Satu laporan kimia dengan nombor makmal 20-FR-K-02751 (“Laporan Kimia”) bertarikh 1 Oktober 2020 telah dikeluarkan. Berdasarkan Laporan Kimia tersebut, jumlah keseluruhan pokok Cannabis adalah seberat 1853.9 gram. Laporan Kimia tersebut telah diserahkan kepada Perayu pada 10.3.2021. Perayu telah menurunkan tanda tangan mengesahkan penerimaan Laporan Kimia menurut seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (“KTJ”). [12] Siasatan yang telah dijalankan oleh Pegawai Penyiasat mendapati bahawa Perayu tinggal di tempat kejadian dan menjalankan kerja-kerja penjagaan seperti menyiram dan meletakkan baja pada pokok-pokok Cannabis tersebut di tempat kejadian. RAYUAN [13] Perayu telah memfailkan Notis Rayuan pada 12.1.2022 dan seterusnya telah memfailkan Petisyen Rayuan pada 31.3.2022. Alasan-alasan yang disenaraikan di dalam Petisyen Rayuan Perayu secara umumnya memohon supaya Perayu diberi peluang membaiki diri dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang, Perayu merasa insaf dan memohon hukuman diringankan, Perayu telah mendapat pengajaran selama berada di dalam penjara dan bertaubat untuk tidak mengulangi kesalahan ini dan Perayu menanggung seorang isteri dan kedua ibu bapa yang telah uzur. DAPATAN MAHKAMAH [14] Mahkamah ini telah meneliti dan mempertimbangkan Alasan Penghakiman, Nota Keterangan dan hujahan-hujahan serta nas undang-undang yang dihujahkan dan dirujuk oleh kedua-dua pihak Perayu dan Responden dalam rayuan ini yang melibatkan rayuan Perayu terhadap keputusan HMS yang telah mensabitkan Perayu dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup (30 tahun) bermula daripada tarikh tangkap dan 6 sebatan bagi kesalahan di bawah seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 6(3) Akta yang sama. [15] Pertuduhan yang dihadapkan terhadap Perayu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada 6 sebatan. Berdasarkan seksyen 3 Akta Keadilan Jenayah 1953 [Akta 345], penjara seumur hidup bererti hukuman penjara untuk selama 30 tahun. Dengan itu, berdasarkan pertuduhan yang telah dihadapkan terhadap Perayu dan juga peruntukan undang-undang berkaitan hukuman bagi pertuduhan tersebut iaitu seksyen 6B(3) ADB 1952 dan seksyen 3 Akta 345, hukuman yang boleh dijatuhkan hanyalah penjara mandatori 30 tahun dan minimum 6 kali sebatan. [16] Dalam melaksanakan bidangkuasa rayuannya, Mahkamah ini mengambil maklum tugas dan fungsi Mahkamah yang mendengar rayuan terhadap hukuman dan prinsip bahawa Mahkamah yang mendengar rayuan terhadap hukuman tersebut tidak akan mengganggu atau mengubah hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah yang membicarakan melainkan jika mahkamah yang membicarakan telah khilaf dalam menggunapakai prinsip menjatuhkan hukuman yang betul ataupun telah menggunapakai budibicara yang tidak dibenarkan (unauthorized) ataupun asing (extraneous). Prinsip ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Bhandulananda Jayatilake v Public Prosecutor [1982] 1 MLJ 83 seperti berikut: "For a discretionary judgment of this kind to be reversed by this court, it must be shown to our satisfaction that the learned judge was embarking on some unauthorised or extraneous or irrelevant exercise of discretion.". [penekanan ditambah] [17] Begitu juga Mahkamah Rayuan di dalam kes Pendakwa Raya v Prabu A/L Veeramuthu and Others [2010] MLJU 663 juga telah memutuskan seperti berikut: "In an appeal against sentence an appellate court would not disturb the sentence imposed unless the trial court had erred in applying the correct principles of sentencing or had embarked on some unauthorized or extraneous exercise of discretion (see Ganesan a/I Nachiappan & Ors v Public Prosecutor [2000] 3 CLJ 302; Public Prosecutor v Loo Choon Fatt [1976] 2 MLJ 256; Bhandulananda Jayatilake v Public Prosecutor [1982] 1 MLJ 83 and Yit Kean Hong v PP [2005] 4 CLJ 592)." [penekanan ditambah] [18] Setelah meneliti keseluruhan Rekod Rayuan, Mahk ini mendapati bahawa rayuan Perayu adalah terhadap hukuman, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana Perayu telah mengaku salah atas pertuduhan terhadapnya dan tiada perbicaraan telah dijalankan. [19] Namun begitu, dalam keadaan Perayu semasa di peringkat prosiding di Mahkamah Sesyen tidak diwakili oleh Peguambela, Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah penting untuk Mahkamah ini meneliti proses penerimaan pengakuan salah Perayu sama ada telah dilaksanakan dengan betul dan menepati kehendak undang-undang, dan sama ada pengakuan salah Perayu tersebut telah dibuat tanpa bersyarat. Semasa pemfailan Notis Rayuan dan Petisyen Rayuan oleh Perayu juga, kedudukan Perayu adala sama iaitu Perayu tidak diwakili oleh Peguambela. [20] Namun begitu, semasa pendengaran rayuan kes ini, Perayu telahpun diwakili oleh Peguambela. Hujahan utama Peguambela Perayu adalah bahawa penerimaan pengakuan salah Perayu adalah tidak selamat berdasarkan alasan-alasan bahawa Perayu tidak diwakili oleh Peguambela sepanjang prosiding pengakuan salah di Mahkamah Sesyen, Perayu tidak faham sebab dan akibat pengakuan salah yang dibuatnya dan Perayu beranggapan terdapatnya satu hukuman minimum yang bakal diterimanya. [21] Peguambela Perayu juga telah memohon supaya Court Recording Transcript (“CRT”) bagi prosiding pengakuan salah terutamanya pada 20.4.2021 ditonton oleh Mahkamah ini, bagi memastikan status penerimaan pengakuan salah Perayu tersebut. Bagi memastikan keadilan, Mahkamah ini telah pada 11.7.2023 iaitu semasa pendengaran rayuan Perayu ini, memerintahkan supaya rakaman CRT bagi prosiding pada 20.4.2021 diserahkan sesalinan masing-masing kepada Mahkamah, Perayu dan Responden untuk ditonton dan diteliti semula. [22] Mahkamah ini telah menonton rakaman CRT bagi prosiding pada 20.4.2021 dan juga prosiding pd 6.4.2021 tersebut, dan Mahkamah ini mendapati bahawa rakaman CRT bagi kedua-dua prosiding tersebut adalah sama seperti Nota Keterangan di dalam Jilid 2(a) Rekod Rayuan. [23] Dalam keadaan ini, Mahkamah ini berpuashati bahawa HMS telah memastikan pengakuan salah yang dibuat oleh Perayu adalah tanpa bersyarat dan bahawa Perayu faham akan kesan dan akibat pengakuan salahnya. Ini jelas boleh dilihat di dalam Nota Keterangan di mana daripada tarikh pertama Perayu dituduh lagi, HMS telah menjelaskan tentang hukuman bagi pertuduhan terhadap Perayu yang merupakan hukuman penjara yang berbentuk mandatori/wajib. Malahan, pada tarikh-tarikh sebutan selanjutnya apabila Perayu menukar pengakuan kepada pengakuan salah, HMS telah secara konsisten menjelaskan kesan pengakuan salah iaitu Perayu akan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup iaitu 30 tahun dan 6 sebatan. Malah HMS telah memperjelaskan tentang kedudukan undang-undang di bawah seksyen 3 Akta 345 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup selama 30 tahun tersebut dan Perayu sendiri mengakui faham akan penjelasan HMS tersebut (mukasurat 39-40 Jilid 2(a) Rekod Rayuan). [24] Di samping itu juga, semasa proses mitigasi (mukasurat 44-45 Jilid 2(a) Rekod Rayuan), HMS telah secara konsisten memberikan penjelasan tentang kesan dan akibat pengakuan salah Perayu iaitu hukuman penjara 30 tahun yang tidak boleh dikurangkan yang diakui faham oleh Perayu. Setelah penjelasan oleh HMS tersebut mitigasi Perayu hanya memohon supaya Perayu diletakkan di bawah pegawai penjaga bengkel penjara sahaja, yang pada pendapat Mahkamah ini jelas menunjukkan bahawa Perayu memahami bahawa hukuman penjara ke atasnya tidak boleh dikurangkan daripada tempoh 30 tahun. [25] Selanjutnya, di dalam Alasan Penghakiman HMS di Jilid 1 Rekod Rayuan, HMS juga telah menjelaskan kronologi sepanjang prosiding di Mahkamah Sesyen sehinggalah kepada tarikh hukuman dijatuhkan terhadap Perayu. Secara spesifik, di perenggan 14 Alasan Penghakiman HMS (mukasura 20 Jilid 1 Rekod Rayuan), beliau telah melihat dengan jelas bahawa Perayu faham akan penjelasan Mahkamah tersebut dan Perayu “telah membuat pengakuan bersalah dalam keadaan sedar, tanpa apa-apa syarat (understand the nature and consequences of his guilty plea)”. [26] Dalam hal ini, Mahkamah ini berpuashati bahawa HMS telah memastikan Perayu faham kesan dan akibat pengakuan salah tersebut sebagaimana dikehendaki di bawah peruntukan seksyen 173(b) KTJ dan seterusnya mensabitkan dan menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. [27] Di dalam kes Lee Weng Tuck & Anor v Public Prosecutor [1989] 2 MLJ 143, Mahkamah Agung telah memutuskan seperti berikut: “… A plea of guilty must be valid and unequivocal, and in order to determine the validity of a plea of guilty, the safeguards which must be followed might be stated as follows: