Content
AB-82D-15-11/2023 1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (1) TAIPING DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN KES JENAYAH NO.: AB-82D-15-11/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA
AB-82D-15-11/2023
Magistrates Court of Malaysia30 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“P5) yang disediakan sendiri oleh SP1 yang menyatakan tarikh 1 Jun 2023. [26] Dalam keadaan ini, Mahkamah ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Muhd Farez bin Hilmi lwn Pendakwa Raya [2025] MLJU 1250. Dalam kes ini, nombor siri botol urin tidak dipertikaikan, namun wujud percanggahan tarikh yang sama de”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
AB-82D-15-11/2023 1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (1) TAIPING DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN KES JENAYAH NO.: AB-82D-15-11/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
Ini adalah alasan penghakiman bagi keputusan Mahkamah ini yang melepaskan dan membebaskan tertuduh di akhir kes pendakwaan.
2
Tertuduh adalah seorang Penolong Pegawai Perubatan yang berkhidmat di Klinik Kesihatan Simpang. Tertuduh telah dituduh di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (‘ADB 1952’) seperti berikut: “Bahawa kamu pada 14 Jun 2023 jam lebih kurang 1430 HRS, bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Taiping, Perak, dalam Daerah Taiping di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, telah didapati memasukkan dadah berbahaya iaitu Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badan kamu sendiri. Dengan itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) Akta yang sama.”
3
Pihak pendakwaan telah memanggil empat (4) orang saksi seperti berikut:
i
Inspektor Kalisvaran a/l Kumar - Pegawai Tangkapan (‘SP1’);
II
(ii) Koperal Anantha Kumar a/l Pekirisamy - Penghantar Sampel Urin (‘SP2’);
III
(iii) Puan Rosalia Huda binti Mohd Isa - Juruteknologi Makmal Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) (‘SP3’); dan
IV
(iv) Inspektor Mohd Azree bin Mohd Azman - Pegawai Penyiasat (‘SP4’). [4] Pihak pendakwaan telah mengemukakan lapan (8) ekshibit sepanjang kes pendakwaan manakala pihak pembelaan telah mengemukakan satu (1) ekshibit pembelaan di peringkat pendakwaan. [5] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah ini telah melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri kerana mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie. Kes Pendakwaan [6] Pada 14 Jun 2023, bersangkut dengan satu laporan polis Simpang No. 1510/2023 (‘P1’), SP1 telah menjalankan ujian saringan awal urin terhadap tertuduh di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Taiping kerana tertuduh disyaki telah memasukkan dadah berbahaya ke dalam badannya. P1 ini adalah laporan polis yang dibuat oleh SP1 berkenaan pemilikan dadah berbahaya [dadah Methamphetamine (anggaran berat: 3.25 gram)] oleh tertuduh. AB-82D-15-11/2023 3 [7] Pada jam lebih kurang 2.30 petang, SP1 telah mengarahkan tertuduh memilih satu paket urin daripada beberapa paket urin yang disediakan oleh pihak PDRM yang terdapat di dalam satu kotak. Tertuduh telah memilih satu paket urin yang mengandungi sebuah botol urin kosong bernombor siri D0132902 (‘P7’). [8] SP1 kemudiannya mengiringi tertuduh ke tandas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Taiping bagi tujuan pengambilan sampel urin tertuduh. Setelah sampel urin diambil, SP1 mengiringi tertuduh kembali ke tempat ujian saringan awal. [9] SP1 telah menjalankan ujian saringan awal menggunakan lima
5
jalur ujian (test strip) di hadapan tertuduh dan keputusan ujian menunjukkan sampel urin tertuduh adalah positif bagi dadah berbahaya jenis Methamphetamine. [10] SP1 kemudian mengarahkan tertuduh menutup botol urin tersebut. Selepas itu, SP1 memeterai botol urin tersebut serta melabelkannya. SP1 juga menyediakan Borang Ujian Pengesanan Dadah (UPD) (‘P3’) dan Borang Akuan Pemberi Air Kencing untuk ditandatangani oleh tertuduh. SP1 turut membuat laporan polis berkaitan keputusan ujian saringan awal tersebut (‘P6’). [11] Pada hari yang sama, kira-kira jam 3.15 petang, SP1 telah menyerahkan tertuduh, botol urin, Borang UPD dan laporan polis kepada SP4 selaku Pegawai Penyiasat. Ketika serahan ini dibuat, SP1 telah sediakan borang penyerahan barang kes daripada Pegawai Tangkapan kepada Pegawai Penyiasat (‘P5’). AB-82D-15-11/2023 4 [12] Pada 15 Jun 2023, SP4 telah menyerahkan botol urin tertuduh bersama Borang UPD kepada SP2 untuk dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan analisis. [13] Pada 16 Jun 2023, SP2 telah menghantar botol urin tersebut ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur dan ia telah diterima oleh SP3 untuk dianalisis. Hasil analisis mendapati sampel urin tersebut mengandungi dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine seperti dilaporkan dalam Laporan Patologi (‘P8’). [14] Pihak pendakwaan turut bergantung kepada anggapan di bawah seksyen 37(k) ADB 1952 bagi membuktikan bahawa tertuduh sendiri telah memasukkan dadah berbahaya tersebut ke dalam tubuh badannya. Pembelaan Tertuduh [15] Pembelaan tertuduh sepanjang kes pendakwaan adalah bahawa botol urin yang dihantar untuk dianalisis dan didapati mengandungi dadah berbahaya bukanlah botol urin miliknya. [16] Pihak pembelaan berhujah bahawa terdapat kecacatan material dalam rantaian kawalan (chain of custody) barang kes khususnya percanggahan tarikh antara label pada botol sampel urin dan borang akuan penyerahan barang kes daripada Pegawai Tangkapan kepada Pegawai Penyiasat (‘P5’). [17] Tarikh yang tertera pada label botol urin ialah 14 Jun 2023 iaitu tarikh sampel urin diambil daripada tertuduh. Walau bagaimanapun, Borang P5 mencatatkan bahawa tarikh pengambilan sampel urin AB-82D-15-11/2023 5 daripada tertuduh adalah 1 Jun 2023 iaitu 13 hari lebih awal daripada tarikh yang tertera pada label botol urin tersebut. [18] Semasa pemeriksaan balas, SP4 mengakui percanggahan tarikh tersebut dan menyatakan ia merupakan kesilapan menaip yang tidak disengajakan. Namun begitu, SP4 hanya menyedari kewujudan kesilapan tersebut ketika diperiksa balas oleh peguam bela tertuduh. [19] Peguam bela terpelajar menghujahkan bahawa walaupun nombor siri botol urin tidak dipertikaikan, kandungan urin di dalam botol tersebut adalah perkara utama untuk memenuhi intipati pertuduhan terhadap tertuduh. Oleh itu, terdapat kemungkinan bahawa sampel urin yang dianalisis adalah sampel yang dipungut pada 1 Jun 2023 seperti yang tertera dalam Borang P5 dan bukannya sampel urin tertuduh. [20] Tuan Timbalan Pendakwa Raya (‘Tuan TPR’) menghujahkan bahawa:
i
Percanggahan tarikh pada Borang P5 hanyalah kesilapan menaip;
II
(ii) Tiada bukti wujud lebih daripada satu botol urin;
III
(iii) Nombor siri botol adalah sama iaitu D0132902; dan
IV
(iv) SP1 dan SP4 memberi keterangan lisan secara konsisten bahawa sampel diambil pada 14.6.2023 Analisis dan Dapatan Mahkamah [21] Isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan memerlukan Mahkamah ini meneliti keterangan SP1 dan SP4 khususnya berhubung identiti dan integriti botol urin sebagai barang kes utama dalam kes ini. AB-82D-15-11/2023 6 [22] Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah dengan hormatnya tidak dapat bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan atas sebab – sebab berikut. [23] Mahkamah mendapati terdapat kecacatan ketara dalam keterangan SP1 yang tidak diperbetulkan oleh pihak pendakwaan. SP1 sebagai “maker” kepada Borang P5 telah mengesahkan kandungan borang tersebut sebagai betul dan tidak pernah menyatakan dalam keterangannya bahawa terdapat sebarang kesilapan tarikh pada dokumen tersebut. [24] Pihak pendakwaan juga tidak menyoal SP1 untuk mendapatkan penjelasan berhubung percanggahan tarikh ini. Oleh itu, Mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta bahawa Borang P5 secara jelas menyatakan sampel urin tertuduh telah diambil pada 1 Jun 2023. [25] Ini menimbulkan percanggahan material antara keterangan lisan SP1 yang menyatakan sampel diambil pada 14 Jun 2023 dengan keterangan dokumen (Borang P5) yang disediakan sendiri oleh SP1 yang menyatakan tarikh 1 Jun 2023. [26] Dalam keadaan ini, Mahkamah ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Muhd Farez bin Hilmi lwn Pendakwa Raya [2025] MLJU 1250. Dalam kes ini, nombor siri botol urin tidak dipertikaikan, namun wujud percanggahan tarikh yang sama dengan kes semasa. [27] Dalam kes tersebut, Laporan Patologi menyatakan tarikh spesimen urin dipungut pada 28.8.2019, manakala label pada botol urin AB-82D-15-11/2023 7 mencatatkan tarikh pengambilan sampel daripada tertuduh adalah pada 27.8.2019. Mahkamah Tinggi mendapati percanggahan tarikh tersebut adalah material kerana ia melibatkan identiti barang kes dan tarikh kesalahan yang dipertuduhkan. [28] Susulan itu, Mahkamah Tinggi telah mengetepikan sabitan Mahkamah Majistret dan memutuskan seperti berikut: “[26] Oleh itu, bersandarkan kepada prinsip undang-undang mantap mengenai sekiranya terdapat lebih daripada satu inferen, terdapat keraguan munasabah di dalam kes di hadapan Majistret dan Mahkamah hendaklah memberikan ‘benefit of the doubt’ kepada tertuduh. … [27] Dalam hal ini, Mahkamah ini tidak dapat bersetuju dengan dapatan Majistret bahawa beliau yakin terdapat kesilapan kerana saksi-saksi pendakwaan telah memberikan keterangan yang konsisten. Ini kerana Majistret gagal mempertimbangkan percanggahan yang material berkaitan identiti barang kes dan intipati pertuduhan, iaitu tertuduh dikatakan melakukan kesalahan pada 27.8.2019 sedangkan keterangan SP4 pula menyatakan sampel urin diberikan pada 28.8.2019. … [28] Mahkamah ini berpandangan bahawa kesilapan SP4 bukanlah satu kesilapan perkeranian (clerical), tetapi suatu kesilapan yang kritikal sehingga menjejaskan rangkaian kes pendakwaan. …”. [29] Mahkamah ini tidak melihat sebarang perbezaan material yang membezakan kes tersebut dengan kes semasa ini. Percanggahan tarikh yang wujud dalam kes ini adalah sama serius dan membawa kesan yang sama iaitu menimbulkan keraguan munasabah terhadap identiti sampel urin yang dianalisis. [30] Mahkamah juga berpandangan sama bahawa percanggahan ini bukan bersifat kecil atau teknikal. Dalam kes melibatkan keterangan saintifik seperti analisis urin dalam kes ini, identiti sampel adalah asas kepada keseluruhan kes pendakwaan. Tanpa keterangan yang AB-82D-15-11/2023 8 meyakinkan terhadap identiti sampel, keputusan analisis makmal tidak membawa sebarang nilai probatif. [31] Mahkamah juga berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk membuktikan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa sampel urin yang dianalisis adalah sampel yang diambil daripada tertuduh. Tertuduh tidak perlu membuktikan bahawa sampel tersebut bukan miliknya kerana ianya adalah satu fakta negatif (negative fact) – rujuk seksyen 103 Akta Keterangan 1950. [32] Mahkamah juga tidak menerima hujahan bahawa kewujudan nombor siri botol urin yang sama sahaja sudah memadai untuk menyingkirkan keraguan munasabah. Nombor siri botol adalah penting bagi mengenal pasti sampel namun tarikh pengambilan sampel juga sama penting sebagai identiti utama yang mengaitkan sampel tersebut dengan tertuduh pada masa dan tempat pertuduhan. Malah kertas pertuduhan juga menyatakan kesalahan berdasarkan tarikh pengambilan sampel. Justeru tarikh adalah elemen penting dan material bagi memastikan identiti sampel tersebut. [33] Mahkamah ini juga tidak boleh menerima hujahan bahawa percanggahan tarikh ini hanyalah kesilapan perkeranian semata-mata kerana tiada sebarang pembetulan rasmi dibuat pada Borang P5 dan tiada laporan polis mengenai kesilapan tersebut. [34] Pegawai Penyiasat (SP4) juga gagal menyiasat dan mengesan percanggahan tarikh ini lebih awal walaupun beliau merupakan pihak yang menerima Borang P5 daripada SP1. Sekiranya benar berlaku kesilapan, adalah menjadi tanggungjawab SP4 untuk menyiasat dan AB-82D-15-11/2023 9 membetulkannya sebelum kes dibawa ke Mahkamah. Malangnya, SP4 sebagai pegawai penyiasat hanya menyedari “kesilapan” (kononnya) pada tarikh pengambilan sampel urin tertuduh di Borang P5 ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela dan bukannya semasa proses siasatan. [35] Mahkamah berpandangan bahawa kegagalan ini bukan sekadar satu kesilapan perkeranian tetapi satu kealpaan dalam pengendalian dan penyiasatan barang kes yang menjejaskan rantaian kawalan (chain of custody). [36] Percanggahan tarikh antara 1 Jun 2023 dan 14 Jun 2023 berkenaan bilakah sampel urin diambil daripada tertuduh menimbulkan keraguan munasabah terhadap identiti dan integriti sampel urin yang menjadi perkara pokok kepada pertuduhan. [37] Oleh itu, keputusan analisis makmal yang bergantung kepada sampel tersebut tidak mempunyai nilai probatif untuk mensabitkan tertuduh kerana identiti sampel tersebut diragui. [38] Terdapat beberapa kes ulung yang menekankan kepentingan rantaian kawalan (chain of custody) bagi sesuatu sampel yang menjadi teras kepada kes pendakwaan yang menjadi panduan kepada Mahkamah ini seperti berikut. [39] Yang pertama ialah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Teoh Hoe Chye v PP & Another Case [1987] 1 MLJ 220 di mana Abdul Hamid (Hakim Besar Malaya) menyatakan: AB-82D-15-11/2023 10 “Where doubt as to the identity of an exhibit arises, a failure to adduce evidence to provide the necessary link in the chain of evidence would be fatal to the prosecution case.”. [40] Mahkamah ini juga merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Zaifull bin Muhammad v Public Prosecutor and another appeal [2013] 2 MLJ 348 yang memutuskan: “[35] … it is incumbent on the prosecution to offer some explanation for the discrepancies. With the discrepancies left unexplained, this created a reasonable doubt as to the identity of the drug exhibit. In the circumstance, the defence should not have been called at the close of the prosecution case.”. [41] Rujukan turut dibuat kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Public Prosecutor v Ahmad Saiful Islam bin Mohamad [2023] 2 MLJ 950 yang menyatakan: “[54] … the prosecution must ensure that there is no mistake in the labelling of the bottle which would otherwise affect the identity and credibility of the respondent’s urine sample. There must not be any break in the chain of evidence.”. Kesimpulan [42] Setelah Mahkamah meneliti keseluruhan keterangan dan hujahan kedua-dua pihak serta membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pendakwaan, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh. AB-82D-15-11/2023 11 [43] Mahkamah berpandangan adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri berdasarkan keterangan yang mengandungi keraguan munasabah terhadap identiti barang kes utama. [44] Oleh itu, selaras dengan seksyen 173(f)(ii) Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan ini dengan serta-merta. Wang yang didepositkan sebagai bon jaminan diperintahkan dipulangkan kepada penjamin. Bertarikh: 27.12.2025 t.t. (PRABAKARAN RAJOO) Majistret Mahkamah Majistret (1) Taiping Perak Darul Ridzuan PIHAK-PIHAK: Bagi pihak pendakwaan: TPR Tuan Muhammad Harith Amsyar bin Mazri Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Taiping Lido Business Center, No 10/21 & 12/21 Tingkat Atas, Jalan Manecksha, 34000 Taiping, Perak Darul Ridzuan. Bagi pihak tertuduh: Encik Mohd Aidil bin Arsad Tetuan Hakimi, Lalitha, Mardhiyah & Associates No. 13, Tingkat 2,Susur Istana Larut Business Park 1, Jalan Istana Larut, 34000 Taiping, Perak Darul Ridzuan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.