Content
MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA LUMPUR GUAMAN NO: WA-A73-18-03/2024 ANTARA MUHAMMAD HAZIQ IMAN BIN HAMDAN [No. Kad Pengenalan: 990616146645] …PLAINTIF DAN DATUK BANDAR, DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR …DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Fakta ringkas
WA-A73-18-03/2024
Magistrates Court of Malaysia17 Jan 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“angkan mereka tiada di tempat kejadian pada masa kejadian dan tidak ditemani/ dipandu arah oleh Plaintif sendiri ke tempat kejadian. Kes Mohd Riduzan bin Abdul Rahman v Projek Lebuhraya usahasama Bhd [2021] MLJU 2867 dirujuk. Oleh itu, Mahkamah mendapati Plaintif gagal membuktikan Plaintif terlanggar lubang di Jalan Co”
“ditampal oleh Defendan selepas kemalangan berlaku melainkan Plaintif dapat membuktikan kerja-kerja penampalan telah dibuat oleh Defendan sebegitu. Kes Murali a/l Manisageran v Jurumart Sdn Bhd & Ors [2024] MLJU 2091 dirujuk. Hal ini juga adalah selari dengan keterangan SD-1 di mana tidak pernah menerima sebarang aduan”
“10. Sekalipun sekiranya Mahkamah menerima hujahan dan autoriti kes Mohd Hakeem Haniff & Anor v Datuk Bandar Kuala Lumpur & Ors [2024] MLRHU 602 (1) yang dikemukakan oleh pihak Plaintif bahawa kegagalan Plaintif untuk memplidkan jalan secara spesifik tidak fatal dan sebaliknya pliding Plaintif dan keterangan lain adalah”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA LUMPUR GUAMAN NO: WA-A73-18-03/2024 ANTARA MUHAMMAD HAZIQ IMAN BIN HAMDAN [No. Kad Pengenalan: 990616146645] …PLAINTIF DAN DATUK BANDAR, DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR …DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Fakta ringkas
1
Kes ini melibatkan suatu kemalangan yang berlaku pada 24.12.2022 di mana Plaintif memplidkan dia telah terlanggar suatu lubang di tengah Jalan Connaught semasa menunggang motosikalnya berseorangan sehingga menyebabkan di terjatuh dan mengalami kecederaan. Plaintif antara lain, memplidkan Defendan telah cuai dan melanggar kewajipan statutorinya kerana gagal memastikan jalan tersebut selamat untuk digunakan dan gagal melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dengan sempurna. Oleh itu, Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, faedah pra penghakiman dan faedah pasca penghakiman serta kos.
2
Plaintif telah mengemukakan tiga (3) orang saksi iaitu: a. SP-1 : pegawai penyiasat; b. SP-2 : Plaintif; dan c. SP-3 : ayah Plaintif.
3
Defendan juga telah memanggil seorang (1) orang saksi iaitu : a. SD-1 : jurutera awam Defendan.
4
Selepas perbicaraan, Mahkamah ini telah menolak tuntutan Plaintif dengan kos. Ini adalah alasan Mahkamah bagi keputusan tersebut. Analisa dan keputusan Mahkamah
5
Mahkamah mendapati terdapat percanggahan keterangan yang ketara berhubung dengan lokasi lubang dan kemalangan. Di dalam pliding, Plaintif memplidkan kemalangan berlaku di Jalan Connaught lebih kurang pada pukul 10.00 malam. Laporan polis yang pertama berhubung dengan kejadian telah dibuat oleh bapa Plaintif (SP-3) pada 25.12.2022. Pada masa ini, Plaintif berada di hospital bagi mendapatkan rawatan. Di dalam laporan tersebut (P6), SP-3 melaporkan kemalangan berlaku di jalan tengah Seremban Highway Kuala Lumpur.
6
Dalam laporan polis yang dibuat oleh Plaintif sendiri (SP-2) pada 28.12.2022 (P5), dia pula melaporkan kemalangan berlaku di Lebuhraya Salak. Kedua-dua lokasi ini berbeza dengan lokasi yang diplidkan oleh Plaintif iaitu di Jalan Connaught sedangkan Plaintif merupakan satu-satunya orang yang mempunyai pengetahuan peribadi mengenai lokasi kemalangan tersebut. Keterangan SP-2 sendiri pada awalnya semasa pemeriksaan utama (soalan tambahan) menjelaskan kemalangan berlaku di Jalan Salak dan dengan yakin mengecam / mengenal pasti jalan tersebut disebabkan adanya tol. Namun, keterangan SP-2 hanya berubah ke Jalan Connaught apabila ditanya berkali-kali oleh peguam.
7
SP-3 dalam keterangannya di Mahkamah, menjelaskan dia tidak berada bersama-sama dengan Plaintif semasa kemalangan berlaku. Dia hanya diberitahu mengenai lokasi oleh anaknya. Malahan SP-3 mengesahkan dia diberitahu oleh Plaintif bahawa kemalangan berlaku di Jalan Salak.
8
Jalan Connaught hanya ini muncul dalam Rajah Kasar (P1) yang dibuat oleh pegawai penyiasat (IO). Berdasarkan keterangan IO, siasatan di tempat kemalangan telah dijalankan pada 26.12.2022 iaitu selepas menerima laporan polis pertama iaitu yang dibuat oleh bapa Plaintif. Dan hasil daripada siasatan di tempat kejadian dan gambar yang diberikan oleh bapa Plaintif di m/s 9 Ikatan Dokumen Bersama (P4 (a) dan (b)), IO merumuskan kemalangan sebenarnya berlaku di Jalan Connaught. Dengan melihat kepada gamabr P4 (a) dan (b) tersebut, gambar tersebut menunjukkan kesan tampalan di jalan tetapi tiada apa untuk menunjukkan lokasi jalan tersebut kerana persekitaran yang gelap.
9
Adalah membingungkan bagaimana IO boleh membuat siasatan dan merumuskan kemalangan berlaku di Jalan Connaught hanya berdasarkan gambar yang diberikan oleh SP-3 sedangkan dalam laporan SP-3 kemalangan berlaku di Seremban Highway Kuala Lumpur. Rekod keterangan Plaintif mahupun bapanya semasa siasatan juga tidak dikemukakan di Mahkamah. Mahkamah mendapati siasatan IO meragukan dan tidak lengkap kerana dibuat hanya berdasarkan laporan polis SP-3, gambar yang diberikan oleh SP-3 yang tidak menunjukkan lokasi jalan dan tidak ditemani oleh Plaintif sendiri ke tempat kejadian. Tidak mungkin IO dan SP-3 boleh mengenal pasti lokasi kemalangan sedangkan mereka tiada di tempat kejadian pada masa kejadian dan tidak ditemani/ dipandu arah oleh Plaintif sendiri ke tempat kejadian. Kes Mohd Riduzan bin Abdul Rahman v Projek Lebuhraya usahasama Bhd [2021] MLJU 2867 dirujuk. Oleh itu, Mahkamah mendapati Plaintif gagal membuktikan Plaintif terlanggar lubang di Jalan Connaught.
10
Sekalipun sekiranya Mahkamah menerima hujahan dan autoriti kes Mohd Hakeem Haniff & Anor v Datuk Bandar Kuala Lumpur & Ors [2024] MLRHU 602 (1) yang dikemukakan oleh pihak Plaintif bahawa kegagalan Plaintif untuk memplidkan jalan secara spesifik tidak fatal dan sebaliknya pliding Plaintif dan keterangan lain adalah selari bahawa kemalangan berlaku di Jalan Connaught, namun Plaintif gagal membuktikan wujudnya lubang di tempat kejadian yang menyebabkan Plaintif jatuh dan mengalami kecederaan (Kes Mohd Riduzan bin Abdul Rahman v Projek Lebuhraya usahasama Bhd [2021] MLJU 2867 dirujuk).
11
Sebaliknya, keterangan IO dan SP-3, gambar yang diambil oleh SP-3 (P4 (a) dan (b) dan gambar rajah kasar ( P5) yang ditandakan oleh IO hanya menunjukkan kesan tampalan. Kedua-dua gambar P4(a) dan
b
telah diambil sehari selepas kemalangan iaitu pada 25.12.2022. Siasatan di lokasi pula telah djalankan oleh IO pada 26.12.2022. Kedua-dua saksi IO/SP-1 dan SP-3 bersetuju hanya melihat ada kesan tampalan dan bukannya lubang. Mahkamah tidak dapat mempercayai bahawa wujudnya lubang pada 24.12.2022 seperti yang diplidkan oleh Plaintif. Mahkamah tidak cenderung untuk membuat kesimpulan atau andaian bahawa lubang tersebut telah ditampal oleh Defendan selepas kemalangan berlaku melainkan Plaintif dapat membuktikan kerja-kerja penampalan telah dibuat oleh Defendan sebegitu. Kes Murali a/l Manisageran v Jurumart Sdn Bhd & Ors [2024] MLJU 2091 dirujuk. Hal ini juga adalah selari dengan keterangan SD-1 di mana tidak pernah menerima sebarang aduan kewujudan lubang di lokasi tersebut. Oleh itu, Mahkamah mendapati Plaintif gagal membuktikan wujdunya lubang di Jalan Connaught dan sekaligus gagal membuktikan kecuaian dan pelanggaran kewajipan di pihak Defendan. KEPUTUSAN MAHKAMAH
12
Atas alasan-alasan di atas, Mahkamah mendapati Plaintif telah gagal membuktikan tuntutannya di atas imbangan kebarangkalian Mahkamah telah memerintahkan tuntutan Plaintif ditolak dengan kos sebanyak RM4,000 dibayar kepada Defendan. Bertarikh pada 17.1.2025 Disediakan oleh, t.t Fatin binti Mohd Nor Mahkamah Majistret Sivil 3 Kuala Lumpur Hadir bagi pihak Plaintif: HARI CHANDRAN A/L R. MUNIANDY daripada R.M. HARI Hadir bagi pihak Defendan: SYAHIRAH BINTI SUHAIMY daripada OTHMAN HASHIM & CO.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.