Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI BUTTERWORTH DALAM NEGERI PULAU PINANG MALAYSIA RAYUAN JENAYAH SPRM NO: PA-42S-2-06/2020 ANTARA MUHAMMAD HAFIZUDDIN BIN HASSAN (No. K/P: 820316-03-5183) ….PERAYU DAN PENDAKWARAYA ….RESPONDEN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Pihak-pihak di dalam rayuan ini akan dirujuk sebagaimana mereka dirujuk di Mahkamah Bicara iaitu Pendakwa Raya (Pendakwaan) dan Tertuduh (OKT). [2] Ini adalah rayuan oleh OKT hanya terhadap perintah sabitan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth (Hakim bicara) atas dua pertuduhan, iaitu pertuduhan di bawah seksyen 16(a)(B) dan seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) dan dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama. Pertuduhan-pertuduhan [3] Pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan terhadap OKT adalah seperti berikut: Pertuduhan Pertama "Bahawa kamu pada 8.4.2015, jam lebih kurang 3 petang di pejabat kamu di Ibu pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau, 11100 dalam daerah Balik Pulau dalam Negeri Pulau Pinang telah secara rasuah meminta wang sejumlah RM15,000.00 daripada Abdul Ghani bin Ismail (No. K/P; 700617-02-5679) yang kononnya akan diberikan kepada pegawai atasan kamu untuk melakukan suatu perbuatan yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu menyelesaikan kes Ridduan bin Ahmad (No.K/P: 741011-02-5413) yang ditangkap oleh polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan dengan ini kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama." Pertuduhan Kedua "Bahawa kamu pada 18.5.2015, jam lebih kurang 6.20 petang di dalam kenderaan jenis Proton Perdana, nombor pendaftaran DAX 4435 yang berhenti di tempat meletak kenderaan di Lebuh Pekaka 3, Taman Pekaka, 11700 Gelugor dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang telah secara rasuah cuba untuk memperolehi suatu suapan wang tunai sebanyak RM30,000.00 daripada Abdul Ghani bin Ismail (No. K/P: 700617-02-5679) yang kononnya akan diberikan kepada pegawai atasan kamu untuk melakukan suatu perbuatan yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu menyelesaikan kes Ridduan bin Ahmad (No.K/P: 741011-02-5413) yang ditangkap oleh polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan dengan ini kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama." Fakta Kes Pendakwaan [4] Muhammad Hafizuddin bin Hassan (OKT) ialah seorang anggota polis berpangkat Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, dalam Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang. [5] Abdul Ghani bin Ismail (No. K/P: 700617-02-5679) ialah saksi utama (SP2) dalam kes ini. Ridhuan bin Ahmad (No.K/P: 741011-02-5413) yang ditangkap oleh polis pada 20.4.2015 di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) merupakan kawan kepada SP2. [6] Pada 6.2.2015, iaitu sebelum Ridhuan ditangkap oleh pihak polis, Ridhuan telah datang ke bengkel kereta milik SP2 di Kampung Padang Dan, Kupang, Baling, Kedah. Pada masa yang material Ridhuan merupakan orang yang dikehendaki polis berkaitan kes curi kereta mewah di Pulau Pinang. Ridhuan telah meminta bantuan SP2 untuk berhubung dengan seorang yang dikenali sebagai “Key” kerana sebelum ini “Key” pernah membantu Ridhuan untuk menyelesaikan kes curi kereta dengan membuat bayaran. Ridhuan meminta SP2 menghubungi “Key” untuk bertanya “Key” kenapa kes ini timbul semula. [7] Pada 8.2.2015, SP2 telah menghubungi Key seperti yang diminta oleh Ridhuan dan Key telah memberi nombor telefon seorang bernama Rafei iaitu 0194444154 kepada SP2 melalui sistem pesanan ringkas (sms) yang berbunyi “No. Telefon 0194444154 Rafei abang call bincang dengan Rafei ja”. Pada hari yang sama, SP2 menelefon Rafei di nombor 0194444154 dengan menggunakan telefon bimbit SP2 yang bernombor 01135397470. Dalam perbualan telefon tersebut SP2 memberitahu Rafei mengenai Ridhuan yang dikehendaki oleh pihak polis dan Rafei mengatakan “akan semak dulu”. [8] SP2 kemudiannya memberitahu Ridhuan dan Penolong Penguasa Abdul Malek bin Mohamed Noor (SP3) bahawa beliau telah menghubungi Rafei. SP3 yang juga merupakan kawan kepada SP2 telah meminta SP2 menghubungi Rafei untuk melihat respon daripada Rafei, sekiranya terdapat perkara yang berkaitan dengan rasuah hendaklah dimaklumkan kepada SP3. [9] Pada 9.2.2015, Rafei telah menelefon SP2 dan memberitahu SP2 bahawa Ridhuan mempunyai sebanyak 28 kes “wanted” dan pegawai penyiasat yang disebut sebagai Tuan Hafiz boleh selesaikan kes Ridhuan dengan bayaran sejumlah RM20,000.00 dan Ridhuan hendaklah menyerah diri kepada pihak polis kerana dia dikehendaki berkaitan dengan kes curi kereta. Rafei juga memberitahu SP2 bahawa seramai 5 orang lain yang terlibat dalam kes yang sama telah dibebaskan dengan sejumlah RM11,000.00 telah dibayar untuk menyelesaikan kes mereka. SP2 telah merakam perbualan telefon tersebut menggunakan telefon bimbitnya. Tujuan SP2 merakam perbualan tersebut untuk diberikan kepada SP3 kerana dalam perbualan tersebut ada terdapat permintaan wang rasuah. [10] Pada 10.2.2015, SP2 telah berjumpa Rafei di Restoran Bafana di Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang. Turut serta bersama SP2 dalam perjumpaan itu, ialah Penolong Kanan Penguasa (PKPs) Azahar bin Ahmad (SP4) yang berperanan untuk mendengar serta merakam perbualan oleh SP2 dengan Rafei. [11] Dalam pertemuan tersebut, Rafei menyatakan bahawa Ridhuan dikehendaki oleh polis berkaitan kes curi kereta dan Ridhuan hendaklah menyerah diri kepada pihak polis dan pegawai penyiasat meminta RM15,000.00 hingga RM20,000.00 untuk selesaikan kes Ridhuan. Rafei memberitahu SP2 bahawa Pegawai penyiasat ialah Tuan Hafiz. SP2 meminta Rafei berbincang dengan Tuan Hafiz untuk mengurangkan bayaran tersebut dan Rafei mengakui bahawa dia akan berbincang dengan Tuan Hafiz mengenai pengurangan bayaran yang diminta oleh SP2 dan Rafei akan menghubungi SP2 semula. [12] Selepas pertemuan tersebut, SP2 terus berkomunikasi dengan Rafei sehingga 23.2.2015 melalui sms di mana di dalam sms tersebut menyebut beberapa perkara iaitu tentang duit, tentang permintaan Tuan Hafiz untuk wang sejumlah RM20,000.00 dan bahawa Ridhuan hendaklah menyerah diri semasa cuti Tahun Baru Cina. [13] SP2 meminta masa untuk Ridhuan menyerah diri atas alasan Ridhuan mempunyai banyak komitmen yang perlu diselesaikan sebelum dia ditahan. Rafei meminta supaya Ridhuan menyerah diri dengan cepat kerana Rafei hendak selesaikan kes dengan cepat seperti yang telah dijanjikan dengan Tuan Hafiz. [14] Walaupun banyak komunikasi antara SP2 dengan Rafei sepanjang 25.2.2015 sehingga 3.3.2015 mengenai “serah duit” dan “serah diri Ridhuan”, tetapi sebenarnya sepanjang tempoh tersebut SP2 tidak berhasrat untuk menyerahkan wang dan Ridhuan kepada Rafei, kerana SP2 masih belum mendapat kepastian mengenai penglibatan OKT dalam permintaan wang seperti yang dimaklumkan oleh Rafei. [15] Pada 01.03.2015, SP3 telah mendapatkan nombor telefon OKT iaitu 0134374767 dan SP3 telah memberikan kepada SP2 untuk dihubungi. SP2 tidak terus menghubungi OKT kerana SP2 menunggu arahan lanjut SPRM untuk bertindak. [16] Hanya pada 7.4.2015, SP2 menghubungi OKT setelah mendapat arahan daripada SP3. SP2 dan OKT telah menetapkan janji temu pada 08.04.2015, jam lebih kurang 3.00 petang di pejabat OKT di Ibu Pejabat Daerah Barat Daya Balik Pulau. [17] Pada 8.4.2015 sebelum perjumpaan tersebut, SP3 telah memberi taklimat kepada SP2 dan SP5 dekat Masjid Balik Pulau. SP5 telah diarahkan untuk pergi bersama SP2 berjumpa dengan OKT dan SP5 akan menyamar sebagai anak saudara SP2. Peranan SP5 dalam perjumpaan tersebut adalah untuk mendengar serta merakam perbualan antara SP2 dengan OKT. [18] Selepas taklimat diberikan, SP2 dan SP5 telah pergi ke IPD Balik Pulau dan berjumpa dengan OKT di bilik pejabat OKT. Dalam perjumpaan tersebut, OKT memberitahu SP2 bahawa Ridhuan hendaklah menyerah diri untuk siasatan di bawah POCA berkaitan kes curi kereta. Selanjutnya OKT meminta wang sejumlah RM15,000.00 – RM20,000.00 yang kononnya untuk diserahkan kepada pihak atasan bagi menyelesaikan kes Ridhuan. [19] Setelah pertemuan yang berlangsung selama lebihkurang 30 minit itu tamat, SP2 dan SP5 telah pergi semula ke Masjid Balik Pulau untuk bertemu dengan SP3 yang menunggu di situ. SP2 telah memaklumkan kepada SP3 hasil pertemuan dengan Kemudiannya SP3 telah membawa SP2 dan SP5 ke pejabat SPRM Putrajaya untuk membuat aduan mengenai permintaan wang oleh OKT (P12 - Aduan No: 164/2015 bertarikh 08.04.2015). [20] Pada 21.04.2015, SP2 mendapat panggilan telefon daripada anak Ridhuan yang memaklumkan bahawa bapanya telah ditangkap oleh pihak polis pada 20.04.2015 di Kedah. [21] Pada 22.04.2015, SP2 menelefon Rafie untuk memaklumkan berita penangkapan Ridhuan oleh pihak polis. Rafei telah meminta SP2 menyediakan sejumlah RM30,000.00 memandangkan Ridhuan telah ditangkap. Perbualan antara SP2 dan Rafei telah dirakam dan rakaman perbualan tersebut disimpan dalam cakera padat yang ditandakan sebagai ekshibit P13 dan Transkrips Rakaman Audio perbualan tersebut ditandakan sebagai ekshibit P14. [22] Pada 24.04.2015, SP2 telah menelefon OKT dan perbualan SP2 dengan OKT telah dirakam oleh PPs Syed Hasrul bin Syed Sultan (SP7) di pejabat SPRM Putrajaya. Dalam perbualan tersebut OKT telah sahkan bahawa Rafie ada menghubunginya dan OKT menyatakan bahawa wang sejumlah RM30,000.00 adalah untuk diberikan kepada pihak atasan bagi menyelesaikan dan memadam fail kes Ridhuan. [23] Pada 26.04.2015, SP2 dan OKT telah berjumpa di Restoran Nasi Kandar Subaidah, Sungai Dua Pulau Pinang. SP5 ikut serta dalam pertemuan tersebut dan menyamar sebagai anak saudara SP2. Dalam pertemuan tersebut, OKT telah meminta sebanyak RM30,000.00 dan permintaan OKT tersebut telah disaksikan dan dirakam oleh SP5. [24] Pada 29 dan 30 April 2015, OKT dan SP2 masih berhubungan melalui panggilan telefon dimana dalam perbualan telefon tersebut, OKT masih mengulangi permintaannya untuk mendapatkan wang sejumlah RM30,000.00. SP2 yang masih menunggu arahan lanjut daripada pihak SPRM tidak dapat memenuhi permintaan OKT dan memberi alasan bahawa wang sejumlah RM30,000.00 belum cukup dikumpul. [25] Pada 12.05.2015, SP2 telah menghubungi OKT atas arahan SP3 untuk memaklumkan bahawa sejumlah RM30,000.00 telah cukup dan sedia untuk diserahkan kepada OKT. OKT bersetuju untuk berjumpa dengan SP2 pada hari Jumaat 15.05.2015. [26] Pada 14.05.2015, SP3 dan SP2 telah pergi ke pejabat SPRM Putrajaya untuk berbincang dengan Cawangan Projek Khas (CPK) berkaitan kes ini. Selanjutnya SP2 telah diarahkan untuk menghantar sms kepada OKT untuk menunda pertemuan yang telah dijanjikan pada 15.05.2015 itu. [27] Pada 17.05.2015, SP2 dan OKT bersetuju untuk berjumpa di Bayan Baru. Tetapi kemudiannya pada 18.05.2015, SP2 dan OKT telah bersetuju untuk berjumpa di Restoran Subaidah Sungai Dua. [28] Dalam pertemuan pada 18.5.2015, SP2 telah dibekalkan dengan alat bantuan teknikal, manakala PPs Mohamad Fuad bin Rozali (SP10) diarah untuk menyediakan 30 keping wang bertanda dalam not RM100 untuk diserahkan kepada SP2 dan wang yang sama akan diserahkan oleh SP2 kepada OKT. [29] Pada masa yang dijanjikan untuk pertemuan di Restoran Subaidah, Sungai Dua, SP2 telah lewat sampai disebabkan kesesakan jalanraya. SP2 telah menelefon OKT dan OKT meminta SP2 untuk datang terus ke keretanya jenis Proton Perdana V6 bercermin gelap dengan nombor pendaftaran DAX 4435 yang diparkir berhampiran Restoran Nasi Kandar Subaidah Sungai Dua. Apabila SP2 sampai ke kereta tersebut, OKT telah arahkan SP2 untuk masuk ke dalam kereta dan sebaik sahaja SP2 masuk ke dalam kereta tersebut, SP2 mula merakam perbualannya dengan OKT. [30] Menurut keterangan SP9, melalui mesej yang diterima dalam applikasi ‘Telegram’ kumpulan SPRM, bahawa SP2 telah masuk ke dalam kereta OKT. Maka SP9 telah memandu keretanya di belakang kereta OKT dan SP9 juga nampak SP17 mengetuk cermin tingkap di sebelah penumpang bahagian hadapan kereta OKT dan kemudiannya kereta OKT mengundur dan memecut keluar dari kawasan parkir tersebut. [31] Berdasarkan keterangan SP9, SP10 dan SP17 bahawa pada masa yang sama SP10 datang dari arah belakang sebelah kiri kereta telah cuba untuk masuk ke dalam kereta tersebut. Manakala SP17 telah mengetuk cermin sebelah penumpang bahagian hadapan, di mana SP2 berada. SP17 tidak dapat melihat SP2 yang berada dalam kereta OKT kerana cermin kereta yang gelap dan cermin tidak diturunkan. Pada masa yang sama OKT telah mengundurkan keretanya lalu memecut keluar dari parkir untuk melarikan diri bersama SP2 yang berada di dalam kereta tersebut. [32] Kemudiannya SP9 dan SP16 telah memandu kereta masing-masing untuk mengejar kereta yang dipandu oleh OKT dan mereka telah berjaya memintas dan memberhentikan kereta OKT di tepi jalan berhampiran Lebuh Pekaka 3, Taman Pekaka, 11700 Gelugor. SP16 telah memperkenalkan diri sebagai anggota SPRM kepada OKT apabila OKT menurunkan cermin kereta. Selanjutnya OKT ditangkap. Petisyen Rayuan [33] Isu-isu yang dikemukakan dalam Petisyen rayuan bahawa Hakim bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila:-