Analisis rayuan dan keputusan Mahkamah ini Bidang kuasa rayuan [25] Prinsip undang-undang mapan yang terpakai dalam rayuan jenayah mengenai persoalan fakta adalah jelas. Di peringkat rayuan, mahkamah tidak wajar menggantikan penilaiannya sendiri dengan penilaian hakim bicara dalam perkara-perkara yang menjadi bidang kuasa eksklusif hakim bicara. Di peringkat rayuan juga, mahkamah tidak akan mengganggu-gugat dapatan fakta mahkamah bicara melainkan jika imbangan keterangan adalah sangat bertentangan dengan sabitan terutamanya dalam dapatan suatu fakta khusus yang melibatkan penilaian keterangan saksi berasaskan kredibilitinya. [26] Dalam kes Lai Kim Hon & Ors v. Public Prosecutor [1980] CLJU 197; [1981] 1 MLJ 84; [1980] 1 MLRA 366, Mahkamah Persekutuan membuat pemerhatian berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakiman: “Viewed as a whole it seems clear that the finding of fact made by the trial judge turned solely on the credibility of the witnesses. The trial judge heard the testimony of each witness and had seen him. He also had the opportunity to observe the demeanour of the witnesses. Discrepancies will always be found in the evidence of a witness but what a judge has to determine is whether they are minor or material discrepancies. And which evidence is to be believed or disbelieved is again a matter to be determined by the trial judge based on the credibility of each witness. In the final analysis it is for the trial judge to determine which part of the evidence of a witness he is to accept and which to reject. Viewed in that light we did not consider it proper for this court to substitute its findings for that of the learned trial judge. The principle of law governing appeals in criminal cases on questions of fact is well established, in that the Appeal Court will not interfere unless the balance of evidence is grossly against the conviction especially upon a finding of a specific fact involving the evaluation of the evidence of a witness founded on the credibility of such witness.”. [27] Walau bagaimanapun, prinsip untuk tidak campur tangan ini adalah terhad kepada penilaian kebolehpercayaan dan inferens yang dibuat daripada keterangan yang telah dipertimbangkan sepenuhnya oleh mahkamah bicara. Ia sama sekali tidak melindungi dapatan yang dibuat berdasarkan pertimbangan fakta yang dikaburi kekhilafan yang mengakibatkan salah laksana keadilan yang substantif terhadap tertuduh. [28] Dalam kes Magendran Mohan v. PP [2011] 1 CLJ 805, [2011] 6 MLJ 1; [2012] 5 MLRA 333 Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa apabila mahkamah bicara mengabaikan, terlepas pandang, atau melakukan kekhilafan undang-undang yang mengakibatkan salah laksana keadilan yang serius dan ketara, mahkamah rayuan berkewajipan untuk campur tangan. Mahkamah Persekutuan membuat pemerhatian berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakiman: “[40] Normally, the appellate court does not interfere with the concurrent findings of fact of the courts below, in the absence of very special circumstances. But where the courts below ignore, overlook or commit errors of law apparent on the face of the record which results in serious and substantial miscarriage of justice to the accused, it is the duty of the appellate court to step in and correct the legally erroneous decision of the courts below.”. Sama ada Tertuduh memiliki dadah berbahaya [29] Peguam bela terpelajar yang mewakili Tertuduh berhujah bahawa kes prima facie tidak seharusnya dikatakan telah dibuktikan terhadap Tertuduh. Semasa serbuan, Tertuduh tidak hadir di Rumah No. 9. Kunci bilik pertama P57A(3) dan P57B(2) ditemui terletak di atas meja secara terbuka di ruang tamu Rumah No. 49. Ianya boleh dicapai oleh sekurang-kurangnya enam individu lain. Pegawai tangkapan sendiri, iaitu SP7, mengesahkan dalam pemeriksaan balas bahawa beliau tidak dapat mengenal pasti siapa yang meletakkan kunci-kunci tersebut di situ. Tiada profil DNA atau cap jari Tertuduh ditemui pada P53 atau mana-mana eksibit daripada bilik pertama. Selain itu, terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa Tertuduh telah meninggalkan Rumah No. 9 itu sejak bulan Disember 2017 lagi, sebagaimana keterangan SP12, SP13, SP15 dan SP23. [30] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terpelajar berhujah bahawa Tertuduh adalah penyewa berdaftar Rumah No. 9 tersebut dan dia telah membayar sewa bulanan untuk Rumah No. 9 hingga bulan Februari 2018. Kunci-kunci bilik pertama ditemui di Rumah No. 49 dan Rumah No. 49 ini disewa sepenuhnya oleh Tertuduh. Semua kunci, iaitu kunci Rumah No. 9 dan kunci Rumah No. 49, dijumpai bersama-sama di atas meja yang sama dan fakta ini membuktikan Tertuduh adalah pemegang kunci-kunci tersebut. Malah Tertuduh sendiri dalam pembelaannya mengakui bahawa kunci Rumah No. 9 masih dalam milikannya semasa dia ditangkap. [31] Persoalan undang-undang dan fakta yang tepat untuk diselesaikan ialah sama ada kedudukan Tertuduh sebagai penyewa, bayaran sewa untuk Rumah No. 9 yang kekal dibayar oleh Tertuduh hingga bulan Februari 2018 dan kehadiran kunci bilik pertama di Rumah No. 49, secara bersama-sama berupaya membuktikan wujudnya jagaan atau kawalan fizikal terhadap bilik pertama tersebut dan apa yang dijumpai dalam bilik tersebut. [32] Prinsip undang-undang mengenai ingredien “milikan” adalah mantap dan telah dijelaskan dalam banyak nas undang-undang. Dalam kes Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ 113, Mahkamah Persekutuan mengulangi prinsip undang-undang mapan bahawa milikan menuntut kewujudan serentak dua elemen, iaitu jagaan atau kawalan fizikal terhadap benda tersebut dan pengetahuan tentang sifat benda itu. Pengetahuan semata-mata tanpa jagaan atau kawalan adalah tidak mencukupi, dan begitu juga jagaan semata-mata tanpa pengetahuan adalah tidak mencukupi. Mahkamah Persekutuan menggarap prinsip tersebut seperti berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakiman: “[15] The law is well settled that having only custody or control over the said drugs is insufficient to establish “possession”. The physical act of custody or control must be accompanied with evidence that the accused had knowledge of the said drugs. In the absence of any statutory presumption, knowledge has to be proved either by direct evidence or circumstantial evidence. Mere knowledge alone without exclusivity of either physical custody or control or both is insufficient in law to constitute possession, let alone trafficking. (See the case of Chan Pean Leon v. PP [1956] CLJU 17; [1956] 1 LNS 17).”. [33] Kedua-dua elemen ini adalah bersifat saling berhubung atau berpasangan dan kedua-duanya hendaklah dibuktikan bagi mewujudkan ingredien “milikan” seperti yang dikenali dalam undang-undang jenayah berkaitan dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Prinsip yang sama juga sebenarnya telah digunakan oleh HMT dalam penghakimannya ketika melepas dan membebaskan Affyzal dari pertuduhan. Jelas dalam alasan penghakimannya, HMT memutuskan bahawa elemen pengetahuan semata-mata tanpa elemen jagaan atau kawalan fizikal tidak berupaya membuktikan ingredien milikan. [34] Secara kritisnya, pertimbangan HMT sendiri dalam membebaskan Affyzal yang berada secara fizikal di dalam rumah dengan kunci pintu hadapan dalam tangannya, menunjukkan bahawa kehadiran fizikal dan pegangan kunci sekalipun tidak dapat membuktikan milikan dadah yang ditemui di dalam bilik yang terkunci. Ini selaras dengan prinsip undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Roslan Hanapi lwn. PP [2015] 6 CLJ 464, bahawa fakta tertuduh hampir dengan dadah berbahaya semata-mata adalah tidak mencukupi untuk membuktikan animus possidendi tanpa sebarang keterangan langsung atau tidak langsung untuk membuktikan siapa yang meletakkan dadah berbahaya tersebut di situ. Mahkamah Rayuan membuat pengamatan berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakiman: “[15] In the absence of evidence direct or indirect that it was the appellant who put the bag under the table or that it was put there on his instruction, evidence of his close proximity to the drug is neither here nor there, given the fact that the store was accessible to family members of the second accused and even to the public.”. [35] Dalam mempertimbangkan fakta ni secara perbandingan dalam nafas yang sama, tanggapan bahawa kedudukan Tertuduh sebagai penyewa berdaftar yang sebenarnya tiada di premis tersebut semasa serbuan sewajarnya mewujudkan suatu asas yang lebih kukuh untuk menolak pembuktian ingredien “milikan”. Sekiranya Affyzal, yang berada di premis tersebut semasa serbuan, yang hampir dengan bilik yang mengandungi dadah berbahaya tersebut, dan memegang kunci bilik, tidak boleh dikaitkan untuk pembuktian ingredien “milikan” dadah berbahaya yang menjadi subjek pertuduhan dalam kes ini, Tertuduh sewajarnya berada dalam kedudukan yang lebih baik di sisi undang-undang berbanding Affyzal. Penyewaan semata-mata tidak membuktikan milikan dadah berbahaya yang ditemui dalam premis yang disewa tersebut. [36] Seterusnya mengenai kunci-kunci bilik pertama, kunci P57A(3) dan P57B(2) yang ditemui di atas meja terbuka di ruang tamu Rumah No. 49. Semasa pemeriksaan balas, SP7 mengesahkan bahawa kesemua enam individu yang ditahan berada di ruang tamu tersebut dan beliau tidak dapat mengenal pasti siapa yang meletakkan kunci-kunci itu di sana. SP12 pula mengesahkan bahawa beliau tidak mengetahui kunci-kunci tersebut milik siapa atau untuk apakah kunci-kunci tersebut. Tiada keterangan cap jari dikemukakan untuk menunjukkan apa-apa kaitan kunci-kunci tersebut dengan Tertuduh. Oleh yang demikian, pada hemat kami inferen bahawa kunci-kunci tersebut sebenarnya boleh diakses oleh sekurang-kurangnya tujuh orang yang ditahan tersebut kerana kedudukannya secara terbuka di atas meja di ruang tamu Rumah No. 49 tersebut tidak dapat dielak secara munasabahnya. [37] Berkenaan keterangan profil DNA, pendakwaan telah mengemukakan keterangan profil DNA yang sebenarnya lebih bersifat memihak kepada Tertuduh. Keterangan kes pendakwaan menunjukkan tiada profil DNA Tertuduh ditemui di mana-mana tempat dalam bilik pertama atau pada P53. Profil DNA yang ditemui dalam bilik pertama menunjuk ke arah Affyzal dan SP12. Dalam kes yang bergantung sepenuhnya kepada keterangan mengikut keadaan, tiadanya kaitan forensik di antara Tertuduh dan bilik tempat dadah berbahaya tersebut ditemui adalah suatu kelompangan yang amat signifikan. [38] Keterangan saksi-saksi pendakwaan sendiri, iaitu SP12, SP13, SP15 dan SP23 mengesahkan pembelaan Tertuduh, iaitu Tertuduh telah meninggalkan bilik pertama Rumah No. 9 tersebut dalam bulan Disember 2017. Tiada penemuan profil DNA Tertuduh yang boleh mengaitkan dia dengan dadah berbahaya tersebut atau pun bilik tempat dadah berbahaya tersebut ditemui. Kunci-kunci bilik pertama Rumah No. 9, kunci P57A(3) dan P57B(2) yang ditemui di atas meja terbuka di ruang tamu Rumah No. 49 menunjukkan Rumah No. 9 itu boleh diakses oleh orang lain selain daripada Tertuduh. Pada hemat kami, keterangan-keterangan kes pendakwaan ini sama sekali tidak menyokong suatu dapatan bahawa Tertuduh memiliki dadah berbahaya yang dijumpai di bilik pertama Rumah No. 9 tersebut. Sama ada identiti dan asal usul tong ais berwarna oren (P53) telah dibuktikan [39] TPR terpelajar berhujah bahawa tong ais berwarna oren (P53) tersebut dibeli atas arahan Tertuduh sebagaimana disahkan oleh SP12 dan SP13, dan bahawa resit P38 bertarikh 24.12.2017 yang ditemui dalam bilik pertama Rumah No. 9 itu mengaitkan pembelian tersebut dengan bilik tempat dadah berbahaya tersebut ditemui. [40] Pengenalpastian tong ais berwarna oren (P53) sebagai tong khusus yang dibeli oleh SP12 dan SP13 merupakan titik rantai yang kritikal dalam rangkaian inferen yang disandarkan oleh pihak pendakwaan. Sekiranya titik rantai ini gagal, keseluruhan struktur keterangan mengikut keadaan yang menghubungkan Tertuduh dengan dadah berbahaya tersebut akan runtuh sepenuhnya. [41] Keterangan SP12 dan SP13 mengenai perkara ini dilemahkan secara material oleh pengakuan mereka sendiri semasa pemeriksaan balas. SP12 dan SP13 mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa mereka mengenal pasti tong ais berwarna oren (P53) tersebut hanya berdasarkan warna dan saiznya sahaja. SP12 mengakui bahawa dia tidak dapat menolak kemungkinan tong asal telah dipindahkan ke Rumah No. 49 atau ke kampung halaman Tertuduh, dan dia tidak mengetahui sekiranya tong yang ada di hadapan mahkamah adalah tong yang dibeli oleh orang lain. SP13 bersetuju bahawa tong yang dia bantu untuk membelinya dan tong ais berwarna oren (P53) tersebut hanyalah “lebih kurang sama”, iaitu warna dan saiz yang sama, dan dia tidak dapat memastikan sama ada ianya adalah tong yang sama atau tong yang berlainan. Tiada seorang pun daripada saksi-saksi ini membuat sebarang tanda pengenalan pada tong tersebut pada masa pembelian. [42] Keterangan SP24 dan SP25, iaitu pengurus dan juruwang Cowboy Supermarket yang dipanggil oleh pihak pendakwaan sendiri telah menambah kekusutan dalam mengenal pasti identiti tong ais berwarna oren (P53) ini. SP24 dan SP25 mengesahkan bahawa semua tong ais bersaiz sama mempunyai kod bar yang serupa. [43] Tiada sebarang asas forensik untuk membezakan tong ais berwarna oren (P53) tersebut secara individu daripada mana-mana tong oren lain dengan spesifikasi yang sama. Identiti tong ais berwarna oren (P53) tersebut sebagai tong yang sama yang dibeli oleh SP12 dan SP13 tidak boleh disahkan secara muktamad. Ini menjadikan pengenalpastian tong ais berwarna oren (P53) tersebut oleh SP12 dan SP13 yang berdasarkan warna dan saiz sebagai tidak berwibawa dan tidak dapat diterima sebagai suatu pengenalpastian yang positif. [44] Jika sekali pun dikira pada tahap tertinggi, resit P38 bertarikh 24.12.2017 yang ditemui dalam bilik pertama Rumah No. 9 tersebut hanya membuktikan bahawa sebuah tong ais telah dibeli dari Cowboy Supermarket pada tarikh tersebut. Ia tidak membuktikan bahawa tong ais berwarna oren (P53) adalah tong yang dibeli melalui resit P38 tersebut. Ianya juga tidak membuktikan siapa yang telah meletakkan tong ais berwarna oren (P53) tersebut di dalam bilik pertama itu atau bila ianya diletakkan di situ. Memandangkan Tertuduh dikatakan telah meninggalkan bilik pertama Rumah No. 9 itu pada atau sekitar bulan Disember 2017, iaitu bulan yang sama yang ditunjukkan dalam resit P38 tersebut, kehadiran resit P38 itu dalam bilik pertama adalah sama-sama konsisten dengan inferen munasabah bahawa (i) ianya telah tertinggal di bilik pertama Rumah No. 9, atau (ii) ianya telah diletakkan di bilik pertama Rumah No. 9 itu oleh orang lain, atau (iii) ianya tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan tong ais berwarna oren (P53) tersebut kerana tiada keterangan positif mengenai pengenalpastian identitinya. [45] Pada hemat kami identiti dan asal usul tong ais berwarna oren (P53) tersebut gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Oleh yang demikian, dakwaan bahawa kononnya Tertuduh telah mengarahkan SP12 dan SP13 untuk membeli tong ais berwarna oren (P53) tempat dadah berbahaya yang menjadi subjek pertuduhan kes ini ditemui dan resit P38 ialah bukti pembelian tersebut adalah kesemuanya tersasar dan tidak disokong oleh keterangan kes pendakwaan sendiri. Sama ada HMT telah melaksanakan penilaian maksimum di peringkat kes prima facie [46] Peguam bela terpelajar berhujah bahawa HMT gagal melaksanakan penilaian maksimum sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang dan sebaliknya bergantung secara terpilih kepada keterangan yang memihak kepada pendakwaan tanpa menangani keterangan material daripada saksi-saksi pendakwaan yang melemahkan kes pendakwaan. TPR terpelajar pula berhujah bahawa dapatan HMT adalah dapatan fakta yang tidak seharusnya diganggu oleh mahkamah rayuan tanpa adanya sebab yang kukuh dan meyakinkan. [47] Prinsip mengenai penilaian maksimum di akhir kes pendakwaan adalah mantap dan tiada keperluan untuk prinsip tersebut diulangi. (Rujuk kes Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85; [2005] 2 MLJ 301; [2005] 1 AMR 321 dan PP lwn. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457; [2005] 6 MLJ 393). Mahkamah Persekutuan dalam kes Mohd Radzi Abu Bakar (supra.) membuat pengamatan berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakiman: “[15] For the guidance of the courts below, we summarise as follows the steps that should be taken by a trial court at the close of the prosecution’s case:-