If the person committing the act knows that it is so imminently dangerous that it must in all probability cause death, or such bodily injury as is likely to cause death, and commits such act without any excuse for incurring the risk of causing death, or such injury as aforesaid.” 7 [6] Dalam mempertimbangkan isu yang ditimbulkan, tidak perlu bagi kami untuk mengulangi perbezaan antara peruntukan seksyen 299 dan seksyen 300 memandangkan penjelasan kedudukan itu kini sudah mantap (Rujuk antaranya juga: Virsa Singh v. State of Punjab AIR 1958 SC 465; PP v. Visuvanathan [1977] 1 LNS 103; [1978] 1 MLJ 159; Tham Khai Yau v. PP, (supra); PP v. Dato' Balwant Singh (No. 2) [2003] 7 CLJ 285). Kami akan hanya memberikan fokus utama kepada peruntukan seksyen 300(c) kerana itu yang ditegaskan secara kritikal oleh peguam. Daripada autoriti yang disandari, dapat disimpulkan seksyen 300(c) mengetepikan pengetahuan secara subjektif tentang kesan bencana tubuh yang diakibatkan. Klausa (c) ini menyentuh tentang perbuatan yang dilakukan dengan niat untuk menyebabkan bencana tubuh pada seseorang dan bencana tubuh yang diniatkan untuk diakibatkan itu adalah mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian. Dalam klausa ini akibat (result) daripada bencana tubuh yang diniatkan itu mestilah dipertimbangkan secara objektif. Ini semestinya dilakukan oleh Hakim bicara setelah menimbang semua keterangan secara tuntas (keseluruhan) (Wong Swee Chin v. PP [1980] 1 LNS 138; [1981] 1 MLJ 212; dan Jitweer Singh Ojagar Singh v. Public Prosecutor [2017] 2 CLJ 561; [2016] 1 LNS 784). Jika bencana tubuh yang diniatkan dan dilakukan oleh pelaku itu adalah mencukupi untuk menyebabkan kematian, maka itu akan terjumlah kepada kesalahan membunuh tidak kira sama ada pelaku berniat untuk menyebabkan kematian atau tidak, dan sama ada pelaku ada pengetahuan subjektif tentang kesannya atau tidak. Sepertimana yang diputuskan dalam kes locus classicus Virsa Singh v. The State of Punjab, supra, bagi pemakaian klausa (c) ini mesti 8 dibuktikan bahawa bencana tubuh telah dilakukan, kemudian hendaklah dibuktikan secara objektif apakah jenis bencana tubuh itu dalam keadaan lazimnya. Jika bencana tubuh itu didapati mencukupi untuk menyebabkan kematian, kehendak ini dipenuhi. Selanjutnya, hendaklah dibuktikan adanya niat untuk mengakibatkan bencana tubuh itu dan bukan yang lain serta bencana tubuh itu bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan (accidental) atau tidak diniatkan (unintentional ). Jika semua ini dibuktikan, kesalahan membunuh telah dibangkitkan. [7] Mengaplikasikan prinsip dan ujian di atas, perlu ditentukan dahulu apakah bencana tubuh yang telah dibuktikan. Aspek ini tidak dipertikaikan. Hakim bicara telah menerima keterangan SP14 yang telah menyatakan secara terperinci tentang jenis dan bentuk bencana tubuh yang dialami si mati- (rujuk muka surat 311-320: RR:Jilid 2B; dan juga Laporan Bedah Siasat, Ekshibit P16). Ringkasnya, pemeriksaan luaran mendedahkan adanya 15 kesan kecederaan luaran dan 9 kecederaan dalaman. Seterusnya terhadap pemeriksaan dalaman di bahagian kepala, SP14 mendapati ada pendarahan teruk di bawah lapisan kulit kepala serta kesan lebam pada otot-otot pelipis. Pada bahagian dada dan sangkar dada pula menunjukkan kesan patah pada tulang tusuk. SP14 selanjutnya menyatakan bahawa bencana tubuh tersebut disebabkan oleh objek tumpul yang berganda. Menurut SP14 lagi tanda-tanda yang kelihatan daripada hasil post-mortem menunjukkan impak objek tumpul pada tubuh badan si mati telah dilakukan berulang kali kerana adanya kesan kecederaan bertindih antara satu sama lain. Tentang kehilangan darah, itu merujuk kehilangan darah yang berlaku di ruang di bawah kulit atau pendarahan 9 berlaku dalam tisu-tisu lembut serta otot yang terdapat di dalam tubuh. SP14 secara jelas menyatakan sebab kematian si mati ialah kehilangan darah akibat impak objek tumpul yang berganda (severe exsanguination due to multiple blunt impacts). Kami mendapati Hakim bicara telah mempertimbangkan ujian ini dengan betul. [8] Soalan selanjutnya adalah sama ada bencana tubuh tersebut, dipertimbangkan secara objektif, adalah mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian. Daripada apa yang dapat kami fahami, peguam terpelajar seolah-olah menyarankan bahawa mesti adanya dapatan Hakim bicara atau keterangan daripada pakar patologi yang menyebut, secara khusus, kesan bencana tubuh tersebut dengan kata-kata tepat yang berikut "mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian" (sufficient in the ordinary course of nature to cause death). Kami tidak bersetuju dengan saranan ini kerana saranan itu seolah-olah menghendaki ungkapan sedemikian diucapkan sebagai satu mantera keramat apabila klausa (c) hendak digunakan. Selaras dengan maksud ujian objektif sepertimana yang digariskan dalam kes Virsa Singh v. The State of Punjab, supra, dan peranan mahkamah dalam membuat penentuan itu, apa yang perlu dicari dan dipertimbangkan adalah sama ada terdapatnya keterangan terutamanya dari sudut perubatan dalam membantu mahkamah untuk membuat kesimpulan untuk mencapai maksud ungkapan tersebut. [9] Setelah kami pertimbangkan keterangan SP14 secara menyeluruh, kami mendapati, secara objektif, bahawa bencana 10 tersebut adalah mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian. Bencana tubuh yang dialami si mati dan penyebabnya telah dihuraikan dengan terperinci oleh SP14. Sebab kematian iaitu severe exsanguination due to multiple blunt impacts dalam bahasa biasanya (harfiah) ialah si mati telah meninggal dunia akibat kehilangan darah yang terlampau banyak “bled to death”. Diperhatikan SP14 telah ditanya secara khusus tentang perkara ini dan menjawab di muka surat 317-318: RR: Jilid 2B: “TPR: Adakah kecederaan-kecederaan yang dialami oleh si mati secara lazimnya cukup untuk menyebabkan kematian? J : Kecederaan-kecederaan yang kelihatan secara keseluruhannya memang bersifat maut secara langsung.” (Tekanan kami) (muka surat 317-318: RR: Jilid 2B) Selanjutnya, di muka surat 319-320: RR: Jilid 2B dinyatakan: “TPR: Saya pohon saksi dirujuk pada P16 Yang Arif. Saya rujuk Dr. pada muka surat 15 merujuk kepada perenggan 7, 8 dan 9 dalam bahagian komen Dr. Boleh Dr. memberi penjelasan berhubung dengan ketiga-tiga kandungan dalam perenggan tersebut kerana di perenggan yang ke 7 kecederaan tu Dr. nyatakan fatal in nature dan bagaimana dengan kandungan di perenggan ke 9 yang mana Dr. nyatakan severe coronary atherosclrosis would have been obviated as a significant contributory factor in causig (sic) her death that moment in time by the directly fatal nature of her injuries? Boleh Dr. jelaskan? J : Apa yang dimaksudkan dengan Column 7, iaitu multiple blunt impact consequence severe sanguination were directly fatal in nature adalah bahawa kecederaan-kecederaan yang kelihatan pada tubuh si mati adalah bersifat maut secara langsung atau direct. Dan sifat maut ini tidak memerlukan sebarang 11 faktor tambahan untuk menjadikannya maut dan apa yang dimaksudkan dalam bahagian 9 adalah bahawa walaupun si mati didapati mempunyai penyakit Artery Coranary yang teruk secara lazimnya memang boleh mendatangkan kesan negatif pada organ jantung, tetapi dalam kes ini saya berpendapat ianya tidak memainkan peranan yang significant sebagai faktor penyumbang kerana kecederaan-kecederaan yang kelihatan dengan tersendirinya cukup untuk menyebabkan kematian si mati. Tanpa perlu dibantu oleh sebarang penyakit biasa yang mungkin ada pada si mati.” (Tekanan kami) Dilihat secara keseluruhan keterangan yang dibuktikan, pendekatan yang diguna pakai oleh Hakim bicara, tahap kemungkinan yang tinggi akan kesan bencana tubuh tersebut adalah jelas dan bukan sekadar kemungkinan penyebab kematian. Pada penghakiman kami jawapan oleh SP14 bahawa bencana tubuh tersebut bersifat maut secara langsung mencukupi dan tidak memerlukan faktor tambahan untuk menunjukkan, secara objektif, bahawa bencana tubuh tersebut pada lazimnya mencukupi untuk menyebabkan kematian. Agak keterlaluan untuk mengatakan sesuatu yang bersifat maut secara langsung sedemikian tidak mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian. Tiada ekspresi yang lebih tepat untuk membayangkan ketinggian tahap kemungkinan tentang kesan akibat bencana tubuh yang dikenakan. Dapatan Hakim bicara yang dicabar oleh peguam terpelajar hendaklah dilihat daripada perspektif objektif ini. Kami mendapati Hakim bicara tidak terkhilaf di sini dan telah membuat dapatan mengenai ujian objektif berkenaan dengan betul. [10] Tambahan lagi, kami juga tidak bersetuju dengan isu-isu lain yang ditimbulkan oleh peguam terpelajar. Peguam telah menimbulkan 12 satu isu yang agak menarik iaitu pendakwaan seharusnya mengemukakan bukti bahawa bentuk bencana tubuh berkenaan seharusnya mencukupi untuk menyebabkan kematian terhadap mana-mana orang biasa dengan jantina, umur dan bentuk badan yang sama untuk termasuk dalam jaringan takrifan di bawah seksyen 300 (c) Kanun Keseksaan. Pada kami saranan ini adalah kabur dan tidak disokong oleh nas perundangan yang jelas. Selanjutnya, kami juga mendapati kes Tham Khai Yau v. PP, supra, boleh dibezakan dan tidak terpakai di sini. Dalam kes tersebut tiada keterangan tentang bentuk (nature) bencana tubuh di situ serta kesan lazim dan kemungkinannya (likely effect) tidak ditanya dan dikemukakan kepada pakar patologi yang dipanggil. Ketiadaan keterangan tersebut tidak dapat membantu mahkamah untuk membuat kesimpulan sama ada bencana tubuh itu pada lazimnya mencukupi untuk menyebabkan kematian. Walhal di sini keterangan SP14 adalah jelas dan dapat membantu mahkamah dalam membuat penentuan tersebut. Kedua-dua isu ini tidak bermerit. Alasan Kedua: Hakim bicara telah tersalah arah dirinya dari segi fakta dan undang-undang apabila gagal untuk membuat pertimbangan maksimum kes pendakwaan khususnya keterangan yang akan menunjukkan bahawa perayu tidak berniat untuk mengenakan bencana tubuh tertentu yang menyebabkan kematian si mati. [11] Ditegaskan oleh peguam perayu bahawa keterangan SP1, SP3, SP4, SP6 dan SP14 tidak membuktikan bahawa adanya niat (mens rea khusus) untuk mengakibatkan (inflicted) bencana tubuh yang telah 13 menyebabkan kematian si mati. Keterangan menunjukkan perayu sebaliknya berniat mengakibatkan kecederaan ringan (superficial) atau kesakitan badan (bodily pain) sahaja. [12] Kami mendapati isu ini jauh tersasar dan juga tidak bermerit. Harus dicatatkan bahawa berdasarkan nas autoriti terutamanya kes Virsa Singh v. The State of Punjab, supra, dan Tham Khai Yau v. PP, supra, pengetahuan subjektif akan akibat bencana tubuh yang dikenakan adalah tidak relevan bagi pemakaian seksyen 300 (c). Apa yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan, sepertimana yang digariskan oleh mahkamah tersebut di akhir kes pendakwaan, ialah si mati telah meninggal dunia, kematian si mati ialah akibat daripada bencana tubuh yang dialaminya, dan bencana tubuh tersebut diakibatkan oleh perayu. Tidak dipertikaikan bahawa si mati telah meninggal dunia akibat bencana tubuh yang dialami dan, yang, secara objektif, mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian si mati. Kami juga mendapati daripada penghujahan peguam terpelajar bahawa perayu lah yang menyebabkan bencana tubuh tersebut walaupun sebaliknya perayu tidak berniat untuk menyebabkan bencana tubuh yang menyebabkan kematian si mati. Akan tetapi, kami dapati tidak ada keterangan lain yang menunjukkan adanya orang lain yang menyebabkan bencana tubuh yang dialami si mati. Pada kami, berniat kesan sebaliknya itu iaitu kecederaan ringan dan kesakitan tubuh adalah jelas tidak relevan dalam pemakaian seksyen 300 (c). Kami mendapati Hakim bicara berhak untuk menerima keterangan SP1, SP3, SP4, dan SP6 dalam membuat dapatan bahawa perayu telah mengakibatkan bencana tubuh dengan membelasah si mati 14 secukupnya. Pada kami perbuatan perayu itu tanpa belas kasihan dan kejam sekali. Terdapat limpahan keterangan ikut keadaan yang mewajarkan kesimpulan yang jitu bahawa perayulah yang mendatangkan bencana tubuh kepada si mati dengan niat sedemikian. Kami tidak nampak apa-apa kekhilafan dalam dapatan tersebut dan seterusnya ketepatan keputusan prima facie di akhir kes pendakwaan. Hujahan peguam terpelajar jelas tidak bermerit. [13] Kami juga berpendapat alasan kedua di atas merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian (afterthought) atau pun penafian am semata-mata. Diperhatikan pembelaan perayu ialah dia tidak terlibat langsung dengan kematian si mati, isterinya. Sebaliknya dia merupakan mangsa serangan dan apabila balik ke rumah didapati isterinya telah pun meninggal dunia. Dia kemudian membuat laporan polis Ekshibit P1. Pembelaan ini bagaimanapun tidak dicadangkan atau ditanyakan kepada saksi-saksi pendakwaan yang relevan mengenai isu ini. Tetapi penghujahan peguam terpelajar pula sebaliknya bertentangan dengan pembelaan perayu dan mengakui sememang dia yang melakukan bencana tubuh terhadap si mati walaupun berniat sekadar untuk menyebabkan kecederaan ringan dan kesakitan tubuh pada si mati. Ini juga bertentangan dengan laporan polis yang dibuat perayu. Jelasnya, pembelaan perayu berdolak-dalik. Pada hemat kami, ternyata alasan kedua ini tidak bermerit dan sekali gus melemahkan pembelaan si mati yang gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. 15 [14] Sebagai kesimpulan dan berdasarkan alasan di atas kami memutuskan rayuan ini tidak bermerit. Dalam keadaan limpahan keterangan ikut keadaan dan kegagalan perayu menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, sabitan terhadap perayu adalah selamat. Dengan itu rayuan ini ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi disahkan dan dikekalkan. t.t ABDUL KARIM ABDUL JALIL Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Putrajaya Tarikh : 20 Mei 2020 Bagi pihak Perayu: Kee Wei Lon (bersama Low Wei Loke) Tetuan Kee, Shamril & Co. Bagi pihak Responden: