Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR [CB-83-265-08/2022] PENDAKWA RAYA LAWAN PENGHAKIMAN (Keputusan pada akhir kes pendakwaan secara lisan*) Untuk satu pertuduhan di bawah subseksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (“APJ”), Mahkamah ini perlu mempertimbangkan sama ada Tertuduh membuat satu tindakan positif dan/atau mencipta satu situasi yang berbahaya yang akhirnya menyebabkan pertembungan dengan motokar Proton Waja PFB6765 (“Proton Waja”). Bagi menjawab persoalan ini, Mahkamah ini haruslah terutamanya menentukan sama ada motokar Proton Waja berada di dalam lorong kecemasan sepenuhnya atau terkeluar sedikit dan sebahagiannya berada di atas jalan raya utama yang merupakan laluan Tertuduh. Kerosakan motokar Proton Waja boleh diperhatikan di P7 (b) dan P7 (c) di tempat kejadian. P6 (20), (21), (22), dan (24) pula menunjukkan MOHD ZAINI BIN ABU HASSAN kerosakan selepas motokar Proton Waja ditunda keluar daripada tempat kejadian. Daripada gambar-gambar tersebut terutamanya gambar P7 (c) dan P6 (22) dan (24), dapat disimpulkan bahawa di hadapan kiri motokar Proton Waja remuk dengan teruk manakala bahagian hadapan kanan masih dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan apa-apa kesan perlanggaran. P7 (b) dan P7 (c) juga menunjukkan bahawa bahagian belakang dan tengah-tengah sebelah kanan motokar Proton Waja remuk dengan teruk. Tiada gambar bahagian belakang kiri motokar Proton Waja yang diambil dengan jelas bagi membenarkan Mahkamah ini meneliti kerosakannya. Namun begitu, P7 (b) sedikit sebanyak menunjukkan bahawa bahagian kiri belakang motokar Proton Waja masih dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan apa-apa kesan perlanggaran memandangkan lampu brek belakang kiri masih utuh. Penemuan ini disokong oleh P3 (Sijil Pemeriksaan Kemalangan motokar Proton Waja oleh PUSPAKOM) yang mengesahkan bahawa gandar belakang kanan tidak memuaskan serta tayar pecah manakala gandar hadapan kiri juga tidak memuaskan dan tayar tercabut. Dalam laporan yang sama, gandar belakang kiri dan gandar hadapan kanan motokar Proton Waja direkodkan sebagai memuaskan. P21 (Laporan Ahli Kimia) pada muka surat 6 juga mencadangkan bahawa pertembungan yang berlaku antara motokar Proton Waja dan motolori kontena BNV1237 (“motolori kontena”) yang dipandu oleh Tertuduh adalah motolori kontena melanggar motokar Proton Waja dari belakang. P21 juga menyatakan tempat pertemuan perlanggaran adalah di bahagian hadapan kiri motolori kontena bertembung dengan bahagian belakang kanan motokar Proton Waja. Namun begitu, P21 tidak menyatakan objek atau kenderaan yang bertembung dengan bahagian hadapan motokar Proton Waja. Apa yang jelas daripada keterangan gambar adalah bahagian hadapan kiri motokar Proton Waja bertembung dengan sesuatu, barangkali dengan kenderaan di hadapannya. Kes pihak pendakwaan adalah bahawa kedudukan motokar Proton Waja dengan kenderaan yang berada di hadapannya adalah dalam keadaan selari (dalam sebaris) dan kesemua kenderaan itu berada di dalam lorong kecemasan. Namun begitu, berdasarkan kepada keterangan yang dinyatakan oleh Mahkamah sebentar tadi, wujud satu kebarangkalian kedudukan motokar Proton Waja dan kenderaan di hadapannya adalah tidak selari. Ini adalah kerana keterangan bahagian pelanggaran menunjukkan bahawa titik pertembungan bahagian hadapan motokar Proton Waja terletak di bahagian kiri. Bahagian kanan hadapan motokar Proton Waja juga masih dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan apa-apa kesan perlanggaran. Sekiranya motokar Proton Waja dan kenderaan di hadapannya adalah dalam kedudukan selari, maka pertembungan yang sepatutnya berlaku adalah di keseluruhan bahagian hadapan motokar Proton Waja dan bukan bahagian hadapan kiri sahaja. Dengan kemungkinan motokar Proton Waja dan kenderaan di hadapannya tidak selari, adalah juga tidak mustahil motokar Proton Waja diletakkan terkeluar sedikit daripada lorong kecemasan dan sebahagian motokar berada di atas jalan raya utama iaitu pada laluan Tertuduh. Keterangan telah diberikan bahawa lorong kecemasan itu adalah sempit. Dalam kes PP v. Mohd Radzi Bin Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 FC telah dinyatakan: “at the close of the prosecution's case, subject the evidence led by the prosecution in its totality to a maximum evaluation. Carefully scrutinise the credibility of each of the prosecution's witnesses. Take into account all reasonable inferences that may be drawn from that evidence. If the evidence admits of two or more inferences, then draw the inference that is most favourable to the accused.”. Oleh itu, memandangkan wujudnya satu inferens alternatif yang mana motokar Proton Waja diletakkan terkeluar sedikit ke atas jalan raya utama pada laluan Tertuduh, maka Mahkamah ini perlu menerima inferens ini. Ini adalah kerana inferens inilah yang paling menyebelahi Tertuduh. Seterusnya, Mahkamah ini merujuk kepada kes Ng Beng Kok v. PP [2017] 7 CLJ 157 yang menyatakan seperti berikut: “It was held that in proving that there was "dangerous driving", it must be shown that: i) there must be a situation created by the accused which, viewed objectively, is dangerous; ii) that when creating such a situation the accused was at fault. Fault here involves a failure; a falling below the care and skill of a competent and experienced driver in relation to the manner of driving and the relevant circumstances.” Seterusnya, dalam kes PP v. Ong Kia Chan [2006] 4 CLJ 334, Low Hop Bing H pula telah menyatakan seperti berikut: “The expression “driving in a manner which is dangerous to the public” indicates some dangerous act or manoeuvre on the part of the driver of a vehicle eg, overtaking a vehicle on the wrong side of it, or overtaking in the face of oncoming traffic, or overtaking when unable to see oncoming traffic, or crossing a junction against traffic light, and so on. There must be some positive act on the part of the driver which is dangerous having regard to all the circumstances.” (penekanan ditambah) Memandangkan Mahkamah telah menerima inferens alternatif seperti yang dinyatakan sebentar tadi, amat sukar untuk Mahkamah ini memutuskan bahawa terdapat satu tindakan positif (“positive act”) yang diambil oleh Tertuduh untuk menyebabkan pertembungan tersebut. Ini adalah kerana motolori kontena yang dibawa oleh Tertuduh boleh berada di lorongnya semasa perlanggaran. Sepanjang kes pendakwaan juga, tiada keterangan yang menunjukkan Tertuduh masuk ke lorong kecemasan untuk memotong atau cuba memotong kenderaan lain yang akhirnya mengakibatkan pertembungan dengan motokar Proton Waja. Tiada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan juga yang menunjukkan bahawa motolori kontena itu dipandu dalam keadaan mekanikal yang bermasalah atau tidak selamat. SP7 (Pegawai Penyiasat) juga telah memberikan keterangan bahawa motolori kontena yang dibawa oleh Tertuduh tidak dipandu dengan laju. Atas alasan-alasan ini Mahkamah ini memutuskan bahawa Tertuduh tidak membuat apa-apa tindakan positif yang berbahaya mengambil kira keadaan sekeliling. Mahkamah ini juga mendapati situasi yang berbahaya tersebut bukan dicipta oleh Tertuduh. Walaupun Mahkamah ini mendapati Tertuduh tidak melakukan apa-apa tindakan positif yang berbahaya mengambil kira keadaan sekeliling serta bukan pihak yang mencipta situasi yang berbahaya itu, hakikatnya Tertuduh memandu sebuah motolori kontena yang mana telah bertembung dengan motokar Proton Waja. Sekiranya perhatian yang wajar terhadap jalan raya diberikan oleh Tertuduh, semestinya pertembungan ini dapat dielakkan. Mahkamah ini mendapati Tertuduh telah memandu motolori kontenanya dengan tidak cermat dan gagal untuk memberi perhatian yang sepatutnya kepada keadaan jalan raya yang digunakannya. Subseksyen 43 (1) APJ adalah seperti berikut: