(i). b. Keterangan SP 6 dan SP 14 juga menyatakan Borang Permohonan perlu dikemukakan bersama 3 Sebut Harga dari pembekal. Di dalam kes kita sekarang OKT telah mengemukakan 3 Sebut Harga bagi setiap permohonan. c. Bagi kes no TA-61R-47-08/2020, iaitu untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan 60 Unit Antenna 146-174 MHz Motorola GP328 dan 30 unit alat ganti Charger Motorola GP328 yang berjumlah RM 8,100.00, 3 Sebutharga yang disertakan Bersama Borang Permohonan (eksibit P 36 I) ialah: i. Sebut harga syarikat Pak Su Global Enterprise (eksibit P 36 J) dengan harga tawaran RM 8,100.00 ii. Sebut harga syarikat Ashafi Jaya Enterprise (eksibit P 36 O) dengan nilai RM9,000.00 iii. Sebut harga syarikat PNQ Gold Enterprise (eksibit P 36 P) dengan nilai RM10,680.00 Pemilik syarikat Pak Su Global ialah Kamariyah binti Mamat, iaitu ibu mertua OKT. Pada masa perbicaraan, Kamariyah binti Mamat telah meninggal dunia. d. Bagi kes no. TA-61R-48-08/2020, iaitu untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan 31 Unit Kompas Orientaring (SUNTO) yang berjumlah RM 7,440.00, 3 Sebutharga yang disertakan Bersama Borang Permohonan (eksbit P 33 I) ialah: i. Sebut harga syarikat Muazzam Global Enterprise (eksibit P 33 J) dengan harga tawaran RM 7,440.00 ii. Sebut harga syarikat PNQ Gold Enterprise (eksibit P33 P) dengan nilai RM8,060.00 iii. Sebut harga syarikat Napiyos Enterprise (eksibit P33 O) dengan nilai RM8,060.00 Pemilik syarikat Muazzam Global ialah Noraida Rosmira binti Che Samsudin, iaitu adik ipar OKT. Noraida Rosmira binti Che Samsudin telah dipanggil menjadi saksi pendakwaan (SP 18). e. Bagi kes no. TA-61R-49-09/2020, iaitu untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan 10 Unit Jaket Keselamatan di air dan 20 Unit Wet Suit yang berjumlah RM 17,000. 3 Sebutharga yang disertakan Bersama Borang Permohonan (eksibit P 35 I) ialah: i. Sebut harga syarikat Muazzam Global Enterprise dengan harga tawaran RM RM 17,000.00 (eksibit P35 J) ii. Sebut harga syarikat PNQ Gold Enterprise dengan nilai RM18,300.00 (eksibit P35 O) iii. Sebut harga syarikat Hamita Enterprise dengan nilai RM18,900.00 (eksbibit P35 U). Pemilik syarikat Muazzam Global ialah Noraida Rosmira binti Che Samsudin, iaitu adik ipar OKT. Noraida Rosmira binti Che Samsudin telah dipanggil menjadi saksi pendakwaan (SP 18). [31] Dari keterangan dan eksbit di atas, adalah jelas menunjukkan syarikat yang dipilih untuk melaksanakan pembekalan tersebut adalah syarikat yang menawarkan harga terendah dan syarikat itu dimiliki oleh ahli keluarga OKT. Fakta-fakta ini adalah fakta yang tidak tercabar dan dibuktikan sebagaimana keterangan saksi dan eksibit yang dikemukakan. [32] Sebagaimana keterangan saksi dan pemilik syarikat Napiyos Enterprise, Ashafi Jaya Enterprise, Hamita Enterprise, PNQ Gold Enterprise mereka tidak mengemukakan Sebut harga ini bagi pembekalan yang disebut dalam pertuduhan. Semuanya dilakukan oleh OKT. [33] Berdasarkan keterangan di atas, pada hemah saya ia menunjukkan terdapat niat jenayah OKT dalam mengemukakan setiap Borang Permohonan berserta 3 Sebut Harga di mana harga terendah sebut harga adalah milik syarikat saudara OKT yang mana dia ada kepentingan. [34] Selanjutnya OKT juga terlibat dan menguruskan perkara-perkara berikut semasa persediaan dan melengkapkan Borang Permohonan/Borang Hijau sebelum dibawa ke dalam mesyuarat untuk diputuskan. Bagi perolehan kerja, pembekal atau kontraktor perlu menyediakan dokumen sokongan yang perlu iaitu antara lain Sijil SSM, Sijil CIDB, Sijil Pendaftaran PKK dan Penyata Akaun Bank Pembekal bagi Perolehan Kerja. Kesemua dokumen sokongan ini perlu ditandatangani dan diakui sah oleh pemohon, iaitu OKT. Manakala bagi perolehan bekalan/perkhidmatan, pembekal/kontraktor perlu menyediakan dokumen sokongan iaitu Sijil SSM, Sijil MOF, Sijil Akuan Bumiputera dan Penyata Akaun Bank Pembekal . Kesemua dokumen sokongan ini juga perlu ditandatangani dan diakui sah oleh pemohon, iaitu OKT. [35] Pada peringkat ini tindakan OKT dalam mencari 3 Sebut Harga bagi setiap perolehan, menyediakan dokumen sokongan Bersama Borang Sebut Harga tersebut serta menandatangani dan mengakui sah dokumen sokongan tersebut, pada pendapat saya menunjukkan OKT mempunyai perancangan awal untuk memastikan syarikat yang akan dipilih adalah syarikat yang mana dia mempunyai kepentingan. Pada hemah saya harga terendah yang ditawarkan oleh syarikat Pak Su Gobal Enterprise dan Muazzam Global Enterprise bukanlah suatu kebetulan sebaliknya hasil tindakan terancang OKT. [36] Saya menyedari bahawa OKT tidak mempunyai kuasa untuk memilih syarikat yang layak dan akan diberikan kerja melaksanakan perolehan dan pembelian tersebut. OKT juga tidak hadir dan tidak terlibat semasa mesyuarat pemilihan tersebut. Namun begitu OKT telah merancang dan mengambil tindakan sedemikian rupa bagi membolehkan syarikat yang dia mempunyai kepentingan dipilih. Dalam keadaan sedemikian saya mendapati dan memutuskan bahawa tindakan OKT dari peringkat awal proses sebut harga bermula sehinggalah pemilihan oleh Mesyuarat Pemilihan yang dipengerusikan oleh SP 15 terjumlah kepada tindakan mencadangkan syarikat yang dia mempunyai kepentingan iaitu syarikat milik adik ipar dan ibu mertua dipilih untuk melaksanakan perolehan sebagaimana dinyatakan dalam pertuduhan pindaan. [37] Keterangan seterusnya bahawa bayaran telah dibuat kepada syarikat tersebut telah melengkapkan proses dan traksaksi perolehan pembekalan syarikat yang telah dicadangkan oleh OKT. [38] Pada peringkat ini adalah menjadi cadangan peguam kepada saksi pendakwaan bahawa SP 16 selaku pegawai atasan kepada OKT yang memberi kebenaran kepada OKT mencari Sebut Harga termasuk dari keluarga sendiri kerana ingin mempercepatkan perolehan tersebut. [39] Dalam hal ini, saya mendapati keterangan SP 16 perlu dinilai dengan berhati hati. Pihak pendakwaan telah memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan SP 16 di bawah Seksyen 145(1) dibaca bersama Seksyen 155(c) Akta Keterangan 1950. Pernyataan yang dirujuk oleh TPR di dalam prosiding pencabaran ini ialah pernyataan SP 16 yang diberikan semasa siasatan oleh SPRM, iaitu eksibit P 50, P 51 dan P 52. Saya telah menimbangkan ketiga-tiga pernyataan tersebut dengan keterangan lisan SP 16 di dalam mahkamah. Saya mendapati terdapat percanggahan material antara keterangan lisan SP 16 dengan pernyataan SP 16 kepada SPRM semasa siasatan. Lanjutan dari itu saya telah membenarkan prosiding pencabaran oleh TPR. [40] Oleh itu di dalam menilai keterangan SP 16, saya berpendapat dan menjadi keputusan saya bahawa adalah wajar mahkamah ini mengambil pendirian sebahagian keterangan SP16 diterima dan sebahagian keterangannya ditolak sebagaimana keputusan di dalam kes PP v Mohd Ali bin Abang &Ors [1994] 2 MLJ 12. Saya menerima keterangan SP 16 berkenaan fakta dan keterangan yang tidak tercabar iaitu antara lain bahawa OKT adalah kakitangan di Bahagian Pengajian Penyelamatan dan berada di bawah seliaan SP 16. Saya juga menerima keterangan SP 16 bahawa OKT ialah orang yang telah menyediakan Borang Permohonan dan menguruskan sebutharga tersebut. Namun begitu keterangan SP 16 bahawa beliau yang mengarahkan OKT mencari sebutharga dari ahli keluarganya wajar ditolak. [41] Secara keseluruhannya, saya memutuskan bahawa keterangan saksi-saksi pendakwaan kekal utuh dan credible dan tidak tercabar oleh pemeriksaan balas. Keterangan lisan saksi-saksi ini telah disokong dengan eksibit-eksibit dokumen yang dikemukakan. Saya mendapati tindakan-tindakan OKT seperti yang saya nyatakan di atas di dalam menguruskan proses perolehan pembekalan adalah terjumlah kepada tindakan ‘mencadangkan’ seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan. Tindakan mencadangkan tersebut adalah terjumlah kepada menggunakan jawatan untuk suatu suapan bila syarikat Pak Su Global Enterprise dan Muazzam Global Enterprise yang dimiliki oleh adik ipar dan ibu mertua OKT dan diuruskan oleh isteri OKT telah dipilih oleh Mesyuarat Perolehan untuk membuat pembekalan. Saya mendapati intipati kesalahan telah dibuktikan dan telah memenuhi pra syarat di bawah Seskyen 23(2) ASPRM dan suatu kes prima facie telah dibuktikan bagi ketiga-tiga pertuduhan pindaan. Oleh itu saya mengaktifkan anggapan di bawah Seksyen 23(2) ASPRM bahawa OKT dianggap menggunakan jawatannya untuk mendapat satu suapan. Kes Pembelaan [42] Di peringkat kes pembelaan, pihak pembelaan telah memanggil 2 orang saksi pembelaan, iaitu OKT sendiri dan seorang pegawai bomba Muhammad Rasydan bin Ismail (SD 2). Kedua-dua mereka telah memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi. [43] Intipati pembelaan OKT ialah bahawa perolehan pembekalan yang telah dibuat bagi ketiga-tiga item yang disebut dalam pertuduhan dengan mencadangkan syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarganya ialah di atas arahan SP 16. Selanjutnya adalah menjadi pembelaan juga bahawa perolehan tersebut perlu dibuat segera kerana jika tidak dibuat segera ia akan membahayakan anggota bomba termasuk nyawa anggota yang terlibat dengan kerja-kerja penyelamatan. Pembelaan ini juga telah dicadangkan juga kepada saksi pendakwaan semasa kes pendakwaan. Pada peringkat ini perlu saya nyatakan juga peralatan yang dibeli tersebut ialah bagi tujuan latihan anggota bomba yang akan terlibat dengan penyelamatan. [44] Terlebih dahulu saya menggariskan undang-undang mantap yang terpakai semasa kes pembelaan setelah mahkamah ini memanggil OKT membela diri di atas pertuduhan. Di peringkat kes pembelaan, beban adalah di atas OKT untuk mematahkan anggapan di bawah Seksyen 23(2) ASPRM 2009 di atas beban bukti pada tahap imbangan kebarangkalian. [45] Di dalam kes Mahkamah Persekutuan Thavanathan Balasubramaniam v PP [1997] 3 CLJ 150, Mahkamah Persekutuan menyatakan: “…and it was for the accused to give an innocent explanation which the Court considered more likely than not that it was true, i.e on a balance of probabilities, the test applied in civil proceedings. PP v. Yuvaraj [1969] 2 MLJ 89 PC.” Oleh itu OKT perlu memberi penjelasan yang jujur. [46] Untuk mematahkan anggapan tersebut adalah di atas imbangan kebarangkalian tersebut, yang mana tahapnya adalah lebih berat dari menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan seperti yang diputuskan dalam kes Ku Yahya Ku Bahari & Anor [2002] 1 CLJ 113 : ”When the prosecution is minded in invoking the presumption then the particular burden of proof, as opposed to the general burden, shifts to the defence to rebut such presumption on a balance of probabilities. This from a defence point of view is heavier than the burden of casting a reasonable doubt, but is certainly lighter than the burden of the prosecution to prove beyond reasonable doubt.” [47] Selanjutnya penjelasan yang perlu diberikan oleh OKT juga hendaklah “reasonably sufficient to invite belief in its probable truthfulness” bagi mematahkan anggapan undang-undang di bawah seksyen 23(2) ASPRM 2009 sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kes Attan bin Abdul Gani v PP [1970] 2 MLJ 143 yang menyatakan; “The presumption cannot be said to have been rebutted without sufficient evidence, i.e. such evidence as is reasonably sufficient to invite belief in its probable truthfulness.” [48] Oleh itu di dalam kes kita sekarang beban adalah terletak pada OKT pada tahap imbangan kebarangkalian untuk menyangkal anggapan bahawa beliau telah menggunakan jawatan untuk suapan apabila beliau telah mencadangkan sebutharga syarikat Muazzam Global Enterprise bagi menjalankan pembekalan kompas orientaring (SUNTO) yang berjumlah RM7,440.00 dan jaket keselamatan dan wet suit yang berjumlah RM17,000.00 dan juga telah mencadangkan syarikat Pak Su Global Enterprise bagi menjalankan pembekalan walkie talkie yang berjumlah RM8,100.00. Adalah menjadi fakta yang tidak dipertikaikan diperingkat kes pendakwaan bahawa Noraida Rosmira binti Che Samsudin (SP 18) adalah adik kandung kepada isteri OKT mempunyai kepentingan iaitu sebagai pemilik Muazzam Global Enterpise. Manakala Kamariyah binti Mamat yang merupakan ibu kepada isteri OKT mempunyai kepentingan iaitu sebagai pemilik Paksu Global Enterprise. [49] Sekarang saya akan menilai keterangan kes pembelaan sama ada pihak pihak pembelaan memberi penjelasan jujur dan telah berjaya mematahkan anggapan di bawah Seksyen 23(3) ASPRM di atas beban imbangan kebarangkalian. [50] Pembelaan OKT dapat dilihat pada Pernyataan Bertulisnya iaitu D 70. Antara lain intipati keterangan pembelaan OKT ialah bahawa: a) OKT bertugas di Pengajian Penyelamatan Kebombaan ABPM bermula tahun 2010 dan masih berkhidmat di tempat yang sama sebagaimana tarikh pertuduhan. b) Bidang tugas OKT adalah selaku Ketua Jurulatih sejak 2010 iaitu melaksanakan kursus penyelamatan di darat, air dan udara. c) Dalam melaksanakan kursus-kursus, OKT perlu memastikan peralatan yang digunakan termasuklah walkie talkie, kompas, wetsuit dan jaket keselamatan mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik. d) Keterangan OKT berhubung penggunaan ketiga-tiga alatan tersebut adalah berkisarkan latihan kebombaan dan latihan penyelamatan dan bukanlah kejadian sebenar. e) Ketua Pengajian OKT telah mengarahkan OKT untuk mendapatkan ketiga-tiga alat tersebut dengan kadar segera tidak kira samada OKT menggunakan syarikat kenalan atau saudara mara OKT untuk mendapatkan dan membekalkan alat tersebut kepada Akademi. f) Proses pemerolehan dan pembekalan alat-alat tersebut perlu disegerakan dan keperluan mendesak kerana tanpa mana-mana alat tersebut, kursus penyelamatan tidak dapat dilaksanakan. g) OKT telah mengisi borang hijau dan telah kemukakan 3 sebutharga bersama borang tersebut. h) OKT bukan PIC kerana PIC adalah Ketua Pengajian. i) OKT telah menggunakan lesen perniagaan Paksu Global untuk pembekalan walkie talkie dan Muazzam Global bagi pembekalan kompas dan wetsuit dan jaket keselamatan. j) OKT telah memaklumkan kepada SP19 kerana SP19 yang uruskan kedua-dua perniagaan tersebut. SP 19 ialah isteri OKT k) SP19 telah pinjamkan wang untuk membeli ketiga-tiga item. l) Sukar untuk mendapatkan syarikat pembekal lain dalam masa yang singkat kerana bagi pembekalan bawah RM 20,000.00, pembekal mestilah pembekal tempatan, didaftarkan dengan Kementerian Kewangan dan mempunyai sistem e-Perolehan. m) Jika guna syarikat lain, ada risiko wang tersebut tidak akan diberikan kepada OKT dan OKT tak dapat bayar balik wang SP19. n) OKT tidak mengaut apa-apa keuntungan dan manfaat apabila Pak Su Global Enterprise dan Muazzam Global Enterprise digunakan sebagai pembekal. Malahan OKT dan SP19 menanggung kerugian kerana kos pembekalan lebih tinggi berbanding bayaran yang diterima dari kerajaan. [51] Di dalam menimbangkan pembelaan OKT tersebut, adalah menjadi dapatan dan keputusan saya bahawa OKT telah gagal memberi penjelasan jujur seperti mana dinyatakan dalam kes Thavanathan Balasubramaniam (supra), dan juga penjelasan yang diberikan oleh OKT juga tidak “reasonably sufficient to invite belief in its probable truthfulness” bagi mematahkan anggapan undang-undang di bawah seksyen 23(2) ASPRM 2009 sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kes Attan bin Abdul Gani (supra). Selanjutnya keterangan pembelaan OKT juga gagal mematahkan anggapan Seksyen 23(2) ASPRM di atas imbangan kebarangkalian tersebut, yang mana tahapnya adalah lebih berat dari menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan seperti yang diputuskan dalam kes Ku Yahya Ku Bahari (supra). [52] Pada hemah saya keterangan pembelaan adalah self serving dan cuba untuk menyesuaikan dengan naratif keterangan kes pendakwaan. [53] Secara keseluruhan keterangan pembelaan OKT telah mengesahkan dan mengakui naratif kes pendakwaan termasuklah bahawa dia yang menguruskan dan mencadangkan 3 sebut harga dalam setiap borang permohonan. Namun begitu OKT telah menyatakan bahawa perolehan pembekalan tersebut dibuat mengunakan syarikat milik adik ipar dan emak mertua adalah kerana dibenarkan dan diarahkan oleh SP 16 kerana susah mendapat syarikat pembekalan dan kerana pembelian terdesak demi keselamatan anggota penyelamatan serta tiada syarikat tempatan yang boleh membuat pembekalan barang tersebut. [54] Pada pendapat saya pembelaan OKT bahawa ianya adalah arahan SP 16 menunjukkan OKT cuba meletakkan sebahagian kesalahan tersebut di atas SP 16. Semasa soal balas oleh TPR adalah jelas OKT memahami adalah menjadi kesalahan di sisi undang-undang menggunakan nama syarikat saudara mara dalam membuat perolehan tersebut namun masih berkeras menegaskan ianya tidak menjadi kesalahan kerana arahan ketua iaitu SP 16. Nampaknya OKT lebih takut kepada ketua yang memberikan arahan dan kebenaran (yang mana saya telah menolak keterangan SP 16 berkenaan isu ini) melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang padahal OKT mengakui dalam pemeriksaan balas bahawa dia boleh menolak arahan tersebut. OKT juga boleh melaporkan arahan SP 16 yang bertentangan dengan undang-undang tersebut kepada pegawai yang lebih tinggi jawatan dari SP 16 termasuk SP 15 selaku Komandan atau pihak berkuasa yang lain. Pada hemah saya sebenarnya tiada arahan sedemikian dari SP 16 melainkan tindakan OKT sendiri mencadangkan sebut harga dengan harga terendah dari syarikat milik keluarga kerana OKT mengetahui adalah menjadi dasar jabatan bahawa syarikat yang menawarkan harga terendah akan dipilih untuk membuat perolehan. Dakwaan OKT bahawa dia hanyalah pemohon dan bukan Person In Charge (PIC) pada hemah saya bukan perkara material. Fakta yang penting dan material ialah bahawa OKT selaku pemohon di dalam borang permohonan telah mencadangkan syarikat milik keluarganya. [55] Saya juga mendapati perolehan pembekalan bagi ketiga-tiga item sebagaimana dalam pertuduhan juga bukanlah sesuatu yang terdesak seperti yang digambarkan oleh OKT semasa memberi keterangan seolah-oleh nyawa setiap anggota berada dihujung tanduk jika tidak membuat perolehan peralatan tersebut. Perlu diingat bahawa peralatan tersebut dibuat untuk latihan sahaja. Pada hemah saya latihan boleh diteruskan mengikut kesesuaian peralatan sedia ada. Selanjutnya perlu juga saya nyatakan di sini bahawa sebenarnya pihak Jabatan masih boleh membuat perolehan atau pembelian bagi peralatan yang betul betul diperlukan jika benar-benar terdesak atau kecemasan, cuma terdapat tatacara yang berlainan yang perlu dipatuhi oleh sesuatu jabatan untuk membuat pembelian atau perolehan tersebut. Oleh itu pembelaan ini hanyalah rekaan dan fikiran semula OKT sahaja untuk menghalal cadangannya dan seterusnya bagi membolehkan syarikat saudaranya dipilih. [56] Seterusnya di dalam menimbangkan keterangan SD 2, saya mendapati keterangan SD 2 dibawa hanyalah bertujuan untuk menyokong kononnya ada arahan dari SP 16. Pada hemah saya adalah sukar untuk mempercayai keterangan bahawa SD 2 yang berada di bilik sebelah boleh mendengar arahan atau perbualan antara OKT dan SP 16 di dalam keadaan sedemikian melainkan SD 2 turut serta dalam perbincangan tersebut. [57] Sebagai kesimpulan saya memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah. Keterangan pembelaan yang diberikan oleh OKT hanyalah merupakan penafian kosong semata-mata, pemikiran terkemudian, not probable in truth dan direka-reka supaya selari dengan kes pendakwaan. Penjelasan OKT bukanlah penjelasan yang jujur. Oleh itu adalah menjadi dapatan dan