Mohd Nasli bin Mohd Nasir (Perayu) v. Pendakwa Raya (Responden) (Dalam Perkara Mahkamah Sesyen Jenayah Besut Perbicaraan Jenayah No. MSB-62-06-09/2019) Pendakwa Raya v. Mohd Nasli bin Mohd Nasir] S/N mble3RpY0kutg03CQEMABA Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal KORAM: CHE MOHD. RUZIMA BIN GHAZALI, HMR AZMAN BIN ABDULLAH, HMR MOHAMED ZAINI BIN MAZLAN, HMR ALASAN PENGHAKIMAN Latar belakang rayuan [1] Perayu telah disabitkan di Mahkamah Sesyen, melakukan kesalahan mencederakan dengan cedera parah ke atas seorang pegawai polis. Tidak berpuashati terhadap keputusan ini, Perayu telah merayu kepada Mahkamah Tinggi. Mahkamah Tinggi telah mengesahkan sabitan dan hukuman 7 tahun penjara. Perayu kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan ini dan meneruskan rayuan terhadap hukuman sahaja. Alasan utama rayuan adalah dengan Perayu mengidap penyakit schizophrenia, hukuman 7 tahun adalah berat (manifestly excessive). Fakta kesalahan pertuduhan [2] Fakta penting dinyatakan di sini secara ringkas untuk memahami kes. Perayu tinggal berjiran dengan SP4. Jarak rumah keduaduanya lebih kurang 100 meter. SP4 adalah Ketua Polis Daerah Besut. Pada 15 Ogos 2019 semasa SP4 sampai di rumahnya, beliau mendapati bahawa pokok kelapa yang beliau tanam di tepi jalan di hadapan rumahnya telah dicabut orang dan pokok yang dicabut tersebut ada terlempar di halaman rumahnya. Seketika kemudian, Perayu telah sampai di hadapan rumah SP4 menaiki kenderaan. Perayu telah mempertikaikan penanaman pokok kelapa itu dan mengarahkan SP4 untuk mendapatkan kebenaran dahulu sebelum menanam pokok kelapa itu. Perayu tidak puas hati dan telah memarahi SP4. Perayu telah keluar daripada kenderaan dan mengejar SP4 sambil membawa parang. Semasa mengejar SP4, Perayu telah menetak kepala SP4 dari arah belakang dan telah terkena tangan SP4 yang sedang menahan luka di kepala akibat tetakan kali pertama. Tetakan Perayu ke atas SP4 telah mengakibatkan ibu jari tangan kanan SP4 putus. Hujahan Perayu dan Responden [3] Isu utama Perayu di dalam rayuan memohon pengurangan hukuman adalah keadaan kesihatan Perayu yang mengidap schizophrenia, yang mana dihujahkan mewajarkan hukuman yang ringan dan berbentuk pemulihan. Dalam hal ini, dihujahkan bahawa Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah khilaf apabila tidak menilai dan mempertimbangkan keterangan bahawa Perayu adalah penghidap schizophrenia. [4] Kedudukan undang-undang yang ditimbulkan oleh Perayu adalah Seksyen 84 Kanun Keseksaan dengan memetik kes JOHN NYUMBEI V. PP [2007] 7 MLJ 206. Perayu juga merujuk kepada perlakuan Perayu sebelum dan selepas kejadian, sebagai keterangan yang menyokong bahawa Perayu mengidap penyakit schizophrenia. Selain itu, Perayu juga mengambil laporan psychiatric P1 sebagai asas bahawa Perayu mempunyai sakit schizophrenia. Semua ini adalah hujah Perayu untuk peringanan hukuman yang mana di dakwa Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi gagal menilai bagi kepentingan Perayu. [5] Responden menghujahkan dengan mengemukakan keputusankeputusan hukuman dalam kes duluan. Keputusan Hukuman [6] Penelitian yang telah dibuat hasil daripada rujukan terhadap rekod-rekod rayuan, kami mendapati Hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil kira semua keadaan termasuklah keadaan mental Perayu semasa membuat pertimbangan untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas Perayu. Daripada Alasan Penghakiman yang agak komprehensif daripada Hakim Mahkamah Sesyen, beliau telah menyatakan alasannya serta memberi pandangan dan alasan yang kukuh ke atas hukuman yang dijatuhkan terhadap Perayu. Keputusan tersebut juga telah disahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi. [7] Pembelaan tidak waras menurut Seksyen 84 Kanun Keseksaaan adalah pembelaan mutlak yang mana jika berjaya dibuktikan tidak waras, maka seseorang tertuduh adalah terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan. Dalam perbicaraan, Perayu tidak mencapai tahap Seksyen 84 ini. Perayu telah didapati waras semasa melakukan kesalahan mencederakan tersebut. Walau pembelaan Seksyen 84 tidak berjaya dibuktikan, namun keadaan mental Perayu dan semua keadaan tindakan Perayu dan keterangan dalam P1 telah dinilai dan dipertimbangkan semasa hukuman. [8] Hakim Mahkamah Sesyen telah mengingatkan dirinya berkenaan prinsip penghukuman dan telah mengambil kira hujahan mitigasi daripada pihak Perayu dan juga pendakwaan bagi faktor pemberatan. Di dalam menjatuhkan hukuman, hakim bicara tiada khilaf dan telah mempertimbangkan kepentingan Perayu dan keadaan mentalnya dan juga kepentingan awam. [9] Oleh itu, di peringkat Mahkamah Rayuan, setelah dua keputusan di mahkamah bawah, kami dapati tidak ada kesilapan yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang mana telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi. Kami dapati bahawa hakim bicara telah mempertimbangkan semua faktor secara memuaskan sebelum menetapkan hukuman ke atas Perayu. Hukuman adalah sesuai dan tidak melampau [not manifestly excessive]. Dengan itu, kami tiada sebab untuk mengusik keputusan yang telah dicapai oleh mahkamah bawahan. [10] Kami merujuk kes DATO' SRI MOHD NAJIB HJ ABD RAZAK v. PP [2022] 1 CLJ 491, [2021] 1 LNS 2080 dipetik sebagai menyatakan: "The role of an appellate court when it comes to an appeal against sentence is very limited. An appellate court will not interfere in the trial judge's exercise of sentencing discretion, unless it is shown that the judge had erred in principle, or that the sentence is either manifestly inadequate or grossly excessive. This principle was reiterated by this court in PP v. Ling Leh Hoe [2015] 4 CLJ 869 where it was held that an appellate court in dealing with an appeal against sentence may only interfere in limited circumstances, where: