anggapan inferens bertentangan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan hendaklah dibangkitkan terhadap pihak pendakwaan. [11] Keempat, berdasarkan keterangan SP1, SP2 dan SP5 yang konsisten dan saling menyokong antara satu sama lain, Mahkamah ini mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tidak wujud kelompangan dalam rantaian keterangan berkaitan dengan pengendalian barang kes dadah dalam kes ini. Berdasarkan keterangan saksi-saksi tersebut, pihak pendakwaan berjaya membuktikan secara prima facie bahawa rantaian keterangan barang kes dadah tersebut adalah tidak terjejas (intact) dan tidak terputus sejak ia mula dirampas oleh SP1 di tempat kejadian dan kemudiannya diserahkan kepada SP5 sebagai Pegawai Penyiasat dan seterusnya diserahkan kepada SP2 sebagai Ahli Kimia untuk dianalisis. [12] Kelima, berdasarkan Nota Keterangan dan Alasan Penghakiman HMS, Mahkamah ini mendapati HMS tidak tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan wujudnya suatu kes prima facie terhadap Tertuduh pada akhir kes pendakwaan dan wujudnya suatu kes tanpa sebarang keraguan yang munasabah terhadap Tertuduh pada akhir kes. Oleh itu, sabitan ke atas Tertuduh adalah selamat dan tiada alasan untuk Mahkamah ini mengubah dan mengetepikan dapatan dan keputusan HMS tersebut. [13] Keenam, berdasarkan Nota Keterangan dan Alasan Penghakiman HMS, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa pembelaan Tertuduh adalah bersifat pembelaan kosong dan pemikiran terkemudian semata-mata dan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Dalam pembelaannya, Tertuduh telah menafikan beg berzip warna hitam tersebut adalah miliknya dan menafikan berada di dalam bilik B3 tersebut semasa serbuan dibuat. Jika beg berzip warna hitam itu bukan kepunyaan Tertuduh, bagaimana dokumen-dokumen peribadi Tertuduh boleh berada dalam beg berzip warna hitam tersebut. [14] Selanjutnya, keterangan adik Tertuduh, iaitu SD2, telah gagal menyokong keterangan Tertuduh dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah kepada kes pendakwaan kerana SD2 tidak berada di dalam bilik B3 tersebut semasa SP1 dan anggota serbuan membuat serbuan dan rampasan barang kes dadah tersebut ke atas Tertuduh di dalam bilik B3 tersebut. Oleh itu, SD2 tidak nampak dan tidak boleh mengesahkan apa sebenarnya yang berlaku di dalam bilik B3 tersebut semasa serbuan tersebut dilakukan oleh anggota serbuan. [15] Selain itu, Tertuduh juga telah gagal memanggil anggota serbuan lain yang ditawarkan sebagai saksi kepada pihak pembelaan untuk membuktikan bahawa serbuan tersebut tidak dibuat di bilik B3 dan bahawa pihak polis yang telah meletakkan (planted) beg berzip warna hitam tersebut di dalam bilik B3 tersebut. [16] Seterusnya, Tertuduh juga tidak ada membuat apa-apa laporan polis bagi menyokong dakwaannya bahawa pihak polis sebenarnya yang telah meletakkan beg berzip warna hitam tersebut di dalam bilik B3 tersebut untuk mengenakan dan menganiaya Tertuduh. [17] Oleh itu, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa pembelaan Tertuduh hanyalah bersifat pembelaan kosong dan pemikiran terkemudian. [18] Ketujuh, mengenai hukuman pula, Mahkamah ini mendapati hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali yang dikenakan oleh HMS ke atas Tertuduh tersebut adalah mengikut undang-undang dan setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan oleh Tertuduh. Hukuman tersebut adalah mengikut trend penghukuman dan tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. [19] Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah ini telah menolak rayuan Perayu dan mengekalkan keseluruhan keputusan HMS. Tarikh : 27 Februari 2025 (DR. ARIK SANUSI BIN YEOP JOHARI) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Kangar Negeri Perlis Peguam Cara Pihak-Pihak: Peguam Perayu: Encik Mohd Zamri Bin Ibrahim Tetuan Zamri Ibrahim & Co Peguam Bela dan Peguam Cara No.33 Jalan Sena Indah Taman Sena Indah 01000 Kangar Perlis Peguam Responden: TPR Tuan Mohd Izham Bin Ali Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis Aras3, Blok B Kompleks Pentadbiran Kerajan Negeri Perlis Persiaran Wawasan 01000 Kangar