Content
CA-42JSKS-4-04/2024 Kand. 34 03/06/2026 12:51:47 RAYUAN JENAYAH NO. : CA-42JSKS-3-04 TAHUN 2024 MOHAMAD AMIRZAKI BIN ZULKEPLY (NO. K/P:900123-03-5603) RAYUAN JENAYAH NO. : CA-42JSKS-4-04 TAHUN 2024 MUHAMAD ALWI BIN WAHAB (NO. K/P:880327-29-5129) RAYUAN JENAYAH NO. : CA-42JSKS-5-04 TAHUN 2024 MUHAMAD ALWI BIN WAHAB (NO. K/P:880327-29-5129) ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Perayu-perayu, iaitu MUHAMAD ALWI BIN WAHAB ("Perayu Alwi"), MOHAMAD AMIRZAKI BIN ZULKEPLY ("Perayu Amirzaki") dan seorang lagi bernama Rosmawi, telah dituduh dan dibicarakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kuantan atas beberapa pertuduhan seksual yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang sama ("mangsa"). [2] Perayu-Alwi merupakan bapa saudara kepada mangsa melalui perkahwinan adik kepada ibu mangsa dengan Perayu-Alwi. Rosmawi pula merupakan bapa tiri mangsa melalui perkahwinannya dengan ibu mangsa, manakala Perayu-Amirzaki ialah biras kepada Perayu-Alwi. Kes di Mahkamah Sesyen [3] Di Mahkamah Sesyen, Perayu-Alwi telah dituduh dalam dua kes yang berasingan. Dalam kes pertama, iaitu Kes No. CA-62JSK- 88-12/2021 ("Kes No. 88"), beliau menghadapi tiga pertuduhan, masing-masing dua pertuduhan di bawah seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan di bawah seksyen 377C Kanun Keseksaan. [4] Dalam kes kedua, iaitu Kes No. CA-62JSK-89-12/2021 ("Kes No.89”), Perayu-Alwi dituduh dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 ("AKSKK"). [5] Perayu-Amirzaki dan Rosmawi pula masing-masing telah dituduh dengan satu pertuduhan di bawah AKSKK melalui Kes No. CA-62JSK-91-12/2021 bagi Perayu-Amirzaki dan Kes No. CA-62JSK-90-12/2021 bagi Rosmawi. [6] Di akhir kes pembelaan, Hakim Perbicaraan telah mensabitkan Perayu-Alwi bagi pertuduhan pertama dalam Kes No. 88 tetapi melepaskan dan membebaskan beliau daripada dua lagi pertuduhan yang lain. Perayu-Alwi juga disabitkan bersalah bagi pertuduhan dalam Kes No. 89. Sementara itu, Perayu-Amirzaki dan Rosmawi turut disabitkan bersalah atas pertuduhan masing-masing. [7] Bagi kesalahan di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan, Perayu-Alwi telah dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun dan tiga sebatan. Bagi kesalahan di bawah seksyen 14(a) AKSKK pula, Hakim Perbicaraan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan dua sebatan terhadap Perayu-Alwi. Perayu-Amirzaki dan Rosmawi pula masing-masing telah dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan dua sebatan bagi kesalahan masing-masing. [8] Terkilan dengan keputusan tersebut, Perayu-Alwi, Perayu-Amirzaki dan Rosmawi telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah ini. Pihak Pendakwaan pula memfailkan rayuan balas terhadap keputusan Hakim Perbicaraan yang melepaskan dan membebaskan Perayu-Alwi daripada pertuduhan kedua dan ketiga dalam Kes No. 88, selain turut merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Perbicaraan dalam kes-kes berkenaan. Kes di Mahkamah Tinggi [9] Mahkamah ini telah mendengar kesemua rayuan tersebut secara bersama memandangkan terdapat pertindihan fakta, saksi serta isu undang-undang yang berkait rapat, khususnya kerana kesemua kes melibatkan mangsa yang sama. Walau bagaimanapun, setiap rayuan tetap dinilai secara berasingan berdasarkan pertuduhan dan keterangan yang khusus kepada setiap perayu. [10] Memandangkan perbicaraan di mahkamah sesyen telah dijalankan secara berasingan, nombor rujukan saksi Pendakwaan adalah berbeza mengikut rekod perbicaraan masing-masing. Bagi mengelakkan kekeliruan, Mahkamah ini akan merujuk kanak-kanak tersebut secara umum sebagai "mangsa" sahaja, kecuali jika konteks memerlukan rujukan khusus kepada nombor saksi dalam sesuatu kes tertentu. [11] Pada hari yang ditetapkan untuk penyampaian keputusan, Rosmawi telah gagal hadir ke Mahkamah dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap beliau. Sehubungan itu, keputusan bagi rayuan Rosmawi telah ditangguhkan ke suatu tarikh lain. [12] Mahkamah ini kemudiannya telah menyampaikan keputusan berhubung rayuan Perayu-Alwi dan Perayu-Amirzaki serta rayuan balas pihak pendakwaan terhadap mereka sahaja. Sehubungan itu, alasan penghakiman ini hanya menyentuh berkaitan rayuan Alwi dan Amirzaki serta rayuan balas pihak Pendakwaan yang berkaitan sahaja. Prinsip Undang-Undang yang relevan [13] Adalah prinsip undang-undang yang mantap bahawa mahkamah di peringkat rayuan hendaklah berhati-hati sebelum mengganggu dapatan fakta oleh mahkamah perbicaraan, khususnya yang melibatkan penilaian kredibiliti saksi dan pemerhatian terhadap demeanour saksi semasa memberikan keterangan. [14] Dalam kes Herchun Singh v Public Prosecutor [1969] CLJU 52, Mahkamah Persekutuan menyatakan: "An appellate court should be slow in disturbing such finding of fact arrived at by the judge, who had the advantage of seeing and hearing the witness, unless there are substantial and compelling reasons for disagreeing with the finding." [15] Prinsip tersebut amat relevan dalam kesalahan seksual yang banyak bergantung kepada penilaian terhadap kredibiliti mangsa serta konsistensi keterangannya secara keseluruhan. [16] Mahkamah juga menerima prinsip bahawa sabitan dalam kesalahan seksual boleh direkodkan berdasarkan keterangan mangsa semata-mata sekiranya Mahkamah mendapati keterangan tersebut adalah "unusually convincing". [17] Selain itu, setiap pertuduhan jenayah hendaklah dinilai berdasarkan fakta dan keterangan yang khusus kepada pertuduhan tersebut. Kewujudan keraguan munasabah bagi sesuatu pertuduhan tidak secara automatik menjejaskan keseluruhan kredibiliti seseorang saksi bagi semua pertuduhan lain. Isu-isu untuk diputuskan [18] Berdasarkan petisyen rayuan, rekod rayuan, alasan penghakiman Mahkamah Sesyen serta hujahan pihak-pihak, Mahkamah ini merumuskan isu-isu berikut untuk diputuskan: i. Sama ada Hakim Perbicaraan telah tersalah arah dalam menilai kredibiliti mangsa; ii. Sama ada terdapat kelemahan material dalam siasatan atau percanggahan keterangan yang menjejaskan keseluruhan kes pendakwaan; iii. Sama ada pembelaan perayu-perayu berjaya menimbulkan keraguan munasabah; dan iv. Sama ada sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Perbicaraan adalah selamat dan wajar dikekalkan. Analisa dan Dapatan Penilaian Mahkamah terhadap Kredibiliti Mangsa [19] Memandangkan ketiga-tiga rayuan di hadapan Mahkamah ini melibatkan mangsa yang sama, Mahkamah berpendapat adalah wajar isu berkaitan kredibiliti mangsa dinilai terlebih dahulu secara menyeluruh sebelum Mahkamah ini meneliti pertuduhan pertuduhan secara tersendiri (individualised). [20] Setelah meneliti keseluruhan rekod rayuan, Mahkamah ini mendapati bahawa Hakim Perbicaraan telah mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam menilai keterangan mangsa selaras dengan prinsip undang-undang berkaitan kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak. [21] Rekod rayuan menunjukkan bahawa mangsa memberikan keterangan secara jelas, terperinci dan konsisten mengenai kejadian dan perbuatan yang melibatkan perayu-perayu. [22] Hakim Perbicaraan turut mengambil kira demeanour mangsa semasa memberikan keterangan termasuk keadaan di mana mangsa menangis semasa sesi pengecaman dan semasa memberikan keterangan sehingga pemeriksaan balas terpaksa ditangguhkan akibat gangguan emosi mangsa. [23] Hakim Perbicaraan juga mendapati bahawa reaksi emosi mangsa adalah selari dengan trauma yang dialaminya serta konsisten dengan naratif kejadian yang diberikan sepanjang perbicaraan. [24] Selain itu, naratif mangsa dari segi kronologi dan latar belakang kejadian turut disokong oleh saksi-saksi lain walaupun mereka tidak semestinya menyaksikan perlakuan seksual tersebut secara langsung. [25] Oleh itu, Mahkamah ini tidak mendapati bahawa dapatan Hakim Perbicaraan bahawa mangsa adalah seorang saksi yang boleh berkredibiliti dan unusually convincing merupakan suatu dapatan yang tidak selamat atau bertentangan dengan berat keterangan. [26] Sebaliknya, dapatan tersebut dibuat setelah Hakim Perbicaraan berpeluang melihat sendiri demeanour mangsa semasa memberikan keterangan serta setelah mengambil kira keseluruhan pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula. [27] Mahkamah ini juga mendapati bahawa keterangan mangsa kekal konsisten terhadap fakta-fakta material walaupun melalui pemeriksaan balas yang panjang dan mencabar. [28] Dengan latar belakang tersebut, Mahkamah ini tidak melihat sebarang asas yang kukuh untuk mengganggu dapatan umum Hakim Perbicaraan berhubung kredibiliti mangsa. Rayuan Alwi Kes No.88 [29] Mahkamah ini telah meneliti dengan cermat alasan penghakiman Hakim Perbicaraan serta keseluruhan rekod rayuan di dalam kes No. 88. [30] Pertamanya, Hakim Perbicaraan telah terlebih dahulu mengenal pasti intipati-intipati yang perlu dibuktikan sebelum menilai keseluruhan keterangan pendakwaan dan pembelaan secara menyeluruh. [31] Selaras dengan dapatan umum Mahkamah ini berhubung kredibiliti mangsa, Mahkamah ini tidak mendapati sebarang asas untuk mengganggu dapatan Hakim Perbicaraan bahawa mangsa merupakan seorang saksi yang boleh dipercayai. [32] Adalah signifikan untuk diambil perhatian bahawa Hakim Perbicaraan tidak mensabitkan Perayu-Alwi bagi kesemua pertuduhan. Sebaliknya, Hakim Perbicaraan telah melepaskan dan membebaskan Perayu-Alwi bagi pertuduhan kedua dan ketiga setelah mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut. [33] Pada hemat Mahkamah ini, ia jelas menunjukkan bahawa Hakim Perbicaraan telah menjalankan penilaian maksimum secara berhati-hati terhadap setiap pertuduhan secara tersendiri dan bukannya menerima keseluruhan kes pendakwaan secara pukul rata. [34] Walaubagaimanapun, bagi pertuduhan pertama, Hakim Perbicaraan mendapati bahawa elemen-elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah berdasarkan keterangan langsung mangsa yang kekal konsisten dan tidak tergugat secara material semasa pemeriksaan balas serta tidak terdapat keadaan atau keterangan lain yang membangkitkan keraguan munasabah sepertimana di dalam pertuduhan kedua dan ketiga. [35] Sehubungan itu, Mahkamah ini mendapati bahawa sabitan bagi pertuduhan pertama adalah selamat dan tiada asas untuk campur tangan rayuan. Kes No.89 [36] Mahkamah ini turut meneliti rayuan Perayu-Alwi berkaitan sabitan di bawah seksyen 14(a) AKSKK di dalam kes No. 89. [37] Hakim Perbicaraan telah mengenal pasti dengan jelas intipati kesalahan yang perlu dibuktikan iaitu bahawa mangsa adalah seorang kanak-kanak, bahawa Perayu-Alwi telah menyentuh bahagian badan mangsa dan bahawa sentuhan tersebut dibuat bagi maksud seksual. [38] Mahkamah ini tidak mendapati sebarang asas untuk mengganggu dapatan umum Hakim Perbicaraan berhubung kredibiliti mangsa sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini. [39] Hakim Perbicaraan mendapati bahawa mangsa telah memberikan keterangan secara jelas dan terperinci mengenai bagaimana kejadian berlaku termasuk tindakan Perayu-Alwi mencium bibir mangsa serta memegang dan memicit buah dada mangsa. [40] Setelah meneliti keseluruhan rekod rayuan, Mahkamah mendapati bahawa dapatan Hakim Perbicaraan bahawa elemen-elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah adalah selamat dan tidak bertentangan dengan berat keterangan. [41] Perayu-Alwi turut membangkitkan beberapa isu berkaitan ketidaktepatan rekod, kelemahan siasatan dan kesan pertindihan fakta antara kes-kes melibatkan Perayu-Alwi, Perayu Amirzaki dan Rosmawi. [42] Memandangkan isu-isu tersebut turut dibangkitkan di dalam rayuan Perayu-Amirzaki, Mahkamah akan menelitinya secara bersama di bawah tajuk berasingan kemudian. [43] Sehubungan itu, Mahkamah ini mendapati bahawa sabitan terhadap Perayu bagi pertuduhan di bawah seksyen 14(a) AKSKK juga adalah selamat dan wajar dikekalkan. Rayuan Amirzaki [44] Berhubung rayuan Amirzaki pula, Mahkamah mendapati bahawa Hakim Perbicaraan telah menjalankan penilaian yang teliti terhadap keseluruhan keterangan pendakwaan dan pembelaan sebelum mencapai dapatan sabitan terhadap Perayu. [45] Hakim Perbicaraan telah mengenal pasti dengan betul intipati intipati yang perlu dibuktikan di bawah seksyen 14(a) AKSKK. [46] Selaras dengan dapatan umum Mahkamah berhubung kredibiliti mangsa, Mahkamah ini tidak mendapati sebarang asas untuk mengganggu dapatan Hakim Perbicaraan bahawa mangsa merupakan seorang saksi yang berkredibiliti dan unusually convincing. [47] Hakim Perbicaraan mendapati bahawa mangsa telah memberikan keterangan secara jelas dan terperinci mengenai bagaimana perlakuan Perayu terhadap mangsa. [48] Setelah meneliti keseluruhan rekod rayuan, Mahkamah mendapati bahawa dapatan Mahkamah Perbicaraan bahawa elemen-elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah adalah selamat dan tidak bertentangan dengan berat keterangan. [49] Perayu-Amirzaki turut membangkitkan isu-isu yang sebahagian besarnya serupa dengan hujahan Perayu-Alwi khususnya berkaitan ketidaktepatan rekod, kelemahan siasatan dan kesan pertindihan fakta antara kes-kes berkaitan. [50] Mahkamah akan meneliti isu-isu tersebut secara bersama di bawah tajuk berasingan. [51] Sehubungan itu, Mahkamah ini mendapati bahawa sabitan terhadap Amirzaki juga adalah selamat dan tidak memerlukan campur tangan Mahkamah ini. Isu-Isu Bersama yang Dibangkitkan oleh Perayu-Perayu [52] Mahkamah mendapati bahawa terdapat beberapa isu bersama yang dibangkitkan oleh Perayu-Alwi dan Perayu-Amirzaki, khususnya berkaitan: i. ketidaktepatan tertentu dalam rekod rayuan dan alasan penghakiman; ii. pertindihan fakta dan saksi antara kes-kes melibatkan perayu-perayu dan Rosmawi; iii. kesan pelepasan Perayu-Alwi bagi pertuduhan tertentu terhadap kredibiliti mangsa; iv. dakwaan kelemahan siasatan pihak polis; dan v. dakwaan bahawa keseluruhan kes pendakwaan adalah tidak selamat. Ketidaktepatan tertentu dalam rekod rayuan dan alasan penghakiman [53] Pertama sekali, perayu-perayu menghujahkan bahawa rekod rayuan dan alasan penghakiman mengandungi beberapa ketidaktepatan termasuk rujukan nombor saksi dan susunan teknikal tertentu. [54] Walau bagaimanapun, Mahkamah mendapati bahawa ketidaktepatan tersebut tidak menyentuh intipati kes pendakwaan mahupun dapatan teras Hakim Perbicaraan terhadap kredibiliti mangsa dan pembuktian elemen-elemen pertuduhan. [55] Apabila alasan penghakiman dibaca secara keseluruhan bersama nota keterangan dan rekod rayuan, adalah jelas bahawa Hakim Perbicaraan memahami identiti saksi-saksi, pertuduhan yang dihadapi oleh setiap tertuduh serta isu-isu material yang perlu diputuskan. [56] Mahkamah berpendapat bahawa hujahan perayu-perayu lebih bersifat cubaan untuk menimbulkan keraguan teknikal terhadap rekod perbicaraan tanpa menunjukkan bagaimana ketidaktepatan tersebut telah secara material memprejudiskan pembelaan mereka. Pertindihan fakta dan saksi antara kes-kes melibatkan perayu-perayu dan Rosmawi [57] Keduanya, Perayu-perayu juga berhujah bahawa terdapat pertindihan fakta dan saksi antara kes-kes melibatkan PerayuPerayu dan Rosmawi. Pertindihan ini dikatakan mengaburi atau mengelirukan Hakim Perbicaraan dalam mencapai keputusan beliau. [58] Mahkamah ini menerima bahawa kes-kes tersebut mempunyai pertindihan fakta tertentu memandangkan kesemua kes melibatkan mangsa yang sama walaupun dibicarakan secara berasingan. [59] Mahkamah juga menerima bahawa terdapat keadaan di mana hujahan di akhir kes pendakwaan diarahkan difailkan secara serentak memandangkan pertindihan saksi dan latar belakang kejadian. [60] Walau bagaimanapun, Mahkamah ini mendapati setiap pertuduhan masih dibicarakan dan diputuskan secara berasingan berdasarkan keterangan yang khusus kepada pertuduhan tersebut. [61] Mahkamah tidak mendapati terdapat apa-apa salah arah fakta di pihak Hakim Perbicaraan dan oleh itu, Mahkamah ini tidak bersetuju dengan hujahan perayu-perayu. Kesan pelepasan Perayu-Alwi bagi pertuduhan tertentu terhadap kredibiliti mangsa [62] Seterusya, perayu-perayu juga berhujah bahawa oleh kerana Hakim Perbicaraan telah melepaskan dan membebaskan Perayu-Alwi bagi pertuduhan kedua dan ketiga dalam kes No. 88 di atas alasan keraguan terhadap keadaan tempat kejadian dan kelemahan siasatan, maka keseluruhan kredibiliti mangsa dan pegawai penyiasat turut menjadi tidak selamat untuk diterima. [63] Mahkamah ini tidak bersetuju dengan hujahan tersebut. [64] Adalah prinsip undang-undang yang mantap bahawa setiap pertuduhan jenayah hendaklah dinilai berdasarkan fakta dan keterangan yang khusus kepada pertuduhan tersebut. [65] Kewujudan keraguan munasabah bagi sesuatu pertuduhan tidak secara automatik menjadikan keseluruhan keterangan seseorang saksi tidak boleh dipercayai bagi semua pertuduhan lain. [66] Sebaliknya, Hakim Perbicaraan dalam kes-kes ini telah menunjukkan bahawa beliau menjalankan penilaian yang berhati-hati dan berasingan apabila membezakan antara pertuduhan yang berjaya dibuktikan dan pertuduhan yang gagal dibuktikan. [67] Pada hemat Mahkamah ini, pendekatan tersebut sebenarnya memperkukuhkan lagi keyakinan Mahkamah ini bahawa Hakim Perbicaraan tidak menerima keseluruhan kes pendakwaan secara in toto. Dakwaan kelemahan siasatan pihak polis; dan Dakwaan bahawa keseluruhan kes pendakwaan adalah tidak selamat [68] Perayu-Perayu turut menghujahkan bahawa siasatan pegawai penyiasat adalah lemah, tidak menyeluruh dan bersifat "janji siap". [69] Mahkamah ini juga tidak menerima hujahan tersebut. [70] Undang-undang adalah mantap bahawa sesuatu kes jenayah tidak semestinya gagal hanya kerana terdapat ruang untuk siasatan tambahan atau kerana tidak semua saksi yang berpotensi dipanggil memberi keterangan. [71] Apa yang penting ialah sama ada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan secara keseluruhannya berjaya membuktikan elemen-elemen pertuduhan melampaui keraguan munasabah. [72] Dalam kes-kes di hadapan Mahkamah ini, Hakim Perbicaraan telah menerima keterangan mangsa sebagai kredibel dan unusually convincing setelah melihat sendiri demeanour mangsa semasa memberikan keterangan. [73] Mahkamah mendapati bahawa hujahan Perayu-Perayu mengenai kelemahan siasatan, kegagalan memanggil saksi tertentu atau kegagalan mengemukakan bahan tertentu hanyalah bersifat spekulatif kerana tiada apa-apa keterangan positif dikemukakan bahawa bahan atau saksi tersebut sekiranya dipanggil akan secara material menjejaskan kes pendakwaan. [74] Sebaliknya, keseluruhan hujahan Perayu-Perayu lebih menjurus kepada cubaan menimbulkan kemungkinan teoritikal dan keraguan spekulatif semata-mata tanpa benar-benar menggugat keterangan langsung mangsa yang kekal konsisten sepanjang perbicaraan. [75] Sehubungan itu, Mahkamah mendapati bahawa isu-isu bersama yang dibangkitkan oleh Perayu-Perayu tidak menjejaskan keselamatan sabitan yang direkodkan oleh Hakim Perbicaraan. [76] Pada hemat Mahkamah ini, isu-isu bersama yang dibangkitkan oleh perayu-perayu pada asasnya merupakan percubaan untuk menggunakan kelemahan tertentu dalam sebahagian pertuduhan bagi menjejaskan keseluruhan kes pendakwaan yang lain. Penilaian Mahkamah terhadap Pembelaan Perayu-Perayu [77] Mahkamah ini seterusnya meneliti sama ada Hakim Perbicaraan telah tersalah arah apabila mendapati pembelaan Perayu-Alwi dan Perayu-Amirzaki hanyalah berbentuk penafian kosong yang gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. [78] Pada hemat Mahkamah ini, pembelaan perayu-perayu pada hakikatnya tidak pernah benar-benar mencabar intipati kes pendakwaan. Pembelaan tersebut sekadar menafikan kejadian berlaku tanpa mengemukakan naratif alternatif yang munasabah ataupun keterangan positif yang mampu menggugat kredibiliti mangsa yang telah diterima sebagai unusually convincing oleh Hakim Perbicaraan. [79] Pada asasnya, pembelaan kedua-dua perayu adalah bahawa kejadian-kejadian yang didakwa oleh mangsa tidak pernah berlaku dan bahawa mangsa telah mereka-reka tuduhan terhadap mereka. [80] Perayu-Perayu turut cuba mempertikaikan kebolehpercayaan mangsa melalui hujahan bahawa: i. kejadian dikatakan berlaku di kawasan rumah yang terbuka; ii. terdapat penghuni lain di rumah atau kawasan berhampiran; iii. tiada saksi bebas dipanggil menyokong kejadian; iv. siasatan polis dikatakan tidak lengkap; dan v. terdapat kelemahan atau ketidaktepatan tertentu dalam rekod perbicaraan. [81] Walau bagaimanapun, setelah meneliti keseluruhan rekod rayuan dan alasan penghakiman Hakim Perbicaraan, Mahkamah bersetuju dengan dapatan Hakim Perbicaraan bahawa pembelaan tersebut pada hakikatnya hanyalah berbentuk penafian semata-mata tanpa disokong oleh apa-apa keterangan positif yang benar-benar mampu menjejaskan intipati kes pendakwaan. [82] Mahkamah mendapati bahawa Perayu-Perayu gagal mengemukakan sebarang versi alternatif yang munasabah terhadap kejadian-kejadian yang didakwa selain sekadar menafikan bahawa kejadian tersebut pernah berlaku. [83] Malah, hujahan-hujahan yang dikemukakan lebih bersifat spekulatif dan teoritikal, khususnya berkaitan kemungkinan adanya individu lain di sekitar kawasan kejadian atau andaian bahawa kejadian tersebut mustahil berlaku disebabkan struktur rumah dan keadaan sekeliling. [84] Pada hemat Mahkamah ini, hujahan sedemikian tidak memadai untuk menolak keterangan langsung mangsa yang telah diterima oleh Hakim Perbicaraan sebagai konsisten, kredibel dan unusually convincing setelah melalui pemeriksaan balas yang panjang dan menyeluruh. [85] Mahkamah juga mendapati bahawa Perayu-Perayu gagal memberikan penjelasan munasabah mengapa mangsa sanggup mereka-reka tuduhan seksual yang serius terhadap ahli keluarganya sendiri sehingga menjejaskan hubungan kekeluargaan mereka. [86] Sebaliknya, rekod rayuan menunjukkan bahawa mangsa memberikan keterangan dengan reaksi emosi yang spontan dan konsisten dengan trauma yang dialaminya. [87] Pada hemat Mahkamah ini, pembelaan perayu-perayu kekal pada tahap kemungkinan teoritikal semata-mata dan tidak pernah berkembang menjadi suatu keraguan munasabah yang benar-benar mampu menggugat keselamatan sabitan. [88] Setelah melakukan penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan Hakim Perbicaraan bahawa pembelaan perayu-perayu hanyalah berbentuk penafian kosong dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. [89] Sehubungan itu, Mahkamah ini mendapati bahawa tiada asas untuk mengganggu dapatan Hakim Perbicaraan berhubung pembelaan perayu-perayu. Rayuan Balas Pendakwaan Mengenai Hukuman [90] Pihak Pendakwaan turut memfailkan rayuan balas berhubung pelepasan dan pembebasan Alwi dari pertuduhan kedua dan ketiga dalam kes No. 88 serta terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Perbicaraan ke atas perayu-perayu atas alasan hukuman tersebut dikatakan tidak mencukupi. [91] Berkenaan pelepasan dan pembebasan Perayu-Alwi, Mahkamah ini mengulangi dan menekankan analisa Mahkamah ini seperti di atas dan mendapati tiada alasan untuk mencampuri dapatan-dapatan fakta dan keputusan Hakim Perbicaraan. Hakim Perbicaraan telah pergi ke tempat kejadian dan membuat dapatan hasil lawatan tersebut dan Mahkamah ini tiada sebab untuk mencampuri dapatan tersebut. [92] Berkenaan hukuman, adalah prinsip yang mantap bahawa mahkamah diperingkat rayuan tidak seharusnya campur tangan terhadap hukuman melainkan hukuman tersebut nyata salah pada prinsipnya atau bersifat manifestly excessive ataupun manifestly inadequate sepertimana diputuskan di dalam kes Peter Anthony v PP [2025] CLJU 1979 yang menyatakan:- "a sentence imposed by the lower courts should only be altered if it was manifestly excessive or insufficient". [93] Mahkamah mendapati bahawa tiada asas yang mencukupi untuk campur tangan terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Perbicaraan. [94] Dalam isu ini, Mahkamah mendapati Hakim Perbicaraan telah mempertimbangkan secara menyeluruh faktor-faktor mitigasi dan pemberatan termasuk umur mangsa, hubungan antara mangsa dan perayu-perayu, trauma yang dialami mangsa, kepentingan awam, trend hukuman semasa serta kepentingan perayu-perayu sendiri. [95] Secara amnya, Mahkamah ini menerima bahawa prinsip pemulihan merupakan salah satu pertimbangan penting dalam penghukuman jenayah. [96] Walau bagaimanapun, dalam kes-kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, kepentingan awam, unsur pencegahan (deterrence), perlindungan terhadap mangsa serta keseriusan kesalahan merupakan faktor-faktor yang mempunyai kepentingan yang amat besar. [97] Dalam kes ini, kesalahan yang dilakukan melibatkan: i. mangsa yang masih berumur 11 tahun; ii. hubungan kekeluargaan antara mangsa dan Perayu; iii. pelanggaran kepercayaan keluarga; dan iv. trauma emosi yang berpanjangan terhadap mangsa. [98] Mahkamah mendapati bahawa Hakim Perbicaraan telah pun mengambil kira faktor-faktor mitigasi termasuk status perayuperayu sebagai ketua keluarga serta kesan pemenjaraan terhadap isteri dan anak-anak perayu-perayu sebelum menjatuhkan hukuman. [99] Namun demikian, kepentingan individu perayu-perayu tidak boleh mengatasi kepentingan awam untuk memastikan perlindungan terhadap kanak-kanak daripada jenayah seksual yang serius. [100] Mahkamah mendapati bahawa hukuman yang dijatuhkan masih berada dalam lingkungan hukuman yang munasabah dan tidak boleh disifatkan sebagai manifestly excessive ataupun manifestly inadequate. [101] Sehubungan itu, Mahkamah tidak melihat sebarang asas untuk campur tangan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Perbicaraan. Kesimpulan [102] Atas perkara-perkara yang dinyatakan, Mahkamah ini berpuas hati bahawa sabitan yang diputuskan oleh Hakim Perbicaraan terhadap perayu-perayu adalah selamat dan berlandaskan keterangan yang mencukupi di sisi undang-undang. [103] Mahkamah tidak mendapati sebarang salah arah, kekhilafan undang-undang atau dapatan fakta yang tidak selamat yang mewajarkan campur tangan Mahkamah ini. Keputusan [104] Oleh itu, diperintahkan :i. Rayuan-rayuan Perayu-Alwi di dalam kes CA-42JSKS-4- 04/2024 dan CA-42JSKS-5-04/2024 adalah ditolak dan sabitan serta hukuman dikekalkan ; ii. Rayuan Perayu-Amirzaki dalam kes CA-42JSKS-3-04/2024 turut ditolak dan sabitan serta hukuman dikekalkan; dan iii. Rayuan silang Pendakwaan dalam kes (CA-42JSKH-6- 05/2024, CA-42JSKH-7-05/2024 dan CA-42JSKH-8- 05/2024) adalah juga ditolak. iv. Hukuman ke atas Perayu-Alwi dan Perayu-Amirzaki diperintahkan berjalan dari tarikh keputusan ini. Tarikh: 3 Jun 2026 (SAMRY BIN MASRI) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Counsel for the Appelant : Tetuan Shah & Hurrie Peguam Bela & Peguam Cara B-06-09, Sunway Geo Avenue Jalan Lagoon Selatan 47500 Subang Jaya Selangor Counsel for : Jabatan Peguam Negara Respondant Bahagian Perbicaraan Dan Rayuan Aras 5, No. 45 Lot 4G7, Presint 4 Persiaran Perdana 62100 Putrayjaya