Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN RAYUAN JENAYAH NO: KA-42ES-1-06/2024, KA-42ES-2-06/2024 DAN KA-42ES-3-06/2024 ANTARA MOHD SHARWANDY BIN SOLLAHUDIN …PERAYU (NO. K/P: 861004-29-5657)
KA-42ES-1-06/2024
High Court of Malaysia17 Mar 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN RAYUAN JENAYAH NO: KA-42ES-1-06/2024, KA-42ES-2-06/2024 DAN KA-42ES-3-06/2024 ANTARA MOHD SHARWANDY BIN SOLLAHUDIN …PERAYU (NO. K/P: 861004-29-5657)
1
Kes ini melibatkan 3 rayuan ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS). Rayuan pertama (KA-42ES-1-06/2024) dan 2 rayuan kedua (KA-42ES-2-06/2024) adalah oleh Mohd Sharwandy bin Sollahuddin (Perayu) ke atas sabitan dan hukuman. Manakala rayuan ketiga (KA-42ES-3-06/2024) adalah rayuan oleh Pendakwa Raya (PR) ke atas hukuman.
2
Di Mahkamah Sesyen, Perayu telah dituduh dan dibicarakan bagi 3 pertuduhan di bawah seksyen 68(2)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] iaitu kesalahan menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta 716. Perayu turut dituduh dan dibicarakan bagi pertuduhan di bawah seksyen 86(1)(c) Akta 716 iaitu kesalahan menyimpan hidupan liar yang dilindungi dengan cara dikurung dan diikat di dalam karung plastik yang menyebabkan penderitaan dan ketidakselesaan kepada hidupan liar tersebut.
3
Perayu telah dibicarakan dan di akhir kes, Perayu telah disabit dan dihukum seperti berikut:
a
bagi pertuduhan pertama di bawah di bawah seksyen 68(2)(a) Akta 716, Perayu dipenjara 24 bulan dari tarikh jatuh hukum;
b
bagi pertuduhan kedua di bawah di bawah seksyen 68(2)(a) Akta 716, Perayu dipenjara 78 bulan dari tarikh jatuh hukum;
c
bagi pertuduhan ketiga di bawah di bawah seksyen 68(2)(a) Akta 716, Perayu dipenjara 78 bulan dari tarikh jatuh hukum; dan
d
bagi pertuduhan keempat di bawah di bawah seksyen 86(1)(c) Akta 716, Perayu dipenjara 9 bulan dari tarikh jatuh hukum. Fakta kes [4] Kes ini berpunca dari maklumat yang diterima oleh SP4 yang membawa satu pemerhatian serta serbuan ke atas satu premis yang merupakan sebuah rumah beralamat di No. B30, Taman Teratai Permai, Jalan Langgar, Mukim Limbong, 05460 Alor Setar, Kedah (premis tersebut). Semasa serbuan dilakukan, Perayu telah dikatakan cuba menghalang SP4 dan pasukan serbuan dari Jabatan Perhilitan dari memasuki premis tersebut. [5] Selepas berjaya memasuki premis tersebut, SP4 telah menjalankan pemeriksaan dan menjumpai 81 ekor tenggiling (hidupan liar) yang telah diletakkan di dalam karung guni berwarna hitam dan biru, karung guni hitam dan karung guni biru (P10 (1- 81)) di bahagian ruang tamu premis tersebut. Perayu gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen yang membenarkan Perayu menyimpan hidupan liar tersebut. [6] Kesemua hidupan liar tersebut telah disahkan oleh SP6, yang merupakan pakar pengecaman hidupan liar, sebagai tenggiling (Manis javanica). Isu-isu yang berbangkit [7] Berdasarkan hujahan peguam Perayu dan Tuan TPR, terdapat 5 isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah ini iaitu;
a
sama ada pertuduhan-pertuduhan adalah satu kependuaan (duplicity);
b
sama ada pihak PR telah berjaya membuktikan elemen “menyimpan”;
c
sama ada terdapat percanggahan di dalam keterangan-keterangan saksi-saksi PR;
d
sama ada siasatan SP11 adalah tidak lengkap; dan
e
sama ada hukuman yang dijatuhkan adalah setimpal Analisis dan dapatan mahkamah Isu (a); sama ada pertuduhan-pertuduhan adalah satu kependuaan (duplicity) [8] Isu (a) berbangkit apabila terdapat 2 seksyen kesalahan yang berbeza dipertuduhkan kepada Perayu. Seksyen pertama adalah di bawah seksyen 68(2) Akta 716 manakala seksyen kedua adalah di bawah 86(1)(c) Akta 716. Peguam menghujahkan bahawa ia melibatkan 81 ekor hidupan yang sama dan oleh yang demikian ia menimbulkan isu kependuaan pertuduhan kerana melibatkan pendakwaan dua kali (double jeopardy) berkaitan sabjek yang sama iaitu 81 ekor hidupan liar. [9] Apa yang dibangkitkan oleh peguam Perayu ini adalah berkait dengan Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan iaitu perlindungan dari perbicaraan berulang. [10] Prinsip berkaitan pendakwaan dua kali adalah berdasarkan prinsip Latin iaitu “Nemo Debet Bis Vexari Pro Una Et Eadem Causa”. Ia secara amnya bermaksud tiada seorang pun boleh dihukum dua kali untuk kesalahan yang sama. [11] Amirudin Abd Rahman PK di dalam kes Muhammad Adli Elaiyaraja Abdullah v. PP [2022] 7 CLJ 94, telah membincangkan prinsip ini dan mahkamah menurunkan penghakimannya seperti berikut; “[9] However simple it may sound, the occurrence of double jeopardy is a very grave and forbidding situation and must not be looked upon lightly. Not only in Malaysia but almost all jurisdictions impede and forbids double jeopardy to take place as the rule against double jeopardy is one of the foundations of criminal law and natural justice itself. The rule against double jeopardy is an ancient doctrine that has been in existence ever since early civilisations as it formed a basis for a formation of a criminal justice system. The origin of double jeopardy is unclear, however, ancient civilisations such as the Athenians, Romans, Greeks and later English common law leaves a record that it is embedded in their criminal justice system. The Athenians used this principle since 355 BC while the Romans later had this principle codified in the Digest of Justinian by AD 533. It asserted that "the Governor should not permit the same person to be again accused of crime of which he has been acquitted". From its long history, it is undeniable that the rule against double jeopardy is a basic right protecting the liberty of all persons that can never be taken away and exists for the protection of society as a whole. [10] The rule against double jeopardy is based on the Latin maxim "Nemo Debet Bis Vexari Pro Una Et Eadem Causa", which means no person can be punished twice for the same offence. When a person has been charged, convicted and then sentenced for an offence by a court of competent jurisdiction, he can never be charged and sentenced for the same offence again. The conviction is a bar to all further proceedings for the same offence. The same applies when a person is acquitted. An acquitted person is not to be charged and sentenced for an offence he has previously been acquitted for. [11] By the 17th century, the pleas of autrefois acquit (prior acquittal) and autrefois convict (prior conviction) had become firmly embedded principles of the English common law. Jurist, Sir William Blackstone expressed that, "The plea of autrefois acquit ... is grounded on this universal maxim of the common law of England, that no man is to be brought into jeopardy of his life, more than once, for the same offence." [12] In a nutshell, the rule means that once an order of conviction or acquittal is held by a court of competent jurisdiction, that a person who is charged with committing an offence stands, that person cannot again be tried on the same facts for the offence for which he was tried and convicted before. [13] The rule against double jeopardy is to protect all persons against the excessive burden of multiple trials instituted by the States. Repeated trials on the same offence will put an individual to live in a state of anxiety and insecurity, embarrassment and expense. With all the resources and power, the state should not be allowed to make repeated attempts to charge a person for the same offence.” [12] Menggunapakai pendekatan kes di atas, bagi menentukan sama ada prinsip ini terpakai di dalam senario kes ini, adalah perlu bagi mahkamah ini menilai kesalahan yang diwujudkan oleh setiap seksyen yang dipertuduh terhadap Perayu. Dalam menentukan perkara tersebut, mahkamah perlu mengambilkira fakta yang tidak dinafikan bahawa pertuduhan-pertuduhan adalah berkaitan 81 ekor hidupan liar yang sama. [13] Jika diperhatikan, secara harfiahnya, seksyen 68(2) Akta 716 melibatkan kesalahan kerana menyimpan hidupan liar tersebut manakala seksyen 86(1)(c) Akta 716 adalah berkaitan menyimpan hidupan liar tersebut dengan cara dikurung dan diikat di dalam karung plastik yang menyebabkan penderitaan dan ketidakselesaan kepada hidupan liar tersebut. [14] Kedua-duanya melibatkan perbuatan yang sama iaitu perbuatan menyimpan. Namun konteks perbuatan tersebut adalah berbeza. Apa yang dimaksudkan di dalam seksyen 68(2) Akta 716 adalah bagi maksud penyimpanan yang am. Ia bermaksud, tiada sesiapa pun boleh melakukan perbuatan menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran. [15] Namun konteks seksyen 86(1)(c) Akta 716 adalah berkaitan bagaimana hidupan liar tersebut disimpan. Jika ianya disimpan di dalam keadaan yang boleh menyebabkan penderitaan serta ketidakselesaan ke atas hidupan liar tersebut, maka penyimpanan cara tersebut merupakan satu kesalahan. Kesalahan ini hanya akan berbangkit jika perbuatan menyimpan tersebut melibatkan cara yang mendatangkan penderitaan serta ketidakselesaan terhadap hidupan liar. [16] Dengan kata yang lain, seksyen 68(2) Akta 716 adalah berkaitan perbuatan menyimpan semata-mata manakala seksyen 86(1)(c) Akta 716 adalah berkaitan cara bagaimana ianya disimpan. Keduanya bukan merupakan kesalahan yang sama dan ia berdiri secara berasingan. Malahan jika seseorang menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran namun dengan cara yang betul serta tidak mendatangkan penderitaan serta ketidakselesaan terhadap hidupan liar tersebut, seseorang itu hanya melakukan kesalahan di bawah seksyen 68(2) Akta 716 sahaja. [17] Jurispuden pendakwaan jenayah di negara ini adalah jelas. Ia diperuntukkan secara khusus di bawah Perkara 145 Perlembagaan serta seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). Ia meletakkan budibicara untuk mengenakan apa-apa pertuduhan di atas tanggungjawab PR yang akan melaksanakan tugasnya berdasarkan pertimbangannya ke atas keterangan sesuatu kes. [18] Di dalam kes ini, PR adalah tidak melakukan sebarang kekhilafan di dalam mengenakan 2 pertuduhan berasingan berkaitan sabjek yang sama iaitu 81 hidupan liar memandangkan kedua-duanya adalah merupakan kesalahan yang berbeza (distinct offence). Sehubungan dengan itu, mahkamah berpandangan bahawa prinsip pendakwaan dua kali adalah tidak terpakai dan tidak menjejaskan pertuduhan-pertuduhan yang telah dikenakan ke atas Perayu. [19] Bagi isu (a), mahkamah memutuskan bahawa tiada merit bagi mahkamah ini membenarkan rayuan Perayu. Isu (b); sama ada pihak PR telah berjaya membuktikan elemen “menyimpan” [20] Isu (b) berkait beban yang perlu ditanggung oleh PR ke atas perbuatan “menyimpan”. Peguam berhujah bahawa perbuatan menyimpan tidak ditafsirkan di dalam Akta 761. Bagi membuktikan perbuatan tersebut, pihak PR dihujahkan perlu membuktikan:
a
Perayu mempunyai jagaan dan kawalan terhadap hidupan liar tersebut yang membawa kepada milikan ke atasnya;
b
Perayu mempunyai pengetahuan ke atas kewujudan dan sifat hidupan liar tersebut; dan
c
Perayu mempunyai milikan eksklusif ke atas hidupan liar tersebut. [21] Perhatian Mahkamah telah dibawa kepada keputusan Mahkamah Tinggi di dalam kes PP v. Yusoff Yeop Ahmad & Satu Kes Lagi [2018] 1 LNS 1690 dimana Asmadi Husin PK telah menyatakan; “[56] Akta itu tidak mentakrifkan apakah makna perkataan "menyimpan" (keep) hidupan liar. [57] P. Ramanatha Aiyar di dalam buku The Law Lexicon, The Encyclopaedic Law Dictionary With Legal Maxims Latin, Terms, Words And Phrases, 2nd edition Reprint 2010, LexisNexis Butterworths Wadhwa Nagpur di muka surat 1044 mentakrifkan perkataan "keeps " seperti berikut: The word 'keeps' means some continuous process, not a mere isolated moment... To 'keeps' is to maintain, carry on, conduct, or manage (as) to keep a lodging house. .... Keep animal – The word 'keep' as applied to animal has a peculiar significant. 'Keep' to tend, to feed, to pasture, to board, to maintain: to supply with necessaries of life. [58] Takrifan yang dipetik di atas menunjukan bahawa seseorang itu dikatakan menyimpan binatang, sekiranya orang itu telah menjaga, memberi makan, membesarkan, menyediakan tempat, menguruskan, yakni dengan menyediakan keperluan kelangsungan kehidupan binatang itu. Keterangan SP1 langsung tidak menjurus ke arah keperluan-keperluan itu telah dilaksanakan oleh Responden sepanjang masa hidupan liar yang disita itu berada di premis itu. Pengetahuan Responden bahawa hidupan liar yang disita itu berada di premis tersebut, pada hemat Mahkamah ini tidak terjumlah kepada "menyimpan". Perlu ada keterangan lain yang menunjukkan Responden mengambil peduli tentang kelangsungan kehidupan hidupan liar yang disita itu. Keterangan tersebut tiada semasa perbicaraan di hadapan hakim bicara. Keadaan ini meninggalkan lompang dan mewujudkan keraguan di dalam kes pendakwaan, serta inferens yang tidak menjurus kepada kebersalahan Responden.” [22] Walaubagaimanapun Puan HMS di dalam Alasan Penghakimannya telah merujuk kepada keputusan oleh Hassan Ghani HMT di dalam kes Azmi bin Ismail dan satu lagi lwn Pendakwa Raya [2018] 7 MLJ 45 yang menyatakan; “Berkaitan dengan isu
II
(ii) mahkamah berpendapat penghujahan peguam juga tidak bermerit. S. 68 Akta 716 menggunakan perkataan menyimpan dan bukan kawalan atau jagaan atau pemilikan. Di bawah Akta 716 tidak ada definisi menyimpan. Oleh itu mahkamah telah merujuk maksud perkataan menyimpan di dalam Kamus Dewan. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat memberi makna menyimpan sebagai: Menaruh di tempat yang selamat (supaya tidak rosak, tidak hilang, dll); 2. Menghimpun (wang), menabung; 3. Mengemas-ngemas supaya teratur; 4. Tidak membuang, membiarkan, mengekalkan; 5. ... Dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua, perkataan menyimpan bermaksud: Definisi:
1
Menaruh sesuatu di tempat yang selamat supaya tidak hilang; 2. mengemaskan sesuatu supaya tersusun atau teratur semula; 3. Memegang (rahsia dsb) teguh-teguh; Oleh itu, mahkamah berpendapat dalam konteks kes ini perkataan menyimpan dalam kedua-dua pertuduhan adalah merujuk kepada menaruh di tempat yang selamat (supaya tidak rosak, tidak hilang, dan lain-lain.) Mahkamah berpendapat tidak ada kekhilafan apabila Hakim Mahkamah Sesyen memutuskan kedua-dua Tertuduh telah menyimpan hidupan liar tersebut. Hakim Mahkamah Sesyen mengatakan elemen penyimpanan dibuktikan dengan penemuan dan rampasan satu (1) kepala kambing gurun dan 19 bahagian daging-daging kambing gurun yang disimpan di dalam peti simpanan ais di belakang jip tersebut.” [23] Mahkamah berpandangan bahawa tafsiran yang lebih sesuai adalah dengan menerima pakai tafsiran di dalam kes Azmi bin Ismail (supra). [24] Penyimpanan hidupan liar bukanlah seperti hidupan-hidupan peliharaan di rumah yang memerlukan seseorang untuk memberi makan, mengurus dan membesar peliharaan tersebut. Penyimpanan hidupan liar sebaliknya dilakukan bagi tujuan komersial, perubatan, penyeludupan, dan bagi mengaut keuntungan. Sekiranya tafsiran di dalam kes Yusoff Yeop Ahmad (supra) diguna pakai, maka Akta 716 tidak lagi dapat mencapai matlamatnya untuk membendung kesalahan-kesalahan yang membabitkan jenayah hidupan liar ini. [25] Di dalam menafsirkan sesuatu peruntukan statutori, mahkamah perlu memberi perhatian ke atas maksud serta keperluan sesuatu akta digubal. Ini seperti dinyatakan di dalam seksyen 17A Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388). [26] Penggubalan Akta 716 adalah jelas bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta 761 ini diwujudkan menggantikan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76). [27] Semasa Akta 76 berkuatkuasa, terdapat kesalahan berhubung memiliki hidupan liar namun ianya telah dimansuhkan melalui Akta 761 dan kesalahan meyimpan hidupan liar telah diwujudkan. Ini menunjukkan bahawa Parlimen berhasrat untuk mewujudkan kesalahan yang berbeza tahap pembuktiannya. [28] Mahkamah berpandangan bahawa tiada keperluan ke atas pihak PR untuk mengemukakan keterangan sehingga ke tahap Perayu mempunyai milikan ke atas hidupan liar tersebut dan selanjutnya di dalam milikan tersebut telah menjaga hidupan liar tersebut. [29] Peguam Perayu turut mempertikaikan keterangan yang dikemukakan di mana perhatian mahkamah ini dituju kepada isu berkaitan akses ke atas premis tersebut. Ini kerana menurut peguam, tiada kunci yang ditemui daripada Perayu dan kewujudan sebuah van di premis tersebut. Perkara ini tidak disiasat oleh SP11 dan oleh itu ia menjejaskan secara langsung pembuktian pihak PR berkaitan akses ke atas premis tersebut. [30] Mahkamah bagaimanapun berpandangan bahawa hujahan peguam adalah agak tersasar kerana Puan HMS ternyata telah membuat analisis yang maksimum ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan. Berdasarkan alasan penghakiman yang disediakan, Puan HMS telah mengambilkira keterangan-keterangan berikut;
a
penyewaan premis tersebut oleh Perayu daripada SP1 dan SP2 pada 22/12/2017;
b
pembayaran sewa pernah dibuat melalui akaun bank Perayu iaitu sepertimana di P5A dan P5B;
c
pemantaun SP3 dan SP5 ke atas premis tersebut sejak jam 6 pagi;
d
pada jam 7.20 pagi, SP3 dan SP5 melihat sebuah kenderaan Honda HRV bernombor VAC 2442 berhenti di hadapan premis dan kelihatan Perayu keluar dari kereta tersebut;
e
selepas 10 - 15 minit, SP3 dan SP5 nampak Perayu keluar dari premis tersebut dengan menaiki sebuah kereta Proton Pesona bernombor PJU 5436;
f
pada jam 1220 tengahari, Perayu dilihat kembali ke premis dengan kereta yang sama;
g
serbuan selanjutnya dijalankan dan Perayu telah menghalang cubaan SP4 dan pasukan untuk memasuki premis tersebut;
h
terdapat kawalan dijalankan oleh pasukan serbuan di bahagian sisi dan belakang premis tersebut;
i
pemeriksaan di dalam premis mendapati bahawa hanya Perayu yang berada di dalam rumah pada ketika itu;
j
melalui pengamatan SP3 dan SP4, premis tersebut berbau tenggiling yang kuat dan lantainya berbecak yang berpunca dari air yang digunakan untuk menyiram tenggiling-tenggiling tersebut;
k
tenggiling-tenggiling tersebut diletakkan di dalam guni dan karung;
l
SP7 yang merupakan tuan punya kereta Proton Persona mengesahkan bahawa kereta tersebut telah diserahkan kepada SP8 namun ianya telah ditarik oleh bank; dan
m
SP9 yang merupakan bekas isteri Perayu yang mengesahkan kereta Honda HRV adalah di atas namanya. [31] Keterangan-keterangan ini bagi pandangan mahkamah adalah memadai bagi membuktikan secara prima facie bahawa kesemua hidupan liar tersebut disimpan oleh Perayu. Mahkamah berpandangan, tiada kekhilafan bagi Puan HMS untuk merumuskan seperti berikut; “Mahkamah berpendapat perbuatan Tertuduh yang meletakkan semua tenggiling dalam karung dalam rumah tersebut adalah bertujuan untuk menyimpan tenggiling dalam keadaan selamat agar tenggiling tidak lari dan diketahui orang awam.” [32] Di dalam isu yang sama, peguam turut membangkitkan berkenaan seorang watak yang dibangkitkan oleh Perayu yang bernama Lim Choon Beng atau dikenali sebagai Ah Him. Ini kerana menurut Perayu, kewujudan penama ini adalah bersandarkan kepada kewujudan sebuah van di premis serta suatu laporan polis kemalangan (D37) yang dibuat di atas nama Lim Choon Beng. [33] Perkara ini turut telah diulas oleh Puan HMS di dalam penghakimannya apabila menyatakan; “Pihak pembelaan menimbulkan mengenai kewujudan Lim Choon Beng yang membuat laporan polis (D37) mengenai Proton Persona dan pihak pendakwaan tidak menyiasat mengenai perkara ini. Dalam kes ini, isu yang timbul ialah orang yang memandu Proton Persona ialah Tertuduh pada hari kejadian bukan pemilikan Proton Persona. Pihak pembelaan juga mencadangkan kepada SP4 bahawa Proton Persona diletakkan di sana oleh orang yang bernama Ah Him tetapi SP5 konsisten bahawa SP5 telah membuat pemantauan di belakang rumah tiada mana-mana orang lari keluar apatah lagi pada ketika serbuan dijalankan, pintu dapur bertutup. SP3 dan SP5 mengesahkan lelaki yang keluar masuk dan yang memandu Proton Persona adalah Tertuduh.” [34] Mahkamah telah meneliti alasan penghakiman Puan HMS dan bersetuju dengan pendekatan Puan HMS. Ini kerana berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang dikemukakan, jika dianalisis secara maksimum, jelas Perayulah yang memandu kedua-dua kenderaan serta masuk ke dalam premis tersebut. Keterangan menunjukkan bahawa Perayu telah masuk dan berada di dalam rumah serta meninggalkan kereta milik SP9 di premis tersebut. Ini dengan jelas menunjukkan kawalan serta jagaan Perayu ke atas premis tersebut. [35] Isu berkaitan penama ini juga perlu ditimbangkan bersekali dengan pembelaan Perayu yang menyatakan bahawa kehadirannya ke premis tersebut hanyalah bagi mengutip wang sewa daripada Ah Him. Namun perkara ini telah ditolak oleh Puan HMS yang mendasarkan kepada alasan-alasan berikut:
a
melalui P4, Perayu menggunakan nama adiknya sebagai penyewa namun menggunakan nombor kad pengenalan Perayu dan perkara ini tidak dijelaskan oleh adiknya;
b
cerita Ah Him keluar ikut pintu belakang premis adalah tidak lojik memandangkan pemantauan telah dijalankan oleh SP4 dan pasukan sejak jam 6 pagi sehingga 1230 tengahari. Tiada kelibat orang lain termasuk Ah Him;
c
Perayu telah mengakui masuk ke dalam premis tersebut selama 5 minit sebelum diserbu;
d
Perayu secara sendiri menghalang SP4 serta pasukan dari masuk ke dalam premis tersebut; dan
e
Perayu mengatakan bahawa tidak mengenali Ah Him namun dapat menceritakan ciri-ciri Ah Him dan tidak mempunyai nombor telefon Ah Him sedangkan Perayu menyatakan bahawa Ah Him ada menelefonnya; [36] Kesemua keterangan-keterangan ini telah dinilai oleh Puan HMS sebelum membuat dapatan bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu adalah satu pembelaan yang kosong tanpa bukti. Bagi mahkamah, tiada apa-apa yang khilaf telah dilakukan oleh Puan HMS. [37] Namun Puan HMS dihujahkan telah menggunakan misalan (g) seksyen 114 Akta 56 dengan merumuskan bahawa kegagalan Perayu memanggil Ah Him memberi keterangan telah membangkitkan anggapan bertentangan dan memudaratkan kes PR. Ini dihujahkan oleh peguam Perayu sebagai satu pendekatan yang tidak tepat kerana beban untuk membuktikan kes tanpa keraguan pada sepanjang perjalanan perbicaraan adalah terletak pada PR. [38] Mahkamah bersetuju bahawa secara amnya, prinsip undang-undang adalah jelas bahawa beban masih dipikul oleh PR di dalam membuktikan satu kes tanpa keraguan ke atas Perayu. Undang-undang tidak meletakkan beban ke atas seseorang tertuduh untuk membuktikan kesnya. Sebaliknya, beban seseorang tertuduh hanyalah untuk membangkitkan apa-apa keraguan munasabah. [39] Namun di dalam kes ini, kekhilafan Puan HMS adalah setakat meletakkan beban ke atas Perayu untuk membuktikan kewujudan Ah Him. Tugas mahkamah ini sebagai mahkamah di peringkat rayuan bukanlah semata-mata mencari kekhilafan hakim perbicaraan dan memutuskan sabitan hakim perbicaraan adalah salah. Namun mahkamah ini turut bertanggungjawab untuk menimbangkan keseluruhan keterangan secara tuntas dan menilai sama ada keterangan-keterangan adalah memadai bagi menyokong sabitan yang telah dicapai oleh Puan HMS. [40] Hasil analisis mahkamah ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati pembelaan Perayu dengan membangkitkan watak Ah Him ini ternyata satu penafian kosong dan ia bersifat rekaan. Keseluruhan keterangan jika disulam secara maksimum membuktikan dengan jelas bahawa hanya Perayu yang mempunyai kawalan ke atas premis tersebut dan tindak-tanduk yang diulas oleh Puan HMS membuktikan bahawa Perayu adalah orang yang bertanggungjawab menyimpan 81 tenggiling tersebut di dalam premis tersebut. [41] Oleh yang demikian, bagi isu ini, mahkamah berpandangan bahawa tiada merit untuk mahkamah ini mengganggu dapatan yang telah dibuat oleh Puan HMS. Isu (c); sama ada terdapat percanggahan di dalam keterangan-keterangan saksi-saksi PR [42] Di dalam isu ini, peguam Perayu mempertikaikan kredibiliti keterangan saksi-saksi PR. Hujahan peguam adalah berpaksikan kepada kewujudan 2 plan kasar serta 2 set gambar. Ia membawa kepada kekeliruan berkaitan kewujudan pintu sliding. [43] Adalah menjadi satu prinsip yang mantap bahawa mahkamah di peringkat rayuan adalah perlahan dalam mengganggu dapatan fakta dan kredibiliti yang dibuat oleh seseorang hakim perbicaraan. Di dalam alasan penghakimannya, Puan HMS dengan jelas telah menilai kredibiliti saksi-saksi dan menyatakan bahawa kesemua keterangan saksi pasukan serbuan adalah konsisten, meyakinkan dan tidak goyah. [44] Berkaitan kewujudan percanggahan berkaitan gambar serta pintu sliding, bagi mahkamah ia adalah satu yang kecil. Ia tidak dalam apa jua keadaan menjadikan keterangan keseluruhan saksi-saksi PR tertolak. Mahkamah perlu menilai keseluruhan keterangan secara objektif bagi mendapat gambaran sebenarnya apa yang berlaku. [45] Kewujudan percanggahan-percanggahan kecil adalah suatu yang munasabah. Selagi mana ia tidak merencatkan keseluruhan kes, maka ia sepatutnya tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak keseluruhan keterangan yang telah dikemukakan. [46] Malahan bagi mahkamah, keterangan berkaitan pintu sliding iaitu sama ada ianya berkunci atau tidak adalah lebih merupakan perspektif Perayu. Ini kerana keterangan SP3 dan SP4 jelas menyatakan bahawa ianya berkunci. Menurut keterangan SP3, usaha dijalankan untuk membukanya dan apabila berjaya dibuka, sebatang kayu digunakan untuk menghalang dari ia dikunci semula oleh Perayu. Apatah lagi keadaan pada ketika itu adalah kelam kabut. [47] Bagi isu ini mahkamah berpandangan Puan HMS tidak melakukan sebarang kekhilafan dan mahkamah turut tidak mendapati sebarang alasan bagi mahkamah membenarkan rayuan ini. Isu (d); sama ada siasatan SP11 adalah tidak lengkap [48] Isu yang seterusnya melibatkan siasatan SP11 yang dikatakan tidak lengkap. Penghujahan peguam adalah mensasarkan kepada kunci rumah, akses ke atas premis tersebut, pemilikan van dan menurut peguam, tidak kesemua gambar telah dikemukakan. [49] Mahkamah akur berkaitan peranan SP11 sebagai pegawai penyiasat untuk mengumpul sebanyak mana keterangan yang mungkin bagi mencapai keadilan kepada Perayu. Namun tidak kesemua keterangan itu adalah perlu dan jika ada sebarang kekurangan maka ia akan menjejaskan kes ke atas Perayu. [50] Apa yang menjadi kepentingan dan pertimbangan mahkamah adalah sama ada keterangan-keterangan yang dikemukakan jika dijalinkan berupaya untuk membentuk satu kes prima facie di peringkat pendakwaan. Ia kemudiannya perlu ditimbang dengan keterangan oleh Perayu melalui dirinya serta mana-mana saksi yang dipanggil bagi menentukan sama ada wujud satu keraguan yang munasabah. Keseluruhan ini adalah perlu dinilai secara maksimum bagi menentukan sama ada satu kes tanpa keraguan munasabah telah dibuktikan. [51] Kekurangan siasatan di sana dan sini adalah suatu yang pasti akan berlaku di dalam mana-mana siasatan. Jika kekurangan tersebut adalah satu yang penting, ia akan pastinya memberi kesan kepada kes ke atas Perayu namun jika sebaliknya, ia boleh diketepikan oleh mahkamah. [52] Di dalam kes ini, mahkamah berpandangan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan oleh peguam Perayu adalah suatu yang bukan penting. Ia tidak menjejaskan siasatan yang dijalankan serta memberi kesan ke atas dapatan yang telah dibuat oleh Puan HMS. Oleh itu, mahkamah memutuskan bahawa tiada merit untuk membenarkan rayuan bagi isu ini. [53] Secara keseluruhannya, dari aspek sabitan, mahkamah memutuskan bahawa tiada alasan bagi mahkamah ini mencampuri dapatan yang telah dibuat oleh Puan HMS. Isu (e); sama ada hukuman yang dijatuhkan adalah setimpal [54] Isu terakhir adalah berkaitan hukuman dan mahkamah telah meneliti hujahan kedua-dua pihak dan menimbangkan alasan yang diberikan oleh Puan HMS. Tiada apa-apa yang pandangan mahkamah menunjukkan sebarang kekhilafan di pihak Puan HMS. [55] Pandangan mahkamah ini adalah berdasarkan pengamatan mahkamah ini ke atas alasan penghakiman Puan HMS di mana Puan HMS telah mengambil inisiatif yang maksimum untuk menilai faktor-faktor mitigasi serta pemberatan hukuman. Mahkamah tidak nampak sebarang alasan bagi mahkamah ini mengganggu hukuman yang telah dijatuhkan. [56] Oleh itu, rayuan kedua-dua pihak ke atas hukuman adalah tidak ditolak. Kesimpulan [57] Sehubungan dengan itu, keseluruhan rayuan adalah ditolak. Sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Puan HMS adalah dikekalkan. Bertarikh: 14hb. Mei 2025 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim, Mahkamah Tinggi Malaya Pihak-Pihak: Bagi Pihak Responden : TPR Danial bin Munir Timbalan Pendakwa Raya Unit Pendakwaan Jabatan Perlindungan hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia KM 10, Jalan Cheras 56100 Kuala Lumpur Bagi Pihak Perayu : Ravishankar a/l S N Gandhi Muhammad Nizam Adzha bin Zaidi Tetuan R. Shankar Gandhi & Assoc Peguambela & Peguamcara No. 212, Tingkat Bawah Kompleks Shahab Perdana Jalan Sultanah Mergong 05150 Alor Setar Kedah Darul Aman Tarikh Bicara : 4hb. Februari, 2025 Tarikh Keputusan : 17hb. Mac, 2025 Undang-Undang Yang Dirujuk: ➢ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 ➢ Kanun Tatacara Jenayah ➢ Akta Tafsiran 1948/1967 ➢ Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 Kes-Kes Yang Dirujuk: ➢ Muhammad Adli Elaiyaraja Abdullah v. PP [2022] 7 CLJ 94 ➢ PP v. Yusoff Yeop Ahmad & Satu Kes Lagi [2018] 1 LNS 1690 ➢ Azmi bin Ismail dan satu lagi lwn Pendakwa Raya [2018] 7 MLJ 45
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.