anggapan inferens bertentangan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan hendaklah dibangkitkan terhadap pihak pendakwaan. [11] Keempat, berdasarkan keterangan SP1, SP3 dan SP4 yang konsisten dan saling menyokong antara satu sama lain, Mahkamah ini mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tidak wujud kelompangan dalam rantaian keterangan berkaitan dengan pengendalian barang kes dadah dalam kes ini. Berdasarkan keterangan saksi-saksi tersebut, pihak pendakwaan berjaya membuktikan secara prima facie bahawa rantaian keterangan barang kes dadah tersebut adalah tidak terjejas (intact) dan tidak terputus sejak ia mula dirampas oleh SP3 di tempat kejadian dan kemudiannya diserahkan kepada SP4 sebagai Pegawai Penyiasat dan seterusnya diserahkan kepada SP1 sebagai Ahli Kimia untuk dianalisis. [12] Kelima, berdasarkan Nota Keterangan dan Alasan Penghakiman HMS, Mahkamah ini mendapati HMS tidak tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan wujudnya suatu kes prima facie terhadap Tertuduh Pertama pada akhir kes pendakwaan dan wujudnya suatu kes tanpa sebarang keraguan yang munasabah terhadap Tertuduh Pertama pada akhir kes. Oleh itu, sabitan ke atas Tertuduh Pertama adalah selamat dan tiada alasan untuk Mahkamah ini mengubah dan mengetepikan dapatan dan keputusan HMS tersebut. [13] Keenam, mengenai isu terdapat perbezaan pada nama Tertuduh Pertama dalam laporan maklumat pertama (FIR) pengadu Simpang Empat Report 1020/21 di bahagian butir-butir pemeriksaan dan butir-butir tangkapan serta kertas pertuduhan, Mahkamah ini bersetuju sepenuhnya dengan dapatan HMS bahawa – “26. Berkenaan dengan hujahan pihak pembelaan terhadap kesilapan nama pada OKT1, mahkamah ini memutuskan bahawa hujahan tersebut adalah tidak bermerit. Hal ini kerana pada laporan polis tersebut walaupun terdapat sedikit perbezaan nama pada OKT1 iaitu di butiran tangkapan dan orang yang diperiksa, nombor kad pengenalan OKT1 adalah sama, iaitu 961114-09-5195 di dalam laporan polis P17. Nombor kad pengenalan yang dinyatakan pada OKT1 di dalam kertas pertuduhan juga sama. Ini bermakna ianya merujuk kepada orang yang sama. Hal ini kerana nombor kad pengenalan ini mempunyai ciri-ciri unik yang tersendiri. Adalah satu judicial notice bahawa tidak ada mana-mana warganegara Malaysia yang akan mempunyai nombor kad pengenalan yang sama waima kembar sekali pun.”. [14] Ketujuh, mengenai isu tiada sijil kalibrasi dikemukakan oleh SP1 bagi membuktikan alat timbang yang digunakan untuk menganalisis barang kes dadah tersebut telah dikalibrasi, Mahkamah ini berpendapat bahawa ia tidak menjejaskan kes pendakwaan kerana melalui keterangan SP1, SP1 berjaya membuktikan secara prima facie bahawa alat timbang tersebut berada dalam keadaan baik semasa digunakan untuk menganalisis barang kes dadah tersebut. Selain itu, tiada apa-apa bukti atau tanda beti (incriminating evidence) yang menunjukkan bahawa alat timbang tersebut berada dalam keadaan rosak dan tidak boleh digunakan semasa SP1 menggunakan alat timbang itu untuk menganalisis barang kes dadah tersebut. [15] Kelapan, mengenai isu bahawa pihak polis tidak membuat ujian cap jari (fingerprint dusting) pada beg silang berwarna hitam jenama Vans tersebut dan ujian acu pakai (fitting test) beg silang berwarna hitam jenama Vans tersebut terhadap Tertuduh Pertama, Mahkamah ini berpendapat bahawa ketiadaan ujian cap jari dan acu pakai tersebut tidak menjejaskan kes pendakwaan. Dalam perkara ini, adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa –