Subsection
(2023) 8 CLJ 951 iaitu:- [22] Section 31A of the DDA provides lawfulness of actions taken by officers or listed persons to conduct examination on arrested person. Section 31A(1A) of the DDA specifically gives limited power to the police officer to facilitate a medical examination, ie, to obtain a urine specimen from an arrested person. Arrested person appears to be a pre-condition to sub-ss. 31A(1) and 31A(1A) of the DDA. [18] Oleh itu, bagi menentukan sama ada Tertuduh merupakan seorang "arrested person" sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 31A ADB, Mahkamah perlu meneliti fakta dan keadaan penangkapan Tertuduh pada 6.12.2023. Dalam hal ini, pihak Pendakwaan menghujahkan pada perenggan 14 Hujahan Bertulis Pendakwa Raya (Lampiran 36) bahawa Tertuduh telah ditahan selepas kenderaan yang dipandunya diberhentikan di Jalan Besar Tanjung Ipoh. Selain itu, repot saringan urin (P6) turut merekodkan bahawa Tertuduh telah diiringi ke tandas bagi tujuan pengambilan sampel air kencing. [19] Repot saringan urin (P6) adalah seperti dipetik di bawah:- BERSANGKUT TANJUNG IPOH RPT: 347/23, PADA 06/12/2023 JAM 1335 HRS, BERTEMPAT DI PEJABAT BAHAGIAN SIASATAN JENAYAH NARKOTIK, IPD KUALA PILAH, N. SEMBILAN SAYA BERSAMA D/KPL 140842 MENGIRINGI SASPEK KE TANDAS BAGI TUJUAN PENGAMBILAN URIN TERHADAP SASPEK. [20] Walau bagaimanapun, repot tangkapan Tanjung Ipoh 347/23 yang dirujuk oleh pihak Pendakwaan tidak pernah dikemukakan sebagai keterangan di sepanjang perbicaraan. Pada pandangan Mahkamah, dokumen tersebut merupakan keterangan penting bagi membolehkan Mahkamah menilai secara menyeluruh sama ada suatu tangkapan telah benar-benar berlaku sebelum proses pengambilan sampel air kencing dijalankan, sekali gus menentukan sama ada syarat “arrested person” di bawah seksyen 31A ADB telah dipenuhi. [21] Oleh itu, rekod permohonan reman Tertuduh bawah Seksyen 15(1)(a) ADB yang terdahulunya dikemukakan pada Mahkamah ini diteliti bagi mendapatkan gambaran mengenai fakta penangkapan. Penelitian terhadap rekod tersebut didapati selaras dengan fakta yang dihujahkan oleh pihak Pendakwaan dalam perenggan 14 Hujahan Bertulis Pendakwa Raya. Diturunkan di sini untuk rujukan seperti berikut:- [22] Persoalan seterusnya ialah sama ada penahanan Tertuduh sebagaimana yang dirujuk dalam repot Tanjung Ipoh 347/23 memenuhi kehendak "an arrested person" di bawah Seksyen 31A ADB. Bagi menjawab persoalan tersebut, Mahkamah merujuk kepada keputusan kes Hasrulfahmi Samsuddin v PP (2017) CLJU 52 yang mana Mahkamah Tinggi menjelaskan seperti berikut:- "Dalam meneliti peruntukan Seksyen 31A(1A) di atas, adalah jelas bahawa pengambilan sampel air kencing bagi maksud pertuduhan dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap seseorang yang ditangkap. Daripada susunan ayat dalam peruntukan Seksyen 31A(1A) diatas, adalah menjadi pandangan saya bahawa perkataan ‘arrested person’ mendahului perkataan ‘his urine’ melalui pembacaan ayat tersebut, ianya memberikan suatu indikasi bahawa orang yang ditangkap itu untuk memberikan spesimen air kencingnya. Justeru itu orang yang akan memberikan spesimen air kencingnya mestilah terlebih dahulu ditangkap dan disusuli dengan pemberian spesimen air kencingnya. Sekiranya tidak, saya amat khuatir kebarangkalian dan kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis dan pihak penguatkuasaan undang-undang semasa pengambilan sampel air kencing ini mungkin berlaku. Dalam keadaan yang sedemikian, pada masa sebelum memberikan spesimen air kencingnya kepada pihak polis, Perayu mestilah ditangkap terlebih dahulu.” [23] Selanjutnya kes Mahkamah Rayuan dalam PP v. Mohd Safwan Husain [2017] 7 CLJ 685 turut dirujuk yang mana menyatakan: - [28] … Setelah meneliti kes-kes di atas, kami bersetuju dengan pandangan bahawa pendekatan-pendekatan tersebut sukar untuk diseragamkan (reconcile) dan agak malang (unfortunate) untuk digunakan sepertimana dikatakan oleh YA Abdul Hamid Mohamad H (ketika itu) dalam PP v. Abdul Rahim Mustan, supra. Pada kami, dalam semua perundangan yang berkenaan sama ada dalam KTJ ataupun ADB 1952, apa yang perlu ditentukan adalah sama ada telah berlakunya satu tangkapan atau tidak. Kami berpendapat penentuan isu tersebut akan bergantung pada fakta dan keadaan sesuatu kes itu. Inilah prinsip am yang terpancar daripada pertimbangan kes-kes di atas. [Penekanan ditambah] [24] Hal yang sama juga diperincikan oleh YA Abdul Hamid Mohamad (ketika itu) dalam kes PP lwn Abdul Rahim Kalandari Mustan (1998) 5 CLJ 566 :- “… Walau bagaimanapun saya berpendapat bahawa penggunaan kata-kata "actual arrest" dan "constructive arrest" adalah "unfortunate". Undang-undang cuma menyebut "arrest" (tangkapan). Apa yang jelas ialah sama ada tangkapan telah berlaku atau tidak terletak kepada keadaan sesuatu kes. Perkataan "awak ditangkap" atau yang serupa dengannya dan seseorang itu digari bukanlah satu kemestian. Hakikat bahawa seorang itu akan dihalang daripada beredar dari tempat itu juga tidak semestinya bererti dia telah ditangkap. Mengatakan sebaliknya adalah keterlaluan…” [25] Oleh itu, Mahkamah hendaklah meneliti keseluruhan fakta dan keadaan kes bagi menentukan sama ada Tertuduh merupakan seorang "arrested person" sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 31A ADB. Mengguna pakai prinsip-prinsip yang telah dihuraikan, Mahkamah mendapati bahawa ketika Tertuduh ditahan di Jalan Besar Pekan Tanjung Ipoh, pemeriksaan ke atas tubuh badan dan kenderaan yang dipandunya tidak menemukan apa-apa barang salah yang boleh mengaitkannya dengan suatu kesalahan di bawah Akta tersebut. Oleh yang demikian, Mahkamah berpendapat bahawa pada ketika itu tiada keterangan yang menunjukkan Tertuduh telah ditangkap bagi suatu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Dapatan ini seterusnya memerlukan Mahkamah meneliti bilakah sebenarnya tangkapan di bawah Akta tersebut dibuat terhadap Tertuduh. [26] Berdasarkan keterangan yang dikemukakan, Tertuduh kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah kerana disyaki terlibat dalam penagihan dadah. SP6 pula memberi keterangan bahawa tangkapan terhadap Tertuduh hanya dibuat selepas keputusan ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan positif THC, sebagaimana direkodkan dalam Repot Melang 2379/23 (P6). Sehubungan itu, Mahkamah mendapati bahawa repot tangkapan hanya dibuat selepas keputusan ujian saringan air kencing diperoleh dan menunjukkan keputusan positif THC. Pemeriksaan Utama SP6 S: Berapa lama untuk mendapatkan keputusan ujian saringan? J: Lebih kurang 1 hingga 1 minit lebih. S: Tadi Sarjan beritahu test strip positif THC, apa kamu lihat di test strip tersebut? J: Betul, THC ada 1 garisan di atas, manakala 5 yang lain ada 2 garisan S: Ada maklum OKT keputusan? J: Ada saya terangkan kepada OKT berkenaan garisan tersebut. Jika 1 line di atas positif dan jika 2 garisan merah adalah negative dadah. S: Tadi Sarjan beritahu Mahkamah, ujian saringan dibuat dalam bilik detektif? J: Betul. S: Sepanjang proses OKT berada di mana? J: Di sebelah saya. S: Dalam bilik detektif, ada botol lain untuk dijalankan ujian saringan? J: Tidak ada. S: Setelah Sarjan maklumkan berkenaan keputusan ujian saringan ini, apa arahan kamu? J: Setelah maklumkan, saya arahkan OKT tutup botol tersebut semula dan pegang dan sementara itu saya buat repot polis dan dokumen lain. S: Ada berapa repot bagi kes ini? J: Dua. S: Sekiranya tunjuk Sarjan boleh cam? J: Boleh. TPR: Mohon saksi dirujuk dengan 2 dokumen. Mah: Dibenarkan. S: Lihat dokumen di hadapan. Repot pertama apa, Sarjan? J: Repot tangkapan ke atas OKT kerana urin positif THC, disyaki guna dadah. S: Bagaimana Sarjan boleh cam? J: Report ini saya yang buat sendiri. TPR: Mohon repot 2379/23 ditandakan sebagai ekshibit. Peguambela: Tiada bantahan. Mahkamah: LAPORAN POLIS MELANG 2379/23- P6 S: Seterusnya Sarjan, ini report apa pula? J: Repot kedua berkenaan kesalahan nombor siri botol. Semasa repot pertama itu, nombor tertera dalam repot D0344155. Nombor siri sebenar C0344155. Saya telah melakukan kesilapan tentang huruf di hadapan, kemudian saya buat repot polis semula sebagai pembetulan. [27] Berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah mendapati bahawa tangkapan bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB hanya dibuat selepas keputusan ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan positif THC. Justeru, pada masa sampel air kencing diambil, Tertuduh belum lagi merupakan seorang "arrested person" sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 31A (1) dan Seksyen 31A(1A) Akta tersebut. Oleh yang demikian, syarat asas bagi pengambilan sampel air kencing secara sah tidak dipenuhi, dan pihak Pendakwaan tidak boleh bergantung kepada anggapan statutori di bawah Seksyen 37(k) Akta tersebut. [28] Mahkamah juga tidak menerima bahawa Tertuduh berada dalam tahanan konstruktif semata-mata kerana beliau diiringi oleh SP6 dan SP3 ke tandas bagi memberikan sampel air kencing. Pada ketika itu, pihak polis masih belum mempunyai asas yang menunjukkan bahawa Tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah ADB sehingga mewujudkan suatu tangkapan sebagaimana yang dikehendaki oleh seksyen 31A ADB. [29] Beban untuk membuktikan pematuhan terhadap kehendak Seksyen 31A