Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI MARANG DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN NO. KES: TF-83-142-12/2021 PENDAKWA RAYA LAWAN MUHAMMAD HAMZAH BIN MOHD DAIK [NO.K/P: 971020115107] ALASAN PENGHAKIMAN A. PENDAHULUAN [1] Tertuduh didalam kes ini telah dituduh dibawah Seskyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pertuduhan terhadap Tertuduh didalam kes ini adalah seperti berikut: Pertuduhan “Bahawa kamu pada 12/01/2021 jam lebih kurang 08.00 pagi di Jalan Bukit Payong – Rhu Rendang, di dalam daerah Marang, di dalam negeri Terengganu, sebagai pemandu motokar no. pendaftaran TBK4563 didapati telah memandu secara merbahaya kenderaan itu di atas jalan itu setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan, dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan yang ada atau mungkin ada di atas jalan itu) sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal no. pendaftaran TBX2501 dan kematian ke atas penunggang motosikal no. pendaftaran TBX2501, iaitu Che Wan Mohd Al Hafizz bin Che Wan Ismail no. KP: 910122-11-5555. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/1987) Pindaan 2020. B. FAKTA KES [2] Didalam kes ini, pihak pendakwaan telah memanggil 5 orang saksi dan 11 ekshibit telah dikemukakan dan ditandakan. Terdapat dua versi kejadian iaitu versi pihak pendakwaan dan versi pihak pembelaan. [3] Pada 12 Januari 20221 jam lebih kurang 8.00 pagi, telah berlaku satu kemalangan maut di Jalan Bukit Payong-Rhu Rendang di dalam daerah Marang di dalam Negeri Terengganu melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah motorkar jenis Perodua Myvi nombor pendaftaran TBK4563 yang dipandu oleh Tertuduh dan sebuah motorsikal jenis YAMAHA LC berserta nombor pendaftaran TBX 2501 yang telah dibonceng oleh Simati. [4] Tiada saksi mata yang menyaksikan kemalangan berlaku dan dua orang saksi yang berada di tempat kejadian iaitu Muhammad Hamidi Bin Wan Sulaiman (SP2) dan Nusaibah Binti Mohd Daik (SD2) tidak menyaksikan Cuma boleh mengesahkan kemalangan berlaku antara Tertuduh yang memandu motorkar jenis Perodua Myvi nombor pendaftaran TBK4563 dengan Simati yang membonceng motorsikal Yamaha LC nombor pendaftaran TBX2501. Malahan versi cerita Tertuduh juga menyatakan kenderaan telah berpusing sebelum kemalangan berlaku justeru Tertuduh juga tidak menyaksikan bagaimana kemalangan berlaku. Akibat dari pelanggaran atau kemalangan tersebut, Simati telah tercampak ke atas jalan dan menurut Dr Muhamad Farhan Bin Ishak (SP4) serta Laporan Post Mortem (ekshibit P9) mendapati Simati meninggal dunia kerana kecederaan teruk di bahagian kepala dan dada akibat kemalangan jalan raya. C. KES PENDAKWAAN [5] Adalah kes pihak Pendakwaan bahawa Tertuduh telah memandu kenderaannya dalam keadaan merbahaya dan telah masuk ke laluan bertentangan sebelum kemalangan dengan kenderaan Simati seterusnya menyebabkan kematian Simati. [6] Menurut SP2, pada 12.01.2021 jam lebih kurang 8.00 pagi, beliau menunggang motosikal dari arah Bukit Payong menuju ke Marang untuk pergi kerja. Semasa dirinya menunggang motosikal tersebut, terdapat sebuah kereta Persona di hadapannya kemudian secara tiba-tiba terdapat sebuah kereta Myvi TBK 4563 memotong motosikal yang ditunggang SP2 dan juga memotong kereta Persona yang berada di hadapan SP2 tersebut pada masa itu. SP2 kemudian bertindak mengekori kereta Myvi TBK 4563 tersebut dengan kelajuan 140 km/j tapi masih gagal rapat dengan kereta tersebut. Apabila sampai berdekatan dengan UCSI University Terengganu Campus, SP2 melihat kereta Myvi TBK 4563 tersebut telah berada di atas double line tengah jalan kemudian memasuki ke arah bertentangan. Kemudian, apabila SP2 sampai di hadapan UCSI, SP2 melihat debu yang banyak sebelah kanan jalan. SP2 seterusnya memberhentikan motosikalnya dan melihat kereta Myvi TBK 4563 yang telah kemalangan dengan motosikal biru TBX2501. SP2 turun daripada motosikalnya dan menuju ke kereta Myvi TBK 4563, melihat pemandu serta penumpang berada di dalam kereta tersebut dan menyuruh mereka duduk di situ kemudian SP2 pergi ke arah motosikal TBX2501 telah melihat penunggang motosikal tersebut dalam keadaan kaki patah serta kepalanya telah pecah dan otak telah tiada. Menurut SP2, jalan di kawasan tersebut adalah berbukit dan jalan basah selepas hujan namun pemandu kereta Myvi TBK 4563 telah memandu dengan laju di kawasan tersebut hingga masuk ke laluan bertentangan menyebabkan kemalangan dengan motosikal TBX2501 yang datang dari arah bertentangan tersebut. [7] Pemandu Myvi TBK 4563 iaitu tertuduh Muhammad Hamzah bin Mohd Daik dengan adiknya sebagai penumpang kereta Myvi TBK 4563 telah dibawa ke Klinik Kesihatan Marang untuk menerima rawatan manakala mayat penunggang motosikal TBX2501 dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk dibedah siasat. SP1 telah membuat pengecaman jenazah dan mengesahkan mayat penunggang motosikal TBX2501 tersebut adalah adiknya bernama Che Wan Mohd Al Hafizz bin Che Wan Ismail no KP: 910122-11-5555. Hasil pemeriksaan bedah siasat, SP4 mengesahkan punca kematian Si Mati adalah ‘severe head and chest injury due to road traffic crash’ [sebagaimana di laporan bedah siasat P9]. 6. SP5 turut menghantar kereta Myvi TBK 4563 dan motosikal TBX2501 untuk diperiksa oleh pihak Puspakom dan Laporan Puspakom telah dikeluarkan oleh pihak Puspakom sebagaimana di eksibit P6 dan P7. [8] Hasil siasatan SP5, mendapati tertuduh pada masa kejadian, sebagai pemandu kereta Myvi TBK 4563 yang datang dari arah Bukit Payong menuju ke Marang melalui jalan hadapan UCSI dengan kelajuan yang tinggi hingga terbabas memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal TBX2501 yang ditunggang oleh Si Mati hingga mengakibatkan kematian kepada terhadapnya. D. KES PEMBELAAN [9] Adalah kes pihak pembelaan pula bahawa pada 12.1.2021, jam lebih kurang pukul 8.00 pagi, OKT sedang memandu motokarnya dari arah Bukit Payong menghala ke Rhu Rendang manakala si mati pula memandu motokarnya dari arah yang bertentangan. Menurut OKT semasa beliau memandu di depan pintu pagar universiti, tiba-tiba motokarnya hilang kawalan dan terbabas hingga ke kaki jalan atas rumput pada laluan bertentangan dan berpusing. Kemudian OKT dengar satu hentakkan dibelakang motokarnya. [10] OKT mendapati tayar belakang sebelah kiri motokar tiada angin atau bocor. Oleh sebab itu OKT percaya punca beliau hilang kawalan dan terbabas adalah disebabkan kebocoran tayar belakang semasa pemanduan mendaki dan ambil selekoh sebelum kemalangan berlaku. E. KEPUTUSAN MAHKAMAH DIAKHIR KES PENDAKWAAN [11] Adalah penting untuk mahkamah mengimbas kembali dan mengingatkan kembali tugas dan tanggungjawab statutori mahkamah di akhir kes Pendakwaan sebagaimana termaktub didalam peruntukan undang-undang iaitu di dalam Seksyen 173 (f) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ). [12] Berdasarkan Seksyen 173 (f) KTJ, adalah tanggungjawab mahkamah diakhir kes Pendakwaan untuk memastikan sama ada pihak Pendakwaan telah membuktikan suatu kes Prima Facie terhadap Tertuduh. Jika suatu kes Prima Facie tidak dapat dibuktikan terhadap Tertuduh, Tertuduh perlu dilepaskan dan dibebaskan. [13] Maksud Prima Facie telah diperjelaskan di dalam Seksyen 180 (4) KTJ dan juga telah diperjelaskan oleh Mahkamah Persekutuan didalam kes PP v. Mohd. Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 seperti berikut: [12] After the amendments to ss. 173(f) and 180 of the CPC, the statutory test has been altered. What is required of a Subordinate Court and the High Court under the amended sections is to call for the defence when it is satisfied that a prima facie case has been made out at the close of the prosecution case. This requires the court to undertake a maximum evaluation of the prosecution evidence when deciding whether to call on the accused to enter upon his or her defence. It involves an assessment of the credibility of the witnesses called by the prosecution and the drawing of inferences admitted by the prosecution evidence. Thus, if the prosecution evidence admits of two or more inferences, one of which is in the accused's favour, then it is the duty of the court to draw the inference that is favourable to the accused. … Put shortly, what the trial court is obliged to do under ss. 173(f) and 180 of the CPC is to ask itself the question: If the accused elects to remain silent, as he is perfectly entitled to do, am I prepared to convict him on the evidence now before me? ... If the answer to that question is in the affirmative, then the defence must be called. And if the accused remains silent, he must be convicted. If the answer is in the negative, then the accused must be acquitted. [14] Berdasarkan otoriti-otoriti diatas, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab mahkamah untuk membuat analisa dan memberi pertimbangan semula ke atas semua keterangan saksi-saksi, soal balas yang dikemukakan oleh peguam Tertuduh dan juga ekshibit-ekshibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam menentukan sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan suatu kes Prima Facie terhadap Tertuduh dengan menggunapakai ujian penilaian maksimum ke atas semua keterangan saksi pendakwaan. [15] Bagi membolehkan mahkamah menentukan sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan suatu kes Prima Facie terhadap Tertuduh, mahkamah perlulah antara lain melihat sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan setiap elemen pertuduhan sebagaimana termaktub didalam Seksyen 180(4) KTJ. [16] Didalam kes ini terdapat dua elemen yang perlu dibuktikan oleh pihak Pendakwaan bagi membuktikan sama ada suatu kes Prima Facie telah dibuktikan terhadap Tertuduh dan elemen-elemen tersebut menurut kes PP v Ong Kian Chan [2006] 7 MLJ 230 adalah seperti berikut: i. Tindakan dan cara pemanduan Tertuduh jika dilihat secara objektif akan menyebabkan bahaya terhadap pengguna jalan raya yang lain dengan mengambil kira situasi dan keadaan jalan pada masa itu di tempat kejadian; dan ii. Tertuduh adalah orang yang bertanggungjawab terhadap situasi yang merbahaya tersebut dan menyebabkan kematian orang lain. [17] Oleh itu, jika pihak pendakwaan berjaya membuktikan kedua-dua elemen pertuduhan tersebut, satu kes Prima Facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan. Tindakan dan cara pemanduan Tertuduh jika dilihat secara objektif akan menyebabkan bahaya terhadap pengguna jalan raya yang lain dengan mengambil kira situasi dan keadaan jalan pada masa itu di tempat kejadian [18] Berbalik semula kepada kes Tertuduh, elemen pertuduhan pertama yang perlu dibuktikan oleh pihak Pendakwaan ialah sama ada tindakan dan cara pemanduan Tertuduh jika dilihat secara objektif akan menyebabkan bahaya terhadap pengguna jalan raya yang lain dengan mengambil kira situasi dan keadaan jalan pada masa itu di tempat kejadian. [19] Didalam kes ini, Tertuduh telah dituduh dibawah limb ketiga bagi kesalahan dibawah Seksyen 41(1) APJ iaitu memandu secara merbahaya. Adalah penting untuk mahkamah mengambil maklum bahawa maksud memandu secara merbahaya tidak diberi definisi di bawah APJ. Oleh itu, mahkamah telah merujuk kepada kes PP v Low Yong Peng [1969] 1 MLJ 306 dan berdasarkan kes tersebut telah dinyatakan bahawa penentuan sama ada Tertuduh memandu secara bahaya atau tidak boleh ditentukan melalui penelitian terhadap fakta dan keadaan sesuatu kes. [20] Mahkamah seterusnya merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan didalam kes Ng Beng Kok v PP [2017] 7 CLJ 157 yang telah memutuskan bahawa tiada tafsiran undang-undang bekenaan dengan pemanduan yang merbahayakan pihak awam. Mahkamah Rayuan seterusnya menyatakan seperti berikut: [17] The above section, in our view, creates three distinct offences, namely: