Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN RAYUAN JENAYAH NO: BA-42H-25-09/2022 & 42S-18-09/2022 (Dalam Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor Kes Tangkap No : BA-62RS-12-03/2019) ANTARA MUHAMAD KHAIRULDIN BIN SHAHRUN …PERAYU [NO. K/P: 811022-10-5567] DAN PENDAKWA RAYA …RESPONDEN PENDAHULUAN [ 1 ] Perayu telah disabitkan atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 397 Kanun yang sama. Perayu telah dikenakan hukuman penjara 8 tahun dari tarikh tangkap dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan. Hukuman penjara berjalan serentak. Perayu yang tidak berpuas hati telah merayu ke Mahkamah Tinggi dan rayuannya telah didengar pada 16.8.2024. Mahkamah telah menolak rayuan Perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen (“HMS”) yang bijaksana. Perayu telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. [ 2 ] Pertuduhan-pertuduhan terhadap Perayu adalah seperti di bawah– Pertuduhan pertama : “Bahawa kamu pada 8/04/2018 jam lebih kurang 3.30 pagi, di alamat rumah Lot 416, Lorong Atap KM28, Jalan Kuang, di dalam Daerah Petaling, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah melakukan rompak ke atas Jehmidah Bahem bernombor pasport AA598211 dengan merompak (1) telefon bimbit jenis Oppo bernilai RM1000.00 dan juga wang tunai berjumlah RM700, dan semasa kamu melakukan rompakan tersebut kamu telah menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah parang. Oleh yang demikian kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 397 Kanun yang sama (Akta 574).” Pertuduhan kedua : “Bahawa kamu pada 8/04/2018 jam lebih kurang 3.30 pagi, di alamat rumah Lot 416, Lorong Atap KM28, Jalan Kuang, di dalam Daerah Petaling, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah melakukan rompak ke atas Mazlena binti Razali KPT: 030513-10-0742 dengan merompak (1) telefon bimbit miliknya jenis Huawei bernilai RM500.00 dan juga laptop jenama Samsung berjumlah RM1000.00, dan semasa kamu melakukan rompakan tersebut kamu telah menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah parang. Oleh yang demikian kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 397 Kanun yang sama (Akta 574).” RINGKASAN FAKTA KES Pendakwaan: [ 3 ] Pihak pendakwaan memanggil sepuluh orang saksi dan pihak pembelaan memanggil dua orang saksi. Secara ringkas, pada tarikh dan masa kejadian ketika mangsa dalam pertuduhan pertama Jemidah Bahem (“SP1”) dan anaknya - mangsa dalam pertuduhan kedua Mazlena binti Razali (“SP3”) sedang tidur di rumah, seorang lelaki yang dicamkan oleh SP1 dan SP3 sebagai Perayu telah menendang pintu rumah tersebut dan menggunakan parang untuk memaksa SP1 dan SP3 menyerahkan barang berharga milik mereka seperti telefon bimbit, laptop, dompet yang mengandungi dokumen seperti kad memandu suami SP1, kad pengenalan Thailand SP1 dan kad pengenalan Mazley bin Razali, barang kemas serta wang tunai kepada Perayu. SP1 dan SP3 turut diikat dengan cable tie sebelum Perayu meninggalkan rumah tersebut. [ 4 ] Saksi pendakwaan yang merupakan seorang kenalan Perayu (SP8) memberi keterangan bahawa Perayu telah menyerahkan satu telefon bimbit jenis Huawei (P7) kepada SP8 dan meminta SP8 membayar apa-apa jumlah kepadanya kerana telah lama tidak digunakan. SP8 mengambil telefon P7 tetapi belum membuat bayaran. [ 5 ] Seorang lagi saksi pendakwaan SP9 memberi keterangan Perayu telah memintanya membeli laptop jenama Samsung (P14) dikatakan milik anaknya kerana Perayu dalam keadaan susah. SP9 tidak mampu membeli laptop itu tetapi diminta oleh Perayu untuk mencarikan pembeli bagi pihaknya. [ 6 ] Sementara itu, sebuah telefon bimbit jenama Oppo (P8) telah dapat dirampas dari seorang warganegara Indonesia bernama Saharudin di sebuah bengkel di Sungai Buloh berdasarkan maklumat siasatan. Pandu arah dari Perayu membawa jumpaan dompet (P6) daripada isteri Perayu (“SP7”) yang mengandungi dokumen seperti kad memandu suami SP1, kad pengenalan Thailand SP1 dan kad pengenalan Mazley bin Razali. Barang-barang kes yang dirampas dari SP8, SP9, penama Saharudin dan isteri Perayu (SP7) telah dikenal pasti oleh SP1 dan SP3. Pembelaan: [ 7 ] Setelah dipanggil membela diri, Perayu telah memberi keterangan bersumpah sebagai SD1 dan memanggil semula isterinya SP7 sebagai saksi SD2. Secara ringkas, pembelaan Perayu berbentuk alibi apabila mengatakan pada masa material, dia sedang tidur di rumah bersama isteri dan anak-anaknya yang masih kecil. Walau bagaimanapun, Perayu mengakui tidak memaklumkan perkara ini kepada Pegawai Penyiasat (SP10) sewaktu siasatan dijalankan. Tiada notis alibi difailkan sebelum atau semasa perbicaraan berlangsung. Perayu juga menafikan pengetahuan bagaimana barang-barang kes yang dikemukakan diperolehi daripada saksi-saksi pendakwaan. Perayu mendakwa dia difitnah oleh bekas isterinya yang dikatakan adalah rakan SP1. [ 8 ] Sementara SP7 yang dipanggil semula sebagai saksi pembelaan SD2 merupakan isteri Perayu. SP7/SD2 mengatakan Perayu adalah seorang ayah dan suami yang baik. Menafikan ada memberi apa-apa barang kepada polis dan hanya diminta menandatangani satu kertas kosong. ISU YANG BERBANGKIT DALAM RAYUAN PERAYU Senjata parang yang dikatakan digunakan oleh Perayu tidak dikemukakan dan percanggahan antara SP1 dan SP3 mengenai bentuk parang yang digunakan [ 9 ] Peguam Perayu yang bijaksana dalam isu ini hanya membangkitkan tiga isu dalam penghujahan bertulis dan hujah lisan di hadapan mahkamah. Isu pertama berkenaan rupa bentuk senjata parang yang dikatakan digunakan Perayu yang tidak dikemukakan. Justeru, dihujahkan bahawa tiada sokongan bagi keterangan SP1 dan SP3 bahawa Perayu telah menggunakan senjata parang semasa melakukan rompakan tersebut. Peguam yang bijaksana juga menghujahkan bahawa lakaran parang yang dibuat di mahkamah oleh SP1 dan SP3 berbeza bentuk dan panjang, lalu ini sewajarnya menyebabkan HMS yang bijaksana menolak keterangan mereka berhubung senjata parang itu kerana percanggahan ini dianggap material. [ 10 ] Sementara itu, pihak pendakwaan (“Responden”) pula menghujahkan percanggahan antara saksi yang memberi keterangan berdasarkan ingatan masing-masing adalah suatu yang lumrah dan jika ia tidak menyentuh fakta material, percanggahan ini bukanlah fatal kepada kes pendakwaan. Keterangan SP1 dan SP3 adalah konsisten bahawa Perayu telah memecah masuk ke rumah mereka, menggunakan senjata parang dan merompak harta mereka. Rupa bentuk atau panjang sebenar parang tersebut bukanlah satu perkara yang material kepada pertuduhan. Responden merujuk kepada beberapa otoriti yang menyokong hujah ini antaranya seperti Juhairi bin Jaafar [2017] MLJU 1287, Lee Ser Key [2019] MLJU 1976 dan lain-lain. [ 11 ] Mahkamah bersetuju dengan hujah Responden dan setelah meneliti Alasan Penghakiman HMS yang bijaksana (muka surat 32 – 33, perenggan 38 hingga 42, RR Jilid 1) mendapati HMS telah membuat penelitian yang wajar berkaitan isu ini dengan merujuk kepada kes PP v Datuk Haji Harun bin Haji Idris (no.2) [1977] 1 MLJ 15 berkaitan isu percanggahan keterangan antara saksi. [ 12 ] Mahkamah juga bersetuju bahawa kegagalan mengemukakan parang tersebut tidak fatal kepada kes pendakwaan. Tiada keperluan undang-undang juga untuk memperincikan butiran senjata parang yang digunakan dalam pertuduhan ini. Memetik kepada penghakiman YA Low Hop Bing (ketika itu) dalam kes Sinnasamy A/L Kalliapan lwn PP [2005] 5 MLJ 570 – “The absence of the parang does not ipso facto detract from the finding of fact that the accused was holding it and using it to hit the metal gate of the house, thereby leaving undisputed and obvious telltale marks which were corroborated by the direct oral evidence adduced through other prosecution witness under section 60(1)(a) of the Evidence Act 1950.” [ 13 ] Seksyen 59 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan bahawa semua fakta hendaklah dibuktikan melalui keterangan lisan. Seperti dinyatakan di dalam kes di atas yang merujuk kepada seksyen 60(1)(a) Akta yang sama, keterangan mengenai apa yang dapat dilihat hendaklah daripada saksi yang melihatnya secara langsung. Dalam kes ini terdapat dua saksi iaitu SP1 dan SP3 yang telah melihat senjata parang digunakan. Oleh itu tanpa pengemukaan parang tersebut pun, fakta ini boleh dibuktikan. Sehubungan itu, mahkamah mendapati tiada merit kepada isu ini. HMS yang bijaksana terkhilaf apabila menerima pengecaman Perayu oleh SP1 dan SP3 yang dikatakan cacat [ 14 ] Bagi isu ini peguam yang terpelajar telah membangkitkan ujudnya kecacatan dalam proses kawad cam ke atas Perayu yang dinyatakan dalam Laporan Kawad Cam (P30). Dalam P30 pengecaman atas Perayu oleh SP1 dicatatkan di kedudukan 4 pada kawad cam pertama dan 7 di kawad cam kedua. Walau bagaimanapun, peguam yang terpelajar menghujahkan keterangan pegawai kawad cam (SP5) bercanggah dengan Pernyataan Bertulisnya P29 apabila mengatakan SP1 mengecam Perayu di kedudukan 4 dan SP3 mengecam Perayu di kedudukan 7. [ 15 ] Oleh kerana proses kawad cam cacat, HMS yang bijaksana dihujahkan tidak wajar menerima pengecaman SP1 dan SP2 di kandang salah (dock identification) semasa perbicaraan terutama kerana SP1 dan SP3 telah mengenali Perayu sebelum kejadian. [ 16 ] Responden menghujahkan sekiranya terdapat kelemahan proses kawad cam, mahkamah masih boleh menerima pengecaman saksi di mahkamah (dock identification). Faktor yang menjadi asas pengecaman oleh seorang saksi bergantung kepada keadaan semasa kejadian seperti pencahayaan, tempoh peristiwa, tahap ingatan saksi-saksi itu dan sebagainya. Responden merujuk kepada kes PP lwn Rames a/l Arumugan dan Tan Siew Kem [2020] 1 LNS 284 selain kes Duis Akim v PP [2014] 1 MLJ 49. [ 17 ] Sama ada pengecaman oleh mangsa terhadap pelaku jenayah boleh diterima atau tidak bergantung kepada keadaan dan fakta sesuatu kes. Setiap kes berbeza fakta dan keadaannya termasuk keupayaan setiap saksi yang terlibat untuk mengingati butiran setiap peristiwa, itu sifat semulajadi manusia. Dalam kes ini mahkamah mendapati fakta-fakta kejadian menyokong kewajaran penerimaan pengecaman ke atas Perayu oleh SP1 dan SP3. Kejadian berlaku dalam tempoh yang tidak singkat, jarak fizikal yang dekat antara mangsa dengan Perayu, terdapat komunikasi antara mangsa dan Perayu, suasana cemas ketika kejadian serta waktu malam yang telah lanjut akan menyebabkan penglihatan mangsa telah disesuaikan (adapted) kepada pencahayaan tempat kejadian lalu membolehkan SP1 dan SP3 mengingati ciri-ciri Perayu yang terpahat dalam minda mereka. Tambahan lagi kejadian seperti ini bukanlah suatu yang lazim berlaku kepada mangsa. [ 18 ] Seterusnya, SP1 juga telah mengenali Perayu sebelum kejadian kerana menjadi pelanggan di kedai makannya. Justeru, dalam kes SP1, ia bukanlah pengecaman kali pertama tetapi lebih kepada pengecaman seorang yang dikenali (recognition). Mahkamah dapati HMS yang bijaksana juga telah meneliti keterangan SP1 dan SP3 berkaitan pengecaman ini dengan teliti (mukasurat 37 – 39, para 53 – 59, RR, Jilid I) dan tiada alasan wajar untuk mahkamah mengganggu dapatan HMS yang bijaksana berkaitan pengecaman dalam mahkamah oleh SP1 dan SP3 serta kredibiliti dua saksi ini. HMS khilaf apabila menerima laporan polis SP1 yang tidak fasih berbahasa Malaysia sama ada secara bertulis ataupun lisan [ 19 ] Peguam Perayu menghujahkan bahawa oleh kerana SP1 tidak fasih bercakap atau menulis dalam Bahasa Malaysia dan laporan maklumat pertama P3 ditulis oleh orang lain, P3 tidak wajar diterima memandangkan ia merupakan dokumen yang mempunyai nilai sokongan (corroborative value) dalam perbicaraan. Tiada keterangan bahawa ada seorang jurubahasa yang telah menterjemahkan kandungan P3 kepada SP1 semula. [ 20 ] Pihak Responden pula berhujah bahawa isu mengenai SP1 tidak fasih berbahasa Malaysia tidak langsung timbul dalam perbicaraan dan dapatan HMS yang bijaksana telah menerima penjelasan SP1 iaitu dia gagap apabila membaca kerana mempunyai masalah kesihatan selepas kejadian ini yang disebabkan masalah kencing manis dan memerlukan kaca mata untuk membaca sesuatu lalu menjadi sukar untuk dia membaca di peringkat ini. [ 21 ] Penelitian mahkamah kepada nota keterangan menunjukkan tiada masalah ketara semasa SP1 memberi keterangan kecuali semasa membaca Pernyataan Saksi disebabkan masalah matanya yang rabun. SP1 memberi keterangan dalam Bahasa Melayu dan dapat memahami soalan-soalan dan memberi jawapan yang munasabah. (RR Jilid I, ms. 11). [ 22 ] Kes yang dirujuk peguam yang terpelajar iaitu Herchun Singh & Ors v PP [1969] 1 LNS 52 sendiri mengesahkan kedudukan suatu laporan maklumat pertama iaitu – “..All that is required for the purpose of this section is that there should be clear, definite information about the commission of a recognizable offence to set the investigation machinery in motion….. The first information report is not an Encyclopedia. It is not the beginning and ending of every case. It is only a complaint to set the affairs of law and order in motion.” (penekanan ditambah) [ 23 ] Mahkamah juga mendapati HMS yang bijaksana tidak bergantung kepada kandungan P3 dalam menimbangkan keterangan yang menyokong pembuktian elemen-elemen pertuduhan terhadap Perayu. Dalam kes ini, P3 berfungsi hanya sebagai memberi maklumat tentang kejadian satu kesalahan untuk membolehkan siasatan dimulakan. Mahkamah mendapati tiada merit kepada isu ini. Anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap pihak pendakwaan kerana gagal memanggil saksi yang menerima telefon Oppo dari Perayu [ 24 ] Peguam yang terpelajar menghujahkan kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil seorang saksi warganegara Indonesia ’Saharudin’ yang dinyatakan sebagai individu yang telah menerima barang-barang yang dikatakan telah dicuri daripada pengadu membolehkan anggapan bertentangan (adverse inference) di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terpakai terhadap pihak pendakwaan. Kegagalan memanggil Saharudin sebagai saksi pendakwaan menyebabkan kaedah pelupusan barang kes berkenaan kepada Saharudin telah gagal dibuktikan dengan sebaik mungkin. [ 25 ] Mahkamah mendapati tiada merit kepada isu yang dibangkitkan oleh Perayu ini. Mahkamah mendapati penerangan Pegawai Penyiasat bahawa saksi tersebut telah pulang ke negara asalnya boleh diterima. Tiada penyembunyian fakta tentang jumpaan barang kes dari saksi tersebut. Jika eksibit tidak ditemui sekalipun, mahkamah masih boleh menerima keterangan tentang barang-barang yang disamun dalam kejadian melalui keterangan mangsa. [ 26 ] Mahkamah bersetuju dengan analisa dan dapatan HMS yang bijaksana seperti di perenggan 66 hingga 69 Alasan Penghakimannya berkaitan isu ini (RR Jilid I, ms. 42 - 43). Di perenggan 67, HMS yang bijaksana menyatakan – “Saya telah menolak hujahan ini kerana untuk s.114(g) terpakai ia mesti jelas bahawa saksi atau keterangan ini dengan sengaja diselindungi oleh pendakwaan. Tambahan lagi sekiranya Saharudin dipanggil dia merupakan saksi yang hanya akan memberi keterangan berkenaan telefon bimbit yang diterima oleh OKT dan bukan seorang saksi utama, saksi terus atau saksi yang akan memberi keterangan yang memihak kepada pembelaan OKT.” [ 27 ] Seperti dinyatakan oleh Yang Arif Kamardin Hashim HMR dalam kes Ho Tze Kean v PP [2018] 3 CLJ 71 –