Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR [NO. KES: CB-82D-7-09/2023] PENDAKWA RAYA LAWAN MOHD SYAHRIZAL BIN MOHD ROZALI PENGHAKIMAN (Keputusan pada akhir kes pendakwaan secara lisan*) Dalam satu pertuduhan di bawah perenggan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, pihak pendakwaan haruslah membuktikan spesimen urin yang diambil daripada Tertuduh adalah spesimen sama yang dihantar untuk dianalisa oleh Pegawai Sains. Kesinambungan rantaian barang kes tidak boleh terputus. Oleh itu, proses pelabelan oleh pegawai pemungut sampel urin adalah penting dan mestilah bebas daripada sebarang kesilapan. Perkara ini telahpun diterangkan dengan jelas dalam kes PP v. Ahmad Saiful Islam Mohamad [2023] 2 CLJ 714 yang menyatakan: “[54] To our minds, the prosecution has to ensure that the urine specimen in the bottle which was sent to SP5 for analysis was actually taken from or belonged to the respondent. In the absence of any DNA evidence, the prosecution must ensure that there is no mistake in the labelling of the bottle which would otherwise affect the identity and credibility of the respondent's urine sample. There must not be any break in the chain of evidence. Anything short would definitely raise serious doubts as to whether the urine sample was actually taken on the day in question and whether the urine sample actually belonged to the respondent.” Dalam kes ini, pegawai pemungut yang menjalankan saringan awal ujian air kencing Tertuduh (SP4) telah memberikan keterangan bahawa beliau telah menurunkan tandatangan pada label botol urin pada bahagian “Tandatangan Pegawai Pemungut”. Namun begitu, berdasarkan kepada gambar botol urin (P1), bahagian “Tandatangan Pegawai Pemungut” pada label botol urin tersebut tidak ditandatangani oleh sesiapa dan telah dibiarkan tanpa diisi. Pegawai Penyiasat (SP5) juga bersetuju dengan perkara ini semasa disoal balas. Ini adalah sangat bercanggah dengan keterangan yang diberikan oleh SP4. Semasa pemeriksaan SP4 berkenaan ketiadaan tandatangan beliau dalam P1, SP4 memberikan penjelasan bahawa gambar yang diambil mungkin tidak dapat menunjukkan tandatangannya kerana terdapat silauan semasa pengambilan gambar. Mahkamah ini tidak dapat menerima penjelasan ini. Ini adalah kerana butiran lain pada label tersebut adalah jelas dan boleh dibaca. Mahkamah ini memutuskan bahawa bahagian “Tandatangan Pegawai Pemungut” pada label botol urin tersebut tidak ditandatangani oleh sesiapa dan telah dibiarkan kosong. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa SP4 telah memberikan keterangan bersumpah bahawa beliau ada menandatangani label botol urin yang dipungut daripada Tertuduh tetapi keterangan P1 tidak menunjukkan tandatangan beliau pada mana-mana bahagian label botol tersebut. Demikian, ini telah menimbulkan satu persoalan sama ada botol urin yang dipungut yang labelnya ditandatangani oleh SP4 adalah botol urin yang sama seperti botol urin yang diambil gambar di P1. Wujud satu inferens alternatif bahawa kemungkinan botol urin yang dipungut oleh SP4 dan botol urin yang diambil gambar di P1 adalah dua botol urin yang berbeza. Dalam kes PP v. Mohd Radzi Bin Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 FC telah dinyatakan: - “at the close of the prosecution's case, subject the evidence led by the prosecution in its totality to a maximum evaluation. Carefully scrutinise the credibility of each of the prosecution's witnesses. Take into account all reasonable inferences that may be drawn from that evidence. If the evidence admits of two or more inferences, then draw the inference that is most favourable to the accused.”. Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, Mahkamah ini membuat inferens yang paling menyebelahi Tertuduh dan mendapati inferens alternatif yang berkemungkinan dalam kes ini adalah wujud dua botol urin yang berbeza iaitu satu botol urin yang telah ditandatangani oleh SP4 dan satu lagi tidak ditandatangani. Memandangkan keterangan menunjukkan bahawa air kencing Tertuduh hanya dipungut dalam satu botol urin dan hanya satu botol urin dihantar ke Pegawai Sains (SP1) untuk dianalisa, maka tidak terbukti secara konklusif bahawa air kencing yang dianalisa oleh SP1 merupakan air kencing Tertuduh. Justeru, pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap Tertuduh. Adalah tidak selamat untuk memanggil Tertuduh untuk membela diri terhadap pertuduhan kes ini dan Mahkamah ini tidak bersedia untuk mensabitkan Tertuduh sekiranya pembelaan dipanggil dan Tertuduh memilih untuk berdiam diri. Maka, Tertuduh adalah dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri. Wang jaminan dikembalikan. TAN CHIEW KING Majistret Mahkamah Majistret (1) Temerloh 27 Mei 2025 *Penghakiman ini diberikan secara lisan pada 27 Mei 2025 dan bukanlah alasan keputusan penuh Mahkamah ini. Alasan keputusan bertulis penuh akan disediakan sekiranya rayuan difailkan. Pihak-pihak: Adriana binti Azrin (Timbalan Pendakwa Raya) untuk pihak Pendakwaan Mohd Anif bin Rafih (Shamsuddin & Co) untuk Tertuduh