan boleh beritahu Mahkamah, siapa yang memegang kunci kepada rumah tersebut? Saya. S: Seterusnya Puan, boleh beritahu Mahkamah sepanjang ketiadaan kamu di rumah tersebut, siapa mempunyai akses boleh masuk ke dalam rumah kamu? Ibu saya. S: Puan boleh beritahu Mahkamah, tadi kamu beritahu Mahkamah hanya ada satu kunci rumah tersebut? Ya, Puan. S: Jadi, Puan boleh beritahu Mahkamah, bagaimana ibu kamu boleh masuk ke dalam rumah tersebut bila ketiadaan kamu? Ibu masuk melalui pintu belakang. S: Puan boleh beritahu Mahkamah pintu belakang tersebut berkunci atau tidak? Tidak. S: Selain ibu Puan, boleh beritahu Mahkamah ada tidak orang lain yang tahu perkenaan dia dengan pintu belakang tidak berkunci? Ayah dan adik. Pemeriksaan Balas SP3 S: Tadi ketika ditanya oleh Puan TPR, kamu beritahu pintu belakang tidak berkunci dan ibu kamu boleh masuk? Betul. S: Adakah cuma pintu belakang sahaja yang tidak berkunci atau pintu hadapan pun tidak berkunci juga, Puan? Cuma pintu belakang sahaja yang tidak berkunci. S: Puan, pintu belakang ini memang hari-hari dibiarkan tidak berkunci kah? Betul. S: Untuk tujuan apa itu, Puan? Jika saya dan suami bekerja siang petang dan anak-anak diambil oleh datuk mereka, mereka akan melalui pintu belakang untuk menukar pakaian dan letak beg sekolah. S: Puan, bagaimana pula jika tiada dengan ketiadaan kamu, suami kamu, anak-anak dan juga ibu ayah kamu, adakah pintu belakang itu masih tidak berkunci? Betul. S: Jadi setuju jika saya cadangkan kepada Puan, ketika suami kamu membawa anak-anak dan ibu ayah kamu ke Senawang, pintu belakang rumah kamu juga tidak berkunci? Betul. ----- S: Puan, kawasan rumah kamu ini macam mana? Kawasan kampung, kawasan taman perumahan kah? Kawasan kampung. S: Ada pagar tidak dekat rumah Puan? Dalam satu tanah itu cuma ada dua biji rumah, itu rumah saya dan rumah mak di bahagian atas. Tidak ada pagar keliling, cuma ada satu pintu pagar di atas jambatan depan rumah. S: Pintu pagar yang Puan cakap ini berkunci kah? Tidak. S: Sentiasa tidak berkunci atau pada certain masa sahaja? Tidak pernah berkunci. S: Jadi setuju jika saya cadangkan, selain Puan, suami kamu, anak-anak dan juga ibu ayah kamu, orang lain pun boleh masuk ke kawasan rumah kamu? Betul. [25] Disamping itu, SP3 turut menyatakan bahawa Tertuduh ada mengambil upah membaiki kereta selepas waktu bekerja di bengkel/bangsal yang terletak di sebelah kiri rumah tersebut. Malah pernah ada keadaan dimana orang luar menghantar kereta ke bengkel/bangsal Tertuduh semasa ketiadaan Tertuduh dan SP3 di rumah. Pemeriksaan Balas SP3 Puan, tadi semasa ditanya oleh Puan TPR, kamu beritahu ketika malam kejadian, suami kamu dibawa ke garaj di tepi rumah kamu? Betul . Dan Puan ada sebut perkataan bengkel? Betul. Bengkel itu bengkel siapa, Puan? Bengkel suami. Maksud Puan macam mana itu, suami kamu ada betulkan kereta kah? Betul, suami boleh membaiki kereta dan dia akan membaiki kereta selepas waktu kerja. Jadi setuju jika saya cadangkan, terdapat juga orang luar yang menghantar kereta ke bengkel suami Puan? Setuju. Dan setuju juga jika saya cadangkan, orang-orang yang menghantar kereta di bengkel suami Puan ini, pernah juga hantar ketika kamu dan suami kamu tiada di rumah? Betul. Berapa lama dah suami Puan membuat kerja-kerja baiki kereta ini? Setahu kamu? 10 tahun. [26] Mengambilkira keterangan tersebut, Mahkamah mendapati bahawa akses ke rumah dan bilik tempat barang kes dijumpai adalah tidak eksklusif kepada Tertuduh. Malahan, dalam kes ini pihak Pendakwaan hanya memilih untuk mengenakan pertuduhan terhadap Tertuduh tetapi tidak terhadap SP3, walaupun semasa serbuan dijalankan SP3 berada di dalam rumah yang sama di mana dadah tersebut ditemui. Keadaan ini memperlihatkan kelompongan dalam siasatan khususnya berhubung kemungkinan wujudnya pemilikan bersama terhadap barang kes tersebut. [27] Harus ditekankan bahawa pemilikan eksklusif tidak semestinya bermaksud pemilikan tersebut hanya terhad kepada Tertuduh semata-mata. (Mahkamah Persekutuan - Siew Yoke Keong v PP (2013) 4 CLJ 149, Mahkamah Tinggi Public - Prosecutor v Lingeswaran a/l Nagasamy (2018) 10 MLJ 158). Dalam erti kata lain, pihak Pendakwaan perlu membuktikan bahawa hanya Tertuduh berada dalam pemilikan tersebut kerana undang-undang mengiktiraf kemungkinan wujudnya pemilikan bersama. Beban untuk menolak akses pihak lain kekal pada Pendakwaan. [28] Meneliti keterangan saksi-saksi pihak Pendakwaan, Mahkamah mendapati pihak Pendakwaan gagal menyingkirkan isu akses oleh individu lain ke tempat kejadian. Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa akses pihak lain mesti disingkirkan bagi membuktikan pemilikan eksklusif. Dalam kes ini, elemen milikan oleh Tertuduh ke atas barang kes gagal dibuktikan. Mahkamah merujuk kes-kes di bawah bagi menyokong dapatan Mahkamah ini: - a) Choo Yoke Choy lwn Pendakwa Raya (1992) 1 CLJ Rep43 yang mana Mahkamah Agung memutuskan bahawa tidak tepat untuk menyatakan bahawa hanya Tertuduh yang mempunyai jagaan dan kawalan ke atas dadah tersebut memandangkan terdapat dua orang yang mendiami bilik di mana dadah berkenaan dijumpai pada masa material. [Penekanan diberikan] b) Gooi Loo Seng lwn Pendakwa Raya (1993) 2 MLJ 137, Tertuduh telah membawa polis ke bilik yang didiaminya bersama teman wanitanya, dimana polis menemui dua bungkusan yang mengandungi bahan yang kemudiannya disahkan sebagai heroin, yang disembunyikan di bahagian bawah sebuah almari plastik. Mahkamah Agung telah mengetepikan sabitan tersebut kerana teman wanitanya juga mempunyai akses ke bilik berkenaan. Hakim Edgar Joseph Jr menyatakan seperti berikut: - “… At the end of the day, this was a case of the proverbial cap which might have fitted not just the head of the appellant but that of others as well”. c) Saludin Surif lwn Pendakwa Raya (1997) 3 CLJ 529, Mahkamah Rayuan turut memutuskan bahawa kes prime facie tidak berjaya dibuktikan memandangkan keterangan menunjukkan dadah ditemui di sebuah stor yang boleh diakses oleh lima orang penghuni premis berkenaan serta pengunjung lain. Mahkamah memutuskan bahawa jagaan, kawalan dan pemilikan tidak dibuktikan terhadap Tertuduh dan menegaskan bahawa “this too was a case of the proverbial cap which might have fitted not just the head of the appellant but that of others as well.” d) Husin Sitorus lwn Pendakwa Raya (2012) 7 CLJ 205, pihak Pendakwaan gagal menolak kemungkinan akses oleh tiga orang lelaki lain yang sedang tidur di bilik stor semasa serbuan dijalankan, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tiada kes prima facie telah dibuktikan, Mahkamah turut menegaskan keperluan pihak Pendakwaan menolak akses oleh pihak lain bagi membuktikan jagaan, kawalan dan pemilikan seperti berikut: - “[15] … The onus is not on the defence to prove possibility of access by others but on the prosecution to exclude such possibility and the issue must be answered in favour of the appellant if there were more than one way in which the evidence adduced by the prosecution might be viewed such as in the present case, implicating the appellant or the other persons who were present in the boat. (AbdullahZawawi Yusoff v. PP [1993] 4 CLJ 1 SC). In other words, exclusivity of custody and control of the drugs ought to be established by the prosecution. [29] Mahkamah turut ambil maklum akan fakta bahawa serbuan dalam kes ini dijalankan hasil maklumat risikan (tip-off) sepertimana laporan polis (P9) oleh SP4. Oleh itu, beban untuk menyingkirkan akses orang lain ke atas dadah tersebut adalah lebih mendesak. Mahkamah Persekutuan dalam kes Ibrahim Mohamad & Anor v PP (2011) 4 CLJ 113 menyatakan bahawa kes yang dimulakan hasil daripada maklumat atau petunjuk (tip-off) yang diterima oleh pihak polis, mestilah dinilai secara berhati-hati memandangkan wujud kemungkinan berlakunya perangkap (entrapment) atau keadaan yang direka untuk memerangkap dan memangsakan Tertuduh. [30] Tambahan pula, siasatan SP5 tidak menyeluruh kerana beliau tidak mengambil keterangan pemilik rumah dan menyiasat isu akses orang lain ke rumah tersebut. Kekurangan siasatan ini menimbulkan kelompongan yang jelas dalam kes Pendakwaan. Pemeriksaan Balas SP5 Tuan, ketika kamu hadir ke rumah tersebut, kamu ada buat semakan pada pintu-pintu rumah? Tiada. Jadi setuju Tuan hanya masuk melalui pintu hadapan dan kamu tidak membuat sebarang semakan siasatan pada pintu belakang rumah? Setuju. Jadi setuju dengan saya, Tuan tidak tahu sama ada pintu belakang rumah itu berkunci atau tidak ketika kamu datang? Setuju. Pemeriksaan Semula SP5 Pada masa saya terima barang kes daripada Inspektor Hasif dan bil elektrik P14 atas nama Rabiah bin Md Yassin. Saya tidak tahu dia siapa sehingga ke rumah dan jumpa isteri OKT. Saya tidak lakukan siasatan ke atas pemilik rumah kerana pada masa saya sampai tempat kejadian, ada isteri suspek dan diarahkan oleh isteri suspek untuk tidak ambil statement daripada ibu mertua suspek kerana pada masa itu dia tidak tahu suspek ditahan. Saya juga diarahkan untuk parking blakang gazebo untuk ibu tidak nampak kereta polis. Isteri suspek juga minta untuk tidak maklumkan kepada ibu mertua dan saya menghormati permintaan isteri suspek untuk menjaga aib keluarga. Semakan pintu rumah saya tidak buat pada pintu belakang kerana semasa serbuan Inspektor Hasif hanya masuk melalui pintu hadapan rumah dan pemerhatian dibuat pada tingkap sebelah kanan pintu hadapan rumah. Itu sahaja dimaklumkan kepada saya. [31] Mahkamah juga merujuk kes Deepanraj a/l Subramaniam lwn Timbalan Pendakwa Raya [2016] 1 MLJ 413 yang mana Mahkamah Rayuan menyatakan: - "The failure of the police to carry out proper investigation has deprived not only the prosecution but also the defence of the best and most important evidence to resolve the case. Learned counsel further submitted the failure to do so means, there was withholding or suppression of evidence favourable to the defence and thus the s. 114(g) presumption ought to be invoked. Merujuk juga kes, Pang Chee Meng v. Public Prosecutor [1992] 1 CLJ Rep 265 di mana diputuskan; "...the accused cannot be penalized for the lack of ingenuity in police investigation depriving him of the time-honoured benefit of doubt..." [32] Di peringkat ini, Mahkamah mendapati elemen yang penting iaitu “exclusive possession” tidak berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan terhadap Tertuduh. Keberadaan hampir (close proximity) semata-mata tidak mencukupi bagi membuktikan milikan atau pengetahuan (lihat kes Roslan bin Hanapi v. Public Prosecutor [2015] MLJU 2151). Milikan memerlukan gabungan jagaan atau kawalan dan pengetahuan, bukan hanya kehadiran fizikal berhampiran dadah. Sama ada Tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan dadah tersebut. [33] Pendakwaan menyatakan Tertuduh sememangnya mempunyai pengetahuan terhadap dadah P12 tersebut. Hal ini kerana Tertuduh kelihatan terkejut dan cemas sebaik SP4 memperkenalkan dirinya sebagai Pegawai Kanan Polis. [34] Penekanan perlu diberikan untuk membuktikan kewujudan elemen mental Tertuduh iaitu mempunyai pengetahuan akan kewujudan dadah tersebut sebelum pemilikan dapat dibuktikan. Pengetahuan dapat dibuktikan melalui inferen daripada keadaan dan fakta kes, bukan semata-mata kerana keberadaan dadah sahaja (mere presence) sepertimana kes Romi Amora Amir v PP [2011] 1 CLJ 870 yang menyatakan: - "Unless knowledge is proved, an item however close to a person, could just be miles away. [35] Prinsip undang-undang menggariskan pengetahuan boleh dibuktikan melalui inferens daripada keadaan sekeliling sepertimana Seksyen 8 dan 9 Akta Keterangan 1950. Dalam kes ini, keterangan bahawa Tertuduh “kelihatan terkejut dan cemas” hanyalah kenyataan yang samar dan tidak sama sekali mencukupi untuk membuktikan pengetahuan sebenar. Kes Parlan bin Dadeh v Pendakwa Raya [2009] 1 CLJ 717 dirujuk untuk isu reaksi dan kelakuan Tertuduh yang mana menyatakan: - "Undang-undang berhubung keterangan mengenai kelakuan adalah jelas. Jika tiada keterangan yang menunjukkan bahawa kelakuan itu dipengaruhi oleh apa-apa fakta dalam isu atau fakta relevan sebagaimana diperuntukkan di bawah s. 8, maka ia tidak boleh diterima kerana ia hanyalah perbuatan yang samar. Jika ia memenuhi kehendak s. maka ia boleh diterima. Tahap pembuktian yang diperlukan untuk keterangan mengenai kelakuan bergantung kepada sifat kelakuan tersebut. Kelakuan seperti melarikan diri adalah lebih positif dan mudah dibuktikan. Sebaliknya, kelakuan seperti tertuduh kelihatan terkejut, gementar, takut atau cemas adalah perkara persepsi dan memerlukan keterangan yang lebih terperinci." [Penekanan ditambah] [36] Manakala kes PP v Loke Kah Choong (2019) 1 LNS 1873, Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa: - I am of the view that the accused’s ownership and occupation of the condominium unit and his physical proximity to the drugs on the table (as were also the case in relation to PW3 and PW4) when discovered by the police is not only insufficient to establish knowledge. As mentioned earlier, case law has established that proof of proximity alone is insufficient to establish knowledge and therefore no possession can be shown. [92] In my judgment, access to the drugs by the other four individuals who had also been arrested with the accused in the apartment has also not been successfully excluded by the prosecution. [37] Mengambilkira keterangan-keterangan tersebut, Mahkamah mendapati elemen kedua iaitu pengetahuan mengenai dadah tersebut juga gagal dibuktikan oleh pihak Pendakwaan ke atas Tertuduh. Percanggahan SP3 dan SP4 berkaitan barang kes [38] Berdasarkan keterangan yang diberikan oleh SP3 dan SP4, Mahkamah mendapati terdapat percanggahan akan cara bagaimana P12 tersebut dijumpai dan keberadaan OKT semasa serbuan dilakukan. SP3 menyatakan bahawa sewaktu pintu rumah dibuka olehnya, Tertuduh sedang berdiri di belakangnya. Malahan, sewaktu pemeriksaan oleh anggota serbuan ke dalam bilik tersebut, Tertuduh dan SP3 telah diminta sepanjang masa untuk menunggu diruang makan. Hanya selepas 20 minit pemeriksaan dalam bilik tidur, satu (1) beg hitam yang SP3 sendiri tidak tahu diambil dari mana dan tidak pernah sama sekali melihat beg tersebut. [39] Akan tetapi, keterangan SP4 menyatakan sebaliknya. SP4 menyatakan Tertuduh sendiri yang telah menunjukkan dan menyerahkan sendiri P12 kepadanya. … Saya bersama anggota serbuan telah jalankan pemeriksaan fizikal terhadap saspek didapati tiada menjumpai apa-apa barang salah. Saya kemudiannya telah bertanya kepada saspek adakah menyimpan apa-apa barang salah. Seterusnya saspek mengatakan ada dan saspek telah mengambil (1) beg kecil berwarna hitam berzip dari bawah tilam dan menyerahkan kepada saya. [40] Perkara sama jua dinyatakan dalam laporan polis P9 … Sampai dihadapan rumah tersebut, saya telah mengetuk pintu hadapan rumah serta memberi salam beberapa kali dan seterusnya telah dibuka oleh (1) perempuan melayu. Semasa saya perkenalkan diri pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa polis, telah kelihatan terdapat (1) lelaki melayu sedang duduk di meja makan dan telah bertindak mengambil (1) beg kecil berwarna hitam di atas meja makan tersebut seterusnya telah berlari masuk ke dalam bilik pertama sebelah kiri rumah tersebut. Saya bersama anggota serbuan telah masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik pertama tersebut dan seterusnya menahan (1) lelaki melayu tadi. [41] Pihak Pendakwaan tidak pada bila-bila masa memohon sebarang penjelasan lanjut atau semasa pemeriksaan semula meminta penjelasan berhubung keberadaan Tertuduh dan percanggahan mengenai cara beg hitam (P12) dijumpai. Tiada usaha dibuat untuk menjelaskan sama ada P12 diserahkan sendiri oleh Tertuduh sebagaimana keterangan SP4 dan P9, atau sebaliknya dijumpai oleh anggota serbuan seperti dinyatakan oleh SP3. Pemeriksaan Utama SP3 Puan, boleh beritahu Mahkamah bagaimana kamu tahu ada kedatangan pegawai polis ke dalam rumah? Saya tahu kedatangan polis di dalam rumah, dalam 12.30 – 12.40 tengah malam ada bunyi orang ketuk pintu dan suami dan saya bangun. Apabila pintu dibuka ada beberapa orang lelaki mengakui mereka polis, lepas itu masuk ke dalam rumah untuk buat pemeriksaan. Boleh beritahu Mahkamah, siapa yang buka pintu rumah Puan? Saya yang buka. Ketika itu suami Puan ada dekat di mana? Dia ada di belakang saya. Kemudian boleh beritahu Mahkamah, setelah polis buat pemeriksaan ke rumah, apa yang berlaku? Mereka geledah rumah dan masuk ke dalam bilik utama dan saya bersama suami diminta tunggu di ruang makan. Di situ saya ditemani oleh seorang pegawai polis perempuan Melayu dan seorang pegawai lelaki Melayu. Ada lebih kurang 4 orang telah masuk ke bilik tidur utama. Puan boleh beritahu Mahkamah, sepanjang masa pemeriksaan di dalam rumah tersebut, adakah Puan dan suami diminta menunggu di meja makan? Ya, Puan. Mereka di dalam bilik tidur saya dalam 20 minit masa itu dan bila mereka keluar, mereka bawa satu beg hitam. Mah: Mereka keluar bawa beg hitam? SP3: Yang ini saya tidak tahu dia ambil daripada mana dan mereka mengatakan yang mereka jumpa beg hitam itu dalam bilik. Puan pernah nampak beg hitam tersebut? Tidak pernah. ---- Tadi Puan diberitahu, pegawai polis ada buat pemeriksaan terhadap bilik utama tersebut dan menjumpai satu beg hitam. Ada tidak ditunjukkan kepada kamu beg hitam tersebut? Tidak ada. ---- Puan boleh beritahu Mahkamah pernah tidak kamu nampak beg hitam di dalam rumah kamu pada bila-bila masa? Tak pernah. Puan ada kamu lihat pemeriksaan beg hitam tersebut dilakukan di mana? Saya tak nampak. [42] Malah, semasa pemeriksaan balas, SP3 kekal konsisten menafikan keterangan SP4 bahawa beg hitam (P12) tersebut dijumpai di bawah tilam dan menyatakan bahawa P12 dipegang oleh anggota serbuan lain, bukan oleh Inspektor Hasif sebagaimana didakwa oleh pihak Pendakwaan. Pemeriksaan balas SP3 Baik Puan, saya pergi kepada waktu kejadian tangkapan, iaitu pada 8 hari bulan 2, 2024. Setuju dengan saya, sepanjang polis menggeledah bilik tidur kamu, kamu dan suami kamu berada di luar bilik? Setuju. Puan beritahu Mahkamah tadi, setelah geledah bilik, polis keluar daripada bilik dan salah seorang memegang beg hitam? Betul. Puan masih ingat tidak wajah polis yang memegang beg hitam sebut? Ingat. Sebentar tadi Puan telah dirujuk? Ingat. Sebentar tadi Puan telah dirujuk dengan Inspektor Hasif, anggota pegawai serbuan. Setuju dengan saya, Inspektor Hasif yang memegang beg hitam tersebut? Tidak. Masa kejadian, Puan ingat tak Inspektor Hasif ini berada di mana? Ada di kalangan pegawai-pegawai yang lain dan dia juga ada buka pintu bilik anak. Bila dia tengok anak tidur, dia tak masuk dan tutup balik pintu. Adakah Inspektor Hasif masuk ke dalam bilik semasa penggeledahan berlaku? Betul. --- Setuju dengan saya, pegawai lelaki yang tunggu di depan bilik tidur Puan itu bukan Inspektor Hasif? Setuju. Setuju dengan saya, ketika Puan melihat beg hitam tersebut dipegang oleh seorang pegawai atau anggota polis yang kita tidak tahu identitinya ini, kamu tak pernah nampak pun beg itu? Tak pernah. Pemeriksaan semula SP3 Puan Normadihah, tolong faham soalan saya dan jawab dengan betul sebagaimana apa yang terjadi pada hari kejadian. Memandangkan kamu telah mengangkat sumpah pada hari ini untuk memberi keterangan secara telus. Tadi ditanyakan oleh peguam yang bijaksana berkenaan dengan siapa ada melihat anggota yang memegang beg hitam, kamu cakap tak nampak. Dicadangkan Inspektor Hasif yang memegang beg hitam tersebut kamu tidak bersetujulah? Betul. Jadi boleh beri penjelasan awalnya Puan Normadihah beritahu tidak pernah nampak beg hitam tersebut setelah pemeriksaan dijalankan. Macam mana pula kamu boleh jawab beg hitam tersebut dipegang oleh Inspektor Hasif atau tak, tidak boleh nak jawab, tidak setuju? Jadi, nampak atau tidak? Kenapa keterangan bercanggah? Betul, saya tak pernah nampak beg hitam tersebut. Tapi bukan Inspektor Hasif yang pegang beg hitam tersebut. Keterangan Puan Normadihah ini bercanggah sebab tadi awalnya saya tanya setelah pemeriksaan dijalankan ditunjukkan kepada kamu tidak beg hitam tersebut? Tidak pernah nampak kan. Tapi bila ditanya oleh peguam siapa yang memegang beg hitam tersebut boleh pula kamu beritahu tidak bersetuju Inspektor Hasif yang pegang. Jadi kenapa ada kontradiksyen ini? Keterangan ini agak bercanggah? Begini, semasa dia orang keluar daripada bilik tidur, mereka ada pegang satu beg hitam. Yang pasti bukan Inspektor Hasif yang pegang beg hitam tersebut. Mereka ada tunjuk. Pegawai yang memegang ada menunjuk kepada saya dan saya sendiri mengatakan saya tidak pernah nampak beg tersebut dan saya tidak tahu apa yang ada dalam beg tersebut. [43] Mahkamah mendapati wujud percanggahan material antara keterangan SP3 dan SP4 berhubung cara P12 ditemui dan keberadaan Tertuduh semasa serbuan. Percanggahan ini tidak dijelaskan oleh pihak Pendakwaan dan tiada anggota serbuan lain dipanggil untuk mengesahkannya. Hal ini menimbulkan keraguan serius terhadap integriti barang kes dan rantaian kawalan. . [44] Selanjutnya, setelah meneliti kedudukan SP4 semasa pertama kali melihat Tertuduh berdasarkan P7 (I) iaitu pada tandaan X, Mahkamah mendapati ia adalah mustahil bagi SP4 yang ketika itu berada di hadapan pintu utama untuk benar-benar melihat Tertuduh mengambil P12 dan melarikan diri masuk ke dalam bilik. [45] Berdasarkan gambar P7 (I) tersebut, meja makan yang terletak di hadapan pintu bilik berkenaan berada dalam keadaan sedikit terlindung dan dihalangi oleh dinding rumah, menjadikan pandangan ke arah bilik tersebut tidak jelas. Malahan, jika dirujuk kepada P7(G), iaitu gambar yang diambil dari dalam rumah pada kedudukan di hadapan pintu utama, meja makan tersebut langsung tidak kelihatan. Hal ini mengukuhkan lagi dapatan bahawa pandangan SP4 terhadap pergerakan Tertuduh pada ketika itu adalah terhalang. [46] Mengambilkira percanggahan oleh saksi-saksi Pendakwaan antara satu sama lain, perkara utama yang perlu diperhatikan adalah sama ada percanggahan tersebut menyentuh perkara pokok dalam kes (go to the root of the matter) atau hanya berkaitan aspek-aspek yang remah yang tidak penting. Dalam keadaan sebegini, Mahkamah merujuk otoriti-otoriti berikut:- a) Ab Malek Atan v PP [2002] 6 CLJ 405, Hakim YA Augustine Paul telah menyatakan "[5] A witness cannot be held unworthy of credit in one aspect of the case and worthy in another. As the prosecution had not resolved the contradiction in the material part of the complainant's evidence related to the second charge, her credibility was left in suspense. Therefore, her whole evidence must be disregarded b) Pendakwa Raya lwn Mohamad Nazri bin Saidin @ Saad [2024] MLJU 2680
a
terdapat percanggahan antara keterangan SP2 dengan SP4 mengenai anggota polis yang mengambil semula botol urin iaitu P4 setelah selesai dianalisa oleh SP2, SP2 dalam keterangannya di perenggan 15 WS-1 telah menyatakan bahawa beliau telah menyerahkan P4 yang telah selesai dianalisa kepada Lans Koperal Gilbert anak Jaman manakala SP5 dalam keterangannya di perenggan 3, WS-4 sebaliknya menyatakan bahawa P4 telah diambil. oleh Sarjan Mohd Shadan bin Daud sebelum diserahkan kepadanya;
b
percanggahan ini tidak pernah dijelaskan oleh pihak pendakwaan dan mahkamah dibiarkan tertanya-tanya siapa yang sebenarnya yang mengambil semula P4 daripada Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur. [47] Mahkamah mendapati percanggahan material antara keterangan SP3 dan SP4 ini menyentuh kepada perkara pokok dalam kes ini, iaitu sama ada Tertuduh mempunyai jagaan dan kawalan terhadap dadah tersebut.
Preamble
Mengikut prinsip kes Goh Ming Han v. PP [2015] 3 MLJ 781; [2015] 3 CLJ 17, apabila wujud lebih daripada satu inferens yang munasabah, Mahkamah hendaklah memberikan manfaat keraguaan kepada Tertuduh. “(2) Percanggahan tersebut adalah serius dan memudaratkan kes pendakwaan kerana ia melibatkan persoalan yang penting iaitu sama ada dadah tersebut berada dalam jagaan atau kawalan perayu pada masa serbuan. Jika terdapat sebarang keraguan terhadap elemen penting dalam pertuduhan, keraguan tersebut hendaklah diselesaikan dengan memihak kepada tertuduh terutamanya apabila keraguan timbul daripada keterangan pendakwaan sendiri. …… (6) Terdapat dua set fakta yang bercanggah di mahkamah mengenai isu jagaan atau kawalan, satu memihak kepada perayu dan yang lain tidak memihak kepadanya. Keterangan yang memihak kepada perayu perlu diambil kira sebagai benar kecuali atas sebab-sebab yang munasabah PK telah menerima keterangan bercanggah yang lain sebagai benar. Adalah jurisprudens bahawa dalam keadaan ragu-ragu, undang-undang akan memihak kepada tertuduh. Manfaat keraguan harus diberikan kepada perayu. Kegagalan pihak Pendakwaan untuk menjelaskan konflik dalam keterangan bermakna jagaan atau kawalan tidak dibuktikan untuk mengaktifkan anggapan pengetahuan di bawah s. 37(d) Akta: (m) berdasarkan otoriti yang dirujuk di atas, mahkamah berpendapat manfaat keraguan harus diberikan kepada Tertuduh atas jurang yang telah diwujudkan oleh pihak pendakwaan melalui percanggahan-percanggahan di atas”. [48] Percanggahan material antara keterangan saksi-saksi Pendakwaan khususnya SP3 dan SP4 ini menimbulkan keraguan serius terhadap identiti barang kes. Walaupun Mahkamah boleh menerima keterangan polis, namun ia hanya jika didapati munasabah (PP v. Mohamed Ali [1962] CLJU 129; [1962] MLJ 257) dan prinsip undang-undang menegaskan bahawa keterangan mereka tetap perlu dinilai dengan cermat seperti saksi lain (Kesavan Krishnan v. Pendakwa Raya [2015] 6 CLJ 163) "[40] … Pada pandangan kami, proposisi undang-undang bahawa keterangan saksi-saksi polis hendaklah secara prima facie diterima oleh mahkamah tidak boleh dipakai secara universal tanpa pengecualian. Ia banyak bergantung kepada fakta dan keadaan yang wujud dalam sesuatu kes... [46] Kesimpulannya, keterangan saksi-saksi polis hendaklah diperlakukan sama seperti saksi-saksi yang lain di mana mahkamah hendaklah menelitinya dengan cermat bagi memutuskan sama ada ia boleh dipercayai atau disandarkan. Ujian yang ketat terhadap ketepatan (accuracy) dan kredibiliti (credibility) semua saksi, termasuklah saksi-saksi polis, hendaklah dibuat oleh mahkamah." [49] Menurut kes PP v. Ong Cheng Heong (1998) 4 CLJ 209; (1998) 6 MLJ, hanya keterangan yang selamat untuk disandarkan wajar diterima. Jika tidak konsisten, ia mesti ditolak. 'credible evidence is evidence which has been filtered and which has gone to process of evaluation. Any evidence which is not safe to be acted upon should be rejected. [50] Mahkamah ini setelah menilai keterangan saksi-saksi Pendakwaan secara maksimum, mengajukan soalan kepada diri sendiri “Sekiranya saya memutuskan untuk memanggil tertuduh membela diri dan beliau memilih untuk berdiam diri, adakah saya bersedia untuk mensabitkan beliau berdasarkan keseluruhan keterangan yang terkandung dalam kes pendakwaan?”. Mahkamah mendapati jawapannya adalah tidak. Ini adalah kerana keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi Pendakwaan memberikan dan mewujudkan lebih dari satu inferens (PP v Kasmin bin Soeb [1974] 1 MLJ 230). [51] Prinsip mantap undang-undang menetapkan bahawa apabila dalam perbicaraan jenayah wujud dua versi berkenaan satu fakta material sehingga memungkinkan dua inferens dibuat, maka faedah keraguan hendaklah diberikan kepada Tertuduh. Mahkamah ini mengambil pendekatan yang sama dengan memberikan faedah keraguan kepada Tertuduh dalam kes ini. KEPUTUSAN [52] Berdasarkan alasan-alasan di atas, setelah menilai secara menyeluruh semua keterangan saksi Pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah mendapati pihak Pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap Tertuduh. [53] Oleh itu, Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada Pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri. Wang jaminan sebanyak RM6,000.00 diperintahkan dipulangkan kepada penjamin. Bertarikh 27 Oktober 2025 YUSNA KHADIJAH BINTI MD YUSOP MAJISTRET KUALA PILAH NEGERI SEMBILAN Timbalan Pendakwa Raya : Nurul Farahana Athirah binti Yaacob Peguam bela Tertuduh : Atika Hereena binti A Bakar Tetuan Fadzil & Eddin (Seremban)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.