(iii) memandu secara berbahaya. [37] Elemen-elemen pertuduhan bagi satu kesalahan di bawah Seskyen 41(1) APJ 1987 adalah seperti yang diputuskan dalam kes PP v Wan Kahiril Wan Isa [2007] 2 MLRH 838 seperti berikut: “[5] The essential ingredients then of the offence created under s. 41(1) of the Act are: a) A person who; b) By driving a motor vehicle recklessly; or c) By driving a motor vehicle at a speed; or d) By driving a motor vehicle in a manner with having regard to the circumstances (including the nature, condition and size of the road and the amount of traffic which is or might be expected to be on the road) is dangerous to the public; e) Causes the death of a person shall be guilty of an offence…” [38] Berdasarkan otoriti di atas, jelas bahawa elemen-elemen yang perlu dibuktikan adalah seperti berikut: i. Tertuduh memandu kenderaan Perodua Axia AKR 3213 di jalan awam pada masa kemalangan; ii. Tertuduh telah memandu dengan kelajuan yang merbahaya kepada orang awam sehingga terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar motorsikal AEA 5759 iaitu motorsikal yang sedang ditunggang oleh mangsa; dan iii. Pemanduan merbahaya Tertuduh telah menyebabkan kematian mangsa ELEMEN PERTAMA: SAMA ADA TERTUDUH MEMANDU KENDERAAN MOTOKAR PERODUA AXIA NOMBOR PENDAFTARAN AKR 3213 [39] Bagi elemen pertama ini, mahkamah ini percaya bahawa adalah tidak dinafikan oleh mana-mana pihak bahawasanya Tertuduh merupakan pemandu kenderaan motokar Perodua Axia No. Pendaftaran AKR 3213. Pihak pendakwaan membuktikan elemen pertama pertuduhan ini terhadap Tertuduh menerusi keterangan SP7 di mana SP7 sendiri yang telah mengambil rakaman percakapan Tertuduh walaupun Tertuduh tiada sewaktu SP7 tiba di tempat kemalangan. Keterangan ini turut disokong oleh ekshibit P9 iaitu laporan polis yang difailkan sendiri oleh Tertuduh yang mana dengan jelas di barisan pertama laporan itu Tertuduh mengaku bahawa Tertuduh yang memandu kenderaan tersebut ketika kemalangan berlaku. Oleh itu, isu berkenaan identiti pemandu sama sekali tidak menjadi pertikaian utama dalam kes ini. ELEMEN KEDUA: SAMA ADA TERTUDUH TELAH MEMANDU KENDERAAN DENGAN KELAJUAN YANG MERBAHAYA [40] Mahkamah ini mengambil maklum bahawa dalam kes ini, ianya tidak melibatkan sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ataupun kehadiran saksi bebas yang menyaksikan kemalangan tersebut berlaku secara langsung. Sehubungan itu, dalam menilai dan memutuskan isu-isu yang berbangkit di hadapan Mahkamah ini, penekanan telah diberikan sepenuhnya kepada bentuk keterangan tidak langsung atau yang lazim dirujuk sebagai bukti senyap (silent evidence). Antara bentuk bukti senyap yang telah dipertimbangkan dalam kes ini termasuklah kesan calar dan seretan di atas permukaan jalan raya, kedudukan akhir kedua-dua kenderaan pasca kemalangan, serpihan dan pecahan bahagian kenderaan yang bertaburan di tempat kejadian serta keadaan mangsa yang ditemui tercampak ke dalam sungai. Oleh itu, dengan ketiadaan bukti langsung, mahkamah ini sedar bahawa pendekatan pentafsiran secara menyeluruh dan menyemak daripada setiap sudut atau apa yang dikenali sebagai penilaian maksimum adalah diperlukan dalam memutuskan kes ini. [41] Dalam kes ini, pertuduhan terhadap tertuduh adalah berasaskan kategori ketiga di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu memandu dengan kelajuan yang merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian. Dalam pentakrifan pemanduan berbahaya, Mahkamah ini mengambil panduan daripada YA Raja Azlan Shah Ag LP dalam kes tersohor Ramiah v. PP [1972] 1 MLRH 124; [1972] 2 MLJ 258 seperti berikut: "It is not the law under s 34A of the Road Traffic Ordinance that merely because an accident had happened and a person had been killed, danger had in that sense arisen and therefore it must follow, as the night, the day, that the appellant was driving in a manner dangerous to the public. In a case under s 34A, two things must be established. First, there must be a situation created by the accused which, viewed objectively, is dangerous. Dangerous driving is not defined in the Road Traffic Ordinance and it is up to the court to come to a decision on the evidence. Reported cases can only serve as illustrations." [42] Berdasarkan otoriti di atas, dapat kita lihat bahawa fakta berlakunya satu kemalangan yang membawa kepada kematian tidak dengan sendirinya menjadikan sesuatu pemanduan itu sebagai satu pemanduan yang berbahaya. Mahkamah ini bertanggungjawab untuk meneliti sama ada wujud satu situasi yang berbahaya yang dicipta oleh Tertuduh dan yang dinilai secara objektif berdasarkan keseluruhan keadaan pada masa kemalangan. Dalam hal ini, Mahkamah ini hendaklah memeriksa bukan sahaja kelajuan tetapi juga konteks pemanduan tersebut termasuk keadaan jalan pada waktu kemalangan, kesesakan lalu lintas, jarak penglihatan, tindakan pemandu sebelum impak kemalangan dan reaksi sewajarnya yang seharusnya dilakukan oleh pemandu yang berhemah. [43] Dalam kes ini, pihak pendakwaan berhujah bahawa Tertuduh telah memandu dengan kelajuan yang tinggi lalu telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan dan telah melanggar motorsikal yang sedang ditunggang oleh mangsa lalu mengakibatkan mangsa tercampak dan kemudiannya jatuh ke dalam sungai. Hujahan ini disokong oleh keterangan SP7 yang menyatakan bahawa kesan-kesan serpihan dan lokasi akhir kedua-dua kenderaan menunjukkan bahawa kemalangan berlaku di lorong sah milik mangsa. Tambahan pula, motorsikal mangsa telah diseret sejauh hampir 80 meter dan tiada kesan brek ditemui di lokasi kejadian. [44] Walau bagaimanapun, Mahkamah ini mendapati bahawa dakwaan kelajuan tinggi ini tidak disokong dengan bukti objektif yang meyakinkan. SP7 mengakui bahawa tiada alat atau mekanisme digunakan untuk mengukur kelajuan sebenar kenderaan Tertuduh pada masa kemalangan. Keterangan SP7 bahawa Tertuduh telah memandu dengan laju hanyalah berdasarkan inferens daripada kesan impak dan jarak seretan. Begitu juga dengan SP3 yang telah memberi keterangan bahawa beliau tidak dapat menentukan kelajuan dan hanya menyatakan bahawa pelanggaran itu berlaku pada kelajuan tertentu yang tidak dapat dipastikan. Merujuk kepada pemeriksaan utama SP7, SP7 telah memberi keterangan seperti berikut: S: Apa yang menyebabkan motorcar melanggar motorsikal dan heret ke hujung jambatan? J: Motokar hilang kawalan dan pada waktu itu dalam kelajuan yang tinggi kerana telah mengheret motorsikal sejauh 80 meter. [45] Manakala, SP7 semasa disoal balas telah menyatakan seperti berikut: S: Ada Inspektor hantar motorkar untuk check kelajuannya pada masa kejadian? J: Tiada S: Bagaimana Inspektor boleh tahu OKT telah bawa laju? J: Kerana motokar telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan. S: Katakan ia hanya berdasarkan andaian Inspektor sahaja? J: Tidak setuju. [46] Seterusnya, semasa pemeriksaan balas, SP3 pula telah memberi keterangan seperti berikut: S: Semasa kursus ada ajar tentang pemeriksaan kelajuan dan impak perlanggaran? J: Ada badan berkaitan MIROS ada bagi kursus, ada belajar S: Jadi kamu mesti tahu la kelajuan kenderaan J: Saya hanya memeriksa kenderaan fizikal kemalangan selepas kemalangan, saya tak kira impak [47] Kemudian, dalam pemeriksaan balas, SP3 menyatakan: S: Tak mampu buat anggaran kelajuan dan impak? J: Kursus dah lama tak ada dalam silibus hanya bagi talk apa yang MIROS buat berkenaan puspakom dan pemeriksaan kemalangan hanya untuk pemahaman [48] Dalam kes PP v. Zulkifli Omar [1998] 8 MLRH 706; [1998] 6 MLJ 65; [1998] 1 CLJ 1079; YA Vincent Ng J (pada ketika itu) ada menyatakan bahawa: In an offence under s 41(1) excessive speed is not the sole decider of reckless driving but there must also be a finding on the manner and other aspects of the defendant's driving which constituted recklessness, by having regard to the prevailing circumstances at the material time of accident, including the nature, condition, and size of the road, and the amount of traffic which is or might be expected on the road. The risk created by the manner in which the vehicles is driven must be both obvious and serious, and the court has to be satisfied that the essential or core ingredients of recklessness have been proved beyond reasonable doubt." [49] Mahkamah ini selanjutnya merujuk kepada kes Ng Beng Kok v. PP [2017] 4 MLRA 59; [2017] 7 CLJ 157 yang menegaskan seperti berikut: "It was held that in proving that there was "dangerous driving", it must be shown that: i) there must be a situation created by the accused which, viewed objectively, is dangerous; ii) that when creating such a situation the accused was at fault. Fault here involves a failure; a falling below the care and skill of a competent and experienced driver in relation to the manner of driving and the relevant circumstances." [50] Berdasarkan otoriti-otoriti di atas, Mahkamah ini dapat simpulkan bahawa ‘excessive speed’ bukanlah satu-satunya penentu kepada pemanduan berbahaya. Kelajuan tersebut hendaklah dilihat secara objektif dalam konteks keadaan jalan, jumlah lalu lintas serta faktor-faktor persekitaran lain. Dalam kes ini, berdasarkan impak kemalangan, keadaan kenderaan selepas kemalangan serta keadaan mangsa selepas kemalangan, mahkamah ini tidak menafikan bahawa terdapat kebarangkalian bahawa kenderaan telah dipandu dengan laju. Namun, mahkamah ini tidak dapat memastikan sama ada Tertuduh ataupun mangsa yang telah memandu kenderaan dengan laju. [51] Mahkamah ini turut mengambil perhatian bahawa jalan di tempat kemalangan adalah merupakan satu jalan yang lurus, tidak dibuktikan sebagai sibuk serta tidak mengalami sebarang kerosakan pada jalan raya dan kemalangan juga telah berlaku pada siang hari dengan cuaca yang baik dan tidak hujan. Tiada bukti dikemukakan mengenai had laju yang ditetapkan secara rasmi dan tiada sebarang tanda yang menunjukkan keadaan jalan tersebut berada dalam kategori berisiko tinggi atau memerlukan satu kawalan khas. [52] Selain itu, Mahkamah ini turut mempertimbangkan tindakan Tertuduh selepas impak kemalangan. Keterangan pihak pembelaan menyatakan bahawa beg udara telah terbuka sewaktu kemalangan yang menurut SP3 boleh terjadi akibat kelajuan yang dikurangkan secara mendadak. Namun, pada hemat mahkamah, ini adalah tidak selari dengan keterangan SP7 yang menyatakan bahawa tiada langsung kesan brek pada jalan raya tempat kemalangan tersebut berlaku. Sewaktu pemeriksaan utama, SP3 telah memberi keterangan seperti berikut: S: Berdasarkan pemeriksaan airbag keluar, apa yang boleh sebabkan? J: Ada satu sensor, bila kereta laju impak kemalangan, kelajuan berkurang sensor akan trigger dan hantar maklumat untuk keluarkan airbag, kelajuan kenderaan berkurang sebab perlanggaran. [53] SP7 kemudiannya semasa pemeriksaan balas telah memberi keterangan seperti berikut: S: Ada kamu jalankan siasatan ke atas jalan raya di tempat kejadian? J: Ada S: Setuju tiada apa-apa kesan skid marks atau kesan brek daripada tayar di kedua-dua belah jalan? J: Setuju S: Apabila disoal kamu telah jawab bahawa motokar telah bawa dengan kelajuan yang tinggi. Setuju kalua sesebuah kenderaan dibawa dengan kelajuan tinggi apabila kenderaan itu brek secara emergency sudah tentu ada kesan brek di atas jalan raya? J: Setuju [54] Berdasarkan keterangan yang bercanggah ini, ianya menimbulkan keraguan tentang mekanisme sebenar yang membawa kepada hilang kawalan kenderaan. Keterangan Tertuduh juga menunjukkan bahawa selepas impak kemalangan, tertuduh tidak dapat melihat kerana beg udara yang telah meletup telah menghalang pandangan dan ini menyebabkan Tertuduh terbabas dan bukan kerana pemanduan yang tidak terkawal dari awal [55] Dalam kes PP v. Ong Kia Chan [2006] 1 MLRH 832; [2006] 7 MLJ 230; [2006] 4 CLJ 334; [2006] 6 AMR 793, Low Hop Bing H telah menyatakan seperti berikut: "The expression 'driving in a manner which is dangerous to the public' indicates some dangerous act or maneuver on the part of the driver of a vehicle eg overtaking a vehicle on the wrong side of it, or overtaking in the face of oncoming traffic, or overtaking when unable to see oncoming traffic, or crossing a junction against traffic light [Emphasis Added], and so on. There must be some positive act on the part of the driver which is dangerous having regard to all the circumstances (per Choor Singh J (Singapore) in Lim Chin Poh v. Public Prosecutor [1969] 1 MLRH 556; [1969] 2 MLJ 159 at p 161F to I right column. It is impossible to define "dangerous driving" and the legislature has quite rightly not attempted to do so. Driving can become dangerous in an infinite variety of circumstances, one of which is leaving one's own proper side of the road and getting into the path of an oncoming vehicle. Such an act has potentially fatal consequences in the vast majority of cases, and thise can be no two views about it being 'dangerous': per Ong J (later CJ (Malaya)) in Public Prosecutor v. Low Yong Ping [1961] 1 MLRH 818; [1961] 1 MLJ 306 at p 307." [56] Merujuk kepada kes PP v Ong Kia Chan di atas, dapat dilihat bahawa pemanduan berbahaya perlu melibatkan satu tindakan positif yang nyata seperti memotong secara membabi buta, melanggar lampu isyarat atau masuk ke laluan bertentangan secara sengaja. Dalam kes ini, tiada bukti menunjukkan bahawa Tertuduh melakukan sebarang manuver berbahaya sebelum kemalangan berlaku. [57] Selanjutnya, Mahkamah ini ingin memetik prinsip perundangan daripada kes PP v Mohd Radzi bin Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457, di mana dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa: “Where the evidence can give rise to more than one reasonable inference, the one that favours the accused must be adopted.” [58] Selaras dengan prinsip ini, inferens yang tidak pasti dan terbuka kepada lebih dari satu tafsiran tidak boleh menjadi asas kepada sabitan jenayah. Dalam kes ini, setelah mahkamah ini meneliti keseluruhan keterangan tersebut secara objektif dan mendalam, mahkamah ini berpendirian bahawa bentuk bukti senyap dalam kes ini tidak membawa kepada sebarang inferens yang bersifat tunggal, jelas atau konklusif terhadap kewujudan unsur pemanduan berbahaya oleh Tertuduh. Sebaliknya, mahkamah ini mendapati bahawa bukti senyap tersebut terbuka kepada lebih daripada satu tafsiran yang munasabah, termasuk kemungkinan bahawa mangsa sendiri telah hilang kawalan semasa menunggang motrosikal atau berada di laluan kenderaan Tertuduh pada waktu kemalangan. Justeru, keraguan yang wujud hasil daripada bukti senyap ini tidak dapat disingkirkan sepenuhnya dan keadaan tersebut mestilah memberi manfaat kepada Tertuduh. [59] Dengan mengambil kira kesemua keadaan di atas, mahkamah ini berpendirian bahawa pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Tertuduh telah memandu dalam kelajuan yang merbahaya kepada orang awam. Inferens semata-mata tidak mencukupi tanpa disokong oleh bukti teknikal, saksi bebas atau demosntrasi situasi jalan pada masa kejadian. Dalam keadaan di mana bukti senyap tersebut menyokong lebih daripada satu kemungkinan yang munasabah termasuk kemungkinan bahawa kemalangan berpunca daripada tindakan mangsa sendiri, Mahkamah tidak boleh mengabaikan kewujudan keraguan yang munasabah terhadap versi pihak pendakwaan. Sehubungan itu, Mahkamah ini tidak dapat membuat satu dapatan yang pasti dan konklusif bahawa tertuduh telah memandu dalam kelajuan yang merbahaya sepertimana yang didakwa. Maka, elemen kedua dalam pertuduhan ini tidak dapat dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah dan oleh itu, Mahkamah ini menolak elemen tersebut dengan sewajarnya. ELEMEN KETIGA: PEMANDUAN MERBAHAYA TERTUDUH TELAH MENYEBABKAN KEMATIAN MANGSA [60] Bagi memenuhi elemen ketiga dalam pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, pihak pendakwaan hendaklah membuktikan bahawa kematian mangsa adalah akibat langsung daripada pemanduan Tertuduh yang didakwa berbahaya. Dalam erti kata lain, perlu wujud hubungan sebab-akibat (causal link) yang kukuh dan tidak terputus antara cara pemanduan tertuduh dan kematian mangsa. [61] Dalam kes ini, Mahkamah ini telah memutuskan bahawa elemen kedua dalam pertuduhan iaitu bahawa Tertuduh telah memandu dalam satu cara yang berbahaya kepada orang awam telah pun gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan melampaui keraguan yang munasabah. Seperti yang telah dihuraikan secara mendalam sebelum ini, Mahkamah ini mendapati bahawa keterangan berhubung kelajuan dan cara pemanduan tertuduh tidak disokong dengan bukti objektif yang meyakinkan. Keterangan saksi pendakwaan hanya bergantung kepada inferens berdasarkan kesan fizikal seperti serpihak dan jarak seretan tanpa disokong oleh data saintifik, analisis pakar atau saksi bebas. [62] Dalam undang-undang jenayah, pembuktian setiap elemen pertuduhan adalah mandatori. Kegagalan untuk membuktikan mana-mana satu elemen yang utama secara langsung menjejaskan kebolehpercayaan keseluruhan pertuduhan. Oleh yang demikian, dalam kes ini, apabila mahkamah telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen kedua, maka ini sekaligus menjejaskan keberadaan elemen ketiga iaitu bahawa kematian mangsa berlaku akibat daripada pemanduan tersebut. [63] Secara prinsipnya, sabitan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 memerlukan wujudnya hubungan kausal yang tidak terputus antara pemanduan yang berbahaya dan kematian mangsa. Ini bermakna kematian tersebut mestilah merupakan akibat langsung yang timbul daripada tindakan pemanduan tertuduh yang dikategorikan sebagai berbahaya. Dalam kes ini, memandangkan Mahkamah ini telah menolak elemen kedua, maka secara logiknya, nexus atau rantai penyebab antara tindakan tertuduh dan kematian mangsa turut terputus. Dengan kata lain, ketiadaan elemen pemanduan merbahaya membawa kesan langsung kepada penilaian terhadap elemen ketiga. Mahkamah ini tidak boleh menyandarkan kesalahan jenayah terhadap tertuduh atas sebab kematian mangsa semata-mata tanpa bukti bahawa kematian itu benar-benar berpunca daripada suatu bentuk pemanduan yang salah di sisi undang-undang. [64] Mahkamah ini juga mengambil kira bahawa sebarang pendekatan yang menyimpang daripada prinsip ini akan membawa kepada suatu bentuk tanggungan jenayah yang bersifat strict liability, yang mana kematian sahaja dianggap mencukupi untuk mewujudkan kesalahan tanpa perlu dibuktikan bahawa ia berpunca daripada tindakan salah tertuduh. Pada hemat mahkamah, perkara ini adalah bertentangan dengan asas keadilan dalam sistem perundangan jenayah yang mewajibkan pembuktian elemen mens rea atau sekurang-kurangnya actus reus yang bersifat cuai atau salah. Maka, adalah tidak adil dan bertentangan dengan prinsip undang-undang sekiranya mahkamah menganggap bahawa kematian itu dengan sendirinya cukup untuk menyabitkan tertuduh sedangkan cara pemanduan tertuduh tidak pernah terbukti melangkauai tahap berbahaya sebagaimana dituntut oleh peruntukan undnag-undang. [65] Kesimpulannya, mahkamah ini dengan tegas berpendirian bahawa apabila satu elemen utama dalam pertuduhan gagal dibuktikan, maka adalah tidak munasabah dan tidak sah di sisi undnag-undang untuk menyandarkan kematian mangsa sebagai berpunca daripada pemanduan tertuduh. Ketiadaan bukti yang kukuh dan meyakinkan berkenaan elemen kedua secara automatik mengagalkan pembuktian elemen ketiga. Oleh itu, secara kesleuruhan, Mahkamah tidak dapat mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. JUSTIFIKASI TIDAK MENSABITKAN TERTUDUH DI BAWAH SEKSYEN 43(1) APJ 1987 [66] Seksyen 43(1) APJ 1987 memperuntukkan kesalahan memandu dengan cuai dan tidak cermat yang tidak mencapai tahap pemanduan berbahaya di bawah Seksyen 41(1) akta yang sama. Seksyen 43(1) secara prinsipnya merupakan satu kesalahan yang lebih ringan dan boleh, dalam keadaan tertentu, dijadikan sebagai alternatif kepada pertuduhan asal di bawah Seksyen 41(1) sekiranya Mahkamah berpuas hati bahawa elemen-elemen bagi Seksyen 41(1) tidak terbukti tetapi wujud unsur kelalaian atau kecuaian minimum yang tetap memerlukan sabitan. [67] Walau bagaimanapun, dalam kes ini, Mahkamah ini berpendirian bahawa tiada justifikasi untuk Mahkamah ini mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987. Hal ini adalah kerana tiada pindaan pertuduhan dibuat oleh pihak pendakwaan mahupun oleh Majistret terdahulu pada perbicaraan di peringkat akhir pendakwaan sepanjang prosiding. Oleh itu, Mahkamah ini berpendirian bahawa adalah tidak wajar dan tidak selari dengan prinsip keadilan untuk Mahkamah ini mensabitkan Tertuduh atas suatu seksyen yang tidak dinyatakan dalam pertuduhan asal tanpa memberi peluang sewajarnya kepada Tertuduh untuk menjawab pertuduhan tersebut secara khusus. [68] Selanjutnya, mahkamah ini percaya sabitan alternatif di bawah Seksyen 43(1) tidak boleh dikenakan secara automatik semata-mata kerana wujudnya kemalangan dan kematian lebih-lebih lagi apabila Mahkamah telah mendapati bahawa pembelaan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap keseluruhan kes pendakwaan. Perbezaan antara kedua-dua seksyen ini adalah dari segi tahap kesalahan (degree of fault) dan setiap satu memerlukan pembuktian tersendiri berdasarkan tahap melampaui keraguan yang munasabah. Oleh itu, sabitan di bawah Seksyen 43(1) tetap memerlukan pembuktian bahawa Tertuduh telah melakukan satu bentuk kelalaian atau kecuaian yang nyata dalam cara pemanduannya. [69] Dalam kes ini, Mahkamah tidak mendapati sebarang tindakan kelalaian atau kecuaian di pihak Tertuduh. Tiada keterangan atau bukti yang boleh menunjukkan bahawa tertuduh sedang memandu dalam keadaan mengantuk, tidak berjaga-jaga atau melanggar sebarang peraturan jalan raya. Keterangan tertuduh bahawa kemalangan tersebut berlaku secara tiba-tiba apabila motorsikal mangsa telah masuk ke laluannya tidak dapat disangkal oleh pendakwaan dan kekal munasabah berdasarkan keseluruhan bukti khususnya apabila tiada saksi bebas atau bukti langsung dikemukakan. [70] Mahkamah ini mendapati bahawa inferens yang cuba dibina oleh pihak pendakwaan melalui bukti senyap seperti kesan seretan, kedudukan kenderaan selepas kemalangan dan keadaan mangsa selepas kemalangan adalah tidak konklusif dan terbuka kepada pelbagai tafsiran lain yang munasabah. Dalam keadaan sedemikian, adalah prinsip asas undang-undanag jenayah bahawa sebarang keraguan hendaklah memberi manfaat kepada tertuduh. Justeru, mahkamah tidak boleh membuat satu inferens bersifat spekulatif semata-mata bagi tujuan menyesuaikan pertuduhan kepada seksyen yang lebih ringan. [71] Maka, dalam keadaan keterangan yang tidak cukup kukuh untuk menyokong elemen bagi Seksyen 41(1) dan pada masa yang sama tidak cukup tegas untuk mewujudkan unsur kecuaian di bawah Seksyen 43(1), Mahkamah ini tidak melihat sebarang asas yang sah di sisi undang-undang untuk mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 43(1) sebagai alternatif. Sehubungan itu, pertuduhan terhadap tertuduh tidak dikurangkan dan Mahkamah memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh sepenuhnya daripada pertuduhan yang dikenakan. KESIMPULAN [72] Mahkamah ini menzahirkan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa atas kehilangan yang dialami. Mahkamah ini tidak menafikan bahawa kehilangan nyawa dalam sesuatu kemalangan adalah satu tragedi besar kepada keluarga mangsa. Namun, mahkamah terikat kepada prinsip undang-undang bahawa sabitan jenayah tidak boleh dilakukan atas dasar emosi, persepsi umum atau tekanan awam. Ianya mestilah berasaskan kepada bukti kukuh dan sah selaras dengan kehendak keadilan dan undang-undang. [73] Mahkamah ingin menyimpulkan alasan penghakiman ini dengan memetik kata-kata Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat (ketika itu JCA) dalam kes Cantona Lim Xiang Kim v PP [2020] 1 MLRA 749 yang menyatakan bahawa: “[28] Apart from the fact that the accused had collided into, and caused the death of the deceased, no other evidence was led to show the recklessness of the accused. As propounded in Ramiah (supra), it is not the law that merely because an accident happened which led to fatal consequences, it follows that the appellant was driving in a manner dangerous to the public. The prosecution needed to show something more, ie, that the accused was driving in a manner which has shown a selfish disregard for the safety of other road users. This element was conspicuously absent in the prosecution’s case. [74] Kesimpulannya, berdasarkan analisis menyeluruh terhadap bukti, keadaan persekitaran, prinsip undang-undang serta ketiadaan elemen pemanduan merbahaya yang kukuh, dengan ini, mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah. Maka, tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bertarikh pada 16 Jun 2025 Disediakan oleh, Anis Hanini binti Abdullah Majistret Mahkamah Majistret Jenayah (3) / Khas Trafik