Kerjasama dan keprihatinan pihak tuan adalah dihargai dan saya ucapkan jutaan terima kasih. Sekian, terima kasih. (Penekanan ditambah) [97] Peletakan jawatan perayu pada bulan Februari 2012 tersebut melalui surat ekshibit D8 juga adalah selaras dengan keterangan SP2 Kerani Akaun di Tetuan Akberdin & Co. sendiri yang mengesahkan bahawa gaji terakhir yang dibayarkan kepada perayu adalah pada Februari 2012. SP2 juga bersetuju bahawa mengikut dokumen ekshibit P1, tiada bukti gaji yang dibayar kepada perayu pada bulan Mac 2012. Dokumen-dokumen di ekshibit P1 jelas menunjukkan bahawa bayaran gaji terakhir yang dibuat kepada perayu hanya setakat bulan Februari 2012 sahaja. Malah, tiada keterangan dokumentar yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan seperti baucar bayaran gaji perayu atau pun penyata akaun firma Akberdin & Co. bagi bulan Mac 2012 yang dapat menunjukkan bahawa perayu masih dibayar gaji bagi bulan Mac 2012. [98] Menyentuh mengenai pertemuan perayu dengan SP7 di bilik SP1 sebelum 16 Mac 2012, perayu di dalam keterangannya mengatakan SP7 hadir di firma Tetuan Akberdin & Co. hanya untuk mendapatkan khidmat nasihatnya dan bukannya bertujuan untuk melantik Tetuan Akberdin & Co. sebagai peguam syariahnya. [99] Pada hemat kami, keterangan perayu ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja tanpa diberikan pertimbangan yang sewajarnya. Ini adalah kerana ianya adalah konsisten dengan wakalah yang ditandatangani oleh SP7 (ekshibit P5(F)) di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 16 Mac 2012. Wakalah tersebut secara jelas tercatat nama firma Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates. Ini diperkuatkan lagi dengan keterangan SD2 iaitu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang juga turut mengesahkan bahawa wakalah tersebut yang dibuat di atas nama firma Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates telah ditandatangani di hadapannya oleh SP7 dan perayu. Dengan itu, pada hemat kami tidak wujud sebarang kesamaran, kekaburan, kekeliruan atau ketidakfahaman di pihak SP7 tentang persetujuannya untuk melantik firma tersebut bagi mewakili dirinya. [100] Mengikut SD2 lagi, selain daripada SP7 menandatangani dokumen wakalah tersebut, SP7 juga telah melafazkan pelantikan wakalah ini dan melantik perayu untuk mewakilinya di Mahkamah Syariah. [101] Pada hari yang sama juga. lebih kurang jam 3.00 petang, perayu melalui Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates telah mengeluarkan dua resit rasmi No: 0712 dan 0713 (ekshibit P4(A) & P4(B)) bagi pembayaran wang berjumlah RM7,000.00 yang dibuat oleh SP7 kepada perayu. Semasa perayu menyerahkan kedua-dua resit tersebut, SP7 juga telah menurunkan tandatangannya pada kedua-dua resit itu sebagai tanda pengesahan penerimaan resit yang diterimanya. Pada hari yang sama juga, Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates melalui perayu telah mendaftarkan kes permohonan injunksi farak nikah dan suratcara-suratcara kes tersebut. Sekali lagi SP7 menurunkan tandatangannya meski pun pada kedua-dua resit tersebut tertera dengan jelas dan terang nama firma Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates. [102] Persoalannya, adakah SP7 masih terkeliru dan tidak menyedari lagi kehadiran firma ini untuk kali yang keduanya. Pada hemat kami, SP7 sememangnya menyedari tentang pelantikan ini dan jawapan yang diberikan oleh SP7 untuk menafikannya sukar untuk dipercayai. Kebolehterimaan keterangannya dan kredibilitinya amat diragui. [103] Selanjutnya pada hemat kami juga, wakalah (ekshibit P5) yang ditandatangani oleh SP7, perayu dan SD2 merupakan suatu dokumen kontrak yang termeterai di antara SP7 dan perayu. Kontrak yang ditandatangani ini mengikat kesemua pihak-pihak yang menandatanganinya. Dengan itu, wakalah tersebut tergolong di dalam skop seksyen 91 dan 92 Akta Keterangan 1950 yang memperuntukkan seperti yang berikut: Section 91 When the terms of a contract or of a grant or any other disposition of property have been reduced by or by consent of the parties to the form of a document, and in all cases in which any matter is required by law to be reduced to the form of a document, no evidence shall be given in proof of the terms of the contract, grant or other disposition of property or of the matter except the document itself, or secondary evidence of its contents in cases in which secondary evidence is admissible under the provisions hereinbefore contained. Section 92 When the terms of any such contract, grant or other disposition of property, or any matter required by law to be reduced to the form of a document, have been proved according to section 91, no evidence of any oral agreement or statement shall be admitted as between the parties to any such instrument or their representative in interest for the purpose of contradicting, varying, adding to, or subtracting from its terms. [104] Pada hemat kami, untuk SP7 mengatakan pula bahawa beliau masih menandatangani wakalah tersebut meskipun terdapat nama Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates kerana SP7 telah pun membuat pembayaran sebanyak RM7,000.00 adalah suatu alasan yang remeh dan sukar diterima. Tambahan lagi, tiada sesiapa pun yang memaksa SP7 untuk menandatangani dokumen-dokumen tersebut. Ianya dibuat di atas kerelaan hati SP7 sendiri tanpa paksaan oleh perayu. Oleh kerana tidak wujud apa-apa desakan, salah faham atau kekeliruan di pihak SP7 semasa menandatangani dokumen-dokumen ini, maka kerana itulah SP7 tidak membuat laporan polis untuk mengaitkan perayu dengan kesalahan pecah amanah ini. Bagi menjelaskan tentang perkara ini, elok jika kita menyingkap kembali keterangan SP7. [105] Semasa sesi pemeriksaan utama (Kandungan 7 Rekod Rayuan Jilid 3(1) m/s 102, SP7 mengatakan seperti berikut: “TPR: Masa kamu tanda tangan adakah kamu baca? Ada. TPR: Bacakan wakalah itu. (Saksi SP7 baca wakalah m/s 6). TPR: Siapa yang kamu lantik? Hafiz. Kalau dari wakalah dari tetuan Irsamuddin. TPR: Kenapa kamu masih tanda tangan walaupun ada nama Irsamuddin? Sebab saya sudah membuat pembayaran. TPR: Kenapa kamu tak minta ubah atau tukar. Jelaskan? Bagi saya jumlah RM7000.00 adalah banyak jadi saya teruskan juga.” [106] Selanjutnya semasa sesi pemeriksaan balas, SP7 (Kandungan 7 Rekod Rayuan Jilid 3(1) m/s 111 mengatakan seperti berikut: “Peguambela: Saya cadangkan kepada kamu tidak ada langsung paksaan dari Hafiz untuk kamu tandatangan wakalah tersebut? Setuju.” [107] Tambahan lagi, jika wujud unsur-unsur perdayaan di pihak perayu terhadap SP7 untuk menandatangani wakalah tersebut, sudah tentu SP7 akan segera bertindak untuk menamatkan dan / atau membatalkan wakalah tersebut atau mengambil tindakan terhadap perayu sepertimana yang telah dinasihatkan oleh SP4 kepadanya. Namun begitu, yang ganjilnya tiada pula apa-apa tindakan undang-undang susulan yang diambil oleh SP7 terhadap perayu. Pada hemat kami, SP7 tidak berani berbuat demikian kerana SP7 di dalam keterangannya telah membuat pengakuan bahawa dia tidak pernah mengatakan bahawa dia mahu melantik Tetuan Akberdin & Co. dan tidak mahu perayu sebagai peguam syariahnya. Ini diakui sendiri oleh SP7 di dalam keterangannya semasa sesi pemeriksaan balas (Kandungan 7 Rekod Rayuan Jilid 3 (1) m/s 106 dan 109) bila SP7 mengatakan seperti yang berikut: “Peguambela: Ada Puan Farah minta kamu buat apa-apa tindakan terhadap Hafiz bila kamu maklumkan berkenaan resit tersebut? Ya ada. Peguambela: Apa yang kamu buat? Puan Farah suruh saya ambil tindakan atas perbuatan Hafiz tersebut. Peguambela: Kamu tidak ambil apa-apa tindakan? Setuju. Peguambela: Kamu dapat perintah injuksi seperti yang dipohon? Ya. ... Peguambela: Setuju dengan saya bahawa kamu tidak pernah kata “saya mahu Akberdin dan tak mahu kamu?” Setuju. Peguambela: Kamu juga tidak pernah cakap kepada Hafiz “saya nak terminate kamu dan nak lantik Akberdin?” Setuju.” (Penekanan ditambah) [108] SP7 juga tidak pernah membuat sebarang laporan polis terhadap perayu. Ini disahkan oleh SP10 semasa sesi pemeriksaan balas di Kandungan 7 Rekod Rayuan Jilid 3(1) di m/s 181 bila SP10 mengatakan seperti yang berikut: “Peguambela: Ada tak Siti Robaan buat report polis terhadap Muhammad Hafiz setelah tahu Muhammad Hafiz tak baca wakalah bagi pihak wakili firma Akberdin? Tiada. Peguambela: Ada tak kamu nasihatkan dia untuk buat report polis? Ada. Peguambela: Dia ikut nasihat kamu? Tidak.” [109] Berdasarkan keterangan di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa tingkah laku SP7 jelas menunjukkan niatnya untuk melantik perayu sebagai peguam syariahnya walaupun setelah SP7 mengetahui dan menyedari bahawa SP7 tidak akan diwakili oleh firma Tetuan Akberdin & Co. Setelah menandatangani wakalah tersebut dengan penuh kerelaan dan kesedaran bahawa perayu tidak mewakili firma Tetuan Akberdin & Co. tetapi di sebaliknya perayu mewakili Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates, SP7 tidak boleh lagi berdolak-dalik dengan memberi alasan yang tidak munasabah bahawa semasa kejadian iaitu pada 16 Mac 2012, SP7 sebenarnya hendak melantik Tetuan Akberdin & Co. sahaja untuk mewakili beliau dalam kes-kes syariahnya di Mahkamah Syariah dan bukannya firma yang lain dan apabila SP7 mendapati pada resit-resit pembayaran wang (ekshibit P4(A) & P4(B)) ada tercatat nama firma lain iaitu Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates, SP7 telah terkejut, tidak berpuashati dan merasa dirinya telah ditipu oleh perayu. Selanjutnya, SP7 mengatakan pula bahawa dia tidak mempunyai apa-apa pilihan lagi selain dari terpaksa juga untuk meneruskannya walaupun dirinya telah diperdaya oleh perayu kerana SP7 telah pun membayar RM7,000.00 kepada perayu. [110] Pada hemat kami, alasan yang diberikan oleh SP7 ini adalah suatu yang amat sukar untuk dipercayai. Setelah wakalah ini ditandatangani, tiada lagi keterangan lisan yang boleh diberikan oleh SP7 untuk menyangkal, mengubah, menambah atau mengurangkan terma atau kandungan di dalam dokumen kontrak wakalah yang ditandatangani dan dipersetujuinya itu kerana ianya telah mengikat kesemua pihak-pihak yang terlibat. [111] Dapatan yang kami buat ini adalah berpaksikan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ah Mee v. Public Prosecutor [1967] CLJU 3 dimana Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman yang disampaikan oleh Ong Hock Thye HMP (beliau pada ketika itu) memutuskan seperti yang berikut: “Section 91 of the Evidence Ordinance applies equally to criminal trials, no less than to civil proceedings, and it categorically states that "in all cases in which any matter is required by law to be reduced to the form of a document, no evidence shall be given in proof of the terms... of such matter except the document itself. The report was information relating to the commission of an offence which "shall be reduced to writing" pursuant to s. 107 of the Criminal Procedure Code (Cap. 6), and s. 92 of the Evidence Ordinance goes on to exclude all parole evidence seeking to contradict or vary what was set out in writing.” [112] Tambahan lagi tiada sebarang keterangan dokumentar yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa SP7 merupakan pelanggan kepada SP1. Perkara ini turut disahkan sendiri oleh SP1 seperti yang terdapat di dalam Kandungan 7 Rekod Rayuan Jilid 3(1) di m/s 43 di mana SP1 semasa sesi pemeriksaan balas mengatakan seperti yang berikut: “S: Peguambela: Siti Robaan tidak pernah hantar surat lantikan kepada firma Akberdin untuk melantik firma Akberdin mewakilinya? J: SP1: Ya setuju. S: Peguambela: Siti Robaan juga tidak pernah membaca wakalah bagi melantik firma tetuan Akberdin untuk mewakili beliau di Mahkamah Syariah? J: SP1: Setuju.” [113] Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana juga telah gagal untuk mengambilkira bahawa tiada fail kes SP7 di dalam buku pendaftaran kes frima Akberdin & Co. Tiada juga sebarang bukti persetujuan mengenai fi guaman di antara firma Akberdin & Co. dan SP7 sepertimana yang dinyatakan oleh SP1 sebagai prosedur standard firma dan hal ini menidakkan elemen pembayaran RM7,000.00 adalah atas dasar amanah daripada firma Akberdin & Co. kepada perayu. [114] SP7 juga sedar dan mempunyai pengetahuan penuh berkenaan wakalah di atas nama perayu daripada firma Tetuan Irsamudin Hafiz & Associates. Oleh itu, wang sejumlah RM7,000.00 tersebut tidak dibayar kepada perayu sebagai pelanggan untuk dipegang oleh perayu dan sebagai amanah bagi pihak firma Akberdin & Co. [115] SP3 telah memberikan keterangan dan mengesahkan bahawa SP7 adalah merupakan klien kepada firma Irsamuddin Hafiz & Associates. SP3 dan SP9 juga telah mengakui bahawa firma Irsamuddin Hafiz & Associates telah menerima wang berjumlah RM7,000.00 tersebut dan telah mengeluarkan resit serta menolak sebahagian daripada wang RM7,000.00 tersebut untuk pembayaran pengurusan pejabat. [116] SP10 juga turut mengakui bahawa wang RM7,000.00 tersebut tidak perlu diserahkan kepada firma Akberdin & Co. kerana SP7 bukanlah klien kepada Akberdin & Co. [117] Oleh kerana tidak wujud sebarang kontrak secara bertulis ataupun tersirat khususnya pada 16 Mac 2012 yang termeterai di antara SP7 dengan Tetuan Akberdin & Co. dan ditambah lagi dengan kewujudan surat permohonan peletakan jawatan perayu bertarikh 27 Februari 2012 (ekshibit D8), maka pada hemat kami, tarikh akhir perayu beramal sebagai peguam syariah di Tetuan Akberdin & Co. adalah pada 13 Mac 2012 iaitu sebelum kesalahan pecah amanah jenayah dikatakan berlaku. Justeru itu, tiada keraguan lagi diminda kami bahawa pada 16 Mac 2012, perayu bukan lagi merupakan pekerja kepada Tetuan Akberdin & Co.