Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: DA-12B-23-07/2024 ANTARA MOHD SUHAIMI BIN OTHMAN …PERAYU
DA-12B-23-07/2024
High Court of Malaysia27 Apr 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“knowledge of Chinese funerals. The learned appellate Judge **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 14 referred to sections 56 and 57 of the Evidence Act 1950. He said that the Act had laid down what the court can take judicial notice of and everything else must”
“Rasidin Bin Partorjo V Frederick Kiai [1976] 2 MLJ 214, Mahkamah telah membenarkan gantirugi ini sebanyak RM20,000.00 manakala dalam kes Robert a/l J Adonikalasamy lwn Adam bin Md Esah dan satu lagi [2024] MLJU 949, Mahkamah telah membenarkan gantirugi ini sebanyak RM30,000.00. Oleh itu award HMS sebanyak RM30,000.00 d”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: DA-12B-23-07/2024 ANTARA MOHD SUHAIMI BIN OTHMAN …PERAYU
1
1.
2
NORIZATUL IRNIAFIRA BINTI MOHD SAYUTI …RESPONDEN-RESPONDEN [DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN NO: DA-A53KJ-957-09/2023
2
NORIZATUL IRNIAFIRA BINTI MOHD SAYUTI …PLAINTIF-PLAINTIF DAN MOHD SUHAIMI BIN OTHMAN … DEFENDAN]
1
Ini adalah rayuan perayu (defendan) terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) yang bijaksana berkenaan liabiliti dan kuantum bagi satu tuntutan gantirugi kemalangan jalan raya. Bagi maksud alasan penghakiman ini, pihak-pihak akan dirujuk sebagai plaintif dan defendan sebagaimana kedudukan mereka dalam prosiding di Mahkamah Sesyen.
2
Satu kemalangan jalan raya yang melibatkan plaintif-plaintif yang menunggang dan membonceng motosikal No. JKT 853 dan defendan yang memandu motorvan BEW 6099 yang berlaku di Kg. Buloh Melintang pada 9/7/2022, jam lebih kurang 2.30 petang.
3
Dalam kes ini, versi kejadian tidak banyak berbeza antara versi plaintif-plaintif dan versi defendan. Plaintif mengatakan bahawa dia menaiki motosikal bersama isterinya dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas (dari arah atas rajah kasar menuju ke bawah). Apabila plaintif-plaintif tiba di tempat kejadian, plaintif pertama nampak motorvan defendan bergerak dari bahu jalan di sebelah kiri dan memasuki ke laluan kecemasan di mana motosikal plaintif-plaintif berada tanpa apa-apa isyarat dan kemudiannya telah berhenti secara mengejut. Plaintif pertama cuba mengelak ke kiri tetapi tidak berjaya dan terlanggar bucu (penjuru) belakang sebelah kiri motorvan defendan.
4
Versi defendan juga mengatakan bahawa motorvan defendan bergerak dari bahu jalan di sebelah kiri dan telah memasuki ke lorong kecemasan tanpa memberi apa-apa isyarat. Defendan tidak memberikan perhatian penuh semasa memasuki jalan itu dan tidak sedar kehadiran motosikal plaintif-plaintif. Apabila defendan menyedari dia tertinggal telefon di depan rumahnya, dia telah memberhentikan motorvannya secara tiba-tiba dan mengejut. Pada masa itulah motosikal plaintif telah melanggar bahagian belakang motorvan defendan.
5
Di akhir perbicaraan di Mahkamah Sesyen, HMS yang bijaksana telah memutuskan bahawa defendan bertanggungan 100% ke atas kemalangan tersebut dan telah mengawardkan ganti rugi am dan ganti rugi khas berserta faedah dan kos kepada plaintif-plaintif.
6
Defendan yang tidak berpuas hati dengan keputusan HMS yang bijaksana tersebut, telah merayu ke Mahkamah ini berkenaan liabiliti dan kuantum.
7
Mahkamah ini, setelah meneliti rekod-rekod rayuan, hujahan-hujahan serta autoriti-autoriti kedua-dua pihak telah menolak rayuan defendan dengan kos.
8
Defendan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini telah memohon dan telah mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan berkenaan isu liabiliti dan kuantum. Isu liabiliti pihak-pihak
9
HMS yang bijaksana setelah mendengar keterangan langsung kesemua saksi-saksi yang terlibat dalam kes ini, mendapati bahawa defendan bertanggungan 100% ke atas kemalangan tersebut. Dalam alasan penghakimannya, HMS yang bijaksana mengatakan bahawa tindakan defendan yang memasuki lorong kecemasan dari bahu jalan tanpa sebarang isyarat dan tanpa memastikan keadaan selamat untuk berbuat demikian dan kemudiannya telah memberhentikan motorvannya secara tiba-tiba dan mengejut. Oleh itu defendan telah menghalang laluan sah plaintif-plaintif dan bertanggungan sepenuhnya ke atas kemalangan tersebut.
10
Peguam defendan menghujahkan bahawa defendan tidak sepatutnya menanggung 100% liabiliti sebaliknya defendan hanya sepatutnya menanggung 50% liabiliti sahaja memandangkan plaintif-plaintif juga melakukan kesalahan kerana menunggang motosikal di laluan kecemasan dan telah melanggar belakang motorvan defendan. Analisis dan dapatan Mahkamah ini terhadap isu liabiliti
11
Berkenaan isu liabiliti ini, Mahkamah ini setelah meneliti keterangan pihak-pihak termasuk keterangan pegawai penyiasat dan juga lakaran rajah kasar, mendapati bahawa HMS yang bijaksana tidak terkhilaf dalam meletakkan atau mengenakan 100% liabiliti ke atas defendan dalam kes ini.
12
Ini adalah kerana, menurut keterangan pegawai penyiasat bahawa semasa kejadian, defendan keluar dari bahu jalan secara melulu tanpa melihat cermin sisi dan cermin belakang. Selepas lebih kurang 10 meter motorvan dia bergerak, defendan telah memberhentikan motorvannya secara mengejut apabila defendan teringat telefonnya tertinggal di depan rumahnya. (Rumah defendan adalah sebagaimana yang dilabelkan sebagai “Suhaimi Belindan Kubur” dalam rajah kasar yang diperturunkan di bawah ini).
13
Pegawai penyiasat juga memberi keterangan bahawa had laju di kawasan kemalangan tersebut adalah 90 km/j dan plaintif pertama menunggang motosikalnya pada kelajuan 50 km/j. Plaintif pertama tidak melebihi had laju.
14
Pegawai penyiasat selanjutnya dalam keterangannya mengatakan bahawa plaintif pertama menunggang motosikalnya di lorong kecemasan (antara A3 - A4 dalam rajah kasar) kerana lorong utama di jalan Persekutuan (antara A2 - A3 dalam rajah kasar) digunakan oleh kenderaan besar dan laju. Motosikal akan melalui lorong yang paling kiri iaitu lorong paling tepi sekali bagi mengelak risiko jika berada di laluan utama.
15
Pegawai penyiasat juga selanjutnya memberi keterangan bahawa ketinggalan telefon bukanlah satu keadaan kecemasan yang membolehkan atau mewajarkan defendan berhenti secara mengejut di lorong kecemasan. Seterusnya dalam keadaan gawat tersebut, pegawai penyiasat mengatakan bahawa plaintif pertama telah cuba membrek dan mengelak ke kiri namun tidak lepas dan motosikal plaintif pertama telah berlanggar dengan bucu atau penjuru kiri belakang motorvan defendan.
16
Selari dengan keterangan pegawai penyiasat tersebut, Mahkamah ini juga membuat pemerhatian dan mengambil makluman kehakiman (judicial notice) bahawa jalan raya dalam Negeri Kelantan ini tidak mempunyai lorong khas untuk motosikal dan basikal. Kenderaan kecil seperti motosikal, motosikal roda tiga (motosikal penjaja) serta basikal akan menggunakan lorong atau laluan yang paling tepi atau paling kiri sekali manakala kenderaan yang lebih besar akan menggunakan laluan utama dan lorong yang lebih ke kanan.
17
Mahkamah ini juga berpendapat bahawa tindakan defendan yang memberhentikan motorvannya secara tiba-tiba dan mengejut setelah bergerak kira-kira 10 meter juga telah mencipta keadaan bahaya yang tidak memungkinkan plaintif pertama untuk membrek atau mengelak secara berkesan untuk menghindari kemalangan tersebut.
18
Pergerakan motosikal plaintif pertama pada kadar kelajuan 50km/j adalah bersamaan dengan kadar kelajuan 50,000 meter / 60 minit yang juga bersamaan dengan 50,000 meter / 3,600 saat. Ini bermakna pergerakan motosikal plaintif pertama selaju 13.88 meter sesaat. Dalam jarak hanya 10 meter, plaintif pertama mempunyai masa yang kurang dari 1 saat untuk mengambil tindakan yang berkesan bagi mengelak kemalangan tersebut.
19
Dalam kes KAMARUDDIN MOHD NOR & ANOR V. SOON SOO MOE & ANOR [1998] 1 MLRH 743, fakta material dalam kes ini adalah defendan pertama memandu lori dan plaintif kedua menunggang motosikal. Plaintif dan defendan bergerak dalam arah yang sama. Dalam jarak 150 kaki, plaintif kedua nampak lori defendan pertama bergerak perlahan-lahan. Apabila motosikal plaintif kedua menghampiri jarak 20 kaki dengan lori defendan pertama, defendan pertama telah bergerak ke kanan tanpa memberi isyarat dan telah berlaku kemalangan antara kedua-dua kenderaan tersebut. YA Hakim Suriyadi Halim Omar (sebagaimana beliau pada ketika itu), telah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan hakim perbicaraan yang mengenakan 100% liabiliti ke atas defendan dan mengatakan seperti berikut: [23] “It is trite that everytime a person intends to turn, stop or slow down, he should if there is other traffic in the vicinity, give the correct signal. He should signal in good time and maintain the signal for sufficient time to enable others to understand what he intended to do (r 16 of LN 165/1959). Prima facie the driver of the rear vehicle will be burdened with a more onerous responsibility, as by virtue of his position he is aware of what is happening infront of him, and certainly expected to keep a reasonable distance. On the other hand, with sufficient evidence, that onerous burden is capable of being neutralised, as a judge will decide on the totality of evidence. … “
20
Dalam kes KAMARUDDIN MOHD NOR (supra) ini juga YA Hakim telah merujuk kepada kes Yew You & Anor v. Mah Poay Koh & Anor [1969] 1 MLRA 265; [1970]1 MLJ 57 dan juga kes Nicholas Arthur Nock v. Mohamed Ali Bin Sulaiman & Anor [1975] 1 MLRH 83; [1976] 1 MLJ 100 dan mengatakan bahawa daripada kedua-dua kes yang dirujuk tersebut, kenderaan yang berada di hadapan juga boleh dikenakan 100% tanggungan sekiranya keterangan menunjukkan secara positif kepada kesalahan atau kecuaiannya.
21
Oleh itu, berdasarkan keadaan kes ini dan berdasarkan keseluruhan keterangan yang ada, HMS yang bijaksana adalah betul apabila tidak meletakkan atau mengenakan sebarang liabiliti ke atas plaintif pertama dan Mahkamah ini tidak berhasrat untuk mengacau atau mengubah keputusan HMS yang bijaksana tersebut berkenaan isu liabiliti.
22
Berkenaan Kuantum pula, Defendan telah merayu terhadap kuantum bagi gantirugi-gantirugi berikut: i. Deep laceration of right forearm with posterior interosseous nerve injury where wound at posteromedial forearm 15x7 cm with skin loss; ii. Gantirugi kehilangan pendapatan (loss of earning) sebanyak RM10,400.00 (RM1,300 x 8 bulan); iii. Gantirugi kehilangan keupayaan pendapatan (loss of earning capacity) sebanyak RM30,000.00; dan iv. Faedah 5% setahun ke atas gantirugi khas (yang mana sepatutnya hanya 2.5% setahun). Deep laceration of right forearm with posterior interosseous nerve injury where wound at posteromedial forearm 15x7 cm with skin loss;
23
Berkenaan ganti rugi “Deep laceration of right forearm with posterior interosseous nerve injury where wound at posteromedial forearm 15x7 cm with skin loss”, peguam defendan menghujahkan bahawa HMS yang bijaksana telah terkhilaf apabila membenarkan gantirugi yang terlalu berlebihan (manifestly excessive) dan tidak selari dengan “Revised Compendium of Personal Injury Awards”.
24
Berdasarkan kecederaan tersebut serta “residual” yang dialami oleh plaintif pertama, peguam plaintif telah mencadangkan jumah RM170,000.00 adalah sesuai dan munasabah manakala peguam defendan yang terdahulu mencadangkan jumlah RM50,000.00. Seterusnya peguam defendan yang baru berhujah dan mencadangkan jumlah RM25,000.00 adalah munasabah berbanding jumlah RM65,000.00 yang telah diawardkan oleh HMS yang bijaksana. Analisis dan dapatan Mahkamah berkenaan gantirugi am “Deep laceration of right forearm with posterior interosseous nerve injury where wound at posteromedial forearm 15x7 cm with skin loss”
25
Daripada kecederaan yang dialami oleh plaintif pertama sebagai mana laporan-laporan perubatan dan laporan pakar perubatan yang dikemukakan, Mahkamah ini mendapati kecacatan pada tangan kanan plaintif pertama adalah teruk dan telah menyebabkan tangan kanannya tidak dapat berfungsi secara normal. Kekuatan serta fungsi utama tangan kanan plaintif telah berkurangan secara kekal begitu juga kekuatan pergelangan tangan serta semua jari-jemari kanan plaintif. Oleh itu, award sebanyak RM65,000.00 yang diberikan oleh HMS bukanlah satu jumlah yang terlalu tinggi dan berlebihan.
26
Jumlah award yang diberikan oleh HMS yang bijaksana adalah merupakan perlaksanaan budibicara kehakimannya. Berdasarkan autoriti-autoriti yang dihujahkan di hadapannya, HMS tidak membenarkan tuntutan plaintif pertama sebanyak RM170,000.00 sebagaimana yang dihujahkan oleh peguam plaintif namun hanya membenarkan RM65,000.00 sahaja.
27
Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa kemungkinan Mahkamah ini akan memberikan jumlah award yang berbeza jika mahkamah ini yang mendengar perbicaraan kes tersebut, bukanlah alasan untuk Mahkamah ini mengganggu atau mengubah keputusan award HMS tersebut selagi mana ia bukan terjumlah kepada satu award yang terlalu tinggi atau terlalu rendah. Oleh itu Mahkamah ini tidak berhasrat untuk mengganggu keputusan HMS tersebut berkenaan gantirugi am tersebut. Gantirugi kehilangan pendapatan (loss of earning) sebanyak RM10,400.00 (RM1,300 x 8 bulan);
28
Berkenaan gantirugi kehilangan pendapatan (loss of earning) ini, peguam defendan menghujahkan bahawa HMS yang bijaksana telah terkhilaf apabila membenarkan gantirugi kehilangan pendapatan ini dalam keadaan plaintif telah gagal untuk membuktikan pendapatannya sebanyak RM4,000.00 sebulan sebelum kemalangan dan RM3,000.00 sebulan selepas kemalangan. Malah pendapatan sebanyak RM1,300.00 sebulan juga gagal dibuktikan oleh plaintif. Oleh itu peguam defendan menghujahkan bahawa gantirugi ini tidak patut dibenarkan sama sekali oleh HMS yang bijaksana. Analisis dan dapatan Mahkamah berkenaan gantirugi kehilangan pendapatan
29
Adalah jelas daripada penghakiman HMS bahawa atas kegagalan plaintif membuktikan pendapatannya sebanyak RM4,000.00 sebulan sebelum kemalangan dan kemudian berkurangan menjadi RM3,000.00 sebulan selepas kemalangan, HMS yang bijaksana telah tidak membenarkan tuntutan plaintif sebanyak yang dituntut. Namun HMS yang bijaksana dalam menjalankan perbicaraan tersebut telah mendapati dan berpuas hati bahawa plaintif sememangnya bekerja pada masa itu dan walaupun pendapatan plaintif sebanyak RM4,000.00 atau RM3,000.00 sebulan tidak dapat dibuktikan, namun plaintif masih mempunyai pekerjaan dan mempunyai pendapatan. Atas dasar itu pendapatan plaintif yang munasabah pada pandangan HMS yang bijaksana adalah sebanyak RM1,300.00 sebulan.
30
Plaintif dalam keterangannya mengatakan bahawa dia berniaga kuih dan dibantu oleh isterinya yang juga berniaga secara online. Plaintif juga mengatakan bahawa dia mempunyai komitmen bayaran kereta dan lain-lain. Plaintif mempunyai motosikal, kereta dan rumah serta keluarga. Plaintif bukanlah tinggal di bawah jambatan. Perlu diingat bahawa tidak semua pekerjaan atau perniagaan mempunyai bukti pendapatan rasmi dan secara bertulis dan perniagaan menjual kuih adalah salah satu contohnya.
31
Selain dari itu, keputusan HMS yang menetapkan jumlah pendapatan plaintif sebanyak RM1,300.00 sebulan bukanlah satu jumlah yang melampau dan ia adalah satu jumlah yang munasabah walaupun tanpa bukti pendapatan. Jumlah pendapatan sebanyak RM1,300.00 sebulan yang ditetapkan oleh HMS tersebut adalah lebih rendah daripada kadar gaji minima pekerja swasta yang berkuatkuasa pada masa itu iaitu sebanyak RM1,500.00 sebulan. Adalah tidak munasabah untuk mengatakan bahawa oleh kerana plaintif tidak dapat menunjukkan bukti pendapatannya yang sebenar maka plaintif dianggap tidak mempunyai pendapatan langsung.
32
Mahkamah ini percaya bahawa HMS dalam menetapkan pendapatan bulanan plaintif sebanyak RM1,300.00 sebulan telah mengambil makluman kehakiman (judicial notice) berkenaan pendapatan asas yang munasabah bagi seorang penjual kuih.
33
Dalam kes Pang Ah Chee v Chong Kwee Sang [1985] 1 MLJ 153 Mahkamah Persekutuan mengatakan: “… The learned President awarded $2,000/- for funeral expenses which he considered fair and reasonable obviously based partly on oral testimony and partly using his own knowledge of Chinese funerals. The learned appellate Judge referred to sections 56 and 57 of the Evidence Act 1950. He said that the Act had laid down what the court can take judicial notice of and everything else must be proved. We think that section 57 of the Evidence Act merely set out matters which the court must take Judicial notice of and the list therein is not exhaustive and the court under section 56 of the Act may also take judicial notice of matters which are of common and general knowledge. In arriving at a reasonable and fair amount of compensation to be awarded, it was not wrong for the learned President to take judicial notice of Chinese funeral expenses and the fact that such expenses are normally incurred and only the amount would vary according to the status of the deceased or such other matters which may be considered by the court.…”
34
Oleh itu, berkenaan award bagi gantirugi kehilangan pendapatan sebanyak RM10,400.00 tersebut, Mahkamah ini juga tidak berhasrat untuk mengganggu keputusan HMS yang bijaksana tersebut. Gantirugi kehilangan keupayaan pendapatan (loss of earning capacity) sebanyak RM30,000.00;
35
Berkenaan gantirugi kehilangan keupayaan pendapatan (loss of earning capacity), peguam defendan menghujahkan bahawa HMS yang bijaksana telah terkhilaf apabila membenarkan gantirugi kehilangan keupayaan pendapatan ini kerana plaintif telah gagal membuktikan pendapatannya. Analisis dan dapatan Mahkamah berkenaan Gantirugi kehilangan keupayaan pendapatan
36
Dengan hormat, Mahkamah ini berpendapat bahawa kehilangan keupayaan pendapatan tidak memerlukan bukti pendapatan. Seseorang yang masih belum pernah bekerja juga boleh mendapatkan gantirugi hilang keupayaan pendapatan (loss of earning capacity). Bagi tuntutan ini, kecacatan atau kekurangan yang dialami oleh plaintif dalam kemalangan tersebut telah menyebabkan keupayaannya untuk mencari pendapatan telah hilang atau telah menjadi berkurangan. Atas kapasiti plaintif sebagai OKU, pasaran pekerjaan yang terbuka kepadanya menjadi terhad atau sangat minima.
37
HMS mempunyai budibicara untuk menentukan kadar gantirugi ini. Kes-kes terdahulu yang dirujuk seperti kes Rasidin Bin Partorjo V Frederick Kiai [1976] 2 MLJ 214, Mahkamah telah membenarkan gantirugi ini sebanyak RM20,000.00 manakala dalam kes Robert a/l J Adonikalasamy lwn Adam bin Md Esah dan satu lagi [2024] MLJU 949, Mahkamah telah membenarkan gantirugi ini sebanyak RM30,000.00. Oleh itu award HMS sebanyak RM30,000.00 dalam kes ini adalah munasabah dan tidak perlu diganggu. Faedah 5% setahun ke atas gantirugi khas (yang mana sepatutnya hanya 2.5% setahun)
38
Peguam defendan yang bijaksana menghujahkan bahawa HMS telah terkhilaf apabila membenarkan faedah pada kadar 5% setahun ke atas gantirugi khas. HMS sepatutnya hanya membenarkan faedah pada kadar 2.5% setahun sahaja bermula dari tarikh kemalangan sehingga penghakiman.
39
Mahkamah ini mendapati bahawa berdasarkan Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bil. 1 Tahun 2012, hanya satu kadar bunga yang ditetapkan iaitu 5% setahun. Tiada sebarang kadar bunga yang lain yang dinyatakan dalam Arahan Amalan tersebut. Oleh itu Mahkamah ini berpendapat bahawa kadar faedah yang dibenarkan oleh HMS dalam kes ini adalah tidak bertentangan dengan Arahan Amalan Ketua Hakim Negara tersebut.
40
Secara umumnya Mahkamah ini mengambil ingatan daripada prinsip yang dinyatakan dalam kes-kes Ng Hoo Kui & Anor v. Wendy Tan Lee Peng, Administrator Of The Estates Of Tan Ewe Kwang, Deceased & Ors [2020] 10 CLJ 1; [2020] 12 MLJ 67 (FC); [2020] 8 AMR 22 dan Lee Hock Lai v. Yeoh Wah Pein [1998] 5 MLRH 207; [1999] 5 MLJ 172 bahawa mahkamah yang mendengar suatu rayuan tidak sepatutnya terlalu cepat untuk mencampuri keputusan mahkamah perbicaraan melainkan terdapat kesilapan yang nyata (plainly wrong) di pihak hakim perbicaraan dalam mencapai keputusannya.
41
Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini telah menolak rayuan defendan dengan kos dan mengekalkan keputusan HMS yang bijaksana. Alasan penghakiman ini bertarikh pada 14.10.2025. ……………………………………….. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Hakim Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu Kelantan Darul Naim Peguam Perayu : Samreet Singh Sagoo, Tetuan Lovelace & Hastings, Unit 5-2, 5th Floor, Wisma Bandar, No. 18, Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur. Peguam Responden-Responden : Tg. Shazuan Bin Tg Shariffudin, Tengku Shazuan & Co, PT 727, Lot PT 268, Ting.1, Seksyen 27, Jalan Kebun Sultan, 15300 Kota Bharu, Kelantan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.