Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: JA-22NCvC-141-10/2024 ANTARA MOK CHIA WU (NO. K/P: 830122-01-5239) …….PLAINTIF
JA-22NCvC-141-10/2024
High Court of Malaysia11 Mar 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: JA-22NCvC-141-10/2024 ANTARA MOK CHIA WU (NO. K/P: 830122-01-5239) …….PLAINTIF
1
DAN CHUA CHEE WEAE
2
CHUA CHEE LIANG (NO. K/P: 710919-01-5475) …..DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN [Lampiran 18 – Permohonan Pinda Writ Saman Terpinda dan Pernyataan Tuntutan Terpinda dibawah A.20 k.5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012]
1
Permohonan di hadapan Mahkamah ini ialah suatu permohonan oleh Plaintif melalui Notis Permohonan bertarikh
24
24.4.2025 (Lampiran 18) untuk mendapatkan kebenaran 14/04/2026 12:40:28 JA-22NCvC-141-10/2024 Kand. 58 Mahkamah bagi meminda Writ Saman Terpinda dan Penyata Tuntutan Terpinda bertarikh 14.10.2024 dalam tindakan ini. Permohonan tersebut difailkan menurut Aturan 20 Kaedah 5(1) dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (KKM 2012), yang memberikan kuasa budi bicara kepada Mahkamah untuk membenarkan pindaan pliding pada mana-mana peringkat prosiding bagi memastikan semua persoalan sebenar antara pihak-pihak dapat diputuskan secara adil.
2
Tindakan ini pada asalnya difailkan oleh Plaintif terhadap Defendan-Defendan berhubung suatu transaksi yang berkaitan dengan penjualan suatu hartanah yang terletak di Johor Bahru, yang didakwa telah dimeterai melalui suatu dokumen Option to Purchase (“OTP”).
3
Melalui permohonan tersebut, Plaintif memohon kebenaran Mahkamah untuk memasukkan pindaan kepada plidingnya sebagaimana yang ditunjukkan dalam dokumen “Cadangan Pindaan Writ Saman Terpinda” dan “Cadangan Pindaan Penyata Tuntutan Terpinda” yang dilampirkan sebagai eksibit dalam Afidavit Sokongan Plaintif.
4
Secara ringkasnya, pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif bertujuan untuk memasukkan butiran tambahan berkaitan dakwaan bahawa Defendan Pertama telah membuat salah nyata secara tipu (‘fraudulent misrepresentation’) atau salah nyata secara cuai (‘negligent misrepresentation’) berhubung kuasa beliau untuk mengikat kedua-dua pemilik hartanah yang menjadi subjek pertikaian dalam tindakan ini.
5
Selain itu, Plaintif juga berhasrat untuk memasukkan suatu tuntutan alternatif bagi ganti rugi bersamaan dengan harga jualan hartanah tersebut, iaitu RM2,250,000.00, sekiranya Mahkamah tidak memberikan perintah ‘specific performance’ terhadap hartanah berkenaan.
6
Permohonan ini telah dibantah oleh kedua-dua Defendan melalui afidavit jawapan masing-masing serta hujahan bertulis yang difailkan bagi pihak mereka. Oleh yang demikian, persoalan utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini ialah sama ada pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif wajar dibenarkan di bawah prinsip undang-undang yang mengawal pindaan pliding atau sebaliknya harus ditolak. Mahkamah seterusnya pada 11.3.2026 telah mendengar Notis Permohonan ini dan telah menolak Permohonan Plaintif dengan kos dalam kausa. Oleh kerana tidak berpuashati dengan keputusan ini, Plaintif telah memfailkan Notis Rayuan pada 9.4.2026 terhadap keseluruhan keputusan ini. Berikut adalah disediakan Alasan Penghakiman Mahkamah ini menolak Permohonan ini.
7
Berdasarkan rekod prosiding yang difailkan dalam tindakan ini, pertikaian antara pihak-pihak dalam tindakan ini berpunca daripada suatu transaksi yang melibatkan cadangan penjualan suatu hartanah yang terletak di Johor Bahru iaitu suatu hartanah yang terletak di bawah Lot 8648, Geran 21879, Mukim Bandar Johor Bahru, Daerah Johor Bahru. Hartanah tersebut dimiliki secara bersama tanpa bahagi bahagian oleh Defendan Pertama dan Defendan Kedua.
8
Pada sekitar bulan November 2023, Defendan Pertama telah didatangi oleh seorang individu bernama Wen Xing yang menyatakan bahawa beliau mempunyai seorang pembeli yang berminat untuk membeli hartanah tersebut. Susulan daripada itu, Defendan Pertama telah bertemu dengan individu tersebut bersama seorang lagi individu bernama Desmond di sebuah kafe di Johor Bahru bagi membincangkan kemungkinan penjualan hartanah tersebut. Dalam pertemuan tersebut, Defendan Pertama menyatakan dengan jelas bahawa sebarang urusan penjualan hartanah tersebut tidak boleh diteruskan tanpa persetujuan Defendan Kedua kerana hartanah tersebut dimiliki secara bersama oleh kedua-dua mereka.
9
Walau bagaimanapun, suatu dokumen ‘Option to Purchase’ (“OTP”) kemudiannya dihantar kepada Defendan Pertama melalui aplikasi ‘WhatsApp’. Dokumen OTP tersebut menyatakan antara lain bahawa harga pembelian hartanah tersebut ialah RM2,250,000.00 dan memerlukan pembayaran deposit sebanyak RM112,500.00 sebagai wang pendahuluan. Defendan Kedua tidak menandatangani dokumen OTP tersebut.
10
Walaupun demikian, Plaintif mendakwa bahawa beliau telah menandatangani OTP tersebut dan telah membuat bayaran deposit sebagaimana yang dinyatakan di dalam dokumen tersebut. Berdasarkan transaksi tersebut, Plaintif kemudiannya memfailkan tindakan ini bagi mendapatkan remedi ‘specific performance’ bagi memaksa penjualan hartanah tersebut menurut terma-terma yang didakwa tekandung dalam OTP tersebut.
11
Dalam perkembangan prosiding seterusnya, Defendan Kedua telah memfailkan suatu permohonan untuk membatalkan tuntutan Plaintif terhadap beliau melalui Lampiran 15, dengan alasan bahawa beliau tidak pernah memberi persetujuan terhadap OTP tersebut dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai transaksi tersebut. Mahkamah ini pada 28.11.2025 telah membenarkan Permohonan Defendan Kedua di Lampiran 15 tersebut dan pihak Plaintif telah merayu terhadap keputusan tersebut melalui Notis Rayuan bertarikh 26.12.2025 dan kes masih belum di diputuskan di Mahkamah Rayuan. Berikutan dakwaan tersebut, Plaintif kemudiannya memfailkan permohonan di Lampiran 18 untuk meminda pliding beliau.
12
Melalui pindaan tersebut, Plaintif berhasrat untuk memperkenalkan dakwaan bahawa Defendan Pertama telah membuat salah nyata berhubung kuasa beliau untuk menjual hartanah tersebut. Plaintif juga berhasrat untuk memasukkan tuntutan alternatif bagi ganti rugi sekiranya Mahkamah tidak memberikan perintah ‘specific performance’.
13
Permohonan tersebut telah dibantah oleh Defendan atas pelbagai alasan termasuk bahawa pindaan yang dicadangkan akan mengubah sifat tindakan asal. HUJAHAN PIHAK-PIHAK Hujahan Plaintif 14. Pihak Plaintif berhujah bahawa pindaan yang dicadangkan adalah perlu bagi memastikan semua isu sebenar antara pihak-pihak dapat diputuskan secara menyeluruh oleh Mahkamah.
15
Plaintif menyatakan bahawa permohonan pindaan tersebut dibuat berikutan dakwaan Defendan Kedua bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung pelaksanaan OTP tersebut. Menurut Plaintif, sekiranya dakwaan Defendan Kedua tersebut diterima oleh Mahkamah, maka implikasinya adalah bahawa Defendan Pertama telah membuat salah nyata berhubung kuasa beliau untuk mengikat kedua-dua pemilik hartanah tersebut.
16
Oleh yang demikian, Plaintif berhujah bahawa pindaan tersebut adalah perlu bagi memasukkan butiran berhubung ‘fraudulent misrepresentation’ atau ‘negligent misrepresentation’ oleh Defendan Pertama. Plaintif juga berhujah bahawa pindaan tersebut tidak akan menyebabkan sebarang prejudis kepada pihak Defendan.
17
Ini kerana prosiding tindakan ini masih berada pada peringkat awal dan perbicaraan penuh masih belum ditetapkan. Plaintif selanjutnya berhujah bahawa pihak Defendan masih mempunyai peluang untuk memfailkan pembelaan yang dipinda sekiranya pindaan tersebut dibenarkan. Oleh yang demikian, Plaintif berhujah bahawa permohonan pindaan ini wajar dibenarkan demi memastikan keadilan substantif antara pihak-pihak.
18
Pihak Defendan pula membantah permohonan tersebut dengan tegas. Defendan berhujah bahawa pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif bukan sekadar pindaan teknikal atau pembetulan fakta. Sebaliknya, pindaan tersebut bertujuan untuk mengubah sepenuhnya asas dan karakter tindakan ini. Menurut Defendan, tindakan asal Plaintif adalah berasaskan suatu tuntutan kontrak yang berpunca daripada dokumen OTP. Namun demikian, melalui pindaan yang dicadangkan, Plaintif kini cuba memperkenalkan suatu tuntutan baharu berasaskan ‘tort misrepresentation’.
19
Defendan berhujah bahawa perubahan sedemikian merupakan suatu perubahan yang penting dan asas terhadap sifat tindakan ini. Selain itu, Defendan juga berhujah bahawa permohonan pindaan tersebut sebenarnya merupakan suatu percubaan taktikal oleh Plaintif untuk memperbaiki kelemahan kesnya. Hal ini dikatakan berlaku selepas Defendan Kedua memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan terhadap beliau.
20
Defendan berhujah bahawa pendekatan sedemikian merupakan suatu bentuk ‘abuse of process’. Defendan juga berhujah bahawa pindaan tersebut akan menyebabkan prejudis yang serius kepada mereka. Ini kerana pindaan tersebut akan memaksa mereka untuk menyediakan pembelaan terhadap suatu tuntutan baharu yang tidak pernah diplidkan sebelum ini. Oleh yang demikian, Defendan berhujah bahawa permohonan pindaan ini wajar ditolak dengan kos.
21
Setelah meneliti permohonan di Lampiran 18, afidavit-afidavit yang difailkan serta hujahan bertulis pihak-pihak, Mahkamah berpendapat bahawa pertikaian sebenar dalam permohonan ini dapat dirumuskan kepada tiga isu utama. Isu-isu tersebut adalah seperti berikut:
i
Sama ada pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif merupakan suatu pindaan yang dibenarkan di bawah Aturan 20 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 atau sama ada pindaan tersebut sebenarnya memperkenalkan suatu kausa tindakan baharu yang mengubah sifat dan asas saman asal.
II
(ii) Sama ada permohonan pindaan tersebut dibuat secara ‘bona fide’ bagi tujuan memperjelaskan isu sebenar antara pihak-pihak atau sebaliknya merupakan suatu percubaan taktikal untuk memperbaiki kelemahan kes Plaintif selepas pembelaan Defendan didedahkan.
III
(iii) Sama ada pindaan yang dicadangkan akan menyebabkan prejudis kepada pihak Defendan yang tidak boleh dipulihkan melalui anugerah kos.
22
Mahkamah akan kini meneliti setiap isu tersebut secara terperinci berdasarkan fakta kes ini, prinsip undang-undang yang terpakai serta autoriti kes yang dirujuk oleh pihak-pihak. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu (i) - Sama ada pindaan yang dicadangkan merupakan pindaan yang dibenarkan di bawah Aturan 20 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 atau sama ada ia memperkenalkan kausa tindakan baharu yang mengubah sifat saman asal
23
Mahkamah akan terlebih dahulu meneliti kerangka undang-undang yang mengawal pindaan pliding di bawah Aturan 20 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Peruntukan tersebut memperuntukkan bahawa Mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk membenarkan pindaan kepada mana-mana pliding pada mana-mana peringkat prosiding sekiranya pindaan tersebut perlu bagi memastikan semua persoalan sebenar antara pihak-pihak dapat diputuskan dengan adil.
24
Prinsip ini merupakan prinsip yang telah lama diterima dalam undang-undang prosedur sivil. Walau bagaimanapun, kuasa tersebut bukanlah suatu kuasa yang tidak terbatas. Budi bicara Mahkamah hendaklah dilaksanakan selaras dengan prinsip keadilan prosedur serta kepentingan untuk mengekalkan integriti proses litigasi.
25
Antara batasan utama yang telah lama diterima dalam undang-undang ialah bahawa pindaan tidak boleh dibenarkan sekiranya pindaan tersebut membawa kesan mengubah sifat atau karakter asas tindakan. Prinsip ini telah dihuraikan dengan jelas dalam kes Hock Hua Bank Bhd v Leong Yew Chin [1987] 1 MLJ 230. Dalam kes tersebut, Mahkamah menegaskan bahawa pindaan boleh dibenarkan bagi memastikan isu sebenar antara pihak-pihak dapat diputuskan, namun pindaan tidak boleh digunakan untuk memperkenalkan suatu kausa tindakan yang sama sekali baharu. Mahkamah dalam kes tersebut juga menegaskan bahawa tujuan pindaan bukanlah untuk membolehkan suatu pihak membina semula kesnya selepas melihat pembelaan pihak lawan.
26
Prinsip yang sama turut dihuraikan dalam kes Yew Wan Leong v Lai Kok Chye [1990] 2 MLJ 152. Dalam kes tersebut, Mahkamah menegaskan bahawa pindaan yang mengubah asas tindakan secara radikal tidak boleh dibenarkan kerana ia akan menjejaskan keadilan prosiding.
27
Mahkamah turut mengambil kira autoriti yang lebih terkini yang dirujuk oleh Defendan iaitu kes Chuah Eng Chang @ Chuah Eng Chong v Paya Trubong Estate Sdn Bhd & Anor [2024] 12 MLJ 347. Dalam kes tersebut, Mahkamah menolak permohonan pindaan kerana pindaan yang dicadangkan telah mengubah kausa tindakan asal kepada suatu tuntutan yang berbeza secara asas. Mahkamah dalam kes tersebut menegaskan bahawa pindaan tidak boleh dibenarkan sekiranya ia membawa kepada perubahan karakter tuntutan yang asal. Mahkamah dalam kes tersebut juga mendapati bahawa pindaan yang memperkenalkan dakwaan baharu terhadap defendan yang tidak pernah diplidkan sebelum ini boleh menyebabkan ketidakadilan kepada pihak lawan.
28
Prinsip tersebut amat relevan dalam kes di hadapan Mahkamah ini. Berdasarkan penelitian Mahkamah terhadap pliding asal Plaintif, tindakan ini pada asasnya merupakan suatu tuntutan kontraktual yang berpaksikan kepada dokumen ‘Option to Purchase’ (OTP). Remedi utama yang dipohon oleh Plaintif dalam tindakan asal adalah suatu perintah ‘specific performance’ bagi memaksa penjualan hartanah tersebut.
29
Walau bagaimanapun, melalui pindaan yang dicadangkan, Plaintif kini berhasrat untuk memperkenalkan dakwaan bahawa Defendan Pertama telah membuat ‘fraudulent misrepresentation’ atau ‘negligent misrepresentation’ berhubung kuasa beliau untuk mengikat kedua-dua pemilik hartanah tersebut. Pindaan tersebut pada hakikatnya memperkenalkan suatu asas liabiliti yang berbeza daripada tuntutan asal.
30
Tuntutan kontrak dan tuntutan ‘misrepresentation’ adalah dua kausa tindakan yang berbeza dari segi elemen undang-undangnya. Bagi suatu tuntutan ‘misrepresentation’, Plaintif perlu membuktikan antara lain bahawa suatu representasi telah dibuat, bahawa representasi tersebut adalah tidak benar, bahawa Plaintif telah bergantung kepada representasi tersebut dan bahawa kerugian telah ditanggung akibat pergantungan tersebut.
31
Elemen-elemen tersebut tidak pernah menjadi asas tuntutan dalam pliding asal Plaintif. Dengan kata lain, pindaan yang dicadangkan bukan sekadar memperincikan fakta yang telah diplidkan. Sebaliknya, ia memperkenalkan suatu teori liabiliti yang berbeza daripada asas tindakan asal.
32
Mahkamah mendapati bahawa perubahan sedemikian membawa kesan mengubah sifat tindakan ini daripada suatu tuntutan kontraktual kepada suatu tuntutan tort. Berdasarkan prinsip undang-undang yang telah dihuraikan dalam autoriti yang dirujuk, Mahkamah berpendapat bahawa perubahan sedemikian tidak boleh dianggap sebagai suatu pindaan yang dibenarkan di bawah Aturan 20 Kaedah 5 KKM 2012. Sebaliknya, ia merupakan suatu perubahan fundamental terhadap karakter tindakan ini. Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa faktor ini merupakan suatu pertimbangan yang kuat terhadap penolakan permohonan pindaan ini. Isu (ii) : Sama ada permohonan pindaan dibuat secara ‘bona fide’ atau merupakan percubaan taktikal untuk memperbaiki kelemahan kes Plaintif 33. Mahkamah seterusnya meneliti persoalan sama ada permohonan pindaan ini dibuat secara ‘bona fide’. Pihak Defendan berhujah bahawa permohonan pindaan ini merupakan suatu langkah taktikal oleh Plaintif selepas Defendan Kedua memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan terhadap beliau.
34
Berdasarkan rekod prosiding, Defendan Kedua telah menyatakan bahawa beliau tidak pernah memberi persetujuan kepada Defendan Pertama untuk menjual hartanah tersebut. Berikutan daripada dakwaan tersebut, Plaintif kemudiannya memfailkan permohonan pindaan untuk memasukkan dakwaan salah nyata terhadap Defendan Pertama.
35
Mahkamah mendapati bahawa kronologi ini adalah signifikan. Ia menunjukkan bahawa pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif hanya timbul selepas pembelaan Defendan Kedua didedahkan. Prinsip undang-undang mengenai perkara ini telah dihuraikan dalam kes Chuah Eng Chang (supra). Dalam kes tersebut, Mahkamah menegaskan bahawa pindaan tidak boleh digunakan sebagai suatu strategi untuk menambah kausa tindakan selepas pihak lawan mendedahkan pembelaannya. Mahkamah dalam kes tersebut menyatakan bahawa situasi sedemikian boleh dianggap sebagai suatu bentuk ‘abuse of process’.
36
Prinsip ini bertujuan untuk memastikan bahawa proses litigasi dijalankan secara adil dan teratur. Sekiranya suatu pihak dibenarkan untuk menukar asas kesnya setiap kali pembelaan pihak lawan didedahkan, maka proses litigasi akan menjadi tidak menentu.
37
Dalam kes ini, Mahkamah mendapati bahawa pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif mempunyai ciri-ciri suatu percubaan untuk menyesuaikan kes Plaintif selepas melihat pembelaan Defendan. Pindaan tersebut dilihat sebagai suatu percubaan untuk mengatasi kesukaran yang dihadapi oleh Plaintif akibat pembelaan Defendan Kedua.
38
Mahkamah berpendapat bahawa pendekatan sedemikian tidak selaras dengan prinsip keadilan prosedur. Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa faktor ‘bona fide’ juga memihak kepada penolakan permohonan pindaan ini. Isu (iii) : Sama ada pindaan tersebut akan menyebabkan prejudis kepada Defendan yang tidak boleh dipulihkan melalui kos 39. Mahkamah seterusnya meneliti persoalan sama ada pindaan yang dicadangkan akan menyebabkan prejudis kepada pihak Defendan. Prinsip umum undang-undang menyatakan bahawa pindaan boleh dibenarkan sekiranya sebarang prejudis kepada pihak lawan boleh dipulihkan melalui kos. Walau bagaimanapun, sekiranya prejudis tersebut tidak boleh dipulihkan melalui kos, Mahkamah tidak seharusnya membenarkan pindaan tersebut.
40
Dalam kes Mah Sing Properties Sdn Bhd v SG Prestige Sdn Bhd [2021] 8 MLJ 607, Mahkamah menegaskan bahawa pindaan tidak boleh dibenarkan sekiranya ia akan menjejaskan hak prosedural pihak lawan secara material. Mahkamah dalam kes tersebut menekankan bahawa kepentingan keadilan prosedur hendaklah sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam menentukan permohonan pindaan pliding.
41
Dalam kes ini, Defendan berhujah bahawa pindaan yang dicadangkan akan memaksa mereka untuk menyediakan pembelaan terhadap suatu tuntutan baharu yang tidak pernah diplidkan sebelum ini. Mahkamah bersetuju bahawa dakwaan ‘misrepresentation’ memperkenalkan elemen undang-undang yang berbeza daripada tuntutan kontrak. Oleh yang demikian, membenarkan pindaan tersebut akan memaksa Defendan untuk mengubah strategi pembelaan mereka secara menyeluruh.
42
Mahkamah mendapati bahawa keadaan sedemikian boleh menyebabkan prejudis yang serius kepada Defendan. Tambahan pula, pindaan tersebut dicadangkan selepas pliding telah difailkan dan struktur pertikaian antara pihak-pihak telah ditetapkan. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah berpendapat bahawa prejudis yang timbul tidak boleh dipulihkan semata-mata melalui anugerah kos. Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa faktor prejudis juga menyokong penolakan permohonan pindaan ini.
43
Setelah meneliti keseluruhan rekod prosiding, afidavit-afidavit yang difailkan oleh pihak-pihak serta hujahan bertulis yang dikemukakan, Mahkamah berpendapat bahawa permohonan pindaan yang dikemukakan oleh Plaintif melalui Lampiran 18 tidak memenuhi prinsip-prinsip undang-undang yang mengawal pindaan pliding di bawah Aturan 20 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Walaupun benar bahawa Mahkamah mempunyai kuasa budi bicara yang luas untuk membenarkan pindaan pliding pada mana-mana peringkat prosiding, kuasa tersebut tidak boleh dilaksanakan secara mekanikal tanpa mempertimbangkan kesan sebenar pindaan tersebut terhadap struktur tindakan yang sedang berjalan.
44
Dalam menilai permohonan ini, Mahkamah mendapati bahawa pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif bukan sekadar bertujuan memperincikan fakta sedia ada dalam pliding asal. Sebaliknya, pindaan tersebut memperkenalkan suatu asas liabiliti yang berbeza sama sekali daripada asas tindakan asal yang telah diplidkan oleh Plaintif. Tindakan asal Plaintif adalah berpaksikan kepada suatu tuntutan kontraktual berasaskan dokumen OTP, dengan remedi utama yang dipohon ialah perintah ‘specific performance’ terhadap hartanah yang menjadi subjek pertikaian ini.
45
Namun demikian, pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif kini memperkenalkan dakwaan bahawa Defendan Pertama telah membuat ‘fraudulent misrepresentation’ atau ‘negligent misrepresentation’ berhubung kuasa beliau untuk menjual hartanah tersebut. Mahkamah berpendapat bahawa dakwaan sedemikian memperkenalkan suatu teori liabiliti yang berbeza daripada tuntutan kontrak asal.
46
Seperti yang telah dihuraikan dalam autoriti yang dirujuk oleh pihak-pihak, khususnya dalam kes Hock Hua Bank Bhd (supra, pindaan yang mengubah asas tindakan secara fundamental tidak boleh dibenarkan.
47
Prinsip yang sama turut ditegaskan dalam kes Yew Wan Leong (supra), di mana Mahkamah menegaskan bahawa pindaan tidak boleh digunakan untuk memperkenalkan kausa tindakan baharu yang berbeza daripada asas tindakan asal. Mahkamah juga mengambil kira autoriti yang lebih terkini yang dirujuk oleh pihak-pihak iaitu Chuah Eng Chang (supra), yang menegaskan bahawa pindaan tidak boleh dibenarkan sekiranya ia membawa kepada perubahan karakter tindakan secara radikal.
48
Berdasarkan prinsip-prinsip tersebut, Mahkamah mendapati bahawa pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif dalam kes ini bukan sekadar suatu pindaan teknikal tetapi merupakan suatu perubahan fundamental terhadap karakter tindakan ini. Selain itu, Mahkamah juga mendapati bahawa kronologi pemfailan permohonan pindaan ini menimbulkan persoalan serius berhubung ‘bona fide’ permohonan tersebut.
49
Permohonan pindaan ini hanya difailkan selepas Defendan Kedua menafikan sebarang penglibatan dalam dokumen OTP dan memfailkan permohonan untuk membatalkan tindakan terhadap beliau. Mahkamah berpendapat bahawa keadaan ini menunjukkan bahawa pindaan tersebut timbul sebagai tindak balas kepada pembelaan Defendan Kedua.
50
Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah mendapati bahawa pindaan tersebut mempunyai ciri-ciri suatu percubaan taktikal untuk memperbaiki kelemahan kes Plaintif selepas pembelaan pihak lawan didedahkan. Pendekatan sedemikian tidak selaras dengan prinsip keadilan prosedur yang mengawal proses litigasi. Mahkamah juga mendapati bahawa membenarkan pindaan tersebut akan menyebabkan prejudis yang serius kepada pihak Defendan.
51
Hal ini kerana dakwaan ‘misrepresentation’ memperkenalkan elemen undang-undang yang berbeza daripada tuntutan kontrak asal. Dengan kata lain, Defendan akan dipaksa untuk menyediakan pembelaan terhadap suatu tuntutan baharu yang tidak pernah diplidkan sebelum ini. Mahkamah berpendapat bahawa keadaan sedemikian akan menjejaskan hak prosedural Defendan secara material.
52
Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah mendapati bahawa sebarang prejudis yang timbul tidak boleh dipulihkan semata-mata melalui anugerah kos. Oleh yang demikian, setelah mempertimbangkan keseluruhan keadaan kes ini, Mahkamah berpendapat bahawa permohonan pindaan ini tidak wajar dibenarkan.
53
Berdasarkan analisis dan dapatan yang telah dihuraikan di atas, Mahkamah merumuskan dapatan Mahkamah seperti berikut.
54
Pertama, Mahkamah mendapati bahawa pindaan yang dicadangkan oleh Plaintif memperkenalkan suatu kausa tindakan yang berbeza daripada asas tindakan asal yang diplidkan dalam Writ Saman dan Penyata Tuntutan.
55
Kedua, Mahkamah mendapati bahawa pindaan tersebut membawa kesan mengubah sifat dan karakter tindakan ini daripada suatu tuntutan kontraktual kepada suatu tuntutan berasaskan tort salah nyata.
56
Ketiga, Mahkamah mendapati bahawa permohonan pindaan tersebut tidak difailkan secara ‘bona fide’ tetapi merupakan suatu percubaan untuk menyesuaikan kes Plaintif selepas pembelaan Defendan didedahkan.
57
Keempat, Mahkamah mendapati bahawa membenarkan pindaan tersebut akan menyebabkan prejudis yang serius kepada pihak Defendan yang tidak boleh dipulihkan melalui anugerah kos.
58
Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah berpendapat bahawa permohonan pindaan yang dikemukakan oleh Plaintif tidak memenuhi prinsip-prinsip undang-undang yang mengawal pindaan pliding di bawah Aturan 20 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Oleh yang demikian, Mahkamah memutuskan bahawa permohonan Plaintif untuk meminda Writ Saman Terpinda dan Penyata Tuntutan Terpinda melalui
Lampiran
Lampiran 18 hendaklah ditolak. 59. Sehubungan itu, Mahkamah membuat perintah seperti berikut: (i) Permohonan Plaintif melalui Lampiran 18 untuk meminda Writ Saman Terpinda dan Penyata Tuntutan Terpinda adalah DITOLAK. (ii) Kos permohonan ini adalah kos dalam kausa. BERTARIKH: 13 APRIL 2026 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Plaintif G.K Sritharan Tetuan G.K Sritharan & Co Johor Bahru Peguam Bagi Pihak Defendan YM Chai Bersama RK Menon Tetuan RK Menon & Co Johor Bahru
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.