Lampiran
Lampiran 7 adalah permohonan Bakal Pencelah untuk mencelah dan untuk dinamakan sebagai pihak dalam Saman Pemula ini menurut Aturan 15 Kaedah 6(2)(b) Kaedah-Kaedah Mahkamah (KKM) dan seterusnya memohon untuk mengenepikan perintah Mahkamah bertarikh 21.8.2024 di bawah Aturan 42 Kaedah 13 KKM dan Seksyen 75 Akta Kesihatan Mental 2001 (AKM). 2. Setelah mendengar kedua-dua pihak, saya membenarkan Lampiran 7 dan mengenepikan perintah bertarikh 21.8.2024 dan selanjutnya menetapkan tarikh Saman Pemula didengar semula pada 29.10.2025. 3. Tidak berpuas hati dengan keputusan di atas, Pemohon kini telah merayu kepada Mahkamah Rayuan dan berikut adalah alasan saya. Latar Belakang Kes yang dikemukakan oleh Bakal Pencelah 4. Pada 27.9.2023, Bakal Pencelah berhajat untuk membeli sebidang tanah milik Mohd Basri @ Mohd Noh bin Badut (Mohd Basri) yang dipegang di bawah hak milik PM5488, Lot 32787 Seri Cheeding, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat, Selangor (hartanah tersebut). Bagi tujuan jual beli ini, mereka kemudiannya menandatangani satu perjanjian Jual Beli (PJB) dan dua Surat Kuasa Wakil. 5. Bakal Pencelah telah membuat bayaran sebanyak RM200,000.00 kepada peguamcara Tetuan Royani & Co dan sejumlah RM10,000.00 dari bayaran RM200,000.00 telah dibayar kepada Mohd Basri oleh Tetuan Royani & Co. 6. Pada 20.12.2023, Pihak Berkuasa Negeri telah mengeluarkan Surat Kebenaran Pindah Milik bagi memindahkan hartanah tersebut kepada Bakal Pencelah. 7. Namun, pelaksanaan PJB tersebut telah terhalang dan tergendala apabila suatu kaveat persendirian ke atas hartanah tersebut (Nombor Perserahan 02B3860/2023) telah dimasukkan pada 4.12.2023 (kaveat persendirian) oleh penama Mohd Norfarizat Bin Mohd Basri (Mohd Norfarizat). 8. Mohd Norfarizat adalah anak kandung kepada Mohd Basri bersama isteri pertamanya, Aliah Binti Haji Munir (Aliah). Tujuan kaveat persendirian tersebut dimasukkan adalah kerana Mohd Norfarizat mendakwa adik tirinya cuba menjual hartanah tersebut secara tidak sah. 9. Pada 2.1.2024, Bakal Pencelah telah memulakan suatu tindakan melalui Saman Pemula No. BA-24NCvC-3-01/2024 di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membatalkan kaveat persendirian tersebut (Saman Pemula 3) atas alasan kaveat persendirian tersebut telah dimasukkan secara salah, dan untuk mendapatkan perintah membenarkan Bakal Pencelah meneruskan dengan transaksi PJB tersebut. 10. Pada 9.5.2024, Pemohon melalui surat peguamcaranya, telah menuntut agar keseluruhan transaksi berkenaan dengan hartanah tersebut diberhentikan dengan segera. 11. Namun, selepas surat 9.5.2024 dikeluarkan, dan semasa Saman Pemula 3 sedang berlangsung, Pemohon telah memulakan prosiding Saman Pemula di sini melalui pemfailan Lampiran 1, tanpa memaklumkan kepada Bakal Pencelah dan memperoleh perintah dari Mahkamah ini pada 21.8.2024, juga tanpa memberitahu Bakal Pencelah. 12. Sebelum itu, pada 23.7.2024, Pemohon bersama lima yang lain telah memulakan satu tindakan melalui Guaman No BA- 22NCVC-297-07/2024 (Guaman 297) kononnya bagi pihak Mohd Basri terhadap Bakal Pencelah untuk membatalkan PJB dan Surat Kuasa Wakil tersebut. Lima penama yang lain itu adalah Aliah Binti Munir, Mohd Norfarizat, Ummunazrah binti Mohd Basri, Mohd Nazrin bin Mohd Basri dan Nor Rabeah binti Mohd Basri (Plaintif-Plaintif dalam Guaman 297). Kesemuanya adalah adik beradik Pemohon, kecuali Aliah sebagai ibu mereka. 13. Pada 13.8.2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam Saman Pemula 3 telah mengarahkan agar semua pertikaian yang berbangkit daripada hartanah tersebut diselesaikan dalam Guaman 297, maka Saman Pemula 3 telah ditarik balik. 14. Semasa prosiding Guaman 297 berlangsung, Plaintif-Plaintif dalam Guaman 297, termasuklah Pemohon di sini buat pertama kalinya, mendedahkan kepada Bakal Pencelah tentang kewujudan perintah Mahkamah bertarikh 21.8.2024 dalam permohonan injunksi Plaintif-Plaintif dalam Guaman 297 terhadap Bakal Pencelah. 15. Namun, pada 13.1.2025, Mahkamah telah membatalkan Guaman 297 dan menolak permohonan injunksi Plaintif-Plaintif dalam Guaman 297 terhadap Bakal Pencelah. 16. Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah, pada 4.2.2025, Pemohon sekali lagi memfailkan satu lagi tindakan Mahkamah terhadap Bakal Pencelah, melalui Guaman No: BA- 22NCvC-46-02/2025 (Guaman 46), dengan menggunakan perintah Mahkamah ini bertarikh 21.8.2024 yang dikatakan bagi pihak Mohd Basri, dengan tujuan yang sama seperti Guaman 297. 17. Lanjutan daripada perkara tersebut, Bakal Pencelah telah memfailkan permohonan ini (Lampiran 7) untuk mencelah dan seterusnya mengenepikan perintah Mahkamah bertarikh 21.8.2024 yang dikatakan terus disalah guna oleh Pemohon. Analisa dan Dapatan 18. Saya mulakan dengan permohonan Pemohon menerusi Saman Pemula beliau ini (BA-24NCVC-1461-07/2024) yang difailkan pada 13.7.2024 secara ex-parte yang bersandarkan peruntukkan dalam intitulement iaitu seksyen 52 - 70 AKM, Aturan 92 KKM dan seksyen 420 Kanun Tanah Negara 1965. 19. Pemohon memohon perintah deklarasi bahawa Mohd Basri adalah seorang yang bercelaru mental dan tidak berupaya untuk menguruskan diri dan hal ehwalnya serta harta-hartanya di bawah AKM dan seterusnya untuk melantik Pemohon sendiri sebagai jawatankuasa Mohd Basri untuk diberikan kuasa untuk pengurusan hal ehwal diri dan harta Mohd Basri. 20. Permohonan disokong oleh affidavit Pemohon yang menerangkan status beliau sebagai anak kandung lelaki kepada Mohd Basri dan mengesahkan bahawa bapanya mengidap penyakit chronic dementia sejak 2017 yang mana kini sudah semakin teruk dan tidak lagi dapat menguruskan dirinya sendiri dan juga harta-hartanya. 21. Mohd Basri, pada ketika itu berusia 86 tahun dan tinggal serta dijaga sepenuhnya oleh kakak dan isteri Pemohon. Pemohon juga mengatakan bahawa beliau telah diberikan kuasa penuh dengan persetujuan oleh waris-waris lain untuk menguruskan harta-harta Mohd Basri. 22. Saya dapati, dalam affidavit sokongannya, Pemohon mengatakan bahawa Mohd Basri hanya mempunyai seorang isteri dan empat anak yang lain sebagai waris sah. Beliau juga mengesahkan bahawa tiada orang lain yang akan mendapat manafaat dari harta Mohd Basri selain waris yang dinyatakan. 23. Bagi tujuan siasatan atau inkuiri, Pemohon telah mengemukakan satu laporan perubatan bertarikh 7.2.2024 (exhibit MNMB-2) dari Hospital Banting untuk mengesahkan Mohd Basri kini mengalami kecelaruan mental mengikut kehendak seksyen 52 AKM di mana Mohd Basri mengalami perubahan pada ingatan, pemikiran dan tingkah laku lantaran penyakit yang dikenali sebagai “Chronic Dementia” sejak 2017. Keadaan ini membuat Mohd Basri dikatakan tidak mampu untuk memahami dan berkomunikasi dengan baik mengenai pengurusan berkaitan dirinya dan juga harta-hartanya. 24. Setelah mendengar permohonan ex-parte ini, saya berpuas hati dari siasatan bersandarkan laporan perubatan yang dikemukakan bahawa Mohd Basri kini tiada upaya untuk menguruskan diri dan harta dan membenarkan prayers yang dipohon. 25. Akan tetapi, agak mengejutkan, kemudiannya didapati, dari permohonan yang difailkan oleh Bakal Pencelah, wujud satu naratif yang lebih terperinci mengenai pertikaian antara pihak-pihak yang berkaitan dengan harta Mohd Basri. 26. Sebelum saya pergi kepada situasi fakta yang baru di bawa kehadapan Mahkamah ini, ingin saya nyatakan rasa tertegun saya dengan fakta ringkas yang dikemukakan sedangkan Pemohon atau mungkin peguam beliau mengetahui wujudnya pelbagai pertikaian antara pihak-pihak yang telah diselindung dari dizahirkan dalam permohonan asal ex-parte. Semestinya ini tidak berlaku sekiranya pihak-pihak yang berkaitan lebih telus dalam melakarkan fakta kes untuk pertimbangan Mahkamah supaya keputusan boleh dibuat dengan adil. 27. Saya ketepikan kekesalan di atas, dan kembali kepada permohonan di Lampiran 7. Setelah saya mendengar dari kedua-dua belah pihak dan membaca hujahan yang difailkan, saya berpendapat seperti berikut. 28. Berkaitan peruntukan undang-undang mengenai hak untuk mencelah mengikut Aturan 15 Kaedah 6 KKM, saya berpandangan, ianya adalah adil untuk saya membenarkan Bakal Pencelah untuk mencelah dan ditambah sebagai pihak dalam Saman Permula ini lantaran peranan beliau mempunyai kaitan yang relevan dengan urusan harta-harta Mohd Basri dan akan terkesan dengan apa jua keputusan yang bakal dibuat. Tambahan pula, saya berpandangan, adalah wajar beliau dimasukkan sebagai pihak untuk memastikan segala perkara dalam pertikaian boleh diputuskan dengan berkesan dan lengkap. 29. Semasa pendengaran Saman Pemula, fakta bahawa Bakal Pencelah telah memasuki PJB dan Surat Kuasa Wakil dengan Mohd Basri tidak didedahkan. Pemohon juga ada dalam pengetahuannya bahawa terdapat pelbagai tuntutuan telah dibuat berkait urusan harta-harta Mohd Basri, seperti kemasukkan kaveat, Saman Pemula 3 dan juga Guaman 297. Sungguhpun begitu, walaupun telah mendapat perintah pada 21.8.2024, ianya masih tidak disampaikan kepada Bakal Pencelah. Atas situasi fakta di atas, saya bersetuju dengan hujahan Bakal Pencelah bahawa keadaan ini merupakan satu menyalahgunaan proses Mahkamah. 30. Saya juga berpandangan, keputusan Saman Pemula ini yang dibuat secara ex-parte akan mempunyai kesan kepada kepentingan undang-undang (legal interest) Bakal Pencelah (rujuk Pegang Mining Co Ltd v. Choong Sam [1969] 2 MLJ 52). Oleh itu, saya membenarkan Bakal Pencelah untuk mencelah sebagaimana yang dipohon di perenggan (1) dan (2) Lampiran 7. Saya akan merujuk Bakal Pencelah sebagai Pencelah seterusnya dalam alasan penghakiman ini. 31. Berkaitan permohonan Pencelah untuk mengenepikan perintah Mahkamah ini yang dibuat pada 21.8.2024, saya merujuk kepada kes Badiaddin Bin Mohd Mahidin & Anor v. Arab Malaysian Finance Bhd [1998] 1 MLJ 393 yang memutuskan jika dapat ditunjukkan bahawa perintah tersebut diperoleh dengan pertimbangan yang salah, maka ianya boleh diketepikan dan tiada isu Mahkamah telah functus officio (juga rujuk Lee Gee Pheng v Rhb Bank Bhd [2004] 1 MLJ 618). 32. Jelas dari naratif fakta yang dikemukakan oleh Pencelah, Pemohon telah gagal mendedahkan butiran yang lengkap mengenai pertikaian antara pihak-pihak yang jelas masih berlangsung. Terutamanya bahawa Mohd Basri turut mempunyai isteri kedua yang sah dan mempunyai anak hasil perkahwinan mereka yang mana merupakan waris kepada Mohd Basri. 33. Oleh yang demikian, saya dapati prosiding Saman Pemula ini telah dimulakan oleh Pemohon bertujuan untuk mengambil kesempatan yang tidak wajar untuk mendapatkan kuasa untuk menguruskan harta Mohd Basri. 34. Rujukan kepada kes Mahkamah Rayuan dalam Ng Pik Lian v Tai May Chean & Anor and other appeals [2022] 2 MLJ 950 telah dibuat oleh Pencelah sebagai otoriti, jika permohonan bawah seksyen 52 dibuat bagi tujuan kepentingan peribadi dan bukan bagi tujuan kebajikan pesakit, Mahkamah tidak wajar membenarkan permohonan tersebut. 35. Dalam pemakaian otoriti di atas kepada fakta dalam kes ini, saya berpandangan bahawa banyak fakta tidak didedahkan pada peringkat pendengaran ex-parte yang mana hanya dimaklumkan pada peringkat ini, maka saya setuju dengan hujahan Pencelah bahawa Mahkamah telah di salah nyatakan oleh Pemohon dalam mendapatkan perintah pada 21.8.2024 tersebut. 36. Oleh yang demikian, atas alasan di atas, perintah 21.8.2024 dengan ini diketepikan (perenggan (3) Lampiran 7) dan Saman Pemula akan ditetapkan semula untuk dibicarakan pada tarikh baru. Kesimpulan 37. Secara keseluruhannya, permohonan Pencelah di Lampiran 7 dengan ini dibenarkan dengan kos RM5000, tertakluk kepada alokator. 38. Pencelah telah berhujah mengenai isu kesalah-aturan prosiding Saman Pemula yang telah dijalankan, antaranya kerana ia menyalahi peruntukkan seksyen 52 AKM, Mohd Basri tidak dinamakan sebagai Responden dan ketidak-aturan penerimaan dua Laporan Perubatan yang bertarikh 7.2.2024 dan 9.10.2024. 39. Oleh kerana saya berpuas hati bahawa perintah 21.8.2024 wajar diketepikan bersandarkan kegagalan Pemohon mendedahkan fakta yang menyeluruh, dan Saman Pemula akan dibicarakan semula, saya tidak akan membuat apa-apa dapatan mengenai isu salah aturan tersebut pada peringkat ini. Bertarikh: 10 Oktober 2025 ~signed~ (NOOR HAYATI BINTI HAJI MAT) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM, SELANGOR Peguam bagi pihak Pemohon : Azwab bin Abdul Wahab Tetuan Ahmad Fuad Abi & Aidil Peguam bagi pihak Pencelah Yang Dicadangkan : Jecristirei Siose bersama Tun Muhammad Seth bin Tun Rafaee