any person who is found to have had in his custody or under his control anything whatsoever containing any dangerous drug shall, until the contrary is proved, be deemed to have been in possession of such drug and shall, until the contrary is proved, be deemed to have known the nature of such drug;” 30) Berlandaskan fakta bahawa P9 dijumpai dalam poket seluar pendek OKT yang merupakan keterangan langsung dan menggunapakai anggapan S.37(d) di atas, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan turut berjaya membuktikan elemen pengetahuan. DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PENDAKWAAN 31) Selepas menilai kesemua keterangan pihak pendakwaan secara maksimum dan mempertimbangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT dan OKT dipanggil untuk membela diri bagi pertuduhan di atas. FAKTA PEMBELAAN 32) Pada peringkat Pembelaan, OKT telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah dan seramai 6 orang saksi telah dipanggil bagi pihak pembelaan iaitu: SD1 OKT SD2 Isteri OKT SD3 Ibu Mertua OKT SD4 Bapa Mertua OKT SD5 Ipar OKT SD6 Jiran sebelah rumah OKT 33) Secara ringkasnya, versi pembelaan mengenai kejadian pada malam tersebut ialah seperti berikut: “Pada malam 28.7.2024, OKT bersama isterinya (SD2) telah pulang ke rumah dari makan malam pada pukul 12 tengah malam 29.7.2024. Mereka tidur sebaik sahaja sampai bersama anak mereka di dalam bilik. Pada ketika itu kesemua penghuni rumah sedang tidur. Pada jam lebih kurang 4 pagi, SD3 mendengar ketukan kuat di pintu rumah. Beliau terjaga dan kejutkan suaminya (SD4) untuk membuka pintu. Kedua-dua mereka bangun dan SD4 telah membuka pintu. Kelihatan beberapa orang yang tidak dikenali di luar rumah dan bertanyakan “mana Naim?”. SD3 dan SD4 menyatakan OKT sedang tidur dan mereka membawa orang yang tidak dikenali tersebut masuk ke bilik OKT dan isteri. Pada ketika itu OKT dan isteri sedang tidur bersama anak mereka, ada seramai lebih kurang 3 orang yang tidak dikenali kejutkan OKT dan OKT bangun dari tidur serta merta. Mereka mengarahkan OKT menukar seluar panjang dan membawa OKT ke luar rumah. Pada masa itu, kesemua isi rumah terjaga dari tidur termasuk ipar OKT. Tiada pemeriksaan dibuat ke atas badan OKT di dalam rumah. Kemudian OKT dibawa ke luar rumah sepertimana gambar P2. Pada masa itu, pihak polis mengambil bungkusan di atas tembok sepertimana di dalam gambar P2(E&F) dan menunjukkan kepada OKT. Tembok luar rumah tempat di mana dadah tersebut sebenarnya dijumpai adalah mudah diakses oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Pencahayaan pada malam tersebut sangat gelap. Semasa OKT dibawa ke luar, isi rumah lain terus sambung tidur dan tiada sesiapa mengikuti OKT keluar dan nampak apa yang berlaku di luar rumah.” 34) Versi pembelaan ialah dadah dijumpai di atas tembok pagar, manakalah versi pendakwaan ialah dadah dijumpai di dalam poket sebelah kanan seluar pendek yang dipakai oleh OKT semasa OKT duduk di atas batu di luar pagar pada malam kejadian. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KES PEMBELAAN 35) Pada peringkat ini, Mahkamah perlu menentukan sama ada pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati pembelaan OKT adalah tidak konsisten dan lebih kepada satu rekaan. Adalah menjadi kes pendakwaan bahawa dadah telah dijumpai dalam seluar pendek yang dipakai oleh OKT semasa pemeriksaan pada malam kejadian. Fakta ini bukan sahaja disahkan oleh SP1, malahan oleh OKT sendiri. 36) Semasa peringkat awal pemeriksaan balas OKT, OKT telah mengakui pada malam tersebut, dia hanya pakai seluar pendek dan semasa pemeriksaan badan, OKT memakai seluar pendek. Namun soalan seterusnya oleh Puan Timbalan Pendakwaraya, OKT tiba-tiba menukar versi kejadian dan menyatakan 3 orang tersebut yang masuk biliknya telah panggil dia tukar seluar panjang kerana perlu ke balai. 37) Kemudiannya, OKT telah memberi keterangan berlainan dan menyatakan semasa pemeriksaan badan, dia memakai seluar panjang dan bukannya seluar pendek. OKT sekali lagi mengulangi bahawa 3 orang tersebut pegang tangannya dan bawa keluar dari bilik. Semasa pemeriksaan semula, OKT telah memberi keterangan tambahan bahawa orang yang masuk biliknya suruh dia tukar seluar panjang, nak pergi balai, suruh tukar jeans, dan seluar pendek tu dia terus ambil. 38) Mengenai OKT pakai seluar apa pada malam kejadian, saksi pembelaan lain turut memberi keterangan yang tidak konsisten. Pada mulanya SD2 menyatakan OKT pakai seluar pendek sebelum keluar bilik, namun telah menukar keterangan kepada tidak ingat setelah beberapa kali ditanya oleh peguambela. Semasa pemeriksaan balas, SD2 telah sahkan OKT memakai seluar pendek pada malam kejadian dan keterangan ini telah disahkan sekali lagi oleh SD2 semasa pemeriksaan semula. 39) Mahkamah mendapati terdapat percanggahan material mengenai versi kejadian yang dicadangkankan oleh pihak pembelaan semasa kes pendakwaan dan dikemukakan semasa kes pembelaan. Semasa kes pendakwaan, pihak pembelaan telah membuat cadangan kepada SP1 bahawa SP1 telah masuk ke rumah tersebut, membuat pemeriksaan di dalam bilik dan tidak menjumpai barang salah, kemudian baru bawa OKT keluar dari rumah dan dadah dijumpai atas tembok. 40) Namun, semasa kes pembelaan, OKT menyatakan bahawa ada 3 orang yang dia tidak kenali telah masuk ke biliknya pada 4 pagi, kejutkan dia dan tarik tangannya dan bawa dia ke luar rumah. OKT sahkan tiada pemeriksaan dalam bilik sebelum dia dibawa keluar dari bilik dan rumah. SD2 juga sahkan tiada pemeriksaan di dalam bilik. 41) Keterangan OKT sendiri mengenai apa yang berlaku pada malam kejadian juga tidak konsisten. Sepanjang pemeriksaan utama, OKT menyatakan ada 3 orang yang dia tidak kenali telah masuk ke biliknya dalam 4 pagi, kejutkan dia dari bangun dan tarik tangannya dan bawa dia ke luar rumah, 3 orang tersebut terus bawa dia naik van dan ke balai setelah dia menyatakan tidak tahu barang yang dijumpai atas tembok milik siapa dan apa. OKT hanya ketahui 3 orang itu merupakan polis semasa dalam van dalam perjalanan ke balai. 42) Namun, semasa pemeriksaan semula, OKT menyatakan orang tersebut suruh dia tukar jeans sebab nak ke balai. Lepas tu OKT juga cakap tahu mereka polis apabila mereka keluarkan gari. Maksudnya OKT sudah tahu orang tersebut merupakan polis jika benar mereka bagitau nak ke balai, bukannya OKT hanya tahu orang tersebut merupakan polis semasa dalam van. Mahkamah mendapati keterangan OKT sendiri adalah berputar-putar dan tidak konsisten. 43) OKT juga menerangkan bahawa dia tidak cemas kerana dia tak tahu apa-apa, dan mereka datang ambil dia kat luar. Penerangan OKT tersebut terutamanya bahawa “ambil dia kat luar” tersebut adalah tidak konsisten dengan keterangan OKT sendiri bahawa 3 orang yang tidak dikenali kejutkan dia dan tarik dia keluar bilik terus tanpa membuat pemeriksaan dalam bilik. 44) SD2 telah memberi keterangan bahawa polis buka pintu, kejutkan OKT untuk bangun dan OKT keluar dari bilik dalam rumah. Tiada sebarang keterangan daripada SD2 yang juga berada dalam bilik bersama OKT mengenai bilakah OKT menukar seluar pendek ke seluar panjang sekiranya ia benar berlaku. 45) Mahkamah mendapati pembelaan OKT bahawa dadah dijumpai di atas tembok luar pagar dan bukannya dalam seluar pendek OKT merupakan satu pembelaan yang direka-reka dan gagal disokong oleh mana-mana saksi pembelaan. Pembelaan tersebut gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. 46) Mahkamah mendapati peranan saksi-saksi pembelaan lebih kepada menyokong versi pembelaan bahawa rumah kejadian adalah dihuni oleh OKT bersama-sama dengan ahli keluarga lain, namun tiada seorang saksi tersebut dapat memberi keterangan sokongan mengenai bagaimana dan di mana dadah dijumpai. 47) Memandangkan versi kes pendakwaan dan versi OKT adalah sama dari segi tempat OKT ditahan iaitu di luar kawasan rumah dan tempat dadah dijumpai juga di luar rumah, fakta berkenaan berapa orang penghuni yang menduduki rumah tersebut ataupun berada orang dalam rumah tersebut semasa kejadian bukan satu fakta material. 48) Mahkamah mendapati pembelaan walaupun bukan afterthought, namun Mahkamah mendapati versi pembelaan lebih kepada satu rekaan tanpa disokong oleh sebarang keterangan saksi lain ataupun keterangan dokumen. 49) Dalam kes ini, Mahkamah mendapati rantaian barang kes adalah tidak terputus dan keterangan saksi-saksi pendakwaan adalah konsisten berbanding keterangan saksi-saksi pembelaan yang saling bercanggah dan tidak konsisten. Mahkamah mendapati pembelaan OKT adalah tidak konsisten, “not inherently probable” dan lebih kepada satu rekaan serta gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang mana kesemua saksi pendakwaan telah memberi keterangan yang konsisten sepanjang kes pendakwaan. 50) Mahkamah juga mendapati sepanjang perbicaraan kes ini, rantaian keterangan tidak pernah terputus. Malahan, setelah meneliti kesemua keterangan saksi-saksi pendakwaan, tiada percanggahan yang material yang secara efeknya menimbulkan keraguan terhadap intipati asas pertuduhan. 51) Oleh itu, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan terhadap OKT melampaui keraguan munasabah dan mendapati OKT bersalah dan disabitkan atas kesalahan seperti pertuduhan. MITIGASI, PEMBERATAN DAN HUKUMAN 52) Sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman, pihak pembelaan telah mengemukakan rayuan dan memohon satu hukuman penjara dan sebatan yang paling minima dikenakan dengan mengambilkira faktor-faktor seperti berikut: i. OKT berumur 26 tahun semasa kejadian, bekerja sebagai pemandu lori, dan juga membuat kerja-kerja sambilan; ii. OKT telah berkahwin dan isteri seorang suri rumah tangga dan menjaga 2 anak yang masih kecil dan bersekolah; iii. OKT menanggung kedua-dua ibu bapa dan keluarga mertua; dan iv. Walaupun OKT menafikan kejadian, namun dia menerima keputusan dengan insaf, dan ingin mengambil peluang untuk memohon maaf pada Mahkamah dan keluarganya. 53) Pihak pembelaan juga memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan hukuman sebatan di bawah S.311 Kanun Tatacara Jenayah, sementara pelupusan rayuan dan berhujah bahawa setiap kali perbicaraan, OKT telah hadir dan tiada risiko untuk OKT larikan diri. Pihak pembelaan berhujah bahawa kesalahan ini tidak melibatkan keganasan dan kes ini juga boleh dijamin. Pihak pembelaan telah merujuk pada kes Lim Kit Siang v PP [1981]1MLJ265 yang menyatakan bahawa prinsip penting penangguhan adalah rayuan tersebut bukan bersifat remeh. Pihak pembelaan juga merujuk kes Tan Lay Soon v PP [1984]2CLJ508, dimana penangguhan boleh diberikan jika rayuan difailkan dan tiada risiko awam. OKT dalam kes ini adalah diri sendiri dan tidak melibatkan orang lain 54) Bagi pihak pendakwaan, TPR telah memohon satu hukuman setimpal kepada OKT sebagai satu bentuk pengajaran agar OKT menyesali perbuatan dan tidak mengulangi pada masa datang, terutama kes-kes melibatkan najis dadah. Pihak pendakwaan juga memohon Mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam serta perbicaraan penuh telah dijalankan seramai 10 orang saksi yang melibatkan kos dan masa Mahkamah. 55) Pihak pendakwaan juga membantah penanggunhan pelaksanaan hukuman dan berhujah tiada keadaan-keadaan khas untuk mewajarkan satu penangguhan pelaksanaan hukuman. pihak pendakwaan merujuk pada kes Sharma Kumari v PP 2000[CLJU] 123, di mana dinyatakan rayuan tidak jadikan pelaksanaan boleh digantung, jika pemfailan rayuan, bukan satu keadaan khas untuk penangguhan. 56) Mahkamah setelah menimbangkan rayuan OKT dan hujahan pemberatan TPR, telah menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dari tarikh sabitan dan hukuman sebatan 3 kali sebatan. 57) Dalam menjatuhkan hukuman tersebut Mahkamah ini telah mengambil maklum akan prinsip-prinsip dalam menjatuhkan hukuman. Adalah undang-undang yang mantap bahawa pertimbangan yang utama adalah terhadap kepentingan awam sebagaimana yang diputuskan dalam kes R v. Ball [1951] 35 Criminal Appeal Report 164. Mahkamah Rayuan dalam kes PP v. Morah Chekwube Chukwudi [2017] 1 LNS 864 telah menggariskan prinsip-prinsip hukuman yang akan menjadi faktor pemberat ataupun faktor pengurangan. 58) Faktor utama Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman hendaklah mempertimbangkan kepentingan awam, tanpa mengabaikan kepentingan peribadi OKT. Mahkamah hendaklah mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak sebelum menjatuhkan hukuman yang berpatutan. Hukuman yang dijatuhkan ini adalah bersifat pencegahan agar orang ramai dan OKT tidak terjebak dalam aktiviti dadah. 59) Dalam kes ini, OKT didapati bersalah dan disabitkan setelah proses perbicaraan penuh dijalankan dengan 4 orang saksi pendakwaan dan 6 saksi pembelaan. Oleh itu, hukumannya semestinya adalah berbeza berbanding dengan OKT yang mengaku bersalah pada pertuduhan pertama kali dibacakan dan dapat menikmati diskaun yang dibenarkan oleh undang-undang. 60) Mahkamah berpendapat hukuman ini tidak keterlaluan berat mengambilkira faktor mitigasi OKT, berat bersih dadah yang dimiliki dan masih dalam ruang lingkup hukuman yang dibenarkan. Hukuman ini juga tidak terlalu ringan mengambilkira kepentingan awam yang perlu diutamakan. 61) Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan hukuman sebatan. Jaminan turut dinaikkan dari RM3,000 ke RM12,000 dan OKT perlu melapor diri sebulan sekali ke balai polis berdekatan dengan rumah OKT. KESIMPULAN 62) Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap OKT sepertimana di dalam pertuduhan S.12(2) dan boleh dihukum dibawah S.39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan OKT didapati bersalah dan disabitkan sepertimana di dalam pertuduhan ini. Mahkamah berpendapat hukuman yang dijatuhkan terhadap OKT bagi kesalahan tersebut adalah memadai, wajar dan selaras dengan peruntukan dan prinsip undang-undang. Bertarikh 22 SEPTEMBER 2025 LEE KIM KEAT MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET TANGKAK Bagi Pihak Pendakwaan: Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Timbalan Pendakwaraya … Puan Amirah binti Sapian Bagi Pihak Pembelaan: Tetuan Fateha & Co. Unit C-2-10, Sunsuria Forum @7th Avenue, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor. …Puan Nurul Ikrumah Binti Mohd Raya