KERAJAAN MALAYSIA …RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN [1] Permohonan untuk semakan kehakiman atas keputusan Responden 1 mendapati Pemohon bersalah atas 2 pertuduhan yang disahkan oleh Responden 2 sebagaimana hukuman di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993 (selepas ini dirujuk sebagai “Peraturan berkaitan”) seperti berikut: “a. Pertuduhan pertama: Hukuman turun gaji sebanyak tiga (3) pergerakan bagi tempoh 36 bulan mengikut Peraturan 38(e), [P.U(A) 395/1993]; b. Pertuduhan kedua: Hukuman turun gaji sebanyak tiga (3) pergerakan bagi tempoh 36 bulan mengikut Peraturan 38(e) [P.U(A) 395/1993].” [2] Hukuman tersebut ialah terhadap 2 pertuduhan ke atas Pemohon di bawah Peraturan 4(2)(j) dan Peraturan 4(2)(i) Peraturan berkaitan seperti berikut: “Pertuduhan pertama: Bahawa tuan, Muhamad Shahrul Mu’iz bin Rahadi, No. K/P: 940524-03- 6419, Pembantu Penguasa Kastam, Gred WK19, semasa bertugas di Lorong Nombor 10, Laluan Masuk ke Malaysia, Cawangan pemeriksaan Penumpang Bangunan Sultan Iskandar, Bahagian Perkastaman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Johor pada 25.1.2018 jam lebih kurang 1330H telah dengan cuainya melepaskan daripada kawalan kastam sebuah van Nissan Urvan berwarna putih dengan nombor pendaftaran WWY 6267 yang membawa barang larangan berupa 846 botol minuman keras pelbagai jenama berjumlah 687 liter yang mana dagangan tersebut merupakan larangan import di bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017. Perbuatan tuan ini boleh diertikan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas-tugasnya dan seterusnya boleh menyebabkan tuan dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan Peraturan 4(2)(j) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993]. Pertuduhan kedua: Bahawa tuan, Muhamad Shahrul Mu’iz bin Rahadi, No. K/P: 940524-03- 6419, Pembantu Penguasa Kastam, Gred WK19, semasa bertugas di Lorong Nombor 10, Laluan Masuk ke Malaysia, Cawangan pemeriksaan Penumpang Bangunan Sultan Iskandar, Bahagian Perkastaman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Johor pada 25.1.2018 jam lebih kurang 1330H telah dengan cuainya melepaskan daripada kawalan kastam sebuah van berwarna putih dengan nombor pendaftaran PEX 9532. Perbuatan tuan ini telah melanggar Proses Kerja (3) Aktiviti 2 Mengendalikan Pemeriksaan Kereta Penumpang dan boleh diertikan sebagai ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah dan seterusnya boleh menyebabkan tuan dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan Peraturan 4(2)(i) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].” Alasan ringkas Mahkamah membenarkan semakan kehakiman [3] Mahkamah telah membenarkan permohonan semakan ini kerana hukuman yang dijatuhkan ke atas Pemohon tidak menyebut secara nyata jika potongan gaji ini akan berjalan secara serentak iaitu hanya sekali bagi kedua-dua pertuduhan atau secara berasingan melibatkan potongan masing-masing ke atas kedua-dua pertuduhan. Surat keputusan tindakan tatatertib kepada Pemohon bertarikh 3.8.2021 (lihat: lampiran 2 Afidavit Sokongan Pemohon eksibit “MSMR-8” atau eksibit “AL-3” lampiran 10 afidavit Responden 1) juga tidak menyatakan bila potongan akan bermula (lihat: para [1] Alasan Penghakiman ini). [4] Penjelasan di atas kedua-dua isu ini hanya diketahui Pemohon apabila menerima surat Keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam bertarikh 31.1.2023 yang memutuskan hukuman bermula pada 16.7.2021 (lihat: lampiran 10 eksibit “AL-5“), selain dijelaskan dalam afidavit Responden 1 yang difailkan setelah semakan Kehakiman ini dimulakan (lihat: lampiran 10 para 9.13). [5] Bagi isu jika berjalan secara serentak atau berasingan, ia hanya terkandung di dalam afidavit Responden 1 dan 2 setelah permohonan semakan ini difailkan (lihat: lampiran 10 para 29.2 dan lampiran 14 para 11.5(iii) dan para 17.2) dan ulasan Mahkamah ini di para 37 alasan penghakiman ini. [6] Dalam membenarkan semakan Kehakiman ini juga, Mahkamah mendapati pertuduhan tidak mengandungi fakta yang memadai bagi membuktikan kesalahan sebagaimana dipertuduhkan kerana tidak mengandungi fakta bahawa laluan 10 ialah laluan merah, satu laluan yang kritikal yang mensyaratkan untuk pemeriksaan dibuat dan dengan lebih teliti. Selain daripada itu, pertuduhan juga tidak membawa keterangan fakta yang mencukupi berlakunya apa yang dimaksudkan dengan “melepaskan daripada kawalan Kastam”. [7] Kesemua isu-isu ini telah diajukan kepada SFC semasa pendengaran permohonan semakan Kehakiman ini untuk tujuan penjelasan. Dapatan lanjut Mahkamah diturunkan dengan lebih terperinci di bawah. Latar belakang [8] Pemohon dengan nombor badan 13554 seorang Pembantu Penguasa Kastam mula bertugas pada 17.9.2013 dan disahkan jawatan pada 16.9.2014 dan ditempatkan di Cawangan Penumpang, Bangunan Sultan Iskandar, Bahagian Perkastaman, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Johor. [9] Kedua-dua hukuman ini berbangkit daripada kejadian pada 25.1.2018 ketika Pemohon bertugas di laluan yang dikatakan Responden sebagai laluan merah Lorong Nombor 10, Laluan Masuk ke Malaysia, Cawangan Permeriksaan Penumpang Bangunan Sultan Iskandar, Bahagian Perkastaman, Johor. Laluan merah adalah laluan untuk penumpang dan/atau kenderaan yang melalui kaunter pemeriksaan Kastam untuk mengikrar barang berduti dan barang larangan mutlak/bersyarat. [10] Kedua-dua versi kejadian sebagaimana yang dinyatakan oleh Pemohon berbeza dengan versi kejadian yang dikemukakan oleh Responden melalui 3 afidavit jawapan yang difailkan oleh anggota yang bertugas di laluan No. 9 (Puan Nur Farahin Bte Razali) dan laluan No.11 (Puan Nik Nursyafiqah Bte Mohd Yusoff) serta penyelia yang bertugas pada hari tersebut (Puan Siti Norsuhana binti Jafri), masing-masing lampiran 13, 12 dan 11. Versi Pemohon berdasarkan afidavit sokongan Pemohon lampiran 2 dan surat representasi pemohon eksibit “MSMR-7” serta versi Responden: [11] Pemohon tiada pengetahuan atau dimaklumkan bahawa Lorong 10 ialah laluan merah. Pemohon menyatakan hasil daripada pemerhatian Pemohon terhadap sebuah van nombor WWY 6267 yang dalam keadaan menimbulkan curiga, telah mengarahkan pemandu untuk berhenti di tempat letak kereta berdekatan bagi tujuan pemeriksaan tetapi tidak melepasi palang kawasan Kastam. Ini membolehkan pemerhatian terus dibuat atas van ini sehingga pemeriksaan lanjut dapat dibuat. Ia juga bertujuan mengelakkan kesesakan di laluan, sementara Pemohon mengendalikan pemeriksaan atas kenderaan-kenderaan lain yang berterusan melalui Lorong 10 tersebut. [12] Arahan Pemohon ini juga selari dengan Pekeliling Bahagian Perkastaman Bil. 2/2011 bertarikh 19.5.2011 yang menetapkan untuk pemeriksaan dijalankan oleh sekurang-kurangnya 2 pegawai, bagi membolehkan Pemohon mendapatkan kehadiran seorang lagi pemeriksa kerana pada ketika itu pegawai menjaga Lorong 11 tidak berada di Lorong 11 kerana menurut Pemohon, sedang berehat. [13] Versi Pemohon setakat bahawa tiada anggota bertugas di laluan 11 disokong oleh afidavit Penyelia Pemohon dan anggota bertugas di laluan 11, yang menyatakan terdapat arahan baru daripada Penyelia sebelum anggota memulakan tugas untuk laluan 11 ditutup dan anggota dikehendaki bertugas di laluan 12 laluan hijau. Penyelia menyatakan Pemohon tahu berkenaan arahan baharu ini. Pemohon walau bagaimanapun, menafikan mempunyai pengetahuan ini. [14] Selesai dengan pemeriksaan kenderaan lain di laluan dan dalam keadaan van serta pemandunya masih dapat dilihat, Pemohon telah segera mendapatkan penyelianya bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dibuat. Malangnya, ketika kedua-dua Pemohon dan Penyelia tiba ke van, didapati van dalam keadaan berkunci dan pemandu telah tiada. Penyelia tidak mempertikaikan bahawa Pemohon telah mendapatkannya untuk tujuan pemeriksaan van tersebut. [15] Hasil pemeriksaan oleh Bahagian Penguatkuasaan selanjutnya, mendapati barang-barang larangan berupa minuman keras pelbagai jenama suatu dagangan larangan import Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import 2017). Barangan larangan dan van dirampas untuk tindakan dengan laporan polis dibuat. [16] Pada tarikh yang sama, satu van nombor PEX 9532 memasuki Lorong yang sama dan diarahkan Pemohon berhenti untuk pemeriksaan. Pemohon telah mengarahkan pemandu untuk membuat pengikraran jika ada membawa barangan yang boleh dikenakan cukai atau barangan larangan. Pemandu van secara lisan juga secara tangan menyatakan bahawa tidak ada barangan yang boleh dikenakan cukai atau barang larangan yang perlu diikrarkan. [17] Tambahan kepada arahan Pemohon untuk pemandu van membuat ikrar, Pemohon juga membuat pemeriksaan dengan melihat ke dalam van melalui cermin cerah dan mendapati tiada apa-apa barang terlarang atau yang boleh dikenakan cukai. Tindakan Pemohon di atas, menurutnya adalah sebagaimana menurut petunjuk-petunjuk risiko yang dikeluarkan melalui Surat Pekeliling Bahagian Perkastaman Bil. 2/2011 bertarikh