Content
DI DALAM MAHKAMAH SESYEN DI TELUK INTAN DI DALAM NEGERI PERAK NO. KES AC-62JS-4-02/2021 PP V. MUHAMMAD AIMAN TAN BIN ABDULLAH ALASAN PENGHAKIMAN
AC-62JS-4-02/2021
Sessions Court of Malaysia10 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“26. Definisi keraguan munasabah telah dijelaskan oleh Sharma J dalam kes PP v. Saimin & Ors [1971] CLJU 115 sebagai ‘a doubt so solemn and substantial as to produce in the minds of the jurors some uncertainty as to the verdict to be given. A reasonable doubt must be a doubt arising from the evidence or wan”
“27.1.5 Keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Anwar 2004 (supra) juga senada dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ku Lip See v. PP [1981] CLJU 155, di mana mahkamah memutuskan bahawa ‘although the charge has not stated exactly when the offence was committed during the months of May and June 1978, it”
“27.1.6 Di dalam kes Mohamad Rosli Naqur Gani v. PP [2024] CLJU 541 juga, Ravinthran Paramaguru HMR memutuskan: “We are of the view that failure to state the time of the offence accurately would only be fatal of the circumstances are such that it would mislead the a”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DI DALAM MAHKAMAH SESYEN DI TELUK INTAN DI DALAM NEGERI PERAK NO. KES AC-62JS-4-02/2021 PP V. MUHAMMAD AIMAN TAN BIN ABDULLAH ALASAN PENGHAKIMAN
1
Tertuduh di dalam kes ini telah dipertuduhkan untuk satu kesalahan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa bernama Aidil Imran bin Mispan, di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan. Sekiranya disabitkan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.
2
Pertuduhan ke atas tertuduh adalah seperti berikut: Bahawa kamu, pada 18.1.2020 di antara jam lebih kurang 12.10 tengah malam hingga 2.30 pagi di rumah alamat no. 161, Jalan Laksamana, 36000 Teluk Intan, Perak di daerah Hilir Perak, di negeri Perak, telah melakukan perbuatan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap Aidil Imran bin Mispan No KPT 980407-10-XXXX. Oleh itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan.
3
Pada pagi 24.6.2020, jam lebih kurang 4.15 pagi, tertuduh telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi menyatakan bahawa beliau telah berkenalan dengan mangsa bernama Aidil Imran bin Mispan melalui sebuah aplikasi telefon GRINDR. Di dalam laporan polis tersebut (eksibit P6), dinyatakan bahawa tertuduh dan mangsa telah bersetuju untuk melakukan hubungan sejenis di sebuah rumah di Jalan Laksamana, Teluk Intan, Perak pada bulan Januari 2020. Tertuduh menyatakan bahawa beliau dan mangsa telah meneruskan hubungan mereka selepas kejadian itu namun selepas beberapa bulan, mereka telah berselisih faham, yang menyebabkan mangsa menghilangkan diri dengan membawa beberapa barang milik tertuduh, dan menyekat nombor telefon tertuduh.
4
Pada tarikh yang sama lebih kurang jam 8.45 pagi, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada ibunya di kampung bahawa seorang lelaki bernama Aiman Tan bin Abdullah telah datang ke rumah ibubapanya, dan telah memberitahu penduduk kampung bahawa mangsa telah melakukan hubungan sejenis bersama lelaki tersebut. Mangsa kemudian telah bertindak membuat satu laporan polis berkenaan perkara ini (eksibit P5), dan menyatakan bahawa beliau telah menjalani kaunseling daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang telah menasihatkan agar beliau berhenti menjalani kehidupan songsang dan agar beliau menyekat nombor telefon tertuduh. Mangsa juga telah mengesahkan bahawa beliau berkenalan dengan tertuduh melalui sebuah aplikasi untuk golongan homoseksual di dalam eksibit P5 ini.
5
Bertindak atas kedua-dua laporan polis yang dibuat oleh tertuduh dan mangsa, SP1 iaitu pegawai tangkapan telah menangkap kedua-dua individu tersebut. Tertuduh kemudiannya didakwa di mahkamah dengan pertuduhan tersebut di atas, dan tertuduh minta dibicarakan.
6
Pihak pendakwaan telah memanggil empat orang saksi untuk membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh. Mereka adalah: SP1 – Insp Ahmad Souffi bin Mohd Shaffie SP2 – Kpl Yazid bin Pungut SP3 – Aidil Imran bin Mispan SP4 – Insp Raden Mohd Azlan bin Raden Perhan
7
Di akhir kes pendakwaan, Hakim Mahkamah Sesyen telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya mengadakan satu kes prima facie terhadap tertuduh dan telah memanggil tertuduh untuk membela diri. Tertuduh yang tidak diwakili telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah.
8
Kes pembelaan bermula dengan tertuduh memanggil tiga orang saksi, iaitu seperti berikut: SD1 – Muhammad Aiman Tan bin Abdullah SD2 – Nor Alfarizan binti Mokhtaruddin SD3 – Muhammad Saifuddin bin Zainordin.
9
Selepas itu, tertuduh telah mendapatkan khidmat peguambela untuk mewakilinya. Peguambela yang baru dilantik itu telah membuat permohonan untuk memanggil semula SP3 iaitu mangsa di dalam kes ini dan juga SP4 iaitu pegawai penyiasat kes. Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu telah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut, namun membenarkan tertuduh untuk memberikan keterangan semula bagi mengemukakan laporan polis yang telah dibuat oleh tertuduh sendiri.
10
Sebelum kes pembelaan bersambung, pihak pembelaan telah memfailkan suatu permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu yang tidak membenarkan SP3 dan SP4 dipanggil semula, dan Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan ini.
11
Pihak pembelaan kemudian telah memanggil individu berikut sebagai saksi: SD4 – Dr. Loh Jing Wen SD1 – (dipanggil semula) SP3 – (dipanggil semula)
12
Ketiga-tiga saksi ini telah didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang baru ditukarkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan, bagi menggantikan Hakim yang lama yang telah mendengar kes ini dari permulaan.
13
Ini ialah keputusan bagi kes ini di akhir kes pembelaan, bagi pertuduhan di bawah seksyen 377B KK yang dikenakan ke atas tertuduh.
14
Bagi suatu pertuduhan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan, pihak pendakwaan mestilah membuktikan elemen-elemen berikut:
14
14.1 Tertuduh telah memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa,
14
14.2 Perbuatan tersebut telah berlaku pada 18 Januari 2020 di antara lebih kurang jam 12.10 tengah malam hingga 2.30 pagi, dan 14.3 Perbuatan tersebut telah berlaku di sebuah bilik tidur dalam rumah di alamat no. 161, Jalan Laksamana, 36000 Teluk Intan, Perak (rumah tersebut).
15
Secara ringkasnya, kes pendakwaan adalah seperti berikut:
15
15.1 Pengadu/mangsa (SP3) telah memberitahu mahkamah bahawa beliau telah berkenalan dengan tertuduh melalui satu aplikasi telefon GRINDR, iaitu satu aplikasi telefon bagi golongan homoseksual. Mereka bertemu pertama kali di sebuah lokasi dipanggil ‘Meet Point’ di dalam daerah Ampang, Selangor. Setelah itu mangsa bersetuju untuk membantu tertuduh mengambil suatu dokumen di rumah tertuduh di Teluk Intan, Perak. Mereka bergerak ke Teluk Intan dan tiba di rumah tertuduh lebih kurang pada waktu tengah malam. Setelah berehat seketika dan bermesraan, mangsa memberitahu mahkamah bahawa beliau dan tertuduh telah melakukan hubungan seks luar tabii. Mangsa mengatakan semasa hubungan seks tersebut, mangsa berada di posisi meniarap, dan mereka menggunakan pelincir di alat sulit tertuduh dan di dubur mangsa, kerana mangsa dapat melihat perkataan ‘KY’ pada pelincir tersebut. Mangsa memberitahu bahawa dia yakin tertuduh telah memasukkan zakar tertuduh ke dalam duburnya kerana dia dapat merasakan kehangatannya masuk ke dalam duburnya. Mangsa menganggarkan persetubuhan tersebut nerlaku selama tiga puluh minit, dan tertuduh hanya memasukkan zakarnya sekali sahaja. Setelah selesai mangsa kemudiannya membasuh dirinya dan kemudian tidur.
15
15.2 Pegawai penyiasat dalam kes ini (SP4) memberitahu mahkamah bahawa pada 24.6.2020 beliau telah menerima eksibit P6, iaitu laporan polis tertuduh, bahawa tertuduh dan mangsa telah menjalinkan hubungan seks di luar tabii di sebuah rumah di Teluk Intan. Oleh kerana tertuduh membuat laporan di luar Teluk Intan, SP4 telah menghubungi tertuduh melalui telefon dan menerangkan kepadanya bahawa laporan polis tersebut akan menyebabkan kedua-dua tertuduh dan mangsa ditangkap, dan SP4 meminta tertuduh untuk hadir sendiri di Hilir Perak untuk rakaman percakapan. Oleh kerana pada masa itu terdapat sekatan perjalanan akibat COVID-19, tertuduh tidak dapat hadir segera kerana ketiadaan permit dan kenderaan. Selepas itu pada hari yang sama, SP4 mendapat panggilan daripada pegawai polis di IPD Brickfields yang menyatakan bahawa mangsa di dalam kes ini telah buat laporan polis terhadap tertuduh yang dikatakan telah membuat kecoh di rumah ibu mangsa. SP4 kemudiannya telah meminta bantuan daripada Insp. Sofy dari IPD Brickfields untuk menangkap kedua-dua tertuduh dan mangsa dalam kes ini. Setelah mengambil tertuduh dan mangsa dari IPD Brickfields dan dibawa ke Teluk Intan, kedua-dua tertuduh dan mangsa telah ditahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan. Semasa dalam tempoh reman ini, tertuduh telah menarik balik laporan polis eksibit P6. Mangsa juga telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan perubatan. SP4 memberi keterangan bahawa siasatan di dalam kes ini dimulakan berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh tertuduh sendiri. Tiada rampasan barang kes yang besar di dalam kes kerana persetubuhan tersebut dilakukan pada bulan Januari 2020. Walaupun terdapat penarikan aduan oleh tertuduh, Timbalan Pendakwaraya telah mengarahkan agar tertuduh didakwa di mahkamah di bawah seksyen 377B KK.
16
Setelah menimbangkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, hujahan bertulis kedua belah pihak dan nas undang-undang, Hakim Mahkamah Sesyen pada ketika itu telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah mengadakan satu kes prima facie terhadap tertuduh dan tertuduh telah dipanggil untuk membela diri. Tertuduh telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah dan akan memanggil beberapa saksi lain untuk kes pembelaan.
17
Pembelaan tertuduh dimulakan dengan tertuduh memberikan keterangan bersumpah. Secara asasnya, beliau memberitahu bahawa sekiranya beliau didakwa di bawah seksyen 377B iaitu perbuatan liwat secara suka sama suka, sepatutnya mangsa di dalam kes ini juga harus didakwa bersama-sama beliau. Beliau juga mengatakan bahawa tiada bukti DNA dikemukakan oleh mahkamah untuk membuktikan bahawa perbuatan persetubuhan itu telah berlaku, dan perintah reman yang dikenakan terhadapnya adalah tidak sah. Beliau juga memberitahu bahawa di dalam rakaman prosiding pada 3 Ogos 2022, mangsa telah mengaku di dalam mahkamah bahawa beliau ada membuat fitnah terhadap tertuduh. Mangsa juga mengatakan di dalam laporan polis P6 beliau, beliau bermaksud untuk mengatakan beliau dan mangsa di dalam kes ini hanyalah pasangan sejenis, dan tidak pernah membuat hubungan seks. Mereka hanya meraba-raba antara satu sama lain. Tertuduh mengatakan bahawa di dalam rakaman percakapannya di bawah seksyen 51A KPJ yang dirakam di hadapan SP4, beliau telah mengaku telah membuat persetubuhan namun itu telah beliau lakukan secara terpaksa kerana telah dipukul oleh anggota polis di IPD Brickfields.
18
SD2 ialah seorang pegawai sains di Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya. Beliau mengatakan bahawa SP4 telah menghantar kepadanya sampel darah tertuduh dan mangsa (R1 dan R2), dan beberapa barang lain yang ditanda sebagai R3 sehingga R8, serta 1 dan 2 untuk tujuan analisis DNA. Di dalam laporan beliau iaitu P7, SD2 menyatakan bahawa tiada kesan menunjukkan kehadiran air mani dan darah pada barang bertanda R3 sehingga R8, serta nombor 1 dan 2. Oleh kerana itu, beliau tidak dapat menjalankan analisis DNA yang diminta oleh pegawai penyiasat.
19
Kes pembelaan ditangguhkan selepas ini kerana tertuduh telah melantik peguam baru untuk mewakilinya. Selepas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan peguambela untuk memanggil semula SD1, SP3 dan SP4, peguambela memberitahu mahkamah bahawa mereka hanya akan memanggil semula SD1 dan SP3, dan seorang lagi saksi pembelaan.
20
SD4 ialah seorang pengamal perubatan di Jabatan Pembedahan Hospital Taiping, dan merupakan individu yang menyediakan laporan perubatan mangsa (eksibit P8). Beliau memberitahu mahkamah bahawa semasa mangsa dibawa kepada beliau untuk mendapatkan rawatan pada 25 Jun 2020, mangsa telah memberitahu beliau bahawa mangsa telah mengadakan persetubuhan anal pada 22 Jun 2020, iaitu lebih daripada 72 jam sebelum pemeriksaan. Pada hari tersebut, SD4 telah menjalankan pemeriksaan genito anal ke atas kedua-dua mangsa dan tertuduh, namun tidak menjumpai sebarang indikasi bahawa terdapatnya kemasukan (penetration) bagi kedua-duanya. Oleh itu beliau membuat keputusan bahawa tiada sebarang tanda bahawa sodomi telah berlaku atas kedua-dua mangsa dan tertuduh. SD4 mengatakan bahawa walaupun pemeriksaan dijalankan pada 25 Jun 2020, laporan perubatan rasmi hanya disediakan pada 19 April 2021, namun ia dibuat berdasarkan beberapa dokumen yang SD4 sediakan berdasarkan keputusan pemeriksaan mangsa pada 25 Jun 2020.
21
Tertuduh SD1 telah dipanggil semula untuk pemeriksaan berkenaan laporan penarikan semula kes oleh beliau. Tertuduh menerangkan bahawa sebelum kejadian beliau ditangkap oleh polis di dalam kes ini, tertuduh sebenarnya telah membuat satu laporan polis berkenaan mangsa yang mencuri barangnya dan kes itu masih belum diselesaikan. Laporan polis berkenaan kejadian curi ini walau bagaimanapun tidak dikemukakan kepada mahkamah. Usaha tertuduh untuk mencari dan menghubungi mangsa untuk menyelesaikan isu kecurian ini secara baik dengan mangsa gagal, memandangkan mangsa telah menyekat nombor telefon tertuduh. Ini, menurut tertuduh, adalah punca kenapa beliau membuat laporan polis eksibit P6 pada mulanya. Tertuduh juga memberitahu bahawa tujuan beliau memasukkan ayat ‘...telah berlaku hubungan sejenis antara saya dan Aidil’ ialah kerana tertuduh tersangat marah dan naik angin.
22
Tertuduh juga memberitahu bahawa pada 29 Jun 2020 beliau telah membuat satu laporan polis bagi menarik semula laporan polis P6 sebelum itu. Ini menurut beliau adalah hasil perbincangan antara beliau dan mangsa semasa mereka berdua ditahan reman di lokap di Teluk Intan. Tertuduh menyatakan, beliau telah membuat rakaman percakapan di hadapan SP4 secara terpaksa kerana beliau telah dipukul semasa berada di IPD Brickfields. Beliau juga telah mohon untuk buat rawatan daripada SP4 dan untuk berjumpa peguamnya, namun permohonanannya telah ditolak oleh SP4. Menurut tertuduh, SP4 juga menghalangnya dari membuat laporan polis terhadap SP4 berkenaan SP4 menghalangnya daripada menghubungi peguam, namun selepas dilepaskan dari tahanan polis, beliau tetap tidak membuat sebarang laporan polis berkenaan isu tersebut.
23
Tertuduh juga memberi keterangan bahawa tiga bulan selepas beliau dan mangsa ditangkap, beliau telah membuat satu lagi laporan polis (IDD12) menyatakan bahawa SP4 telah menyalahgunakan kuasa beliau untuk ‘mengenakan’ tertuduh di bawah seksyen 377B melalui mangsa, bahawa SP4 telah menakutkan atau mengganggu mangsa di dalam kes ini, dan bahawa keterangan yang beliau berikan kepada SP4 dan seorang Sarjan yang tidak dinamakan adalah tidak terpakai kerana diberikan di bawah paksaan.
24
Pihak pembelaan seterusnya telah memanggil semula mangsa, SP3. Mangsa bersetuju bahawa pernyataan bahawa tertuduh telah datang ke kampung ibubapanya dan memberitahu penduduk kampung bahawa tertuduh dan mangsa telah melakukan hubungan sejenis, hanyalah pernyataan dari ibu mangsa. Di dalam laporan polis mangsa eksibit P5 juga tiada dinyatakan apa-apa pernyataan berkenaan kejadian persetubuhan luar tabii pada 18 Januari 2020. Setelah ditanya oleh peguam berkenaan hubungan seks yang dilakukan oleh beliau dan tertuduh, mangsa memberitahu mahkamah bahawa semasa beliau meniarap, tertuduh berdiri di belakang beliau. Mangsa juga bersetuju bahawa beliau tidak mungkin boleh nampak pelincir telah digunakan oleh tertuduh kerana tertuduh berdiri di belakang mangsa. Mangsa juga bersetuju bahawa kehangatan yang dirasakannya masuk ke dalam duburnya juga tidak semestinya adalah alat sulit tertuduh, dan mungkin boleh jadi jari juga sebab keadaan pada ketika itu gelap.
25
Seksyen 182A KAJ menetapkan dengan jelas bahawa di peringkat penghujung perbicaraan, mahkamah mestilah membuat penilaian ke atas semua keterangan untuk memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.
26
Definisi keraguan munasabah telah dijelaskan oleh Sharma J dalam kes PP v. Saimin & Ors [1971] CLJU 115 sebagai ‘a doubt so solemn and substantial as to produce in the minds of the jurors some uncertainty as to the verdict to be given. A reasonable doubt must be a doubt arising from the evidence or want of evidence and cannot be an imaginary doubt or conjecture unrelated to evidence’.
27
Pihak pembelaan telah menimbulkan beberapa isu di dalam kes ini.
27
27.1 Intipati pertuduhan yang tidak jelas
27
27.1.1 Pihak pembelaan berhujah bahawa tertuduh di dalam kes ini telah dituduh melakukan persetubuhan yang bertentang dengan aturan tabii yang boleh dihukum di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang tidak memaparkan secara jelas intipati pertuduhan tersebut. Pihak pendakwaan juga tidak memasukkan seksyen 377A KK ke dalam pertuduhan ke atas tertuduh.
27
27.1.2 Pihak pembelaan juga berhujah bahawa tarikh dan masa yang dinyatakan di dalam pertuduhan ke atas tertuduh tidak seiring dengan fakta yang sedia ada di hadapan mahkamah ini. Laporan perubatan yang diisukan oleh SD4 ke atas mangsa merekodkan bahawa mangsa sendiri telah memberitahu doktor tersebut bahawa persetubuhan melalui anal tersebut berlaku pada 22 Jun 2020 dan tidak menyatakan tarikh 18 Januari 2020.
27
27.1.3 Pihak pembelaan seterusnya berhujah bahawa kandungan laporan polis mangsa P5 adalah merupakan keterangan dengar cakap, dan dokumen ini juga tidak memberikan apa-apa indikasi mengenai tarikh dan masa kelakuan jenayah itu dilakukan. Tarikh dan masa di dalam pertuduhan terhadap tertuduh hanyalah berdasarkan keterangan mangsa yang mengatakan hubungan luar tabii tersebut berlaku pada 18 Januari 2020 di sebuah rumah di Teluk Intan, yang tidak disokong oleh mana-mana bukti lain.
27
27.1.4 Pihak pembelaan menggunapakai kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v. PP & Anor Appeal [2004] 3 CLJ 737, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa adalah menjadi kewajipan bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan bila sesuatu kesalahan itu dilakukan kerana tempoh masa di mana perlakuan jenayah itu dikatakan dilakukan adalah sebahagian penting daripada sesuatu pertuduhan itu. Walau bagaimanapun, mahkamah ini membuat pemerhatian bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut telah dibuat mempertimbangkan bahawa pihak pembelaan menggunakan pembelaan bukti alibi bagi pihak tertuduh di dalam kes tersebut, yang mana tidak disandarkan oleh tertuduh di dalam kes ini.
27
27.1.5 Keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Anwar 2004 (supra) juga senada dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ku Lip See v. PP [1981] CLJU 155, di mana mahkamah memutuskan bahawa ‘although the charge has not stated exactly when the offence was committed during the months of May and June 1978, it has nevertheless specifically defined the time and place sufficiently to enable the applicant to answer the charge. The applicant did not put forward any alibi defence’.
27
27.1.6 Di dalam kes Mohamad Rosli Naqur Gani v. PP [2024] CLJU 541 juga, Ravinthran Paramaguru HMR memutuskan: “We are of the view that failure to state the time of the offence accurately would only be fatal of the circumstances are such that it would mislead the appellant in his defence.”
27
27.1.7 Mahkamah bersetuju bahawa percanggahan keterangan pada tarikh oleh mangsa dan ketiadaan sebarang dokumen bertulis menunjukkan tarikh bila perlakuan jenayah dikatakan berlaku, menyokong hujah pihak pembelaan bahawa terdapat percanggahan tarikh yang dinyatakan di dalam pertuduhan di atas. Merujuk kepada keterangan mangsa semasa kes pendakwaan juga, terdapat bukti perbualan teks antara tertuduh dan mangsa di dalam telefon mangsa yang menunjukkan tarikh bila dan bagaimana tertuduh dan mangsa akhirnya berjumpa dan sama-sama pergi ke Teluk Intan, namun ini tidak dikemukakan ke mahkamah, walaupun telefon kedua-dua mangsa dan tertuduh berada dalam simpanan pihak pegawai penyiasat.
27
27.1.8 Namun, adakah perkara-perkara ini telah menyebabkan tertuduh terkeliru dan tidak dapat menyediakan pembelaannya dengan berkesan? Eksibit P6 iaitu dokumen laporan polis yang dibuat oleh tertuduh, menyatakan secara jelas bahawa suatu hubungan sejenis telah berlaku di antara tertuduh dan mangsa pada pertengahan bulan Januari 2020 di sebuah rumah di Teluk Intan. Mahkamah juga telah meneliti keterangan yang diberikan oleh mangsa semasa kes pendakwaan dan mendapati isu berkenaan tarikh ini tidak memberi kesan kepada pembelaan tertuduh, yang juga tidak menggunakan bukti alibi sebagai pembelaan beliau. Soalan-soalan yang diberikan oleh tertuduh kepada mangsa semasa pemeriksaan balas tidak menyangkal bahawa beliau dan mangsa telah bertemu pada suatu malam yang dikatakan pada 18.1.2020 oleh mangsa di sebuah lokasi dipanggil Meet Point pada jam lebih kurang 8 malam, dan kemudian mereka telah bersama-sama pergi ke Teluk Intan menggunakan kenderaan mangsa kerana mangsa ingin membantu tertuduh mengambil sijil berkaitan Rela. Bahkan tertuduh juga telah menyatakan kepada mangsa bahawa terdapat perbuatan seksual ‘romen- romen’ berlaku antara mereka, walaupun beliau menyangkal bahawa terdapat pelincir digunakan sewaktu sesi ‘romen-romen’ tersebut. Semua keterangan ini menunjukkan walaupun sekiranya terdapat percanggahan atau ketidakjelasan pada tarikh di dalam pertuduhan, ia tidak mengelirukan tertuduh dalam penyediaan pembelaannya.
27
27.1.9 Mahkamah juga membuat pemerhatian bahawa seksyen 377A Kanun Keseksaan adalah peruntukan yang memberikan definisi hubungan seks songsang yang melawan aturan tabii, manakala seksyen 377B adalah peruntukan yang menyatakan kesalahan hubungan seks melawan aturan tabii itu dan hukuman yang boleh dijatuhkan ke atasnya. Hujah pihak pembelaan bahawa pertuduhan adalah tidak jelas kerana seksyen 377A tidak dimasukkan oleh pihak pendakwaan, adalah suatu hujah yang tidak bermerit. Mahkamah mendapati pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh adalah jelas dan tidak bercanggah.
27
27.2 Elemen-elemen di bawah seksyen 377B KK tidak dibuktikan
27
27.2.1 Pihak pembelaan berhujah bahawa sepanjang keterangan beliau di mahkamah baik semasa kes pendakwaan atau pembelaan, mangsa mengatakan bahawa beliau merasakan alat sulit tertuduh masuk ke dalam duburnya berdasarkan ‘kehangatan’ yang beliau rasakan masuk ke dalam duburnya. Apabila ditanya oleh peguambela, mangsa bersetuju beliau tidak pasti apa yang telah dimasukkan ke dalam duburnya, sama ada alat sulit atau pun jari. Mangsa juga mengesahkan beliau tidak melihat alat sulit tertuduh kerana mangsa sewaktu hubungan seks itu dilakukan berada dalam keadaan meniarap. Berkenaan pelincir KY yang mengsa katakan telah beliau lihat sebelum hubungan seks dengan tertuduh itu, semasa ditanya oleh peguambela yang bijaksana semasa kes pembelaan, mangsa telah memberitahu mahkamah bahawa benda itu boleh jadi minyak atau sabun, kerana keadaan yang gelap pada ketika itu menyebabkan mangsa tidak dapat melihat dengan jelas. Pihak pembelaan berhujah bahawa percanggahan keterangan oleh mangsa ini memberi kesan kepada kredibiliti mangsa sebagai saksi, yang seterusnya menyebabkan pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen kesalahan di bawah seksyen 377B ini.
27
27.2.2 Pihak pembelaan juga berhujah bahawa tiada sebarang dokumen perubatan atau pun DNA yang dapat menyokong bahawa perlakuan hubungan seks luar tabii itu telah berlaku.
27
27.2.3 Mahkamah ini membuat pemerhatian bahawa intipati seksyen 377B Kanun Keseksaan ialah kemasukan kemaluan lelaki ke dalam dubur atau mulut mangsa. Di dalam kes ini, mangsa dengan jelas mengatakan pada malam kejadian itu, beliau merasakan suatu kehangatan telah masuk ke dalam duburnya, sewaktu beliau dalam keadaan meniarap dan tertuduh berada di belakangnya. Namun apabila ditanya oleh pihak peguambela, mangsa memberitahu beliau tidak pasti akan yang memasuki duburnya, kerana sekiranya jari dimasukkan juga akan memberikan kehangatan di dalam dubur.
27
27.2.4 Mahkamah juga mendapati bahawa tiada sebarang bukti sokongan bagi perbuatan hubungan seks di antara tertuduh dan mangsa. Pelincir yang dinyatakan oleh mangsa semasa kes pendakwaan, tidak dapat dipastikan ketepatannya kerana semasa disoal semasa kes pembelaan, mangsa telah menukar keterangannya bahawa benda yang beliau katakan pelincir KY itu boleh jadi botol minyak atau sabun. Di dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v. PP & Anor Appeal [2015] CLJ JT(3), Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa: “As a matter of practice and prudence, not of law, corroboration is normally required in a sexual offence. Where corroboration is dispensed with, and the complainant’s evidence is accepted as having established the case against an accused, the judge as a matter of law is required to warn himself of the danger of convicting on the uncorroborated evidence of the complainant”.
27
27.2.5 Walaupun begitu, oleh kerana mahkamah ini telah mendapati bahawa tiada bukti keterangan menunjukkan bahawa tertuduh telah memasukkan alat kemaluannya ke dalam dubur atau mulut pada malam 18.1.2020 di sebuah rumah di Teluk Intan itu, pihak pendakwaan telah pun gagal untuk membuktikan keseluruhan elemen bagi seksyen 377B KK ke atas tertuduh. Tiada keperluan bagi mahkamah ini memberikan amaran ke atas dirinya terhadap bahaya menerima keterangan pengadu yang tidak disokong oleh bukti sokongan lain. KESIMPULAN Setelah membuat penilaian maksima dan menimbang semula keseluruhan keterangan dengan mengambilkira kedibiliti saksi-saksi, mahkamah ini telah mendapati:
i
pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen kemasukan alat kemaluan tertuduh ke dalam dubur mangsa, dan
II
(ii) pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan suatu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Oleh itu, tertuduh di dalam kes ini dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan ke atasnya. Jaminan dikembalikan. NORHAMIZAH BINTI SHAIFFUDDIN HAKIM MAHKAMAH SESYEN 2, TELUK
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.