1
Tertuduh telah dituduh di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) bagi satu kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 68.8 gram.
KA-45A-5-02/2023
High Court of Malaysia26 May 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“tangkap. [50] Istilah Notis Alcontara tidak digunakan dalam penghakiman Alcontara Ambross Anthony (supra). Nama Notis Alcontara muncul sebagai satu istilah di dalam kes Phiri Mailesi (Zambian) v. PP [2013] MLRAU 175 yang menyatakan; **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFIL”
“lah dibawa kepada beberapa keputusan yang merumuskan pembuktian pemilikan di dalam fakta yang hampir sama seperti berikut; a) Chan Kim Seng v PP [2016] 3 MLJ 80; dan b) Adib Nafis bin Hassane lwn PP [2020] CLJU 1240; [2020] 1 LNS 1240 [15] Peguam tertuduh sebaliknya mendesak mahkamah ini agar mempertimbangkan 2 isu di”
“ongan sedangkan keterangan sepertimana di dalam kes ini adalah jelas serta secara langsung yang menunjukkan dadah tersebut ditemui di dalam bilik tersebut. [22] Di dalam kes Mahendran Arivalan v. PP [2020] CLJU 1278; [2020] 1 LNS 1278; [2020] MLRAU 279, Hakim Nordin Hassan HMR (pada ketika itu) telah memutuskan: "...it”
“a di dalam kes ini adalah jelas serta secara langsung yang menunjukkan dadah tersebut ditemui di dalam bilik tersebut. [22] Di dalam kes Mahendran Arivalan v. PP [2020] CLJU 1278; [2020] 1 LNS 1278; [2020] MLRAU 279, Hakim Nordin Hassan HMR (pada ketika itu) telah memutuskan: "...it is trite that forensic evidence incl”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
1
Tertuduh telah dituduh di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) bagi satu kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 68.8 gram.
2
Pertuduhan ke atas tertuduh adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 17 Ogos 2017, jam lebih kurang 12.15 pagi, bertempat di sebuah bilik bersebelahan rumah tidak bernombor, Kampung Perupok, Mukim Rambai, dalam daerah Pendang, di dalam negeri Kedah, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 68.8 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.”
3
Pihak Pendakwa Raya (PR) telah mengemukakan seramai 4 orang saksi dan fakta kes adalah straight forward. Ia berpaksikan kepada keterangan SP2 yang menyatakan seperti berikut: a) pada 16/8/2022 jam lebih kurang 10.00 malam, SP2 telah menerima maklumat berkaitan pengedaran di sebuah bilik 3 di rumah tidak bernombor, Kampung Perupok, Mukim Rambai, Pendang, Kedah (tempat tersebut). Berdasarkan maklumat tersebut, SP2 telah mengadakan taklimat ke atas pasukannya; b) selepas taklimat, pasukan polis yang diketuai oleh SP2 kemudiannya telah bergerak ke tempat kejadian pada jam 11.30 malam dan sampai lebih kurang jam 12.05 tengah malam 17/8/2022. SP2 dan pasukannya telah membuat pemerhatian selama 10 minit dari jarak 30 meter dan mendapati pintu bilik yang berkaitan adalah bertutup dan tiada pergerakan individu keluar dan masuk; c) lebih kurang jam 12.15 tengah malam, SP2 dan pasukan telah merapati pintu hadapan bilik dan mendapati ianya tidak berkunci. SP2 telah membuka pintu bilik tersebut dan masuk ke dalam bilik tersebut dan mendapati tertuduh sedang duduk di atas lantai di bilik tersebut; d) SP2 telah memperkenalkan dirinya sebagai polis dan telah memeriksa tubuh badan tertuduh dan tertuduh telah menunduk serta mengambil 1 beg plastik warna merah (P14) di atas lantai dan menyerahkannya kepada SP2. Pemeriksaan di dalam P14 menemui 1 peket plastik (P15) yang mengandungi bahan disyaki dadah; e) tertuduh kemudiannya telah ditangkap dan dibawa balik ke pejabat BSJN IPD Pendang dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat iaitu SP4; dan **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 4 f) bahan disyaki dadah di dalam P15 kemudiannya telah disahkan oleh SP3 sebagai dadah methamphetamine seberat 68.8 gram.
4
Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan adalah sepertimana yang telah dinyatakan di bawah seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) iaitu untuk menentukan berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang kredibel wujudnya satu kes prima facie.
5
Mahkamah berpandukan kepada 2 kes utama berkaitan prima facie iaitu kes Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 dan kes PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457. Mahkamah dengan ini merumuskan bahawa di akhir kes pendakwaan bermakna mahkamah ini hendaklah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan termasuk menilai kredibiliti keterangan-keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan. Mahkamah sedar jika terdapat lebih dari satu inferens yang boleh dibuat, maka mahkamah perlu memberi kelebihan kepada inferens yang memihak kepada tertuduh.
6
Berpandukan kepada kes Muhammad Lukman Mohamad v. PP [2021] 7 CLJ 524 elemen yang perlu dipenuhi bagi satu kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 39B Akta 234 adalah seperti berikut; “In our view, there is force in the submission. The requisites that must be satisfied to sustain conviction for the offence of trafficking in dangerous drugs under s. 39B(1)(a) of DDA 1952 are well-settled. The following elements must be established: a) The impugned drugs are dangerous drugs as listed in the First Schedule of DDA 1952; b) The impugned drugs are under the custody, control and possession of the appellant; and c) The appellant trafficked in the said impugned drugs.”
7
Secara amnya, peguam tertuduh tidak mempertikaikan bahawa dadah tersebut adalah dadah methamphetamine seberat 68.8 gram dan turut tidak mempertikaikan rantaian keterangan barang kes tersebut.
8
Mahkamah turut mendapati bahawa tiada cabaran dikemukakan ke atas berat dadah tersebut sepertimana yang yang diperakui oleh SP3.
9
Oleh itu, mahkamah merumuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan bahawa dadah tersebut adalah dadah yang sama ditemui oleh SP2 daripada tertuduh dan dikemukakan kepada SP3 untuk dianalisis. Ia telah disahkan sebagai dadah methamphetamine seberat 68.8 gram.
10
Selanjutnya mahkamah berpandangan elemen terpenting di dalam kes pihak PR adalah untuk membuktikan bahawa P14 yang mengandungi dadah di dalam P15 adalah berada di dalam milikan tertuduh. Pembuktian elemen pemilikan ini memerlukan pembuktian 2 perkara iaitu sama ada P14 tersebut berada di dalam jagaan atau kawalan tertuduh dan tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa di dalam P14 terdapat P15 yang mengandungi dadah.
11
Puan TPR menghujahkan bahawa berdasarkan kepada keterangan SP2, tertuduh adalah satu-satunya orang yang mempunyai mempunyai akses ke atas bilik tersebut dan dengan itu mempunyai milikan fizikal serta pengetahuan terhadap P14 kerana ia diserah sendiri oleh tertuduh.
12
Selain itu, jarak P14 adalah begitu hampir dengan tertuduh. Kedudukannya itu membuktikan bahawa tertuduh mempunyai kuasa untuk berurusan secara langsung dengan P14, apatah lagi tiada orang lain di dalam bilik semasa serbuan. Di samping itu, pemerhatian selama 10 minit telah dijalankan dan SP2 turut tidak 7 melihat mana-mana orang lain memasuki atau keluar dari bilik tersebut.
13
Selain itu, Puan TPR turut berhujah bahawa bilik tersebut telah disahkan oleh bapa tertuduh iaitu SP1 sebagai bilik tertuduh dan secara langsungnya tertuduh mempunyai akses dan kawalan ke atas bilik tersebut. Kedudukan P14 tersebut turut berada di dalam keadaan terdedah tanpa diselindungi.
14
Perhatian mahkamah telah dibawa kepada beberapa keputusan yang merumuskan pembuktian pemilikan di dalam fakta yang hampir sama seperti berikut; a) Chan Kim Seng v PP [2016] 3 MLJ 80; dan b) Adib Nafis bin Hassane lwn PP [2020] CLJU 1240; [2020] 1 LNS 1240
15
Peguam tertuduh sebaliknya mendesak mahkamah ini agar mempertimbangkan 2 isu di dalam menilai keterangan SP2. Ia adalah seperti berikut; a) PR gagal untuk memanggil 2 saksi yang disebut namanya oleh SP1 iaitu seorang yang dikenali sebagai Non dan Ameet; dan b) PR gagal mengemukakan keterangan forensik bagi membuktikan bahawa dadah tersebut adalah sebenarnya milik tertuduh.
16
Di dalam pertimbangan mahkamah berkaitan isu (a), prinsip undang-undang adalah jelas iaitu, ia adalah merupakan budi bicara pihak PR untuk memanggil mana-mana saksi yang difikirkan perlu. Namun budi bicara PR adalah tertakluk kepada ianya tidak memprejudiskan tertuduh serta ia tidak memberi ketidakadilan kepada tertuduh.
17
Di dalam melaksanakan budi bicaranya, PR perlu memastikan saksi-saksi yang hendak dipanggil adalah berkeupayaan untuk merungkaikan naratif pihak PR. Sekiranya pihak PR gagal untuk memanggil saksi-saksi yang relevan serta dapat merungkai naratifnya, maka mahkamah ini berhak mengenakan anggapan yang bertentangan ke atas pihak PR yang memberi kelebihan ke atas tertuduh. Mahkamah mengambil panduan ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ghasem Hozouri Hassan v. Public Prosecutor [2018] 6 CLJ 133; [2019] 6 MLJ 231.
18
Di dalam kes ini, mahkamah mendapati bahawa naratif pihak PR adalah jelas iaitu hanya tertuduh yang berada di dalam bilik tersebut dan saksi-saksi pihak PR telah dengan jelas menafikan kewujudan orang lain sama ada Non ataupun Ameet. Malahan SP2 sebagai Pegawai Serbuan dan SP4 sebagai Pegawai Penyiasat menafikan dua orang yang dicamkan iaitu Mohamad Zainol bin Kori dan Ameer Waled bin Mustafa berada di tempat kejadian semasa tertuduh ditangkap.
19
Oleh itu, mahkamah berpandangan bahawa pihak PR telah merungkaikan naratif keterangan mereka dan tidak mengambil 9 apa-apa tindakan untuk menyembunyikan apa-apa keterangan atau mana-mana saksi. Mahkamah di peringkat ini tidak nampak sebarang alasan bagi mahkamah untuk tidak menerima keterangan SP2 dan SP4. Tiada sebarang keterangan yang dikemukakan bagi menunjukkan sebarang alasan bagi SP2 mahupun SP4 mereka-reka cerita apatah lagi untuk menganiaya tertuduh.
20
Bagi isu (b), mahkamah berpandangan keterangan forensik sama ada ujian DNA ataupun cap jari adalah satu keterangan yang penting namun dalam apa jua keadaan ia hanyalah bersifat sokongan. Ketiadaan keterangan ini tidak boleh menafikan kewujudan keterangan asas dari saksi mata yang berada di tempat kejadian.
21
Pada hemat mahkamah, isu berkenaan ketiadaan ujian DNA bukanlah suatu yang boleh menjejaskan kredibiliti siasatan. Ia hanyalah bersifat keterangan sokongan sedangkan keterangan sepertimana di dalam kes ini adalah jelas serta secara langsung yang menunjukkan dadah tersebut ditemui di dalam bilik tersebut.
22
Di dalam kes Mahendran Arivalan v. PP [2020] CLJU 1278; [2020] 1 LNS 1278; [2020] MLRAU 279, Hakim Nordin Hassan HMR (pada ketika itu) telah memutuskan: "...it is trite that forensic evidence including DNA or fingerprints only serves as corroborative evidence. It certainly assist(s) the prosecution to establish its case beyond reasonable doubt as required under the law. However, the absence of forensic 10 evidence does not mean that the prosecution case must collapse if there are other cogent evidence to establish its case in particular direct evidence such as in the present case."
23
Oleh itu, mahkamah merumuskan bahawa walaupun pihak PR tidak mengemukakan keterangan forensik, mahkamah masih menerima keterangan daripada SP2 yang dengan jelas menunjukkan bahawa P14 berada di dalam jagaan serta kawalan tertuduh dan tertuduh secara inferens mempunyai pengetahuan ke atasnya.
24
Sehubungan dengan itu, mahkamah merumuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan bahawa P14 yang mengandungi P15 tersebut berada di dalam pemilikan tertuduh.
25
Ini membawa kepada elemen yang terakhir iaitu berkaitan pengedaran. Di dalam kes ini, pihak PR bergantung sepenuhnya kepada peruntukan andaian di bawah seksyen 37(da) Akta 234 di mana mahkamah boleh membuat andaian pengedaran bagi berat dadah yang tertentu apabila ianya dibuktikan dadah tersebut berada di dalam milikan tertuduh.
26
Berdasarkan kepada peruntukan ini, mahkamah berpuas hati bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan tertuduh memiliki dadah methamphetamine seberat 68.8 gram. Oleh yang demikian, mahkamah berhak merumuskan secara andaian bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan elemen pengedaran ke atas tertuduh.
27
Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa pihak PR telah berjaya di tahap prima facie membuktikan kesnya ke atas tertuduh dan dengan ini tertuduh diperintahkan untuk membela diri ke atas pertuduhan yang dikenakan.
28
Tertuduh telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi dan turut memanggil dua orang lagi saksi iaitu SD2 dan SD3.
29
SD2 adalah Mohammad Zainol bin Kori yang dikenali sebagai Non manakala SD3 adalah Ameer Waled bin Mustafa yang dikenali sebagai Ameet. Kedua-duanya dipanggil bagi membuktikan naratif di pihak tertuduh.
30
Secara amnya, naratif pembelaan tertuduh adalah berbeza dengan naratif yang dikemukakan oleh pihak PR. Menurut tertuduh dan disokong oleh SD2 dan SD3, semasa serbuan dijalankan, ketiga-tiga mereka berada di dalam bilik tersebut sedang bermain permainan video sambil menghisap rokok. Bilik tersebut tidak dinafikan sebagai bilik tertuduh, namun kehadiran SD2 dan SD3 ke bilik tersebut adalah bagi berjumpa dengan abang tertuduh bertujuan untuk meminjam wang.
31
Semasa mereka berada di dalam bilik tertsebut, pihak polis dikatakan telah hadir di hadapan rumah. SD2 telah membuka pintu bilik dan mendapati terdapat pihak polis di hadapan bilik tersebut. Pihak polis yang diketuai oleh SP2 telah menyerbu masuk ke dalam bilik tersebut dan kesemua mereka telah ditangkap dan digari. Pengeledahan telah dijalankan oleh pihak polis di dalam bilik tersebut namun tidak menemui apa-apa barang salah.
32
Selepas itu, tertuduh telah dibawa keluar dari bilik dan dibawa ke belakang rumah. Manakala SD2 dan SD3 telah dikawal di dalam bilik. Menurut tertuduh, pihak polis ada memaklumkan bahawa terdapat dadah ditemui di dalam plastik merah iaitu P14. Ini membawa kepada penangkapan ke atas tertuduh dan selepas itu SD2 dan SD3 telah dilepaskan.
33
Naratif tertuduh ini sama sekali bertentangan dengan naratif pendakwaan. Pembelaan tertuduh berpaksikan kepada dua perkara iaitu pertamanya, P14 tersebut tidak pernah ditemui di dalam bilik tersebut yang kononnya diserahkan oleh tertuduh kepada SP2, sebaliknya ditemui oleh anggota-anggota polis di belakang rumah tersebut. Keduanya, tertuduh tiada langsung pengetahuan terhadap kewujudan P14 tersebut.
34
Keterangan tertuduh sebagai SD1, telah disokong oleh SD2 dan SD3. Kesemua mereka telah diperiksa balas oleh Puan TPR.
35
Puan TPR di dalam hujahannya menegaskan bahawa pembelaan tertuduh ini adalah amat meragukan. Menurut Puan TPR naratif ini hanya timbul setelah perbicaraan dimulakan iaitu hampir 2 tahun setelah tertuduh ditangkap. Oleh itu, Puan TPR menghujahkan bahawa keterangan tertuduh, SD2 dan SD3 adalah direka-reka. Jika ia dibandingkan dengan keterangan SP2 dan SP4, jelas SD2 dan SD3 tidak pernah wujud semasa serbuan dilakukan.
36
Di dalam menimbang pembelaan tertuduh, mahkamah menegaskan bahawa tanggungjawab tertuduh hanya perlu membangkitkan apa-apa keraguan yang munsabah. Ini kerana di akhir kes, mahkamah perlu menentukan sama ada PR telah menentukan satu kes tanpa keraguan yang munasabah. Tiada apa-apa beban perundangan yang diletakkan ke atas tertuduh untuk membuktikan naratifnya.
37
Memulai analisis, mahkamah perlu menimbangkan sama ada perwatakan Non dan Ameet ini telah dibangkitkan semasa kes di peringkat pendakwaan. Bagi maksud tersebut, perhatian mahkamah dibawa kepada keterangan SP1. Penelitian mahkamah mendapati bahawa semasa pemeriksaan utama, SP1 telah mengesahkan bahawa Non telah memaklumkan kepadanya bahawa tertuduh yang merupakan anaknya telah ditangkap.
38
Semasa pemeriksaan balas, SP1 telah diperiksa balas dan menyatakan bahawa Non telah memaklumkan kepadanya bahawa Non ada bersama-sama dengan tertuduh semasa tertuduh ditangkap. Non ini kemudiannya telah dicamkan sebagai SD2. Perkara berkaitan Non maklumkan kepada SP1 bahawa dia ada bersama-sama tertuduh tidak diperiksa semula oleh Puan TPR kecuali disahkan bahawa Non ada memaklumkan kepadanya keesokan paginya.
39
Keterangan ini kemudiannya disokong oleh keterangan SD2 sendiri yang mengesahkan bahawa SD2 ada memaklumkan kepada SP1 bahawa SD2 dan SD3 ada bersama-sama dengan tertuduh semasa polis menyerbu bilik tersebut.
40
Analisis mahkamah ke atas keterangan-keterangan ini membolehkan mahkamah merumuskan bahawa keterangan SP1 bahawa SD2 memaklumkan kepadanya bahawa semasa tertuduh ditangkap, SD2 ada bersama adalah tidak disanggah.
41
Di dalam masa yang sama, mahkamah menegaskan bahawa pembelaan ini bukan satu pembelaan yang dikategorikan sebagai pemikiran terkemudian. Ini kerana ia telah dibangkitkan sejak saksi-saksi PR memberi keterangan.
42
Persoalan kini adalah sama ada keterangan SD2 dan SD3 yang menyokong keterangan tertuduh adalah berwibawa untuk diterima. Bagi maksud tersebut, mahkamah telah berkesempatan untuk menilai kewibawaan SD2 dan SD3 semasa kedua mereka memberi keterangan secara lisan di mahkamah. Ia sama ada semasa pemeriksaan utama mahupun semasa pemeriksaan balas atau semula.
43
Pemerhatian mahkamah mendapati bahawa kedua-dua mereka telah memberi keterangan secara konsisten dan keterangan mereka adalah tidak berubah walaupun diperiksa balas oleh Puan TPR. Mahkamah tidak nampak sebarang alasan bagi mahkamah mempertikaikan keterangan mereka. Lenggok percakapan serta 15 tubuh badan mereka juga tidak menampakkan mereka cuba mereka-reka cerita atau menyelindungi apa-apa fakta.
44
Mahkamah turut menimbang hujahan Puan TPR berkaitan kegagalan tertuduh untuk membangkitkan berkaitan kewujudan SD2 dan SD3 semasa siasatan dijalankan oleh SP4. Ini bagi pandangan Puan TPR menjadikan pembelaan ini adalah tidak wajar diterima. Mahkamah bagaimanapun berpandangan bahawa adalah tidak wajar untuk meletakkan beban tersebut kepada tertuduh. Ini kerana tertuduh semestinya beranggapan bahawa kewujudan SD2 dan SD3 akan dimaklumkan kepada SP4 oleh SP2 ataupun mana-mana anggota serbuan kepada SP4.
45
Dalam apa jua keadaan, tertuduh tidak mempunyai sebarang tanggungjawab dari segi undang-undang untuk memaklumkan kepada SP4 berkaitan kewujudan SD2 dan SD3. Ia sebaliknya merupakan tanggungjawab SP4 sebagai Pegawai Penyiasat untuk memastikan fakta sebenar kejadian.
46
Puan TPR turut membangkitkan berkaitan ketiadaan Notis Alcontara yang dikemukakan oleh tertuduh. Prinsip berkaitan Notis Alcontara adalah merujuk kepada maklumat yang diberikan oleh seseorang tertuduh kepada pegawai penyiasat semasa penyiasatan dengan tujuan tertentu untuk mendedahkan pembelaan dan memberikan petunjuk tentang perkara yang patut disiasat bagi mengesahkan kebenaran pembelaan.
47
Istilah Notis Alcontara berasal dari satu keputusan di dalam kes Alcontara Ambross Anthony lwn PP [1996] 1 MLRA 47 di mana 16 panel Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Edgar Joseph HMP, Dzaiddin HMP dan Gopal Sri Ram HMR, telah menggariskan beberapa prinsip umum dalam menilai pendedahan tertuduh semasa pembelaan terhadapnya.
48
Di dalam kes Alcontara Ambross Anthony (supra), hakim perbicaraan telah menolak pembelaan selepas mendapati bahawa pendedahan pembelaan telah terlewat dikemukakan. Mahkamah Persekutuan mendapati hakim bicara telah tersilap dalam mengendalikan fakta semasa menimbangkan kes pembelaan dan Mahkamah Persekutuan menyatakan: “It is implicit in the judge’s observations aforesaid that he had assumed that at the time of his arrest, the appellant had no explanation to offer or if he had one, it would have been materially different to that which he had offered in his cautioned statement recorded on the next day or he would have made a confession. When respect, there was not a scarp of evidence to support any of these assumptions. For example, there was not even evidence as to whether the appellant had been cautioned and an attempt made to interrogate him immediately on arrest and, if so, what his reactions were.” …….. “Thus, the evidence suggests that the first opportunity the appellant had to explain was at the time he was interviewed and his cautioned statement recorded from 17 him the day after his arrest. There was, therefore, no evidence of delay on his part in offering an explanation. On the other hand, evidence suggests that such delay, as there was in this regard, had been occasioned entirely by the police. It follows that it was wrong for the judge to have assumed, contrary to the evidence, that there had been a belated disclosure of the defence, which suggested concoction. On the contrary, the evidence indicated that, given the circumstances, the appellant had made prompt disclosure of his defence in his cautioned statement. As a result of this misdirection, the case for the appellant must have been seriously weakened in the eyes of the judge, and the chance of his attaching any degree of credence to it seriously prejudiced.”
49
Pada asasnya, Mahkamah Persekutuan membetulkan salah tanggapan hakim bicara bahawa tertuduh lambat mendedahkan pembelaannya. Oleh kerana tertuduh lewat mendedahkan pembelaannya, hakim perbicaraan menganggap dia membela diri dengan cerita rekaan, dan dengan itu mendapati dia bersalah. Mahkamah Persekutuan mendapati pembelaannya terkandung dalam kenyataan polisnya, dibuat sejurus selepas ditangkap.
50
Istilah Notis Alcontara tidak digunakan dalam penghakiman Alcontara Ambross Anthony (supra). Nama Notis Alcontara muncul sebagai satu istilah di dalam kes Phiri Mailesi (Zambian) v. PP [2013] MLRAU 175 yang menyatakan; “It is pertinent to note that the 'Alcontara Notice' must have sufficient particulars in the right perspective and not a vague notice where the prosecution will not be able to advance their investigation to rebut the defence story or version. It must also be given at the earliest opportunity at the material time of the arrest or at least upon counsel taking instruction from the accused to conduct its defence. In addition the defence's version should be put at the prosecution stage and the story must be maintained at the defence stage. There will be a duty placed on the judge even at the prosecution stage to positively evaluate the story of the accused relating to 'Alcontara Notice' before evaluating the prosecution case and applying the maximum evaluation as Alcontara case places the onus on the prosecution to rebut or sufficiently explain that they have discharged that onus. In the instant case evidence will show that the defence has not given an 'Alcontara Notice' in the right perspective.”
51
Pada kebiasaannya kes-kes yang melibatkan Notis Alcontara di dalam pertuduhan pengedaran atau pemilikan dadah, adalah situasi di mana asas pembelaan adalah berpaksikan kepada pemilikan dadah oleh pihak ketiga. Dengan kata yang lain, tertuduh mempunyai pengetahuan siapakah pemilik sebenar dadah tersebut.
52
Ia sering ditimbulkan di dalam pembelaan yang dikenali sebagai “wilful blindness” yang merujuk kepada kejahilan undang-undang di mana tertuduh dengan sengaja mengelak pengetahuan tentang 19 fakta atau dengan sengaja menutup mata terhadap pengetahuan pemilikan ke atas dadah yang ditemui bersama-sama dengannya.
53
Namun di dalam kes ini, apa yang berlaku adalah berlainan sama sekali. Tertuduh menjarakkan langsung dirinya dengan penemuan dadah tersebut. Di dalam erti kata lain, ianya langsung tiada kena mengena dengannya. Tertuduh memberikan naratif yang sama sekali berbeza di mana dadah di dalam P14 tersebut ditemui di tempat lain dan dikaitkan dengannya tanpa sebab. Naratif tertuduh disokong oleh SD2 dan SD3 yang dikatakan hadir semasa serbuan pihak polis yang dinafikan oleh pihak pendakwaan.
54
Sepertimana yang mahkamah telah ulas, tertuduh tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk memaklumkan kepada SP4 akan kewujudan SD2 dan SD3 kerana tertuduh sendiri tidak mempunyai pengetahuan kenapa SP2 atau mana-mana anggota serbuan tidak mendedahkan kewujudan SD2 dan SD3. Tertuduh turut tidak wajar dipertanggungjawabkan untuk menyatakan naratifnya semasa penyiasatan oleh SP4 kerana tertuduh sendiri tidak tahu apakah naratif yang dirakamkan oleh SP4 melalui saksi-saksi pihak polis terutamanya SP2.
55
Sehubungan dengan itu, mahkamah merumuskan bahawa pembelaan tertuduh bukan merupakan satu penafian kosong mahupun direka-reka atau satu pemikiran terkemudian. Kegagalan tertuduh untuk meletakkan naratifnya kepada SP4 bukanlah asas untuk mahkamah menolak pembelaan tertuduh. Dengan kata lain, prinsip Notis Alcontara adalah tidak terpakai ke atas tertuduh.
56
Menerima naratif tertuduh mewujudkan 2 naratif di dalam kes ini. Iaitu pertamanya yang dikemukakan oleh pendakwaan dan keduanya pembelaan tertuduh yang sama sekali jauh berbeza dari naratif pendakwaan. Ini dengan sendirinya mewujudkan 2 inferens iaitu sama ada P14 tersebut sebenar-benarnya ditemui di dalam bilik tersebut dan diserahkan oleh tertuduh kepada SP2 atau sebaliknya ditemui di bahagian belakang rumah dan tertuduh tidak langsung mempunyai kaitan dengannya.
57
Prinsip undang-undang adalah jelas iaitu jika wujud 2 inferens yang berbeza, maka mahkamah hendaklah memberi kelebihan kepada inferens yang memihak kepada tertuduh. Ia dengan secara langsung mewujudkan keraguan ke atas kes pihak pendakwaan.
58
Apatah lagi di dalam kes ini, saksi PR iaitu SP1 sendiri telah dari awal membangkitkan berkenaan maklumat yang diterimanya dari SD2. Pihak PR sejak dari itu mempunyai maklumat berkenaan pengetahuan SD2 berkaitan serbuan dan penangkapan tertuduh. Namun tiada usaha dijalankan untuk pihak PR untuk nenjelaskan kepada mahkamah bagaimana SD2 tahu berkenaan perkara tersebut.
59
Siasatan masih boleh dijalankan oleh SP4 selepas perkara ini didedahkan oleh SP1 terutamanya selepas SP1 membuat pengecaman ke atas SD2 dan SD3. Tiada sebarang halangan untuk SP4 melalui arahan lanjut pihak PR untuk merekodkan keterangan kedua mereka atau menjalankan penyiasatan lanjut berhubung perkara ini. Namun ianya tidak dijalankan.
60
Apabila ini tidak dilakukan, maka naratif oleh tertuduh tersebut tidak boleh sewenang-wenangnya diketepikan sebagai satu naratif yang palsu atau direka-reka. Kesediaan SD2 dan SD3 hadir untuk dicamkan oleh SP1 serta memberi keterangan di mahkamah adalah satu manifestasi bahawa mereka adalah seorang yang bertanggungjawab dan bersedia untuk dipertanggungjawabkan.
61
Berdasarkan kepada analisis maksima mahkamah ke atas keterangan-keterangan yang telah diberikan, mahkamah dengan ini memutuskan bahawa pihak PR telah gagal untuk membuktikan kes tanpa keraguan yang munasabah. Oleh itu, tertuduh adalah dengan ini dilepas dan dibebaskan. Bertarikh: 19hb. Jun 2025 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Kamaliza binti Md Zain Wisma Darul Aman Pejabat Penasihat Undang-Undang Aras 4, Blok C Jalan Tengku Bendahara 05250 Alor setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Responden : Mohd Fadhly bin Yaacob Tetuan Fadhly Yaacob & Co Peguambela & Peguamcara No. 26k, Taman Wira Mergong 05150 Alor Setar Kedah Darul Aman Tarikh Keputusan : 26hb. Mei, 2025 Undang-Undang Yang Dirujuk: ➢ Akta Dadah Berbahaya 1952 ➢ Kanun Tatacara Jenayah Kes-Kes Yang Dirujuk: ➢ Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 ➢ PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457. ➢ Muhammad Lukman Mohamad v. PP [2021] 7 CLJ 524 ➢ Chan Kim Seng v PP [2016] 3 MLJ 80 ➢ Adib Nafis bin Hassane lwn PP [2020] CLJU 1240; [2020] 1 LNS 1240 ➢ Ghasem Hozouri Hassan v. Public Prosecutor [2018] 6 CLJ 133; [2019] 6 MLJ 231 ➢ Mahendran Arivalan v. PP [2020] CLJU 1278; [2020] 1 LNS 1278; [2020] MLRAU 279 ➢ Alcontara Ambross Anthony lwn PP [1996] 1 MLRA 47 ➢ Alcontara Ambross Anthony (supra) ➢ Phiri Mailesi (Zambian) v. PP [2013] MLRAU 175
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.