orang tersebut hendaklah menjalani apa-apa jua program bagi pemulihan penagih dadah yang diadakan oleh Kerajaan. [19] Syarat di Perenggan (f) tersebut adalah selari sepertimana diperuntukkan dalam Seksyen 6(2)(f) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998. [20] Mahkamah ini, setelah meneliti eksibit-eksibit yang dikemukakan oleh Pihak Pendakwaan, selanjutnya membuat dapatan berikut:- i. Pada masa tangkapan, OKT masih tertakluk di bawah Perintah Pengawasan tersebut bermula 19.8.2023 sehingga 18.9.2025; ii. Oleh itu, adalah mandatori ke atas OKT untuk mematuhi kesemua syarat yang diperuntukkan dalam Perintah tersebut; iii. Sepanjang tempoh pengawasan tersebut, OKT hanya hadir ke program pemulihan yang dianjurkan AADK sebanyak 6 kali; iv. Rekod Kehadiran Bulanan Orang Kena Pengawasan (OKP) (P6) adalah dirujuk. OKT didapati telah gagal hadir ke program pemulihan mengikut tarikh-tarikh yang diberikan bermula 31.1.2024 sehingga 11.12.2024, yang mana OKT hanya hadir sebanyak 3 kali sepanjang tempoh masa ini; v. Selepas 11.12.2024, tiada kehadiran OKT ke mana-mana program pemulihan yang ditetapkan AADK telah direkodkan; vi. Surat Peringatan juga telah dihantar kepada alamat OKT sepertimana dalam Perintah Pengawasan sebanyak 2 kali iaitu pada 26.3.2025 dan 12.5.2025. Ini diikuti dengan Catatan Panggilan Telefon yang dibuat pada 12.3.2025. vii. OKT kemudiannya ditangkap pada 23.6.2025. [21] Berdasarkan kronologi kes ini, Mahkamah mendapati bahawa pihak AADK telahpun memberi peluang kepada OKT untuk hadir ke program pemulihan dengan beberapa cubaan untuk menghubungi OKT. Tindakan pihak AADK ini adalah dikira munasabah dan OKT telahpun diberikan peluang untuk memperbaiki tanggungjawab ke atas dirinya sendiri. Kegagalan OKT untuk mematuhi syarat mandatori dalam Perintah Pengawasan tersebut adalah satu tindakan yang perlu dipandang serius. [22] Mahkamah ini turut berpeluang mendengar rayuan mitigasi dari Peguam YBGK yang mewakili OKT pada hari pertuduhan tersebut. Adalah dihujahkan oleh pembelaan bahawa OKT ini berumur 32 tahun, seorang duda dan mempunyai seorang anak berusia 4 tahun. OKT bekerja di kedai percetakan dengan pendapatan RM1500 sebulan. Pembelaan juga memohon agar Mahkamah mengambil kira bahawa OKT telah mengaku salah dan menjimatkan masa dan kos Mahkamah. Oleh itu, hukuman pemenjaraan minimum adalah dipohon. [23] Pada masa yang sama, pihak pendakwaan memohon agar suatu hukuman setimpal dikenakan ke atas OKT mengikut fakta kes dan keadaan OKT yang positif dadah berbahaya semasa ujian saringan awal air kencing dilakukan pada 23.6.2025. [24] Dalam mewujudkan keseimbangan antara faktor mitigasi dan pemberatan yang dikemukakan ke hadapan Mahkamah ini, nas kes TAN LAY CHEN v. PUBLIC PROSECUTOR [2001] 1 MLJ 135; [2000] 4 CLJ 492 adalah dirujuk yang dipetik penghakiman berikut:- “The phrase ‘pass sentence according to law’ in the subsection means that the sentence imposed must not only be within the ambit of the punishable section but it must also be assessed and passed in accordance with established judicial principles (see Re Chang Cheng Hoe & Ors [1966] 2 MLJ 252; Public Prosecutor v. Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315; Philip Lau Chee Heng v. Public Prosecutor [1988] 3 MLJ 107). The assessment of a sentence in accordance with judicial principles clearly contemplates, inter alia, a consideration of the mitigating circumstances in favour of the person to be sentenced. It is generally accepted that an accused person should be given credit or discount for pleading guilty (see Sau Soo Kim v. Public Prosecutor [1975] 2 MLJ 134; Public Prosecutor v. Sulaiman bin Ahmad [1993] 1 MLJ 74; Public Prosecutor v. Ravindran & Ors [1993] 1 MLJ 45). However, this is not a strict rule as the court may, in the exercise of its discretion, refuse to grant any discount in an appropriate case (see Zaidon bin Shariff v. Public Prosecutor [1996] MLJU 159; [1996] 4 CLJ 441; Lee Say & Ors v. Public Prosecutor [1985] 2 CLJ 155). The severity of the offence committed may outweigh the mitigating effect of a guilty plea (see Loh Hock Seng v. Public Prosecutor [1980] 2 MLJ 13, Public Prosecutor v. Oo Leng Swee & Ors [1981] 1 MLJ 247). Where public interest demands a deterrent sentence in the circumstances of a particular case, then the effect of a guilty plea must also give way (see Sim Gek Yong v. Public Prosecutor [1995] 1 SLR 537; R v. Costen [1989] 11 Cr App R (S) 182). Thus, there can be no automatic rule that a guilty plea on its own entitles an accused to a lesser punishment (see Public Prosecutor v. Govindnan a/l Chinden Nair [1998] 2 MLJ 181)” [25] Adalah jelas bahawa dalam mengambil kira pengakuan bersalah OKT, Mahkamah ini perlu jua melihat kepada keseriusan sesuatu kesalahan itu berserta dengan keperluan untuk menjaga kepentingan awam. Pengakuan bersalah semata-mata tidaklah menjadi kayu ukur utama dalam menentukan sesuatu hukuman yang bersesuaian. [26] Adalah tidak dinafikan bahawa masalah penagihan dadah ini adalah barah dalam masyarakat semasa. Pandangan ini telah disuarakan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes ADAM ATAN V. PP [2009] 1 CLJ 33 yang menyatakan seperti berikut:- “[7] There is no gain say that drug offenders are a menace to society. They are nothing less than serpents on the front lawn of justice and should be dealt with accordingly. Every day we read in the newspapers about the efforts of the law enforcement agencies in seizing large quantities of dangerous drugs and of the deleterious nature of these drugs which is visited upon members of our society, in particular our youth. The courts will be failing in their duty if they do not take a serious view towards the offences of this nature. The sentence imposed must not only be commensurate with the offence in this case but must also stop would be offender’s dead in their tracks from committing it. [27] Selanjutnya, Mahkamah ingin menyebut semula niat Parlimen semasa Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 ini digubal buat pertama kalinya. Rujukan dibuat kepada Penyata Rasmi Parlimen Jilid 1 Bil. 24 Mukasurat 3118 sehingga 3120 yang mana Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu, semasa membentangkan Rang Undang-undang berkaitan akta tersebut telah menyatakan seperti berikut:- “Tuan Yang Dipertua, satu perkara pokok dalam peruntukan baru ini ialah menetapkan tanggungjawab mengenai rawatan dan pemulihan penagih-penagih dadah di bawah bidang kuasa Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Ini ialah kerana Kerajaan telah mengenalpasti bahawa masalah dadah di negara ini bukan lagi merupakan satu masalah sosial semata-mata, tetapi ianya telah melibatkan ketahanan nasional dan keselamatan negara. …….. Tuan Yang Dipertua, cadangan untuk mencegah daripada merebaknya wabak dadah ini ialah dengan memulih dengan berkesannya penagih-penagih dadah supaya mereka tidak kembali kepada tabiat yang lama. Undang-undang yang dicadangkan ini adlaah hasil dari penelitian dan kajian yang dibuat terhadap proses pemulihan dan rawatan pada masa yang lalu. Adalah diharapkan dengan cadangan ini pemulihan dan rawatan akan lebih menghasilkan kejayaan sebagaimana yang sepatutnya.” [28] Adalah dapat dilihat dalam menzahirkan keseriusan kerajaan untuk menangani masalah gejala dadah ini, suatu Akta yang khas untuk pemulihan dan rawatan terhadap individu yang terlibat dengan dadah ini telah diwujudkan. Akta tersebut juga telah digubal dengan penuh teliti mengambil kira proses pemulihan dan rawatan yang sesuai dan berkesan untuk dijalankan. Komitmen kerajaan dalam menambah baik proses pemulihan ini dapat dilihat saban tahun sehinggalah pindaan terkini Akta tersebut dilaksanakan. [29] Oleh itu, syarat dalam Perintah Pengawasan untuk OKT hadir menjalani program rawatan dan pemulihan yang ditetapkan oleh Kerajaan ini bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang enteng. Ianya merupakan suatu usaha aktif kerajaan dalam memperbaiki kebergantungan OKT terhadap penyalahgunaan dadah. Tambahan pula, dalam kes semasa, OKT ini bebas untuk menjalankan aktiviti sehariannya tanpa perlu menjalani program rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan, oleh itu, dengan diwajibkan hadir ke program pemulihan yang dianjurkan oleh AADK, ini merupakan cara terbaik untuk memastikan OKT ini berubah menjadi lebih baik sepanjang tempoh pengawasan tersebut. [30] Keseriusan kes, kepentingan awam dan cara kesalahan ini dilakukan juga telah melebihi faktor mitigasi yang dihadapkan di Mahkamah ini. Tiada alasan munasabah telah diberikan oleh OKT akan kegagalan OKT mematuhi syarat yang dikenakan. Mengambil kira usia OKT yang muda dan latar belakang OKT itu sendiri, Mahkamah ini berpendapat suatu hukuman berbentuk “deterrent” perlu diberikan. E. KESIMPULAN [31] Sepertimana disebut dalam kes PP v Md Rashid Harun [2000] 3 CLJ 832, Mahkamah perlu menyeimbangkan kepentingan awam dan kepentingan Tertuduh dalam menentukan hukuman yang bersesuaian. [32] Oleh itu, setelah mempertimbangkan kesemua faktor yang dinyatakan di atas, berserta rujukan selaras dengan peruntukkan undang-undang yang berkaitan, Mahkamah berpendapat suatu hukuman pemenjaraan adalah sesuai untuk diberikan ke atas OKT. Berkaitan tempoh sesuatu hukuman pemenjaraan ini, nas kes Mahkamah Tinggi PP v Shariffah Syed Hashim [2006] 6 CLJ 503 dirujuk:- “Hukuman yang wajar dikenakan terhadap tertuduh hendaklah merupakan suatu hukuman yang berunsurkan pencegahan dan dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada tertuduh. Dalam pada itu hukuman tersebut hendaklah juga merupakan suatu hukuman yang dapat memberikan peluang pemulihan dan rehabilitasi kepada tertuduh. Proses rehabilitasi di dalam penjara memerlukan masa dan sekiranya sesuatu hukuman itu terlalu pendek, proses tersebut mungkin tidak dapat dilakukan dan memberikan apa-apa kesan. Dalam masa yang sama juga hukuman penjara yang terlalu lama juga akan menimbulkan kesan negatif dan mungkin akan menjadikan seseorang pesalah itu sebagai 'hard core criminal' kelak.” [33] Mahkamah ini selanjutnya mendapati hukuman penjara 7 bulan bermula daripada tarikh tangkapan ke atas OKT adalah setimpal dan wajar untuk kesalahan yang dilakukan. Tempoh masa pemenjaraan ini juga adalah masih dalam kerangka undang-undang sedia ada dan dilihat sebagai suatu jangka masa yang membolehkan rehabilitasi diberikan kepada OKT untuk membuka lembaran baru dalam hidupnya. [34] Penghakiman ini dibuat berdasarkan pandangan dan dapatan terhadap fakta kes semasa, dan Mahkamah ini seterusnya menyerahkan kepada pertimbangan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi untuk diteliti yang mana akan menjadi panduan kepada Mahkamah ini kelak. Bertarikh: 23 Ogos 2025 (AINI ADILAH MUHAMMAD FAIZAL) Majistret Mahkamah Majistret Butterworth Pulau Pinang Kaunsel: Bagi pihak Pendakwaan: Agensi Anti Dadah Kebangsaan Malaysia Bagi pihak Pembelaan: