Berkenaan isu kekhilafan YA Hakim Mahkamah Tinggi dalam mengguna pakai Seksyen 8 Akta Keterangan 1950 dalam menilai keterangan tingkah laku Perayu, Pihak Timbalan Pendakwa Raya terpelajar menghujahkan bahawa tiada merit dalam isu yang dibangkitkan ini. Tindak tanduk atau “conduct” Perayu dalam kes ini adalah relevan dan boleh dimasukkan melalui Seksyen 8 Akta keterangan 1950 yang mengaitkan pemilikan Perayu ke atas barang kes. Pihak pendakwaan telah merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ariff Arhannan Che Udin V PP [2022] 4 CLJ 1 dan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Suthagar Segaran v PP [2023] CLJU 624; [2023] 1 LNS 624 yang jelas menggunakan peruntukan Seksyen 8 Akta Keterangan 1950. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH [31] Mahkamah ini telah meneliti lanjut alasan penghakiman yang disediakan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi serta hujahan pihak-pihak bagi kedua-dua rayuan. Berhubung dengan Rayuan No. 650 [32] Berhubung dengan sabitan dan hukuman bagi pertuduhan melibatkan kes Tangkapan di Tepi Jalan iaitu dalam Rayuan No. 650, kami sebulat suara mendapati bahawa terdapat merit dalam rayuan Perayu. Dalam hal ini, kami mendapati bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah di mana dalam keterangan SP4 mengatakan dalam report polis beliau mengenai motosikal JQP yang dibawa oleh Perayu dan SP4 sendiri mengakui kesilapan dalam keterangannya iaitu untuk motosikal JSR1301 yang mana perbezaan ini tidak diperbetulkan. Maka, Mahkamah ini berpandangan terdapat dua keterangan yang bercanggah dan menyebabkan sabitan ke atas Perayu adalah tidak selamat. [33] Dalam hal ini, Mahkamah ini telah meneliti semula Nota Keterangan di peringkat bicara di Mahkamah Tinggi yang mana apabila SP4 dirujuk kepada Ekshibit P10, gambar No. 3, SP4 telah mengatakan yang dadah telah dijumpai di motor JSR 1301 yang mana SP4 telah membuat tandaan “Y” di bakul motor JSR 1301. Motorsikal dengan nombor pendaftaran JSR 1301 tersebut bukanlah milik Perayu. Ianya merupakan milik Muhamad Fakhriy. Semasa soal balas juga, SP4 sering menjawab, tidak ingat, tidak pasti atau lupa. Selain itu, SP4 dan SP7 sendiri mengakui bahawa Muhamad Fakhriy ini merupakan saksi yang material namun tidak dikemukakan semasa bicara dan tiada usaha dibuat untuk mengesannya. [34] Oleh yang demikian, kami berpandangan kegagalan memanggil saksi material ini boleh membangkitkan penggunaan anggapan bertentangan menurut Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. Dalam perkara ini, kami berpandukan kepada keputusan Munusamy v. PP [1987] CLJ Rep 221; [1987] 1 CLJ 250; [1987] 1 MLJ 492 yang mana Mahkamah Agung melalui penghakiman yang disampaikan oleh Mohamed Azmi SCJ (beliau pada ketika itu) menyatakan seperti berikut: “It is essential to appreciate the scope of Section 114(g) lest it be carried too far outside its limit. Adverse inference under that illustration can only be drawn if there is withholding or suppression of evidence and not merely on account of failure to obtain evidence. It may be drawn from withholding not just any document, but material document by a party in his possession, or for non-production of not just any witness but an important witness to the case.” [35] Selain itu, kami berpandangan bahawa ini bukan isu mengenai dua versi keterangan yang bercanggah antara keterangan pihak Perayu dan keterangan pihak pendakwaan. Namun, ini merupakan percanggahan keterangan oleh saksi pendakwaan itu sendiri yang mana menurut kami, percanggahan tersebut adalah material yang akhirnya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap keterangan versi pendakwaan. Tambahan pula, percanggahan tersebut adalah terhadap lokasi di mana barang kes ditemui yang mana SP4 sendiri boleh terkeliru dan tersilap. Maka, dalam hal ini, tidak selamat untuk kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bagi Rayuan No. 650 ini. Sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi adalah diketepikan. Kami sebulat suara melepaskan dan membebaskan Perayu daripada ketiga-tiga pertuduhan di dalam Rayuan No. 650 ini. [36] Dalam hal ini, kami berpandukan kepada keputusan Mahkamah Agung di dalam kes Teoh Hoe Chye v PP [1987] 1 MLJ 220 yang menyatakan sebagaimana berikut: “We would observe at this point that the law is clear in that “it is unnecessary to call evidence to ensure there is no break in the chain of evidence.” (Su Ah Ping v Public Prosecutor [1980] 1 MLJ 75. But where a doubt as to the identity of an exhibit arises, a failure to adduce evidence to provide the necessary link in the chain of evidence would be fatal to the prosecution case. In the instant case there was such a failure.” Berhubung dengan Rayuan No. 9 [37] Manakala rayuan Perayu berhubung dengan tangkapan di Season Luxury dalam Rayuan No. 9, kami mendapati pihak Perayu gagal menunjukkan bahawa terdapat merit dalam rayuan ini. Kami sebulat suara bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa YA Hakim Mahkamah Tinggi tidak khilaf di dalam keputusannya mensabitkan Perayu atas dua pertuduhan dalam Rayuan No. 9 tersebut. [38] Mengenai isu pihak pembelaan bahawa tiada laporan DNA atau cap jari Perayu yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, kami berpandangan bahawa ianya tidak memberi impak terhadap kes pihak pendakwaan dan Perayu, atas sebab barang kes telah dijumpai di dalam Bilik No. 2 tersebut yang mana bilik tersebut jelas disewa oleh Perayu. Hal ini dapat dilihat berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan. Kami juga berpandangan bahawa sabitan ke atas Perayu adalah selamat walaupun dengan ketiadaan keterangan sokongan lain seperti keterangan forensik cap jari. Dalam hal ini, kami merujuk kepada keputusan Mahkamah ini di dalam kes PP v. Ebrahim Mirzaie Hj Ebrahim Deh Mokhtar [2017] 1 CLJ 575 yang memutuskan seperti berikut: "[38] The evidential value of CCTV evidence. DNA profiles and fingerprint impressions as decided by high authority is only corroborative. The learned trial judge correctly appreciated the position. In PP v. Mansor Md Rashid & Anor [1997] 1 CLJ 233, the Federal Court stated that: “Where the identity of a culprit is in question or required to be proved, fingerprint evidence would be of great significance and immense value. In the present case under appeal, however, the charge alleged trafficking in the form of sale and there is evidence indicating the identities of the alleged offenders and the sale transaction. Fingerprint evidence on the newspaper wrapping, white plastic and the loytape, therefore, assumes little value or significance. [39] Now, having scrutinised the evidence, we were with the learned DPP that even without the CCTV evidence, DNA profiles and fingerprint impressions, there are sufficient evidence to prove the prosecution's case.” [39] Berpandukan keputusan kes tersebut dan setelah meneliti keseluruhan keterangan, ketiadaan keterangan forensik lain belum cukup untuk membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang mana berdasarkan fakta kes ini, dadah-dadah yang dijumpai di Bilik No. 2 tersebut adalah hasil daripada tunjuk arah oleh Perayu sendiri dan unit kediaman tersebut dibuka menggunakan kunci yang berada pada Perayu. Pembelaan oleh Perayu bahawa dadah-dadah tersebut milik individu lain gagal menimbulkan keraguan munasabah apabila kami menilai kes Perayu berdasarkan keseluruhan keterangan. Oleh yang demikian, kami sebulat suara memutuskan bahawa sabitan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi bagi Rayuan No. 9 adalah selamat. Kami merujuk kepada kes of Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng & Ors v Gan Yook Chin & Anor (2003) 2 MLJ 97 yang memutuskan sebagaimana berikut: “Generally, an appellate court will not intervene unless the trial court was shown to be plainly wrong in arriving at its decision or where there had been no or insufficient judicial appreciation of the evidence.” [40] Berhubung dengan rayuan Perayu terhadap hukuman dalam Rayuan No. 9, kami berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan ke atas Perayu adalah hukuman yang minima diperuntukkan oleh undang-undang bagi kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas Perayu. Maka, kami tidak berhasrat untuk menggangu hukuman yang dijatuhkan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi bagi kedua-dua pertuduhan. Maka, rayuan Perayu atas hukuman juga dengan ini adalah ditolak. KESIMPULAN [41] Oleh itu, kami sebulat suara membenarkan rayuan Perayu dalam Rayuan No. 650. Keputusan YA Hakim Mahkamah Tinggi bagi ketiga-tiga pertuduhan seperti di bawah adalah diketepikan. Perayu adalah dilepaskan dan dibebaskan dari ketiga-tiga pertuduhan dalam Rayuan No. 650 tersebut. [42] Manakala bagi Rayuan No. 9, kami sebulat suara menolak rayuan Perayu dan seterusnya mengesahkan sabitan dan hukuman oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi. [43] Keputusan Mahkamah ini dibuat setelah meneliti alasan penghakiman YA Hakim Mahkamah Tinggi, hujahan bertulis dan hujahan lisan pihak-pihak serta setelah mengambilkira keterangan yang dikemukakan dalam kes ini secara keseluruhannya dan undang-undang yang terpakai. Bertarikh: 23 Februari 2026 -sgd- (AZMAN BIN ABDULLAH) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Putrajaya Bagi pihak Perayu : Dahlia Tan (Veeranesh Babu bersamanya) [Tetuan Heng Dahlia & Co.] Bagi pihak Responden : TPR Eyu Ghim Siang [Jabatan Peguam Negara]