Dadah yang dirampas ada di dalam milikan Perayu dan Perayu mempunyai jagaan dan kawalan ke atas dadah tersebut serta mempunyai pengetahuan bahawa dadah tersebut adalah dadah berbahaya. [22] Selepas tangkapan dan rampasan dibuat, SP9 telah menyerahkan barang-barang tersebut kepada SP10. Apabila SP10 menerima barang rampasan tersebut, beliau telah pada 15.7.2021 menghantar barang rampasan tersebut ke Jabatan Kimia untuk dianalisa oleh SP8. SP8 mengesahkan setelah menjalankan analisa terhadap bahan di dalam peket plastic mengandungi 38.45 gram cannabis. [23] Keterangan SP8 tidak dicabar berkenaan identiti dadah tersebut dan perjalanan barang kes juga tidak terganggu. Oleh itu, saya perlu menerima secara prima facie keterangan SP8 melainkan ianya sukar untuk dipercayai. SP8 juga tidak perlu memperincikan apakah yang diperlakukannya di makmal semasa menjalankan ujian-ujian untuk mengetahui jenis dan berat dadah. Di dalam kes Tarmizi bin Yaacob dan satu lagi v PP [2006] 6 MLJ 197 (Mahkamah Rayuan), menyatakan iaitu: “Bagi maksud itu, Mahkamah perbicaraan seperti juga Mahkamah ini seharusnya mengambil pendekatan yang disarankan oleh Mahkamah Agong dalam kes Munusamy v PP[1987] 1MLJ 492 (diikuti) yang diikuti dalam kes PP v Lam San [1991] 3 MLJ 426 (diikuti) dalam menangani keterangan ahli kimia. Panduan pertama yang ditetapkan dalam kes-kes itu ialah supaya Mahkamah pebicaraan menerima prima facie keterangan ahli kimia melainkan ia ternyata sukar dipercayai hingga tiada orang yang berfikiran waras boleh percaya kebenarannya. Keduanya, selagi keterangan itu boleh dipercayai ahli kimia tidak perlu menunjukkan secara terperinci apa yang dibuat di dalam makmalnya.” [24] Di dalam kes ini, saya dapati rantaian keterangan dalam pengendalian barang kes telah dicabar oleh pihak Perayu. Walau bagaimanpun, barang kes dadah telah dapat dicam dengan baik oleh saksi-saksi pendakwaan terutamanya SP9, SP10 dan SP8. Dalam kes Hasbala Mohd Sarong v PP [2013] 6 CLJ 945, Mahkamah Persekutuan Malaysia menyatakan: “Perbezaan dalam berat ekshibit-ekshibit dadah itu sendiri seperti yang didapati oleh PW6 dan PW3 tidak cukup untuk membentuk keraguan munasabah terhadap kes pihak Pendakwaan. Tiada keraguan bahawa ekshibit-ekshibit dadah yang dirampas daripada perayu-perayu dan yang dianalisa oleh PW3 adalah ekshibit-ekshibit dadah yang sama yang menjadi perkara pertuduhan terhadap perayu. Tidak ada pemutusan dalam rangkaian keterangan dan ekshibit-ekshibit dadah telah dikenalpasti secara positif oleh saksi-saksi Pendakwaan.” [25] Oleh itu, intipati pertama bahawa dadah-dadah sebagaimana pertuduhan-pertuduhan telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan sebagai dadah-dadah yang tersenarai dalam Jadual di bawah Akta 234. [26] Peguamcara Perayu membangkitkan isu bahawa HMS tidak membuat dapatan sama ada Perayu mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang ditemui di dalam kotak pelitup muka. [27] Pada hemat saya, ketiadaan dapatan HMS secara spesifik bahawa Perayu mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang ditemui tidak memudaratkan kes pendakwaan. Malah undang-undang tidak menghalang dari saya menilai kembali keterangan yang dikemukakan oleh pihak Responden semasa perbicaraan. [28] Dalam menentukan elemen pengetahuan Perayu ke atas dadah yang ditemui dari pegangan tangan Perayu sendiri, ia perlulah dilihat dari keadaan sekeliling tempat kejadian dan tingkah laku Perayu sebelum dan semasa dadah tersebut ditemui (rujuk kes Public Prosecutor v. Tan Tatt Eek [2005] 4 CLJ 460,465-466; kes PP v. Chia Leong Foo [2006] MLJ 705). [29] Dalam kes ini, Perayu ditahan ketika memasuki premis J&T dengan memegang kotak pelitup muka yang mengandungi dadah cannabis tersebut. Tiada orang lain bersamanya ketika itu. Dan SP9 merampas kotak pelitup muka berkenaan dari pegangan tangan Perayu sendiri. Sebagai pembawa kepada kotak pelitup muka yang di dalamnya mengandungi dadah, semestinya Perayu mempunyai pengetahuan mengenai dadah tersebut. Dadah sengaja dimasukan oleh Perayu ke dalam kotak pelitup muka bagi mengelakkan dadah itu dilihat dan dikesan yang mana ianya merupakan suatu faktor yang menunjukkan wujud pengetahuan kepada pembawanya: Teh Hock Leong v. PP [2008] 4 CLJ 764: kes Mad Rozi Che Din v. PP [2013] 8 CLJ 297 [30] Sehubungan dengan itu, berdasarkan kepada pemerhatian saya di atas, Perayu mempunyai kawalan, jagaan dan pengetahuan ke atas dadah jenis dan berat dadah sebagaimana pertuduhan di bawah seksyen 39A(1). Maka, Rayuan Perayu ke atas sabitan bagi rayuan No. Kes Rayuan AA-41H-7-03/2023 adalah tidak bermerit dan ditolak. Isu yang diketengahkan oleh Perayu dalam rayuan No. Kes Rayuan Jenayah No: AA-41S-8-03/2023 [31] Peguamcara Perayu berhujah bahawa tiada keterangan diberi oleh saksi pendakwaan SP10 selepas menerima specimen pada 4/7/2021 di mana dalam keadaan apa dan oleh siapa disimpan sehingga dihantar ke Jabatan Kimia pada 7/7/2021. Tiada keterangan diantara 4/7/2021 sehingga 7/7/2021 sebelum dihantar ke Jabatan Kimia di mana specimen itu disimpan. Tiada keterangan dikemukakan dalam tempoh 4 hari itu, specimen itu tidak diganggu atau ditukar kandungan atau telah dicampurkan. Di atas alasan-alasan tersebut di atas, jelas menunjukkan terdapat putus dalam rangkaian keterangan dan ini menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan, samada specimen yang diambil dari Perayu adalah specimen yang dihantar ke Jabatan Kimia. [32] Responden juga berhujah bahawa HMS telah membuat dapatan yang betul dan tepat apabila memutuskan bahawa rantaian keterangan berkaitan dengan pengendalian sampel urin tidak terputus dan anggapan di bawah seksyen 37(k) ADB 1952 terpakai terhadap Perayu apabila ujian saringan awal urin milik Perayu disahkan positif dadah jenis THC setelah test trip dicelupkan ke dalam sampel urin milik Perayu. DAPATAN DAN KEPUTUSAN [33] Dari keterangan adalah jelas bahawa SP9 telah melabelkan dan memeterai botol sampel urin tersebut di hadapan Perayu. Selepas itu, SP9 membuat laporan polis berkenaan ujian saringan awal tersebut. Kemudian, pada jam lebih kurang 6.30 petang, SP9 telah menyerahkan tangkapan dan botol sampel urin kepada SP10. SP10 menyimpan botol sampel tersebut di peti besi berkunci di pejabatnya sebelum dihantar ke makmal Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dianalisa. Dapat disimpulkan bahawa tempoh 4 hari sampel urin Perayu berada di dalam simpanan selamat SP10 sehinggalah ianya diserahkan kepada SP7. [34] SP7 yang telah menerima botol sampel urin tersebut telah menjalankan analisa dan keputusannya ialah urin Perayu mengandungi 11-nor-delta-9- tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid yang tersenarai dalam Jadual Pertama Bahagian 3 Akta 234 sebagai dadah berbahaya. SP7 selanjutnya telah mengeluarkan laporan ujian pengesanan dadah iaitu Eksibit P29. [35] HMS dalam membuat keputusan untuk mensabitkan Perayu dalam penghakimannya telah menyatakan seperti berikut: Berdasarkan keputusan analisa tersebut, saya berpendapat rantaian keterangan pertuduhan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri ini telah dibuktikan oleh pendakwaan. Anggapan di bawah seksyen 37(k) ADB terpakai dan tiada sebarang keterangan yang menimbulkan keraguan terhadap identiti sampel urin tersebut mahupon rantaian keterangan pengendalian botol sampel tersebut sehinggalah ia dianalisa di makmal. Proses pengambilan sampel urin di buat dengan teratur dan proses penglabelan juga dilakukan di hadapan Tertuduh. Tiada keperluan untuk 2 botol sampel urin diambil berdasarkan prinsip undang-undang di dalam kes Mahkamah Rayuan Pendakwaraya lawan Ahmad Saiful Islam bin Mohamad No. W- 09-282-11/2021. Oleh itu, saya memutuskan satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan bagi pertuduhan di bawah seksyen 15(1)(a) Akta ADB. [36] Dalam meneliti isu ini, saya telah membuat rujukan terhadap peruntukan di bawah seksyen 37(k) yang menyatakan seperti berikut: “Section 37. Presumptions. In all proceedings under this Act or any regulation made thereunder—