(iii) Diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua (2) tahun di bawah peruntukan seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) selepas beliau selesai menjalani hukuman pemenjaraan. [3] Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu menfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Tinggi Muar terhadap sabitan dan hukuman tersebut. [4] Pada 22 Ogos 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Muar yang bijaksana telah menolak rayuan perayu dan mengekalkan perintah sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. [5] Tidak berpuashati dengan keputusan tersebut, pada 5 Ogos 2023 Perayu telah memfailkan Notis Rayuan (Lampiran 20) di Mahkamah Rayuan terhadap hukuman sahaja. Perayu memohon agar hukuman pemenjaraan dan sebatan dikurangkan. Fakta Kes Secara Ringkas [6] Pada 20 November 2020, mangsa (SP6) telah berjumpa dengan perayu (dengan nama panggilan Joe) di hadapan sebuah kedai di Parit Raja. Mangsa telah menaiki kereta jenis Proton Wira yang dipandu oleh perayu dan perayu telah membawa mangsa pusing-pusing di kawasan Taman U. Kemudian, perayu telah membawa mangsa ke GP Hotel di Pura Kencana. Perayu telah masuk ke dalam hotel tersebut sementara mangsa menunggu di dalam kereta. Kemudian perayu telah keluar semula ke arah mangsa dan mengajak mangsa masuk ke dalam bilik di tingkat bawah hotel berkenaan. [7] Bilik tersebut diterangi dengan cahaya lampu. Di dalam bilik hotel itu, perayu telah memeluk mangsa sebelum membuka seluar dan seluar dalam mangsa. Selepas itu, perayu telah membuka bajunya bersama seluar dan seluar dalamnya sendiri. Kemudian perayu telah menyuruh mangsa menghisap kemaluan perayu sebelum perayu memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan mangsa dan menghenjut banyak kali. [8] Semasa perbuatan ini dilakukan, mangsa dan perayu berada di atas katil dengan kedudukan perayu di atas mangsa dan kedua-dua tangan perayu sedang memegang tangan mangsa. Perayu kemudiannya telah memancutkan air maninya ke atas perut mangsa. Seterusnya, perayu telah menyelak baju mangsa dan mencium buah dada mangsa. Setelah itu, perayu dan mangsa telah pergi ke tandas untuk membersihkan diri mereka masing-masing. [9] Selepas memakai semula pakaian, perayu dan mangsa telah keluar dari bilik hotel dan pergi ke kedai makan yang berhampiran untuk minum. Kemudian perayu telah menghantar mangsa ke sebuah kedai di mana kawan kepada mangsa yang bernama Zulaikha bekerja. [10] Selepas pulang ke ke rumahnya, mangsa tidak menceritakan tentang kejadian yang berlaku ini kepada sesiapa pun kerana beliau takut dimarahi oleh ibunya. Namun begitu, setelah ibu kepada mangsa iaitu Liana binti Jamat (SP5) melihat kelakuan mangsa banyak berubah di mana mangsa kerap berkurung di dalam biliknya sahaja dan tidak lagi ceria seperti sebelumnya, maka pada sekitar bulan November atau Disember 2020, SP5 telah bertanya kepada mangsa mengenai masalah yang dihadapinya. Mangsa enggan memberitahu apa-apa. SP5 pun memaksa mangsa untuk bercakap. Setelah itu baru mangsa menceritakan yang dirinya telah dirogol oleh perayu. Sewaktu menceritakan tentang kejadian itu, mangsa menangis dan berada di dalam ketakutan. [11] Setelah mendapat tahu tentang kejadian tersebut, SP5 telah berbincang dengan suaminya (ayah mangsa) dan pada 19 Disember 2020, mereka berdua telah membawa mangsa ke Balai Polis Parit Raja untuk membuat laporan polis. Selepas mangsa membuat laporan polis, SP5 telah menyuruh mangsa menghubungi perayu dan mengajak perayu untuk berjumpa dengan mangsa. Perancangan ini dilakukan semata-mata bagi memudahkan perayu ditangkap. Perayu bersetuju untuk berjumpa dengan mangsa di Oh My Tea di Parit Raja. Apabila perayu hadir di tempat yang dijanjikan, perayu telah ditangkap oleh bapa mangsa dan telah dibawa ke Balai Polis Parit Raja. [12] Selepas laporan tangkapan dibuat, pada tarikh yang sama juga (19 Disember 2020) lnspektor Wan Zahidah Binti Wan Saifuddin (SP7) yang juga merupakan pegawai penyiasat kes ini telah membawa mangsa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk menjalani pemeriksaan perubatan. [13] Pegawai perubatan iaitu Dr Tay Xin Yan (SP4) telah memeriksa mangsa dan mengesahkan terdapat koyakan lama pada selaput dara (hymen) mangsa pada kedudukan pukul 3, 5 dan 7. Menurut SP4, ketiga-tiga koyakan tersebut sudah berusia lebih dari 72 jam dan boleh disebabkan oleh kemasukan jari atau zakar. Peruntukan Undang-Undang Yang Berkaitan