Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA LUMPUR DALAM NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR NO. KES: WA-82D-12-03/2021 PENDAKWA RAYA LAWAN MUHAMMAD NASRULHAQ BIN MOHD NOH (NO. KP: 901130-08-5291) ALASAN PENGHAKIMAN [A]
WA-82D-12-03/2021
Magistrates Court of Malaysia8 Aug 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA LUMPUR DALAM NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR NO. KES: WA-82D-12-03/2021 PENDAKWA RAYA LAWAN MUHAMMAD NASRULHAQ BIN MOHD NOH (NO. KP: 901130-08-5291) ALASAN PENGHAKIMAN [A]
1
Muhammad Nasrulhaq Bin Mohd Noh (selepas ini dirujuk sebagai “Perayu”) telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di bawah satu kesalahan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) pada 3 Mac 2021. Laporan Patologi dari Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur, telah pun sedia semasa pertuduhan dibacakan buat kali pertama dan sementara menunggu tarikh perbicaraan, Perayu telah dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin. Perayu sejak permulaan kes telah mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan dan pohon untuk dibicarakan.
2
Perayu yang diwakili oleh Datuk Noor Svetlana Binti Datuk Mohd Noor Nordin, peguambela terpelajar dari Tetuan Svetlana Nordin & Co. kemudiannya telah dibicarakan dan dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan pada 22 Julai 2024. Di akhir keseluruhan kes, Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,500 dan jika gagal bayar, 4 bulan pemenjaraan. Perayu juga telah diperintahkan untuk menjalani pengawasan oleh pegawai seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama 3 tahun pada 8 Ogos 2025.
3
Berasa tidak puas hati dengan keputusan yang telah diberikan oleh Mahkamah ini, Perayu telah memfailkan rayuan ke atas sabitan terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. [B]
4
Pertuduhan ke atas Perayu adalah seperti di bawah: “PERTUDUHAN BAHAWA KAMU PADA 1.8.2019 JAM LEBIH KURANG 4.05 PETANG, BERTEMPAT DI PEJABAT BAHAGIAN SIASATAN JENAYAH NARKOTIK, DALAM DAERAH SENTUL, DI DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, TELAH DIDAPATI MEMBERI KEPADA DIRI SENDIRI DADAH BERBAHAYA JENIS METHAMPHETAMINE. OLEH ITU KAMU TELAH MELAKUKAN SATU KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 15(1)(A) AKTA DADAH BERBAHAYA 1952 DAN BOLEH DIHUKUM DI BAWAH SEKSYEN AKTA YANG SAMA.”. [C]
5
Adalah menjadi tanggungjawab pihak Pendakwaan untuk membuktikan kes secara prima facie di akhir kes pendakwaan dan selanjutnya melampaui keraguan munasabah di akhir keseluruhan kes bagi mensabitkan seseorang tertuduh atas suatu kesalahan. Tugas pihak Pembelaan pula adalah untuk menimbulkan keraguan munasabah bagi menyangkal kes pendakwaan dan seterusnya mendapatkan satu perintah lepas dan bebas (A&D). Perkara ini adalah selaras dengan seksyen 173(m) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
6
Isu tentang beban pembuktian telah dibincangkan dalam kes Mohamad Radhi Bin Yaakob v PP [1991] 3 MLJ 169. Diputuskan di dalam kes tersebut: “It is a well-established principle of Malaysian criminal law that the general burden of proof lies throughout the trial on the prosecution to prove beyond reasonable doubt the guilt of the accused for the offence with which he is charged. There is no similar burden placed on the accused to prove his innocence. … To earn an aquittal, his duty is merely to cast a reasonable doubt in the prosecution case. … If defence is called, the duty of the accused is only to cast a reasonable doubt in the prosecution case. He is not required to prove his innocence beyond reasonable doubt.”. [D]
7
Selaras dengan seksyen 173(f)(i) KTJ, Puan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi pihak Pendakwa Raya (selepas ini dirujuk sebagai “Responden”) terlebih dahulu perlu membuktikan wujudnya satu kes prima facie terhadap Perayu dengan membuktikan elemen pertuduhan yang dikenakan iaitu seksyen 15(1)(a) ADB. Inti pati peruntukan ini yang perlu dibuktikan adalah: a) Perayu telah memakan atau memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya; dan b) Dadah yang dimakan atau diberikan kepada diri sendiri adalah dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Bahagian III dan IV
Schedule
Jadual Pertama ADB. 8. Berdasarkan keterangan saksi serta ekshibit yang dikemukakan oleh Responden semasa kes pendakwaan dijalankan, hasil analisa oleh Pegawai Sains dari Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati dadah yang dikesan dalam urin Perayu merupakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine. Dadah berbahaya ini disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB. [E] KES PIHAK-PIHAK Kes Pendakwaan dan Dapatan Serta Analisis Mahkamah di Akhir Kes Pendakwaan 9. Pihak Responden di dalam kes ini telah memanggil tiga (3) orang saksi iaitu: i) SP1 – Kamarulzaman Bin Hussin, Pegawai Sains Jabatan Patologi HKL ii) SP2 – Insp. Rubi Indran a/l Krishnan, Pengadu iii) SP3 – Insp. Yusnor Hafizah Binti Kasim, Pegawai Penyiasat 10. Pada peringkat pendakwaan, SP2 dalam keterangannya mengatakan telah mengiringi Perayu bagi menjalankan ujian saringan awal urin di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sentul. Langkah demi langkah berkenaan apa yang dilakukan oleh SP2 dalam pemprosesan menjalankan ujian saringan awal urin tersebut telah dijelaskan semasa perbicaraan. 11. SP1 telah menerangkan pada Mahkamah melalui penyata saksinya (ekshibit P1 dirujuk) bahawa semakan yang lengkap telah dilakukan ke atas butiran botol air kencing serta borang permohonan yang diterima sebelum meneruskan dengan ujian pengesanan dadah dalam air kencing. Menurutnya, urin yang diterima bagi kes ini memenuhi kriteria penerimaan spesimen di mana botol urin serta spesimen urin berada dalam keadaan baik, mengandungi isipadu urin yang mencukupi untuk menjalankan analisis, dan tiada pencemaran urin berlaku. 6 12. Hasil analisis SP1 mendapati urin Perayu adalah positif bagi kumpulan dadah jenis Amphetamine Types Stimulants (ATS) dan kemudiannya mengesahkan mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine melalui ujian pengesahan menggunakan kaedah Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS). Ujian-ujian yang dijalankan oleh SP1 telah diterangkan dengan jelasnya melalui penyata saksi yang disediakan (ekshibit P1) serta soalan tambahan yang telah dilontarkan semasa perbicaraan. 13. Responden menghujahkan bahawa rantaian perjalanan barang kes tidak pernah terputus dan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh SP1, SP2, serta SP3 adalah mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Rantaian perjalanan barang kes ke Jabatan Patologi juga dihujahkan tidak terputus dan tindakan yang diambil oleh SP1 dalam memperolehi kandungan sebenar urin milik Perayu adalah tepat dan urin tersebut tidak pernah tercemar sehingga Laporan Patologi (ekshibit P4 dirujuk) disediakan. 14. Dalam membuktikan elemen pertama seperti yang dinyatakan pada perenggan 7 di atas, Responden telah mengguna pakai seksyen 37(k) ADB iaitu dengan menggunakan anggapan atau andaian bahawa Perayu telah memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya memandangkan urin Perayu didapati positif dadah berbahaya jenis Methamphetamine setelah pemeriksaan terhadap urin Perayu dijalankan selaras dengan seksyen 31A ADB. 7 15. Selain itu, Responden turut menghujahkan dapatan SP1 bahawa urin Perayu mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine telah diperolehi mengikut prosedur yang betul dan merujuk pada Bahagian III Jadual Pertama ADB, dadah berbahaya ini tersenarai dalam Bahagian tersebut. Oleh itu, elemen kedua pertuduhan ini berjaya dipenuhi. Kesimpulannya, Responden yakin satu kes prima facie berjaya dibuktikan terhadap Perayu berdasarkan penilaian maksimum terhadap kesemua keterangan dan bukti yang dikemukakan di mahkamah. 16. Pihak pembelaan telah menimbulkan beberapa persoalan dalam kes ini, antaranya berkaitan dengan rantaian barang kes, kegagalan saksi pendakwaan mematuhi prosedur yang betul dalam pemprosesan pengambilan sampel urin dan menjalankan ujian saringan awal urin, dan kebarangkalian sampel urin tercemar. 17. Walau bagaimanapun, Mahkamah ini mendapati keterangan yang telah diberikan oleh SP2 dan SP3 berkenaan pengambilan sampel urin dan penjagaan barang kes sebelum ia dihantar ke Jabatan Patologi adalah lancar dan Mahkamah ini tidak mengesan kekhilafan dari apa yang telah dikatakan dan dikemukakan oleh saksi-saksi semasa perbicaraan. Selain itu, berdasarkan keterangan SP1, sampel urin yang telah diterima olehnya berjaya mengesan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan melaksanakan dua (2) jenis ujian dan hasil analisis ini tidak akan diperolehi sekiranya sampel urin tersebut tercemar. 8 18. Pada hemat Mahkamah ini, kedua-dua elemen pertuduhan yang dinyatakan di atas berjaya dipenuhi dalam kes ini. Setelah diperhalusi, Mahkamah mendapati tiada kelompangan dari keterangan saksi-saksi pendakwaan lebih-lebih lagi dari keterangan SP2 dan SP3 yang selari dalam menjelaskan keseluruhan prosedur dari pengambilan sampel urin Perayu bagi tujuan ujian saringan awal urin sehinggalah ia dihantar ke Jabatan Patologi untuk dianalisis. 19. Keterangan SP1 juga jelas di mana ujian tidak akan dilakukan terhadap spesimen urin yang tidak memenuhi kriteria semasa proses penyerahan. Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak Responden di mana suatu dapatan yang positif tidak akan diperolehi sekiranya sampel urin telah tercemar. SP1 telah menjelaskan keadaan botol yang mengandungi sampel urin Perayu berada dalam keadaan tidak tercemar, baik, dan rapi yang akhirnya berupaya mengesan dadah berbahaya jenis Methamphetamine. 20. Pada peringkat pendakwaan, setelah mengaplikasikan prinsip penilaian maksima ke atas bukti-bukti yang dikemukakan, Mahkamah ini berpuas hati elemen-elemen pertuduhan dipenuhi dan Responden telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu di akhir kes pendakwaan. Di dalam kes ini, Perayu yang dipanggil untuk membela diri telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi selepas tiga (3) pilihan membela diri diterangkan kepadanya. Kes Pembelaan 21. Pada tahap pembelaan pula, pihak pembelaan telah memanggil tiga (3) orang saksi untuk beri keterangan: i) SD1 – Muhammad Nasrulhaq Bin Mohd Noh, Tertuduh (Perayu) ii) SD2 – Nur Azwani Binti Mustafar, Isteri Tertuduh iii) SD3 – Azizul Safar Bin Maaris, Rakan Sekerja Tertuduh 22. Perayu dalam keterangannya menafikan sampel urin telah diuji di hadapan SP2. Dia mengatakan telah ke sebuah bilik sejurus selepas memberikan sampel urin dan menyerahkan botol yang mengandungi sampel urin kepada seorang anggota dikenali sebagai “Kpl Nyana” dan tidak berada berdekatan dengan tempat di mana ujian saringan dilakukan. 23. Selanjutnya, Perayu mendakwa bahawa hasil ujian saringan yang mengatakan positif dadah jenis Methamphetamine telah dimaklum kepadanya tanpa berpeluang untuk melihat kertas uji (test strip) dengan jelasnya akibat masalah penglihatan. Perayu juga mendakwa bahawa dia telah menurunkan tandatangan pada pelekat label botol sampel urin dan mendakwa borang-borang yang sepatutnya disediakan oleh SP2 telah disediakan oleh “Sjn Musarizal”. 24. Bagi menyokong versi cerita Perayu, SD2 yang merupakan isteri Perayu dan SD3 iaitu rakan sekerja telah dipanggil untuk beri keterangan. Kedua-dua saksi mengatakan Perayu bukanlah seorang penagih dadah dan tidak pernah menunjukkan apa-apa tanda yang boleh mengaitkan Perayu dengan aktiviti dadah. [F] ULASAN DAN DAPATAN MAHKAMAH DI AKHIR KESELURUHAN KES 25. Berdasarkan Notis Rayuan yang difailkan pada 15 Ogos 2025, Perayu telah membuat rayuan ke atas sabitan terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Oleh yang demikian, saya akan menerangkan alasan bagi keputusan yang telah saya berikan ke atas Perayu. 26. Mahkamah ini mempunyai tanggungjawab untuk menilai keterangan dari pihak pendakwaan dan pembelaan secara keseluruhannya. Penilaian ini harus dibuat pada tahap maksima bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan sama ada pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan atau pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah. Perkara ini adalah selaras dengan peruntukan seksyen 182A KTJ. 27. Rujukan ke atas kes Mohamad Radhi Bin Yaakob v PP (supra) sekali lagi dibuat, di mana antara lain menyatakan seperti berikut: “To earn an acquittal, the court may not be convinced of the truth of the defence story or version. Raising a reasonable doubt in the guilt of the accused will suffice. … … the court must not convict until it asks a further question, that even if the court does not accept or believe the defence explanation, does it nevertheless raise a reasonable doubt as to his guilt?”. [penekanan ditambah] 28. Rujukan juga telah dibuat pada kes PP v Saimin [1971] 2 MLJ 16 yang antara lain memutuskan: “… a reasonable doubt is the doubt which makes you hesitate as to the correctness of the conclusion which you reach… … It is a doubt which settles in your judgment and finds a resting place there. It must be a doubt so solemn and substantial so as to produce in the mind of the jurors some certainty as to the verdict to be given.”. [penekanan ditambah] 29. Perayu melalui peguam terpelajar dalam Hujahan Bertulis dan Hujahan Balasan secara ringkasnya telah mempersoalkan individu sebenar yang telah menjalankan ujian saringan urin dan menghujahkan adalah perlu untuk pihak Responden memanggil anggota-anggota polis yang ada semasa kejadian untuk memberi keterangan di mahkamah. Turut dihujahkan bahawa rantaian barang kes terputus dan prosedur di bawah seksyen 31A ADB gagal dipatuhi dalam kes ini. 30. Responden pula dalam Hujahan Bertulis menghujahkan bahawa keterangan Perayu hanyalah penafian semata-mata (bare denial) dan merupakan satu pemikiran terkemudian (afterthought) yang direka-reka. Turut dihujahkan terdapat percanggahan dalam keterangan Perayu dan perkara ini perlu diambil kira oleh Mahkamah ini. 12 31. Berdasarkan pemerhatian Mahkamah, keterangan Perayu semasa di mahkamah memberi fokus pada dakwaan bahawa ujian saringan urin telah dilakukan oleh “Kpl Nyana” dan bukan SP2 yang dikatakan hanya terlibat dengan cara mengiringi Perayu dalam proses pengambilan sampel urin. Perayu mendakwa tidak berpeluang untuk melihat kertas uji setelah ia dicelup ke dalam sampel urin akibat masalah penglihatan dan hanya dimaklum keputusannya secara lisan. 32. Dalam kes ini, Perayu telah mengemukakan resit pembelian cermin mata (ekshibit D14 dirujuk) untuk menyokong keterangan bahawa dia mempunyai masalah penglihatan (rabun) disebabkan kerja-kerja pengimpalan (welding) yang dilakukan sebelum menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 33. Semasa Pemeriksaan Utama, Perayu dalam kata-katanya sendiri mengatakan, “…dan masa itu saya tidak pakai specs kerana saya tidak suka pakai specs.”. Berdasarkan keterangan tersebut, ini bermakna Perayu tidak ada masalah untuk melihat tanpa memakai cermin mata. Jika Perayu berupaya untuk menerangkan secara terperinci bilangan botol sampel urin yang ada dan begitu pasti bahawa botol-botol tersebut berisi dengan sampel urin, Mahkamah ini pasti Perayu berupaya melihat kertas uji itu. Dia dengan sendirinya memilih untuk tidak memakai cermin mata dan perkara ini membuat Mahkamah musykil sama ada keterangan yang diberikan boleh dipercayai. 13 34. Setelah diteliti juga, Mahkamah ini mendapati terdapat keterangan Perayu yang tidak konsisten semasa perbicaraan berlangsung. Sebagai contoh, Perayu semasa Pemeriksaan Utama mengatakan tidak berupaya melihat kertas uji. Namun, semasa sesi Pemeriksaan Semula, Perayu maklum melihat ada beberapa kertas uji yang telah digunakan berada di atas meja selain dari botol sampel urin. Timbul kemusykilan sekali lagi pada Mahkamah ini untuk menerima keterangan Perayu yang mengatakan mempunyai masalah penglihatan. 35. Berkenaan dengan isu pemanggilan “Kpl Nyana”, “Sjn Musarizal”, dan “Kpl Tarmizi” sebagai saksi, Mahkamah ini mendapati tiada keperluan untuk perkara ini dipertimbangkan memandangkan keterangan saksi-saksi termasuk keterangan Perayu sendiri adalah mencukupi untuk Mahkamah ini menilai kes ini secara keseluruhannya di tahap maksima. Pada hemat Mahkamah ini, tidak wujud kelompangan yang boleh menimbulkan keraguan ke atas kesahihan kes pendakwaan. 36. Mahkamah ini juga percaya bahawa rantaian bukti (chain of evidence) dari saat proses sampel urin diambil sehinggalah dihantar ke Jabatan Patologi untuk dianalisis yang kemudiannya menghasilkan satu laporan positif tidak terputus dan telah dilakukan mengikut prosedur yang betul berlandaskan seksyen 31A ADB. 37. Setelah diperhalusi, Mahkamah ini mendapati keterangan SD2 dan SD3 tidak menyumbang dalam menimbulkan keraguan pada kes pendakwaan. Mahkamah ini tidak nafikan bahawa Perayu mempunyai hak untuk memanggil saksi-saksi bagi menyokong pembelaannya. Namun, Mahkamah ini bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kejadian tangkapan awal Perayu dengan rakannya yang dikenali sebagai “Budin” tidak relevan dengan kes di hadapan Mahkamah ini. 38. Meskipun kes ini berlaku susulan tangkapan awal yang telah dibuat, Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan pihak Responden di mana tumpuan Mahkamah ini seharusnya diletakkan pada pertuduhan di bawah seksyen 15(1)(a) ADB memandangkan ia melibatkan laporan polis yang berbeza dan hasil ujian saringan urin Perayu sebagai individu. Mahkamah ini percaya, setelah meneliti keterangan saksi-saksi secara keseluruhannya, tidak wujud kelompangan dalam kes pendakwaan berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang dikemukakan. 39. Justeru, dengan mengaplikasikan prinsip di dalam kes Mohamad Radhi Bin Yaakob v PP (supra) dan PP v Saimin (supra) yang telah dibincangkan sebelum ini dan setelah membuat pertimbangan pada tahap maksimum ke atas keterangan dan ekshibit yang dibentangkan di hadapan Mahkamah, Mahkamah ini membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah dan pihak pembelaan telah gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kesahihan kes pendakwaan di akhir kes pembelaan. 15 40. Oleh itu, berdasarkan pada alasan dan penemuan yang telah dijelaskan dan dinyatakan di atas, keputusan saya yang mendapati Perayu bersalah dan mensabitkannya dengan kesalahan dan juga hukuman yang dijatuhkan adalah wajar, adil di sisi undang-undang, dan berlandaskan peruntukan di bawah seksyen 173(m)(ii) KTJ. NOORELYNNA HANIM BTE ABD HALIM Majistret Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Timbalan Pendakwa Raya: Nor Aisyah Binti Mohamed Zanyuin Peguambela : Dato Noor Svetlana Binti Datuk Mohd Noor Nordin
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.