Kegagalan tersebut adalah signifikan. Jika possession, sebagaimana dihujahkan sendiri oleh pihak Pendakwaan, memerlukan kuasa "to deal with and to exclude others", maka Pendakwaan terlebih dahulu perlu membuktikan bahawa Tertuduh mempunyai kawalan sedemikian terhadap Lokasi G sehingga beliau berupaya mengecualikan orang lain daripada mengakses tempat dadah tersebut disembunyikan. Sebaliknya, keterangan di hadapan Mahkamah menunjukkan bahawa kawasan tersebut boleh diakses oleh orang lain dan kemungkinan tersebut tidak pernah diketepikan melalui siasatan yang dijalankan. Dalam keadaan terdapat beberapa buah rumah berhampiran Lokasi G dan kawasan tersebut boleh diakses oleh orang lain, Pendakwaan tidak mengemukakan keterangan yang membolehkan Mahkamah menolak kemungkinan bahawa individu-individu lain turut mempunyai akses kepada tempat dadah tersebut disembunyikan. Kegagalan membuktikan fakta tersebut menyebabkan Mahkamah tidak dapat membuat inferens bahawa Tertuduh mempunyai kuasa untuk 'to exclude others' sebagaimana yang dihuraikan dalam Tan Ah Tee dan Abdul Rahman bin Akif.