Content
CA-45A-1-02/2021 Kand. 130 28/07/2026 10:44:33 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR PERBICARAAN JENAYAH NO. CA-45A-1-02/2021 ANTARA PENDAKWA RAYA MOHD KORUZI BIN YUNUS (NO KAD PENGENALAN:790530-03-5219) ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN [1] Tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah atas dua pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Pertuduhan pertama ialah di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 ("Pertuduhan Pertama"), manakala pertuduhan kedua ialah di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 ("Pertuduhan Kedua"). [2] Di akhir kes Pendakwaan, setelah menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan secara maksimum selaras dengan prinsip yang digariskan oleh undang-undang, Mahkamah mendapati pihak Pendakwaan gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh bagi Pertuduhan Pertama dan Tertuduh telah dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. [3] Sebaliknya, Mahkamah memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh bagi Pertuduhan Kedua. Sehubungan itu, Tertuduh dipanggil membela diri bagi pertuduhan tersebut. [4] Setelah hak-haknya diterangkan oleh Mahkamah, Tertuduh telah memilih untuk menukar pengakuannya kepada pengakuan bersalah bagi Pertuduhan Kedua. Mahkamah kemudiannya mensabitkan Tertuduh atas pengakuan bersalah tersebut dan setelah mendengar rayuan mitigasi serta mempertimbangkan keseluruhan fakta dan keadaan kes, Mahkamah ini telah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga (3) tahun bermula dari tarikh tangkapan iaitu 27.4.2020. [5] Oleh kerana sabitan bagi Pertuduhan Kedua adalah berasaskan pengakuan bersalah Tertuduh selepas dipanggil membela diri, alasan penghakiman ini disediakan hanya bagi menjelaskan sebab-sebab Mahkamah melepaskan dan membebaskan Tertuduh tanpa dipanggil membela diri bagi Pertuduhan Pertama sahaja. LATAR BELAKANG RINGKAS [6] Secara ringkasnya, kes Pendakwaan adalah seperti berikut. [7] Menurut pihak Pendakwaan, pada tarikh kejadian, Pengadu (SP5) bersama sepasukan anggota polis telah menjalankan satu operasi hasil maklumat yang diterima berhubung kegiatan pengedaran dadah. Operasi tersebut membawa kepada penahanan Tertuduh ketika beliau sedang berada di sebuah premis makanan yang dikenali sebagai D'Orange. Selepas Tertuduh ditahan, pemeriksaan badan telah dijalankan dan pihak Pendakwaan mendakwa telah menemui sejumlah dadah berbahaya di dalam poket kanan seluar yang dipakai oleh Tertuduh. Penemuan tersebut menjadi asas kepada Pertuduhan Kedua. [9] Pihak Pendakwaan seterusnya mendakwa bahawa hasil maklumat yang dikatakan diberikan oleh Tertuduh kepada SP5 selepas penahanan tersebut, pihak polis telah pergi ke kawasan berhampiran sebuah kandang lembu yang ditandakan sebagai Lokasi G di dalam rajah kasar P37. Di lokasi tersebut, pihak Pendakwaan mendakwa telah menemui sejumlah lagi dadah berbahaya yang disembunyikan di dalam sebuah kotak polisterin yang diletakkan di dalam tong cat. Penemuan inilah yang menjadi asas kepada Pertuduhan Pertama di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. [10] Bagi membuktikan kedua-dua pertuduhan tersebut, pihak Pendakwaan telah memanggil enam (6) orang saksi iaitu ahli kimia (SP1), jurufoto (SP2), isteri Tertuduh (SP3), penjaga stor barang kes (SP4), pegawai serbuan yang juga merupakan pengadu (SP5) dan pegawai penyiasat (SP6). [11] Selepas pihak Pendakwaan menutup kesnya, Mahkamah telah mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan di akhir kes Pendakwaan. PRINSIP UNDANG-UNDANG YANG TERPAKAI [12] Di akhir kes Pendakwaan, tugas Mahkamah bukanlah untuk menentukan sama ada Tertuduh bersalah atau tidak. Persoalan yang perlu diputuskan ialah sama ada pihak Pendakwaan telah berjaya mengemukakan keterangan yang mencukupi bagi membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh sehingga beliau wajar dipanggil membela diri. [13] Prinsip tersebut telah diperjelaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Balachandran v Public Prosecutor [2005] 2 MLJ 301 bahawa sesuatu kes prima facie hanya wujud apabila, selepas Mahkamah menjalankan suatu penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan Pendakwaan, keterangan tersebut adalah mencukupi untuk menyokong suatu sabitan sekiranya Tertuduh memilih untuk berdiam diri. [14] Dalam Looi Kow Chai & Anor v Public Prosecutor [2003] 2 MLJ 65, Mahkamah Persekutuan menjelaskan bahawa penilaian maksimum tidak bermaksud Mahkamah membuat dapatan muktamad mengenai setiap isu fakta atau kredibiliti saksi. Sebaliknya, Mahkamah hendaklah menilai sama ada keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak Pendakwaan, jika tidak dipatahkan, mencukupi untuk membuktikan setiap elemen kesalahan yang dipertuduhkan. [15] Untuk mensabitkan seseorang Tertuduh di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, pihak Pendakwaan hendaklah membuktikan bahawa bahan yang menjadi subjek pertuduhan ialah suatu dadah berbahaya sebagaimana yang ditakrifkan oleh Akta. Pihak Pendakwaan juga hendaklah membuktikan bahawa dadah tersebut berada di bawah milikan, jagaan dan kawalan Tertuduh selain membuktikan pendengaran samada melalui keterangan terus ataupun dengan penggunaan anggapan. Elemen-elemen tersebut merupakan asas yang mesti dibuktikan sebelum seseorang Tertuduh boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dipertuduhkan. [16] Dalam kes ini, tiada pertikaian bahawa bahan yang dirampas merupakan dadah berbahaya berdasarkan keterangan SP1 selaku ahli kimia. Oleh yang demikian, pertikaian utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah sama ada pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa dadah yang ditemui di Lokasi G berada di bawah milikan, jagaan dan kawalan Tertuduh. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Maklumat yang didakwa diberikan oleh Tertuduh [17] Teras utama kes Pendakwaan ialah dakwaan bahawa selepas ditangkap, tertuduh telah memberikan suatu maklumat kepada SP5 yang akhirnya membawa kepada penemuan dadah di Lokasi G. Berdasarkan maklumat tersebut, pihak Pendakwaan menghujahkan bahawa Tertuduh telah membawa anggota polis ke lokasi berkenaan sebelum dadah yang menjadi subjek pertuduhan ditemui. [18] Pihak Pendakwaan menghujahkan bahawa undang-undang tidak mensyaratkan sesuatu information leading to discovery direkodkan secara bertulis atau menggunakan perkataan yang tepat sebagaimana diucapkan oleh Tertuduh. Maklumat tersebut boleh dibuktikan melalui keterangan lisan saksi yang menerimanya. [19] Walau bagaimanapun, isu sebenar dalam kes ini bukanlah sama ada maklumat tersebut direkodkan secara bertulis ataupun tidak. Persoalan yang perlu diputuskan ialah sama ada pihak Pendakwaan berjaya membuktikan, melalui keterangan yang boleh dipercayai, apakah maklumat sebenar yang didakwa diberikan oleh Tertuduh kepada SP5 sebelum penemuan dadah di Lokasi G. [20] Mahkamah mendapati bahawa tiada sebarang catatan dibuat semasa soal jawab yang didakwa berlaku antara SP5 dengan Tertuduh sejurus selepas tangkapan. Tiada nota kontemporari atau apa-apa rekod diwujudkan pada masa maklumat tersebut didakwa diperoleh. Justeru, Mahkamah hanya bergantung kepada keterangan SP5 untuk menentukan apakah sebenarnya maklumat yang didakwa diberikan oleh Tertuduh. [21] Mahkamah turut mengambil perhatian bahawa laporan polis SP5 disediakan hanya selepas operasi selesai dan selepas dadah ditemui di Lokasi G. Oleh itu, laporan polis tersebut bukan merupakan rekod mengenai maklumat yang membawa kepada penemuan, sebaliknya hanyalah catatan SP5 mengenai apa yang menurutnya telah berlaku. [22] Pendakwaan turut bergantung kepada kenyataan beramaran yang ditandakan sebagai P32. Selepas dicabar semasa pemeriksaan balas SP5 akhirnya mengakui bahawa P32 sebenarnya disediakan di balai polis selepas operasi selesai dan selepas dadah tersebut ditemui. SP5 menyatakan bahawa kandungan P32 ditulis berdasarkan ingatannya mengenai apa yang didakwa telah diperkatakan oleh Tertuduh. [23] Mahkamah tidak menolak P32 semata-mata kerana ia disediakan di balai polis. Walau bagaimanapun, Mahkamah mendapati bahawa P32 hanya disediakan selepas penemuan dadah dan kandungannya bergantung sepenuhnya kepada ingatan SP5. Dalam keadaan tiada sebarang catatan dibuat ketika maklumat tersebut didakwa diberikan, Mahkamah tidak dapat memastikan bahawa kandungan P32 benar-benar mencerminkan kata-kata sebenar yang diucapkan oleh Tertuduh sebelum penemuan dadah berlaku. [24] Berdasarkan keseluruhan keterangan tersebut, Mahkamah mendapati bahawa pihak Pendakwaan gagal membuktikan apakah kandungan sebenar maklumat yang didakwa diberikan oleh Tertuduh sebelum penemuan dadah di Lokasi G. Mahkamah tidak dapat memastikan sama ada maklumat tersebut benar-benar merujuk kepada lokasi dadah yang menjadi subjek pertuduhan ataupun kepada perkara lain. [25] Dapatan tersebut menjadi lebih signifikan apabila Pembelaan membangkitkan bahawa tujuan sebenar pihak polis pergi ke kawasan tersebut adalah untuk mencari seorang individu yang dikenali sebagai "Taukey Joe". Dalam keadaan Mahkamah telah mendapati bahawa Pendakwaan gagal membuktikan kandungan sebenar maklumat yang didakwa diberikan oleh Tertuduh, persoalan sama ada maklumat tersebut sebenarnya berkaitan dengan pencarian "Taukey Joe" ataupun benar-benar merujuk kepada lokasi dadah tidak pernah berjaya diperjelaskan melalui keterangan Pendakwaan. Nilai pembuktian maklumat yang didakwa diberikan [26] Walau bagaimanapun, Mahkamah berpendapat bahawa penilaian terhadap kes Pendakwaan tidak terhenti setakat itu. Sekalipun sekiranya Mahkamah menerima bahawa Tertuduh telah memberikan maklumat sebagaimana didakwa oleh SP5 dan bahawa maklumat tersebut telah membawa pihak polis ke Lokasi G, persoalan berikutnya ialah sama ada fakta tersebut membolehkan Mahkamah membuat inferens bahawa dadah yang ditemui berada di bawah kawalan Tertuduh. [27] Pihak Pendakwaan bergantung kepada keputusan Public Prosecutor v Er Ah Kiat [1966] 1 MLJ 9, di mana Raja Azlan Shah J memutuskan bahawa tindakan Tertuduh membawa pihak polis ke tempat sebenar bom tangan itu ditanam dan menunjukkan lokasi tersebut sehingga bom tangan itu berjaya digali keluar merupakan suatu keadaan yang membolehkan Mahkamah membuat inferens bahawa Tertuduh mempunyai kawalan terhadap bom tangan tersebut walaupun ia disembunyikan di suatu tempat awam. [28] Mahkamah menerima prinsip undang-undang yang diputuskan dalam Er Ah Kiat. Walau bagaimanapun, inferens sedemikian hanya boleh dibuat apabila fakta-fakta asas yang menjadi sandarannya berjaya dibuktikan. Dalam Er Ah Kiat, Tertuduh menunjukkan tempat sebenar di mana bom tangan tersebut ditanam sehingga ia terus ditemui hasil daripada tunjuk arah yang diberikan. Fakta itulah yang membolehkan Mahkamah membuat inferens bahawa Tertuduh mempunyai kawalan terhadap bom tangan tersebut. [29] Fakta kes di hadapan Mahkamah adalah berbeza secara material. Berdasarkan keterangan SP5 sendiri, sebaik sahaja tiba di Lokasi G, anggota polis masih perlu menjalankan pencarian sebelum akhirnya menemui kotak polisterin yang mengandungi dadah tersebut. Dengan itu, kes ini bukanlah suatu keadaan di mana Tertuduh menunjukkan tempat sebenar dadah tersebut disembunyikan sehingga ia terus ditemui hasil daripada tunjuk arah yang diberikan. Paling tinggi sekalipun, keterangan Pendakwaan hanya menunjukkan bahawa Tertuduh mengetahui kawasan di mana dadah tersebut akhirnya ditemui. [30] Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa inferens yang dibuat dalam Er Ah Kiat tidak boleh diaplikasikan kepada fakta kes ini. Sekalipun Mahkamah menerima bahawa Tertuduh telah membawa pihak polis ke Lokasi G, fakta tersebut tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa Tertuduh mempunyai kawalan terhadap dadah yang ditemui di lokasi tersebut. Sama ada Pendakwaan berjaya membuktikan milikan, jagaan dan kawalan Tertuduh ke atas bahan dadah [31] Mahkamah kini beralih kepada persoalan sama ada pihak Pendakwaan berjaya membuktikan bahawa dadah yang ditemui di Lokasi G berada di bawah milikan, jagaan dan kawalan Tertuduh. Pada hemat Mahkamah, persoalan ini hendaklah dinilai berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan bukannya semata-mata berasaskan dakwaan bahawa Tertuduh mengetahui lokasi dadah tersebut. [32] Pihak Pendakwaan turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Public Prosecutor v Abdul Rahman bin Akif [2007] 4 CLJ 337, yang mengguna pakai prinsip dalam Tan Ah Tee & Anor v Public Prosecutor [1980], bahawa possession membawa maksud seseorang mempunyai kuasa "to deal with and to exclude others", di samping mempunyai pengetahuan mengenai barang tersebut. Mahkamah menerima prinsip undang-undang tersebut. [33] Pada pandangan Mahkamah, definisi tersebut memperlihatkan bahawa possession tidak boleh disamakan dengan pengetahuan semata-mata. Seseorang hanya boleh dikatakan mempunyai milikan, jagaan dan kawalan apabila keterangan menunjukkan bahawa beliau mempunyai kuasa untuk mengawal barang tersebut, menguruskannya serta mengecualikan orang lain daripada mengakses atau berurusan dengannya. Pendakwaan memikul beban untuk membuktikan fakta-fakta yang membawa kepada kesimpulan tersebut. [34] Dalam kes di hadapan Mahkamah, Mahkamah mendapati bahawa Pendakwaan gagal membuktikan fakta-fakta tersebut. Lokasi G merupakan kawasan terbuka. SP6 mengesahkan bahawa tiada sebarang halangan yang menghalang manamana individu daripada memasuki kawasan tersebut. Pendakwaan juga tidak mengemukakan apa-apa keterangan bahawa Lokasi G berada di bawah penguasaan atau kawalan eksklusif Tertuduh. [35] Berdasarkan fakta Tertuduh tidak ditangkap di Lokasi G. Tertuduh ditahan ketika berada di sebuah gerai makan dan minum jauh daripada lokasi dadah ditemui. Dadah tersebut bukannya ditemui pada tubuh badan Tertuduh, di dalam kenderaannya ataupun di mana-mana premis yang berada di bawah penguasaannya. [36] Mahkamah turut mengambil perhatian bahawa terdapat beberapa buah rumah berhampiran Lokasi G yang berada lebih hampir dengan tempat dadah tersebut ditemui berbanding Tertuduh ketika beliau ditangkap. Walau bagaimanapun, tiada keterangan dikemukakan bahawa penghuni-penghuni rumah tersebut pernah disiasat bagi menentukan sama ada mereka mempunyai apa-apa kaitan dengan lokasi penemuan dadah ataupun mempunyai akses kepada tempat dadah tersebut disembunyikan. [37] Kegagalan tersebut adalah signifikan. Jika possession, sebagaimana dihujahkan sendiri oleh pihak Pendakwaan, memerlukan kuasa "to deal with and to exclude others", maka Pendakwaan terlebih dahulu perlu membuktikan bahawa Tertuduh mempunyai kawalan sedemikian terhadap Lokasi G sehingga beliau berupaya mengecualikan orang lain daripada mengakses tempat dadah tersebut disembunyikan. Sebaliknya, keterangan di hadapan Mahkamah menunjukkan bahawa kawasan tersebut boleh diakses oleh orang lain dan kemungkinan tersebut tidak pernah diketepikan melalui siasatan yang dijalankan. Dalam keadaan terdapat beberapa buah rumah berhampiran Lokasi G dan kawasan tersebut boleh diakses oleh orang lain, Pendakwaan tidak mengemukakan keterangan yang membolehkan Mahkamah menolak kemungkinan bahawa individu-individu lain turut mempunyai akses kepada tempat dadah tersebut disembunyikan. Kegagalan membuktikan fakta tersebut menyebabkan Mahkamah tidak dapat membuat inferens bahawa Tertuduh mempunyai kuasa untuk 'to exclude others' sebagaimana yang dihuraikan dalam Tan Ah Tee dan Abdul Rahman bin Akif. [39] Keterangan SP5 sendiri mengukuhkan dapatan tersebut. SP5 mengakui bahawa beliau tidak mengetahui sejak bila dadah tersebut berada di Lokasi G, siapakah yang meletakkannya dan siapakah yang pernah pergi ke kawasan tersebut sebelum operasi dijalankan. Pengakuan tersebut menunjukkan bahawa Pendakwaan gagal membuktikan bahawa Tertuduh merupakan satu-satunya individu yang mempunyai kawalan atau akses terhadap tempat dadah tersebut ditemui. [40] Mahkamah turut mendapati bahawa tiada apa-apa keterangan bebas yang menghubungkan Tertuduh dengan dadah tersebut. Tiada seorang pun saksi melihat tertuduh menyimpan, mengendalikan atau mengeluarkan dadah tersebut. Tiada barang milik peribadi Tertuduh ditemui bersama dadah berkenaan. Tiada cap jari, analisis forensik atau apa-apa keterangan saintifik lain dikemukakan bagi menghubungkan Tertuduh dengan kotak polisterin, tong cat ataupun bungkusan yang mengandungi dadah tersebut. [41] Setelah menilai keseluruhan keterangan, Mahkamah mendapati bahawa Pendakwaan gagal membuktikan bahawa Tertuduh mempunyai kuasa untuk mengawal dadah tersebut ataupun untuk mengecualikan orang lain daripada mengaksesnya sebagaimana yang dihuraikan dalam Tan Ah Tee dan Abdul Rahman bin Akif. Ketiadaan keterangan yang menghubungkan Tertuduh dengan dadah yang ditemui [42] Mahkamah turut meneliti sama ada terdapat keterangan lain yang secara bebas menghubungkan Tertuduh dengan dadah yang ditemui di Lokasi G. Mahkamah mendapati tiada keterangan sedemikian dikemukakan. [43] Tiada seorang pun saksi Pendakwaan memberi keterangan bahawa mereka melihat Tertuduh menyimpan, membawa, mengendalikan atau meletakkan kotak polisterin yang mengandungi dadah tersebut di Lokasi G. Tiada juga keterangan bahawa Tertuduh pernah dilihat berulang-alik ke lokasi tersebut atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan beliau mempunyai hubungan secara langsung dengan tempat dadah tersebut disembunyikan. [44] Pendakwaan juga gagal mengemukakan apa-apa keterangan saintifik atau forensik yang menghubungkan Tertuduh dengan dadah tersebut. Tiada cap jari diambil daripada kotak polisterin, tong cat atau bungkusan yang mengandungi dadah. Tiada analisis DNA atau apa-apa pemeriksaan saintifik lain dijalankan yang boleh menunjukkan bahawa Tertuduh pernah mengendalikan barang-barang tersebut. [45] Mahkamah menerima bahawa keterangan saintifik bukan merupakan suatu keperluan dalam setiap Pendakwaan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Walau bagaimanapun, dalam fakta kes ini, apabila Pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada inferens bahawa Tertuduh mempunyai kaitan dengan dadah tersebut, ketiadaan apa-apa keterangan bebas yang menghubungkan Tertuduh dengan dadah berkenaan merupakan satu faktor yang tidak boleh diketepikan. [46] Mahkamah dengan itu mendapati bahawa keseluruhan kes Pendakwaan akhirnya bergantung kepada satu inferens, iaitu bahawa kerana Tertuduh didakwa mengetahui lokasi dadah tersebut, maka Tertuduh mestilah mempunyai milikan, jagaan dan kawalan terhadapnya. Mahkamah telah pun menolak inferens tersebut kerana fakta-fakta asas yang diperlukan untuk menyokong inferens berkenaan tidak berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan. KESIMPULAN DAN KEPUTUSAN [47] Mahkamah telah menilai keseluruhan keterangan Pendakwaan secara menyeluruh dan bukannya secara berasingan. Setelah berbuat demikian, Mahkamah mendapati bahawa terdapat tiga kegagalan asas dalam kes Pendakwaan. [48] Pertama, Pendakwaan gagal membuktikan apakah maklumat sebenar yang didakwa diberikan oleh Tertuduh sebelum penemuan dadah di Lokasi G. Dalam keadaan tiada catatan kontemporari dibuat, laporan polis dan P32 pula hanya disediakan selepas penemuan dadah, Mahkamah tidak dapat memastikan kandungan sebenar maklumat yang didakwa membawa kepada penemuan tersebut. [49] Kedua, sekalipun Mahkamah menerima bahawa Tertuduh telah memberikan maklumat sebagaimana didakwa oleh SP5, fakta kes ini tidak membolehkan Mahkamah membuat inferens bahawa Tertuduh mempunyai kawalan terhadap dadah tersebut sebagaimana yang diputuskan dalam Er Ah Kiat. Dadah tidak ditemui hasil daripada tunjuk arah secara langsung oleh Tertuduh, sebaliknya anggota polis masih perlu menjalankan pencarian sebelum kotak polisterin tersebut ditemui. [50] Ketiga, Pendakwaan gagal membuktikan bahawa Tertuduh mempunyai milikan, jagaan dan kawalan terhadap dadah tersebut sebagaimana yang dihuraikan dalam Tan Ah Tee dan diterima pakai oleh Mahkamah Persekutuan dalam Abdul Rahman bin Akif. Keterangan yang dikemukakan tidak menunjukkan bahawa Tertuduh mempunyai kuasa untuk mengawal dadah tersebut ataupun untuk mengecualikan orang lain daripada mengakses tempat dadah itu disembunyikan. [51] Dalam keadaan tersebut, Mahkamah mendapati bahawa Pendakwaan gagal membuktikan elemen milikan, jagaan dan kawalan terhadap dadah yang menjadi subjek pertuduhan. Kegagalan tersebut adalah fatal kepada kes Pendakwaan. KEPUTUSAN [52] Atas alasan-alasan tersebut, setelah menjalankan penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak Pendakwaan gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh. [53] Oleh yang demikian, Tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri bagi Pertuduhan Pertama menurut seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah. Tarikh: 17 Julai 2026 (SAMRY BIN MASRI) PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI KUANTAN Peguam Bagi Pihak Perayu : Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang No.402, Tingkat 4, Mahkota Square Jalan Mahkota 25000 Kuantan Pahang Darul Makmur Peguam Bagi PihakTertuduh Tetuan The Law Office of Amirul & Athirah Peguambela & Peguamcara No.10-09, Menara Centara Jalan Tunku Abdul Rahman 50350 Chow Kit Kuala Lumpur