Schedule
Jadual Pertama dan Ketiga, Akta Racun 1952. [23] Dalam kes ini, Ahli Kimia telah berbuat demikian dan perkara ini juga tidak dicabar oleh pihak pembelaan. Oleh itu, Mahkamah ini menerima keterangan tersebut dan selanjutnya Mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen kedua bagi kesalahan yang telah dihadapkan terhadap Tertuduh ini. Penganalisisan Keterangan Saksi-Saksi Pendakwaan [24] Keterangan yang telah dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan menunjukkan bahawa semasa tangkapan dibuat oleh SP1 (Pegawai Tangkapan) ke atas Tertuduh, terdapat seorang lagi penghuni rumah tersebut iaitu Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert yang juga berada di ruang tamu yang sama bersebelahan dengan Tertuduh. Perkara ini juga selari dengan Laporan Polis (P5) yang dibuat oleh SP1 sendiri selepas tangkapan dibuat. Pemeriksaan Utama SP1 pada 7 Mac 2023 Soalan: Selepas kamu sampai di rumah apa yang berlaku? Jawapan: Seterusnya saya bersama pasukan serbuan masuk ke perkarangan rumah tersebut dan mendapati pintu pagar grill dan pintu kayu dalam keadaan tertutup dan tidak berkunci. Saya telah mengetuk pintu dan memperkenalkan sebagai polis dan membuka pintu rumah tersebut. Setelah pintu berjaya dibuka saya nampak dua lelaki sedang berbaring di atas tilam di ruang tamu rumah lalu saya perkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan tunjukkan kad kuasa kepada penama dan menjalankan pemeriksaan fizikal tubuh badan tetapi tidak menjumpai apa-apa barang salah. Soalan: Serbuan dibuat jam berapa? Jawapan: 9.30 pagi anggaran Soalan: Boleh jelaskan bagaimana kedudukan dua orang ini setelah pintu rumah dibuka? Jawapan: Berada di ruang tamu rumah yang mana OKT berada di sebelah kanan arah masuk manakala penama kedua berada di anggaran hadapan pintu masuk. Di atas tilam masing-masing. Soalan: Kamu ada peranan lain dalam kes ini? Jawapan: Setelah kesemua barang kes berserta tangkapan saya serahkan pada IO kes maka selesai tugas saya sebagai pengadu atau pegawai serbuan dalam kes ini. Soalan: Bagaimana dengan seorang penama Zulhelmi? Jawapan: Saya bebaskan tanpa sebarang syarat [25] Selain daripada Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert ini, keterangan pihak pendakwaan juga menunjukkan bahawa terdapat juga penghuni lain yang tinggal di dalam rumah tersebut bersama Tertuduh iaitu Koperal Hafiz seperti yang telah dicadangkan oleh pihak pembelaan kepada SP4 (Pegawai Penyiasat) di mana perkara ini telah dipersetujui oleh SP4. [26] Keterangan SP1 semasa kes pendakwaan juga menunjukkan bahawa SP1 bersetuju bahawa barang kes di dalam kes ini boleh diakses oleh Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert dan penghuni lain dan pihak pendakwaan langsung tidak membuat sebarang pemeriksaan semula untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keterangan-keterangan ini. Keterangan-keterangan semasa pemeriksaan balas adalah seperti berikut: Pemeriksaan Balas terhadap SP1 oleh Peguam Tertuduh Soalan: Setuju dengan saya, rujuk P5, botol dirampas dalam beg ini yang terdapat dalam ruang tamu? Jawapan: Ya Soalan: Setuju dengan saya, terdapat seorang lagi penama Zulhelmi semasa serbuan dibuat? Jawapan: Ya Soalan: Setuju dengan saya, beg yang kamu rampas boleh diakses oleh penghuni rumah yang lain? Jawapan: Ya Soalan: Setuju dengan saya, Zulhelmi juga mempunyai akses terhadap beg tersebut? Jawapan: Ya Soalan: Setuju dengan saya, berdasarkan P5 kamu telah membebaskan Zulhelmi sebelum diserahkan kepada IO? Jawapan: Ya Soalan: Ada kamu siasat siapa penghuni rumah ini? Jawapan: Tidak Soalan: Setuju dengan saya, ada seorang lagi penghuni Koperal Hafiz yang menghuni di dalam premis tersebut? Jawapan: Tidak pasti Soalan: Setuju dengan saya, Koperal Hafiz mempunyai akses terhadap beg yang dijumpai di ruang tamu rumah tersebut? Jawapan: Tidak pasti Soalan: Setuju dengan saya, ini merupakan rumah bujang yang disewa oleh beberapa anggota polis? Jawapan: Ya [27] Pada masa yang sama, Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert yang dinyatakan di dalam Laporan Polis (P5) tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan malahan tidak juga ditawarkan kepada pihak pembelaan. Bukan itu sahaja, Koperal Hafiz mahupun mana-mana penghuni rumah yang lain juga tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan oleh pihak pendakwaan atau ditawarkan kepada pihak pembelaan bagi membuktikan pertuduhan yang dikenakan terhadap Tertuduh. Apa yang lebih membimbangkan adalah SP4 (Pegawai Penyiasat) telah bersetuju bahawa tiada siasatan atau rakaman percakapan dibuat oleh SP4 terhadap Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert, Koperal Hafiz, pemilik rumah mahupun mana-mana penghuni rumah yang lain. [28] Dalam konteks ini adalah wajar untuk Mahkamah ini merujuk kepada pemakaian seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. Peruntukan seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 menyatakan seperti berikut: "The court may presume the existence of any fact which it thinks likely to have happened, regard being had to the common course of natural events, human conduct, and public and private business, in their relation to the facts of the particular case. (a)... (b).... (c)... (d).... (e)... (f).... (g) that evidence which could be and is not produced would if produced be unfavourable to the person who withholds it;" [29] Mahkamah ini juga merujuk kepada kes Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492 di mana Yang Arif Hakim Mohd Azmi telah menyatakan seperti berikut: "Adverse inference under that illustration can only be drawn if there is withholding or suppression of evidence and not merely on account of failure to obtain evidence. It may be drawn from withholding not just any document, but material document by a party in his possession, or for non-production of not just any witness but an important and material witness to the case." Anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 [30] Berkenaan prinsip ini, Mahkamah ini mengambil iktibar daripada kes Sugumaran Govindasamy v PP [2024] CLJU 39 di mana Yang Arif Tuan Roslan Bin Mat Nor telah memberikan panduan seperti berikut: [32] Oleh itu adalah menjadi amalan yang baik untuk hakim bicara sentiasa meneliti keterangan-keterangan, membuat dapatan-dapatan dan menyatakannya dengan jelas dalam alasan penghakiman. Pada masa yang sama semasa membuat dapatan-dapatan tersebut hakim bicara dapat membuat dapatan berdasarkan kepada: (a) keterangan terus daripada saksi-saksi; (b) anggapan; atau (c) inferens. … [38] Adalah menjadi undang-undang yang termaklum bahawa terdapat dua jenis anggapan yang boleh digunakan oleh hakim bicara iaitu anggapan undang-undang dan anggapan fakta. Dalam konteks anggapan fakta Mahkamah boleh setelah berpuas hati terdapatnya fakta-fakta asas menggunakan anggapan fakta iaitu seksyen 86 hingga seksyen 88, seksyen 90, seksyen 107 hingga 111, seksyen 114 dan seksyen 114A Akta Keterangan 1950. Sementara bagi anggapan undang-undang pula ialah seksyen 41, seksyen 112 dan seksyen 113 Akta Keterangan 1950. [39] Apa yang penting ialah anggapan fakta tidak seharusnya digunakan sebagai jalan mudah untuk membuat dapatan kepada sesuatu fakta sedangkan fakta-fakta asas belum dikemukakan di Mahkamah. Anggapan juga tidak wajar digunakan sekiranya pembuktian sesuatu fakta boleh dibuat melalui keterangan- keterangan langsung di Mahkamah bagi membuktikan sesuatu fakta tersebut. Misalnya satu fakta terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa terdapat saksi mata yang melihat Tertuduh telah mengambil barang keluar daripada milikan atau jagaan pengadu dan ditangkap bersamasama dengan barang tersebut. Dalam contoh di atas adalah wajar sekiranya Mahkamah membuat dapatan fakta bahawa barang tersebut telah dikeluarkan daripada milikan pengadu oleh Tertuduh berdasarkan keterangan saksi mata tersebut dan tidaklah perlu menggunakan anggapan di bawah seksyen 114 (a) Akta Keterangan 1950. Ini adalah disebabkan fakta tersebut dapat dibuktikan berdasarkan keterangan saksi mata yang tidak memerlukan penggunaan mana-mana anggapan. Begitu juga seorang yang telah didapati di dalam tangannya dadah berbahaya dan telah dituduh memiliki dadah tersebut. Dalam contoh di atas keterangan yang jelas menunjukkan bahawa fakta bahawa dadah itu berada di dalam milikan Tertuduh telah dapat ditunjukkan melalui keterangan saksi-saksi mata yang tidak memerlukan penggunaan anggapan pemilikan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. [31] Maka, dalam membuat keputusan sama ada elemen-elemen kesalahan telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan, anggapan yang harus dipertimbangkan di dalam kes di hadapan Mahkamah ini ialah anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. [32] Berkenaan dengan isu ini, salah satu fakta penting yang wajar diberikan perhatian di dalam kes ini ialah bahawa Tertuduh telah ditangkap bersama seorang lagi bernama Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert di dalam rumah tersebut. Keterangan-keterangan semasa kes pendakwaan jelas konsisten mengenai fakta ini. Namun demikian, persoalan mengapa beliau tidak dipanggil sebagai saksi di dalam kes ini mahupun tidak ditawarkan kepada pihak pembelaan langsung tidak dijawab oleh pihak pendakwaan. [33] Peguambela Tertuduh di dalam hujahan bertulisnya telah menghujahkan bahawa adalah penting untuk pihak pendakwaan memanggil Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert sebagai saksi di dalam kes ini, atau sekurang-kurangnya menawarkan beliau kepada pihak pembelaan. Ini adalah penting memandangkan Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert juga berada di tempat kejadian semasa serbuan dilakukan oleh SP1 di rumah tersebut. [34] Ini menimbulkan persoalan yang perlu dijawab oleh Mahkamah ini iaitu sama ada anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 adalah terpakai dalam situasi sebegini. [35] Berkenaan dengan perkara ini, adalah menjadi prinsip undang-undang yang mantap bahawa ianya adalah budi bicara pihak pendakwaan untuk memanggil mana-mana saksi di dalam kes jenayah untuk membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh. Mahkamah Agung di dalam kes Abdullah Zawawi v PP [1985] 2 MLJ 16 telah memberikan garis panduan mengenai perkara ini seperti berikut; "The practice of making available a witness or witnesses from whom statements have been taken is to prevent the defence from commenting upon the honesty of the prosecution and thus invoking the often-quoted presumption of adverse inference under section 114(g) of the Evidence Act. But where the prosecution evidence falls short of proving a prima facie case at the end of its case, the right not to call such witness/witnesses and to make him/them available to the defence will be of no avail. If the doubt consists of the gap arising out of the matters adumbrated earlier, the prosecution must close this gap. It is not for the defence to call the offered witness/witnesses to supplement the prosecution case." [36] Berdasarkan kes di atas, dapatlah dirumuskan bahawa tugas bagi menutup sebarang kelompangan terletak di bahu pihak pendakwaan. Oleh itu, adalah penting untuk pihak pendakwaan memanggil saksi-saksi yang material untuk kes pendakwaan bagi membuktikan suatu kes prima facie terhadap pertuduhan yang telah dihadapkan terhadap Tertuduh. Kegagalan pihak pendakwaan dalam berbuat sedemikian boleh mengakibatkan penggunaan seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 ini ke atas kes pihak pendakwaan. [37] Namun dalam menentukan sama ada seseorang saksi adalah material ataupun tidak, ianya bergantung kepada keadaan setiap kes yang berbeza situasinya. Analisis dan penelitian menyeluruh perlu dijalankan untuk menentukan perkara ini. [38] Berbalik kepada kes di hadapan Mahkamah ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa keterangan Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert (sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan) adalah penting untuk menafikan pelbagai kemungkinan di dalam kes ini. Perkara ini adalah kerana Tertuduh di dalam kes ini ditahan bersama Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert yang dikatakan sedang berbaring di atas tilam di ruang tamu rumah tersebut bersama Tertuduh. [39] Pada masa yang sama, SP1 juga mengaku bahawa beg silang yang mengandungi Racun tersebut dijumpai di ruang tamu rumah tersebut dan ianya juga boleh diakses oleh Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert dan penghuni lain yang tinggal di dalam rumah tersebut. SP1 juga tanpa apa-apa penerangan telah membebaskan Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert tanpa syarat. Apabila ditanyakan mengapa Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert atau penghuni lain yang tinggal di dalam rumah tersebut tidak disiasat, SP1 menyatakan bahawa ianya adalah tugas Pegawai Penyiasat (SP4). Pemeriksaan Semula terhadap SP1 Soalan: Boleh jelaskan kenapa kamu tidak siasat siapa lagi ada di rumah tersebut? Jawapan: Kerana dari segi tangkapan saya membuktikan waktu kejadian berlakunya kawalan pemilikan dan pengetahuan terhadap barang kes yang dijumpai di dalam beg OKT. Bagi penghuni lain perlu disiasat oleh IO. [40] Pegawai Penyiasat (SP4) pula telah bersetuju bahawa tiada siasatan atau rakaman percakapan dibuat oleh SP4 terhadap Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert, Koperal Hafiz, pemilik rumah mahupun mana-mana penghuni rumah yang lain. Pemeriksaan Balas terhadap SP4 oleh Peguam Tertuduh Soalan: Berdasarkan pengalaman sebagai IO selama 16 tahun, setuju dengan saya, sesiapa yang ada di tempat kejadian perlu dirakam percakapan? Jawapan: Setuju Soalan: Setuju dengan saya Zulhelmi ini telah ditangkap bersama OKT namun telah dibebaskan tanya syarat sebelum 112 dirakam? Jawapan: Setuju Soalan: Saya cadangkan Koperal Hafiz, Zulhelmi dan OKT menyewa rumah tersebut? Jawapan: Setuju Soalan: Saya cadangkan kamu tidak merakam percakapan Zulhelmi, Koperal Hafiz dan pemilik rumah? Jawapan: Setuju [41] Maka, daripada fakta dan keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan, dapatlah disimpulkan bahawa Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert dan penghuni lain yang tinggal di dalam rumah tersebut adalah saksi-saksi penting yang boleh membantu Mahkamah membuat dapatan yang tepat berkenaan milikan Racun tersebut. [42] Pada masa yang sama, haruslah diambil kira bahawa Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert merupakan seorang anggota polis dan sepatutnya tiada kesukaran untuk beliau dipanggil sebagai saksi pendakwaan atau sekurang-kurangnya ditawarkan kepada pihak pembelaan. [43] Dalam keadaan di mana pihak pendakwaan juga telah gagal untuk memberikan alasan yang munasabah berkenaan mengapa beliau tidak dipanggil sebagai saksi, Mahkamah ini merujuk kepada kes Rosli Bin Yusof v PP [2021] 4 MLJ 479 di mana Mahkamah Persekutuan telah menyatakan seperti berikut: (2) Kepentingan orang-orang kena tangkap buat pihak pembelaan jelas ditunjukkan dalam keterangan perayu yang menegaskan bahawa Kamarul yang sebenarnya mempunyai kawalan penuh Toyota yang di dalamnya dadah dijumpai dan dialah orang yang berbual dengan warga Thai tersebut. Pegawai penyiasat mengesahkan dadah itu berasal dari Thailand, seperti yang dilihat daripada guni-guni beras. Objektif perbicaraan adil mensyaratkan agar pihak pendakwaan memanggil orang-orang kena tangkap, atau paling tidak, Kamarul dan warga Thai, sebagai saksi kecuali jika terdapat alasan yang baik untuk tidak berbuat demikian. Orang-orang kena tangkap ini ditangkap semasa atau berdekatan dengan tangkapan perayu dan berikutan siasatan yang sama. Pihak pendakwaan tidak mengemukakan apa-apa penjelasan atas kegagalan memanggil orang-orang kena tangkap/saksi-saksi ini. (3) Pegawai penyiasat telah menyiasat orang-orang kena tangkap dan mengemukakan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan yang kemudian memutuskan untuk tidak mempertuduh mereka. Dalam hal keadaan ini, pihak pendakwaan tidak boleh mengatakan tidak tahu apakah keterangan yang saksi-saksi ini akan berikan kerana pernyataan mereka telah direkodkan. Pihak pendakwaan seharusnya membuat perancangan wajar agar mereka disediakan buat pihak pembelaan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi. [44] Maka Mahkamah ini berpendapat bahawa kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert dan penghuni lain yang tinggal di dalam rumah tersebut telah mengakibatkan kegagalan pihak pendakwaan dalam membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh. [45] Di dalam kes Rosli Bin Yusof v PP (supra) juga, Mahkamah Persekutuan telah menyatakan seperti berikut: "[45] It is trite law that it is not the duty of the appellant to prove his innocence or to call a particular witness to support his defence (see Tan Foo Su v. Public Prosecutor [1967] CLJU 179; [1967] 1 LNS 179; [1967] 2 MLJ 19; Sandra Margaret Birch v. Public Prosecutor [1977] CLJU 114; [1977] 1 LNS 114; [1978] 1 MLJ 72). The law places upon the prosecution the burden to prove guilt of the appellant beyond reasonable doubt and not on the appellant to' prove his innocence. Well-entrenched in jurisprudence is the rule that the conviction of the appellant must rest not on the weakness of the defence but on the strength of the prosecution. This principle is the corner stone of our criminal law. " [46] Oleh yang demikian, Mahkamah ini berpendapat bahawa seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terpakai kepada pihak pendakwaan di atas kegagalan mengemukakan Konstabel Zulhelmi Bin Mohd Izzuddin Albert dan penghuni lain yang tinggal di dalam rumah tersebut sebagai saksi pendakwaan atau sekurang-kurangnya ditawarkan kepada pihak pembelaan. Rantaian keterangan mengenai barang kes telah terputus dan meninggalkan kelompangan dalam kes pihak pendakwaan [47] Satu lagi isu yang perlu dijawab di dalam kes ini adalah sama ada rantaian keterangan di dalam kes pihak pendakwaan telah terputus. Kepentingan untuk pihak pendakwaan memastikan bahawa rantaian keterangan tidak terputus adalah tidak dapat dinafikan. [48] Berkenaan dengan perkara ini, Mahkamah ini merujuk kepada kes Teoh Hoe Chye v PP [1987] 1 MLJ 220 di mana Mahkamah Agung telah memutuskan seperti berikut: We would observe at this point that the law is clear in that “it is unnecessary to call evidence to ensure there is no break in the chain of evidence.” (Su Ah Ping v Public Prosecutor [1980] 1 MLJ 75. But where a doubt as to the identity of an exhibit arises, a failure to adduce evidence to provide the necessary link in the chain of evidence would be fatal to the prosecution case. In the instant case there was such a failure. [49] Berbalik kepada kes di hadapan Mahkamah ini, perlu diberikan perhatian bahawa menurut kes pihak pendakwaan dan juga Laporan Polis (P5), barang kes ini dijumpai di dalam sebuah beg silang (P1) di mana di dalamnya terdapat satu beg dompet berwarna coklat bertulisan “Volkswagen” di mana di dalam beg dompet tersebut SP1 telah menjumpai kad pengenalan awam dan juga kad kuasa polis atas nama Tertuduh. Perkara ini disahkan oleh Pegawai Tangkapan sendiri (SP1). Pemeriksaan Utama SP1 Soalan: Kemudian apa kamu lakukan? Jawapan: Saya membuat pemeriksaan di sekitar tempat OKT berbaring berhampiran dengan tilam dan saya menjumpai satu beg silang berwarna hitam yang berada di tepi tilam OKT. Pemeriksaan terhadap beg tersebut telah menjumpai satu dompet yang di dalamnya tersimpan satu kad pengenalan awam dan satu kad kuasa polis di atas nama OKT. Turut dijumpai dalam beg yang sama satu botol lutsinar yang di dalamnya mengandungi cecair warna kekuningan yang disyaki cecair air ketum. [50] Menurut SP1, kad pengenalan awam dan juga kad kuasa polis atas nama Tertuduh telah dirampas dari Tertuduh sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Borang Senarai Geledah (P3). Namun demikian, kad pengenalan awam dan juga kad kuasa polis tersebut langsung tidak dikemukakan kepada Mahkamah sebagai ekshibit. [51] Tambahan pula, tiada apa-apa soalan atau penjelasan ditanya kepada semua saksi-saksi pendakwaan mengenai keberadaan atau kewujudan barang kes ini. [52] Maka, Mahkamah ini mendapati bahawa perkara ini telah mengakibatkan satu keraguan mengenai ekshibit di dalam kes ini memandangkan kad pengenalan awam dan juga kad kuasa polis Tertuduh yang dikatakan dijumpai di dalam beg silang tersebut adalah penting sebagai salah satu bukti yang boleh mengaitkan Tertuduh dengan beg silang yang dikatakan mengandungi Racun tersebut. [53] Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa adalah menjadi tugas pihak pendakwaan untuk memastikan bahawa rantaian keterangan (sama ada dari segi keterangan saksi mahupun ekshibit yang dikemukakan) berkenaan dengan sesuatu kes tidak terputus dalam membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh. Perkara ini adalah penting untuk tidak membuka ruang kepada sebarang kelompangan dalam kes pihak pendakwaan. [54] Berkenaan dengan prinsip ini, Mahkamah ini mengambil panduan daripada kes PP v Sim, Odita, Muhammad Sdn Bhd [2008] 7 MLJ 164 seperti berikut: “The issue of break in chain of evidence is normally considered by the court before coming to a conclusion whether the prosecution has proved its case against the accused beyond reasonable doubt. The accused is eligible to an acquittal, if there is break in chain of evidence and or gap occurs in prosecution's case. Thus, it is important for the prosecution to ensure that there is no break in the chain of evidence adduced before the court. When chain of evidence is broken and subsequently due to the break doubt arises on prosecution's case, it is the duty of the prosecution to remedy the break and or to fill in the gap. Failure of the prosecution to remedy or to fill the gap will absolutely create doubt in the mind of the court. Once doubt is created, prosecution's case fails and this would benefit the accused, and accordingly the accused shall be eligible to an acquittal and discharge.” [55] Selanjutnya, di dalam kes Mohd Osman Bin Pawan v PP [1989] 2 MLJ 110, Mahkamah Agung telah menyatakan bahawa: … it is pertinent to emphasize again that investigation officers should not treat the custody of exhibits lightly so as to leave a gap in the chain of evidence relating to the exhibits before their production in court. [56] Maka, berdasarkan prinsip kes-kes di atas, Mahkamah ini berpendapat bahawa rantaian barang kes di dalam kes ini telah terputus sekali gus telah meninggalkan satu kelompangan yang tidak dapat ditutup di dalam kes pihak pendakwaan. [57] Sehubungan itu, Mahkamah ini tidak dapat mencapai satu dapatan bahawa Tertuduh mempunyai milikan (jagaan atau kawalan) ke atas Racun tersebut. Mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan elemen pertama bagi kesalahan yang telah dihadapkan terhadap Tertuduh ini. Kesimpulan [58] Dalam membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh, adalah penting bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan kesemua elemen kesalahan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 seperti yang telah diputuskan di dalam kes PP v Teo Kian Chun & Anor (supra) yang telah dirujuk oleh Mahkamah ini di perenggan 10. [59] Sekiranya salah satu elemen tidak dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaan, maka Mahkamah ini percaya adalah tidak selamat untuk Tertuduh dipanggil untuk membela diri. Di dalam kes ini, Mahkamah ini memutuskan bahawa elemen pertama berkenaan milikan Tertuduh terhadap Racun tersebut adalah tidak dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaan. [60] Justeru itu, Mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh. Berdasarkan keterangan yang ada di hadapan Mahkamah ini, adalah tidak selamat untuk Mahkamah ini memanggil Tertuduh untuk membela diri terhadap pertuduhan tersebut di mana Mahkamah ini tidak bersedia untuk mensabitkan Tertuduh sekiranya pembelaan dipanggil dan Tertuduh memilih untuk berdiam diri. [61] Maka, Tertuduh adalah dengan ini dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri. Berdasarkan kepada keputusan ini juga, Mahkamah juga memerintahkan supaya wang jaminan sejumlah RM2,500 yang telah didepositkan di Mahkamah ini dikembalikan semula kepada penjamin. Bertarikh: 6 Disember 2024 (SHAARMINI A/P ARJUNAN) MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET JOHOR BAHRU PIHAK-PIHAK: Bagi Pihak Pendakwa Raya Puan Nurain Syafiqeen Binti Mohd Rozi Timbalan Pendakwa Raya Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim Bagi Pihak Tertuduh Encik Ibrahim Haikal Bin Razak Tetuan Haikal & Co. Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim