Abdoul Hakeem (OKT 6) menghalang OKT3 dan menyuruh OKT 3 untuk menekap seterika pada badan simati. OKT 3 setuju OKT 6 yang memberikan arahan kepada OKT 3 untuk menggunakan seterika. OKT 3 menyatakan apabila OKT 3 memegang seterika dan memusing menghadap kepada simati, simati menjerit. OKT 3 terkejut dan meletak seterika di atas meja. OKT 3 mengesahkan pada masa itu, simati berada di atas lantai tetapi tidak perasan sama ada tangan simati diikat. Selepas itu, OKT 3 meminta kebenaran OKT 6 untuk pergi tidur. [60] OKT 3 setuju beliau tidak melaporkan kejadian serta perbuatan OKT 6 kepada pihak atasan atas alasan tidak ada keperluan berbuat demikian. Pembelaan OKT 4 (Muhammad Afif Najmudin bin Azahat) [61] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 1.00 pagi, OKT 4 telah diajak oleh Nuramizan untuk pergi ke bilik 4-10. OKT 4 pergi ke bilik 4-10 pada jam lebih kurang 1.30 pagi. OKT 4 nampak simati disoal oleh ramai pelajar tentang beberapa kecurian termasuk laptop. Dan semasa sesi menyoal, berlaku ketegangan dan tolak menolak. Beliau sendiri tidak terlibat dalam kejadian tersebut. OKT 4 mengesahkan OKT 1, 2, SP 24, SP 25, Faiz, Adib dan Mubin ada hadir dalam bilik 4-10. [62] Seterusnya, OKT 4 menyatakan beliau tertidur dan bangun semula pada jam 4.30 pagi. Pada waktu itu, beliau nampak OKT 1, OKT 2, SP 25 dan Mubin berada di tengah-tengah bilik bersama simati. OKT 4 menyatakan Mubin telah menekap seterika beberapa kali pada badan simati. OKT 4 menghampiri simati dan nampak simati berpeluh-peluh. OKT 4 mengaku beliau telah menekap seterika di bahagian peha luar simati sebanyak dua kali. OKT 4 setuju seterika dalam keadaan panas. Beliau tidak setuju pada masa itu, kaki dan tangan simati diikat. Akhirnya, OKT 4 menyatakan beliau tiada niat untuk mencederakan atau menyebabkan kematian kepada simati. Pembelaan OKT 5 (Mohamad Shobirin bin Sabri) [63] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 4.00 pagi, OKT 5 masuk ke dalam bilik 4-10 kerana nampak ada banyak selipar di hadapan bilik tersebut. Pada waktu itu, OKT 5 nampak simati, SP 24, SP 25, Syukri Junuh, Mubin dan Luqman Hakim (OKT 12). OKT 5 juga nampak beberapa orang pelajar sedang menyoal simati mengenai kes kecurian. Selang beberapa minit, OKT 5 diminta oleh seseorang untuk menekap seterika ke atas simati. OKT 5 mengaku beliau menekap seterika di kaki simati hanya sekali dan simati menjerit kesakitan. [64] OKT 5 menyatakan budaya UPNM adalah jika ada kecurian, kadet akan menyelesaikan masaalah dengan membuat soal siasat dan dalam soal siasat, pukul memukul merupakan perkara biasa. Pembelaan OKT 6 (Abdoul Hakeem bin Mohd Ali) [65] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 12.30 tengah malam, OKT 6 pergi ke Bilik 4-10 mencari simati. OKT 6 nampak simati duduk di atas kerusi di kelilingi oleh pelajar-pelajar. Mubin Murtaza dan SP24 tanya soalan mengenai kecurian kepada simati. OKT 6 menyatakan Mubin Murtaza telah menampar simati dan SP24 menumbuk simati. Kemudian ramai pelajar masuk ke bilik 4-10. Selepas itu, OKT 6 balik ke biliknya untuk membuat Assignment sehingga jam lebih kurang 4.00 pagi. [66] Selepas itu, OKT 6 pergi semula ke bilik 4-10 dan nampak Mubin, SP24, Syukri dan Najib. Mubin menseterika simati dan simati menjerit. Seterika diberikan kepada OKT 3 dan OKT 3 seterika lengan simati. OKT 6 beredar bila hampir waktu subuh. [67] Sebagai Ketua Intake, OKT 6 setuju pendapat, cadangan dan arahan OKT 6 dipatuhi sebagai tanda hormat oleh pelajar. OKT 6 setuju simati tidak pernah mengaku mencuri laptop. OKT 6 setuju beliau tidak arahkan untuk menghentikan penggunaan seterika walaupun simati tidak mengaku. OKT 6 setuju beliau tidak melaporkan kejadian kepada pihak atasan pada bila-bila masa. Pembelaan OKT 7 (Muhammad Hasif bin Ismail) [68] Pada 21.5.2017 jam lebih kurang 2.00 pagi, OKT 7 telah pergi ke bilik 3-05 untuk mengambil calculator. Beliau berada di dalam bilik 3-05 selama lebih kurang 2 minit sahaja dan bergerak keluar. OKT 7 nampak beberapa pelajar tanya soalan kepada simati. OKT 7 mengesahkan Harikrishna (SP 20), OKT 1 dan SP25 berada di dalam bilik 3-05 pada masa itu. [69] OKT 7 menafikan beliau telah menyepak simati dengan menggunakan kasut sambil menyoal tentang kecurian. Pembelaan OKT 9 (Muhammad Adib Iman bin Fuad Adi Sany) [70] Pada 21.5.2017 jam lebih kurang 1.40 pagi, OKT 9 pergi ke bilik 3- 05 untuk meminjam sabun cuci baju daripada Mohamad Syazwan bin Musa (OKT 10). Beliau berada di dalam bilik tersebut lebih kurang 1-2 minit sahaja. Pada masa itu, beliau nampak OKT 1, SP20, Mubin, SP25, OKT 10 dan OKT 12 berada di dalam bilik 3-05 macam bersembang. Selepas ambil sabun, beliau terus keluar dari bilik tersebut. [71] OKT 9 menafikan beliau masuk ke bilik 3-05 untuk menumbuk dan menyepak simati bergilir-gilir untuk memeras pengakuan daripada simati. [72] OKT 9 juga menafikan beliau ada pergi ke bilik 4-10 pada 22.5.2017. Pembelaan OKT 10 (Mohamad Syazwan bin Musa) [73] Pada 21.5.2017 jam lebih kurang 2 pagi, OKT 10 balik ke biliknya di 3-05 dan nampak OKT 1, Fitri, Daud, SP 25 dan SP 26 tetapi tidak pasti mereka ini buat apa. Beliau tidak nampak simati. Dari jam 4.00 pagi hingga 6.30 pagi beliau tidur dan tidak tahu apa yang berlaku. Beliau menafikan beliau memukul simati bergili-gilir untuk memeras pengakuan daripada simati. Pembelaan OKT 11 (Muhammad Amirul Asraff bin Mala) [74] Pada 21.5.2017 jam lebih kurang 2.00 pagi, OKT 11 telah pergi ke bilik 3-05 untuk bermain game dalam telefon dan telinga beliau ditutup dengan earphone. OKT 11 menyatakan ada ramai pelajar yang masuk ke dalam bilik itu. Beliau cuma nampak OKT 1, SP20 dan SP26. Beliau menafikan memukul simati bergilir-gilir untuk memeras pengakuan daripada simati. [75] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 1.00 - 2.00 pagi, OKT 11 pergi ke bilik 4-10 dan nampak bilik itu penuh dengan 20 - 25 orang pelajar. Beliau tidak perasan sama ada simati berada dalam bilik tersebut. OKT 11 tidak boleh masuk ke dalam bilik tersebut kerana terlalu penuh dan beliau balik ke bilik 3-03. Pembelaan OKT 12 (Luqman Hakim bin Shamsuri Agus) [76] Pada 21.5.2017, OKT 12 menyatakan beliau telah tidur dan tidak tahu apa yang berlaku dalam bilik 3-05. Beliau menafikan memukul simati bergilir-gilir untuk memeras pengakuan daripada simati walaupun beliau mengaku berada di dalam bilik 3-05 dan 4-10. Pembelaan OKT 13 (Mohd Hafiz Fauzan bin Ismail) [77] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 12.30 tengah malam, OKT 13 masuk ke dalam bilik 4-10 dan mendapati bilik itu dipenuhi dengan ramai pelajar. OKT 13 pergi ke bilik itu untuk berjumpa Alif Farhan (SD20) mengenai assignment. OKT 13 menyatakan pelajar-pelajar cuma bersembang-sembang. Selepas itu, OKT 13 mengajak SD20 ke bilik OKT 13 untuk belajar. OKT 13 menafikan beliau memukul simati bergilir-gilir untuk memeras pengakuan daripada simati. Pembelaan OKT 14 (Mohamad Lukhmanul Hakim bin Mohd Zain) [78] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 12.00 tengah malam, OKT 14 balik ke biliknya, bilik 4-10. Dalam bilik 4-10 itu, OKT 14 nampak ada simati dan OKT 6 dan ramai pelajar. OKT 14 tidak suka dengan keadaan tersebut dan keluar ke bilik 4-07 untuk berehat. [79] Pada jam lebih kurang 2.00 pagi, OKT 14 balik semula ke bilik 4- 10 dan mendapati bilik itu masih sesak dengan ramai pelajar. Beliau nampak simati, OKT 6, OKT 2, SP 25, tetapi beliau tidak nampak apa yang berlaku dalam bilik tersebut dan terus tidur. [80] OKT 14 menafikan beliau telah memukul simati bergilir-gilir untuk memeras pengakuan daripada simati. Pembelaan OKT 15 (Ahmad Shafwan bin Berdal) [81] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 1.30 pagi, OKT 15 pergi ke bilik 4-10 sebab nampak ada ramai pelajar yang masuk bilik tersebut. Beliau berada dalam bilik tersebut 2 minit sahaja. Selepas itu beliau keluar dari bilik itu untuk menyiapkan assignment. [82] Menurut OKT 15, dalam bilik 4-10 ada lebih kurang 20 orang pelajar. Beliau tidak pasti sama ada OKT 1, 2, 3, 4, 11, 13, 14, 18 dan 19 ada di dalam bilik tersebut. Tetapi beliau yakin OKT 6 ada di dalam bilik 4-10 dan simati berada di tengah-tengah bilik. OKT 15 tahu OKT 1 hilang laptop. OKT 15 menafikan beliau memukul simati bergilir-gilir untuk memeras pengakuan daripada simati. Pembelaan OKT 16 (Muhammad Sufi bin Mohd Mustapha) [83] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 1.30 pagi, OKT 16 pergi ke bilik 4-10 memanggil OKT 15 untuk bertanya mengenai assignment. Beliau berada dalam bilik itu 1 minit sahaja. Dalam bilik itu, OKT 16 nampak ada ramai pelajar. Beliau nampak SP24 dan SP25. Selepas jumpa OKT 15, OKT 16 keluar dari bilik 4-10. OKT 16 menafikan beliau memukul simati untuk memeras pengakuan daripada simati. Pembelaan OKT 17 (Noriznan Izzairi bin Noor Azhar) [84] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 2.00 pagi, OKT 17 dimaklumkan oleh Fitri Sukarno bahawa simati kena “seta” (settle masalah). OKT 17 berada di dalam bilik 4-10 selama 3 minit sahaja. Beliau nampak dalam bilik itu ada SP25, OKT 6, OKT 1, simati dan ramai lagi yang beliau tidak ingat. Beliau tidak melihat ada kejadian memukul berkaitan laptop hilang. OKT 17 menafikan beliau memukul simati untuk memeras pengakuan daripada simati. Pembelaan OKT 18 (Muhamad Ashraf bin Haji Abdullah) [85] Pada 22.5.2017, OKT 18 telah pergi ke bilik 4-10 kerana bilik itu sesak dengan pelajar. OKT 18 dengar perbualan mengenai webbing set. Tidak ada insiden pukul memukul. OKT 18 nampak SP24, SP25 dan simati berada dalam bilik tersebut. Beliau berada dalam bilik 4-10 selama 2-3 minit dan selepas itu beredar dari situ. [86] OKT 18 menafikan beliau memukul simati untuk memeras pengakuan daripada simati. Pembelaan OKT 19 (Muhamad Danial Firdaus bin Azmir) [87] Pada 22.5.2017 jam lebih kurang 2.30 pagi, OKT 19 pergi ke bilik 4-10 untuk memulangkan telefon milik OKT 6 kepada OKT 6. Beliau berada dalam bilik 4-10 tidak sampai 1 minit. Dalam kurang dari 1 minit itu, OKT 19 nampak ada ramai pelajar dalam bilik tersebut termasuk simati, Mubin, SP24 dan SP25. OKT 19 menyatakan SP 24 dan SP25 tidak bercakap benar dan hanya untuk menyelamatkan diri. [88] OKT 19 menafikan beliau memukul simati untuk memeras pengakuan daripada simati. [89] Doktor Rohayu, (SD 19) berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Forensik di Hospital Sungai Buloh. Perlantikan SD 19 dibuat melalui surat Tetuan AmerBon bertarikh 19.10.2019 kepada SD19 (eksibit D10). D10 menyatakan skop kerja dan terma rujukan berikut:-