Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama. [2] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie ke atas Tertuduh. Tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah seksyen 39A (1) Akta yang sama tanpa dipanggil membela diri. [3] Pertuduhan ke atas Tertuduh adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 30/01/2024 jam lebih kurang 7.30 malam bertempat di parkir hadapan Kedai Dobi Laundrybar, Kampung Losong Haji Mat Shafie, 21000, di dalam daerah Kuala Terengganu, di dalam Negeri Terengganu, dapati telah ada dalam milikan kamu dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 9.06 gram (berat bersih). Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A (1) Akta yang sama” KES PENDAKWAAN [4] Pada 30/01/2024 lebih kurang jam 7.30 petang, bertindak atas maklumat dadah, SP1 telah mengetuai sepasukan anggota polis telah membuat serbuan di parkir hadapan kedai dobi Laundrybar Kampung Losong Haji Mat Shafie, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu. [5] Sampai di tempat kejadian, SP1 telah membuat pemerhatian selama lebih kurang 30 minit di sekitar kawasan lot kedai dobi tersebut dalam jarak lebih kurang 5 meter hingga 100 meter. Hasil pemerhatian mendapati terdapat sebuah kereta Perodua Myvi no pendaftaran BRJ 9241 dalam keadaan mencurigakan telah melalui kawasan lot kedai tersebut sebanyak 2 kali. [6] Sebaik sahaja kereta Perodua Myvi no pendaftaran BRJ 9241 berhenti di parkir lot di hadapan kedai laundrybar tersebut, SP1 kemudianya telah mengarahkan SP3 untuk membuat halangan di bahagian belakang kereta Perodua Myvi no pendaftaran BRJ 9241 dengan menggunakan kereta Proton Persona yang dipandu oleh SP3. Kemudian, SP1 dan anggota serbuan telah menghampiri kereta Perodua Myvi no pendaftaran BRJ 9241 dan dapati tertuduh berada di dalam kereta Perodua Myvi tersebut. SP1 mengatakan bahawa terdapat cubaan mengundur kereta oleh tertuduh semasa SP1 dan anggota serbuan datang menyerbu ke arah kereta tertuduh tetapi berjaya dihalang oleh kenderaan Proton Persona yang dipandu oleh SP3 yang telah menghalang di bahagian belakang kereta tertuduh. [7] SP1 mengatakan bahawa semasa tiba di kereta Tertuduh, SP1 telah beberapa kali mengetuk cermin tingkap kereta sebelah pemandu (dimana Tertuduh berada) untuk Tertuduh membuka pintu sambil memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kanan Polis. Kemudian, pintu kereta telah dibuka oleh Tertuduh dan SP1 mendapati juga terdapat seorang perempuan yang berada di tempat duduk sebelah pemandu iaitu SP4. SP1 telah membuat pemeriksaan terhadap Tertuduh yang ketika itu masih berada di tempat duduk pemandu di dalam kereta. Hasil pemeriksaan ke atas Tertuduh, SP1 telah menjumpai di bahagian depan poket sebelah kanan seluar track warna hitam bertali (eksibit P7) yang dipakai oleh Tertuduh iaitu 1 plastik kuning (eksibit P6) yang mengandungi 3 paket plastik warna biru (masing ditandakan eksibit P10, P11 dan P12) dan 1 paket plastik warna merah jambu (eksibit P13) yang masing-masing berisi biji-biji pil warna merah dan hijau disyaki dadah. [8] SP1 telah merampas barang kes dan menangkap Tertuduh serta SP4 dan dibawa ke Balai Polis Manir untuk tindakan lanjut. Sepanjang perjalanan ke Balai Polis Manir, Tertuduh dan barang kes berada di dalam kawalan SP1. [9] Setelah tiba di Balai Polis Manir, SP1 telah membuat timbangan dan tandaan berserta tarikh 30/1/2024 pada barang-barang kes sambil disaksikan oleh Tertuduh dan anggota serbuan yang lain. SP1 juga telah membuat dokumentasi berkaitan iaitu laporan polis Chabang Tiga Repot/406/24 (eksibit P1), borang pemeriksaan (eksibit P17) dan borang serah terima barang kes (eksibit P18). [10] SP1 kemudiannya telah menyerahkan Tertuduh bersama-sama barang kes serta borang serah terima barang kes kepada Pegawai Penyiasat (SP5) di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Terengganu pada jam lebih kurang 11.00 malam. SP5 kemudiannya telah membuat timbangan berat kasar terhadap 3 paket plastik warna biru dan 1 paket plastik warna merah jambu yang berisi biji-biji pil merah dan hijau dan mendapati berat kasar adalah sebanyak 80.79 gram. Kesemua barang kes dadah tersebut telah disimpan oleh SP5 di dalam almari besi berkunci di dalam bilik SP5. [11] SP5 telah menghantar barang kes ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan telah menerima resit penerimaan kimia dengan nombor makmal 24-FR-T-00514 (eksibit P21). [12] Laporan kimia (eksibit P22) mengesahkan bahawa tiga paket plastik biru (eksibit P10, P11 dan P12) serta satu paket plastik merah jambu (eksibit P13) yang mengandungi biji-biji pil berwarna merah dan hijau itu mempunyai berat bersih keseluruhan 73.71 gram. Daripada jumlah tersebut, didapati bahawa pil berwarna merah mengandungi 9.06 gram bahan Methamphetamine, manakala pil berwarna hijau tidak mengandungi sebarang bahan dadah berbahaya. [13] Methamphetamine adalah sejenis dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada pertuduhan ke atas Tertuduh bagi kes ini. BEBAN PEMBUKTIAN [14] Undang-undang mantap meletakkan beban pembuktian di atas pihak pendakwaan bagi membuktikan satu kes prima facie terhadap seorang Tertuduh seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seskyen 173(f) Kanun Tatacara Jenayah. [15] Dalam menilai sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie, Mahkamah mengambil panduan dari prinsip yang telah diperjelaskan dalam kes PP v Dato’ Seri Anwar Ibrahim [1999] 2 MLJ dan juga kes dalam kes Looi Kow Chai & Anor v PP (2003) 1 CLJ 734. [16] Berdasarkan otoriti-otoriti di atas, adalah jelas bahawa beban pembuktian terletak pada pihak pendakwaan dan pihak pendakwaan hendaklah membuktikan setiap elemen kesalahan dalam kes ini dan perlu membuktikanya tanpa keraguan yang munasabah. Beban pembelaan hanyalah perlu menimbulkan satu keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan di mana jika Tertuduh berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah, maka Tertuduh seharusnya dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. ANALISA FAKTA DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PENDAKWAAN [17] Tugas Mahkamah di akhir kes pendakwaan ialah membuat penilaian maksimum terhadap setiap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan berkenaan dengan intipati penting sesuatu pertuduhan dan menentukan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh, iaitu jika Tertuduh dipanggil untuk membela diri dan Tertuduh memilih untuk berdiam diri, adakah keterangan-keterangan prima facie tersebut cukup untuk membuktikan bahawa Tertuduh telah melakukan kesalahan tersebut melampaui keraguan yang munasabah dan seterusnya cukup untuk mensabitkan Tertuduh dengan pertuduhan tersebut. [18] Bagi membuktikan kes terhadap Tertuduh, Mahkamah perlu menilai keterangan saksi pendakwaan bagi mengupas setiap satu elemen berikut: i-Tertuduh mempunyai milikan, jagaan dan kawalan terhadap dadah berbahaya sepertimana yang dipertuduhkan; dan ii-Dadah yang dimiliki disenaraikan di dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 sebagai dadah berbahaya. [19] Mahkamah dalam menilai elemen milikan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, hendaklah memastikan bahawa terdapat bukti yang menunjukkan secara meyakinkan bahawa Tertuduh sedar akan kewujudan dadah tersebut serta mempunyai milikan, jagaan kawalan ke atasnya. Dalam kes ini, Mahkamah telah meneliti dengan cermat keterangan saksi-saksi pendakwaan, khususnya SP1 selaku ketua pasukan serbuan. Namun demikian, setelah menilai keterangan yang dikemukakan Mahkamah mendapati terdapat percanggahan yang ketara dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan, khususnya antara SP1, SP3, SP4 dan SP5, serta rakaman CCTV (eksibit P23) yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan berkaitan keadaan serbuan yang dijalankan pada waktu kejadian dan juga penemuan barang kes yang dikatakan dijumpai di dalam poket seluar Tertuduh semasa serbuan dijalankan. [20] Apabila wujud percanggahan yang material dalam versi kejadian oleh saksi-saksi pendakwaan sendiri, ianya telah meranapkan kredibiliti saksi-saksi pendakwaan sebagai saksi yang berkredible dan boleh dipercayai dalam kes ini. Oleh itu, Mahkamah dapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen pertama kesalahan iaitu barang kes dadah telah berada di dalam milikan dan pengetahuan Tertuduh. Alasan Mahkamah dalam memutuskan sedekimian adalah berdasarkan penilaian berikut: i) Kredibiliti SP1 sebagai ketua pasukan serbuan [21] Berdasarkan keterangan SP1 beliau telah membuat pemerhatian dari jarak lebih kurang 50 meter selama 30 minit sebelum serbuan dijalankan. Semasa pemerhatian tersebut, SP1 melihat sebuah kereta Myvi yang mencurigakan berlegar di kawasan lot dobi sebanyak dua kali sebelum kereta itu berhenti di parkir hadapan lot kedai dobi. Menurut SP1, beliau kemudian menghampiri kenderaan tersebut dan memperkenalkan diri sebagai polis, serta mendakwa bahawa pemandu (Tertuduh) enggan membuka pintu, menyebabkan beliau mengetuk cermin berkali-kali. [22] Menurut SP1, setelah pintu kereta dibuka oleh Tertuduh, SP1 mendapati terdapat satu bungkusan dalam poket kanan seluar Tertuduh. Ketika itu, Tertuduh masih berada di dalam kereta di bahagian tempat duduk pemandu. SP1 menyatakan bahawa beliau menepuk seluar Tertuduh, bertanyakan kandungan dalam poket, dan menerima jawapan daripada Tertuduh bahawa itu adalah pil kuda. SP1 menyatakan beliau mengarahkan Tertuduh untuk mengeluarkan bungkusan tersebut dari poket seluar Tertuduh. Tertuduh telah mengeluarkan 1 plastik berwarna kuning dari poket seluar Tertuduh dan SP1 telah mengambil barang kes tersebut dan membuat pemeriksaan terhadap kandungan 1 plastik kuning tersebut dan menjumpai 3 paket plastik warna biru dan 1 paket plastik warna merah jambu yang berisi biji-biji pil merah dan hijau yang disyaki dadah. [23] Keterangan SP1 semasa pemeriksaan balas oleh peguambela mengenai penemuan barang kes ke atas Tertuduh dilihat konsisten dengan keterangan semasa pemeriksaan utama. [24] Namun begitu, Mahkamah ini telah diberi peluang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) (eksibit P23) yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. [25] Setelah meneliti rakaman CCTV tersebut, Mahkamah dapati rakaman CCTV menunjukkan bahawa gambaran kejadian dalam rakaman CCTV adalah bercanggah dengan keterangan SP1 yang menyatakan beliau telah menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh di tempat duduk pemandu dan telah menjumpai barang kes di dalam poket seluar Tertuduh semasa Tertuduh masih berada di tempat duduk pemandu. [26] Melalui rakaman CCTV tersebut, Mahkamah dapat melihat serbuan dilakukan dalam masa yang singkat, dan SP1 tidak kelihatan berada dalam posisi yang memungkinkan pemeriksaan badan dilakukan terhadap Tertuduh di tempat duduk pemandu, seperti yang didakwa. Sebaliknya, SP1 dilihat berlegar-legar di hadapan kenderaan, menjadikan versi bahawa SP1 melakukan pemeriksaan badan dan menemui barang kes semasa Tertuduh masih berada dalam kenderaan sebagai sesuatu yang mustahil untuk dilakukan, memandangkan tiada sebarang tindakan sedemikian dizahirkan dalam rakaman CCTV tersebut. [27] Mahkamah juga mendapati bahawa rakaman CCTV tersebut hanya dikemukakan ke Mahkamah semasa SP3 (anggota serbuan) dipanggil memberikan keterangan, iaitu selepas SP1 selesai memberikan keterangannya. Tiada permohonan dilakukan oleh pihak pendakwaan untuk memanggil semula SP1 bagi menjelaskan percanggahan antara keterangannya dan rakaman CCTV yang telah dikemukakan ke Mahkamah ini. [28] Berdasarkan rakaman CCTV tersebut juga, SP3 telah mengesahkan bahawa individu yang berbaju hijau di dalam rakaman CCTV tersebut adalah SP1. Dengan adanya keterangan SP3 ini, Mahkamah dapat melihat dengan jelas bahawa SP1 bukanlah individu yang berada di pintu pemandu kereta Myvi dan SP1 tidak kelihatan mengawal Tertuduh sebaik sahaja pintu pemandu kereta Myvi tersebut dibuka. Malahan, individu berbaju hijau di dalam rakaman CCTV (P23) iaitu SP1 (sepertimana yang disahkan oleh SP3 yang turut ada di tempat kejadian) kelihatan berlegar-legar di hadapan kereta Myvi tersebut. Tiada tindakan dapat dilihat di dalam rakaman CCTV itu menunjukkan SP1 menahan dan mengawal Tertuduh serta melakukan pemeriksaan seperti yang didakwa. Oleh itu, Mahkamah mendapati bahawa keterangan SP1 adalah tidak berkredibiliti, dan meragukan secara keseluruhan mengenai penemuan barang kes dadah pada Tertuduh. ii) Keterangan SP4 menafikan versi SP1 [29] Keterangan SP4, iaitu individu yang turut berada dalam kenderaan bersama Tertuduh sewaktu serbuan dan tangkapan, menyatakan bahawa selepas pintu kereta dibuka, Tertuduh telah terus dibawa keluar oleh pihak polis dan dimasukkan ke tempat duduk belakang, tanpa sebarang pemeriksaan atau soal jawab dilakukan di tempat duduk pemandu sebagaimana yang dinyatakan oleh SP1. [30] Malah, SP4 menyatakan tiada sebarang pengakuan dibuat oleh Tertuduh bahawa tertuduh ada menyimpan pil kuda semasa disoal oleh SP1 di lokasi kejadian. Keterangan SP4 secara jelas bercanggah dengan keterangan SP1. Pemeriksaan Utama SP4 S: boleh ceritakan pada hari kejadian, apa berlaku? J: pada tarikh 30/1/2024, faiz telah ambil saya kerja dan bawa ke kedai 7eleven di losong, selepas itu kereta berhenti di kedai dobi, kereta tidak sempat mati enjin, ada sekumpulan orang datang, ketuk cermin tingkap kereta dan blok kereta saya di belakang. … S: boleh jelaskan kejadian secara terperinci? J: datang sekumpulan ramai orang, ketuk cermin tingkap kereta, faiz buka lock kereta dan buka pintu kereta, dia beritahu anggota polis dan bawa faiz keluar dari tempat driver ke tempat duduk belakang … S: puan katakan setelah tertuduh buka pintu kereta, tertuduh dibawa ke belakang tempat duduk kereta, adakah terdapat perkara lain dilakukan semasa faiz najmi di bawa ke tempat duduk belakang kereta? J: tiada … S: puan maklum semasa di tempat kejadian, polis buat apa? J: Polis ketuk cermin tingkap kereta, faiz buka lock, faiz buka pintu, kemudian polis bawa faiz keluar dari driver ke seat belakang selepas itu dalam perjalanan saya tidak tahu polis buat pemeriksaan atau tidak, sampai di balai polis manir, baru saya tahu polis jumpa dadah dalam poket faiz. [31] Melalui keterangan SP4, Mahkamah mendapati bahawa keterangan SP4 menyatakan bahawa tiada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh pihak polis sebaik sahaja pintu pemandu kereta Myvi dibuka oleh Tertuduh melainkan menyuruh Tertuduh keluar dan membawa masuk Tertuduh ke dalam ruangan penumpang belakang kereta tersebut. [32] Mahkamah juga dapati keterangan SP4 di peringkat pemeriksaan balas oleh peguambela, bukan sahaja menjelaskan keterangan SP4 yang diasaskan di peringkat pemeriksaan utama dengan lebih terperinci, malah, keterangan SP4 ini meranapkan dan menyanggah satu persatu keterangan material yang telah dikemukakan oleh SP1 di dalam kes pendakwaan ini. Mahkamah mendapati bahawa keterangan SP4 jelas bercanggah dengan SP1 yang menyatakan terdapat tindakan pihak polis yang kononnya telah memeriksa seluar Tertuduh, menyoal Tertuduh, menyuruh Tertuduh mengeluarkan barang kes dadah dari dalam poket, memeriksa barang kes dan menggari Tertuduh, yang mana kesemua tindakan ini dikatakan oleh SP1, telah dilakukan sewaktu Tertuduh sedang duduk di kerusi pemandu kereta Myvi tersebut. Keterangan SP4 semasa pemeriksaan balas oleh peguambela adalah seperti berikut: Pemeriksaan balas SP4 S: Setuju semasa proses kepungan dan tangkapan tertuduh, dihadapan dobi berlaku sangat sekejap dalam 1 minit lebih kurang? J: Ya … S: sewaktu tangkapan tertuduh di hadapan dobi, tiada apa-apa perbualan dan soal jawab antara polis dan tertuduh di kawasan kerusi pemandu? J: Ya S: saya katakan, tiada apa-apa pergelutan atau tindakan melawan dari faiz sewaktu ditarik oleh pihak polis? J:Ya S: saya katakan selepas faiz ditangkap dan bawa ke belakang tidak pernah polis khususnya Insp Fakhri buat kiraan dadah di kawasan hadapan tempat duduk driver? J: ya [33] Walaupun terdapat usaha dari pihak pendakwaan untuk menyoal semula SP4 di peringkat pemeriksaan semula berkenaan percanggahan-percanggahan yang timbul di peringkat pemeriksaan balas, namun Mahkamah dapati ianya tidak membantu kes pendakwaan malah lagi menggoyahkan kredibiliti SP1 sebagai saksi yang kredible dalam memberikan keterangan. Keterangan SP4 semasa pemeriksaan semula adalah seperti berikut: Pemeriksaan semula SP4 S : Semasa peguam cadang, puan boleh camkan Insp Fakhri, puan kata Insp Fakhri tiada masa tangkapan, boleh jelaskan jawapan puan? J; masa tangkapan, yang bawa faiz, orang lain, tuan Fakhri tiada dan dalam kereta pun tiada tuan Fakhri S : Semasa pemeriksaan utama, puan beri keterangan polis ketuk tingkap kereta, peguam cadang Insp Fakhri ketuk pintu dan puan kata anggota lain juga ketuk pintu kereta, jadi puan kata polis kerumun kereta, polis ketuk tingkap belakang depan, boleh jelaskan, Insp Fakhri tidak ketuk ke? J: sebab yang ketuk tu anggota lain [34] Mahkamah mendapati keterangan SP4 konsisten semasa pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula, dan secara langsung menafikan keseluruhan versi kejadian yang diberikan oleh SP1. [35] Pihak pendakwaan juga tidak mengambil sebarang langkah untuk memohon agar SP4 diperlakukan sebagai (hostile witness) atau melakukan "impeachment" terhadap keterangannya. Tindakan pendakwaan yang hanya memohon untuk SP4 mengingat kembali (refresh memory) dan merujuk kenyataan bertulisnya (Penyataan saksi di bawah seksyen 112 KTJ) tanpa menyoalnya lanjut menunjukkan bahawa pihak pendakwaan sendiri tidak menyangkal keterangan SP4, dan memberi inferens bahawa kenyataan SP4 adalah konsisten dengan keterangannya di Mahkamah. iii) Keterangan SP5 menambahkan keraguan terhadap versi SP1 [36] Keterangan SP5, selaku pegawai penyiasat, juga menimbulkan keraguan terhadap keseluruhan kes pendakwaan. Semasa pemeriksaan balas oleh peguambela, SP5 menyatakan bahawa Tertuduh telah ditahan di luar kereta dan pemeriksaan badan dilakukan oleh SP1 ketika Tertuduh ditahan diluar kereta dan bukan semasa Tertuduh masih berada dalam kereta seperti yang didakwa oleh SP1. Menurut SP5, semasa Tertuduh ditahan di luar kereta, SP1 telah menepuk poket seluar Tertuduh dan menemui barang kes tersebut. Keterangan SP5 semasa pemeriksaan balas oleh peguambela adalah seperti berikut: Pemeriksaan balas SP5 S: memandangkan tertuduh ini ditangkap di luar kereta penemuan barang kes di luar kereta atau di kawasan lain di sekitar tempat tertuduh ditahan? J: tempat sama di luar kereta S: sewaktu tertuduh ditangkap di luar kereta dan jumpa barang kes, bagaimana keadaan tertuduh? J: dalam keadaan berdiri dan pemeriksaan dijalankan oleh pengadu …… S: pengiraan barang kes dibuat di mana? J: di luar kereta di bahagian tepi tertuduh ditahan, iaitu di sebelah pemandu [37] Keterangan SP5 ini jelas sekali bercanggah secara langsung dengan versi SP1, dan diperkuatkan lagi dengan rakaman CCTV yang mana SP5 juga mengesahkan bahawa individu yang berbaju hijau di dalam CCTV tersebut adalah SP1 dan rakaman CCTV itu menunjukkan bahawa SP1 tidak melakukan sebarang pemeriksaan fizikal terhadap Tertuduh di luar kereta. Percanggahan-percanggahan yang timbul ini juga tidak disoal semula oleh pendakwaan bagi memberikan peluang dan ruang kepada SP5 memberikan penjelasan mengenai percanggahan yang timbul di dalam kes pendakwaan. Oleh yang demikian, Mahkamah berpendapat bahawa keterangan yang diberikan oleh SP5 tidak meyakinkan dan tidak dapat diterima sebagai keterangan yang berkredibiliti. iv) Kegagalan memanggil saksi material Kpl Azrul [38] Mahkamah dapati dari awal perbicaraan kes ini, nama Kpl Azrul disebut oleh saksi-saksi pendakwaan sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam penangkapan Tertuduh bersama SP1 dan Kpl Azrul ini juga dikatakan melihat barang kes yang dijumpai oleh SP1 di dalam poket seluar tertuduh. Namun begitu, beliau tidak dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah. [39] Dengan terdapatnya beberapa kontroversi dan percanggahan dalam beberapa aspek penting kes pihak pendakwaan, pada hemat Mahkamah ini, adalah penting Kpl Azrul dipanggil untuk memberi keterangan bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di tempat kejadian. Adalah tidak dapat dipertikaikan bahawa pihak pendakwaan mempunyai budi bicara sepenuhnya mengenai pemilihan saksi-saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi pihak mereka semasa perbicaraan. Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan adalah berkewajipan untuk memanggil kesemua saksi material bagi membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap tertuduh. Prinsip undang-undang ini telah dijelaskan dalam kes Ti Chuee Hiang v. PP [1995] 3 CLJ 1, apabila Mahkamah Persekutuan menyatakan: “While the prosecution has a complete discretion as to the choice of witnesses to be called at the trial, it also has the duty to call necessary witness essential to the unfolding of the narrative of the prosecution’s case to establish proof against the accused beyond all reasonable doubt. At the very least, the prosecution should make them available for cross-examination by the defence. If the prosecution failed to fulfil this duty, the accused must be acquitted.” [40] Mahkamah berpendapat bahawa Kpl Azrul adalah seorang saksi material dan “essential to unfold the narrative of the prosecution’s case”. Kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil saksi penting ini telah menimbulkan kelompongan dalam kes pendakwaan dan menjejaskan kredibiliti keseluruhan kes. KESIMPULAN [41] Dalam kes ini, setelah menimbangkan segala fakta kes dan keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan, Mahkamah ini mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh dan oleh yang demikian, Tertuduh telah dilepas dan dibebaskan daripada Pertuduhan tersebut tanpa dipanggil membela diri. Bertarikh pada 21 September 2025 IFFAH NABIHAH BINTI MOHD ISHAK MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET KUALA TERENGGANU Bagi pihak Pendakwaan: TPR Ely Nazihah binti Ahmad Yunus Bagi pihak OKT : Che Muhammad Amir Syafiq bin Che Musa Tetuan Che Amir & Co