Muhammad Naim Bin Muhammad Zaini] KORUM: MOHD ZAWAWI SALLEH, HMR AHMADI HJ. ASNAWI, HMR KAMARDIN HASHIM, HMR 2 PENGHAKIMAN MAHKAMAH Pendahuluan [1] Perayu bersama dua lagi tertuduh telah di hadapkan di Mahkamah Tinggi Taiping dengan satu pertuduhan bagi kesalahan kerana memperedarkan dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang membawa hukuman mati mandatori di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. [2] Butir-butir pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh, termasuklah Perayu, ialah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 25 Ogos 2015, jam lebih kurang 2.00 petang di tepi jalan berhampiran gerai makan No. Lot 1042, Batu 19, Kuala Dal, Kg. Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, di dalam Daerah Kuala Kangsar, di dalam negeri Perak Darul Ridzuan di dalam mencapai niat bersama kamu telah mengedar dadah berbahaya iaitu sejumlah berat 4540 gram Cannabis dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” [3] Di akhir perbicaraan, Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana (“Hakim bicara”) telah mensabitkan Perayu atas pertuduhan dan telah menjatuhkan hukuman gantung di leher sehingga mati ke atas Perayu. 3 Hakim bicara bagaimanapun telah membebaskan dua lagi tertuduh diakhir kes pembelaan. [4] Terkilan dengan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Hakim bicara, Perayu telah merayu ke Mahkamah ini. Pihak pendakwaan turut memfailkan rayuan terhadap perintah pembebasan dua tertuduh yang lain. Rayuan terhadap kedua-dua tertuduh yang lain telah dibatalkan oleh kerana Notis Rayuan telah gagal untuk disempurnakan terhadap mereka walaupun beberapa percubaan telah dilakukan. [5] Kami telah mendengar rayuan Perayu pada 12.12.2017. Kami dengan sebulat suara menolak rayuan Perayu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi. Sekarang kami memperincikan alasan-alasan kami dalam menolak rayuan Perayu. Kes Pendakwaan [6] Kes pendakwaan secara ringkasnya ialah seperti berikut. Pada 17.8.2015, bertindak atas maklumat yang diterima, ASP Mohd Fikri Bin Hashim (SP7) dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak, Ipoh telah mengarahkan Koperal Jafri @ Sany Bin Osman (SP4) untuk bertindak sebagai penyamar sulit (AP) untuk 4 menyiasat dan menangkap seorang pengedar dadah yang dikenali sebagai ‘Weng’. SP7 turut mengarahkan ASP Sufian untuk bertindak sebagai pembeli dadah. [7] SP7 telah mengarahkan SP4 dan ASP Sufian untuk pergi berjumpa dengan Inspektor Saidi dari IPD Taiping untuk mereka diperkenalkan kepada sumber (informer). Pada hari yang sama, SP4 dan ASP Sufian telah diperkenalkan oleh Inspektor Saidi kepada seorang sumber. Pada petang hari yang sama, sumber telah membawa SP4 dan ASP Sufian pergi ke Selama, Kedah dan di sana sumber telah memperkenalkan SP4 dan ASP Sufian kepada seorang lelaki Melayu yang dikenali sebagai ‘Weng’, yang kemudiannya dicamkan sebagai Perayu. [8] Dalam pertemuan yang pertama itu, satu perbincangan awal telah diadakan antara SP4 dan ASP Sufian dengan Perayu untuk melakukan satu transaksi jual beli dadah jenis ganja (Cannabis). Perbincangan awal itu berlangsung selama lebih kurang 20 minit. Selepas saling bertukar nombor telefon, SP4 dan ASP Sufian balik semula ke Taiping. Satu perbincangan lanjut mengenai transaksi jual beli dadah tersebut seterusnya akan diadakan di Kuala Kangsar. Hasil perbincangan awal tersebut telah dimaklumkan oleh SP4 kepada SP7. 5 [9] Pada keesokan paginya iaitu pada 18.8.2015, SP4 telah menerima pesanan ringkas daripada Perayu yang memaklumkan bahawa bekalan dadah telah sedia diperolehi oleh Perayu. Kemudiannya, SP4 turut menerima panggilan telefon daripada Perayu yang bertanyakan kepada SP4 tentang pengesahan transaksi jual beli dadah tersebut. SP4 telah menyatakan minatnya untuk meneruskan transaksi jual beli dadah tersebut dan meminta Perayu untuk mengurangkan harga. Perayu telah bersetuju mengurangkan harga kepada RM1,900 bagi setiap ketulan mampat dadah ganja yang akan dibekalkan sekiranya SP4 bersetuju untuk membeli dalam kuantiti yang besar. [10] Pada 19.8.2015, atas permintaan Perayu, SP4 telah bertemu dengan Perayu pada jam 3.00 petang di sebuah gerai makan di tepi jalan Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar. Tertuduh Ketiga, iaitu adik kepada Perayu, turut datang bersama Perayu tetapi tertuduh Ketiga tidak masuk ke dalam gerai makan tersebut. Tertuduh Ketiga hanya menunggu di dalam kereta. Pada pertemuan itu, SP4 telah mengadakan perbincangan lanjut mengenai transaksi jual beli dadah ganja. Mereka telah bersetuju mengenai jumlah ketulan mampat dan harga setiap ketulan tersebut. Perayu telah bersetuju untuk menjual kepada SP4 sebanyak 10 ketulan mampat dadah ganja pada harga 6 RM19,000. SP4 beredar dari gerai makan tersebut dan berjanji akan menghubungi semula Perayu setelah SP4 mempunyai cukup wang. [11] Pada 24.8.2015, Perayu sekali lagi telah menghubungi SP4 melalui panggilan telefon. Perayu bertanyakan kepada SP4 bilakah transaksi jualan dan serahan dadah ganja boleh dilakukan. SP4 meminta tempoh 2 hari lagi untuk mencukupkan wang RM19,000 yang dipersetujui. [12] Pada 25.8.2015, Perayu telah menghubungi semula SP4 dan memberitahu bahawa Perayu hanya boleh membekalkan sebanyak 5 ketulan mampat ganja sahaja pada harga RM1,900 untuk setiap ketulan mampat. SP4 menyatakan persetujuannya dan SP4 meminta Perayu untuk datang ke Stesen Bas Kuala Kangsar untuk transaksi tersebut. [13] SP4 kemudiannya telah menghubungi SP7 dan memaklumkan tentang perkembangan terbaru mengenai penyerahan 5 ketulan mampat dadah ganja yang akan dilakukan di kawasan Setesen Bas Kuala Kangsar. Satu taklimat telah diberikan oleh SP7 yang turut dihadiri oleh SP4 serta beberapa anggota dari Bahagian Narkotik untuk mengatur satu operasi serbuan, tangkapan dan rampasan dadah dalam transaksi tersebut. Selesai taklimat, SP4 dan ASP Sufian telah bergerak menuju 7 ke Stesen Bas Kuala Kangsar dengan menaiki sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran WYJ 7984. Setelah sampai, SP4 dan ASP Sufian terus menunggu ketibaan Perayu di situ. Perayu akhirnya tiba pada jam 1.30 tengahari dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga dengan nombor pendaftaran PLF 2482. Turut bersama Perayu dalam kereta tersebut ialah, tertuduh Kedua dan juga tertuduh Ketiga. [14] SP4 telah meminta Perayu untuk mengikut kereta yang dinaiki oleh SP4 atas alasan Setesen Bas Kuala Kangsar tidak sesuai dijadikan sebagai tempat untuk melakukan transaksi. Kereta yang dinaiki SP4 telah menuju ke sebuah gerai makan di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas dimana pasukan serbuan yang diketui oleh SP7 telah sedia berada di sana untuk melakukan serbuan, tangkapan dan rampasan barang kes. SP4 telah meletakkan keretanya selari dengan gerai makan tersebut dan Perayu telah meletakkan keretanya di sebelah kereta SP4. SP4 mengajak Perayu untuk masuk ke dalam gerai makan untuk minum. Semasa berada di dalam gerai makan tersebut, SP4 telah bertanya kepada Perayu adakah Perayu ada membawa “barang” yang dikehendaki dan Perayu terus menjawab bahawa “barang” tersebut ada di dalam keretanya. Mereka kemudiannya terus keluar dari dalam gerai makan dan berjalan menuju ke arah kereta Perayu oleh 8 kerana SP4 menyatakan dia mahu melihat “barang” itu. Pada masa itu, tertuduh Kedua menyatakan bahawa “barang” itu berada di dalam sebuah beg. [15] Perayu terus membuka pintu bahagian pemandu dan tertuduh kedua membuka pintu penumpang hadapan kereta Proton Saga PLF 2482 tersebut dan mereka terus masuk ke dalam kereta itu. Tertuduh Ketiga telah membuka pintu kereta di bahagian penumpang belakang sebelah kanan dan terus mengangkat sebuah beg dari tempat letak kaki di bahagian belakang pemandu dan meletakkan beg itu di atas tempat duduk penumpang belakang dan terus membuka zip beg tersebut. Setelah itu, tertuduh Ketiga beredar ke bahagian tempat duduk penumpang belakang sebelah kiri dan duduk di kerusi di belakang tertuduh Kedua. SP4 melihat ke dalam beg tersebut dan setelah berpuashati beg itu mengandungi dadah ganja, SP4 terus memberikan tanda isyarat kepada pasukan serbuan dengan menyalakan pemetik api. SP7 dan anggota pasukannya terus melakukan serbuah ke arah kereta PLF 2482 dan telah menangkap kesemua tertuduh. 9 [16] Setelah ketiga-tiga tertuduh ditangkap, SP7 telah mengambil sebuah beg berwarna hitam yang terletak di atas kerusi penumpang belakang kereta PLF 2482 tersebut. Pemeriksaan beg itu telah dilakukan di hadapan ketiga-tiga tertuduh, dan SP7 telah menemui 5 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja berada di dalam beg tersebut. Kesemua tertuduh dan barang kes telah dibawa ke Balai Polis Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut. Ketiga-tiga tangkapan dan semua barang kes telah diserahkan kemudiannya oleh SP7 kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurleyana Diana Binti Stephenson (SP8). [17] Lima (5) ketulan mampat bahan tumbuhan kering yang disyaki ganja telah diserahkan oleh SP8 kepada Jabatan Kimia Cawangan Perak untuk dianalisis. Ahli Kimia, Gunalan a/l Varatharajan (SP3), mengesahkan hasil analisis yang beliau jalankan terhadap 5 ketulan mampat bahan tumbuhan kering tersebut mengandungi dadah berbahaya jenis Cannabis dengan jumlah berat keseluruhan 4540 gram, hal perkara pertuduhan. SP3 turut mengesahkan bahawa Cannabis ialah sejenis dadah berbahaya yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, ADB. 10 Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan [18] Di akhir kes pendakwaan, Hakim bicara telah membuat penilaian secara maksima keterangan yang telah di berikan oleh saksi-saksi pihak pendakwaan. Hakim bicara telah berpuashati bahawa kesemua elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan terhadap ketiga-tiga tertuduh. Hakim bicara telah membuat dapatan fakta bahawa ketiga-tiga tertuduh mempunyai milikan terhadap barang kes dadah berbahaya yang dipertuduhkan dan telah menjualkan dadah berbahaya tersebut kepada SP4 yang bertindak sebagai AP dalam kes ini selepas beberapa rundingan diadakan. Hakim bicara turut menerima keterangan SP3 mengenai hasil analisis yang telah dijalankan bahawa 5 ketulan mampat bahan tumbuhan tersebut mengandungi dadah berbahaya jenis Cannabis dengan jumlah berat 4540 gram. Hakim bicara turut berpuashati bahawa ketiga-tiga tertuduh telah dibuktikan mempunyai niat bersama dalam memiliki dan memperedarkan dadah berbahaya yang dipertuduhkan. [19] Setelah berpuashati atas penilaian maksima bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap ketiga-tiga tertuduh, kesemua tiga tertuduh, termasuklah Perayu telah diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan yang dihadapkan. 11 Kes Pembelaan [20] Perayu dan dua lagi tertuduh telah memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Secara ringkasnya pembelaan ketiga-tiga tertuduh sepakat menafikan dan mempertikaikan keterangan yang telah diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan, terutamanya keterangan oleh SP4. Tertuduh-tertuduh telah menafikan bahawa mereka pernah berhubungan dan berbincang mengenai transaksi jual beli dadah dengan SP4. Mereka mendakwa bahawa mereka tidak bersalah dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan bahawa terdapat dadah ganja di dalam beg berwarna hitam yang mereka bawa dalam kereta PLF 2482 tersebut. Mereka juga menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa mereka telah menyewa kereta PLF 2482 tersebut untuk tujuan membawa dadah di dalam beg hitam tersebut untuk diserahkan kepada SP4. [21] Perayu seterusnya menyatakan seperti berikut: